Artikel "Komuniti" Terkini
Setiu Jamboree MTB Challenge 2023 Tawar Hadiah RM25,000
Setiu, 31 Oktober -Jamboree Mountain Bike (MTB) Challenge 2023 tahun yang bakal berlangsung di Lata Payung, Setiu, di sini pada 18 dan 19 November 2023 menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan RM 25,000.
Penolong Kanan Pegawai Daerah Setiu Yang Mulia (YM) Raja Faisal Raja Haron berkata kejohanan tersebut menyaksikan 12 kategori keseluruhan dipertandingkan.
"Untuk lelaki, kita ada kategori Men Junior (18 tahun kebawah), Men Master (19 -29 tahun), Men Senior (30-39 Tahun), Men Veteran (40- 49 tahun), Men Otai (50 tahun keatas), Men Open (Terbuka).
"Kategori wanita pula melibatkan
Women Senior (35 tahun keatas) dan Women Open (Terbuka).
Tambahan kita juga ada kategori Heaveyweight 90 KG (Terbuka), Fat Bike (Terbuka), E-MTB (Terbuka) dan Kakitangan Kerajaan Terengganu (Terbuka)," ujarnya kepada pemberita ketika ditemui, di sini, hari ini.
Dalam pada itu katanya, kejohanan edisi sulong di Setiu ini menyasarkan 1000 penyertaan dan setakat ini lebih 700 peserta telah mengesahkan kehadiran dan ada peserta daripada Singapura dan Thailand.
Raja Faisal berkata kayak kayuhan sejauh 30 kilometer melalui jalan hutan, denai dan sungai akan memberi lebih cabaran kepada pelumba.
Pemdaftaran masih dibuka kepada orang ramai dan peserta yang berminat boleh hubungi talian 013-9606953 (Din Nejar) dan 019-2532483 (Yusrizal).
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap Azmi Maarof berkata melalui penganjuran sukan tersebut dapat mempromosikan tempat perkelahan itu di mata dunia.
"Dengan adanya penganjuran berkaitan sukan di Setiu dan di DUN Langkap secara khususnya bilangan pelancong akan meningkat, seterusnya akan menambah pendapatan penduduk setempat melalui sewaan 'homestay' dan perniagaan lain," katanya.
31 Oct 23
346
Kerajaan Perlu Perincikan Mekanisma Kawalan Harga
KUALA TERENGGANU, 30 Oktober- Kerajaan perlu memperincikan bagaimana mekanisma kawalan yang dinyatakan untuk mengelakkan aktiviti pengambilan untung berlebihan apabila ayam bukan lagi dikategorikan sebagai barangan kawalan.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, menamatkan subsidi bermakna harga ayam akan diapungkan berdasarkan kondisi pasaran termasuklah bagaimana keadaan permintaan dan pengeluaran mempengaruhi harga.
“Saya letak sedikit kebimbangan bagaimana nanti peranan kartel dalam mencatur pengeluaran demi untuk meletakkan harga pada paras yang menguntungkan mereka.
“Barangan kawalan memang dimaklumi ada harga siling. Tapi bagaimana dengan pengawalan harga bagi barangan bukan kategori kawalan?,” ujarnya seperti yang dipetik dalam laman facebook rasminya, hari ini.
Mengulas lanjut katanya, jualan rahmah adalah langkah sementara dan terhad tetapi ianya bukan penyelesaian.
“Bukanlah suatu fenomena yang baik untuk melihat rakyat beratur panjang setiap kali program jualan rahmah dibuat,” ujarnya.
Katanya, apabila subsidi harga ayam tamat maka secara automatik harga ayam akan naik mendadak lebih-lebih lagi apabila nilai ringgit semakin lemah.
“Kesan langsung secara 'domino effect' dari kejatuhan nilai ringgit ini adalah kerana bahan mentah bagi pembuatan makanan ternakan yang diimport seperti jagung dan soya akan naik melambung juga. Rakyat kini sudah sedia susah. Ayam adalah sumber protein paling murah dan mudah,” ujarnya.
Menurut beliau, dalam apa jua situasi ekonomi negara sekalipun, barangan makanan asas rakyat yang menjadi keperluan harian tidak sepatutnya diapungkan seolah menyerahkan nasib rakyat dalam situasi 'wait and see'.
