Artikel "Komuniti" Terkini
5,000 Pengunjung Meriahkan Sambutan Rumah Terbuka ADUN Sura
Ahli Parlimen Dungun bersalaman dengan pengunjung yang hadir.Seramai 5,000 penduduk di sekitar Dungun menghadiri Majlis Sambutan Hari Raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura dan Jamuan Kesyukuran di Dewan Arena Square, Dungun .hari ini.Majlis diadakan sempena sambutan Syawal dan meraikan kemenangan parti PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14), baru - baru ini. Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, Exco Kerajaan Negeri, Saiful Bahri Mamat, ADUN Alur Limbat, Arifin Deraman, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan Pegawai Daerah Dungun, Dato' Ibrahim Mohammad. Pada majlis tersebut pelbagai juadah seperti lemang, rendang, kuih tradisional dan disediakan untuk dinikmati pengunjung. ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dalam ucapannya berkata, beliau mengucapkan ribuan terima kasih kepada pengundi kerana memberi kepercayaan kepada parti PAS untuk menerajui pentadbiran Kerajaan Negeri Terengganu."Kepercayaan yang diberi merupakan satu amanah yang besar kepada kami semua dan InshaAllah, amanah yang telah diberikan akan dilaksanakan sebaik mungkin."Tumpuan kita (PAS) adalah untuk membangunkan Negeri Terengganu selari dengan keperluan rakyat yang mahukan pembangunan dan kebajikan mereka dibela sepenuhnya," katanya. Menurut beliau, kehadiran masyarakat pelbagai kaum menunjukkan perpaduan yang masih utuh dan ianya perlu dikekalkan demi kesejahteraan semua."Tanpa perpaduan adalah mustahil untuk menikmati pembangunan dan keharmonian kerana ianya merupakan elemen penting dalam kemajuan sesebuah negara," katanya.
20 Jun 18
101
Lemang Valley Jadi Tumpuan Sepanjang Ramadan, Syawal
'Wilayah Lemang (Lemang Valley) di Kijal menjadi tumpuan pembeli dari dalam dan luar Kemaman.Apabila menyebut makanan tradisional Lemang, pasti ada yang terbayangkan kesedapan beras pulut yang dimasak di dalam buluh dan dibakar sehingga menimbulkan bau yang pasti akan menggamitkan sesiapa saja untuk menikmati juadah tradisional tersebut.Kebiasannya makanan tradisional ini ditemui ketika musim perayaan khususnya pada sambutan Aidilfitri dan dimakan bersama rendang atau kuah kari.Lemang Kijal sudah menjadi sebutan di kalangan pengunjung yang sering menggunakan laluan Kuantan - Kuala Terengganu dan akan singgah untuk menikmati keenakan makanan tradisional tersebut untuk dibawa pulang.Dikenali sebagai Wilayah Lemang, Lemang Kijal mempunyai peminatnya sendiri yang sanggup datang dari jauh semata- mata hanya untuk membeli makanan yang tersohor di Negeri Terengganu itu untuk juadah pada musim perayaan.Bagi peniaga, kehadiran pengunjung pada musim cuti sekolah dan musim perayaan menyebabkan mereka tidak menang tangan untuk menyediakan lemang untuk dijual berikutan permintaan pembeli yang meningkat setiap kali tibanya musim perayaan.Peniaga sedang sibuk menyediakan lemang untuk dijual Bagi Selamah Mohammad, 60, kehadiran musim perayaan terutamanya pada sambutan Hari Raya Aidilfitri menyebabkan permintaan terhadap makanan tradisional tersebut meningkat sekali ganda berbanding hari-hari biasa. Peniaga berkenaan, Selamah Mohammad mengakui berasa sedikit letih disebabkan peningkatan jualan pada bulan Ramadan dimana pada hari biasa dia hanya mampu menjual sebanyak 50 ke 100 batang sahaja namun pada bulan puasa meningkat kepada 200 ratus batang sehari."Alhamdulillah, sepanjang bulan puasa pendapatan saya meningkat dan terpaksa menambah bilangan lemang kerana pembeli sudah mula membeli pada waktu tengahari dan pada sebelah petang lemang yang dijual sudah habis dibeli."Bukan saya sahaja, rakan-rakan peniaga lain juga turut merasai peningkatan hasil jualan pada bulan puasa ini dan kami sangat gembira kerana dapat meningkatkan pendapatan kami pada Ramadan ini," katanya.Bagi Abdul Hamid Talib, 63, mengakui