lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

PKM Sura Tumpu Tingkatkan Prestasi JPKK
PKM Sura Tumpu Tingkatkan Prestasi JPKK
DUNGUN, 28 Januari - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura mengatur langkah meningkatkan komunikasi JPKK dalam usaha memberi tumpuan kepada prestasi kerja Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Justeru, sebuah program diadakan baru-baru ini, melibatkan sekitar 50 ahli JPKK DUN Sura sebagai langkah awal membina kerjasama dan kesatuan di kalangan mereka bagi mengukuhkan gerak kerja yang akan dilaksanakan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin berkata, pihaknya cuba mewujudkan medium komunikasi berkesan bersama rakyat supaya segala maklumat dan arahan dapat diberikan dengan jelas dan sampai kepada rakyat. "Komunikasi yang efektif dapat membantu dalam menyampaikan arahan dan matlamat dengan lebih jelas. Ia dapat memudahkan pihak kami dalam menyampaikan maklumat daripada Kerajaan Negeri Terengganu. "Kami turut memberikan penekanan kepada peningkatan kebolehan berkomunikasi secara efektif, yang dianggap sebagai asas penting dalam memastikan perkhidmatan dan interaksi yang lebih baik kepada rakyat," katanya. Dr Tengku Fakhruddin turut memaklumkan, program berkenaan dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti pembinaan prestasi, termasuk sesi latihan untuk meningkatkan kemahiran komunikasi, kerjasama berpasukan, dan pembangunan diri.    
26 Jan 24
239
10 PPS Dibuka di Setiu
10 PPS Dibuka di Setiu
SETIU, 25 Januari - 10 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dibuka di daerah Setiu setakat jam 12.00 tengah hari tadi, berikutan berlakunya banjir di beberapa kawasan dalam daerah ini. Menurut kenyataan oleh Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu semua PPS di Setiu kini menempatkan 1,048 mangsa daripada 310 keluarga. "Dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) ibuka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap iaitu PPS Asrama SMK Langkap, PPS Dewan Serbaguna Kampung Langkap dan PPS SK Seri Kasar. "Di DUN Permaisuri pula, tujuh PPS dibuka iaitu PPS Balairaya Kampung Seladang, PPS Balairaya Kampung Padang, PPS Balairaya Kampung Seri Bayas, PPS Balairaya Kampung Besut, PPS Balairaya Kampung Che Long, PPS Perpustakaan Awam Bandar Permaisuri dan PPS Kampung Buluh Hilir. Sementara itu, menurut laman web https://publicinfobanjir.water.gov.my sebuah sungai di Setiu telah melepasi paras bahaya iaitu Sungai Nerus di Kampung Bukit manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap berada di paras amaran.    
25 Jan 24
130
PKM Batu Rakit Teruskan Tradisi Solat Hajat SPM
PKM Batu Rakit Teruskan Tradisi Solat Hajat SPM
KUALA NERUS, 22 Januari - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Batu Rakit meneruskan tradisi meraikan dan mendoakan pelajar yang bakal berdepan peperiksaan melalui Majlis Solat Hajat Perdana SPM. Majlis yang dilaksanakan di Masjid As Salam, di sini, semalam melibatkan masyarakat setempat dan ibu bapa pelajar bermula pada jam 7.30 malam dan berakhir pada jam 9.00 malam. Berkaitan program terbabit, Pengarahnya, Azharuddin Shafee menjelaskan bahawa sememangnya telah menjadi tradisi bagi PKM Batu Rakit bersama-sama mengadakan solat hajat. Azharrudin berkata, majlis itu dapat merapatkan hubungan antara masyarakat sekitar dengan pihak sekolah, warga pendidik dan juga ibu bapa pelajar. “Program sedemikian bukan baru tetapi telah sebati dan menjadi tradisi kita di Batu Rakit, bukan hanya untuk peperiksaan namun banyak lagi program-program kemasyarakatan yang lain kerana PKM Batu Rakit adalah satu keluarga besar bagi masyarakat di sini. "Seterusnya, majlis ini secara tidak langsung dapat mendidik pelajar agar sentiasa bergantung kepada Allah SWT dalam semua urusan hidup," ujarnya. Tambahnya lagi, dengan terlaksananya program sebegini, pelajar akan sentiasa menghormati guru-guru dan mengenang jasa serta pengorbanan mereka dalam mendidik dan mengasuh pelajar menjadi manusia yang berguna kepada agama, bangsa serta negara. Dalam hal ini beliau merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak khususnya Masjid As Salam Batu Rakit, JPKK setempat dan orang ramai yang bersama-sama hadir serta mendoakan kejayaan anak-anak yang berdepan peperiksaan.
