lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Masjid Perlu Berfungsi Sebagai Pusat Sehenti
Masjid Perlu Berfungsi Sebagai Pusat Sehenti
KUALA TERENGGANU, 21 Mac - Masjid perlu berfungsi sebagai pusat sehenti (one-stop centre) kepada masyarakat, bukan hanya bertindak sebagai pusat keagamaan semata-mata. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor berkata bahawa fungsi masjid perlu diperluas, tidak hanya dihadkan hanya untuk aktiviti keagamaan tetapi harus juga mencakupi aspek-aspek lain. "Seperti mana pada zaman Rasulullah SAW dahulu, kita lihat bahawa masjid tidak hanya bertindak semata-mata sebagai tempat sembahyang sahaja bahkan juga mencakupi aspek lain seperti pusat kemasyarakatan, pusat ekonomi dan lain-lain. "Oleh sebab itu, saya sangat menyokong sebarang usaha untuk mendekatkan institusi masjid ini kepada seluruh lapisan masyarakat", ujarnya. Suasana sekitar agihan juadah berbuka di hadapan Masjid Ladang. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Perasmian Madinah Ramadan Peringkat Daerah Kuala Terengganu 2024 di Masjid Al-Muktafi Billah Shah (Masjid Ladang), baru-baru ini. Zuraida yang juga merupakan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Keluarga, Wanita & Perpaduan Nasional Negeri Terengganu menyeru rakyat Terengganu untuk sama-sama memeriahkan Madinah Ramadan Peringkat Negeri Terengganu yang diadakan di Masjid Kampung Tok Jembal, Kuala Nerus. "Saya menjemput rakyat Terengganu untuk hadir ke Madinah Ramadan Terengganu yang diadakan sepanjang Ramadan ini, insha-Allah pelbagai pengisian menarik menanti di sana," tambahnya lagi. Zuraida mengagihkan juadah berbuka.  
21 Mar 24
360
160 Peniaga Bazar Ramadan Manir Terima Sumbangan
160 Peniaga Bazar Ramadan Manir Terima Sumbangan
HULU TERENGGANU, 19 Mac - Semangat dan keceriaan jelas terpancar pada raut wajah 160 peniaga Bazar Ramadan Pasar Manir di sini apabila menerima sumbangan kurma dan takwim daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir petang semalam. ADUN Manir, Hilmi Dato’ Harun turut mengambil peluang menyantuni serta menyempurnaan sumbangan kepada para peniaga di bazar berkenaan,  Beliau berkata program yang turut mendapat kerjasama daripada penganjur bazar, Persatuan Kebajikan Dan Rekreasi Pasar Manir juga mengedarkan apron kepada semua peniaga di pasar ini. "Selain melakukan agihan sumbangan, kita juga turut mengambil peluang untuk beramah mesra dengan peniaga-peniaga dan para pengunjung yang majoriti daripadanya adalah penduduk di kawasan DUN Manir,"   katanya ketika ditemui pemberita semalam. Tambah Hilmi, rata-rata peniaga ditemui menyambut baik program yang dilaksanakan oleh pihak PKM DUN Manir itu. "Di samping, cara ini juga dilihat mampu menjadi medan mengeratkan hubungan silaturahim antara pemimpin dengan masyarakat," ujarnya. Tambahnya, program tersebut merupakan salah satu acara tahunan yang dianjurkan dan akan diteruskan pada masa akan datang.  
