Artikel "Komuniti" Terkini
Lima Beranak Tinggal Sehelai Sepinggang di Awal Tahun Baharu
MARANG, 11 Januari - Lima beranak tinggal sehelai sepinggang selepas rumah mereka hangus dijilat api dalam kejadian kira-kira jam 3 petang hari ini.
Tarmizi Musa, 43, berkata mereka empat beranak ketika itu sedang berehat di rumah di Kampung Atas Tol.
Katanya, mereka sekeluarga hanya mampu menyelamatkan diri dalam kejadian tersebut manakala anak sulongnya yang berumur 17 tahun masih belum pulang dari sekolah
“Saya sedar akan kebakaran diawalnya dan cuba untuk memadam kebakaran yang berpunca daripada litar pintas di tingkat atas namun api merebak terlalu cepat,.
"Apa pun saya bersyukur kerana kami semua selamat,” katanya.
Menyedari akan hal itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah segera mengusahakan penempatan sementara buat mereka lima beranak di rumah tumpangan berdekatan.
Menurutnya lagi, pihaknya akan usahakan bantuan bina rumah melalui bantuan JKM dan MAIDAM secepatnya buat mereka sekeluarga.
11 Jan 24
586
Pusat Autisme Terengganu Capai Matlamat
KUALA TERENGGANU, 9 Januari - Pusat Autisme Sejahtera Terengganu yang dirasmikan setahun yang lalu terus mengorak langkah dalam membantu anak-anak autisme dalam Negeri Terengganu.
Timbalan Pengerusi Jawatan Kuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga & Perpaduan Nasional negeri, Zuraida Md Noor berkata Pusat Autisme Sejahtera Terengganu itu telah hampir genap setahun usia pelancarannya,
Pelancaran Pusat Autisme Terengganu pada 25 Julai 2023 yang lalu.
"Setelah empat tahun kita bertungkus-lumus untuk menubuhkan pusat ini akhirnya, Allah mengizinkan jua untuk pusat ini berdiri megah.
"Baru-baru ini, kami telah pun selesai permukiman (retreat) Pusat Autisme Sejahtera Terengganu untuk kita perincikan gerak kerja, meliputi pelan tindakan strategik juga program-program yang bakal dilaksanakan," ujarnya.
Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Pada masa yang sama, Zuraida turut menzahirkan ucapan setinggi-tinggi terima kasih kepada semua pihak yang menjadi tulang belakang kepada pusat tersebut.
Peserta pemukiman Pusat Autisme Sejahtera Terengganu.
"Saya sangat terhutang budi kepada semua individu yang menjadi tulang belakang kepada kejayaan penubuhan pusat ini.
"Kesemua kesusahan dan kesulitan kita harungi bersama, elemen inilah yang menjadi penaut kepada kita untuk terus kuat bersama.
"Insya-Allah, kita cuba bantu ibubapa yang mempunyai anak autisme untuk mendapatkan pendidikan yang terbaik," ulasnya lagi.
09 Jan 24
411
Krisis Air Kota Putera Dijangka Selesai Hujung Bulan
KUALA TERENGGANU, 8 Januari - Isu bekalan air di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera dijangka selesai menjelang hujung bulan ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini AB Rahman berkata, pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) beriltizam menyelesaikan masalah berkenaan dalam tempoh tiga minggu bermula 2 Januari lalu.
"Hasil perbincangan dengan SATU, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ts Abdul Karim Endut menjelaskan pihaknya akan membuat saluran pirau (bypass) dari lokasi kebocoran sedalam 10 meter di dasar sungai ke atas jambatan melibatkan sambungan sejauh 720 meter.
"Jadi, ia dijangka selesai sekitar 23 Januari dan kita berharap usaha dilakukan berjalan lancar dan menepati jangka masa ditetapkan kerana ia akan mencecah sebulan jika berganjak lagi," katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau itu memaklumkan, sejak krisis bermula pada 28 Disember lalu, beberapa tindakan segera telah dilakukan bagi membekalkan air bersih kepada penduduk terlibat.
"Sebaik sahaja kedua-dua tangki (Tangki SATU Kampung Raja dan Loji Air Bukit Bunga) ditutup, pihak DUN memanggil pegawai SATU memberi taklimat dan pihaknya meletakkan tangki-tangki statik di lokasi terpilih.
