lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

130 Pelajar UniSZA Didedahkan Dengan Ilmu Penyembelihan Ayam
130 Pelajar UniSZA Didedahkan Dengan Ilmu Penyembelihan Ayam
KUALA TERENGGANU, 13 Mei- Seramai 130 peserta termasuk pelajar Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) didedahkan dengan ilmu penyembelihan ayam mengikut syariat Islam menerusi program ‘Mahasiswa Rahmah, Komuniti Barakah’ yang diadakan di Maahad Tahfiz Ma'ahad Tahfiz Wal Tarbiyyah Darul Iman, Tok Jiring di sini, baru-baru ini. Pengarah programnya, Abdul Halim Harraz Mohamad Fauzi berkata, selain mendidik pelajar dan komuniti tentang tatacara penyembelihan ayam yang halal, secara tidak langsung program tersebut merapatkan hubungan silaturahim mahasiswa dan mahasiswi dengan masyarakat setempat. Katanya, program anjuran UniSZA yang turut mendapat kerjasama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Terengganu (JHEAT) itu juga bertujuan meningkatkan kesedaran dalam kalangan komuniti tentang manfaat penyembelihan ayam yang halal dan berkualiti. “Peserta turut diberi pendedahan secara amali yang secara tidak langsung memberi pengalaman sebenar cara melakukan penyembelihan ayam dengan tertib dan sempurna,” ujarnya. Mengulas lanjut katanya, program yang bertemakan ‘Prihatin, Ukhuwah, Kasih Sayang’ itu bukan sahaja dapat melatih pelajar dalam melaksanakan kerja secara berkumpulan, dalam masa yang sama menerapkan konsep kesukarelawan dalam diri mereka melalui aktiviti kemasyarakatan.  
13 May 24
278
8,000 Pengunjung Meriahkan Sambutan Aidilfitri Hulu Besut
8,000 Pengunjung Meriahkan Sambutan Aidilfitri Hulu Besut
BESUT, 8 Mei - Sambutan hari raya aidilfitri peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut disambut penuh meriah dengan kehadiran lebih 8000 pengunjung, pada kemarin. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin menzahirkan rasa syukur serta mengucapkan jutaan terima kasih kepada pengunjung terutamanya masyarakat di DUN ini yang telah menjadikan majlis hari raya yang diadakan itu penuh meriah. "Terima kasih diucapkan kepada masyarakat setempat yang hadir memeriahkan lagi sambutan hari raya dan selalu memberikan sokongan setiap program yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat (ADUN) Hulu Besut. "Terima kasih juga diucapakan kepada semua pihak yang terlibat secara langsung ataupun tidak langsung bagi menjayakan majlis sambutan yang amat bermakna ini. "Semoga dengan program seperti ini dapat merapatkan lagi hubungan silaturahim diantara kita semua," katanya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman di majlis berkenaan yang diadakan di Dewan Terbuka Dato'Seri Hj Idris Jusoh, Kampung Darau, di sini. Majlis yang diadakan di Dewan Terbuka Dato Seri Hj Idris Jusoh Kampung Darau berlangsung dalam keadaan lancar bermula pada jam 11.00 pagi dan berakhir pada jam 3.00 petang.
08 May 24
326
ADUN Ladang Saran Kerajaan Laksana Pelan Kontingensi Banjir
ADUN Ladang Saran Kerajaan Laksana Pelan Kontingensi Banjir
KUALA TERENGGANU, 29 April - Kerajaan Terengganu perlu menyediakan Rancangan Sokongan (Backup Plan) sebelum Pelan Kontingensi Banjir dilaksanakan di daerah ini, khususnya di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang bagi mengatasi masalah banjir kilat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor mencadangkan agar agensi-agensi dan pihak-pihak yang berkaitan mengadakan rancangan sokongan itu bagi membantu mengurangkan kesulitan rakyat ketika menghadapi bencana tersebut. Ini kerana katanya Pelan Mitigasi Banjir (Flood Mitigation Plan) bertujuan mengatasi masalah  banjir kilat di kawasan tersebut bagaimanapun  pelan itu masih dalam perancangan pelaksanaan kerajaan. "Seperti mana yang kita tahu dalam Rancangan Tempatan Daerah Kuala Terengganu 2030 dan 2035 (Pengubahan 1) sudah ada perancangan mitigasi banjir bagi menangani banjir kilat sekitar Kuala Terengganu. "Tetapi memandangkan pelan ini masih dalam perancangan dan tempoh masa pelaksanaan pelan tersebut yang agak lama, kita seharusnya mengambil satu langkah proaktif dengan menyediakan rancangan sokongan atau ‘backup plan’ yang mampu mengurangkan beban kepada rakyat yang terpaksa menghadapi banjir kilat ini hampir saban tahun," katanya ketika membahas Usul Menjujung Kasih Titah Ucapan Diraja di Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu di sini baru-baru ini. Beliau berkata bencana banjir kilat berlaku di DUN Ladang sebelum ini berlaku sebanyak dua kali dalam tempoh masa terlalu hampir iaitu pada penghujung tahun lepas dan awal tahun ini. "Jumlah taburan hujan yang agak tinggi telah menyebabkan banjir kilat di kawasan-kawasan perumahan sekitar Jalan Sultan Omar dan Jalan Kamaruddin. "Bencana banjir kilat ini bukan sahaja memberi kesan emosi kepada rakyat tetapi juga melibatkan implikasi kewangan yang tinggi kepada semua pihak, rakyat dan juga kerajaan," ujarnya. Untuk rekod, kira-kira lebih 450 keluarga terlibat dengan bencana banjir itu termasuk mereka yang tinggal berdekatan dengan perparitan menghala ke arah Sungai Ibai.
