lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Kerajaan Negeri Perkasa Skim Rondaan
Kerajaan Negeri Perkasa Skim Rondaan
HULU TERENGGANU, 20 Disember - Kerajaan Negeri berusaha mengukuhkan kerjasama di kalangan anggota masyarakat dengan menyokong pergerakan secara aktif Skim Rondaan Sukarela (SRS) seluruh negeri Terengganu. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan Pembangunan Wanita Keluarga dan Perpaduan Nasional, Maliaman Kassim berkata, justeru peruntukan berjumlah RM30 ribu disampaikan bagi melaksanakan Program Pengukuhan Kesedaran Keselamatan dan Pemerkasaan Skim Rondaan Sukarela (SRS) Tahun 2023 di seluruh negeri Terengganu. "SRS ini merupakan usaha di atas kesedaran yang tinggi anggota masyarakat.  "Ada orang yang tidak langsung terlibat dalam menggerakkan masyarakat kerana tidak memiliki rasa tanggungjawab dan kecaknaan kepada persekitaran. "Dalam Islam, orang yang memikiki kemampuan kewangan diperintah mengeluarkan zakat secara tidak langsung mewujudkan hubungan sesama masyarakat yang dibantu," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan penutupan program berkenaan di Perpustakaan Awam Hulu Terengganu, hari ini. Hadir sama, Timbalan Pengarah Jabatan Perpaduan Negara dan Perpaduan Nasional (JPNIN) Terengganu, Ahmad Nazif Mohamad dan Pegawai JPNIN daerah Hulu Terengganu, Asronizam Mamat. Tambahnya, galakan perlu diberikan kepada anggota masyarakat untuk bersama menggalas tanggungjawab menjaga keselamatan dan kesejahteraan persekitaran, bukan semata-mata berharap kepada agensi kerajaan di peringkat negeri dan persekutuan. "Kadar jenayah di sesetengah tempat agak meningkat dan usaha SRS dilihat dapat mengurangkan masalah itu. "Melalui skim ini kita boleh mewujudkan kerjasama di kalangan orang kampung tanpa bergantung sepenuhnya kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM) dengan menjaga ketenteraman. "Walaupun mungkin tidak dapat menghapuskan jenayah, ia dapat membendung penularannya," ujarnya. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil itu menyeru supaya masyarakat memberi sokongan moral kepada anggota SRS yang terlibat dengan membantu dari pelbagai sudut lain. Dalam program sehari yang dilaksanakan di peringkat daerah Hulu Terengganu, turut diadakan pemberian bakul Rahmah bagi mangsa banjir di setiap KRT terlibat.  
21 Dec 23
160
Penduduk Lega Jalan Gelap Kini Terang
Penduduk Lega Jalan Gelap Kini Terang
DUNGUN, 20 Disember- Penduduk Kampung Lembah lega apabila laluan utama di kawasan rumah mereka kini terang selepas terpaksa melalui jalan itu dalam keadaan gelap selama ini. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Lembah, Ridzuan Mohamad Noor berkata, Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memasang tiga lampu LED di tiga jalan laluan utama di dalam Kampung Lembah semalam. Kata beliau, pihaknya telah memohon agar TNB menyediakan kemudahan tersebut dan prosesnya untuk diluluskan mengambil masa dua bulan.  "Syukur alhamdulillah kerana TNB telah meluluskan pemohonan saya, penduduk setempat pun gembira apabila laluan utama dari rumah mereka terang, selepas ini mereka tidak bimbang lagi untuk menggunakan jalan tersebut, " ujarnya.. Beliau berkata demikian ditemui ketika ditemui di sini hari ini.  Beliau juga mengucapkan jutaan te­rima kasih kepada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB) kerana telah menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh penduduk setempat. "Terima kasih kepada penduduk setempat kerana sabar menunggu, insya-Allah pihak JPKK akan senantiasa berkhidmat untuk membantu penduduk setempat," katanya lagi.
