Artikel "Komuniti" Terkini
Karnival Taman Syurga Tarik Orang Ramai Fahami Fungsi Masjid
Masjid al-Muktafi Billah Shah (MAMBS) atau lebih dikenali sebagai Masjid Ladang Kuala Terengganu akan menganjurkan Karnival Taman Syurga bermula 7 hingga 10 Julai ini bertempat di perkarangan masjid itu.Setiausaha Lembaga Pengurusan Masjid MAMBS, Ahmad Azman Tajuddin berkata, Karnival Taman Syurga yang julung kali diadakan itu, mensasarkan menarik orang ramai terutamanya golongan muda untuk memahami fungsi masjid serta menjadikan masjid sebagai pusat aktiviti seharian selain daripada pusat penyampaian ilmu.“Malah peranan masjid juga akan diharap boleh dilihat sebagai tempat yang menyediakan persekitaran yang soleh, sekaligus akan memandu masyarakat kearah masyarakat yang damai dan harmoni,” katanya kepada pemberita selepas perbincangan dengan wakil kerajaan negeri di Wisma Darul Iman, semalam.Ahmad Azman berkata, antara pengisian karnival yang mendapat sokongan daripada kerajaan negeri melalui Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Mohd Nor Hamzah termasuk kuliah, bicara ilmuan, daurah kitab fiqh, sembang selebriti dan diskusi ilmiah.“Kami juga menyediakan pertandingan seperti E-Sport, Battle of Nasyidian, pertandingan bercerita kisah nabi, pertandingan azan, mewarna dan pertandingan menulis artikel Islam.“Ada juga pesta buku Islam, pameran jualan, bike meet, derma darah, free market, pemeriksaan kesihatan percuma, memanah, congkak, catur dan karom dimana cetusan idea bagi karnival ini adalah datang dari pegawai-pegawai masjid AMBS sendiri ,” ujarnya.Katanya, antara selebriti dan penceramah jemputan yang akan mengisi program-program yang dijadualkan itu ialah pendakwah tersohor, Ustaz Azhar Idrus, Dr Danial Zainal, Adam Corie dan Zul Yahya.“Orang ramai dialu-alukan untuk membawa ahli keluarga masing-masing bagi memeriahkan lagi karnival ini sekali gus berpeluang mendapat pemahaman sebenar berkaitan fungsi masjid,” ujarnya.
06 Jun 18
125
Kawat Prihatin Derita Ibu Tunggal Hidap Kencing Manis Kronik
Kelab Wartawan Media Terengganu (Kawat) terpanggil untuk berkongsi kisah duka seorang ibu tunggal, Rosiana Rosli, 37, yang menderita penyakit kencing manis kronik di rumahnya di Kampung Padang Kemunting, Batu Rakit, hari ini.Rosiana yang kudung kaki kanan sehingga lutut, selain kehilangan jari telunjuk kanan dan kaki kiri yang turut berisiko dipotong akibat penyakit itu, tinggal di rumah yang uzur bersama anak tunggalnya, Mohd Shahrul Azim Mohd Rozi, 12, yang lembam dan seorang adik lelaki, Rohaimi, 36, juga mengalami masalah mental.Inisiatif digembleng Kawat bagi menyampaikan sumbangan sempena Ramadan dan Aidilfitri yang bakal menjelang tidak lama lagi itu disertai sekumpulan wakil media daripada beberapa agensi di Terengganu. Turut serta, Timbalan Presiden Kawat, Ahmad Syafri Husnaini Mohamad.Rosiana berkata, dia terharu dengan keprihatinan kumpulan media yang pertama kali mengadakan lawatan dan menyampaikan sumbangan kepadanya sejak tidak dapat berjalan dan bekerja seperti biasa akibat kehilangan anggota badan itu.Dia yang mula menderita sakit itu sejak 12 tahun lalu ketika mengandungkan Mohd Shahrul menyebabkan kakinya dipotong pada Ogos 2014, berharap ada pihak yang tampil membantunya untuk menguruskan kehidupan dengan lebih sempurna terutama menyediakan tandas dan bilik air yang sesuai dan lebih sistematik.