Artikel "Komuniti" Terkini
Kos Ternak Madu Kelulut Rendah Mampu Jana Pendapatan
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 15 Julai - Memandangkan kos untuk menternak madu kelulut adalah rendah, seorang pemuda mampu menjana pendapatan sampingan sehingga menjadi usahawan muda.
Mohd Sollehuddin Mohd Hussain, 38 yang bertugas sebagai jurutera di Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) memulakan ternakan madu kelulut ini sejak lapan tahun lepas, tetapi mengusahakannya secara serius sejak setahun yang lalu.
"Madu Kelulut ini kos penyelenggaraannya sangat rendah, sebab itulah boleh dijadikan sebagai pendapatan sampingan saya.
"Dengan bermodalkan RM10, 000, saya membangunkan perniagaan sampingan ini dengan 20 sarang dan perangkap yang dibuat sendiri," ujarnya.
Beliau yang tinggal di Kampung Durian Guling, Binjai Rendah berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Darul Iman (UPDI) Daerah Marang baru - baru ini.
Katanya, dengan berbekalkan 20 sarang pada peringkat permulaan di Binjai Rendah, beliau merancang akan membuka dalam setahun, sebuah ladang di beberapa tempat lain lagi.
"Saya pasarkan madu kelulut ini di media sosial iaitu 'facebook' dan juga kepada kenalan rapat ," katanya.
Beliau yang banyak menimba ilmu berkenaan menerusi pembacaan dan 'kumpulan' di media sosial yang juga mengusahakan madu kelulut.
"Bagi yang ingin memulakan perniagaan madu kelulut, bolehlah dapatkan maklumat lanjut dengan Jabatan Pertanian," jelasnya.
15 Jul 24
417
ADUN Belia Agih 1,000 Bekas Bubur Asyura
Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS, 14 Julai - Sebanyak 1,000 bekas bubur asyura telah diagihkan kepada jemaah masjid dalam Program Kacau Bubur Asyura 2024 yang berlangsung dengan meriah di Masjid Tebauk, Bukit Tunggal.
ADUN Belia Seberang Takir, Syukran Afifi, berkata, aktiviti itu bukan sahaja menyemarakkan lagi semangat keagamaan tetapi juga menyuburkan nilai kasih sayang dan kepedulian terhadap sesama manusia.
"Program ini bertujuan untuk memperingati hari kebesaran Islam dan sudah menjadi acara tahunan bagi masyarakat di Malaysia untuk menyediakan bubur Asyura serta mengagihkannya bagi meraikan ketibaan bulan Muharram.
“Program ini merupakan satu bentuk solidariti dan kebersamaan dalam memperingati peristiwa penting umat Islam,” kata Syukran.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut baru-baru ini.
Sementara itu, seorang lagi ADUN Belia, Muhammad Fakhruddin Nordin merupakan ADUN Belia Kemasik, berkata program tersebut merupakan salah satu usaha untuk mengekalkan tradisi dan budaya yang telah diwarisi sejak sekian lama.
“Diharapkan agar Urus Setia Beliau Sukan Negeri Terengganu (UBSNT) dapat memperluaskan program seperti ini di setiap DUN bagi menyemarakkan semangat ukhuwah dalam kalangan penduduk setempat,” ujar Muhammad Fakhruddin.
Beliau menambah, aktiviti yang dianjurkan oleh ADUN Belia Terengganu berkolaborasi beberapa pertubuhan antaranya Persatuan Belia Sahabat Sejahtera Negeri Terengganu, UBSNT, Masjid Tebauk dan JPKK Taman Perumahan Bukit Tunggal.
14 Jul 24
291
74 Peserta BSA Terima Borang 5A Selepas 11 Tahun
SETIU, 14 Julai - Seramai 74 orang peserta Besut-Setiu Agropolitan (BSA), Panchur Bederu menarik nafas lega setelah menerima Borang 5A mengesahkan tanah milik mereka selepas penantian selama 11 tahun.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof melafazkan rasa gembira dapat membantu peserta semakin dekat untuk memiliki geran sendiri.
"Istimewa kepada mereka ialah Kerajaan Negeri Terengganu menetapkan premium tanah pada kadar harga nominal iaitu RM1,000 sahaja kepada setiap penerima ini yang secara ratanya dari keluarga berpendapatan rendah.
"Besar harapan saya supaya bayaran premium tanah ini dilunaskan segera dalam tempoh 3 bulan dan jangan dijual beli kepada pihak lain, hargailah pemberian ini sebaiknya," katanya.
Azmi berkata demikian ketika Majlis Penyampaian Borang 5A di Bilik Syarahan, Pejabat Daerah dan Tanah Setiu.