19 Mar 24
187
Program ‘Asnaf To Asnaf’ Bantu Pelajar UMT Jana Pendapatan Sampingan
Program ‘Asnaf To Asnaf’ Bantu Pelajar UMT Jana Pendapatan Sampingan
KUALA TERENGGANU, 18 Mac- Pusat Islam Sultan Mahmud, Universiti Malaysia Terengganu (UMT) memperkenalkan inisiatif dinamakan ‘Asnaf to Asnaf’ iaitu program tuisyen yang melibatkan sekumpulan mahasiswa asnaf UMT bertindak sebagai tenaga pengajar kepada asnaf pelajar sekolah yang berada di sekitar kampus.  Naib Canselor UMT, Prof. Dato’ Dr. Mazlan Abd Ghaffar berkata, program tuisyen itu memberi peluang kepada pelajar sekolah kategori asnaf untuk mendapatkan bimbingan tambahan dalam pelajaran secara percuma.  “Melalui bimbingan yang diberikan oleh mahasiswa yang lebih berpengalaman, pelajar sekolah dapat memahami konsep-konsep yang diajar dengan lebih mendalam.  “Ini membantu mereka untuk meningkatkan pencapaian akademik dan seterusnya memberi peluang untuk mencapai kejayaan dalam pendidikan,” ujarnya dalam kenyataan yang dikeluarkan Pejabat Komunikasi Korporat UMT, hari ini. Mengulas lanjut katanya, inisiatif itu juga bagi membantu asnaf pelajar UMT yang kurang berkemampuan mendapatkan wang sampingan. “Objektif program ini antara lain untuk membantu mahasiswa dari keluarga kurang berkemampuan menjadi pembantu guru dengan bayaran saguhati yang bakal diterima hasil daripada sumbangan zakat.  “Dalam masa yang sama membantu murid-murid sekolah rendah yang ketinggalan dari segi pembelajaran serta memberi suntikan motivasi untuk meningkatkan taraf hidup mereka dan keluarga,” ujarnya. Katanya, program kebajikan itu melibatkan 300 pelajar terdiri daripada tiga buah sekolah di daerah Kuala Nerus iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, SK Tanjung Gelam dan SK Mengabang Telipot. “Dengan adanya program ini, pelajar asnaf UMT menerima elaun sebanyak RM960 seorang yang menjadi guru tuisyen melalui sumbangan tajaan penuh daripada Etiqa Family Takaful Berhad berjumlah RM122,900. Selain itu, Dr. Mazlan menyifatkan program seumpama itu sebagai platform terbaik dalam meningkatkan motivasi asnaf pelajar sekolah untuk berazam mengukuhkan pencapaian akdemik bagi menggapai kejayaan seterusnya mengubah nasib keluarga ke tahap lebih baik. “Dengan melihat contoh teladan yang dipamerkan mahasiswa dalam mengejar ilmu, pelajar sekolah dapat menjadikannya sebagai idola dan inspirasi untuk belajar bersungguh-sungguh. Ini tidak hanya meningkatkan semangat belajar mereka tetapi juga membantu membina keyakinan diri yang penting untuk mencapai matlamat pendidikan mereka,” katanya  
18 Mar 24
235
‘Abang Besar’ Sesat Berjaya Dipindahkan
‘Abang Besar’ Sesat Berjaya Dipindahkan
BESUT, 10 Mac - Kekecohan orang kampung sekitar Besut rentetan kehadiran ‘Abang Besar’ yang tersesat akhirnya kembali reda setelah ia berjaya ditangkap dan dipindahkan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, gajah yang ditangkap di Kampung Dendong, Besut telah dipindahkan ke habitat semula jadi yang sesuai dan jauh daripada konflik dengan manusia. "Operasi perpindahan ini melibatkan 22 orang kakitangan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar Dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Terengganu dan seorang kakitangan PERHILITAN Johor. Operasi bermula pada jam 8 pagi dan berakhir pada jam 1 petang ini. "Bagi pihak Kerajaan Negeri saya rakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada semua pasukan Jabatan Perhilitan dan masyarakat awam yang membantu dalam menyelesaikan operasi ini," katanya. Beliau berkata demikian dalam media sosial miliknya, petang semalam. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, gajah jantan itu telah mengganggu kehidupan manusia dan merosakkan kebun penduduk sekitar. S Katanya, setelah tangkapan berjaya dilakukan, gajah tersebut akan ditenangkan sehari dua sebelum dipindahkan ke Taman Negara. "Tentu akan ada orang kata, puncanya kerana manusia yang musnahkan hutan tempat habitat kehidupan gajah, akhirnya menjadi punca semua ini berlaku. Ini dinamakan faktor penolak (pushing factor). "Dalam konteks Negeri Terengganu, jumlah keluasan hutan simpan kekal (HSK) masih pada paras 42 peratus dari keluasan negeri. Inilah standard kebangsaan yang ditetapkan untuk Terengganu. Ia memadai untuk habitat kira-kira 200 ekor gajah sebagaimana data dari Jabatan Perhilitan. "Kewujudan kebun dan ladang di kawasan pinggir hutan juga menjadi faktor penarik (pulling factor) yang menarik perhatian ia keluar bagi mendapatkan sumber makanan dengan mudah. "Terima kasih Jabatan Perhilitan Negeri Terengganu yang terus tekun bekerja bagi menyelesaikan aduan rakyat berkaitan gangguan gajah. Disamping tangkap pindah, sistem pagar elektrik gajah (SPEG) turut dipasang. Ada ketikanya teknik tembak halau digunakan untuk menghalau gajah kembali ke hutan," jelasnya.