“Sejak kehilangan kaki akibat sakit ini, saya tidak dapat menguruskan diri dengan baik dan perlu mengengsot untuk ke mana-mana selain menggunakan kerusi roda yang disumbangkan guru sekolah anak saya.“Sukar untuk saya bergerak ke tandas dan bilik air di bahagian dapur kerana kedudukannya jauh serta menyukarkan pergerakan saya. Jadi saya berharap ada pihak dapat membantu menyediakan kemudahan itu untuk keselesaan saya yang terpaksa menguruskan diri sendiri,”katanya.Rosiana yang kehilangan sumber pendapatan sejak menderita sakit itu, kini bergantung kepada bantuan saudara-mara terdekat dan jiran termasuk ibu sepupunya, Saidatul Hanas Chik, 66, yang sering menjenguk dan membantunya jika berdepan kesulitan serta berulang-alik mendapatkan rawatan susulan di klinik kesihatan berdekatan.Rosiana yang kelihatan cekal biarpun sedang berdepan ujian getir tanpa suami untuk bergantung harap selepas bercerai dua tahun lalu, berharap Aidilfitri ini memberi sinar kepada kehidupannya sekeluarga hasil keprihatinan pelbagai pihak yang boleh membantu mengurangkan kesengsaraan sedang dihadapinya kini.Sementara itu, Ahmad Syafri berkata, Kawat sekadar menghulurkan sumbangan kecil bagi mengurangkan bebanan ditanggung Rosiana dengan menyampaikan sedikit kewangan dan barangan dapur.Beliau juga berharap lawatan serta pendedahan oleh rakan media mengenai kisah ibu tunggal itu membuka mata pihak lain sama ada orang perseorangan serta badan korporat untuk membantu mangsa agar dapat melalui hidup lebih positif dan baik.
05 Jun 18
128
Khairunisa Mahu Wujud Bengkel Jahitan Muslimat Di Setiap DUN
Persatuan Pertubuhan Isteri-Isteri Wakil Rakyat (Khairunisa’) berhasrat memperbanyakkan Bengkel Jahitan Muslimat ke seluruh Dewan Undangan Negeri DUN) bertujuan melahirkan lebih ramai usahawan wanita di Terengganu. Pengerusi Khairunisa, Tuan Faizah Abd Rahman berkata bengkel seumpama itu telah lama diwujudkan bagaimanapun hanya melibatkan kelompok kecil atau wujudnya hanya di kawasan pedalaman.Katanya, menyedari perkara itu pihaknya berhasrat memperluaskan aktiviti sama kepada masyarakat di setiap DUN, supaya dapat menambah pendapatan sampingan keluarga.“Ramai di kalangan mulimat hari ini, termasuk yang bergelar ibu tunggal memiliki kepandaian menjahit, cuma tiada peluang untuk pergi lebih jauh termasuk menjadi usahawan,”katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita di Kediaman Seri Iman, Kuala Terengganu, hari ini.Tuan Faizah berkata hasil jahitan setiap peserta seperti telekung, jubah dan baju kurung akan dikumpul di Pusat Pengumpulan Produk sebelum dipasarkan ke serata negeri oleh Pegawai Pemasaran berpengalaman yang bakal dilantik.“Pegawai pemasaran berperanan mencari rakan niaga, termasuk pemborong pakaian, pengusaha butik dan juga bertindak menjalankan perniagaan lalui laman sosial,”katanya.
