Artikel "Komuniti" Terkini
16 Pasukan Berentap Rebut Piala ADUN Seberang Takir
KUALA NERUS, 3 Julai - Sebanyak 16 pasukan dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir bakal berentap bagi merebut piala YB ADUN Seberang Takir 2024 bagi Kejohanan Bolasepak 9 sebelah yang dijadualkan berlangsung 5 dan 6 Julai ini.
Pengarah Program, Mohd Ariffin Abd. Ghafor berkata, kejohanan dianjurkan bersama Pusat Khidmat DUN Seberang Takir dengan NGO sukan setempat itu akan diadakan di Padang Sintetik Kompleks Sukan Gong Badak.
"Kejohanan yang dinantikan ini merupakan temasya tradisi yang diadakan setiap tahun.
"Antara syarat utama yang dikenakan adalah berumur 18 tahun ke atas, 1 cawangan 1 pasukan dan paling penting wajib menutup aurat dan alhamdulillah setakat ini kita menerima maklum balas positif daripada kawasan masing-masing,” katanya kepada pemberita.
Menurut Mohd Ariffin, juara akan membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000 beserta piala dan medal, naib johan RM1,000 manakala tempat ketiga dan keempat RM500 serta medal.
"Harapan saya agar kejohanan ini akan berlangsung dengan lancar dan tanpa berlaku kejadian yang tidak diingini," ujarnya.
Sementara itu, salah seorang pengurus pasukan, Muhammad Baihaqy Harun berkata, kejohanan tersebut amat wajar diadakan bahkan lebih besar pada masa akan datang.
"Pertandingan seperti wajar diadakan demi mencungkil bakat-bakat muda bagi mewakili negeri.
"Kita sedia maklum bahawa Negeri Terengganu sentiasa melahirkan bakat-bakat baru sehingga mewakili negara," ujarnya.
Sepak mula kejohanan akan disempurnakan oleh ADUN Seberang Takir, Khazan Che Mat.
03 Jul 24
376
98 Pelajar Cemerlang Dirai di Dewan Tok Guru
MARANG, 3 Julai- Seramai 98 pelajar yang memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia diraikan dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 bagi mengiktiraf pencapaian mereka dalam akademik di Dewan Tok Guru, Rusila di sini, baru-baru ini.
Majlis berkenaan disempurnakan isteri Menteri Besar Terengganu merangkap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, To’ Puan Seri Tuan Faizah Binti Tuan Ab Rahman.
Kataya, kejayaan pelajar berkenaan merupakan suatu perkara yang membanggakan.
"Saya melihat dan merenung wajah anak-anak, inilah kilauan mutiara yang suatu hari nanti akan menjadi kebanggaan khususnya kepada DUN Rhu Rendang, Negeri Terengganu dan negara.
“Saya memanjatkan rasa syukur kepada Allah SWT kerana dengan nikmat dan limpah kurniaNya kita dapat bersama-sama pada hari ini untuk meraikan Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 peringkat DUN Rhu Rendang.
“Saya juga melihat wajah kebanggaan para ibu bapa yang turut hadir meraikan kejayaan anak-anak kita pada pagi ini.
“Saya juga mengucapkan setinggi-tinggi tahniah dan syabas kepada semua anak pelajar yang berjaya mencapai keputusan yang cemerlang di dalam SPM tahun lepas dan juga tidak lupa kepada ibu bapa yang memberi sumbangan amat besar serta sokongan dalam kejayaan anak-anak," ujarnya.
Dalam Majlis berkenaan,penghargaan dan sumbangan wang tunai telah disampaikan oleh beliau kepada semua pelajar cemerlang bermula dari 6 A dan ke atas.
“Saya dimaklumkan bahawa dalam majlis ini seramai 98 penerima anugerah pada pagi ini, alhamdulillah ianya suatu jumlah yang sangat ramai pelajar cemerlang yang berada di DUN Rhu Rendang.”
“Seingat saya dahulu, majlis seperti ini tidak banyak untuk memberi penghargaan kepada pelajar cemerlang tetapi alhamdulillah bermula pada tahun 2019 dibawah Kerajaan Negeri Terengganu sehingga sekarang pasti mengadakan majlis seperti ini pada setiap tahun.
"Bagi memberi penghargaan dan semangat kepada anak-anak dalam kejayaan serta menghargai usaha penat lelah mereka,"ujarnya.
Tambahnya lagi, keputusan SPM inilah yang akan menentukan arah perjalanan seterusnya untuk melangkah alam universiti sama ada Pra – Universiti, Matrikulasi atau seumpamanya.
"Jadi saya berpesan kepada anak-anak untuk meletakkan satu sasaran dan matlamat yang jelas, janganlah jadi pelajar yang biasa tetapi mestilah menjadi pakar dalam bidang yang diceburi.