29 Apr 24
206
Zuraida Gesa Pembaikan Cerun Flat Bukit Kecil Disegerakan
Zuraida Gesa Pembaikan Cerun Flat Bukit Kecil Disegerakan
KUALA TERENGGANU, 25 Mac - Pembaikan runtuhan cerun berhampiran Flat Bukit Kecil perlu diambil langkah yang segera oleh pihak kerajaan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zuraida Md Noor memohon pembaikan cerun dilaksanakan secepatnya oleh pihak berwajib, bukan sekadar siri lawatan dan tinjauan sahaja. "Beberapa siri lawatan yang lain juga telah dilakukan oleh pelbagai pihak termasuklah lawatan dari pihak universiti awam untuk melakukan kajian berkaitan pembaikan cerun atau ‘slope repair research’," katanya. Beliau berkata demikian ketika membahaskan Titah Ucapan Diraja Sempena Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu di Wisma Darul Iman, baru-baru ini. Menurut Zuraida lagi, satu insiden runtuhan cerun telah berlaku pada malam 15 Disember 2022 di sekitar BLOK A, B dan E Flat Bukit Kecil. "Kejadian yang telah berlaku hampir dua tahun lalu ini melibatkan 87 unit rumah kediaman dengan anggaran jumlah penduduk seramai 348 orang. "Pada 16 Disember 2022 runtuhan kedua telah berlaku di lokasi yang sama. Runtuhan cerun ini berlaku adalah lanjutan daripada jumlah taburan hujan yang agak tinggi pada masa tersebut. "Pelbagai agensi telah melawat tempat kejadian bermula pada tarikh 16 Disember 2022 iaitu Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Jabatan Kerja Raya (JKR) , Bomba dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT)," ulasnya lagi.  
25 Apr 24
213
Penubuhan JPKKP Persenda Rakyat
Penubuhan JPKKP Persenda Rakyat
KUALA TERENGGANU, 24 April - Idea-idea yang dikeluarkan oleh wakil Kerajaan Persekutuan hari ini mengenai penubuhan jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) telah menimbulkan kekeliruan di kalangan penduduk serta dianggap mempersendakan gaya hidup rakyat. Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat berkata, rakyat turut menyuarakan rasa kecewa terhadap kerajaan persekutuan kerana dianggap tidak peka terhadap keperluan serta aspirasi rakyat. "Kerajaan PH BN telah mewujudkan pengasingan pengurusan di peringkat kampung dengan menubuhkan pengurusan baru iaitu JPKKP.  "Di peringkat Kerajaan Negeri, telah lama wujudnya JPKK lantikan Kerajaan Negeri bagi memastikan kebajikan dan kesejahteraan rakyat dapat dijaga dengan baik serta objektif tersebut tercapai," jelasnya. Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan ke atas Usul Menjujung Kasih dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri Terengganu Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Terengganu ke-15 bagi tahun 2024, di Wisma Darul Iman, pada hari ini. Hanafiah turut menyoal, mengapa perlu ada dua entiti untuk satu tujuan dan matlamat yang sama. "Ini merupakan satu elemen dan anasir luar serta persepsi bagi memecah belahkan keharmonian hidup rakyat.  "Sebagaimana kita semua tahu, kehidupan rakyat semakin tertekan dan tersepit akibat peningkatan kos sara diri yang kian meningkat," tambah Hanafiah lagi.