30 May 18
56
Madrasah Khairul Insan Jenagor Jadi Pilihan NGO Beraktiviti Sempena Ramadan
Setiap kali tibanya Ramadan, ramai pihak berlumba-lumba untuk menambah amalan masing-masing bagi memperoleh ganjaran pahala dengan mengadakan pelbagai program termasuk menyumbang kepada mereka yang memerlukannya.Pertubuhan bukan kerajaan (NGO) turut mengambil kesempatan untuk beramal bersama insan-insan istimewa yang berada di sebuah penempatan terpencil di Madrasah Khairul Insan Jenagor, Hulu Terengganu.Antara NGO terlibat, Persatuan Belia Pulau Manis Serada bersama TAC Outdoor dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam Terengganu (APM), Kelab Eksplorasi Jerangau Barat (Kelek), Terengganu Backpackers dan MAYC Kuala Terengganu serta pengamal media Terengganu.Penyelaras program, Mohd Rafi Kori berkata, program ini dilaksanakan bagi menyemarakkan aktiviti ziarah prihatin di kalangan masyarakat terutamanya golongan anak muda sebagai acara tahunan pengisian aktiviti Ramadan."Kami ingin mengajak anak muda untuk lebih menghayati Jejak Ulama dan Auliyak Terengganu di samping mempromosikan Madrasah Khairul Insan sebagai produk pelancongan islamik di Terengganu."Apabila berada di sini, kita juga boleh mendekati mereka-mereka yang pernah terjebak dengan gejala dadah dan bagaimana penghayatan rohani di madrasah menjadi elemen pemulihan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Ramadan Madrasah Khairul Insan Jenagor, baru-baru ini.Tambahnya, selain menyampaikan sumbangan prihatin, pelbagai aktiviti turut dilaksanakan sebagai pengisian program bersama penghuni."Antara yang menarik, kami dapat menziarahi Makam Auliya Syarif Muhammad Al Baghdadi yang dikatakan penulis Batu Bersurat Terengganu dan sekitar kawasan madrasah."Saat paling seronok ketika iftar atau taam bersama jemaah apabila kami berkongsi makan dalam talam dan dikatakan dapat mengeratkan ukhwah serta semangat persaudaraan melaluinya."Selepas taam, menunaikan solat fardu dan tarawih bersama jemaah sebelum dihiburkan olehpersembahan Kumpulan Dendang Anak, perkongsian cerita, sejarah melalui zikir dan lagu," katanya.Madrasah ini diasaskan oleh Zulkifli Ismail yang mula menjejakkan diri di kawasan itu pada 1987 bersama Pengkaji Sejarah Terengganu terkenal masa dahulu iaitu Allahyarham Dato Setia Jasa Dato' Salleh Awang.Secara rasminya, penempatan awal mula dibuka pada 1997 melibatkan sebuah pondok yang menggunakan buluh-buluh di kawasan sekitar dan kini penghuni di perkampungan madrasah semakin bertambah sehingga kira-kira 200 orang termasuk 10 keluarga.Menurut Zulkifli, madrasah ini tidak mempunyai sumber peruntukan atau pendapatan tetap dari mana-mana sumber agensi mahupun yuran peserta dan menerima sumbangan dari pelbagai pihak yang prihatin terhadap mereka.
30 May 18
1076
Kehadiran MB Meriahkan Tradisi Kelab WDI Masak Bubur Lambuk
Program memasak bubur lambuk anjuran Kelab Wisma Darul Iman (WDI) bertambah meriah dengan kehadiran pemimpin nombor satu negeri yang turun padang menyertai aktiviti menyediakan 17 kawah hidangan itu, pagi ini.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar meluangkan masa kira-kira 30 minit bersama lebih 200 pegawai dan kakitangan bergotong-royong memasak dan menyiapkan masakan sempena sambutan Ramadan di perkarangan WDI, bermula jam 9 pagi.Turut serta, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato' A. Rahman Yahya dan barisan ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.Sementara itu, penyelaras program, Mohd Sophian Abu Bakar berkata, kakitangan mula membuat persiapan memasak pada jam 8 pagi dan selesai kira-kira empat jam kemudian sebelum diagihkan secara percuma kepada kira-kira 1,200 kakitangan WDI."Sebanyak 17 kawah bubur lambuk dimasak termasuk satu kawah sumbangan Adabi (Consumer Industries Sdn Bhd). Pertama kali syarikat korporat menyertai program seumpama ini di samping mempromosikan produk keluaran mereka kepada kakitangan."Sebanyak 2,400 bubur dipaketkan untuk diagihkan kepada sesama kakitangan, manakala 600 paket lagi diedarkan secara percuma kepada pengguna jalan raya di depan Wisma Darul Iman bermula jam 2 petang," katanya kepada Teganukita, hari ini.Beliau yang juga Setiausaha Bahagian (Khidmat Pengurusan) berkata, sambutan baik dan komitmen yang diberikan pertugas sejak program ini diperkenalkan tahun lalu menyebabkan kelab itu memutuskan untuk meneruskan program yang sama buat kali kedua dan akan dijadikan sebagai acara tahunan pada masa akan datang.
