Artikel "Komuniti" Terkini
Jasad Lelaki Lemas Ketika Memancing Udang Ditemui
BESUT, 24 September - Jasad seorang lelaki lemas selepas bot yang dinaiki bersama rakannya terbalik sewaktu mengail udang di Sungai Kampung Tok Gong, Kuala Besut berjaya ditemukan pada pagi tadi.
Mayat Muhammad Hussin Jusoh, 46, dari Kampung Telaga Papan, Semerak ditemui pada jam 7.45 pagi tidak jauh dari lokasi kejadian oleh anggota Bomba dan Penyelamat yang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR).
Menurut Penolong Penguasa Bomba Daerah Besut, Mohd Tarmimi Musa, anggota Bomba, Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APAM) telah membuat rondaan pada jam 7 pagi di sekitar tempat mangsa dipercayai jatuh.
Katanya, mangsa kemudiannya telah dijumpai pada jarak 250 meter dari lokasi kejadian.
"Operasi mencari dan menyelamat ditamatkan serta merta selepas pasukan bomba menerima maklumat berhubung penemuan mayat dan telah diserahkan kepada pihak PDRM untuk pengecaman bersama pihak waris. \
"Mayat mangsa kemudiannya dihantar ke Hospital Besut bagi tujuan post mortem," ujarnya
Mohd Tarmimi ketika ditemuramah.
Tambah Mohd Tarmimi dalam kejadian pada 23 September jam 2 pagi, Hussin memancing udang bersama seorang lagi rakannya di sungai terbabit.
Namun begitu jelasnya, berlaku air pasang, bot fiber yang dinaiki mereka berdua dibawa arus lalu terbalik di bawah jambatan sungai Tok Gong.
"Rakannya sempat menyelamatkan diri dengan berpaut di ranting pokok berhampiran jambatan, walau bagaimanapun mangsa gagal menyelamatkn diri," jelasnya.
24 Sep 23
638
ADUN Sura Sedia Bantu Veteran TLDM
DUNGUN, 24 September - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin sedia membantu golongan veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) di negeri ini dalam segala hal berkaitan kebajikan mereka.
Beliau menyatakan komitmen tersebut semasa menyempurnakan Majlis Perasmian Mesyuarat Agong Tahunan Persatuan Veteran Tentera Laut Diraja Malaysia (PVTLDM) yang diadakan di Dewan Agong, Hotel UiTM Dungun.
Katanya, semua pihak diharap dapat berganding bahu memberikan kerjasama yang diperlukan dalam usaha melaksanakan pembangunan generasi muda selain menanam semangat kecintaan kepada negara.
Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin turut menyuarakan sokongan tegar kepada PVTLDM dan mengapresiasi peranan mereka dalam memelihara nilai-nilai ketenteraan dan patriotisme di kalangan generasi muda. Beliau mengangkat tema kerjasama dan kesetiaan dalam ucapan perasmian, menekankan kepentingan persaudaraan dan kesatuan dalam menjalani cabaran masa kini.
Majlis tersebut turut dihadiri oleh Mejar Wan Abdullah Wan Abd Samad, yang merupakan wakil dari Jabatan Hal Ehwal Angkatan Tentera Malaysia (ATM). Beliau menghadiri mesyuarat tersebut untuk memberikan inspirasi kepada para anggota dan menyampaikan pandangan beliau mengenai isu-isu penting yang berkaitan dengan veteran TLDM.
Dengan sokongan dari ADUN Sura dan kerjasama daripada pihak berkuasa tempatan, diharapkan golongan veteran TLDM di Terengganu akan mendapat manfaat yang lebih besar dan sentiasa dihargai atas pengorbanan mereka dalam menjaga keselamatan negara.
23 Sep 23
208
'Explorace' Beliawanis Jadi Terapi Kesihatan Mental
KUALA NERUS, 17 September - Penganjuran Pertandingan Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 mampu menjadi terapi masalah kesihatan mental di kalangan kaum wanita di negeri ini.
Timbalan Pengerusi Khairunnisa' Terengganu, To’ Puan Zarani Othman berkata, program itu amat baik untuk wanita muda serta golongan yang berumur.
"Aktiviti sukan dan rekreasi merupakan satu bentuk terapi yang berkesan dalam memupuk kekuatan diri secara berpasukan.
"Yang mana pentingnya dalam kita menjaga minda dan tubuh badan," ujarnya.