21 Dec 23
344
KPKKT Hargai Kakitangan
KPKKT Hargai Kakitangan
KUALA TERENGGANU, 20 Disember -Pengerusi Ahli Lembaga Pengarah Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) Dato' Satiful Bahri Mamat menyeru warga KPKKT agar terus menawarkan perkhidmatan terbaik pada masa akan datang. "Kita berharap tahun hadapan kita akan melangkah ke arah yang lebih baik dengan hala tuju yang jelas. "Sebagai salah satu anak syarikat negeri Terengganu, kita harus terus bersatu padu untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis Malam Anugerah Penghargaan Kakitangan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) 2023 di Camelia Hall, Paya Bunga Square. Sementara itu, Timbalan Pengurus Besar KPKKT, Ahmad Bazli Razali, berkata, majlis penghargaan tersebut merupakan satu langkah penting dalam memupuk semangat kerjasama dan meningkatkan motivasi ahli-ahli pasukan untuk terus berusaha dan mencapai kejayaan yang lebih besar dalam tahun-tahun mendatang. "Malam Anugerah Penghargaan Kakitangan Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu (KPKKT) 2023 diadakan bagi menghargai usaha dan penat lelah kakitangan yang telah bekerja keras. "Kena tegur atau marah sedikit-sedikit itu biasalah dalam setiap organisasi. Masa kerja, kita kerja. Masa bergembira kita bergembira. "InsyaAllah, kita akan terus berusaha untuk memperbaiki kelemahan kita dan melangkah ke arah yang lebih baik dari sebelum ini,"katanya.
19 Dec 23
335
48 Pasukan Bakal Rebut Piala ADUN Sura
48 Pasukan Bakal Rebut Piala ADUN Sura
DUNGUN, 19 Disember - Seramai 48 pasukan bola sepak pantai dari seluruh negara bersiap sedia untuk berentap merebut Piala ADUN Sura yang akan berlangsung di Pantai Teluk Lipat pada 22 dan 23 Disember ini. Kehadiran 48 pasukan berprestij tersebut menandakan perhimpunan terbesar dalam dunia bola sepak pantai di Malaysia, menjadikan acara ini sebagai tontonan menarik dan dijangkakan memukau peminat bola sepak pantai dari pelbagai lapisan masyarakat. Pengarah kejohanan, Nakhaie Nafis berkata, aksi yang sengit dijangkakan bakal ditampilkan oleh pasukan yang bertanding, selepas masing-masing membariskan pemain yang berkualiti. "Acara ini bukan sekadar pertandingan biasa, tetapi juga satu platform untuk mengekalkan dan meningkatkan kualiti permainan bola sepak pantai di Malaysia. "Kami sangat gembira melihat sambutan yang begitu menggalakkan daripada pasukan-pasukan yang telah mendaftar dalam kejohanan ini. Piala ADUN Sura bukan hanya mengiktiraf pasukan terbaik, tetapi juga membuka peluang kepada pasukan lain untuk meningkatkan tahap permainan mereka," ujarnya. Beliau berkata demikian sewaktu melakukan persiapan di lokasi pertandingan berkenaan. Tambahnya, kejohanan ini akan menarik perhatian penggemar bola sepak pantai dengan persembahan pasukan-pasukan unggul dari seluruh Malaysia. "Dengan berbagai strategi dan taktik yang digunakan, pertandingan dijangkakan akan berlangsung dengan ketegangan tinggi, dan setiap pasukan perlu bersaing dengan sepenuh kemampuan untuk meraih kejayaan," ujarnya. Nakhaie turut mengalu-alukan kehadiran para peminat bola sepak pantai dan orang awam untuk turut serta menyaksikan aksi-aksi menarik pasukan-pasukan terbaik Malaysia yang bersaing untuk mendapatkan gelaran juara di Pantai Teluk Lipat ini. 
19 Dec 23
276
Pesiapan Padang Sempena Pertandingan Piala Adun Sura Rancak Berjalan
Pesiapan Padang Sempena Pertandingan Piala Adun Sura Rancak Berjalan
DUNGUN, 18 Disember - Pesiapan padang sempena pertandingan Bola Sepak Pantai Piala ADUN Sura yang dijadualkan berlangsung hujung minggu ini di Pantai Teluk Lipat disini sedang rancak berjalan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, ketika ini semua pihak terlibat berganding bahu menyiapkan padang bola berkenaan bagi memperlihat suasana yang cantik kepada para pengunjung.  "Lokasi padang ini merupakan lokasi yang baharu. Kita cuba meneliti dengan baik setiap aspek bagi menjamin keselesaan pengunjung yang hadir dengan menitikberatkan beberapa perkara termasuklah dari sudut keselamatan memandangkan ianya berdekatan dengan pantai.  "Semua langkah ini dititikberatkan demi menyajikan pengalaman sepak bola pantai yang tidak hanya menambah daya tarik pertandingan, tetapi juga sempurna dan memberi impak positif kepada setiap pengunjung," ujarnya ketika ditemui pemberita selepas melakukan tinjauan ke lokasi berkenaan. Tambahnya, penduduk Dungun khususnya di kawasan Sura, turut diharapkan akan menikmati limpahan ekonomi melalui peningkatan aktiviti pelancongan dan perniagaan tempatan. "Kejayaan penganjuran acara ini bukan sahaja membawa kegembiraan sukan kepada masyarakat tetapi juga membawa manfaat positif dalam jangka panjang kepada ekonomi setempat," ujarnya. Beliau turut mengharapkan program tersebut berjalan lancar memandangkan sekarang ini musim tengkujuh.