tidak menang tangan menyediakan lemamg kerana permintaan untuk makanan tradisional itu meningkat dua kali ganda berbanding hari biasa.Bagi Abdul Hamid Talib pula, dia gembira kerana dapat menambah pendapatan kerana pada kebiasannya dia hanya perlu menyediakan sebanyak lima kilogram beras pada hari biasa namun pada Ramadan dia terpaksa menyediakan 10 hingga 20 kilogram beras pada setiap hari."Alhamdulillah, memang jualan lemang setiap hari habis licin dibeli pengunjung, saya bermula pada pagi dan pada petang, kesemua lemang yang dijual habis dibeli dan terpaksa menambah bilangan lemang bila Aidilfitri semakin hampir," katanya.Sementara itu, bagi pengunjung pula keenakan Lemang Kijal memang dinantikan setiap kali pulang ke kampung halaman di samping harganya yang murah dan kualiti lemang yang terjamin.Seorang pekerja swasta, Hafizah Che Ali, 34, keenakan lemang tersebut memang diakui dan harganya yang murah menyebabkan dia sanggup membeli lemang tersebut untuk dibawa pulang ke kampung halamannya di Kedah."Memang sedap la, tak ada lemang yang sesedap ini di kawasan lain."Di samping harganya yang murah dan bentuknya yang comel, memang ianya menjadi pilihan saya dan suami untuk membawanya pulang ke kampung untuk dimakan bersama keluarga, " katanya. Bagi Asraf Ismail, 34, keenakan lemang Kijal menyebabkan dia sanggup singgah setiap kali melalui kawasan tersebut untuk dibawa pulang ke kediamannya di Kuantan, Pahang."Lemang dia memang rasa lain macam sikit, tak sama dengan lemang yang ada di tempat lain. Memang lain rasa dia dan harga memang murah berbanding dengan di luar,"katanya.Permintaan terhadap Lemang Kijal dijangka meningkat menjadi tiga kali ganda pada sehari sebelum perayaan Aidilfiti berikutan semua perantau sudah mula pulang ke kampung halaman dan pasti akan singgah untuk membeli juadah yang terkenal di Negeri Terengganu sebagai juadah utama dinikmati bersama keluarga.
20 Jun 18
280
Manis FM Kumpul Lebih 3,000 Pakaian Terpakai Untuk Asnaf
Nurul Mardiana (dua dari kanan) bersama kakitangan Manis FM ketika mengagihkan pakaian kepada golongan memerlukan di sekitar Kuala Terengganu, baru-baru ini.Manis FM buat julung kali melancarkan projek amal yang diberi nama sebagai #projekrayamanis, sempena lebaran tahun ini bagi membantu golongan tidak berkemampuan dan asnaf mampu memakai pakaian baru dan masih elok di musim perayaan ini.Menerusi projek itu, lebih 3,000 helai pakaian terpakai dan baru dapat dikumpul hasil sumbangan semua kakitangan Manis FM dan pendengar stesen radio berkenaan yang mengambil peluang untuk turut serta menderma.Penerbit Program Khas Manis FM, Nurul Mardiana Abdul Alim berkata, walaupun projek itu terhasil daripada idea spontan dan hanya digerakkan dalam waktu yang singkat, hasil sokongan semua pihak terutama pendengar Manis FM, pihaknya berjaya mengumpul barangan berupa pakaian termasuk pelbagai jenis beg hasil sumbangan orang ramai.“Kita menggunakan platform radio untuk membuat hebahan mengenai projek ini dan sama sekali tidak menyangka ianya mendapat perhatian pendengar,"katanya.Tambahnya, pihaknya turut mendapat kerjasama Majlis Agama Dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi mendapatkan maklumat golongan asnaf untuk pengagihan barangan tersebut.Menurut Mardiana lagi, barangan sumbangan orang ramai itu dipilih terlebih dahulu serta diasingkan dengan hanya mengambil pakaian yang masih elok serta baru mengikut kategori bagi memudahkan proses pengagihan kepada golongan yang benar-benar memerlukan."Kami terlebih dahulu mengenalpasti lokasi dan rumah penerima dan memaklumkan untuk ke rumah mereka bagi menyampaikan sumbangan dan amanah orang ramai itu."Setiadk-tidaknya ia sedikit sebanyak dapat mengukir senyuman di wajah mereka dan juga diharap dapat meringankan beban menyambut kedatangan Aidilfitri kerana tidak semua golongan mampu mengadakan pakaian yang sempurna di hari raya,"katanya.