Beliau yang juga Pengerusi Mawaddah negeri Terengganu berkata demikian ketika merasmikan program Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 di Bandar Al-Wattiqu Billah, Kuala Nerus, pada kelmarin.
Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar sama-sama menjaga minda dan tubuh badan kerana dua perkara tersebut adalah yang paling utama perlu dijaga.
"Paling penting melaksanakan amalan yang diredhai oleh Allah swt.
"Saya berharap agar program ini dapat diteruskan kerana ia sebenarnya bukan semata-mata untuk sambutan Hari Kemerdekaan.
"Program ini kena ada kesinambungan paling tidak diadakan di peringkat negeri sebulan sekali dan juga di peringkat daerah," jelas beliau.
16 Sep 23
265
'Fly' Sekejap 'Tersangkut' Dua Tahun
KUALA TERENGGANU, 12 September- Ditangkap kerana melakukan aksi berbahaya ketika menunggang motosikal sewaktu meraikan sambutan tahun baharu di ibu kota, Mat, 21 tahun, dikenakan hukuman di bawah Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) di bawah kategori pesalah muda.
Akibat terikut-ikut rakan-rakan untuk mempamerkan aksi berbahaya, beliau disabitkan kesalahan di bawah Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 Memandu secara melulu dan merbahaya sehingga mengganggu pengguna jalan raya yang lain mengakibatkan hukuman PKM sebanyak 120 jam agregat selama dua tahun.
"Kini saya rasa menyesal sebab banyak rugi masa, setiap minggu dan waktu cuti saya kena melibatkan diri dengan pelbagai program khidmat masyarakat.
"Walaupun hanya dikenakan PKM, ia berat sebab mengganggu rutin kehidupan tambahan pula, saya terpaksa berulang jauh setiap minggu dari tempat kerja ke Kuala Terengganu untuk menjalani PKM," katanya ketika ditemui selepas Program Gotong-royong di kawasan Datara Pantai Batu Buruk, hari ini.
Salah seorang lagi pelatih PKM, Wan, 19 tahun, yang merupakan seorang pelajar di sebuah pondok pengajian, menyifatkan bahawa hukuman begitu membebankan dirinya.
"Saya belajar di hari biasa jadi saya terpaksa melibatkan diri pada hari minggu. Saya rasa terganggu dan ia memberi kesan kepada saya, kadang-kadang tekanan ada juga cuma ia tidak terlalu besar.
"Ada juga kawan-kawan pandang serong, mujur mudir madrasah tidak mengambil tindakan selepas tahu saya dikenakan PKM.
"Nasihat saya, kepada mat-mat rempit, sudah-sudahlah melanggar peraturan dengan melakukan aksi-aksi berbahaya kerana ia bukan sahaja menyusahkan diri kita tetapi juga ibu bapa dan keluarga," katanya yang kini hampir setahun menjalani hukuman PKM selepas ditangkap di Rantau Abang, tahun lalu.
Dalam program anjuran Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Terengganu itu, seramai 12 pelatih PKM melakukan operasi pembersihan di sekitar kawasan rekreasi tersebut bagi melengkapkan jam agregat PKM.
Menurut Pengarah JKM Terengganu, Mazura Ngah Abd Manan, sehingga Ogos 2023, terdapat sebanyak 44 kes yang aktif di Terengganu di mana statistik daerah Kuala Terengganu merupakan tertinggi iaitu 12 kes, diikuti Marang (8 kes), Dungun (7 kes), Kemaman dan Besut (6 kes), Hulu Terengganu (3 kes) serta Setiu (2 kes).
"Biasanya PKM ini adalah hukuman ringan bagi kesalahan seperti mat rempit, lumba haram, curi motosikal dan kesalahan-kesalahan kecil yang boleh dipertimbangkan.
"Di Terengganu setakat ini, keadaan tidak membimbangkan berbanding negeri-negeri yang lebih besar.
"Tetapi, kalau dilihat pada peratusan penduduk, ia tetap perlu diambil berat kerana kes sentiasa ada. Kita perlu melakukan sesuatu juga dan JKM sendiri cuba mengadakan program di peringkat kanak-kanak untuk mengelakkan perkara ini berlanjutan lebih serius," katanya.
Tambah beliau, pelaksanaan hukuman PKM seharusnya dilihat sebagai alternatif yang baik kepada pesalah muda.