24 Apr 24
5615
Mangsa Tragedi Malam Syawal Terima Bantuan Segera
Mangsa Tragedi Malam Syawal Terima Bantuan Segera
BESUT, 16 April - Kegembiraan jelas terpancar diwajah Mohd Asrol Nizam Mat Hussin, 37 tahun, yang menerima bantuan segera setelah rumahnya hangus dijilat api dalam kebakaran yang berlaku kira-kira jam 12.30 tengah malam pertama syawal, Rabu lalu di Kampung Beris Pak Abu. Sumbangan wang tunai serta pakaian itu disampaikan oleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh, Pegawai Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Teregganu (MAIDAM), Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Pegawai PPD dan Guru Besar Sekolah Kampung Bharu, semalam. Azbi salleh berkata, sumbangan berkenaan merupakan salah satu daripada tanggungjawab dan sebagai tanda prihatin kepada mangsa. “Hari ini (semalam), kita juga telah menyumbang bantuan kewangan dan baju sekolah baharu kepada anak mangsa dan berharap ia dapat meringankan sedikit beban mereka. Biarpun sedikit, sekurang-kurangnya sumbangan ini dapat memberikan semangat baharu kepada mereka sekeluarga” katanya selepas menyerahkan sumbangan itu. Dalam pada itu, beliau berharap agar musibah yang  dialami Mohd Asrol Nizam Mat Hussin dan berharap mereka sekeluarga tabah meneruskan kehidupan.
15 Apr 24
447
Majlis Hari Raya DUN Kuala Besut Disambut Meriah
Majlis Hari Raya DUN Kuala Besut Disambut Meriah
BESUT, 14 April - Keceriaan tujuh stesen makanan dan minuman dengan lebih daripada 15 menu disediakan telah berjaya menarik ribuan pengunjung untuk datang memeriahkan Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut yang bertempat di Perkarangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Kuala Besut, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, kebiasaanya sebelum ini yang menjadi juadah istimewa sebelum ini adalah gulai kawah namun pada kali ini ditampilkan kelainan dengan  mempelbagaikan hidangan dan minuman. Katanya, majlis sambutan raya pada kali ini juga mendapat kerjasama erat antara DUN Kota Putera, DUN Jerteh, DUN Hulu Besut, Dewan Ulama, PAS Kawasan Besut, Muslimat PAS Kawasan Besut, Pemuda PAS Kawasan tersebut serta Ameerah Kawasan Besut, "Melalui kerjasama dengan mereka telah berjaya menyediakan pelbagai menu, antaranya gulai kawah, nasi dagang, kambing golek, nasi minyak, sate, locen, apam balik, 10 jenis air balang, kuih-muih dan tidak asing untuk sambutan Hari Raya Aidilfitri seperti rendang, ketupat dan biskut raya. "Kemeriahan majlis ini turut dimeriahkan dengan kehadiran tetamu terhormat, antaranya ADUN Kota Putera Nurkhuzaini Ab. Rahman, ADUN Jerteh,Dr. Riduan Mohammad Nor, ADUN Jerteh,ADUN Hulu  Besut, Mohd Husaimi Hussin sertra turut dihadiri  Pesuruhjaya PAS Terengganu Senator Dato' Haji Husain Awang," ujarnya. Dalam pada itu katanya, bagi menceriakan kanak-kanak yang hadir  duit raya turut diberikan juga kepada kanak-kanak yang berusia  12 tahun ke bawah. "Terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri PKM Kuala Besut, yang diadakan bermula jam 9.30 pagi hingga jam 2.30 petang. "Alhamdulilla, saya lihat jumlah kehadiran yang sangat luar biasa daripada pelbagai lapisan masyarakat serta turut dihadiri tetamu dari jabatan-jabatan Kerajaan yang turut serta bagi memeriahkan majlis ini. "Terima kasih juga diucapkan kepada Pengarah dan AJK Penatia yang bertungkus-lumus bagi menjayakan majlis ini. Terima kasih juga kepada Unit Amal berpanas terik menjalankan tugas bagi melancarkan aliran trafik,"ujarnya lagi.  
