Artikel "Komuniti" Terkini
21 PPS Dibuka, Tempatkan Mangsa Banjir Dungun
DUNGUN, 25 Disember- Sebanyak 21 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah dibuka di daerah ini susulan banjir gelombang ketiga yang melanda Terengganu ketika ini.
Menurut laporan Bilik Gerakan Bencana Daerah Dungun, PPS terbabit melibatkan empat Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Sura, Paka, Rantau Abang dan Bukit Besi.
"Dungun mencatatkan mangsa banjir tertinggi ketika ini ekoran hujan lebat berterusan dan air sungai melimpah ke paras berbahaya.
"Setakat pukul 7 pagi tadi, seramai 1,149 orang mangsa banjir daripada 299 keluarga ditempatkan di 21 PPS daerah ini, " ujarnya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli memohon agar semua penduduk di daerah Dungun mengambil langkah berjaga-jaga memandangkan hujan masih berterusan dan air sungai meningkat ke paras berbahaya.
"Saya mengharapkan mereka sabar dan tabah dalam menghadapi ujian ini. Terima kasih diucapkan kepada pihak keselamatan yang menjalankan tugas menyelamat dan memindahkan mangsa banjir ke tempat yang selamat.
"Marilah kita berdoa agar dijauhkan dan diselamatkan diri dan keluarga daripada bencana ini," ujarnya lagi.
25 Dec 23
190
Terima Kasih Semua Pihak Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 25 Disember - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi pemindahan mangsa banjir ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dalam kawasan tersebut sejak malam semalam.
Menurut beliau, Rantau Abang sekali lagi diuji dengan bencana banjir bagi gelombang ketiga yang bermula Sabtu lalu.
"Terima kasih kepada semua agensi yang terlibat dalam membantu mangsa banjir untuk berpindah ke tempat yang lebih selamat.
“Kerjasama dari semua lapisan masyarakat yang turun membantu mangsa banjir ini sangat dihargai dan didahului dengan ucapan terima kasih," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika membuat tinjauan di PPS Burung Baru di sini, semalam.
Menurut beliau, setakat semalam sebanyak 14 buah PPS telah dibuka.
"Sudah ramai yang sudah berpindah ke PPS yang mana rumah mereka sudah dimasuki air berikut hujan yang tidak berhenti bermula pagi semalam” ujarnya.
Katanya, kalau dilihat keadaan sungai semalam, air masih lagi bertahan tetapi dibimbangi ianya semakin naik berikutan mengikut trend air di sebelah Hulu Dungun mengalir turun ke kawasan-kawasan tersebut .
“Apa yang cukup membimbangkan apabila hujan masih berterusan dan air semakin naik tetapi masih ada segelintir penduduk yang tinggal di kawasan berisiko banjir enggan berpindah ke PPS, " ujarnya.
25 Dec 23
196
Mangsa Banjir di Setiu Meningkat Kepada 179 Orang
SETIU, 25 Disember -Mangsa banjir di daerah Setiu meningkat kepada 197 orang awal pagi ini daripada 50 keluarga berbanding 151 orang pada sebelah malam semalam.
Menurut kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Banjir Daerah (JPBD) Setiu, jumlah PPS bertambah kepada lapan, berbanding enam malam semalam.
"Dua PPS yang bertambah ialah PPS Perpustakaan Setiu yang melibatkan 33 orang dari 9 keluarga dan PPS Kampung Nyatoh Penarik yang menempatkan tiga keluarga seramai 10 orang," ujarnya.
Sementara itu, mangsa di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan Sungai Tong juga meningkat daripada 21 kepada 24 orang.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof menyampaikan pesanan kepada penduduk berhampiran sungai agar sentiasa mengambil langkah berwaspada dan bersiap-sedia untuk berpindah sekiranya perlu.
"Usah tunggu keadaan genting baru berpindah dan sekiranya boleh elakkan berpindah ketika waktu malam," tambahnya.