10 Mar 24
175
Remaja Muslimah Harapan Ummah
Remaja Muslimah Harapan Ummah
Oleh ; Noreini Abu Bakar Dan Farhah Najihah DUNGUN, 29 Februari - Remaja muslimah adalah harapan ummah untuk menjadi generasi muda yang menyintai diri, keluarga, negara dan agama. Pengarah Kem Remaja Islam Solehah (KRIS) peringkat DUN Rantau Abang, Safuraa Mohamad berkata, remaja banyak terdedah dengan pelbagai gejala negatif yang menyebabkan mereka hilang jati diri Islam.  "Hanyut dibuai arus jahiliah moden sehingga mengabaikan tuntutan agama dan cara hidup hidup.  "Justeru, semoga dengan pelaksanaan program Kem Remaja Islam Solehah (KRIS) dapat dijadikan platform membantu para beliawanis ke arah cara hidup Islam yang sebenar," jelasnya.  Safuraa yang juga Pembantu Penyelia Hal Ehwal Beliawanis, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) berkata demikian ketika dihubungi di sini hari ini mengulas lanjut kem yang diadakan di Villa Anjung Tamu, Sura di sini, selama dua hari iaitu pada 27 dan 28 Februari.  Katanya, kem yang terbuka kepada remaja perempuan yang berusia 14 hingga 21 tahun itu adalah anjuran bersama Beliawanis dan Ameerah DUN Rantau Abang telah berjaya menarik 38 orang peserta.  Beliau turut berharap peserta-peserta mendapat input bermanfaat dan membantu meningkatkan kefahaman mereka tentang cara hidup dan berketerampilan dengan imej Islam.  "Impaknya, akan dapat meningkatkan rasa tanggungjawab untuk mengangkat martabat ummah," ujarnya lagi.
01 Mar 24
217
Urus Tekanan Mental Dengan Komunikasi
Urus Tekanan Mental Dengan Komunikasi
Oleh : Ummi Kalthum Mamat BESUT, 27 Februari -Tekanan mental perlu diuruskan dengan cara terbaik termasuk menggunakan komunikasi bersama pasangan agar semua perkara dapat ditangani tanpa masalah. Pakar Perubatan Keluarga, Dr Tengku Bahiyah Tengku Lih berkata, jika sumber utama sebiji telefon ialah bateri, manakala tubuh adalah mental maka jagalah ia sebaik mungkin. Katanya, wanita menghadapi tekanan disebabkan pelbagai faktor, tetapi ia seharusnya dikawal bagi memastikan tidak memudaratkan diri, pasangan dan keluarga. "Wanita yang mengalami gejala gangguan mental perlu mendapatkan bantuan profesional, sama ada kaunselor atau pakar psikiatri serta patuhi nasihat dan rawatan yang diberikan. "Sekiranya rawatan dan intervensi awal tidak dilakukan, kesihatan mental boleh menjadi lebih parah sehingga boleh menyebabkan kes bunuh diri," ujarnya lagi. Beliau berkata demikian ketika menjadi ahli panel Program Sembang Santai bertajuk 'Kesihatan Mental Wanita 1.0' yang berlangsung di Grey House Cafe, Kampung Gelam Mas, di sini pada kelmarin. Manakala penganjur program, Ketua Ameerah DUN Kota Putera, Bariah Rosmarwadi, melahirkan rasa syukur kerana program itu mendapat respon positif dalam kalangan wanita muda. "Program sebegini harus dititikberatkan berikutan kadar peningkatan penyakit kemurungan semakin meningkat setiap tahun dalam kalangan wanita muda. "Seramai 22 orang peserta wanita telah berjaya membuka mata wanita di luar sana pentingnya menjaga kesihatan mental kita," jelasnya lagi.  Sementara itu seorang peserta yang ditemui,  Siti Mariam Zulkifli berkata, beliau sangat teruja dapat menyertainya.  "Program sebegini sangat bagus, baik untuk semua, perlu ada sesi berikutnya," katanya.
