lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

NGO Dianggotai Wanita Disaran Tubuh Koperasi
NGO Dianggotai Wanita Disaran Tubuh Koperasi
Oleh: Pok Abbas KUALA TERENGGANU, 17 Februari - Badan Bukan Kerajaan (NGO) yang dianggotai kaum wanita di negeri ini disaran untuk menubuhkan koperasi bagi memastikan nasib mereka lebih terbela. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, dengan inisiatif tersebut, golongan berkenaan dapat menerima faedah yang lebih menyeluruh berikutan sifat inklusiviti koperasi dalam memenuhi keperluan sosial dan ekonomi anggotanya. "Selain sebagai usaha mencari dana untuk melaksanakan pelbagai aktiviti yang mendatangkan manfaat bersama, banyak kebaikan jika mereka semua dapat berada dalam satu koperasi.  "Di situ banyak aktiviti dapat dilaksanakan untuk mencari dana sekiranya mampu untuk menguruskan koperasi dengan baik" ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di Majlis Hi-Tea Bersama YB Ustaz Ariffin Deraman dan YB Zuraida Md Noor di Dewan Komuniti Kampung Panji di sini, kelmarin.  Program anjuran Badan Bukan Kerajaan (NGO), Persatuan Sepakat Usahawan  Wanita Terengganu (SEMUT) itu, telah dihadiri seramai 100 orang peserta. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor dalam ucapannya berkata, memandangkan taraf sosio-ekonomi makin tinggi sangat wajar muslimat meneroka sesuatu yang baru.  "Dengan menceburi bidang yang mampu menghasil pendapatan tambahan dan melangkah setapak menubuhkan koperasi yang kebanyakannya di kuasai kaum lelaki, InsyaAllah, kaum hawa di Terengganu ini akan lebih ke hadapan ," katanya.
18 Feb 24
173
200 Rakyat Terengganu Berpeluang Kerja Dengan Sony
200 Rakyat Terengganu Berpeluang Kerja Dengan Sony
KUALA NERUS, 16 Februari - Sony EMCS Malaysia Sdn. Bhd. menawarkan peluang pekerjaan kepada lebih 200 anak muda negeri ini yang berusia tidak lebih 35 tahun untuk bekerja dengan syarikat terkemuka dunia dari Jepun. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, temuduga untuk rakyat negeri ini bekerja di syarikat berkenaan bermula semalam sehingga 19 Februari ini membabtikan tiga daerah, Kuala Nerus, Besut dan Setiu. Katanya, syarikat tersebut bersetuju membuka peluang pekerjaan bagi rakyat negeri ini setelah kunjungan hormat oleh pihak Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC). "Saya meharapkan supaya ramai lagi datang di Pusat Cari Kerja di Jalan Lapangan Terbang ini di mana hari ini (semalam) dan esok (hari ini) diadakan temuduga secara 'outreach' di sini sebelum ke Besut dan Setiu. "Syarikat Sony ini menyediakan pelbagai inisiatif yang menarik dengan menyediakan penginapan yang kondusif, menyediakan bas untuk menghantar kesemua yang berjaya ditemuduga ini selain akan menyediakan bas untuk pulang dan pergi menjelang Hari Raya Aidilfitri nanti. "Tawaran gaji yang diberikan juga cukup menarik dengan menyediakan elaun asas yang sangat tinggi sesuai dengan keadaan semasa, melalui taklimat yang diberikan tadi saya melihat peluang untuk melakukan pekerjaan lebih masa ada jika dicampur gaji asas berserta elaun yang lain boleh mencecah RM3,000," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) semasa menghadiri Walkabout Outreach Kerjaya di THRDC ( Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud), di sini, semalam. Turut Hadir Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid. Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata walaupun pada permulaan syarikat tersebut hanya menawarkan perkhidmatan sebagai Operator Pengeluaran namun peluang untuk naik pangkat dan diserap ke bahagian yang lebih baik bagi menempatkan diri di Sony EMCS itu ada. "Jika untuk menjadi operator pengeluaran ini hanya melalui sijil PMR, namun dengan memiliki SPM, Diploma dan Ijazah jika didapati bekerja dengan baik semasa menjadi operator di masa akan datang akan ditawarkan ke jawatan yang lain. "Ini  merupakan peluang yang sangat baik untuk bekerja dengan syarikat bertaraf antarabangasa yang berpengalaman dalam mengeluarkan barangan elektronik berasal dari Jepun," katanya. Dalam pada itu katanya, kerajaan negeri melalui THRDC akan terus merintis kerjasama dengan mana-mana majikan dalam negara ini bagi memastikan lebih ramai rakyat negeri ini mendapatkan pekerjaan. "Program secara 'outreach'  ini kita akan terus lakukan bertemu seramai mungkin bertemu dengan mana-mana majikan yang ingin mencari pekerja," ujarnya.    