"SATU mendapat bantuan segera daripada Setiu dan Kuala Terengganu dengan kekuatan enam lori tangki bagi mengisi tangki-tangki statik yang ada. Di pihak DUN, sukarelawan kami telah berusaha mengambil air dari loji SATU dan bergerak dengan tiga buah lori dan lima buah kenderaan pacuan empat roda pada awalnya.
"Pada 2 Januari, pihak DUN berjaya mendapatkan bantuan Bomba dan Penyelamat (BOMBA) yang menyediakan dua lori tangki berkapasiti 20,000 liter serta satu lori tangki daripada ADUN Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim untuk beroperasi sehingga hari ini," ujarnya.
Beliau memaklumkan, pihak DUN turut mendapat kerjasama NGO Khidmat Malaysia Terengganu dan Jabatan Amal Malaysia dengan membuka pusat operasi di Dataran Limbungan sepanjang tempoh krisis bekalan air yang beroperasi sehingga jam lima pagi.
Untuk makluman, krisis bekalan air Kota Putera bermula apabila berlaku kebocoran paip pada kedalaman 12 meter di dasar Sungai Besut berlokasi di Jambatan Lampu. Ia disedari berikutan berlakunya tekanan rendah pada 23 Disember.
Dalam tempoh penyiasatan pihak SATU, kebocoran semakin parah menyebabkan dua tangki terpaksa ditutup pada 28 Disember.
Masalah bekalan air melibatkan kawasan Kampung Raja dan Keluang dengan sebanyak 2,570 pengguna melibatkan 10 buah kampung terjejas sepanjang krisis berlaku, tetapi tangki Kampung Raja dapat diselamatkan kerana sebahagiannya sempat disalurkan kepada tangki berdekatan.
08 Jan 24
360
'Kita Manusia Bukan Malaikat'
DUNGUN, 6 Januari - "Kita manusia bukan malaikat. Kekurangan sikit-sikit tu biasalah. InsyaAllah kita balas balik kepercayaan yang diberikan rakyat pada penggal ini dengan memberi perkhidmatan yang terbaik untuk mereka".
Itu antara pesanan Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahri Mamat kepada pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Keselamatan Kampung (JPKK) DUN Paka.
Katanya, kejayaan pengurusan kampung tidak dapat dicapai tanpa sokongan dan kerjasama yang kukuh dari setiap komuniti.
"JPKK perlu ada kerjasama dalam komuniti untuk melancarkan pengurusan pentadbiran sesebuah kampung," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Watikah Pelantikan JPKK DUN Paka di Rumbi Resort, Paka, semalam.
Beliau menjelaskan, sebagai tanda penghargaan kepada pengundi yang memberikan sokongan kepada PAS, kepercayaan rakyat adalah aset terbesar untuk berkhidmat.
"Sebab rakyat yang mengundi kita inilah pemegang taruh sebenarnya kepada kerajaan kita (PAS) memerintah. Dia yang memilih kita," ujarnya.
Beliau turut mengajak ahli jawatankuasa JPKK agar saling berkongsi pengalaman dan bekerjasama dalam meningkatkan keselamatan dan keamanan di kawasan masing-masing.
"JPKK perlu saling berkongsi pengalaman untuk memastikan kejayaan kita dalam menjalankan tanggungjawab ini.
"Kepada pengerusi JPKK yang lama, sama-samalah kita berkongsi ilmu dan pengalaman kepada yang lain agar pengurusan kita lebih selaras," katanya.
Beliau juga berharap agar momentum kemenangan dalam PRU dapat diteruskan dengan memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
"Kita harap dapat kekalkan momentum kemenangan ini dan jangan disia-siakan, kepercayaan yang diberikan oleh rakyat itu kita balas dengan memberikan perkhidmatan yang terbaik," ujarnya.
06 Jan 24
456
KHIDMAT Dungun Hantar Bekalan Air Bersih Ke Besut
DUNGUN, 6 Januari- Khidmat Pengurusan Kecemasan & Bencana Malaysia (KHIDMAT Malaysia) Dungun mengambil inisiatif dengan menghantar bekalan air bersih bagi kegunaan penduduk terjejas susulan masalah paip air bocor yang berlaku di dasar sungai dekat Jambatan Kampung Lampu, Besut sejak minggu lalu.
