Artikel "Komuniti" Terkini
Banjir : Amzad Sumbang 200 Pek Barang Dapur
KUALA TERENGGANU, 13 Disember - Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Amzad Hashim menyalurkan bantuan barangan dapur kepada lebih 200 keluarga dalam DUN Batu Buruk, hari ini.
Beliau berkata, sumbangan itu membabitkan rakyat yang terkesan secara langsung mahupun tidak langsung dalam bencana banjir baru-baru ini.
"Pengagihan sumbangan ini sudah menjadi rutin kami di Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu.
"Lagi-lagi bila tiba musim tengkujuh ini, maka saya telah mengarahkan semua staf pejabat untuk agresif berkenaan hal ehwal kebajikan rakyat," tambahnya ketika mengagihkan bantuan di pejabat ADUN Batu Burok
Amzad berkata, pengagihan sumbangan ini sebagai tanda bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berkongsi rezeki dengan rakyat dalam parlimen Kuala Terengganu.
"Semua maklum, peruntukan kepada ahli parlimen pembangkang tiada, namun saya tetap perlu bertanggungjawab terhadap kebajikan rakyat saya walaupun perlu keluar duit sendiri.
"Kita juga melaksanakan projek bantuan khas kepada dua buah keluarga setiap DUN dalam parlimen Kuala Terengganu yang amat-amat memerlukan. Kita beri barang dapur beserta wang tunai", katanya
Seorang penerima bantuan, Muhammad Iqhwan Solehim Abdullah, 25 tahun berasa sangat terharu apabila Ahli Parlimen beliau sendiri yang datang menyampaikan sumbangan.
"Terima kasih banyak kepada YB Datuk atas sumbangan yang diberikan," katanya.
Pesakit buah pinggang sejak tahun 2014 itu tinggal bersama isteri dan dua orang anaknya masing-masing berusia lima dan satu tahun.
Dia yang bekerja sebagai Pengawal Keselamatan (sementara) memaklumkan bahawa kesan daripada penyakit berkenaan menyebabkan bengkak seluruh badan, cepat penat dan lesu.
Selain bantuan yang diberikan, Pusat Khidmat Masyakat dengan kerjasama Pejabat DUN akan usaha bantu berhubung dengan agensi-agensi yang berkenaan seperti Pusat Zakat, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Maidam untuk membantu meringankan beban rakyat.
12 Dec 23
122
180 Sukarelawan Siap Siaga Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 9 December- Seramai 180 sukarelawan badan bukan kerajaan (NGO) KHIDMAT Malaysia Dungun bersiap siaga untuk membantu kerja-kerja pasca banjir.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, membantu mangsa banjir semasa pasca banjir adalah menjadi tumpuan pihaknya kerana adanya keperluan membersih rumah, sekolah dan masjid.
"Kemungkinan banjir kali ini sehingga bulan Mac, jadi keikhlasan itu perlu, yang paling penting kita dengar arahan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Himpunan Sukarelawan Banjir Kawasan Dungun, yang berlangsung di Dewan Al-Husna Darul Ansor, Alor Mak Bah, baru-baru ini.
Dalam majlis tersebut, turut diadakan majlis penyerahan enjin bot kepada komander Jabatan Amal Kawasan Dungun, Tarmizi Hilmi Mohamad Zuber.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman, ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi dan Pengerusi KHIDMAT Malaysia Dungun, Khairul Ismail.
Beliau turut mengingatkan para sukarelawan supaya tidak mendengar komen-komen yang negatif.
“Jadi kalau kita boleh buat sendiri, kita buat, kalau banyak sangat kita serah ke orang lain buat,” katanya lmage widget
09 Dec 23
185
PSMZA Bangunkan Kereta Elektrik
DUNGUN, 7 Disember - Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) telah berjaya membangunkan Mini E-Car yang direkacipta oleh pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif), Jabatan Kejuruteraan Mekanikal di bawah seliaan Ts. Muhd Hasanul Isyraf Mat Junoh.
Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata, sekumpulan empat orang pelajar iaitu Ahmad Khairun Syazwan Mat Khari, Muhammad Akmal Danial Nasrudin, Muhammad Fakhrul Hadi Hamidi dan Muhammad Farieddin Anuar telah mengambil masa satu tahun untuk menjalankan kajian dan membangunkan projek tersebut.
"Mini E-Car merupakan kenderaan elektrik berkonsepkan 'green mobility' yang mesra alam dengan mengaplikasi teknologi hijau yang tidak menggunakan petrol dan sekaligus akan mengurangkan pencemaran alam sekitar," terangnya dalam satu kenyataan Media yang dihantar hari ini.