30 Oct 23
126
Masyarakat Dituntut Bantu PDRM Perangi Jenayah Scammer
SETIU, 30 Oktober -Penglibatan Masyarakat adalah sangat dituntut dalam membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) berusaha memerangi perlakuan jenayah 'scammer' yang berlaku pada masa kini.
Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata untuk mencapai angka sifar jenayah adalah mustahil apatah lagi melibatkan jenayah scammer ini.
"Namun masih ada ruang untuk memgecilkan kadar jenayah ini ke tahap paling minima.
"Masyarakat perlu memainkan peranan masing-masing dengan memiliki ilmu pengetahuan tentang jenayah penipuan ini menerusi pelbagai inisiatif oleh PDRM," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Town Hall Discussion Jenayah Scammer dan Pelancaran Taman Puterajaya sebagai taman angkat AMANITA Ibu Pejabat Polis Daerah Setiu di Dewan PPD Setiu, di sini hari ini.
Dalam pada itu, Mazli Mazlan berkata AMANITA atau skuad aman wanita ditubuhkan bertujuan memperkasakan penglibatan polis wanita dalam melaksanakan pencegahan jenayah.
"Maklumat-maklumat berkaitan jenayah boleh diperolehi dengan mudah kerana wanita khususnya suri rumah boleh membantu PDRM jika diberi tunjuk ajar bagaimana cara untuk mereka menyalurkan maklumat berkaitan",katanya.
30 Oct 23
257
Terengganu Sokong Belia Pacu Langkah Memajukan Negeri
KUALA NERUS, 28 Oktober - Kerajaan negeri berharap persatuan-persatuan belia di Terengganu terus memacu langkah memajukan anak-anak muda tempatan.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri memberi komitmen untuk bersama-sama memajukan belia.
"Kita sangat terbuka untuk melaksanakan apa jua program untuk memperkasakan belia.
"Saya percaya, mereka telah melaksanakan apa yang terbaik dengan kapasiti yang ada, namun saya juga percaya mereka perlu meneroka lebih jauh supaya belia di Terengganu sampai bukan sahaja ke peringkat kebangsaan,tetapi juga antarabangsa," katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Festival Perkampungan Belia Terengganu 2023 di Kem Pengakap Tengku Muhammad Ismail, di sini hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Hishamuddin Abdul Karim dan Timbalan Ketua Pengarah (Bahagian Pembangunan Belia) Kementerian Belia dan Sukan(KBS), Dr. Zainah Shariff.
Turut hadir, Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Terengganu, Asmadi Mohamad serta Presiden Majlis Belia Negeri Terengganu, Anas Hazizul Muhamad.
Tambahnya, beliau maklum tentang pencapaian membanggakan persatuan-persatuan belia di Terengganu sebelum ini dan berharap ia diteruskan dengan lebih agresif.
Anugerah bagi kategori Pertubuhan Belia dimenangi oleh Persatuan Belia (MBFM) Felda Kerteh 3 yang membawa pulang hadiah RM10,000 beserta piala dan sijil.
Dalam festival yang berlangsung selama dua hari itu juga, pelbagai aktiviti diadakan seperti sukan, kebudayaan, kesukarelawan dan segmen keagamaan.
28 Oct 23
219
Jam Matahari Politeknik Dungun Diiktiraf MBOR
DUNGUN, 23 Oktober - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) Dungun buat julung kalinya dalam sejarah berjaya menerima pengiktirafan Malaysia Book Of Records (MBOR) menerusi pembinaan Jam Matahari pertama politeknik di Malaysia.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata, projek tersebut adalah Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Jabatan Kejuruteraan Elektrik dan Jabatan Teknologi Maklumat dan Komunikasi dengan kerjasama Pertubuhan Juruukur Diraja Malaysia.
"Penyerahan sijil telah dilakukan sempena Program Industrial Empowerment Day 2023 yang telah disempurnakan oleh Pengarah PSMZA, Zamra Derahman ," ujarnya lagi.
Program yang diadakan di Dewan Dagang pada 17 Oktober itu merupakan satu program berimpak tinggi dengan pengisian 'Industrial Talk' bersama Dato’ Seri (Dr) Michael Tio.
Disamping itu katanya lagi, turut diadakan Majlis Tandatangan Sijil Kolaborasi Strategik (CoC) di antara Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin dengan PKT Logistics Group Sdn Bhd (PKT), Seikou Systec Sdn. Bhd. (Seikou), Pejabat Pendidikan Daerah Dungun dan Bekalan Air KIPC Sdn. Bhd.