“Saya juga berpesan, bilamana melangkah ke alam menara gading pilihlah kawan-kawan yang boleh membimbing kita ke arah kebaikan dan menegur kesalahan kita disebabkan sekarang ini dunia yang semakin mencabar.
"Antaranya berhadapan ancaman liberaliasi yang cuba merosakkan kefahaman dan fikiran kita. Justeru itu, besar harapan saya untuk melihat anak-anak menjadi seorang yang pakar dalam bidang masing-masing dan teruskan melakar kecemerlangan dalam bidang diceburi.
"Serta menjadi anak yang beriman kepada Allah SWT, soleh dan solehah yang tidak meninggalkan agama di samping mengejar kecemerlangan Jadikan pengiktirafan hari ini sebagai pendorong untuk mengejar cita-cita yang terbaik.
"Zaman sekarang sudah berbeza, ibu bapa mesti memberi ruang kepada anak-anak untuk memilih bidang yang diminati," ujarnya.
Jadikan pengiktirafan hari ini menjadi pendorong untuk mengejar cita-cita yang terbaik.
Zaman sekarang sudah berbeza, ibu bapa mesti memberi ruang kepada anak-anak untuk memilih bidang yang diminati,” ujarnya.
Akhir sekali, saya mengucapkan tahniah kepada semua yang hadir dalam merealisasikan majlis kita pada pagi ini.
02 Jul 24
262
Bengkel Pengucapan Awam Tingkat Keyakinan Diri
SETIU, 26 Jun - Bengkel pengucapan awam bukan sahaja memberi manfaat kepada peserta dari segi kemahiran pengucapan awam, tetapi membina keyakinan diri untuk tampil sebagai pemimpin dan penceramah yang efektif.
Ketua NGO Yasmeen Setiu, Rohani Ramli berkata, tujuan utama adalah melatih peserta sebagai pengerusi majlis, pentazkirah, dan penceramah.
"Alhamdulillah, seramai 40 orang peserta hadir yang mana kita menyasarkan sasaran sebagai pengerusi majlis, pentazkirah dan penceramah.
"Untuk meningkatkan keyakinan diri peserta dalam menjalankan tugas mereka di masa hadapan," jelasnya.
Beliau berkata demikian selepas Bengkel Pengucapan Awam yang diadakan di Pandan Beach Resort, Setiu, semalam.
Menurutnya, sambutan terhadap program ini sangat menggalakkan, dengan kouta penyertaan hampir dipenuhi sepenuhnya.
"Peserta yang hadir adalah dari setiap DUN dan diberikan latihan intensif dalam pengucapan awam untuk membantu mereka melaksanakan tugasan yang diberikan oleh pihak atasan dengan lebih baik.
"Insya-Allah kita akan buat kembali program susulan untuk terus memahirkan peserta dalam bidang pengucapan awam," tambah beliau.
Justeru itu, beliau berharap program ini akan melahirkan individu yang lebih berkeyakinan dan berkebolehan dalam menyampaikan maklumat kepada khalayak.
26 Jun 24
203
132 Pelajar Cemerlang Terima Habuan
KEMAMAN, 26 Jun - Seramai 132 pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 menerima habuan berupa sumbangan kewangan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Mohd Hafiz Adam berkata, insentif berkenaan bagi menghargai usaha gigih dan dedikasi setiap pelajar.
"Tahniah kepada para pelajar, guru dan ibu bapa atas kejayaan ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 yang diadakan di perkarangan Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Air Putih hari ini.
Beliau juga mengingatkan bahawa kejayaan bukan hanya diukur melalui akademik, tetapi juga melalui sumbangan kepada masyarakat.
"Suka juga untuk saya berpesan agar setiap pelajar meletakan agama sebagai keutamaan di samping kecemerlangan akademik," katanya.
Mohd Hafiz berharap kejayaan itu turut menjadi inspirasi kepada generasi akan datang.
Untuk rekod, pelajar yang memperolehi sumbangan itu terdiri daripada 6A dan ke atas.
Seramai 43 pelajar memperoleh 6A, 21 pelajar memperoleh 7A, 29 pelajar memperoleh 8A, 26 pelajar memperoleh 9A, 5 pelajar memperoleh 10A, 3 pelajar memperoleh 11A dan 5 pelajar memperoleh 12A.
26 Jun 24
908
'Terima Kasih BAKIP'
DUNGUN, 22 Jun- Sempena Hari Raya Aidiladha baru-baru ini, Badan Kebajikan Kakitangan Islam Petronas (Bakip) dengan kerjasama Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Rantau Abang telah mengagihkan daging korban kepada tujuh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung di DUN berkenaan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli merakamkan rasa terima kasih kepada badan kebajikan itu yang sudi memilih DUN Rantau Abang sebagai destinasi korban mereka kali ini.