13 Jun 18
94
Polis Kemaman Keluar 1,099 Saman Sepanjang Ops Selamat
Anggota trafik memeriksa pengenalan diri pengguna jalan raya Polis Kemaman mengeluarkan 1,099 saman atas pelbagai kesalahan jalan raya sepanjang Ops Selamat Aidil Fitri yang bermula 8 Jun lalu hingga hari ini.Ketua Polis Daerah Kemaman Superintendan Mohd Said Ibrahim berkata, sebanyak 21 kes kemalangan direkodkan sepanjang Ops Selamat dijalankan .“Daripada jumlah itu hanya satu kes yang melibatkan kemalangan maut dengan mencatatkan satu kematian penunggang motosikal di Kerteh dua hari lalu.“Kesemua saman terbabit merangkumi enam kesalahan yang diberi penekanan pada sepanjang Ops Selamat seperti memandu melebihi had laju, memotong garisan berkembar, memotong barisan, memandu di lorong kecemasan, melanggar lampu isyarat dan memandu menggunakan telefon bimbit,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengetuai Ops Selamat di Bandar Chukai, Kemaman bersama 27 anggota trafik IPD Kemaman serta iftar Ramadan, malam tadi.Menurut Said, polis akan terus melipatgandakan rondaan di sepanjang jalan kawasan perbandaran dan Persekutuan bagi memastikan semua pemandu dan pengguna mematuhi peraturan.“Pengguna jalan raya juga dinasihatkan sentiasa berwaspada ketika memandu khususnya mereka yang menggunakan laluan pantai di kawasan Kerteh ekoran kerja-kerja naik taraf jalan sedang dijalankan.“Polis juga akan mempertingkatkan rondaan di beberapa lokasi yang kerap berlaku kemalangan bagi memastikan trafik sentiasa lancar dan selamat,” katanya.Selain itu, polis juga akan memberi tumpuan khas dengan melakukan pemantauan dan rondaan di kawasan-kawasan kediaman yang ditinggalkan orang awam yang pulang ke kampung.Selain itu, polis juga akan menggerakkan pasukan rondaan bermotor di semua kawasan kediaman penduduk bagi mengelak berlakunya kes jenayah atau pecah rumah sepanjang musim perayaan.Said berkata, penduduk yang ingin meninggalkan rumah boleh melaporkan kepada polis berhampiran bagi memudahkan pihaknya melakukan pemantauan di kawasan rumah masing-masing.Katanya, bagi memastikan kelancaran Ops Selamat tahun ini seramai 320 anggota dan pegawai ditugaskan di seluruh daerah berkenaan.