16 Feb 24
7181
Aplikasi S@mpai Mudahkan Rakyat Terengganu Cari Kerja
Aplikasi S@mpai Mudahkan Rakyat Terengganu Cari Kerja
KUALA NERUS, 15 Februari - Kerajaan negeri melalui Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (THRDC) memperkenalkan satu aplikasi Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) yang menjadi platform untuk rakyat Terengganu mencari pekerjaan. Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, melalui aplikasi berkenaan rakyat negeri ini dapat maklumat yang betul mengenai info semasa jawatan kosong yang diiklankan sekali gus dapat mengelakkan diri menjadi mangsa 'scammer'. "Setiap hari akan dikemaskini maklumat semasa tentang syarikat, agensi, jabatan, organisasi sama ada kerajaan ataupun swasta yang memerlukan pekerja bagi mengisi kekosongan jawatan yang ditawarkan. "Bukan sahaja akan dapat mengetahui tentang info semasa jawatan kosong di negeri ini tetapi akan mendapat maklumat seluruh malaysia akan dipaparkan melalui peranti yang dicipta khas oleh THRDC yang ditempatkan di Pusat Cari Kerja, di Jalan Lapangan Terbang, Kuala Nerus," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menghadiri Walkabout Outreach kerjaya bertempat di T-HRDC, Pusat Cari kerja Lapangan Terbang Sultan Mahmud, di sini, hari ini. Turut hadir, Pegawai Eksekutif (CEO) THRDC, Aminuddin Omar dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal, Sr Zaharuddin Zahid. Mengulas lebih lanjut Ariffin berkata, bagi memastikan seluruh rakyat negeri ini mendapat manfaat peranti itu, paparan aplikasi berkenaan akan ditempatkan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) melalui Pusat Khidmat Masyarakat selepas ini. "Apa yang penting hasrat kerajaan negeri hendak memastikan rakyat mendapat pekerjaan seramai mungkin," ujarnya.  
15 Feb 24
1072
Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk
Beruang Liar Ancam Keselamatan Penduduk
SETIU, 14 Februari - Sepasang beruang liar mengancam keselamatan penduduk dengan mengakibatkan beberapa serangan dan gangguan di Kampung Pengkalan Gelap. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Kuala Setiu, Rosdi Che Lah berkata, serangan berlaku sejak tiga hari lepas menyasarkan haiwan ternakan, kawasan pertanian dan terbaru sarang lebah kelulut. Rosdi Che Lah, Pengerusi JPKK Kampung Kuala Setiu "Saya telah memberi peringatan kepada penduduk kampung supaya berhati-hati dengan kehadiran beruang liar ini yang boleh memberikan ancaman keselamatan. "Sejak tiga hari lepas setiap malam berlaku serangan dan gangguan dan saya menaruh rasa bimbang yang amat dengan kehadiran binatang liar ini," katanya ketika ditemui di Kampung Pengkalan Gelap. Ekoran aduan yang telah dibuat, pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) memasang perangkap bagi menangkap binatang liar ini supaya tidak berlaku perkara yang tidak diingini. Tambahnya, beliau berharap situasi itu segera berakhir dan penduduk kampung bebas daripada ancaman.
15 Feb 24
382
Aduan Rakyat Jadi Platform Selesai Masalah
Aduan Rakyat Jadi Platform Selesai Masalah
SETIU, 15 Februari – Program Kaunter Aduan Rakyat di Parlimen Setiu terus diadakan bagi memastikan permasalahan rakyat dapat diteliti dan diselesaikan dengan baik. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir berkata, program itu tetap dilaksanakan bagi penggal kedua beliau sebagai Ahli Parlimen di Kawasan tersebut. “Alhamdullilah, saya melihat program Kaunter Aduan Rakyat sejak dilaksanakan bermula 2018 sangat mendapat sambutan. Usaha ini juga dapat memberi input yang lebih terperinci tentang permasalahan yang dihadapi oleh rakyat. “Insya-Allah semua aduan daripada orang kampung akan diambil perhatian. Kita telah menerima pelbagai aduan hasil daripada program ini. "Semua permasalahan akan diambil perjalanan segera untuk diselesaikan agar kebajikan serta kesejahteraan rakyat terjamin, insya-Allah kita akan terus mengadakan program ini dengan melibatkan seluruh Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan Setiu ini secara dwi-bulanan atau secara bulanan," katanya. Tambahnya, bermula minggu lepas telah berlangsungnya Program Kaunter Aduan Rakyat di tapak Pasar Tani Kampung Buluh dan pada hari Isnin yang lalu telah dilaksanakan bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit yang dibuat di Dewan Kampung Gong Lingai.  "Pada sebelah petang pula, aktiviti ziarah Mahabbah di sekitar kampung yang terlibat. Menyantuni dan menziarahi penduduk yang ditimpa musibah, keuzuran dan sebagainya," katanya.
