lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Ibu Tunggal Terharu Dapat Pembelaan
Ibu Tunggal Terharu Dapat Pembelaan
MARANG, 29 November - Seorang ibu tunggal di Kampung Kubu, Azizah Samirah Setapa yang tinggal dalam keadaan ketakutan terharu apabila mendapat pembelaan sewajarnya daripada wakil rakyat. Azizah berkata, rumahnya ditimpa pokok getah menyebabkan dia keluarga bimbang dengan keselamatan diri. Namun dia bersyukur kerana tindakan pantas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong menyebabkan mereka berasa lega. "Insiden tragis ini berlaku di kawasan tersebut, mengakibatkan kerosakan terhadap atap rumah saya. "Saya yang tinggal bersama beberapa anaknya yang lain, masih terkejut dengan kejadian yang menyebabkan keresahan dan kebimbangan dalam keluarganya," katanya ketika ditemui pemberita baru-baru ini. Menurut Azizah, kerosakan atap rumahnya tidak hanya menyebabkan mereka terdedah kepada cuaca, tetapi juga menimbulkan ketakutan dan kegelisahan dalam diri Azizah dan anak-anaknya. Namun, jelasnya, Sulaiman Sulong telah memberi perhatian segera terhadap kejadian ini. Ujar Sulaiman, pihaknya terus mengambil mengambil tindakan segera untuk memastikan bantuan diberikan dengan secepat yang mungkin kepada Azizah dan keluarganya yang terkesan. "Diharap bantuan ini memberikan sedikit kelegaan kepada Azizah dan keluarganya yang sedang berhadapan dengan cabaran ini," katanya.  
29 Nov 23
143
Terengganu Garis Usaha Atasi Masalah Penceraian
Terengganu Garis Usaha Atasi Masalah Penceraian
KUALA TERENGGANU, 28 November- Fokus ketiga Belanjawan Terengganu 2024 iaitu 'Mensejahterakan Kehidupan Rakyat' perlu dilihat secara serius dalam memastikan negeri itu mampu melahirkan generasi masa hadapan berkualiti. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ahmad Shah Muhamed berkata, elemen yang diterapkan seharusnya berupaya memberi nilai tambah kepada institusi kekeluargaan terutama membabitkan kes-kes penceraian di kalangan pasangan Muslim. "Dukacita, realiti menunjukkan kadar penceraian di negara ini meningkat dengan begitu ketara. Daripada 43,936 kes pada tahun 2021 kepada 62,890 kes pada tahun lalu dengan mencatatkan peningkatan 43.1 peratus. "Ia merupakan kadar tertinggi direkodkan sejak 2016 di mana perceraian pasangan Muslim meningkat 45.8 peratus iaitu 46,138 kes (2022) berbanding 31,650 pada tahun 2021. "Di Terengganu  pula, direkodkan sebanyak 6,565 kes membabitkan pasangan Muslim pada tahun 2020 sehingga Oktober 2021," katanya ketika membahaskanBelanjawan Terengganu 2024 pada Mesyuarat Kedua Penggal Pertama Dewan Undangan Negeri (DUN) ke-15 (Bajet) di Wisma Darul Iman, di sini, hari ini. Jelasnya, ia merupakan angka yang besar dan wajar diberi perhatian. "Justeru, saya memandang serius kepada semua strategi yang terangkum dalam sebagai fokus ketiga untuk melahirkan generasi hadapan yang lebih berkualiti dan menambahkan keselesaan taraf hidup," katanya. Melalui fokus ini, Belanjawan Terengganu 2024 menggariskan beberapa pelaksanaan tertumpu kepada tema 'Pemantapan Institusi Keluarga'. Antara pelaksanaan yang diutamakan adalah program-program pasca perkahwinan serta perkhidmatan psikososial dan kesihatan mental pasangan.  