13 Jun 18
648
Demonstrasi Cegah Kebakaran Pendedahan Kepada Pengunjung Bazar Kemaman
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kemaman mengambil peluang memberi pendedahan mengenai aspek keselamatan rumah dan kenderaan kepada orang ramai terutama pada musim perayaan.Ketua Zon 2 Terengganu, PGKB II Azmi Ab. Rahim berkata, bomba memilih mengadakan demonstrasi di bazar Ramadan kerana menjadi tumpuan pengunjung membeli juadah berbuka di samping memberi pendedahan langkah mengawal kebakaran dapur kepada orang ramai."Pada hari ini kita mengadakan kempen kesedaran dan demonstrasi kepada orang awam daripada aspek kebakaran di rumah terutama di dapur kerana pada musim perayaan sering kali kebakaran berlaku di ruang dapur yang dikendalikan surirumah."Kejadian sebegini boleh dielakkan sekiranya pengguna peka dengan apa yang ada di dapur dan apabila berlakunya kebakaran mereka tidak panik dan kebakaran boleh dibendung dengan cara yang betul serta mudah selain mengelakkan kebakaran berlaku lebih besar,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas demonstrasi kebakaran di tapak Bazar Ramadan Bandar Kemaman, semalam.Menurut Azmi, demonstrasi itu bukan sahaja memberi pendedahan dan ilmu mencegah kebakaran kepada pengguna daripada pelbagai peringkat umur termasuklah ibu bapa dan anak-anak."Ini adalah satu petanda positif tidak terhad golongan dewasa tetapi juga kanak-kanak sebagai pendedahan keselamatan di mana apabila berlaku kebakaran di rumah mereka boleh bertindak terlebih dahulu sebelum bomba tiba,"katanya.Dalam pada itu, Azmi berkata, sepanjang Ramadan tahun ini hampir 71 peratus kes kebakaran direkodkan dengan 10 kes daripadanya melibatkan kejadian di dapur rumah, litar pintas dan juga kenderaan.Manakala tahun lalu pula mencatatkan 14 kes di sekitar Dungun dan Kemaman.Pada masa yang sama, beliau juga menasihatkan pengguna jalan raya agar merancang perjalanan dan membuat pemeriksaan keselamatan sebelum meninggalkan rumah untuk pulang ke kampung menjelang perayaan tidak lama lahi."Sebelum pulang ke kampung pengguna perlu memeriksa dan menutup segala soket elektrik dan memaklumkan kepada jiran sepanjang tempoh ketiadaan mereka agar jika berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini tindakan sepatutnya dapat diambil."Sebelum ini pernah berlaku pemilik rumah terlupa menutup soket pendingin hawa sehingga menyebabkan berlakunya kebakaran,"katanya.
12 Jun 18
53
50 Anak Yatim, Miskin Terima Sumbangan Raya
Perasaan gembira dan teruja jelas terpancar pada wajah seramai 50 kanak-kanak dari keluarga kurang berkemampuan dalam DUN Rhu Rendang apabila diberi peluang membeli-belah persiapan Aidilfitri di Pasaraya Ku, Marang hari ini.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, program kebajikan itu bertujuan meringankan beban golongan berkenaan selain membawa keceriaan ketika menyambut hari raya.“Program Sinar Aidilfitri DUN Rhu Rendang 2018 adalah merupakan satu inisiatif yang sangat terpuji yang wajar dilakukan bukan sekadar setiap tahun tetapi juga dilakukan oleh NGO-NGO dan orang perseorangan yang diberikan rezeki yang lebih oleh Allah S.W.T.“Kita perlu berkongsi dengan masyarakat terutamanya anak-anak yang tidak berkemampuan, anak-anak miskin, anak yatim dan sebagainya,” ujarnya.Beliau yang juga Adun Rhu Rendang berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Bantuan Raya Kepada Anak-Anak Yatim Dan Miskin di Pasaraya Ku, Marang, hari ini.Program anjuran Dewan Pemuda Pas Rhu Rendang dan PPD Rhu Rendang itu turut mendapat kerjasama Pasaraya Ku Trading Sdn Bhd.Katanya, beliau mengharapkan pada tahun hadapan lebih ramai anak-anak kurang bernasib baik menerima bantuan serupa.“Hari ini, jelas ternampak keceriaan anak-anak ini bila mereka memilih baju dan mendapat sedikit sumbangan walapun tidak seberapa tetapi ini adalah komitmen kita dalam meringankan beban mereka khususnya menjelang Aidilfitri beberapa hari lagi,” ujarnya.