Mini E-Car antara 40 buah projek yang dipertandingkan dalam Student’s Project Competition Innovation and Invention Design (SPEED) Sesi 1 2023/2024 yang berlangsung di Dewan Dagang PSMZA pada 6 Disember.
Dalam pertandingan tersebut Mini E-Car telah menggondol Anugerah (Industrial Revolution(IR 4.0).
Katanya lagi, kereta elektrik seumpama Mini E-Car yang boleh mencapai kelajuan 30 km sejam itu amat sesuai untuk dipandu di kawasan taman perumahan, kenderaan dalam bandar, di ladang pertanian mahupun sebagai kenderaan pelancong di tempat-tempat pelancongan contohnya di sekitar Bandaraya Kuala Terengganu.
Sementara, Penyelia Projek, Ts. Muhd Hasanul yang juga Pengurus Automotive Technology Centre (ATec) menjelaskan Mini E-Car itu merupakan kereta konsep atau prototaip kepada pembangunan kereta elektrik yang sebenar nanti.
"Banyak lagi Research and Development (R&D) yang perlu dijalankan dan mengharapkan ada pihak yang sudi menyalurkan geran penyelidikan bagi menghasilkan kereta elektrik yang lengkap.
"Mini E-Car ini merupakan satu titik tolak penghasilan kenderaan elektrik buatan Malaysia khususnya di negeri Terengganu, hasil kepakaran pelajar dan pensyarah Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional(TVET) Politeknik untuk kegunaan orang awam pada masa akan datang," ujarnya.
Tambahnya lagi, di Andvance Technology Education Centre(ATeC) mereka menggalakan pelajar dan pensyarah untuk menjalankan penyelidikan dan inovasi dalam bidang automotif sejajar dengan perkembangan teknologi semasa.
"Kami berhasrat untuk menjadi ATeC sebagai Pusat Kejuruteraan Automotif Elektrik dan Hibrid yang bertauliah di zon pantai timur menjelang 2025," katanya.
08 Dec 23
722
Adam Syukur Terima Rumah PPRT
DUNGUN, 9 Disember – Seorang pemuda menzahirkan perasan bersyukur apabila terpilih sebagai salah seorang penerima rumah bagi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura.
Adam Nur Hafiz, 40, yang bekerja sebagai nelayan dan menyara lima orang anak yang masih bersekolah merasa sangat bersyukur dan berterima kasih kepada semua pihak yang terlibat memenuhi hasratnya mendapatkan sebuah rumah.
“Tidak dapat saya ungkap dengan kata-kata. Saya sangat bersyukur dan berterima kasih khususnya kepada Pusat Khidmat Masyarakat DUN Sura, Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dan semua yang terlibat memenuhi hasrat keluarga kecil saya memiliki kediaman sendiri,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis serahan kunci rumah tersebut, baru-baru ini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, bantuan tersebut bukan sahaja memberikan tempat tinggal kepada mereka yang kurang berkemampuan malah ianya dapat membantu mengatasi masalah untuk menyewa rumah kerana pendapatan isi keluarga yang kecil.
“Saat ini, kita dapat melihat satu kegembiraan diwajah mereka sebaik sahaja diserahkan kunci rumah tersebut kerana ada yang terpaksa menumpang di rumah ahli keluarga yang lain atas sebab ketidakmapuan untuk menyewa rumah memandangkan pendapatan mereka cukup untuk menyara hidup keluarga sahaja, " ujarnya.
Beliau berkata demikian sewaktu menyerahkan kunci rumah PPRT kepada salah seorang penerima di Kampung Sura Tengah, disini.
07 Dec 23
357
Empat Keluarga Terima Rumah PPRT
DUNGUN, 9 Disember – Empat buah keluarga di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura masing-masing telah menerima sebuah rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin menzahirkan rasa syukur atas keberhasilan projek ini apabila berjaya memenuhi hasrat penduduk yang kurang berkemampuan memiliki sebuah rumah untuk berteduh.
“Syukur kali ini di peringkat DUN Sura, kita berjaya menyiapkan empat buah rumah PPRT iaitu di Kampung Kubang Miang, Kampung Nibong, Kampung Sura Tengah dan di Kampung Sura Lapangan Terbang, " ujarnya.
katanya, projek PPRT ini merupakan peruntukkan daripada Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang disalurkan kepada Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu.
“Dengan peruntukkan PPTS ini, kita bukan sahaja dapat membina rumah tetapi ia turut digunakan untuk membaiki rumah penduduk di Kawasan DUN Sura ini, " ujarnya.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, memandangkan projek ini dimohon dan diluluskan sewaktu beliau masih lagi bergelar ADUN Sura.