28 Nov 23
176
PSMZA Bantu Komuniti Setempat
PSMZA Bantu Komuniti Setempat
DUNGUN, 27 November - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) meneruskan usaha membantu komuniti setempat dengan mengadakan khidmat bakti di samping mempromosi pusat pengajian itu.  Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA, berkata, tujuannya adalah untuk berkongsi kemahiran dan pengetahuan pelajar dan kakitangan kepada komuniti setempat.  "Program ini merangkumi empat projek iaitu mengecat masjid, pendawaian elektrik di balaivraya, servis motosikal (tukar minyak hitam) dan gotong royong di masjid dan Balairaya", jelasnya.  Program yang berlangsung sabtu lalu adalah anjuran Jabatan Hal Ehwal Pelajar PSMZA dengan kerjasama Yayasan Tenaga Nasional, Pejabat Perpaduan Daerah Dungun  di tiga Kawasan Rukun Tetangga(KRT) di Padang Pulut iaitu Kampung Burung Baru,  Bukit Merah dan Kampung Betong.  "Program itu turut dimeriahkan dengan penyertaan penduduk di tiga KRT dengan aktiviti pertandingan dam aji, pembukaan booth pemeriksaan mata percuma, pertandingan mewarna dan aktiviti memasak bersama-sama," ujarnya. Menurutnya, program tersebut telah disertai oleh 20 orang pelajar di bawah tajaan Dermasiswa My Brighter Future (MyBF), YTN dan 20 pelajar sukarelawan PSMZA serta 20 orang kakitangan akademik PSMZA. "Secara keseluruhannya, program khidmat bakti ini berlangsung dengan jayanya. Dengan adanya program seperti ini, pelajar dan staf PSMZA dapat menimba dan berkongsi ilmu dalam aktiviti luar yang berbentuk kemasyarakatan.  "Diharap dengan program ini, sedikit sebanyak nilai-nilai murni dapat digarap dalam diri pelajar dan  staf juga" katanya lagi.
27 Nov 23
192
ADUN Sura Teruskan Legasi Bantu Anak Yatim
ADUN Sura Teruskan Legasi Bantu Anak Yatim
DUNGUN, 26 November- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin meneruskan legasi meringankan beban golongan yang memerlukan dengan mengagihkan bantuan asas keperluan harian dengan membantu 555 orang Mustad'afin dan 314 orang anak yatim di DUN tersebut. Sebelum ini, program kebajikan tersebut telah dilaksanakan setiap bulan oleh mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik. Katanya, Kerajaan Negeri Terengganu sedang menghadapi sedikit kesukaran dari sudut kewangan. "Di peringkat Kerajaan Negeri Terengganu, kita sedang menghadapi kekangan dari sudut kewangan, namun, kami di peringkat Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura, dengan harapan serta keyakinan yang tinggi, kami akan terus berusaha memastikan ianya dapat dilaksana dan diteruskan di masa yang akan datang," katanya ketika berucap dalam majlis tersebut.  Katanya, bantuan ini mungkin nampak kecil pandangan sesetengah pihak, tetapi ianya cukup besar bagi mereka yang memerlukan memandangkan kos sara hidup yang kian meningkat saban hari. "Mudah-mudahan ianya dapat meringankan sedikit beban ketua keluarga untuk meneruskan kehidupan," ujarnya. Beliau turut merakamkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Persatuan Anak-Anak Yatim DUN Sura(PAYUNG) diatas kesudian menjalinkan kerjasama melaksanakan program kebajikan tersebut. "Tahniah kepada NGO PAYUNG kerana dalam tempoh hanya 4 tahun ianya ditubuhkan, berjaya mengumpulkan anak-anak yatim dari setiap kampung di dalam kawasan DUN Sura untuk dibantu." Sementara itu, Pengerusi Persatuan Anak-Anak Yatim Dun Sura (PAYUNG), Zakariah Yusoff, mengalu-alukan kepada mana-mana dermawan yang ingin turut sama menyumbang kepada anak-anak yatim ini. "Di peringkat DUN Sura, kami mendapat sokongan penuh daripada ADUN Sura dalam melaksanakan kebajikan anak-anak yatim ini, namun kami juga mengalu-alukan sekiranya ada mana-mana pihak yang ingin menyumbang kepada anak-anak yatim ini," ujarnya.    