15 Feb 24
147
ADUN Manir Santuni Warga Tiong Hua
ADUN Manir Santuni Warga Tiong Hua
HULU TERENGGANU, 8 Februari - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Hilmi Harun menyantuni masyarakat Tiong Hua sempena Tahun Baru Cina yang akan disambut pada Ahad depan. Hilmi Harun berkata, program ziarah tersebut melibatkan 10 keluarga yang disantuni semalam bagi menyerlahkan toleransi bermasyarakat dalam pelbagai kaum di kawasan Manir. Katanya, program itu juga turut diserikan dengan penyampaian 'angpau' dan limau kotak Tahun Baru Cina kepada mereka. "Saya mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina kepada kaum Tiong Hua di DUN Manir khususnya dan Malaysia am-nya. "Di antara ajaran Islam juga meminta berlaku adil kepada semua rakyat dalam masyarakatnya," katanya kepada pemberita selepas program ziarah semalam. Turut hadir, Ketua Lajnah Perpaduan Nasional Hulu Terengganu, Khairul Huda Muhammad, Penyelaras Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (I-MITS) Manir, Zulkifli Abdullah dan Hal Ehwal Masyarakat IMITS Manir, Rozali Mamat. Tambah Hilmi, semoga dengan kedatangan tahun baru ini dapat memberi kegembiraan dan keharmonian dalam berkeluarga dan bermasyarakat. Menurutnya, objektif ziarah adalah untuk menunjukkan kerukunan dalam masyarakat setempat dan prihatin ADUN terhadap rakyatnya tanpa memilih kaum tertentu sahaja. "Antara kampung terlibat dalam kunjungan ziarah tersebut adalah di Pulau Manis, Hamparan Permai, Peradong dan Kedai Manir," ujarnya.  
07 Feb 24
261
442 Nelayan Rantau Abang Terima Sumbangan
442 Nelayan Rantau Abang Terima Sumbangan
DUNGUN, 4 Febuari - Seramai 442 orang nelayan di Dun Rantau Abang menarik nafas lega selepas menerima bantuan dalam bentuk wang tunai dan barangan keperluan. Menurut Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi, hampir setiap tahun program agihan sumbangan kepada nelayan dibuat bagi meringankan bebanan mereka yang tidak dapat turun ke laut sepanjang musim tengkujuh. “Walaupun kerajaan negeri ketika ini menghadapi pelbagai kekangan, kita akan berusaha sedaya mungkin untuk mencari inisiatif bagi membantu golongan nelayan yang terjejas sumber ekonominya apabila mula musim tengkujuh ini,” katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis agihan sumbangan nelayan Dun Rantau Abang di Dewan Darul Ansor kampung Alor Mak Bah, di sini baru-baru ini. Sementara itu, pengarah program berkenaan, Muaz Anuar berkata, program seumpama ini akan sentiasa diadakan sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan menjaga kebajikan penduduk Dun Rantau Abang ini. “Mungkin sumbangan ini tidak seberapa, tetapi kegembiraan rakyat DUN Rantau Abang menjadi keutamaan bagi pihak kebajikan DUN, insya-Allah akan terus diberi perhatian dengan sebaiknya,” katanya.
04 Feb 24
210
ARC Servis Percuma Motosikal Terjejas Banjir
ARC Servis Percuma Motosikal Terjejas Banjir
DUNGUN, 1 Februari - Kelab permotoran Alternative Riding Club (ARC) bantu servis hampir 200 buah motosikal yang mengalami kerosakan akibat banjir di Hulu Dungun. Operasi membantu mangsa banjir melalui perkhidmatan servis motosikal dilaksanakan semalam, dengan dua kumpulan petugas berkhidmat di kawasan berbeza, salah satunya yang dipimpin oleh Ketua ARC Terengganu, Ahmad Sahrizan Yahya di Kampung Pasir Raja dan yang kedua, dipimpin Ketua ARC Dungun, Muhammad Irham Che Ghani di Kampung Shukor. Menurut Muhammad Irham, operasi yang dilakukan bermula jam 10.00 pagi sehingga 4.00 petang itu melibatkan seramai 40 orang petugas bagi memastikan segalanya berjalan lancar. "Antara yang kita buat ialah menghidupkan semula enjin motosikal, tukar minyak hitam dan tukar palam motosikal serta servis - servis yang lain. "Insya-Allah, kami akan adakan lagi program servis 2.0 pada hari jumaat ini (2 Februari) dan kami berharap lebih ramai anak muda dapat turut terlibat dalam aktiviti ini atau misi-misi bantuan lain yang bermafaat kepada mangsa-mangsa banjir. "Kami bersedia menerima lebih ramai anak muda untuk sertai dalam program seperti ini untuk memberi sumbangan tenaga kepada masyarakat setempat," katanya.