Pengarahnya, Khairul Ismail berkata, misi membawa bantuan air ke Besut itu disertai seramai 20 orang dari Jabatan Amal Malaysia (JAM) Dungun dan Kelab Kebajikan Dan Rekreasi Peminat Pacuan Empat Roda Dungun (PADAT).
"Manakala jentera yang terlibat adalah dua buah lori tiga tan dan empat buah kenderaan pacuan empat roda (4x4) yang setiap kenderaan ini dilengkapi dengan tangki air," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Menurut beliau, pihaknya ditugaskan untuk mengagihkan bekalan air bersih di Kampung Limbungan dan Seberang Kastam dalam DUN Kota Putera.
"Jadi dalam operasi kali ini kita akan hantar air dari rumah ke rumah, " ujarnya.
Terdahulu, Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) dalam satu kenyataan sebelum ini memaklumkan, kebocoran paip tersebut telah mengakibatkan gangguan bekalan air berlaku di 11 kampung melibatkan Tangki Air Bukit Keluang di daerah tersebut.
Katanya, kebocoran paip bersaiz 600 mm itu mengakibatkan seramai 2,670 akaun pengguna dijangka menghadapi gangguan bekalan air bermula 1 hingga 21 Januari nanti, sementara kerja baik pulih dijalankan oleh kontraktor yang dilantik.
Bagaimanapun katanya, sebanyak enam lori tangki air dan 49 tangki statik sedang ditempatkan di kawasan terjejas dengan memberi keutamaan kepada premis-premis kritikal sepanjang tempoh gangguan bekalan air tidak berjadual itu.
06 Jan 24
261
Parkir : Peniaga Sokong Kenakan Caj Jika Kena Cara
KUALA NERUS, 5 Januari - Rata-rata peniaga di Dataran Rimba Square tidak menghalang sekiranya Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) mahu melaksanakan parkir berbayar di kawasan tersebut jika menggunakan kaedah yang tepat.
Wakil pengusaha, Muhd Shamiza Ali, 42, berkata, beliau berharap Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) mendapatkan nasihat Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkenaan kaedah yang bakal dilaksanakan nanti.
Beliau menegaskan, para peniaga risau sekiranya kaedah kutipan menggunakan pondok atau khemah yang menimbulkan kekecohan sebelum ini, berulang kembali.
"Kami tidak menghalang PBT mengenakan caj parkir, tetapi kaedah kutipan itu yang dipertikaikan. Kita faham, Kerajaan Negeri perlukan dana, cuma kaedah yang digunakan perlu bersesuaian.
"Kami juga telah memberi cadangan kepada YB Wan Sukairi dalam pertemuan sebelum ini bahawa peniaga bersedia menyokong dengan membeli lot parkir daripada MBKT sekiranya diperlukan.
"Kami belum dapat satu jawapan, sistem bagaimana yang akan digunakan selepas ini," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) bersama sebahagian pengusaha di Dataran Rimba Square, semalam.
Tambahnya, kaedah mengutip bayaran parkir menggunakan pondok secara tidak langsung akan turut memberi impak kepada sistem pentadbiran negeri, padahal ia dilakukan oleh pihak kontraktor swasta
Dalam pada itu, pengusaha kedai alat permainan, Rafiuddin Wan Muhammad, 39, menyifatkan, pihak MBKT seharusnya melakukan kaji selidik kewajaran dan kesesuaian kaedah sebelum mengenakan caj di sesuatu kawasan.
"Sebelum ini, berlaku penurunan jualan sebanyak 50 peratus di kalangan majoriti peniaga hanya dalam tempoh dua hari pondok kutipan beroperasi.
"Bahkan, boleh dikatakan purata satu kedai di kawasan ini terpaksa 'menutup pintu' sejak enam bulan lalu impak penutupan pasaraya di sini dan kaedah ini semakin membebankan peniaga. Jadi, apa kriteria yang wajib ada untuk melayakkan sesuatu kawasan dibuat parkir berbayar dan bagaimana kaedahnya?.
"Kami akan sokong sepenuhnya sistem parkir berbayar sekiranya menggunakan sistem elektronik yang digunakan secara meluas di seluruh negara dan ternyata memudahkan pengguna.