Semalam, Setiu kembali dilanda banjir apabila enam buah PPS dibuka susulan hujan lebat berterusan.
25 Dec 23
222
40 Tahun Hidup, Ini Kali Pertama Dilanda Banjir
DUNGUN, 25 Disember - "Selama 40 tahun hidup, ini kali pertama rumah saya dilanda banjir," kata salah seorang penduduk Ketengah Jaya.
Hafiza Zakaria,42, memberitahu, banjir besar yang melanda kawasan itu juga merupakan pertama kali dalam sejarah.
"Saya tinggal di sini sudah 40 tahun, dan ini adalah kali pertama kami menghadapi banjir sebesar ini.
“Saya pun terkejut juga apabila menerima khabar ini dari kumpulan WhatsApp yang mengatakan jalan masuk ke Ketengah Jaya tersekat air,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa membuat tinjauan di kawasan berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) Ketengah Jaya, Shamsuddin Mamat, berkata kejadian banjir yang melanda kawasan berkenaan berpunca daripada limpahan air sungai yang mengalir ke kawasan itu.
“Banjir yang tiba-tiba ini telah menyebabkan banyak penduduk terkejut dan tanpa bersedia menghadapinya.
“Air sungai yang naik dengan cepat juga menyebabkan mangsa banjir tidak sempat menyelamatkan dokumen penting dan telah merosakkan beberapa barangan eletronik,” ujarnya.
Katanya, kawasan JPKK lain yang berada berhampiran seperti kawasan JPKK Felda Kerteh 1, JPKK Felda Kerteh 4, dan JPKK Ketengah Jaya turut terjejas.
“Kita telah menghubungi pihak berwajib bagi menyediakan dengar kadar segera tempat Pusat Pemindahan Sementara (PPS) yang bertempat di Dewan Semai Bakti Felda Kerteh 4 bagi mangsa berpindah sementara,” jelasnya lagi.
24 Dec 23
1481
303 Orang Mangsa Banjir Gugusan Ketengah Jaya Berada Di PPS
DUNGUN, 25 Disember - Seramai 303 daripada 55 keluarga di Gugusan Ketengah Jaya dipindahkan ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Felda Kerteh 4 di Dewan Semai Bakti FK4 setakat 11 malam tadi disebabkan banjir gelombang ketiga yang melanda daerah ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Dato’ Satiful Bahri Mamat berkata, mangsa yang ditempatkan di PPS itu terdiri daripada penduduk yang terjejas banjir di empat Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung (JPKK) iaitu JPKK Felda Kerteh 1, JPKK Felda Kerteh 4, JPKK Felda Kerteh 4A dan JPKK Ketengah Jaya.
“Mangsa banjir yang paling ramai ditempatkan di PPS ini ialah daripada JPKK Felda Kerteh 4 dengan menempatkan 136 orang terdiri daripada 28 keluarga,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membuat tinjauan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Felda Kerteh 4 di Dewan Semai Bakti Felda Kerteh 4.
Katanya, trend air di kawasan tersebut semakin menurun setakat malam semalam.
“Apa yang kita bimbang ialah perkara sebegini akan berlaku lagi jika keadaan cuaca masih lagi hujan berterusan.
“Apa pun kita doakan agar keadaan cuaca semakin baik, dijauhkan daripada perkara tidak diingini dan dupermudahkan urusan mereka yang terlibat,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam membantu mangsa banjir dengan cepat.
“Sokongan dari masyarakat juga yang saling tolong menolong antara satu sama lain sama ada secara langsung atau tidak langsung, amat dihargai,” jelasnya.
24 Dec 23
277
Derita Warga Emas Sakit Strok, Hilang Isteri Terubat
KUALA TERENGGANU, 24 Disember - 'Ujian tanda Allah sayang' itulah ayat yang sesuai bagi menceritakan musibah bertimpa yang dialami warga emas Fauzi Ismail, 60 tahun.