31 Jan 24
294
70 Warga PSMZA Sertai Misi Bantuan Banjir Di Hulu Dungun
70 Warga PSMZA Sertai Misi Bantuan Banjir Di Hulu Dungun
DUNGUN, 31 Januari - Seramai 70 warga Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) terlibat dalam Misi Pasca Banjir Hulu Dungun bagi membantu operasi pasca banjir di daerah itu yang merupakan antara daerah terkesan dilanda bencana banjir di Negeri Terengganu. Pengarahnya merangkap Pengerusi Jawatankuasa Bencana Banjir PSMZA, Zamra Derahman berkata, tumpuan utama misi bantuan yang disertai kakitangan dan pelajar PSMZA itu untuk membersihkan sekolah yang terjejas akibat banjir. "Kita telah menggerakkan pasukan bantuan seramai 70 orang ke Sekolah Kebangsaan Pasir Raja.  "Selain bantuan berbentuk tenaga fizikal, bantuan berupa pakaian, bekalan makanan dan peralatan asas elektrik turut dihulurkan hasil sumbangan warga PSMZA yang sangat prihatin," katanya yang turut sama dalam program gotong - royong sehari itu.  Beliau turut sama menyampaikan sendiri bantuan kepada mangsa - mangsa banjir di kampung tersebut dan sekitarnya. Zamra berkata, misi tersebut turut mendapat kerjasama daripada Persatuan Pancuan Empat Roda Dungun (PADAT) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Dungun yang turut membantu dalam kerja - kerja pembersihan. "PSMZA akan sedia memberi bantuan dalam apa - apa sahaja bentuk bantuan yang diperlukan kepada institusi pendidikan seperti sekolah yang banyak terjejas akibat banjir dan mengakibatkan proses pembelajaran tidak dapat dijalankan, "Insya-Allah selepas ini kita akan gerakkan misi yang kedua sekiranya keadaan sekolah yang terjejas ini tidak pulih sepenuhnya bagi memberi keselesaan kepada proses pembelajaran anak - anak di sini," ujarnya lagi.
31 Jan 24
295
Politeknik Dungun Cipta Kereta Elektrik
Politeknik Dungun Cipta Kereta Elektrik
DUNGUN, 28 Januari 2024 – Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA) berjaya mereka cipta sebuah kenderaan eletrik (EV) berkonsepkan ‘green mobility’ bagi kegunaan dalaman. Jurucakap Unit Komunikasi Korporat PSMZA berkata, projek berkenaan adalah hasil rekaan empat orang pelajar tahun akhir Diploma Kejuruteraan Mekanikal (Automotif) di bawah seliaan pensyarah Jabatan Kejuruteraan Mekanikal, Hasanul Isyraf Mat Junoh.    "Ia telah berjaya menggondol Anugerah Industrial Revolution (IR4.0) dalam pertandingan Student’s Project Competition on Innovation & Invention  Design (SPEED)," katanya dalam satu kenyataan media yang dihantar kepada UPDI kelmarin. Menurutnya lagi, kenderaan itu  menggunakan bateri 48V dan digerakkan menggunakan 1000W 'brushless direct current' (BLDC) motor. "Ia mampu mengecas semula bateri dan boleh mencapai kelajuan sehingga 30km/j.  "Kenderaan yang direkabentuk 'buggy' ini telah menjadi kegunaan dalam kawasan  PSMZA dan menjadi politeknik pertama yang berjaya merekacipta  kenderaan eletrik," ujarnya.  Katanya lagi, seiring dengan hasrat kerajaan bagi menggalakkan penggunaan EV dalam pelbagai sektor, PSMZA juga mengambil inisiatif memperkenal dan mempromosi Mini EV-Car di Wacana Pengukuhan Organisasi Politeknik dan Kolej Komuniti(POLYCC) yang  telah diadakan di Politeknik Besut Terengganu.  Sementara itu, Ketua Pengarah Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Dr Mohd Zahari Ismail yang  sempat memandu uji Mini EV-Car tersebut turut melahirkan rasa bangga di atas kejayaan tersebut.  "Ini membuktikan pelajar lulusan Technical and Vocational Education and Training (TVET) mampu menguasai pengetahuan dan kemahiran praktikal dengan sangat baik," pujinya.  Sehubungan itu, Pengarah PSMZA, Zamra Derahman, turut berpuas hati dengan  pencapaian tersebut dan menekankan peranan penting TVET sebagai asas  dalam membentuk tenaga kerja mahir dan mendorong kepada pertumbuhan  ekonomi.  "PSMZA turut berhasrat untuk mengadakan lebih banyak kolaborasi bersama industri berkaitan bagi memberi nilai tambah yang lebih baik  kepada para graduan PSMZA khususnya," ujarnya lagi.
27 Jan 24
367