“Projek ini merupakan usaha mantan ADUN Sura mendapatkan sebuah rumah kepada penduduk yang berkelayakan dan saya ingin mengucapkan jutaan terima kasih atas tinggalan jasa beliau kepada penduduk di DUN Sura ini.
Turut hadir, mantan ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik sewaktu sesi penyerahan kunci rumah tersebut baru-baru ini.
07 Dec 23
835
Jelajah Tunas Gamelan Cungkil Bakat Pelajar
DUNGUN, 7 Disember- Jabatan Pelancongan Negeri Terengganu (JPNT) meneruskan program Jelajah Tunas Gamelan SUKTRA ke Dungun dengan penglibatan 100 pelajar daripada sembilan buah sekolah rendah dan menengah terpilih di daerah itu.
Penganjuran program itu yang merupakan komponen program Senandung Terengganu berjaya menarik minat pelajar Sekolah Kebangsaan (SK) Gong Pasir, SK Kampung Baru, SK Bandar Dungun, SK Tebing Tembah, SK Pulau Serai, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pulau Serai, SMK Dato' Engku Bijaya Sura, SMK Paka dan SMK Ketengah Jaya.
Pengarah JPNT, Ahmad Ridzwan Abd Rahman berkata, pelbagai pengisian menarik dilaksanakan sepanjang program berlangsung.
“Antaranya, pengenalan Gamelan Melayu oleh Adiguru Syahrul Azmi Hassan, demontrasi gerak tari, muzik gamelan dan tarian gamelan oleh mereka yang berpengalaman,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, jelajah yang berkonsepkan penyebaran ilmu dalam bidang gamelan Melayu tradisional itu pastinya mampu mencungkil bakat pelajar di mana sebelum ini ada di antara mereka tidak mengenali langsung apa itu seni gamelan.
“Selain mencapai matlamat pengenalan program-program kebudayaan dan kesenian negeri di bawah penjenamaan Senandung Terengganu sebagai usaha mempromosikan pelancongan di bawah kluster seni budaya warisan negeri.
“Melalui program sebegini, pelajar akan didedahkan dengan asas seni muzik dan tarian gamelan Melayu termasuk dengan latar belakang sejarah, tokoh, peralatan, instrumentasi, skala & nada, perbezaan antara gamelan Melayu dengan Gamelan Sunda/Bali/Jawa dan lain-lain.
“Turut diperkenalkan lagu-lagu Gamelan Melayu merangkumi aspek keseluruhan lagu & klasifikasi lagu, lagu-lagu yang dinyanyikan (4 lagu), lagu-lagu yang mengiringi tarian (13 lagu), peranan setiap peralatan muzik dan sesi pendengaran secara ringkas,” katanya.
Tambah beliau, setiap peserta turut didedahkan kepada notasi muzik gamelan melayu, memperkenalkan French Cheve System, symbol & tanda-tanda yang digunapakai dalam notasi/skor, buka lagu (intro) & tempo, tenik asas & lanjutan bagi memainkan setiap alatan muzik, teknik / kaedah Melodi cincang dan Turun Gambang.
“Pihak kami tahu apa yang diusaha itu bukan mudah, tetapi sekurang-kurangnya dapat memperkenalkan apa itu seni gamelan kepada orang ramai terutama pelajar dan golongan belia.
“Melalui jelajah ini, diharapkan seni gamelan Terengganu dapat diwarisi dan tidak pupus ditelan zaman,” katanya.
07 Dec 23
246
Jalan Tidak Rata Perlu Pembaikan Segera
MARANG, 5 Disember - Kerosakan jalan di Kampung Sungai Serai di sini, yang mengganggu dan menjejaskan keselamatan pengguna memerlukan pembaikan segera.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, beliau bimbang keadaan jalan dan pembentung yang tertimbus boleh menjejaskan aktiviti harian penduduk.
"Struktur jalan sekarang ini memang membahayakan orang ramai. Tindakan segera perlu diambil untuk memastikan keselamatan dan kesejahteraan para pengguna dan warga setempat," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan perbincangan dengan pegawai JKR di lokasi tersebut hari ini untuk mencari penyelesaian segera hari ini.
Sementara, Pengerusi JPKK Sungai Serai, Othman Said mengharapkan agar tindakan pembaikan dapat dilaksanakan secepat mungkin.
"Keadaan jalan yang senget dan terjejas memerlukan perhatian serius untuk mengelak kemalangan yang tidak diingini," jelasnya.
Mengulas mengenai jalan itu, Jurutera Awam JKR Marang, TS. Muhammad Nazrin Ruslan, memaklumkan bahawa surat berkait isu itu telah disampaikan kepada pihak swasta kira-kira sebulan yang lalu.