"Sebanyak empat ekor lembu dikorbankan dengan tiga ekor sumbangan BAKIP manakala seekor daripada PKM, daging - daging akan diagihkan kepada tujuh JPKK iaitu Pulau Serai , Alor Mak Bah, Rumah Awam Kos Rendah (RAKR) Gong Pasir, Padang Pulut, Batu Putih dan Kampung Paya.
"Sebanyak 50 pek daging diedarkan kepada JPKK berkenaan untuk diagihkan kepada fakir miskin di tempat masing-masing. "jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui di tapak program di Padang Bola Kampung Batu Putih di sini, pada Jumaat.
Mohd Fadhli juga berharap program sebegitu akan dapat diteruskan di tahun - tahun seterusnya.
"Melihat suasana hari ini, insya-Allah, kita dapat mengadakan Korban Perdana tahun depan dan kita berharap juga BAKIP akan turut sama menjayakannya," ujarnya yang gembira dengan kerjasama ahli-ahli BAKIP, kakitangan PKM, orang kampung, muslimin, Muslimat , Pemuda dan Ameerah.
22 Jun 24
177
ADUN Langkap Rai 55 Pelajar Cemerlang SPM 2023
SETIU, 20 Jun - Seramai 55 orang pelajar dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Langkap mencatatkan keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 diraikan dalam satu majlis hari ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata, sumbangan sebanyak RM200 diberikan setiap orang pelajar yang telah memperolehi keputusan 6A dan ke atas.
"Sumbangan ini mungkin tidak besar tapi ini adalah sebagai tanda ingatan atas usaha mereka dalam meraih kejayaan ini.
"Tahun ini seramai 18 orang telah mendapat 6A, 10 orang 7A dan seramai 17 orang menerima keputusan 8A," tambahnya dalam Majlis Anugerah Kecemerlangan SPM 2023 di Dewan Komuniti Sejahtera Sri Langkap pagi tadi.
Selain itu, seramai lapan orang berjaya memperolehi 9A dan keputusan paling tinggi adalah 2 orang yang meraih 10A.
Untuk rekod, pelajar yang memperolehi 10A adalah Ahmad Faiz Alias pelajar SMKA Wataniah berasal dari Kampung Rahmat manakala seorang lagi ialah Siti Nazifah Mohd Azmi pelajar SMK Melor berasal dari Sungai Tong.
20 Jun 24
325
Korban Perdana Tanam Semangat Muafakat
KUALA TERENGGANU, 19 Jun - Hari Raya Aidiladha dan ibadah korban menzahirkan semangat muafakat yang masih kekal dalam dalam masyarakat pada hari ini walaupun berbeza latar belakang.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, perkara itu jelas kelihatan sepanjang program korban perdana Parlimen Kuala Terengganu bersama DUN Wakaf Mempelam yang diadakan semalam.
Beliau berkata, program telah berjalan dengan lancar dan mengikut perancangan yang telah disusun.
"Semua petugas yang terdiri daripada JPKK, Pemuda PAS DUN, Jabatan Amal, Jabatan PASTI, NGO LASAK nampak bersemangat dan memberi kerjasama yang baik sepanjang program
"Sebelum tiba waktu program, pihak urus setia telah bermesyuarat beberapa kali bagi memastikan kelancaran program tersebut," katanya.
Program yang bermula sekitar jam 7.30 pagi itu berakhir sekitar waktu zohor, sebanyak 22 ekor lembu berjaya disembelih, dilapah dan diagihkan kepada penerima.
Menurut Ahmad Amzad, beliau telah menyumbangkan 10 ekor lembu, salah satu daripadanya adalah lembu sado.
"Manakala bakinya adalah lembu daripada setiap DUN dalam parlimen Kuala Terengganu. Sumbangan daging korban ini memberi manfaat kepada lebih 5,000 penerima.
"Saya ada menyediakan jamuan buat petugas dan tetamu yang hadir. Saya terperanjat kerana sambutan yang diluar jangkaan," katanya.
19 Jun 24
235
Rumah Terbakar, Persiapan Raya Musnah
SETIU, 15 Jun - Persiapan Aidiladha termasuk baju raya sekeluarga musnah dalam kebakaran di Kampung Rahmat di sini pada semalam.
Kejadian berlaku jam 7.30 malam itu turut menyebabkan mereka hilang tempat tinggal.
Pemilik kediaman, Shamsol Amil Ibrahim, 53, berkata, ketika kejadian dia bersama keluarga tiada di rumah dan dalam perjalanan ke Kuala Terengganu.
Menurutnya, ketika sampai di Kampung Pagar Besi, Kuala Nerus beliau menerima panggilan mengatakan rumah terbakar dan terus memecut balik ke rumah.