26 Nov 23
374
Giliran 160 Rakyat DUN Rantau Abang Terima Geran RTB
Giliran 160 Rakyat DUN Rantau Abang Terima Geran RTB
Oleh : Wan Al Affan Bassam Wan Manam DUNGUN, 24 November - Kini tiba giliran 160 rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang menerima dokumen hak milik geran kekal setelah masing-masing menjelasakn bayaran Borang 5A. ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, mengikut jumlah sebenar masih ada sebahagian lagi masih belum menyelesaikan bayaran bagi mendapatkan geran berkenaan disebabkan faktor ekonomi semasa. "Saya meminta kepada penerima Borang 5A ini untuk menyelesaikan bayaran dengan sedaya upaya, berusaha untuk menjelaskan bayaran ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Doukumen,  RTB bagi tapak kediaman dan pertanian, di Dewan Utama Majlis Perbandaran Dungun, di sini, kelmarin. Turut hadir, ADUN Mantan Rantau Abang, Alias ​​Harun, Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shapawi Abd Rani dan Ketua Penolong Pentadbiran Tanah, Nasran Abd Halim. Mengulas lebih lanjut, Fadhli berkata seramai 160 penerima itu melibatkan 95 orang RTB ByPass Batu Tiong, 38 pula merupakan penerima geran RTB Pertanian Belakang Sekolah Menengah Kebangsan (SMK) Padang Pulut, penerima RTB Kampung Wa Sejahtera pula seramai 18 orang. Selebihnya tujuh orang menerima geran RTB Batu Putih dan dua orang merupakan penerima geran hakmilik RTB Pengkalan Jering. Dalam pada itu, Fadhli berkata pihaknya akan memastikan penerima RTB Tapak Kediaman akan cuba berusaha sedaya upaya bagi memenuhi hasrat memiliki rumah idaman masing-masing. "Insya-Allah akan berusaha untuk memohon peruntukan bagi keperluan infra bagi memenuhi hasrat peneima geran untuk membina rumah kediaman,''ujarnya.
24 Nov 23
335
Tragedi Tanah Runtuh Dapat Perhatian Wakil Rakyat
Tragedi Tanah Runtuh Dapat Perhatian Wakil Rakyat
MARANG, 22 November - Kejadian tanah runtuh berhampiran rumah Abang Mat Jahit di Kampung Gondang mendapat perhatian ADUN Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Sulaiman berkata, pihaknya telah mengambil tindakan segera untuk menangani masalah tersebut. "Bagi memastikan keselamatan mangsa dan keluarga terjamin, saya telah menghubungi agensi berkaitan untuk mendapatkan bantuan dan sokongan teknikal bagi menilai dan menangani isu tanah runtuh ini. "Keselamatan Abang Mat adalah keutamaan kami. Kami akan mengambil langkah-langkah segera untuk memastikan keselamatan mereka sekeluarga," kata Sulaiman ketika melawat keluarga terbabit hari ini. Dalam pada itu, Mat Jahit menzahirkan rasa lega dan berterima kasih kerana Sulaiman memberikan perhatian serta tindakan segera terhadap masalah yang dihadapinya. "Saya sangat bersyukur kerana Ustaz Sulaiman mengambil tindakan segera. Ini memberi kami keyakinan bahawa masalah ini akan ditangani dengan berkesan," ujarnya. Sulaiman memberi komitmen untuk terus memantau perkembangan dan memberikan bantuan yang diperlukan bagi menangani isu tanah runtuh ini. Beliau juga mengingatkan penduduk setempat untuk sentiasa berwaspada dan bersedia menghadapi situasi yang mungkin timbul selagi proses penilaian dan penanganan sedang berjalan.  