30 May 18
291
Media, Hotel Permai Kolaborasi Agih 150 Pek Juadah Sahur
Rozainah (dua dari kanan) bersama Noralizan (kiri) menyerahkan juadah sahur kepada petugas di HSNZ. Foto oleh Harish Fadzillah Abu KassimPersatuan Karyawan Kreatif Terengganu dengan kerjasama Hotel Permai meneruskan tradisi tahunan dalam menyantuni golongan yang kurang berkemampuan termasuk petugas di jabatan kerajaan yang bersengkang mata berkhidmat pada waktu malam hingga pagi.Presiden Karyawan, Rozainah Zakaria, berkata program itu sebagai tanda kecaknaan dan memberi keceriaan kepada golongan yang memerlukan perhatian dan keprihatinan masyarakat sekeliling termasuk dari badan bukan kerajaan."Tahun ini kita memilih golongan gelandangan di sekitar bandar raya ini dan petugas Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) serta anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri yang bertugas demi menjaga keamanan serta kesejahteraan awam."Hotel Permai menyediakan sebanyak 150 pek juadah sahur berupa nasi dan ayam goreng, sambal bilis dan kurma serta air mineral untuk diagihkan dan ini merupakan kerjasama buat kali pertama pihak kami dalam melaksanakan kerja amal, "katanya selepas menyampaikan juadah sahur kepada anggota JBPM, di Kuala Terengganu, semalam.Program yang bermula 10 malam hingga 2 pagi, turut disertai Pemangku Pengurus Besar Hotel Permai, Noralizan Abd Rahman serta lebih 30 orang petugas hotel dan Ahli Jawatankuasa (AJK) Karyawan.Rozainah berkata, selain program itu, pihaknya dengan kerjasama Angkatan Pertahanan Awam (APM) juga akan menganjurkan acara bersahur beramai-ramai di puncak Bukit Besar dalam masa terdekat yang dimulakan dengan pendakian pada waktu malam.Sementara itu, Noralizan berkata, kolaborasi pada kali ini dapat mengeratkan silaturahim selain pada pada masa yang sama mampu membantu mempromosikan Hotel Permai."Pihak kami bersedia berkolaborasi dengan mana-mana pihak yang ingin melakukan kerja amal kerana bagi saya.. dalam rezeki kita, ada rezeki orang lain dan tidak salah untuk berkongsi," ujarnya.
27 May 18
84
Program Jelajah Ramadan Ceriakan 40 Anak Yatim
Omar menyampaikan sumbangan kepada anak yatim yang terpilih dalam program Jelajah Ramadan. Foto oleh Harish fadzillah Abu Kassim.Seramai 40 anak yatim ceria apabila menerima barangan keperluan harian dan wang tunai menerusi Program Jelajah Ramadan anjuran Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) dan Radio Televisyen Malaysia (RTM).Menurut Pengurus Ketengah, Omar Ismail, sebelum itu anak-anak yatim dari tiga buah sekolah di wilayah Ketengah di Bandar Al-Muktafi Billah Shah dan Bukit Besi, Dungun dibawa ke Kuala Terengganu untuk membeli-belah pakaian hari raya."Mereka juga diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama pengurusan Ketengah, pengurusan RTM Terengganu dan pengamal media."Program kolaborasi ini dibiayai oleh Tabung CSR Ketengah Holding Sdn Bhd iaitu anak syarikat Ketengah dan Jelajah Ramadan ini merupakan sebahagian program tahunan Ketengah bagi membantu golongan yang memerlukannya," katanya kepada pemberita di Program Jelajah Ramadan 1439H/2018M, semalam.Turut hadir, Pengarah RTM Terengganu, Lokman Muda serta pengamal media.Program yang berlangsung dua hari bermula dengan majlis berbuka puasa yang dihadiri hampir 500 penduduk kampung serta penyampaian bantuan kepada golongan asnaf fakir dan miskin di Kampung Basong, Hulu Terengganu.Tambah Omar lagi, program yang dijalankan secara kolaborasi dengan RTM lebih menjurus ke arah menyantuni golongan yang kurang bernasib baik seperti anak yatim dan juga penduduk yang uzur serta memerlukan bantuan."Semoga sumbangan dan bantuan ini dapat membantu meringankan beban serta menceriakan penduduk yang berada dalam wilayah Ketengah yang sememangnya sentiasa diberi perhatian oleh pihak kami," ujarnya.
