Artikel "Komuniti" Terkini
20 Ahli Majlis Daerah Setiu Angkat Sumpah
SETIU, 10 Jun - Majlis Daerah Setiu melengkapkan senarai Ahli Majlis selepas 20 orang mengangkat sumpah pada pagi tadi.
Mengetuai angkat sumpah di hadapan Yang Dipertua Majlis Daerah Setiu, Zalizan Sulong ialah Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, Ahli Majlis perlu mengetahui matlamat PBT, kerajaan negeri dan persekutuan dalam melaksana kewajipan dan tugas sebagai ahli majlis sebagai penyampai dan jurucakap PBT serta mempertimbangkan dan meluluskan undang- undang kecil.
"Insya-Allah semua Ahli Majlis dilantik dapat melaksanakan tugas dengan baik dan memberi kerjasama dalam membangunkan PBT," tambahnya.
10 Jun 24
641
24 Ahli Majlis Perbandaran Dungun Selesai Angkat Sumpah
DUNGUN, 9 Jun- Seramai 24 Ahli Majlis Perbandaran Dungun telah selesai angkat sumpah di Pejabat Majlis Perbandaran Dungun, hari ini.
Acara mengangkat sumpah disempurnakan di hadapan Yang Pertua Majlis Perbandaran Dungun Rashdan Muda, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dan tiga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Terengganu iaitu dari Bukit Besi; Ghazali Sulaiman, ADUN Sura; Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Md Fauzi dan ADUN Rantau Abang; Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli.
Wan Hassan ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) merakamkan setinggi - tinggi tahniah kepada kesemua Ahli Majlis di atas pelantikan mereka.
"Semoga dapat tunaikan tanggungjawab anda dengan penuh komitmen dan berintegriti bagi memajukan Daerah Dungun.
"Di samping itu, saya berharap agar aktiviti yang akan dilaksanakan oleh Ahli - Ahli Majlis di zon masing - masing dapat berjalan dengan lancar dan memberikan impak yang berkesan kepada komuniti penduduk setempat di Daerah Dungun," katanya.
Turut hadir dalam majlis berkenaan ialah Pegawai Daerah Dungun; Jusman Ibrahim, Ketua Polis Daerah Dungun; Supt. Maizura Abdul Kadir dan Jurutera Daerah JKR Dungun; Ir. Mohd Alazhar Ali.
09 Jun 24
2535
400 Sertai Program Agensi Bersama Rakyat
Oleh : Azizah Mahmood
KUALA TERENGGANU, 8 Jun - Hampir 400 orang penduduk dalam DUN Wakaf Mempelam telah menyertai Program Agensi Kerajaan Bersama Rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata kerajaan menawarkan pelbagai inisiatif dan bentuk-bentuk bantuan bersifat kebajikan kepada rakyat namun masih ramai yang masih belum tahu mengenainya.
"Hari ini bila agensi turun, contohnya PERKESO yang menawarkan Skim Keselamatan Sosial Suri Rumah (SKSSR) sekiranya berlaku kemalangan luar jangka, ambiklah peluang yang ada di depan kita hari ini untuk kita bersama menjaga diri kita dan keluarga,
"KWSP sendiri menawarkan i-Suri untuk suri rumah mendapat manfaat daripada caruman, " ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Wakaf Mempelam berkata demikian ketika merasmikan program tersebut yang diadakan di Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Wakaf Mempelam di Kubang Parit di sini, baru-baru ini.
Program berkenaan diadakan dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(IMITS) dan Kumpulan Simpanan Wang Pekerja(KWSP).
Turut di sertai agensi kerajaan lain saperti Bank Simpanan Nasional (BSN), Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Lembaga Tabung Haji (TH), Jabatan Pembangunan Wanita (JPW) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Kami cukup berbesar hati menerima kunjungan dari pelbagai agensi kerajaan bagi memberi penerangan tentang inisiatif bagi setiap agensi begitu juga membantu untuk membuka akaun.
"Agensi -agensi ini bertindak sebagai pemberi maklumat kepada masyarakat tentang peranan masing-masing kerana banyak maklumat tidak sampai kepada golongan sasar terutamanya suri rumah," katanya lagi.