23 Nov 23
121
Warga Emas Lega 'Banjir Tak Jadi'
Warga Emas Lega 'Banjir Tak Jadi'
BESUT, 22 November - Sepasang warga emas dari Kampung Tok Saboh, Kuala Besut, menarik nafas lega apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, mengambil tindakan pantas bagi mengelakkan kawasan rumah mereka terjejas banjir akibat hujan lebat yang berterusan.   Fatimah Muhammad, 78, menzahirkan rasa terharu dan mengucapkan terima kasih yang tidak terhingga kepada Azbi. "Syukur keadaan kembali seperti biasa, terima kasih kepada semua yang membantu. "Beberapa hari hujan turun tanpa henti hujan, saya tidak dapat makan dan tidur dengan tenang kerana risau banjir akan melanda," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman. Sementara itu, menurut Azbi, kawasan Kampung Tok Saboh mengalami kenaikan air disebabkan oleh sistem perparitan yang tidak sempurna. "Oleh sebab itu saya menyewa jentolak untuk menggali parit dan membuka saluran air baru. "Hasilnya, air surut dalam masa satu jam selepas tindakan tersebut diambil dan kini kawasan perumahan tersebut dilindungi daripada bahaya banjir. "Alhamdulillah, air tidak akan memasuki rumah-rumah di sini. Saya akan terus berusaha untuk membantu dan mengurangkan risiko banjir di kawasan ini," kata Azbi Salleh. Beliau juga memberi nasihat kepada semua warga Kuala Besut, khususnya yang mungkin terjejas banjir, agar bersedia untuk berpindah jika menerima arahan dari pihak berkuasa. "Pentingnya kerjasama untuk berpindah lebih awal demi mengelakkan kemungkinan kemalangan yang tidak diingini," katanya.    
22 Nov 23
289
Banjir : Ular Sawa Jadi Tetamu Tidak Diundang
Banjir : Ular Sawa Jadi Tetamu Tidak Diundang
SETIU, 21 November - Dalam keadaan musim hujan dan berhadapan banjir  seekor ular sawa menjadi tetamu tidka diundang dianggar mencapai berat 100 kilogram (kg) yang telah menelan tiga ekor kambing dimiliki seorang penternak di daerah ini. Haiwan reptilia itu telah berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Setiu di Kampung Kubang Puyu, Chalok di sini, hari ini. Pegawai Pertahanan Awam Daerah Setiu, Kapten (PA) Mohd. Nizu Husien berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kehadiran ular sawa sepanjang kira-kira 6 meter (m) di kandang kambing jam 9.15 pagi. Susulan kejadian itu beliau menghantar seramai empat anggota ke lokasi dan berjaya menangkap haiwan tersebut. "Ular sawa ini dibawa balik ke pejabat APM Setiu dan akan diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) untuk tindakan selanjutnya," ujarnya ketika dtemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI). Dalam pada itu, Mohd. Nizu turut menasihatkan orang ramai supaya berhati-hati dengan kehadiran tetamu tidak diundang berkenaan dan meminta agar orang ramai tidak bertindak sendiri menangkap haiwan berkenaan bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini berlaku. Sementara itu penternak, Shukri Ab. Rashid, 49,berkata kehadiran ular sawa itu disedari ketika pergi ke kandang haiwan ternakannya, kira-kira jam 8 pagi tadi.  