" Program ini dapat membantu PSMZA dalam jalinan industri dan sekaligus mengadakan aktiviti-aktiviti yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak,"ujarnya.
23 Oct 23
773
Sambutan Hari Statistik Negara Sedia Kerjaya Untuk Graduan
KUALA TERENGGANU, 23 Oktober - Sambutan Hari Statistik Negara 2023 yang dianjurkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) Negeri Terengganu menampilkan sedikit kelainan apabila turut menyediakan peluang kerja buat graduan.
Menurut DOSM Terengganu dalam satu kenyataan, program anjuran bersama Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) itu turut mengadakan Career, Entrepreneurship & Education Fair 2023 selama dua hari bermula 21 hingga 22 Oktober lalu.
"Karnival ini dianjurkan melalui Pusat Kerjaya, Teknousahawan dan Jaringan Pintar (PaKaT), UniSZA dan Majlis Kebolehpasaran Graduan dan Kerjaya Universiti Awam Malaysia (MyGRAD).
"Kita mahu menyediakan graduan yang mampu mengisi keperluan industri tempatan dan global seiring dengan dinamika ekonomi dan teknologi serta membangunkan bakat graduan bagi peningkatan sosio ekonomi negara yang seimbang dan mampan," ujar kenyataan itu.
Tambah DOSM lagi, karnival itu membabitkan lebih 40 majikan dan 1,000 peluang pekerjaan kepada graduan dan komuniti.
"Pihak agensi dan industri yang turut terlibat termasuk Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Securities Industry Development Corporation (SIDC), Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC), Gleneagles Hospital, CelcomDigi, PTPTN, Perodua, Hong Leong Takaful, Asia Pacific University, Terengganu Skills Development Centre (Tesdec), XOX, pcari.my, Artiseni Sdn Bhd, dan Warnakala Studiosi.
"UniSZA merupakan Universiti Awam pertama yang membangunkan kandungan metaverse di dalam aktiviti karnival kerjaya melalui metaverse seminar bersama CelcomDigi dan permainan realiti maya.
"Pembangunan kandungan metaverse itu katanya selaras dengan Teras Pendigitalan Universiti di dalam Pelan Strategik Universiti 2023-2030," kata kenyataan tersebut.
23 Oct 23
409
Nisa Besut Anjur Kutipan Untuk Palestin
BESUT, 22 Oktober - Badan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) Nisa Besut tidak ketinggalan menganjurkan kutipan derma untuk disalurkan kepada rakyat Palestin yang kini amat memerlukan keprihatinan semua.
Ketuanya, Rafidah Razak berkata seramai 12 orang Ahli Jawatankuasa(AJK) turut meneruskan misi itu bertemu masyarakat yang ternyata menunjukkan sikap prihatin dan kebaikan hati dalam berkongsi rezeki dengan saudara seagama di Palestin.
"Meskipun jumlah sumbangan tidak besar, setiap individu turut serta dalam usaha derma ini,
"Menariknya, terdapat kanak-kanak yang turut serta dalam inisiatif ini, menandakan bahawa nilai-nilai amal jariah telah ditanamkan sejak usia muda, mungkin oleh ibu bapa mereka,
"Ini mencerminkan komitmen untuk memupuk kesedaran dan amalan derma dalam kalangan generasi muda," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program yang diadakan di Pantai Bukit Kluang di sini pada jumaat, 20 Oktober.
Tambahnya, Inisiatif ini patut dicontohi, dan terima kasih kepada Nisa’ Besut dan semua yang terlibat.
" Kita perlu bersama-sama menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan membantu saudara-saudara kita di Palestin dan menggalakkan masyarakat untuk menyumbang serta terlibat dalam usaha kemanusiaan yang sama," ujarnya lagi.
22 Oct 23
240
TDM Nafi Buang Staf Tempatan, Ganti Pekerja Asing
KEMAMAN, 20 Oktober - TDM Plantation Sdn Bhd menafikan syarikat itu menamatkan kontrak pekerja tempatan dan menggantikannya dengan pekerja asing.
Ketua Pegawai Eksekutif TDM, Hamdan Ibrahim, dengan tegas berkata, TDM Plantation tidak bertindak tergesa-gesa sebaliknya telah menangguhkan tindakan itu sehingga masalah dihadapi pihak kontraktor diselesaikan.