Saat ini katanya, pihak JKR sedang menanti tindakan lanjut dari pihak berkenaan.
"Pihak berkuasa setempat menjamin bahawa mereka akan memantau perkembangan dan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk menyelesaikan isu tersebut demi kebaikan bersama.
"Lokasi jalan yang merbahaya itu diberi perhatian ekstra yang rosak kerana faktor cuaca dan penambunan tanah oleh pihak swasta yang berhampiran," katanya.
TS. Muhammad Nazrin Ruslan Juruter Awam Jalan JKR Marang
05 Dec 23
276
Tindakan Pantas Amzad Selesai Rungutan Penduduk
KUALA TERENGGANU, 3 Disamber - Tindakan pantas Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berjaya menyelesaikan rungutun penduduk di Jalan Merpati 2, Durian Burong di sini.
Menurut Ahmad Amzad, hujan yang tidak berhenti telah menyebabkan jalan di kawasan itu rosak dan menyulitkan penduduk yang menggunakan jalan terbabit.
"Jalan becak sejauh 100 meter telah menyebabkan tiga buah kenderaan tersangkut dan terpaksa ditolak oleh penduduk sekitar.
"Pada awalnya saya telah memaklumkan keepada pihak MBKT, namun saya diberitahu bantuan sudah habis.
"Jadi saya mengambil keputusan untuk mengeluarkan modal sendiri bagi menyelesaikan masalah tersebut," katanya kepada media.
Jelas Ahmad Amzad, sebanyak tiga buah lori berisi batu kerikil dan sebuah jentera jentolak telah melakukan kerja-kerja penurapan jalan becak tersebut.
Pengerusi JPKK Kg. Durian Burung, Wan Kamaruddin Wan Ngah ketika ditemui menzahirkan rasa terima kasih di atas kecaknaan Ahli Parlimen tersebut.
"YB Kuala Terengganu memang seorang yang sangat mudah apabila berurusan dengannya, tidak berkira-kira dengan sesiapa pun," katanya.
03 Dec 23
277
Paip Air Lama di Setiu Perlu Ditukar
KUALA TERENGGANU, 30 November - Paip air sedia ada yang lama di daerah Setiu perlu ditukar bagi mengelakkan kebocoran berulang dan menyebabkan kerugian air.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, isu itu adalah isu lama yang berlarutan di kebanyakan tempat di kawasan Setiu.
"Saya mencadangkan satu projek penggantian paip-paip ini dapat dibuat dengan kadar segera dalam mempastikan isu kebocoran paip utama ini dapat diselesaikan.
"Apatah lagi permintaan sumber air bersih kini meningkat dengan pertambahan penempatan baharu di pelbagai kawasan di Setiu," katanya ketika Sesi Perbahasan Ke Atas Enakmen Perbekalan 2024 di Dewan, di sini semalam.
Jelas Azmi, kerajaan juga perlu meneliti masalah kebocoran paip air yang serius terhadap bekalan air bersih ke Pulau Redang.
"Dianggarkan berlaku kebocoran sebanyak 3 juta liter sehari di dasar laut," tambahnya.
Dalam masa yang sama, Azmi berkata Setiu memerlukan jajaran paip air baharu bagi menjamin isu kebocoran paip tidak berulang dalam jangka masa yang panjang.
30 Nov 23
400
Jalan Kampung Bukit Aman Perlu Dinaiktaraf
KUALA TERENGGANU, 29 November - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof mencadangkan kerajaan negeri menaik taraf laluan jalan Kampung Bukit Aman, Setiu.
Azmi berkata, jalan hampir sejauh 15 kilometer (km) ini adalah laluan utama menghubungkan kawasan sekitar sejak sekian lama.
"Kapasiti penggunaan jalan ini semakin meningkat, tidak lagi mampu ditanggung dengan keadaan jalan yang sempit dan banyak laluan selekoh tajam.
"Ia semestinya membahayakan kepada pengguna jalan raya dan menyukarkan kenderaan berat seperti lori dan bas untuk lalu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahas menyokong Belanjawan 2024 pada persidangan Dewan Undangan Undangan (DUN) Terengganu, di sini hari ini.
Jelas Azmi, operasi naik taraf laluan ini secara tidak langsung akan memberikan keselesaan dan manfaat kepada masyarakat sekitar Kampung Bukit, Sungai Las, Alor Lek, Bukit Munduk dan Bukit Aman.
"Saya amat mengharapkan kerajaan negeri untuk menilai cadangan menaiktaraf jalan ini dengan kadar segera," tambah beliau.
29 Nov 23
642