08 Jun 24
236
Bidai Tradisional Hadapi Persaingan
KUALA TERENGGANU, 4 Jun - Permintaan terhadap bidai tradisional buatan tangan didapati semakin berkurangan ekoran lambakan bidai sudah siap (dihasilkan dengan mesin) yang dipasarkan secara atas talian lebih menarik minat pembeli.
Perkara tersebut diakui pembuat bidai Mohd Syamsuddin Embong, 51, dari Kampung Ladang Sekolah, di sini, yang telah mengusahakan perusahaan itu (bidai tradisional) sejak lebih 30 tahun lalu.
“Saya merupakan generasi keempat dalam keluarga yang mengusahakan pembuatan bidai tradisional ini.
“Mulanya abang sulung yang mengusahakan perabot buat, selepas itu abang kedua, ketiga dan seterusnya saya ambil alih,” ujarnya ketika ditemui pemberita di kedainya, baru-baru ini.
Menurut beliau, faktor ekonomi mendorong orang ramai memilih bidai sudah siap disebabkan harganya lebih murah berbanding bidai tradisional walaupun ia dibuat secara manual serta dijamin ketahanannya.
“Perusahaan bidai ini ibarat pembuatan songket tenunan tangan dan tenunan mesin.
“Kebanyakan pembeli akan pilih yang murah, tetapi bagi mereka yang tahu menghargai seni kerja tangan, akan menempah bidai tradisional yang lebih memberi kepuasan dan mengikut citarasa berikutan kualiti, warna dan ukuran boleh dipilih dan ditentukan sendiri.
“Kalau dulu tidak cukup tangan, namun alhamdulillah walaupun kini permintaan agak perlahan tetapi tetap ada pembeli yang datang ke kedai untuk tempah bidai dengan saya,” ujarnya.
Katanya, bidai yang dihasilkan berharga RM10 untuk sekaki persegi sekali dengan pemasangan.
“Bidai tradisional ini sesuai digunakan sebagai pelindung tidak kira ketika hujan mahupun panas.
“Sekiranya ada yang menempah kita akan mengambil ukuran dan memasangnya di rumah pelanggan,” ujarnya.
04 Jun 24
218
Penduduk Dadong Gotong-royong Bersih Sungai
KEMAMAN, 4 Jun – Penduduk Kampung Dadong berganding bahu dalam program Gotong-royong bagi membersihkan Sungai Dadong baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih Mohd Hafiz Adam berkata, usaha itu turut melibatkan pihak Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) kampung terbabit.
"Acara bermula pada jam 8.30 pagi ini mendapat sambutan yang cukup menggalakan daripada penduduk setempat.
"Seluruh penduduk kampung, termasuk pemuda, wanita dan kanak-kanak turut serta dalam program ini. Penglibatan mereka bukan sahaja menunjukkan semangat kebersamaan, tetapi juga komitmen terhadap kebersihan dan kesihatan persekitaran," katanya selepas program.
Ujar beliau lagi, semangat yang ditunjukkan masyrakat di kawasan itu sangat positif demi masa depan gemilang negeri Terengganu.
"Saya sangat berbangga dengan usaha yang ditunjukkan oleh penduduk Kampung Dadong. Kerjasama antara JPKK dan JPKKP ini adalah satu contoh terbaik bagaimana kita boleh mencapai lebih banyak kejayaan apabila bersatu.
"Saya berharap program seperti ini akan terus diadakan untuk memastikan komuniti kita terus aktif dan rapat," ujarnya.
04 Jun 24
308
Program Pendidikan Kesihatan Tingkat Kesedaran Awal Masyarakat
KUALA NERUS, 1 Jun- Program pendidikan berkaitan kesihatan amat penting dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran kepada masyarakat agar mereka berusaha mencegah sesuatu penyakit dari peringkat awal.
Ahli Parlimen Kuala Nerus yang juga Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Kesihatan, Dato' Dr Alias Razak berkata, sebagai contoh risiko penyakit kronik dan tidak berjangkit (NCD) seperti sakit jantung, strok dan kencing manis perlu didedahkan kepada umum.
"Penyakit yang lambat dikesan akibatnya boleh menjadi sangat parah, menyebabkan rawatannya lebih rumit serta mengurangkan peluang untuk pulih sepenuhnya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Keluarga Sihat Komuniti Sejahtera peringkat Kuala Nerus yang berlangsung di Kompleks Tarbiyah At Takwa (KOMTAQ), di sini, hari ini.