22 Jan 24
152
11,640 Botol Plastik Dikutip Di Pantai Tanjung
11,640 Botol Plastik Dikutip Di Pantai Tanjung
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Sebanyak 11,640 botol plastik berjaya dikutip hasil daripada aktiviti 'plogging' di Pantai Tanjung anjuran Geng Plastik Ija (GPI) yang diadakan pada Jumaat lalu.   Ketua GPI Kuala Terengganu, Zalina Zakaria menjelaskan, program pembersihan pantai di Tanjung itu turut dapat mengutip 900 kilogram (kg) yang terdiri 241 kg sisa sampah dan sebanyak 658.8 kg botol plastik telah berjaya dikumpulkan menggunakan 194 beg plastik.  "Program kali ini, GPI Kuala Terengganu bekerjasama dengan Pasukan Simpanan Persekutuan (PSP/FRU) Wakaf Tapai di Pantai Tanjung (belakang Menara MBKT). "Matlamat utama program ini adalah untuk membersihkan kawasan pesisir pantai berkenaan yang dipenuhi dengan sisa sampah bawaan air selepas monsun," terangnya lagi. Turut hadir ialah Ahli Majlis MBKT, Mohamad Umbaidah Tengah. Bagi Pegawai Penjaga Terup 6A, Unit 6 FRU Terengganu, Asp. Mohd Hafis Zamri, usaha 'turun padang' bersama 57 orang anggotanya menyertai gotong royong tersebut adalah untuk memastikan pantai-pantai di sekitar Kuala Terengganu dalam keadaan bersih.  "Hasil inisiatif pelbagai pihak terhadap kebersihan pantai, para pengunjung di sekitar Kuala Terengganu ini dapat menikmati keindahan pantai-pantai di negeri ini. Beliau turut berharap supaya semua pengunjung, pelancong serta penduduk di sekitar menjaga kebersihan pantai bagi memastikan kelestarian khazanah alam itu berterusan.  
20 Jan 24
320
Kaunter Bergerak TH Mudahkan Menabung
Kaunter Bergerak TH Mudahkan Menabung
Oleh : Azizah Mahmood . KUALA TERENGGANU, 21 Januari - Program pembukaan kaunter bergerak Lembaga Tabung Haji (TH) membantu memudahkan orang ramai menabung untuk menunaikan rukun Islam yang kelima. Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMiTS) DUN Wakaf Mempelam, Radzali Abd Ghani  berkata, satu program kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Wakaf Mempelam bersama TH semata mata untuk memberi laluan pada penduduk sekitar DUN itu berurusan dengan institusi kewangan tersebut.  "Tanpa perlu ke bandar mereka dapat berurusan tanpa perlu susah memikirkan jauh dan payah hendak letak kereta. "Kami berharap kaunter Tabung Haji ini dapat dibuka di tempat lain juga dalam DUN Wakaf Mempelam untuk memudahkan rakyat Wakaf Mempelam membuat urusan dengan Tabung HAJI," ujarnya ketika ditemui bersama menyambut orang ramai yang hadir untuk berurusan di kaunter yang diadakan di Dewan Pusat Khidmat DUN  Wakaf Mempelam di sini, baru - baru ini. Seramai empat kakitangan dari TH datang seawal 8.00 pagi untuk bertemu pelanggan mereka.  Antara perkhidmatan yang disediakan adalah membuka akaun baru, TH Khairat, kemas kini dan sebagainya yang bersangkutan dengan Tabung Haji. Dalam program berkenaan, sebanyak  86 akaun baru di buka menjadi antara penyertaan teramai dalam program kaunter bergerak setakat ini.  