27 May 18
198
Kelek JB Prihatin Sedia Juadah Sahur Petugas Malam
Adun Ajil, Maliaman Kassim menyampaikan sumbangan juadah untuk bersahur kepada kakitangan Hospital Hulu Terengganu sempena Program Singgah Sahur anjuran Kelek JB semalamDi saat orang lain lena dibuai mimpi, ada insan-insan yang sedang gigih melaksanakan tanggungjawab demi menjaga kesejahteraan masyarakat pada waktu malam 'petugas malam'.Bagi mengenang jasa dan pengorbanan itu sekumpulan anak muda daripada Kelab Eksplorasi Jerangau Barat (Kelek JB) yang aktif dalam aktiviti luar menyediakan juadah untuk bersahur.Presidennya, Mohamad Hanif Mat Rasat berkata, program ini dilaksanakan bagi menyantuni warga hospital yang terdiri dari para doktor, warga perubatan, jururawat dan pegawai keselamatan yang bertugas sepanjang malam di wad."Mungkin pada masa kita tidur nyenyak dan lena dibuai mimpi, wira-wira inilah yang bertugas dan memastikan kesemuanya berjalan lancar demi menjaga kesihatan masyarakat."Kebanyakan warga staf yang bekerja syif malam pada bulan Ramadan akan bersahur secara ala kadar kerana mereka perlu menjaga pesakit sepanjang masa bertugas."Sumbangan sekecil ini sedikit sebanyak diharap dapat memberi keceriaan dan membuatkan mereka berasa dihargai serta sentiasa diingati kerana merekalah sebenarnya wira yang menjaga kita tanpa mengira masa," katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Sahur Muhibah Ramadan Anjuran Kelek JB, di Hospital Hulu Terengganu, malam tadi.Majlis penyerahan sumbangan disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Maliaman Kassim.Salina Zainal AbidinBagi Jururawat U29, Salina Zainal Abidin, 30, yang bekerja syif malam pada Ramadan akan bersahur secara ala kadar kerana mereka perlu menjaga pesakit sepanjang masa bertugas."Memang seronok tengok ada yang masih mengambil berat, prihatin dan sedar tentang kami yang tidak pulang ke rumah dan bersahur bersama keluarga," katanya.