19 Dec 23
310
Masalah Perparitan Tebing Tembah Dapat Perhatian
Masalah Perparitan Tebing Tembah Dapat Perhatian
DUNGUN, 19 Disember - Pengusaha perlombongan kuari Tebing Tembah menjalankan tanggungjawab sosisal (CSR) melakukan kerja-kerja menggali kembali sistem perparitan dan membina benteng penghadang bagi mengurangkan kebimbangan penduduk setempat. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, masalah hakisan tanah runtuh dari bukit di kawasan itu telah menyebabkan parit di Kampung Panchor disini yang memiliki kedalaman dua meter tertimbun. "Saya berterima kasih kepada pihak perlombongan kuari Tebing Tembah kerana mengambil tanggungjawab dalam membaikpulih sistem perparitan dan membina benteng penghadang. "Semoga langkah ini dapat mengurangkan risiko banjir di kawasan ini dan memberikan kesejahteraan kepada penduduk setempat," katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di kawasan parit tertimbun berkenaan bersama pengusaha projek kuari. Sehubungan itu, beliau berharap inisiatif CSR ini dapat memberikan impak positif dalam meningkatkan sistem saliran air dan mengurangkan risiko banjir di kawasan tersebut. "Langkah ini diambil untuk mengelakkan berulangnya kejadian banjir dan melindungi penduduk setempat dari risiko yang serupa di masa hadapan," ujarnya. Beliau juga mengingatkan semua pihak untuk sentiasa berhati-hati terutama ketika musim hujan, serta berharap agar masyarakat dapat bekerja sama dalam usaha pemulihan dan pencegahan bencana alam.
18 Dec 23
600
ADUN Sura Teliti Jalan Rosak, Sistem Perparitan Kampung
ADUN Sura Teliti Jalan Rosak, Sistem Perparitan Kampung
DUNGUN, 18 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin, membuat tinjauan menyeluruh terhadap keadaan jalan yang rosak dan sistem perparitan yang terjejas di kawasan Dun Sura. Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata beliau mendapat beberapa aduan penduduk berkenaan jalan yang berlubang serta sistem perparitan yang kurang efektif menyebabkan ketidakselesaan kepada penduduk di sini. "Saya mengambil serius tentang jalan yang berlubang kesan daripada hujan yang berterus menyebabkan terjadinya lopak air di jalan yang berlubang. "Kawasan rendah menghadapi risiko banjir disebabkan kapasiti longkang yang tidak mencukupi untuk menyalurkan air yang terus meningkat," ujarnya. Beliau berkata demikian, ketika membuat tinjauan di beberapa lokasi terjejas banjir semalam. Sehubungan dengan itu, katanya, situasi tersebut menjadi lebih sukar apabila adanya projek perumahan baru menimbun tanah menyebabkan aliran air tertumpu ke kawasan perumahan rendah. "Kita akan mencari penyelesaian segera dan kita akui cabaran dalam pembuatan longkang pada waktu ini serta kami sedang giat mengumpul maklumat dari setiap kampung, untuk menambahbaik sistem perparitan di seluruh kawasan Dun Sura ini," katanya.