10 Jun 18
322
Gabungan Tiga Agensi Rai 100 OKP Di Majlis Buka Puasa
Seramai 100 orang kena pengawasan (OKP) dadah diraikan dalam majlis berbuka puasa bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Persatuan Mencegah Dadah Malaysia (Pemadam) serta Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Kemaman.Naib Pengerusi Pemadam Daerah Kemaman Napatah Ariffin berkata, program tersebut merupakan sebahagian program pemulihan yang dijalankan terhadap OKP untuk mengatasi permasalahan dadah.“Pada bulan ini kita turut menjemput mereka menjalankan ibadah serta majlis berbuka puasa bersama-sama dan bagi mereka yang hadir hari ini kita dapat lihat keyakinan dalam diri dan usaha mereka yang bersungguh-sungguh untuk menjalani pemulihan.“Hari ini kita dapat lihat OKP yang hadir ini bukan sahaja datang sendiri malah turut membawa keluarga mereka, ini menunujukkan sesuatu yang baik dan sokongan mereka terhadap aktiviti yang kita jalankan,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam Majlis Berbuka Puasa Bersama OKP di Pejabat Anti Dadah Daerah Kemaman, semalam.Sementara itu, bekas OKP yang hanya ingin dikenali sebagai Mohamad, 44, berkata, program yang dijalankan kepada OKP bertujuan untuk memantau pergerakan mereka agar tidak kembali kepada kehidupan lama dan terjebak dengan najis dadah.“Dahulu saya ada menerima wang insurans kemalangan pada 2000... apabila ada duit, saya gunakan untuk membeli barangan kelengkapan rumah di samping itu saya mula berjinak-jinak dengan dadah jenis pil kuda dan pada masa itu separuh wang gaji saya digunakan untuk beli dadah.“Saya mula terjebak dengan pengambilan dadah sejak empat tahun lepas dan kini saya menjalankan proses OKP selama dua tahun bermula pada bulan Oktober 2015 sehingga 2017 dan masih lagi mengikuti program-program yang dijalankan walaupun sudah tamat tempoh pengawasan,” katanya.Bagi Mohammad Shafiq Mohd Ramli 28, pula berkata, mereka yang menjalani proses pemulihan dadah ini bukan sahaja dalam tempoh dua tahun tapi seumur hidup kerana jika tidak buat pemulihan tersebut, mereka mungkin akan kembali kepada kehidupan lama.“Dengan pengawasan ini, saya tidak lagi terjebak dalam najis dadah ini dan saya berterima kasih kepada AADK dan PEMADAM kerana menjaga kami dengan baik dan mesra," katanya
09 Jun 18
65
Sentiasa Sedia Dengar Keluhan Nelayan- Dr. Azman
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim sentiasa bersedia mendengar masalah dan isu nelayan di negeri ini.Dr. Azman yang diamanahkan memegang jawatan tersebut sejak sebulan yang lalu telah mengadakan pertemuan bersama komuniti nelayan Seberang Takir semalam dan pelbagai keluhan dan maklum balas diterima.Katanya, antara isu utama yang diketengahkan oleh nelayan di kawasan tersebut termasuk pencerobohan pukat tunda nelayan asing, perlesenan dan isu pemberian lesen ali baba, muara cetek dan benteng pemecah ombak, kurangnya sumber ikan di perairan serta penguatkuasaan undang-undang di laut.“Terkedu saya bila seorang nelayan dalam usia emas memaklumkan, inilah kali pertama dalam hidup dapat jumpa dan berdialog dengan Exco Pertanian. Saya sedia menjadi pendengar setia masalah dan isu nelayan yang telah berlarutan sejak berpuluh tahun lalu,” ujarnya.Katanya, segala permasalahan nelayan tersebut akan cuba diselesaikan di peringkat negeri serta dipanjangkan kepada Menteri Pertanian dalam masa terdekat.“Tak semua aduan kita mampu jawab dengan penyelesaian segera kerana sebahagian keluhan dan sesetengah masalah berada di dalam bidang kuasa kerajaan pusat. Sebahagiannya pula memerlukan pindaan kepada peraturan perikanan sedia ada.“Dalam masa yang sama, ada beberapa aduan berada dalam bidang kuasa kerajaan negeri untuk kita bertindak, “ ujarnya.Menurut Dr. Azman, berdasarkan kedudukan geografinya, nelayan Terengganu sebenarnya paling terdedah kepada isu pencerobohan nelayan asing berbanding dengan nelayan negeri-negeri lain.“Justeru, satu perhatian khusus dari segi penguatkuasaan perlu dengan tindakan drastik dan berkesan. Lama mereka memendam rasa melihat khazanah laut milik negeri dikaut dengan rakus tanpa mempedulikan undang-undang oleh nelayan asing. “Antara puncanya ialah kerana pemilikan lesen bot oleh individu yang mempunyai kedudukan istimewa dengan kerajaan sebelum ini dan kemudiannya dijadikan ali baba kepada nelayan asing.,” ujarnya.