27 Feb 24
209
45 Kanak-Kanak Seberang Takir Sertai Khatan Percuma
45 Kanak-Kanak Seberang Takir Sertai Khatan Percuma
KUALA NERUS, 28 Februari - Seramai 45 kanak-kanak menyertai Program Khatan Percuma anjuran Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Seberang Takir. Program yang diadakan bersempena musim cuti sekolah itu turut mendapat kerjasama Masjid Seberang Takir. Majlis perasmian disempurnakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat. Kanak-Kanak terbabit turut dimandikan dengan semburan air oleh pihak BOMBA bagi meredakan ketakutan di samping mengembirakan kanak-kanak yang terlibat dengan program tersebut. Khazan berkata, sesi berkhatan percuma itu diadakan bagi membantu kanak-kanak dari keluarga yang kurang berkemampuan bagi melaksanakan tuntutan agama. "Dengan kos berkhatan pada masa kini semakin meningkat sehingga RM150 ternyata ia membebankan bagi segelintir ibu bapa. Alhamdulillah, dengan kerjasama Masjid Seberang Takir, ia berjaya dilaksanakan. "Berkhatan adalah sesuatu yang sangat penting untuk kesihatan selain daripada suatu tuntutan agama, menunjukkan bahawa Islam itu agama fitrah yang memang sesuai dengan naluri dan keperluan manusia," katanya. Sementara itu, bapa salah seorang peserta, Rashid Jusoh, 51, bersyukur dengan program berkenaan berikutan kos berkhatan pada masa kini agak mahal. "Terima kasih kepada semua yang terlibat, saya sangat berpuas hati perjalanan program. Hajat awal memang nak berkhatan di klinik tetapi anak rasa takut, berkhatan ramai-ramai begini kurang rasa takut," ujarnya. Sementara itu, Timbalan Pengerusi Masjid Seberang Takir, Halim Che Ibrahim berkata, program julung kali diadakan di masjid itu mengambil kira permintaan para jemaah. "Untuk makluman juga, kepada anak-anak yang terlepas program berkhatan beramai-ramai baru-baru ini, boleh berkhatan di klinik yang menyediakan perkhidmatan berkhatan, masjid akan bantu bayar sebanyak RM100 dan selebihnya adalah penjaga. "Melihat sambutan yang menggalakkan, insya-Allah program berkhatan akan dimasukkan dalam program tahunan.
27 Feb 24
80
Realisasikan Slogan Hulu Besut Bersih
Realisasikan Slogan Hulu Besut Bersih
BESUT, 28 Februari - Dalam usaha untuk mempromosikan kebersihan setempat, slogan "Hulu Besut Bersih" telah dipilih menjadi tema di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut sebagai usaha bagi memastikan semua pihak berperanan dan mengembleng tenaga dalam usaha memastikan kawasan ini sentiasa bersih. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin berkata  setelah diberikan kepercayaan untuk menjadi wakil rakyat aspek kebersihan itu sangat dititikberatkan serta menjadi tumpuan utamanya.  "Seruan ini haruslah disahut oleh semua masyarakat di DUN ini bagi menjayakan serta dapat memberi kesedaran akan pentingnya menjaga kebersihan. "Perlu bersih dari segenap segi, terutama sekali yang melibatkan sampah dan kecerian, tempat-tempat yang menjadi tumpuan terutama sekali di masjid, surau, taman perumahan dan setiap pelusuk kampung,"ujarnya. Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Dokumen Hakmilik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) DUN Hulu Besut di Dewan Serbaguna Sejahtera Kampung Pasir Akar, baru-baru ini.