"Saya suka melihat hukuman ini sebagai satu bentuk alternatif dan peluang kedua kepada pesalah-pesalah muda kita kerana dengan cara ini kita dapat mengelakkan mereka daripada berada dalam tirai besi di mana banyak stigma yang negatif di sana.
Mazura (bertudung oren) bersama kakitangan JKM Terengganu melihat hasil kerja pembersihan pelatih PKM.
"Dengan cara ini, mereka dapat peluang kedua dan dapat meneruskan kehidupan seperti biasa serta dalam masa sama, hukuman dapat dijalankan, untuk memberi pengajaran supaya tidak mengulangi kesilapan.
"Walaupun dilihat seakan-akan mudah, tetapi mereka dapat pengajaran kerana pelatih perlu melibatkan diri bagi mengelakkan hukuman lebih berat dikenakan," jelasnya.
12 Sep 23
438
PICC Kembalikan Senyuman Pesakit Kencing Manis
Oleh : Ahmad Fahmi Azizi
KUALA TERENGGANU, 10 September - Bagi mengoptimumkan rawatan pesakit diabetes di peringkat komuniti, JPKK Kampung Kolam Kuala Ibai dengan kerjasama Bahagian Farmasi Pejabat Kesihatan Kuala Terenganu menganjurkan program 'Pharmacy Integrated Community Care' (PICC).
Pengerusi JPKK Kampung Kolam, Muhammad Hamdi Ali@Abas berkata, program PICC yang berkonsepkan 'Tuisyen Kencing Manis’ yang pertama diadakan di mukim Kuala Ibai.
Katanya, ia menghimpunkan pesakit kencing manis di sekitar kampung dengan empat modul interaktif diberikan kepada pesakit dengan 23 peserta berjaya dikumpulkan pada program kali ini.
"Satu pencapaian yang amat membanggakan bagi semua yang menjayakan program ini kerana program ini telah berjaya membantu seramai 13 orang peserta dalam penurunan paras gula dalam darah mereka ( HbA1C) dan sekaligus telah mencapai sasaran yang telah ditetapkan.
“PICC ini juga merangkumi aktiviti pengurusan ubat-ubatan, amalan gaya hidup sihat dan pengambilan diet yang seimbang dan bertujuan untuk mewujudkan kumpulan sokongan yang membantu meningkatkan motivasi dalam mengawal diabetes.
“Selain itu, PICC diharapkan dapat membantu pesakit dalam pengurusan diabetes secara holistik termasuk aspek ubat-ubatan, diet, pemakanan dan aktiviti fizikal yang mampu memberikan kesan lebih baik kepada rawatan para pesakit,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada majlis perasmian penutup program ‘Pharmacy Integrated Community Care (PICC)’ Daerah Kuala Terengganu di Balai Raya Kampung Kolam, Kuala Ibai, hari ini.
Majlis disempurnakan oleh Dr Fatimah Muda, Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu.
Hadir sama, Exco Kerajaan Negeri Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Buruk, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi, Pegawai Kesihatan Keluarga PKDKT, To' Puan Dr Rohayaty Muda dan Pegawai Farmasi PKDKT, Aishah Hamzah.
10 Sep 23
853
Manfaatkan Kemahiran Untuk Berbakti
DUNGUN, 8 September -Pelajar dan kakitangan Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) manfaatkan kemahiran yang dimiliki mereka untuk berbakti kepada masyarakat melalui program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).
Menurut jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA, program CRS tersebut telah diadakan di Kampung Pasir Raja, Hulu Dungun sempena sambutan Hari Kemerdekaan ke-66 baru-baru ini.
"CSR TVET Ke Hati Komuniti Kampung Pasir Raja dan Perarakan Kayak Merdeka telah berlangsung selama dua hari iaitu pada 3 dan 4 September lalu.
"Program yang mendapat kerjasama strategik dengan pihak Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) itu mendapat sambutan yang baik daripada komuniti kampung tersebut," katanya.
Majlis pelancaran porgram tersebut telah disempurnakan oleh Pengarah PSMZA, Zamra Derahman di Dataran Kampung Pasir Raja itu dan dalam masa yang sama turut diadakan Majlis Penyerahan Pelajar-pelajar PSMZA kepada keluarga angkat masing-masing.
Turut hadir Pengurus Kanan (Korporat) KETENGAH, Mahdi Amin Ahmad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Pasir Raja (SKPR), Dr Alias Musa dan Setiausaha JPKK Pasir Raja Shahdan Musa.