19 Jan 24
125
80 JPKK Daerah Setiu Terima Watikah Pelantikan
80 JPKK Daerah Setiu Terima Watikah Pelantikan
SETIU, 17 Januari - Sebanyak 80 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Daerah Setiu menerima watikah perlantikan bagi sesi 2023/2024, hari ini. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim berkata, pelantikan itu turut dilaksanakan di seluruh negeri Terengganu melibatkan 1,050 JPKK.  "Hari ini, kita menjadi sebahagian daripada itu dalam memikul amanah dan tanggungjawab kepimpinan di peringkat komuniti. "Setiap masalah yang timbul mesti ada puncanya dan bagi menyelesaikan masalah tersebut, duduklah berbincang untuk sama-sama mencari puncanya. "Amalkan setiap apa yang nak dibuat adakan mesyuarat dan daripada itu kita akan dapat bekerja dengan sebaiknya,"jelasnya ketika ucapan perasmian di Dewan Serbaguna Majlis Daerah Setiu, Sungai Tarom semalam. Turut hadir, Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permaisuri dan Langkap, Yusop Majid dan Azmi Maarof. Terdahulu, taklimat berkenaan Pengkalan Data Utama (PADU) disampaikan oleh wakil Jabatan Perangkaan Malaysia Negeri Terengganu, wakil Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Lembaga Tabung Haji (TH).  
17 Jan 24
273
Program Ladang Sejahtera Kurangkan Tekanan Golongan Susah
Program Ladang Sejahtera Kurangkan Tekanan Golongan Susah
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Program Ladang Sejahtera #KakDaCakne menerima respon positif selepas berjaya membantu mengurangkan tekanan ekonomi yang dihadapi masyarakat kurang bernasib baik. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata, Kerajaan Negeri akan terus membantu melalui pelbagai insentif bagi mengurangkan bebanan ditanggung rakyat. Zuraida ketika menyampaikan ucapan perasmian. Katanya, program itu merupakan salah satu cara beliau membantu rakyat dengan mengagihkan pek keperluan makanan seperti beras, tepung dan gula yang secara keseluruhannya bernilai lebih RM10,000. "Selain daripada memberikan bantuan secara 'one-off' (sekali beri), kita juga menggalakkan rakyat untuk terlibat dalam bidang keusahawanan dengan memberi suntikan insentif  daripada agensi kerajaan negeri. "Agensi kerajaan negeri adalah seperti Yayasan Pembangunan Usahawan Terengganu (YPU) dan Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT)," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Ladang Sejahtera #KakDaCakne di Dewan Serbaguna Bukit Kecil, kelmarin. Suasana ketika agihan berlangsung. Ujar Zuraida, program tersebut dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN Ladang, melibatkan 105 orang penduduk DUN Ladang yang terpilih. "Dalam program itu, kita juga bawakan Penghulu Kanan Mukim Bukit Besar untuk memberi taklimat mengenai proses permohonan eKasih dan subsidi air Syarikat Air Terengganu (SATU). "Di samping turut diberikan taklimat oleh Pegawai Cawangan TNB Terengganu mengenai rebat bulanan bil elektrik Tenaga Nasional Berhad (TNB). "Turut kita selitkan taklimat mengenai kepentingan mengisi Profail Rakyat Terengganu (PRT20) oleh wakil dari Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MITS) DUN Ladang," tambahnya lagi. Zuraida turut menyeru agar semua pihak berganding bahu dalam usaha memberi kebajikan kepada rakyat.  Zuraida menyantuni peserta Ladang Sejahtera.  
16 Jan 24
192
JPKK 'Berkampung' Bantu Ibu Tunggal
JPKK 'Berkampung' Bantu Ibu Tunggal
DUNGUN, 17 Januari - Kerja baik pulih rumah milik Zainab Abdullah, 64 tahun, dilakukan segera selepas kediamannya musnah ditimpa sebatang pokok akibat angin kencang. Zainab, seorang ibu tunggal yang mempunyai tanggungjawab terhadap lapan orang anak, kini menghadapi cabaran yang besar kerana rumahnya kini memerlukan pembaikan segera untuk memastikan keluarga itu dapat kembali hidup dengan aman dan selesa. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat berkata, kerja pembersihan kawasan rumah tersebut segera dilakukan setelah menerima laporan daripada 'Group WhatsApp' Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Paka sejurus kejadian berlaku. "Kerja ini perlu dilakukan segera kerana bimbang cuaca hujan yang sedang melanda di kawasan kita. "Kita berdoa agar keluarga Zainab diberi kekuatan untuk menghadapi cabaran ini kita akan menyediakan bantuan secepat yang mungkin dan memastikan mereka dapat kembali ke keadaan normal dengan segera," katanya. Beliau berkata demikian ketika melawat di rumah berkenaan sejurus menerima laporan tersebut. Dalam insiden tersebut, tiada kecelakaan atau kemalangan jiwa dilaporkan, namun rumah yang mereka tempati mengalami kerosakan akibat tumbangnya pokok berdekatan. "Kita bersyukur kerana tiada kemalangan yang lebih serius berlaku. Saya turun padang hari ini untuk melihat sendiri keadaan dan memastikan bantuan segera disalurkan kepada Zainab dan keluarganya. "Kita berharap kerja-kerja baikpulih dapat diselesaikan dengan lancar dan keluarga Zainab dapat kembali ke kehidupan normal mereka dengan segera. "Penduduk kampung yang lain juga diingatkan untuk sentiasa berwaspada dan mengambil langkah-langkah keselamatan, terutama ketika berhadapan dengan cuaca buruk ketika ini," nasihatnya.    