"Ketika sistem pondok dijalankan, kami memerlukan masa sehingga setengah jam untuk keluar dari parkir," katanya sambil berharap masalah sama tidak berulang.
Beliau turut memuji langkah bijak Majlis Daerah Besut (MDB) yang mengetengahkan sistem parkir pintar 'Smart Besut' yang dilihat semakin memberi impak positif kepada daerah berkenaan.
Isu pondok kutipan parkir di Dataran Rimba Square awal bulan lalu menimbulkan kekecohan apabila membebankan pengunjung yang datang ke kawasan tersebut.
Isu itu berlanjutan dengan pelbagai aduan yang berakhir dengan tiga pondok kutipan dibakar oleh individu tidak dikenali.
Wan Sukairi berhasil meredakan keadaan selepas pertemuan dengan para pengusaha terlibat dan berjanji untuk membawa 'suara' mereka ke peringkat pengurusan tertinggi PBT.
05 Jan 24
1877
Rezeki Tahun Baru Diami Rumah Sendiri
DUNGUN,4 Januari- Kedatangan tahun 2024 yang baru melepasi beberapa hari pastinya menjadi detik yang paling bermakna buat lima beranak dari Kampung Gong Pasir, di sini apabila menerima rumah baharu.
Saupi Alias,36, berkata, dia sangat terharu kerana hasrat untuk mendiami rumah sendiri akhirnya tercapai pada awal tahun ini menerusi Projek Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) yang diperkenal kerajaan negeri.
“Alhamdulillah, rasa syukur sangat dan saya ucap ribuan terima kasih kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli dan Alias Harun yang merupakan mantan ADUN kawasan ini yang telah berusaha untuk mendapatkan rumah ini buat keluarga kecil kami.
“Sekian lama saya nantikan rumah ini kerana sebelum ini hanya menumpang di rumah mertua yang juga tinggal di sekitar sini,” ujarnya.
Bapa kepada tiga anak itu berkata demikian ketika ditemui pemberita di Majlis Penyerahan Kunci Rumah PPTS DUN Rantau Abang yang disempurnakan oleh ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli di Kampung Gong Pasir, semalam.
Tambah Saupi, pemberian itu juga mengembirakan anak-anaknya yang masih bersekolah dan semestinya memerlukan kepada kediaman yang selesa.
“Selepas ini mereka dapat belajar dan berehat dengan selesa berbanding sebelum ini, terima kasih kepada kerajaan,” ujarnya.
Sementara itu, Mohd Fadhli Rahmi berkata, kerajaan negeri sentiasa komited untuk melihat rakyat Terengganu memiliki kediaman sendiri agar kehidupan mereka lebih kondusif dan selesa.
“Kerajaan negeri sentiasa komited menyediakan rumah kepada rakyat Terengganu yang kurang berkemampuan dan memenuhi syarat yang telah ditetapkan,” ujarnya.
03 Jan 24
588
Pelbagai Pihak Tampil Bersih Sekolah Pasca Banjir
DUNGUN, 2 Januari- Lebih 120 individu termasuk anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, beberapa agensi kerajaan, syarikat swasta dan penduduk kampung hari ini tampil membantu membersihkan Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Raja di sini yang terjejas banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, operasi pembersihan berkenaan dimulakan sejak awal pagi tadi hingga petang ini bagi memastikan murid dapat belajar dengan lebih selesa.
“Meskipun sekolah itu telah dibersihkan sebelum ini, namun masih ada kesan lumpur di sekitar bangunan sekolah terutamanya di kawasan asrama dan bilik darjah yang memerlukan kerja-kerja pembersihan secara maksima.
“Hari ini sepatutnya bermula sesi pembelajaran dan pengajaran tetapi terpaksa digantikan dengan aktiviti gotong-royong membersihkan bangunan sekolah yang terjejas banjir baru-baru ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di sekolah terbabit sempena Program Pasca Banjir Bersama Komuniti.
Katanya, para sukarelawan turut melakukan kerja-kerja pembersihan Masjid Kampung Pasir Raja yang turut ditenggelami air baru-baru ini.