21 Nov 23
1440
Air Mata Gugur Saat Terima Hak Milik Tanah
Air Mata Gugur Saat Terima Hak Milik Tanah
SETIU, 10 November - Linangan air mata membasahi pipi penerima dokumen hak milik tanah, Rohaya Mat Salleh, 41, selepas cita-citanya untuk memiliki tanah tercapai. Ibu tunggal dari Kampung Bintang Bandar Permaisuri itu berkata, dia sudah lama berusaha untuk memiliki tanah tetapi baru sekarang memperolehnya daripada kerajaan negeri. "Saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Terengganu kerana mengurniakan tanah yang selama ini saya inginkan," jelasnya kepada media. Dia berkata demikian selepas majlis penyerahan Dokumen Hak Milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) bagi tapak rumah dan pertanian di Dewan Serbaguna MDS Sungai Tarong di sini semalam. Rohaya menangis dalam kegembiraan apabila hasrat memiliki tanah tercapai di bawah pemerintahan Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Turut menyokong kenyataan Rohaya adalah, Safie Hussin, 43, buruh binaan dari Kampung Alor Serdang dan Muhammad Ridhwan Othman, 29, mekanik dari Kampung Alor Pasir Bintang masing-masing dari Bandar Permaisuri. Menurut Rohaya, dia berjanji akan berusaha membina rumah di atas tanah tersebut bagi menyahut seruan kerajaan agar tidak menjadikan tanah itu sebagai tanah terbiar Terdahulu, seramai 418 penduduk di daerah ini menerima dokumen hak milik RTB bagi tapak rumah dan pertanian. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata daripada jumlah itu seramai 271 penerima dari kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Permaisuri dan DUN Langkap (147). "Jumlah penerima tersebut antara yang terbesar diagih dalam satu kawasan (di Daerah Setiu)," katanya. Menurut beliau, banyak lagi urusan pemberian tanah belum selesai diagihkan kepada rakyat Terengganu. "Urusa tersebut akan diselesaikan berperingkat dan berterusan dari semasa ke semasa. "Kerajaan Terengganu yang memikul amanah akan menguruskan perkara ini dengan seadilnya dan harapan kerajaan kepada rakyat supaya tanah ini dimakmur dan dimajukan setelah mendapat geran hak milik, sesuai dengan syarat tanah yang diberikan," ujarnya. Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi berkata, jika syarat tanah untuk pertanian, rakyat diharapkan supaya memajukan tanah itu untuk mendokong visi dan hala tuju kerajaan negeri menjadikan Terengganu sebagai sebuah negeri pengeluar makanan. "JIka syarat tanah untuk tapak rumah, bangunkanlah rumah di atas tanah berkenaan dengan kadar sederhana supaya tanah itu tidak dikategorikan sebagai tanah terbiar," ujarnya lagi.
10 Nov 23
564
59 Peserta RTB Ketengah Jaya Terima Khabar Gembira
59 Peserta RTB Ketengah Jaya Terima Khabar Gembira
DUNGUN, 5 November 2023 - Seramai 59 penerima terakhir bagi program Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) terkilan bagi kawasan Ketengah Jaya di sini menerima khabar gembira apabila terpilih untuk membuat undian lot tanah. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, ini merupakan bukti bahawa komitmen kepada manifesto yang telah dijanjikan sebelum ini masih terus dijalankan kerajaan negeri walaupun telah memasuki penggal kedua pemerintahan Terengganu. "Hari ini majlis pengundian lot yang diadakan menjadi satu khabar gembira yang dinantikan oleh bakal penerima geran tanah yang ditempatkan di RTB Terkilan Blok V Ketengah Jaya. "Ia menunjukkan komitmen kita menyelesaikan baki manifesto yang lalu masih lagi berjalan di penggal kedua ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Undian Lot RTB Terkilan Blok V Ketengah Jaya di Dewan Orang Ramai Ketengah Jaya. Katanya, bagi permohonan baru, pihak kerajaan tidak membuka lagi permohonan baru buat masa sekarang. "Kita sedang selesaikan dahulu bagi mereka yang telah memohon pada penggal pertama lalu dan peserta tanah terkilan yang berbaki," ujarnya. Katanya, kerajaan negeri berusaha untuk menyelesaikan proses penyerahan lot tanah kepada penerima-penerima RTB terkilan dengan secepat mungkin. "Selepas selesai semua peserta lama, barulah kita akan mencari kawasan-kawasan yang sesuai untuk dijadikan RTB yang baru dan membuka permohonan baru bagi generasi seterusnya," ujarnya. Sementara itu, rata-rata penerima RTB terkilan yang telah hadir dalam majlis pengundian terbabit meluahkan rasa syukur dan terharu kerana peluang untuk memiliki tanah telah diberikan kepada mereka. Mereka juga berterima kasih kepada pihak kerajaan Terengganu kerana memenuhi janji manifesto yang telah diumumkan.  
05 Nov 23
285