Fauzi, kehilangan isteri tersayang pada 12 Oktober lalu selepas dia disahkan sakit dam kini terlantar akibat strok.
Sembilan tahun yang lalu, dia yang bekerja sebagai tukang kimpal besi pada ketika itu telah diserang strok kali pertama dan selepas itu pada awal tahun 2023 dia sekali lagi diserang strok sehingga menyebabkannya terlantar.
Keperitan hidupnya mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim.
Ujar Ahmad, beliau akan cuba sedaya upaya untuk meringankan beban Fauzi.
"Untuk tahun ini agak perlahan kerana terpaksa keluar peruntukan sendiri berbanding ketika kita sebahagian daripada kerajaan.
"Namun saya tetap berusaha mencari sumber kewangan untuk membantu rakyat dalam parlimen saya," tambahnya lagi ketika menziarahi Fauzi bersama Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung hari ini
Selain bertanya khabar, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat tersebut turut menyerahkan sumbangan barang dapur dan wang belanja kepada penerima.
Dalam pada itu, anaknya, Aisyah Fauzi, 20, yang bekerja sebagai pembantu kedai bersyukur atas keprihatinan semua pihak termasuk Majlis Agama Islam dan Melayu Terengganu (MAIDAM) damn Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) atas bantuan bulanan yang diberikan.
"Alhamdulillah bantuan ini sedikit sebanyak meringankan kos perbelanjaan kami sekeluarga.
"Kami sekeluarga mengucapkan terima kasih kepada YB (Ahmad Amzad) yang sudi ziarah ayah kami dan berikan bantuna hari ini," katanya.
24 Dec 23
258
Langkah Berjaga-jaga Atasi Tanah Runtuh Bukit Kecil Diambil
KUALA TERENGGANU, 23 Disember - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) sedang mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengatasi kejadian tanah runtuh berhampiran Flat Bukit Kecil.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim ketika ditemui berkata, kerja-kerja pemasangan kanvas akan dilakukan segera.
Katanya, taburan hujan yang tinggi telah menyebabkan runtuhan tanah semakin teruk dan runtuhan baru telah berlaku di kawasan sekitar.
"Dimaklumkan permohonan sebanyak RM3 juta telah dikemukakan kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan bagi kerja-kerja pembaikan tanah runtuh.
"Saya telah berhubung dengan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr. Ahmad Samsuri bin Mokhtar memaklumkan masalah tanah runtuh ini,
"Alhamdulillah respon yang baik daripada Menteri Besar, peruntukan khas akan disalurkan untuk kerja-kerja pemasangan kanvas," tambahnya lagi.
Pada 21 Disember lalu, lawatan segera telah dibuat di tapak kejadian dengan disertai oleh Pegawai Daerah/Pentadbiran Tanah Kuala Terengganu, Azran Amin Mazlan, ADUN Ladang, Zuraida Md Noor serta pegawai-pegawai jabatan kerajaan yang berkaitan.
ADUN Ladang ketika ditemui menasihati semua penduduk agar sentiasa berjaga-jaga kerana Monsun Timur Laut atau musim tengkujuh di negara ini dijangka berterusan sehingga Mac 2024.
"Penduduk diminta untuk sentiasa peka terhadap sebarang arahan dan makluman pihak berwajib," katanya.
22 Dec 23
251
Skuad Anti Dadah Dungun Tekad Perangi Dadah
DUNGUN, 21 Disember- Skuad Anti Dadah Dungun terus bertekad untuk memerangi kes dadah di daerah tersebut.
Pengerusi Skuad Anti Dadah Dungun, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, beliau yakin dengan wujudnya skuad tersebut kes dadah akan lebih terkawal.