02 Jan 24
229
JAM Rantau Abang Gerak Anggota Bersih Rumah Mangsa Banjir
DUNGUN,31 Disember- Jabatan Amal Malaysia (JAM) Rantau Abang segera menggerakkan anggotanya untuk turun padang bagi membantu mangsa banjir membersihkan rumah sejurus air mulai surut di daerah ini.
Ketuanya, Muaz Anuar berkata, anggota JAM Rantau Abang telah bersiap sedia lebih awal dalam misi membantu mangsa banjir yang memerlukan bantuan membersihkan rumah.
“Ini sudah menjadi rutin tahunan kerana hampir setiap tahun kami akan turun bagi melakukan ops pasca banjir selepas air mula surut dan penduduk mula pulang ke rumah.
“Beginilah keadaan selepas berlakunya banjir, penuh dengan lumpur dan sampah sarap yang bersepah di dalam rumah dan luar rumah,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas melakukan kerja pembersihan di Kampung Wa, semalam.
Mengulas lanjut katanya,ops pasca banjir kali ini turut disertai oleh sukarelawan daripada golongan belia, beliawanis dan masyarakat setempat yang berganding bahu menyumbangkan tenaga membantu membersihkan rumah mangsa banjir.
“Kebiasannya untuk membersihkan sesebuah rumah itu akan memakan masa juga disebabkan oleh barang-barang yang perlu dikeluarkan terlebih dahulu sebelum memulakan pembersihan.
“Kira-kira seramai 20 orang anggota Jabatan Amal Rantau Abang dan dibantu oleh sukarelawan telah digerakkan dalam ops pasca banjir kali ini,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fahdli Rahmi merakamkan penghargaan kepada anggota JAM Rantau Abang yang telah menyumbangkan tenaga bagi menjayakan misi ops pasca banjir di sini semalam.
“Terima kasih juga kepada seluruh sukarelawan yang sudi meluangkan masa untuk bersama berganding bahu membantu mangsa banjir ini,” katanya.
Beliau juga menyeru kepada semua masyarakat setempat untuk terus bersatu padu dan rapatkan saf ukhuwah bagi menghadapi ujian daripada Allah S.W.T ini secara bersama.
“Setiap ujian yang diberikan kepada hambanya itu pasti ada hikmah disebaliknya, percayalah bahawa ganjaran pahala yang besar sedang menanti buat orang yang sabar dalam menempuh setiap ujian.
Semoga bantuan dan sokongan daripada masyarakat yang lain terus mengalir bagi membantu penduduk yang terlibat banjir baru-baru ini,” ujarnya.
31 Dec 23
156
Terus Pantau Dan Bantu Mangsa Banjir Walau PPS Telah Ditutup
DUNGUN, 31 Disember- Khidmat Malaysia Kawasan Dungun memberi jaminan akan terus memantau keadaan mangsa banjir yang telah pulang ke kediaman masing-masing setelah dua Pusat Pemindahan Sementara (PPS) terakhir daerah ini ditutup secara rasminya pukul 9 pagi tadi.
Pengerusinya, Khairul Ismail berkata, ianya bagi memastikan setiap perkembangan (mangsa banjir) selepas penutupan PPS diuruskan dengan cekap dan berkesan.
“Kita akan berhubung dengan mereka melalui aplikasi WhatsApp Khidmat Kawasan dan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing.
“Kepada penduduk yang masih memerlukan bantuan termasuk untuk membersihkan rumah dan sebagainya atau mempunyai sebarang aduan boleh terus menghubungi kita untuk dipanjangkan kepada pihak berkuasa melalui saluran komunikasi yang sedia ada.
"Diharapkan masyarakat setempat dapat kembali kepada kehidupan normal dengan bantuan yang diberikan dan sokongan padu daripada pelbagai pihak," katanya ketika dihubungi pemberita.
.Mengulas lanjut katanya, dua PPS di Dungun iaitu dewan Masjid Serdang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Pati ditutup secara rasmi jam 9 pagi tadi dan seramai 112 mangsa daripada 33 keluarga yang berlindung di dua PPS berkenaan dibenarkan pulang ke kediaman masing-masing.
"Alhamdulillah kita tengok keadaan cuaca yang semakin baik serta penurunan trend paras air sungai turut memberikan kemudahan kepada penduduk yang terjejas," katanya.
31 Dec 23
112