16 Jan 24
238
Mayat Lelaki Ditemui Terapung di Tali Air
Mayat Lelaki Ditemui Terapung di Tali Air
KUALA TERENGGANU, 16 Januari - Mayat seorang lelaki telah ditemui dalam keadaan terapung di tali air di Kampung Tetambah, Manir dekat sini semalam. Mayat Syed Mohd Azmi Sikh Ismail, 39, dari Kampung Pujuk telah ditemui oleh sekumpulan penduduk kampung yang sedang mencari etok dalam keadaan terlentang kira-kira jam 4.45 petang. Menurut saksi, Muhammad Farid Aiman bin Yussof, 20, berkata, dia menjumpai mangsa ketika berpindah tempat mencari etok dari seberang tali air tersebut bersama rakan-rakan. “Mula-mula saya cari di sana, apabila kurang berhasil, saya berpindah ke sini dan menjumpai mayat tersebut,” ujarnya sambil menunjukkan arah kawasan mayat tersebut dijumpai kepada pemberita. Sementara itu, seorang lagi saksi, Mohamad bin Jusoh, 52, berkata, dia ada ternampak motosikal mangsa di kawasan kejadian sejak petang semalam lagi. “Memang biasa orang parking motosikal di sini untuk memancing, dan ia bukannya sesuatu yang pelik,” ujarnya. Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu, Superintenden Wan Mohd Zaki Wan Ismail ketika dihubungi mengesahkan kejadian berkenaan dan mayat mangsa telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) untuk tindakan lanjut.
16 Jan 24
829
Seramai 399 Calon SPM Sertai Tuisyen Rakyat
Seramai 399 Calon SPM Sertai Tuisyen Rakyat
Besut, 15 Januari - Seramai 399 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di Dewan Undangan Negeri(DUN) Hulu Besut menyertai tuisyen rakyat sebagai persiapan terakhir untuk menghadapai peperiksaan pada 18 Januari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, inisiatif mengadakan tuisyen rakyat itu merupakan usaha pihaknya bagi memastikan pelajar terbabit memperolehi keputusan yang baik kerana SPM merupakan penentu langkah seterusnya selepas tamat alam persekolahan. "Di mana  ia akan membawa hala tuju kita untuk menyambung pelajaran hingga ke menara gading ataupun sebaliknya.  "Walaupun rezeki tidak melihat kita berpelajaran tinggi atau rendah tetapi kita disyariatkan untuk berusaha terlebih dahulu kemudian kita berserah dan bertawakal kepada Allah SWT",ujarnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Motivasi Kecemerlangan Pelajar bagi DUN berkenaan pada ahad 14 Januari, semalam. Mengulas lebih lanjut katanya,Program Motivasi Kecemerlangan tersebut merupakan kemuncak program tuisyen rakyat yang telah diadakan selama dua hari pada jumaat dan sabtu baru-baru ini melibatkan tiga buah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) iaitu SMK Agama Wataniah, SMK Putra dan SMK Bukit Payong. "Kepada adik- adik calon SPM, jangan lupa kita dekatkan diri kepada Allah swt serta selalu berdoa, memohon maaf mintak restu kepada kedua ibubapa serta guru dan kita berusaha dengan bersungguh-sungguh supaya kita berjaya didunia dan di akhirat, insya-Allah,"katanya.
15 Jan 24
94