25 May 18
57
Hotel Grand Continental Rai Anak Yatim
Amzad bersama anak yatim sewaktu Majlis Berbuka Puasa di Hotel Grand Continental, Kuala Terengganu, petang semalam.Bersempena kedatangan bulan Ramadan, Hotel Grand Continental Kuala Terengganu (HGCKT) menganjurkan majlis berbuka puasa bagi meraikan 40 anak-anak dari Maahad Tahfiz Alquran Al Tahiri Kampung Gelugur dan Asrama Puteri Pratahfiz Kubang Parit, semalam.Pengurus Kanan Bahagian Jualan dan Pemasaran HGCKT, Norlindawati Hasan, berkata, majlis yang diadakan pada setiap kali Ramadan merupakan program tanggungjawab sosial korporatnya untuk membantu golongan kurang kemampuan khususnya anak yatim."Ini merupakan usaha bagi HGCKT untuk menyemarakkan harapan dan keceriaan dalam kalangan kanak-kanak yang tidak bernasib baik membawa mereka menikmati majlis berbuka puasa yang penuh kemeriahan ini."Saya berbesar hati kerana tahun ini adalah tahun ke 21 HGCKT mengadakan majlis berbuka puasa bersama kanak-kanak yang kurang bernasib baik...melalui usaha ini sekurang-kurangnya keceriaan dapat dikongsi bersama sekali gus peluang untuk mereka menikmati Ramadan dengan penuh bermakna,"katanya kepada pemberita di Majlis Berbuka Puasa di Jala Mas Coffee House,Hotel Grand Continental Kuala Terengganu.Majlis turut diserikan dengan kehadiran Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Amzad Hashim dan isteri serta wakil-wakil jabatan.Sementara itu, HGCKT turut melancarkan tabung derma untuk anak-anak yatim negeri Terengganu yang dirasmikan oleh Amzad."Hasil kutipan tabung ini akan diagihkan kepada pusat anak-anak yatim yang ada di negeri ini sebelum Aidilfitri nanti.“Kami mempunyai peranan yang besar untuk membantu masyarakat dan berharap inisiatif ini dapat memberikan keceriaan dan menyemarakkan semangat mereka berhari raya,” kata Norlindawati.Bagi Ana Danisa Mokhtar, 11,dia amat berbesar hati apabila berpeluang berbuka puasa bersama rakan-rakan di hotel dengan aneka juadah yang tidak pernah terlintas dihati.“Seronok sangat dapat makan sedap-sedap dan dapat pula duit raya. Sumbangan ini sangat bermakna bagi kami,” kata Ana yang tinggal di rumah anak yatim sejak lima bulan lepas selepas kehilangan ayah ketika berusia sembilan tahun.
21 May 18
400
Cari Pahala Di Bazar Ramadan
Hampir seminggu umat Islam di negara ini mengerjakan ibadah puasa di bulan Ramadan yang mulia.Bermakna, kira-kira seminggu juga para peniaga di bazar-bazar Ramadan di seluruh daerah mencari rezeki menjual juadah berbuka puasa.Di sinilah segala macam makanan dan juadah berbuka puasa dijual malah makanan atau kuih-muih yang pelik-pelik dan jarang-jarang ditemui pada hari biasa, boleh muncul pada bulan ini.Kehadiran orang ramai yang berpusu-pusu pasti menggembirakan para peniaga di bazar Ramadan yang menganggap tempoh sebulan ini adalah masa untuk menambah pendapatan. Berbeza dengan peniaga, Latifah Mat Sidek, 58, meskipun mungkin terdapat peniaga lain menjadikan bazar Ramadan sebagai lubuk emas dengan mengambil kesempatan menjual juadah dengan harga tinggi bagi mengaut keuntungan lebih, tetapi dirinya masih menjual nasi bajet RM3 sebungkus.“Mak Cik jual harga sama sahaja, nasi putih bersama ayam goreng berempah, kuah kari, sambal belacan dan sedikit ulam hanya RM3 sebungkus. Selain lauk itu, ada juga lauk lain seperti ikan goreng, ayam masak berlada, gulai daging dan pelbagai lagi.“Menu setiap hari adalah berbeza. Jadi, mereka boleh pilih lauk lain juga, dengan harga bermula RM2 hingga RM5,” katanya yang berniaga nasi bajet di Bazar Ramadan Batu Burok.Pada hari biasa, dia menjual nasi tersebut berdekatan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Budiman 1, Kuala Terengganu.Katanya, dia tidak gentar bersaing dengan peniaga yang meletakkan harga makanan yang jauh berbeza dengan dirinya kerana mengangap itu adalah rezeki masing-masing.“Setiap hari, mak cik sedia dalam kuantiti yang sedikit sahaja, dengan pelbagai menu. InsyaAllah, ada yang membeli. Selain dapat untung, boleh tambah pahala di bulan Ramadan,” katanya.
21 May 18
59