"Api marak dengan cepat menyebabkan bahagian bilik utama hangus terbakar. Kebakaran turut merebak ke bahagian dapur dan menjejaskan ruang tamu serta bilik-bilik lain", tambahnya.
Sumbangan tunai secara peribadi turut diserahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri Langkap, Azmi Maarof untuk meringankan beban keluarga tersebut dan memberikan sedikit ketenangan di saat-saat sukar ini.
Beliau dalam masa sama menzahirkan rasa sedih terhadap kebakaran yang berlaku dan berharap penduduk rumah bersabar dengan musibah yang melanda.
15 Jun 24
1025
'Jika Bukan Kita Hendak Terima, Siapa Lagi?'
MARANG, 13 Jun - Begitulah luahan seorang ibu kepada salah seorang banduan yang dipilih dalam program Pelepasan Banduan Secara Lesen (PBSL) Ihsan Madani (Kepulangan Yang Dinanti) di Penjara Marang, hari ini.
Aminah (bukan nama sebenar), 70, menyifatkan pelepasan anaknya, Amar (bukan nama sebenar), 35, sempena Hari Raya Aidiladha ini sebagai satu kegembiraan besar buat dirinya dan keluarganya.
"Anak kita kan? siapa lagi hendak terima? Kita kasihankan dia, dia cacat dan jadi begini pula.
'Terimalah, marah tidak marah pun, hendak macam mana?," katanya yang hadir menerima penyerahan perintah (Lesen PBSL) bersama suaminya, Amin.
Tambah beliau, anak keenam dari lapan beradik itu ditahan buat kali kedua di bawah kesalahan Akta Dadah Berbahaya dan dihukum penjara selama lima bulan, sebelum ini dijadualkan bebas pada bulan Julai.
"Lepas pada dia buat lagi, kita berusaha macam-macam dah. Rasa susah dah, ingatkan tidak boleh berjalan tiadalah berulang lagi. Tapi, tidak boleh berjalan pun orang hantar," ujarnya.
Dalam pada itu, Amar yang hilang kaki kirinya dalam kemalangan pada tiga tahun lalu, terharu dengan kehadiran ibu bapanya.
"Saya rasa terharu dan sedih. Insya-Allahlah (akan berubah).
"Dahulu (tahun 2016), saya (kena) dalam enam bulan. Sebelum ini, ada kaki lagi. Untuk uruskan diri itu, sukarlah sedikit pakai tongkat, (kena) berdikarilah.
"Saya bercadang cari bantuan kaki palsu (dan) cari kerja. Pelihara lembu ke," katanya.
Beliau merupakan salah seorang dari 118 banduan yang dilepaskan melalui program PBSL di Penjara Marang yang disempurnakan Pengarah Penjara Terengganu PKK Hamid Taha pada pagi ini.
13 Jun 24
269
Ibrah Quran Petunjuk Buat Umat Islam
SETIU, 12 Jun - Umat Islam perlu menekuni kupasan dan tafsir Al-Quran bagi memastikan perjalanan kehidupan sentiasa di landasan yang betul.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof berkata ibrah (pengajaran) dari firman Allah s.w.t tidak hanya buat orang beriman, sebaliknya ia adalah petunjuk buat seluruh umat manusia.
"Al-Quran adalah kitab yang lengkap. Di dalamnya ada peraturan, nasihat, peringatan dan juga memaparkan kisah umat terdahulu sebagai pengajaran kepada kita.
"Semoga muslimin dan muslimat yang hadir pada program hari ini dapat memanfaatkan sebaiknya program hari ini," tambahnya.
Beliau berkata sedemikian ketika ucapan perasmian penutup Program Menelusuri Ibrah Qurani anjuran Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) di Masjid Chalok Kedai pagi semalam.
Sementara itu, Mohd Fahmi Mohd Fajri, pelajar tingkatan 3 Sekolah Menengah Agama Setiu (SMAS) berkata program sebegini amat memberi manfaat dan mudah untuk memahami apa yang disampaikan.
"Terima kasih kepada pihak penganjur yang turut menjemput kami. Semoga program keagamaan sebegini diteruskan lagi pada masa akan datang," tambah beliau.
Program Menelusuri Ibrah Qurani edisi keenam ini menampilkan 3 orang qari yang membaca surah Al-Hajj iaitu Syeikh Dr. Mohamed Abdel Hamid Kulaib Syeikh Ali Rashed Ghanem Al-Musannef dan Ustaz Abdul ‘Alim Zakaria.
Timbalan Pengarah Akademi Didik Ulama Amilin Terengganu (DUAT) Ustaz Wan Ahmad Zuki Wan Ismail pula berperanan sebagai pentadabbur.
11 Jun 24
175