Turut hadir ialah Khairul Amri Che Mat Pengurus Bahagian Perniagaan Tani Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) Negeri Terengganu dan Zul Ezhar Mohd Zulkifli Ketua Penolong Pentadbir Tanah.
Sementara itu salah seorang peserta BSA, Mohd Roslan Mohd Noor menzahirkan rasa syukur setelah menerima Borang 5A.
Katanya, dia bagaikan mimpi kerana telah menunggu selama 11 tahun sejak menjadi peserta di BSA pada tahun 2013.
"Syukur alhamdulillah, hari ini saya dan seluruh peserta yang menerima Borang 5A ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak Pejabat Daerah dan Tanah Setiu.
"Selain itu, tidak dilupakan penghargaan buat insan yang paling berjasa iaitu ADUN Langkap Azmi Maarof yang telah berusaha sejak sekian lama untuk membantu kami", tambahnya.
14 Jul 24
200
Pertandingan Kacau Bubur Asyura Libatkan 20 JPKK Bukit Payong 2024
MARANG, 7 Julai 2024 – Pertandingan Kacau Bubur Asyura peringkat Ahli Dewan Undangan Negi Bukit Payong telah berlangsung dengan meriah dan dapat menarik penyertaan sebanyak 20 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dari kawasan tersebut.
Acara ini diadakan sebagai sebahagian daripada usaha untuk memupuk semangat muhibah dan memperkukuh silaturahim di kalangan penduduk setempat.
ADUN Bukit Payong, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata melalui pertandingan yang diadakan itu menyaksikan
Setiap JPKK menunjukkan kreativiti dan kemahiran dalam mengacau bubur Asyura itu yang merupakan makanan tradisional yang sering dimasak sempena ketibaan bulan Muharram.
"Acara seumpama ini menekankan pentingnya acara seperti ini dalam memperkukuh ikatan masyarakat dan memelihara tradisi budaya.
" Setiap JPKK membawa keunikan tersendiri dalam penyediaan bubur Asyura, dengan variasi resepi yang mencerminkan kekayaan budaya dan kreativiti penduduk,"ujarnya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) Daerah Marang, di sini, baru-baru ini.
Ujarnya selain pertandingan, acara ini juga turut dimeriahkan dengan pelbagai aktiviti sampingan seperti kuliah maghrib dan sukaneka yang menarik minat pengunjung dari pelbagai lapisan masyarakat.
14 Jul 24
260
Usahawan Kayu Rotan Masih Relevan
MARANG, 11 Julai - Di tengah hiruk-pikuk kota yang semakin moden, terselit sebuah kedai kraftangan yang menawarkan keindahan dan keunikan kraf tangan tradisional melalui penjualan dan penggunaan kayu rotan ketika ini yang membuktikan ia masih relevan untuk hiasan rumah dan penggunaan harian.
Usahawan Kraftangan, Ramlah Binti Abdul Rashid, 56, yang lebih mesra dengan panggilan “Mok Su” berkata ketika memulakan perniagaan agak kurang sambutan, dan pendapatan pada ketika itu tidak menentu.
Katanya, kadang-kadang mencecah rm1000 sebulan dan kadang-kadang tidak mencecah.
"Kalau masa dahulu niaga,memang mendapat sambutan yang sangat meriah hingga mencecah rm1000 sehari tapi sekarang agak menurun.
“Alhamdulillah, melalui perniagaan ini direzekikan dapat menunaikan umrah dan haji, Mok Su tidak risau dengan barang kraftangan ini sebabnya tidak akan buruk dan basi, "ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di premis perniagaannya, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut katanya, berputik meminati bidang kraftangan itu bermula dengan pengalaman pernah mengambil upah menjaga perniagaan itu.
“Dulu ada seorang minta jaga dan jual barang kraftangan ini,selepas dari kematian tuan milik kedai ini, Mok Su ambil alih meneruskan usaha perniagaan ini lebih 15 tahun yang lalu, "katanya.
Kraftangan ini ujarnya, bukan sekadar produk sebaliknya menjadi simbol kekayaan budaya dan mencerminkan identiti tempatan.
" Dalam setiap anyaman, tersirat cerita dan makna yang mendalam, menggambarkan keindahan dan keunikan warisan budaya yang tak ternilai harganya.
“Kebanyakkan pelanggan datang ke kedai ini ialah orang luar dan kebiasaannya ramai pelanggan membeli pada cuti persekolahan. Antara keunikkan dan permintaan tinggi disini adalah tudung saji.
“ Kedai Kraftangan ini dikenali 'Islah Handycraft' ini tidak hanya menjadi tempat menjual kayu rotan, tetapi juga menjadi tempat bertemunya para pecinta seni dan budaya, "katanta.