“Kesedaran bahayanya dadah ini juga perlu diberi penekanan seawal di bangku sekolah lagi kerana salah satu faktor kes dadah ini juga berpunca daripada rakan sebaya” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berharap kes dadah di negeri ini khususnya dan negara amnya terkawal menjelang tahun 2025.
Menurutnya lagi, skuad yang merupakan Badan Bukan Kerajaan (NGO) itu akan terus merangka dan melaksanakan pelbagai program yang lebih dekat bersama masyarakat bagi memberi kefahaman yang lebih jelas tentang bahayanya pengambilan dadah.
“Saya melihat kefahaman agama juga perlu diterapkan dengan lebih meluas kepada masyarakat hari ini agar ia tidak mudah terpengaruh dengan anasir luar yang membawa kerosakan kepada diri sendiri,” katanya.
21 Dec 23
146
Bot JAM Paka Sedia Menyelamatkan Mangsa Banjir Terperangkap
DUNGUN, 21 Disember - Bot Jabatan Amal Malaysia (JAM) Paka akan digunakan untuk perkhidmatan menyelamat dan menyampaikan bantuan kepada mangsa banjir yang terperangkap.
Ketua JAM Paka, Abdul Latif Abdul Rashid berkata, ujian kesiapsiagaan yang dikenali sebagai "Test Drive Boat" menjadi sebahagian daripada persediaan menyeluruh mereka untuk menghadapi kemungkinan banjir di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka khususnya.
"Pentingnya ujian ini sebagai langkah awal dalam memastikan semua bot dalam keadaan baik sebelum terlibat operasi menyelamat atau bantuan banjir yang kemungkinan terjadi pada bila-bila masa sahaja ketika musim tengkujuh ini.
"Ujian "Test Drive Boat" ini adalah langkah proaktif kami untuk meminimakan risiko dan memastikan keberkesanan operasi menyelamat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita semasa menjalankan ujian ke atas bot berkenaan.
Selain itu, komitmen penuh dari JAM Paka menunjukkan persiapan mereka untuk bertindak cepat dan efisien dalam menghadapi bencana banjir yang mungkin melanda kawasan tersebut pada musim hujan ini.
"Kita sentiasa bersedia memberikan perkhidmatan yang terbaik untuk melindungi dan membantu komuniti dalam mendepani cabaran musim tengkujuh yang dijangka akan berlaku lagi bagi gelombang yang seterusnya, " jelas beliau.
21 Dec 23
278
'Baik Pulih Jalan Rosak Segera' - Ahli Parlimen Dungun
DUNGUN, 21 Disember - Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli mahu proses baik pulih kerosakan Jalan Bukit Lat disegerakan pihak berkuasa agar pengguna jalan terbabit dapat menggunakan laluan itu dengan sempurna.
Wan Hassan berkata, beliau telah menerima aduan daripada orang ramai menerusi platform media sosial Facebook.
Ujar Hassan, sejurus menerima aduan pihaknya telah menghubungi Jabatan Kerja Raya (JKR) dan telah dimaklumkan bahawa status permohonan baik pulih laluan Che lijah ke Bukit Besi telah diangkat ke Kementerian Kerja Raya.
"Buat sementara waktu ini, JKR akan melakukan kerja-kerja membaik pulih mana-mana jalan yang rosak dengan menggunakan 'Cold Mix & Hot Mix' sehingga monsun timur laut (MTL) pulih.
"Pihak mereka juga telah menambah papan tanda amaran sebagai peringatan kepada pengguna jalan raya," jelasnya yang dipetik daripada Facebooknya semalam.
Beliau yang turut mengharapkan agar permohonan baik pulih jalan ini dapat dipercepatkan demi keselamatan pengguna jalan raya.
"Harap kepada pengguna jalan raya, bersabar dan lebih berhati-hati ketika menggunakan laluan tersebut memandangkan sekarang ini musim hujan tidak menentu lebih-lebih lagi pada waktu malam," ujarnya lagi.
21 Dec 23
269