Program anjuran Lajnah Kesihatan Kuala Nerus dengan kerjasama Pertubuhan Amal Perubatan Ibnu Sina Malaysia (PAPISMA) itu turut dimeriahkan dengan acara senamrobik, gotong-royong basmi aedes, pemeriksaan kesihatan dan ceramah kesihatan oleh Dr Nur Amirah Fazira Zulkifli ( Pegawai Perubatan Bahagian Sakit Puan) Hospital Sri Aman, Sarawak.
Mengulas lanjut katanya, pemeriksaan kesihatan tahunan yang merangkumi ujian darah untuk kesihatan kardiovaskular, gula dalam darah serta ujian tekanan darah adalah penting.
"Ujian darah membantu mengesan petanda dengan lebih awal, membolehkan seseorang mengetahui keadaan kesihatan dan menyiapkan diri, mengubah cara hidup termasuk mengamalkan pemakanan seimbang dan kerap bersenam bagi mengurangkan risiko mendapat penyakit tertentu selain membolehkan doktor merawat tanda-tanda awal sebelum terlambat," katanya.
Tambah beliau, pemeriksaan kesihatan juga perlu dilakukan bagi memantau dan mengesan masalah kesihatan sebelum menjadi lebih teruk, walaupun tanpa gejala kerana pemeriksaan dilakukan memungkinkan pengesanan awal serta intervensi.
"Antara ciri penting saringan kesihatan pencegahan ialah maklumat yang diberikan. Apabila pesakit memahami keadaan kesihatan mereka serta risiko yang berkaitan, mereka menjadi lebih peka terhadap kesejahteraan sendiri," katanya.
01 Jun 24
215
15 Rumah Rosak di Hulu Besut Dipukul Ribut Dapat Perhatian Segera
Hulu Besut, 30 Mei - Sebanyak 15 buah terjejas di Dewan Undangan Negeri (DUN) Hulu Besut akibat dipukul ribut yang melanda kawasan itu semalam, telah mendapat perhatian daripada pimpinan setempat untuk tindakan segera.
Antara rumah yang terlibat terletak di Kampung Felda Tenang membabitkan dua buah rumah, Felda Tenang Selatan 11 buah rumah dan di Kampung Batu 13 sebanyak dua buah rumah.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin berkata kejadian berlaku dengan begitu pantas hanya dalam setengah ja mengakibatkan sebahagian bumbung rumah penduduk diterbangkan angin kuat dan sebahagian dinding rosak terkena batang pokok yang terbalik.
"Setelah meninjau ke tempat kejadian, kita telah berhubung dengan pihak JPKK berkenaan supaya mengenal pasti kerosakan yang dialami, untuk menghantar barang diperlukan bagi membaiki kerosakan rumah tersebut dengan kadar segera," ujarnya.
30 May 24
153
Penuhi Hasrat Ayah Jadi Usahawan Berjaya
MARANG, 28 Mei - Bermula berniaga secara kecil-kecilan untuk memenuhi hasrat ayah dan kini mampu tersenyum lega atas kejayaan perniagaan santan dan kerisik diusahakannya sejak lebih 12 tahun yang lalu.
Pengusaha muda, Baharuddin Mad Daud,30, berkata pada mulanya perniagaan ini adalah cetusan idea daripada ayahnya, Mad Daud Mat Zain, 61 tahun, sejak 12 tahun yang lalu.
“Ayah saya melihat, santan pada waktu itu merupakan satu keperluan harian khususnya bagi penduduk Rhu Rendang yang kebanyakannya menjadi pilihan utama dalam masakkan harian.
“Kebanyakkan pelanggan disini memilih santan segar kerana rasa dan aroma baunya yang sedap,” ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Rhu Rendang.
Dalam pada itu katanya, hasil didikan ayah yang sentiasa memberi nasihat dan tunjuk ajar membuahkan hasil lumayan serta pengalaman sangat mahal sepanjang 12 tahun ini.
“Untuk menghasilkan sehingga 300 kg santan, kita memerlukan hampir 1 tan kelapa. Memandangkan di sini bekalan kelapa agak berkurangan, jadi kita guna kelapa diimport dari Indonesia yang diambil di jeti Batu Pahat, Johor. Saya juga ada bekalkan kelapa biji yang dijual secara per kilo dan kerisik kelapa.