09 Jun 18
49
Sembilan Keluarga Ceria Sambut Aidilfitri Di Rumah Baiti TH
Penerima Rumah Baiti TH mempamerkan replika kunci rumah yang diterima.Seramai sembilan dari 11 penerima Rumah Baiti Tabung Haji (TH) terpilih di daerah ini menerima kunci rumah masing-masing dalam majlis penyerahan di Kampung Telaga Papan, Setiu, semalam.Projek Rumah Baiti TH yang dilaksanakan dengan kerjasama kerajaan negeri Terengganu memperuntukkan bantuan berjumlah RM550,000 bagi membina rumah asnaf yang dipilih melalui senarai asnaf yang layak menerima bantuan.Majlis perasmian penyerahan rumah-rumah berkenaan dilakukan oleh Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abd Kadir.Manakala majlis penyerahan kunci dilakukan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Dato' Badlisyah Abdul Ghani.Pegawai Daerah Setiu, Rosdi Awang berkata, projek membina rumah itu bermula September 2016 dan siap sepenuhnya pada September tahun lalu."Terima kasih kepada Tabung Haji atas sumbangan Rumah Baiti ini dan ianya akan memberi keselesaan kepada keluarga penerima," katanya.Projek Rumah Baiti merupakan satu Program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) TH bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan untuk membaikpulih atau membina semula rumah kediaman mereka.Rumah Baiti TH yang diserahkan hari ini.Program ini memperlihatkan keprihatinan TH sebagai sebuah institusi Islam yang utuh dalam melestarikan ekonomi ummah khususnya golongan asnaf.Sementara itu, suami kepada seorang penerima, Zulkifli Abdul Rahman, 57, dari Kampung Telaga Papan, bersyukur kerana mendapat rumah baru."Terima Kasih kepada TH dan kerajaan negeri atas pemberian rumah ini kerana ialah lebih selesa berbanding rumah lama saya yang akan digunakan untuk seorang anak saya yang sudah berkeluarga," katanya.Turut hadir, Pengarah TH Negeri Terengganu, Dato' Mohyen Mosman.
09 Jun 18
29
Terengganu Inc Lancar Jejak Iftar Ramadan
Dr. Wan Ahmad Rudirman menyampaikan sumbangan kepada pengerusi Yayasan Kebajikan Mahfatim yang menguruskan Madrasah Al- Huda.Atas dasar tanggungjawab, Terengganu Incorporated Sdn Bhd (Terengganu Inc) melaksanakan program Jejak Iftar sebagai kerja amal sempena bulan Ramadan ini sepertimana tahun sebelumnya.Program diadakan di Madrasah al-Huda di Kampung Lubuk Perah, Wakaf Tapai, Marang, malam tadi.Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr. Wan Ahmad Rudirman Wan Razak, kegiatan itu satu tanggungjawab sosial korporat (CSR) syarikat korporat dan warga kerjanya sempena bulan yang penuh keberkatan ini."Bagi saya, program ini berjaya memupuk nilai-nilai murni dan keprihatinan warga kerja terhadap golongan yang memerlukan perhatian dalam masyarakat."Kami mensasarkan beberapa lokasi terutama yang jauh dan kurang mendapat bantuan bagi memastikan apa yang dilaksanakan memberi manfaat dan impak yang besar kepada penerima," katanya.Warga kerja Terengganu Inc. menurukan sumbangan keperluan untuk diserahkan kepada pihak madrasah.Selain menyediakan juadah berbuka bagi 45 orang penghuni Madrasah Al- Huda dan penduduk sekitar, Terengganu Inc turut memberi sumbangan wang tunai dan keperluan bagi kegunaan madrasah yang beroperasi sejak 14 tahun lalu itu.Dalam pada itu, Mudir madrasah, Megat Abd Manan Idrus, 54, turut menghargai usaha yang dilakukan oleh Terengganu Inc. kerana tidak melupakan golongan seperti mereka."Bagi sistem pengajian yang tidak mempunyai sumber dana tetap seperti kami, usaha dan sumbangan syarikat memang amat merindui manfaat untuk kelangsungan pengajian di sini."Selain itu, kami juga terharu dengan kemesraan warga kerja Terengganu Inc. yang terlibat menjayakan program ini," katanya.
07 Jun 18
67