Sementara itu, Pengurus Program, Mohd Faizol Che Mat berkata, program tersebut bertujuan memperkenal dan mempromosi pelajar - pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam bidang automotif dan pendawaian elektik kepada komuniti.
"Program yang disertai seramai 40 orang pelajar dan 30 orang kakitangan PSMZA ini telah melaksanakan khidmat masyarakat dengan membaik pulih pendawaian elektrik Balai Raya dan beberapa buah rumah penduduk kampung yang terpilih.
"Turut menjadi aktiviti CSR ialah perkhidmatan servis motorsikal secara percuma, pemberian dan penyerahan buku kepada Perpustakaan (SKPR) untuk menjadi rujukan kepada murid-murid sekolah itu, " ujarnya.
Katanya, pada hari kedua program, diadakan aktiviti Perarakan Kayak Merdeka menyelusuri Sungai Pasir Raja hingga ke Kampung Jongok Batu yang diiringi dan dikawalselia oleh Persatuan Kenu Terengganu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Cawangan Dungun.
"Jarak berkayak lebih kurang 26 kilometer yang memakan masa lebih kurang enam jam itu tidak mamatahkan semangat semua peserta bagi menamatkan dayungan sehingga ke garisan penamat," tambahnya lagi.
07 Sep 23
336
Saringan Kesihatan Pastikan Masyarakat Sihat
KUALA TERENGGANU, 7 September - Konsep tawakal sebenar dalam perihal menjaga kesihatan ialah dengan berikhtiar melalui saringan dan pemeriksaan kesihatan serta mendapatkan rawatan apabila memerlukan.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, konsep berserah diri kepada Allah bulat-bulat adalah salah di sisi Islam dan tidak sepatutnya di amalkan.
Katanya, untuk sembuh dari penyakit setiap orang perlu beikhtiar mencari jalan dengan berjumpa doktor dan makan ubat serta mendengar nasihat mereka.
Menurutnya setiap orang tidak boleh lari dari ditimpa penyakit termasuk Nabi s.a.w. sendiri juga demikian.
"Tinggal lagi bagaimana kita menangani masalah penyakit tersebut sama ada kita menyerah bulat-bulat kepada Allah untuk disembuhkan atau kita berikhtiar berubat," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Penutup Pharmacy Integrated Community Care di Kampung Kolam, Kuala Ibai di sini hari ini.
Turut hadir Pegawai Kesihatan Daerah Kuala Terengganu, Dr Fatimah Muda dan kira-kira 30 peserta dari komuniti setempat.
Sementara itu beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk mengalu-alukan program komuniti sebegitu kerana segalanya perlu bermula dengan kesedaran dan diikuti dengan tindakan.
"Saya difahamkan dari program integrasi komuniti yang dilaksanakan oleh Unit Farmasi dan Unit NCD Pejabat Kesihatan Daerah Kuala Terengganu ini, sebanyak 68 peratus peserta mencapai penurunan kawalan kencing manis, melebihi sasaran yang ditetapkan iaitu sebanyak 65 peratus," ujarnya.
Justeru Beliau mengucapkan tahniah kepada semua peserta dan mengharapkan program itu dapat diperluaskan lagi agar memanfaatkan lebih ramai pesakit.
07 Sep 23
115
Wanita Diseru Sertai Explorace Beliawanis Merdeka 2.0
KUALA TERENGGANU, 4 September – Kaum wanita di seru agar menyahut dan menyertai Explorace Beliawanis Merdeka 2.0 yang dianjurkan oleh Kerajaan Terengganu sempena bulan kemerdekaan pada tahun ini.
Pengarah program, Sumayyah Hamzah berkata, ini membuktikan kerajaan negeri komited dan cakna generasi muda dengan menyediakan program menarik dan bermanfaat khusus buat kaum wanita.
“Menyediakan program menarik dan bermanfaat khusus untuk anak muda terutamanya golongan wanita serta memupuk semangat patriotik dalam kalangan kaum hawa di Terengganu.
“Menggalakkan generasi anak muda untuk menyertai program kemasyarakatan dan kebajikan serta menanamkan rasa sayang pada negara,” jelasnya.
Beliau yang juga Setiausaha Nisa' Kawasan Kemaman berkata demikian ketika dihubungi pada hari ini.