26 Feb 24
208
Hijab Day: Didikan Langkaui Musim
Hijab Day: Didikan Langkaui Musim
DUNGUN, 19 Februari - Kesedaran serta pendidikan tentang menutup aurat atau berhijab sewajarnya diteruskan dari semasa ke semasa dan tidak berhenti pada suatu masa sahaja.  Ketua Pertubuhan Nisa' Malaysia daerah Dungun, Mahira Shahida Harun, berkata, wanita adalah tunjang sesebuah negara, manakala di dalam sebuah institusi kekeluargaan, wanita merupakan aset utama sesebuah keluarga. "Andai ingin melihat keluarga itu solehah, maka lihatlah pada ibunya. Justeru itu, saya kira gelombang ini sangat bertepatan dengan objektif yang diinginkan oleh pihak penganjur, mendidik wali supaya lebih cakna dan titik beratkan lagi hal menutup aurat dalam kalangan isteri dan anak-anak perempuan," katanya.  Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas Gelombang Hari Hijab Terengganu 2024, Peringkat Daerah Dungun yang diadakan di Dewan  Arena Merdeka di sini, baru - baru ini.  Mahira turut bersyukur dengan sambutan yang sangat menggalakkan daripada warga Dungun dan sekitarnya, dianggarkan seramai 150 orang yang hadir memeriahkan program tahunan itu.  Beliau turut melahirkan harapan agar segala usaha yang telah dilakukan oleh pihak NGO NISA’ bersama dengan kerajaan negeri mendapat nilai tambah dan dapat memberi kesedaran kepada wanita-wanita sekitar kawasan Dungun terutamanya, dalam perjalanan untuk menjadi lebih baik. "Saya sangat optimis, seandainya kita terus menerus berganding bahu dalam memberi kesedaran kepada wanita-wanita Islam di Terengganu ini, insya-Allah suatu hari nanti wanita-wanita di Terengganu khususnya akan lebih terdidik dan faham akan tuntutan yang Islam anjurkan ini.  "Semoga ada kesempatan lagi untuk berjumpa di lain waktu, hasrat besar kami moga kita dapat berjumpa di syurga firdaus. Ameen ya rabbal ‘alamin," ujarnya.
19 Feb 24
172
Pesta Main Selut Jadi Tarikan Pelancongan Terengganu
Pesta Main Selut Jadi Tarikan Pelancongan Terengganu
BESUT, 18 Februari - Pesta Main Selut Bukit Tanah berpotensi dijadikan tarikan agro pelancongan berikutan keunikan yang ditampilkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, ia dibuktikan dengan kemeriahan acara basikal titi dalam penganjuran tahun lalu yang tular di seluruh negara. Jelasnya, pesta itu boleh dibangunkan sebagai satu agro pelancongan dalam menyedarkan masyarakat tentang kepentingan industri penanaman padi negara. "Dalam masa sama, kita jemput orang ramai turun ke sawah sebelum kita mulakan musim menanam. "Setahun demi setahun kita menuju ke arah itu dan tidak mustahil kita mampu menjadikannya festival yang bukan setakat bertaraf nasional tetapi mungkin bertaraf antarabangsa. "Ini kerana, pelancong-pelancong luar yang datang suka melihat keunikan budaya dan tradisi masyarakat," katanya. Dr Azman menunjukkan kebolehannya bermain bola dalam lumpur. Beliau berkata demikian ketika ditemui dalam pesta yang berlangsung di Baruh Padi Gong Telikung, semalam. Tambah Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri itu, pesta berkenaan dianjurkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dibantu pelbagai badan komuniti sebagai usaha menghimpunkan masyarakat kampung dalam suasana santai di kawasan jelapang makanan Terengganu. "Acara tanpa batas sempadan usia ini nampaknya berjaya menyatukan masyarakat dalam suasana harmoni dan merapatkan ukhuwah. "Kita kembalikan memori alam kanak-kanak yang penuh keriangan dengan pelbagai acara antaranya bola sawah, 'igak' itik, 'gagau' ikan, basikal titi, pukul bantal, tarik upih, memancing dan beberapa lagi. "Insya-Allah, kita akan jadikan acara tahunan sebelum musim menanam padi baru," katanya. Antara acara yang menarik perhatian ramai. Dalam pada itu, pengerusi JPKK Kg Bukit Tanah, Muhammad Shairi Othman berkata, penganjuran edisi kedua itu ternyata lebih meriah dengan kehadiran sekitar 500 warga kampung. "Alhamdulillah semua boleh 'mari belaka' kerana program begini tidak ada sekatan berdasarkan warna politik. "Sebelum ini mudah dah (bekerjasama di kalangan penduduk), tetapi kalau ada program sebegini akan memudahkan lagi kerja-kerja JPKK dalam menguruskan kampung tambah-tambah YB kawasan juga mudah dan sentiasa bersama masyarakat," katanya. Program setengah hari itu juga disertai 15 anggota dan tiga pegawai Batalion Kedua, Rejimen 512 Askar Wataniah Kem Sri Tembila yang mengadakan pameran dan dorongan kepada anak-anak muda kampung untuk menyertai pasukan itu selain turut menyertai acara yang diadakan. Lawan tarik tali dalam lumpur agak sukar untuk menentukan pemenang.    
18 Feb 24
1552