“Syukur, musim Perayaan Aidilfitri pada bulan lepas memberi impak yang sangat positif yang mana jumlah permintaan santan dan kerisik sangat tinggi.
“Kebiasaannya tahun sebelum ini, bila tiba musim cuti sekolah dan hari perayaan seperti hari raya aidilfitri dan aidiladha, peningkatan jualan santan hampir 300kg dalam satu hari sehingga tidak cukup tangan untuk menerima tempahan," ujarnya.
Dalam pada itu katanya, jualan kerisik juga tinggi permintaannya sehingga pelanggan dari Dungun datang membeli kerana aroma baunya menaikkan selera.
Namun jelasnya, proses pembuatan kerisik sangatlah terhad kerana memerlukan masa yang lama dalam 10 jam.
"Walaupun harga bekalan kelapa sering turun naik, santan yang dijual masih pada harga runcit iaitu RM11 bagi setiap satu kilogram dan harga borong iaitu RM10 bagi setiap satu kilogram," ujarnya.
Katanya lagi, dia sangat berterima kasih kepada FAMA yang banyak membantu saya dalam urusan perniagaan dan sedikit sebanyak dapat melancarkan bekalan stok kelapa ini.
28 May 24
286
Hampir Sejam Hambat 'Perompak Laut'
KUALA TERENGGANU, 19 Mei- Hampir sejam Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) mengejar dua kapal nelayan asing Vetnam yang menceroboh perairan Terengganu, malam Khamis lalu sebelum berjaya menahannya di kedudukan 155 batu nautika timur muara Kuala Terengganu.
Timbalan Pengarah Operasi Maritim Terengganu, Komander Maritim Mohd Firdaus Mohd Anuar berkata, kedua-dua bot berkenaan berjaya ditunda ke pejabat Maritim Negeri Terengganu dan tiba sekitar jam 10.00 pagi semalam.
Menurutnya, pada kejadian tersebut KM Pekan yang meronda dalam siri Op Naga Barat, berjaya menahan 12 awak-awak termasuk tekong warganegara Vietnam yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.
"Kesemua mereka adalah dalam lingkungan usia 19- 50 tahun dan mereka akan disiasat mengikut Akta Imigresen 1963.
"Berdasarkan penilaian, rampasan keseluruhan termasuk kedua-dua bot, hasil laut, peralatan dan diesel dianggarkan bernilai RM3 juta.
"Sebagai makluman untuk tahun ini, ini adalah tangkapan ke-10 membabitkan pencerobohan nelayan asing oleh Maritim Negeri Terengganu dengan anggaran rampasan bernilai RM10 juta," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam sidang media di pejabat Maritim Negeri Terengganu, hari ini.
Tambahnya, musim sotong yang bermula April hingga Ogos menarik minat nelayan asing dengan peningkatan kes pencerobohan direkodkan berbanding bulan-bulan lain.
Oleh itu, menurutnya Maritim Negeri Terengganu akan terus meningkatkan operasi bagi membanteras kemasukan bot-bot nelayan asing di perairan negara khususnya Terengganu.
19 May 24
1109
Geng Plastik Ija, MBKT Gotong Royong 'Bersihkan' Pantai Pandak
Oleh: Pok Abbas
KUALA TERENGGANU, 17 Mei- Sebanyak 350 kilogram sisa sampah dan plastik berjaya dikutip Geng Plastik Ija (GPI) Kuala Terengganu menerusi aktiviti gotong royong pembersihan pantai 'plogging' di Pantai Pandak (belakang Sekolah Kebangsaan Chendering), hari ini.
Ketua GPI Kuala Terengganu, Zalina Zakaria berkata, program itu dijayakan oleh seramai 25 ahli badan bukan kerajaan (NGO) terbabit dan turut mendapat kerjasama pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu.
"Pantai pandak adalah antara pantai yang cantik kerana ianya landai dan pasirnya memutih, merupakan lokasi perkelahan penduduk tempatan.
"Matlamat utama program kita hari ini adalah untuk membersihkan kawasan pesisir pantai serta menghapuskan semua kawasan pengumpulan dan pembakaran sampah haram di sekitar tempat ini," ujarnya.
Katanya, program sebegini akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa supaya kawasan pesisir pantai sentiasa terjaga.
17 May 24
880