Menurutnya, acara ini merupakan tahun kedua diadakan yang mana terbuka kepada wanita berusia 17 – 40 tahun.
Katanya, peserta terdiri daripada empat orang dalam satu kumpulan di mana menyasarkan 20 kumpulan pada tahun ini.
“Program ini dijangka mampu menarik minat anak muda khususnya golongan wanita untuk menyertai program-program anjuran Kerajaan Negeri,” ujar Sumayyah.
Justeru itu, beliau berharap program seumpama ini dapat melahirkan wanita muda yang cintakan negara.
“Di samping menggalakkan mereka terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.
“Semoga usaha kerajaan negeri dalam menyediakan program bermanfaat untuk anak muda negeri Terengganu disambut baik oleh rakyat Terengganu khususnya anak muda," tambah beliau lagi.
04 Sep 23
140
Uzur Tidak Halang Ibu Temani Anak Daftar Belajar
DUNGUN, 28 Ogos - Walaupun uzur, seorang ibu tidak melepaskan peluang 'merayakan' perasaan gembira setelah anaknya diterima masuk ke Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA).
Naimah Ali, 40, yang menghidap 'stroke', berkerusi roda menemani, Ahmad Farhan Asyraf Yusri yang hadir mendaftarkan diri sebagai pelajar baharu Sesi I 2023/2023 dalam jurusan Diploma Kejuruteraan Awam.
"Sepatutnya hari ini saya ada temu janji dengan hospital untuk rawatan pembedahan di kepala kerana ada pendarahan di bahagian otak, tetapi tangguhkan dahulu kerana ingin bersama-sama menghantar anak daftar masuk PSMZA," ujarnya kepada Unit Komunikasi Korporat PSMZA di sini, semalam.
Sementara itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman sempat meluangkan masa menyantuni seluruh ahli keluarga ini dan sempat menasihati pelajar tersebut.
" Belajarlah bersungguh-sungguh hingga berjaya dan dapat membantu semua ahli keluarga," katanya.
28 Aug 23
327
Utamakan Rakyat Seiring Revolusi Industri 4.0
KUALA TERENGGANU, 22 Ogos - Warga Kerja Yayasan Terengganu diseru agar mengutamakan rakyat dalam memberikan perkhidmatan secara profesional, progresif dan berintegriti seiring zaman Revolusi Industri 4.0 .
Setiausaha Kerajaan Negeri, Tengku Seri Bijaya Raja berkata, di mana pada zaman ini mobiliti, kepantasan dan kecekapan memainkan peranan sangat signifikan kepada kerajaan dalam memberikan perkhidmatan kepada rakyat.
Ujarnya, sebagai nadi penggerakan kerajaan sudah tentu langkah tersebut sangat diharapkan untuk terus berperanan sebagai sebuah agensi kerajaan negeri yang bertanggungjawab bagi membangunkan modal insan termasuk menyediakan kemudahan melanjutkan pelajaran kepada rakyat Terengganu.
"Maka sistem penyampaian perkhidmatan produktif serta berkualiri adalah imperatif bagi memastikan rakyat Negeri Terengganu terus mendapat manfaat.
"Sebagaimana dihasratkan oleh pimpinan negeri, sekali gus menjadikan perkhidmatan kerajaan kekal relevan serta diyakini," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang dan Jasamu Dikenang Yayasan Terengganu Tahun 2023, di Pusat Konvesyen Taman Tamadun Islam, di sini, kelmarin.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu Dato' mohd Azmi Mohamad Daham.
Mengulas lanjut, Tengku Seri Bijaya Raja turut memberi peringatan kepada warga kerja untuk mencipta budaya kerja kelas pertama.
"Insya-Allah dengan gabungan elemen progresif, integriti, disiplin dan tanggungjawab setiap warga kerja akan membawa Yayasan Terengganu ke arah sebuah organisasi cemerlang, dinamik serta bermindakan 'par excellence'." ujarnya.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada seramai 33 orang penerima anugerah perkhidmatan cemerlang serta 22 orang yang telah menerima anugerah 'Jasamu Dikenang' bagi meraikan kakitangan yang telah bersara.
"Harapan saya agar pengiktirafan serta penghargaan seumpama ini dapat melonjakkan motivasi pekerja seterusnya menjadi 'role model' dan mentor terbaik kepada rakan sekerja yang lain, secara langsung membentuk ekosistem pekerjaan cemerlang," ujarnya.
22 Aug 23
150