15 Apr 24
403
'Terima Kasih Para Penyumbang'
'Terima Kasih Para Penyumbang'
DUNGUN, 8 April- Sekitar RM130,000 hasil sumbangan orang ramai berjaya diagihkan Badan Bukan Kerajaan (NGO), Pemuda Bersamamu kepada golongan memerlukan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura, sepanjang Ramadan ini. Pengarah Program Pemuda Bersamamu 2024, Muhammad Abdullah merakamkan rasa terima kasih kepada para penyumbang yang membantu menjayakan program bantuan yang diadakan setiap bulan Ramadan. "Tahun 2024 ini, bermakna hampir 20 tahun Pemuda Bersamamu aktif mencari dana untuk diagihkan kepada golongan yang memerlukan. "Pada tahun ini kita telah dapat mengumpul dana sebanyak RM 131, 000 hasil sumbangan daripada dermawan - dermawan dari dalam dan luar negeri. "Jutaan terima kasih kepada seluruh penyumbang yang sudi kongsikan rezeki anda kepada mereka yang memerlukan dan semoga Allah SWT melimpahkan keluasan rezeki kalian," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Pemuda Bersamamu yang ke 20 tahun, pada Sabtu. Ditubuhkan pada tahun 2005, Pemuda Bersamamu mengorak langkah dengan menyasarkan aktiviti kebajikan berupa bantuan barangan keperluan dan bantuan tunai. Tambahnya, seramai 340 orang penerima daripada golongan fakir miskin, ibu tunggal, Orang Kurang Upaya (OKU), individu tiada punca pendapatan dan mereka yang hilang punca pencarian menjadi sasaran agihan bantuan daripada pihaknya. "Kelmarin, kami telah selesai agihkan kepada mereka di sekitar kawasan DUN Sura, Dungun dengan menghantar terus ke rumah masing - masing bagi memudahkan urusan mereka. "Semoga dengan sedikit bantuan dan sumbangan ini dapat mengurangkan beban mereka menjelang Aidilfitri yang bakal tiba beberapa hari sahaja lagi," katanya. Menurut Muhammad lagi, usaha Pemuda Bersamamu juga mendapat sokongan wakil rakyat tempatan apabila Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli hadir merasmikan program diadakan  Turut hadir bersama pada program berkenaan ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Mohd Fauzi dan ADUN Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
07 Apr 24
314
63 Orang Asnaf Terima Sumbangan Komuniti
63 Orang Asnaf Terima Sumbangan Komuniti
Oleh : Abdul Fattah Kamarudin MARANG, 7 April - Seramai 63 orang golongan asnaf di Dewan Undangan Negeri Pengkalan menjadi penerima sumbangan tajaan pihak komuniti Sungai Serai. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong  berkata, bantuan-bantuan yang diberi sebelum tahun lalu seperti i-fitri tidak dapat diberikan.  "Kerana duit royalti hak milik kerajaan Negeri Terengganu telah pun disekat,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap sebelum menyampaikan sumbangan tersebut  Kedai Runcit Kak Ma, Sungai Serai baru-baru ini.
07 Apr 24
79
429 Terima Sumbangan Sentuhan Kasih Ramadhan DUN Paka
429 Terima Sumbangan Sentuhan Kasih Ramadhan DUN Paka
DUNGUN, 3 April - Seramai 429 orang terdiri daripada 206 orang anak yatim, 140 ibu tunggal, 157 orang fakir miskin dan 83 orang guru PASTI menerima sumbangan daripada Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka, semalam. Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains, Teknologi dan Pembangunan Insan negeri, Dato' Satiful Bahari Mamat memaklumkan, inisiatif itu diagihkan sempena menyambut kedatangan Aidilfitri nanti. Ahlid Dewan Undangan Negeri Paka itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada Ladang Rakyat Sdn. Bhd selaku penyumbang dalam menjayakan program bantuan tersebut. “InsyaAllah kita beri setakat yang mampu. Sekurang-kurangnya ia dapat meringankan bebanan mereka untuk menyambut ketibaan Aidilfitri nanti. Terima kasih kepada Ladang Rakyat SDN BHD yang memilih DUN Paka untuk diberikan sumbangan.” “Tidak lupa juga kepada syarikat swasta, ARKEMA yang menyumbang kepada Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Darul Aitam (Darul Aitam Paka) serta orang ramai yang sudi berkongsi rezeki.” “Semoga dengan sumbangan yang dihulurkan dalam bulan keberkatan ini dibalas dengan ganjaran pahala yang berlipat ganda,” ujarnya ketika merasmikan Majlis Sumbangan Sentuhan Kasih Ramadhan DUN Paka di Dewan Terbuka Sekolah Rendah Islam Darul Iman semalam.  
02 Apr 24
204