18 Dec 23
217
34 Anak Asnaf Berkhatan Percuma
34 Anak Asnaf Berkhatan Percuma
DUNGUN, 18 Disember - 34 orang anak-anak daripada kalangan asnaf mendapat perhatian pihak Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah untuk menyertai program khatan beramai secara percuma. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata inisiatif yang dijalankan pihak masjid tersebut sangat baik bagi membantu golongan asnaf. "Perkara ini menjadi berita baik kepada mereka yang kurang berkemampuan, terutama bagi keluarga yang mungkin menghadapi kekangan dari sudut kewangan dalam menanggung kos berkhatan yang semakin meningkat. "Kita semua menyedari bahawa kos berkhatan di masa kini bukan lagi perkara yang mudah dijangkau. Program ini sudah pastinya merupakan satu peluang besar kepada anak-anak. Maka, zahirkanlah rasa syukur dan terima kasih atas peluang yang diberikan," katanya. Beliau berkata demikian sewaktu Majlis Perasmian Program Berkhatan MTAIZ. Beliau turut merakam jutaan terima kasih kepada pihak masjid atas anjuran penuh manfaat ini. "Saya berharap agar inisiatif seperti ini dapat terus dilaksanakan di masa depan agar lebih ramai lagi menerima manfaat ini sekaligus memberi inspirasi kepada pihak-pihak lain untuk melibatkan diri dalam usaha kemanusiaan dan keagamaan, serta mencipta lebih banyak inisiatif yang bermanfaat untuk komuniti," katanya.
18 Dec 23
200
Kes Covid-19 Yang Mendadak, Kerajaan Tidak Laksana PKP
Kes Covid-19 Yang Mendadak, Kerajaan Tidak Laksana PKP
PUTRAJAYA, 18 Disember - Malaysia kini sedang mengalami peningkatan kes Covid-19 yang mendadak namun Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berharap situasi ini dapat diatasi tanpa diadakan Perintah Kawalan Pergerakkan (PKP). Menteri Kesihatan Malaysia, Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah memperkuatkan Pelan Pengurusan Covid melalui lima strategi yang berkaitan. "Pertama, melibatkan pengesanan awal kes Covid-19 dan variasi melalui High Alert System (HIS). “Kedua, pemantauan sentinal di seluruh negara. Ketiga, pemantauan persekitaran i-kumbahan dan pintu masuk antarabangsa. “Selanjutnya, kita memperkasakan komuniti melalui amalan Test Report Isolate Inform Seek (TRIIS)," katanya dalam sidang media petang tadi. Walaupun mengakui cabaran ketika ini, Menteri Kesihatan menegaskan bahawa pihaknya bersedia untuk bertindak dengan cergas dan menyeluruh bagi mengekalkan kawalan ke atas penularan virus.  Beliau menyeru rakyat untuk terus patuh kepada SOP yang telah ditetapkan dan memberi kerjasama sepenuhnya kepada pasukan kesihatan.
18 Dec 23
96
305 Pelajar Menyertai Tuisyen Rakyat Percuma DUN Paka
305 Pelajar Menyertai Tuisyen Rakyat Percuma DUN Paka
DUNGUN, 18 Disember- Seramai 305 orang pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka menyertai Program Tuisyen Rakyat secara percuma. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi, dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat, berkata, kelas pembelajaran alternatif secara percuma khusus untuk calon SPM sangat membantu pelajar yang kurang berkemampuan.  "Inilah masanya kita kerajaan negeri membantu memberi sokongan dan bimbingan tambahan kepada mereka," katanya. Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan ke empat - empat zon Tuisyen Rakyat yang diadakan di tempat berlainan mengikut zon Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Paka. Sehubungan dengan itu, beliau selaku EXCO Pendidikan negeri yang telah melihat pentingnya mengadakan di seluruh 32 DUN Tuisyen Rakyat secara percuma khas untuk pelajar SPM agar mereka tidak tercicir dari menerima proses pengajaran dan pembelajaran (PDP) di luar waktu sekolah. "Inisiatif ini adalah langkah positif dalam meningkatkan prestasi pelajar dan memberi peluang kepada mereka untuk meraih kejayaan dalam peperiksaan SPM," ujarnya. Selain itu juga, beliau yang juga ADUN Paka berharap agar program-program bimbingan seperti ini dapat diteruskan dan diperluaskan lagi untuk manfaat pelajar-pelajar negeri ini. "Hasil yang kita dapat lihat ialah jelas tentang keperluan dan harapan pelajar, dan diharapkan tindakan dapat diambil untuk memastikan kecemerlangan pendidikan di negeri ini terus ditingkatkan.
18 Dec 23
222