“Kita telah memberi peluang kepada kontraktor sejak setahun lalu untuk memperbaharui kontrak mereka setiap tiga bulan.
"Langkah ini memberi peluang kepada kontraktor untuk mengatasi masalah yang berkaitan dengan pekerja, seperti yang ditetapkan dalam undang-undang buruh.
"Ia juga membolehkan mereka untuk mendaftarkan pekerja dan membuat caruman dengan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO)," ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas pertemuan dengan bekas pekerja Ladang Air Putih, Kemaman di Balai Raya Kampung Teladas dekat sini kelmarin.
Menurut Hamdan, TDM sentiasa menekankan komitmen terhadap pematuhan undang-undang buruh dan kebajikan pekerja tempatan.
"Kami juga menganggap penting untuk menjaga hubungan yang baik dengan kontraktor mereka dalam usaha mencapai penyelesaian yang adil dan berpatutan terhadap isu-isu pekerja.
"Dalam masa yang sama, kami berharap bahawa pelanjutan kontrak dan kerjasama dengan kontraktor akan membawa kepada penyelesaian yang memuaskan bagi semua pihak yang terlibat dalam isu ini," katanya.
20 Oct 23
127
19 Pelajar Cemerlang Berangkat Ke Algeria
SEPANG, 20 Oktober - Seramai 19 pelajar iaitu 12 lelaki dan tujuh perempuan telah berangkat ke Algeria bagi menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, tawaran itu adalah hasil kunjungan pihak kerajaan negeri Terengganu bersama kementerian ke Algeria pada pertengahan Mac lalu.
"Alhamdulillah, tahun lepas kita dapat kuota 10 orang pelajar tetapi tahun ini, kita dapat penambahan kuota pelajar hingga ke 20 orang."
"InsyaAllah, kita akan manfaatkan kesempatan yang diberikan oleh pihak mereka untuk mencari ilmu lebih tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pelepasan Pelajar ke Algeria Tahun 2023 di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), semalam.
Turut hadir, Pengarah Yayasan Terengganu, Dato’ Mohd Azmi Mohamad Daham dan Pengarah Jabatan Pendidikan Islam Negeri Terengganu (JPINT) Lothman Awang.
Mengulas lanjut katanya, para pelajar juga menerima wang saku daripada Yayasan Terengganu sebanyak RM10,000 seorang setiap tahun.
"Sebelum ini, pelajar perlu menanggung sendiri kos untuk belajar di luar negara, alhamdulillah, selepas kita ambil alih, kita telah keluarkan peruntukkan biasiswa dan pinjaman boleh ubah untuk memastikan pelajar kita dapat melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi." jelasnya.
Terdahulu, 10 orang pelajar telah melanjutkan pengajian di sini iaitu lima orang di Universiti Emir Abdel Qader dan bakinya di Universiti Algiers.
20 Oct 23
350
Jangan Terkena 'Kejutan Budaya' Di Universiti
DUNGUN, 15 Oktober - Pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institut pengajian di dalam dan luar negara diingatkan tidak terkena ' kejutan budaya' (culture shock).
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, 'kejutan budaya' antara cabaran terbesar para pelajar apabila berjauhan dengan ibu bapa.
"Jangan terjerumus dengan dunia luar sana. Cabaran dan halangan dunia hari ini sangat besar bila berjauhan dari ibu bapa," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Penyerahan Bantuan Persediaan Awal Ke Institut Pengajian Tinggi kepada 62 orang penerima untuk peringkat DUN Paka.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka berkata, dengan sokongan keluarga dan niat yang betul oleh para pelajar itu sendiri boleh menghalang mereka terjebak dengan budaya yang tidak elok ketika menuntut di universiti.
"Pelajar perlu memperbetulkan niat mereka dalam menuntut ilmu kerana Allah, walaupun mereka mengambil bidang selain agama.
"Sebagai ibu bapa, sokongan daripada kedua orang tua sangatlah penting buat anak-anak yang berjiwa muda ini.
"Sentiasalah bertanya khabar mereka apabila berjauhan terutama dalam bab solatnya, kawan - kawannya dan tentang pelajarannya," katanya lagi.
Selain itu beliau mendoakan kejayaan di dunia dan akhirat untuk para pelajar serta dijauhkan dari perkara yang tidak diingini dan diberikan kekuatan untuk mengatasi segala rintangan yang mungkin mereka hadapi dalam perjalanan menuntut ilmu.
15 Oct 23
588