Tambahnya lagi melalui Karya anyaman itu menjadi peringatan akan pentingnya menjaga dan melestarikan warisan budaya, agar tidak hilang di tengah derasnya arus modenisasi.
Katanya lagi, barang kraftangan berkenaan sukar diperolehi disini sebaliknya semua barang ini diambil dari luar negeri kerana kekurangan tenaga kerja dan kayu rotan pada masa kini.
“Kebanyakkan kayu rotan ini ditempah dari johor dan melaka,”katanya.
Katanya lagi lokas Kawasan perniagaanya senang ditemui kerana berada terletak di tempat yang strategik di tepi jalan memudahkan orang membeli disamping menarik perhatian tiap kali orang lalu di sini.
“Memilih lokasi ini kerana berdekatan dengan rumah dapatlah mengisi masa lapang dengan perniagaan ini daripada tidak buat apa-apa,”katanya.
Akhir sekali, dia menitipkan nasihat dan pesanan kepada orang muda yang mahu menceburi usahawan kraftangan mulakan dengan membeli barang sedikit demi sedikit dahulu.
11 Jul 24
632
Jabatan Pertanian Aktif Beri Insentif Pada Petani
Oleh: Fatimah Din
MARANG , 11 Julai - Pejabat Pertanian Daerah Marang aktif memberi pelbagai insentif kepada petani.
Pegawai Pertanian Daerah Marang, Nik Mohd Haizul Nik Supian berkata, insentif berkenaan bagi merangsang aktiviti pertanian dan dilaksanakan dalam pelbagai bentuk.
"Termasuk khidmat nasihat pertanian, pasukan teknikal bagi penyakit tanaman, kesuburan tanah, selain insentif infrastruktur melalui peralatan pertanian, benih, dan pembersihan kawasan tanah terbiar bagi pembangunan projek pertanian.
"Terdapat juga bantuan dalam bentuk geran pemadanan daripada pihak kementerian serta bantuan bencana bagi membantu meringankan beban petani menghadapi musibah kerosakan tanaman akibat bencana banjir dan kemarau," ujarnya.
Menurut beliau,jenis tanaman yang menyumbang kepada pengeluaran daerah ini adalah tanaman kontan seperti tembikai, jagung dan labu manis yang banyak diusahakan di kawasan Marang pantai.
"Manakala di kawasan darat lebih fokus kepada tanaman sayuran dan buah-buahan seperti durian dan duku," ujarnya.
Tambah beliau, Jabatan Pertanian juga menyediakan bantuan peralatan kepada para pengusaha industri asas tani seperti pemprosesan cili boh, rempah ikan, kerepek, nisan dan lain-lain lagi yang turut menjadi penyumbang pengeluaran hasilan pertanian di Terengganu.
"Jabatan ini juga turut aktif mengadakan pelbagai program kepada masyarakat seperti Pertandingan Durian Kampung Premium Terbaik dan program gotong-royong bersama petani untuk membasmi musuh tanaman serta pelbagai lagi program berkaitan.
"Antara program terdekat yang bakal diadakan adalah program penyasaran diesel subsidi dengan menyediakan promosi pada Hari Terbuka Budi Madani pada 22 Julai nanti, " ujarnya.
11 Jul 24
243
Taman Permint Perdana Juara Piala YB Adun Seberang Takir
KUALA NERUS, 9 Julai - Pasukan Taman Permint Perdana (Miami FC) mewakili Cawangan Taman Permint Perdana muncul juara Kejohanan Bola Sepak 9 Sebelah Piala Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir yang berlangsung di Kompleks Sukan Gong Badak.
Dalam aksi akhir itu, TPP (Miami FC) menewaskan Taman Perumahan Telaga Daing dengan jaringan 2-0.
Selaku juara, TPP (Miami FC) membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM2,000 dan piala serta medal.
Salah seorang pemain TPP, Muhammad Taufiq, 27, berkata, momentum beberapa siri perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan sebelum kejohanan bolah dijadikan asbab keserasian pemain.
“Bulan lepas pasukan telah menyertai kejohanan Bolasepak Belia 9 Sebelah dan berjaya sampai ke peringkat suku akhir. Dari situ kita lihat kekurangan dan segera memperkemaskan pasukan.
"Alhamdulillah, memang tak sangka menjadi juara, kita sasarkan kita boleh ke suku akhir sahaja tapi semangat juang semua pemain berjaya ke akhir.
"Persiapan ke kejohanan parlimen akan datang insya-Allah kita akan meneruskan latihan seperti biasa juga kita akan sasarkan ke suku akhir," ujarnya.
Katanya, beliau sangat berpuas hati sepanjang perlawanan dan memuji kelancaran penganjuran.
“Perlawanan kedua-dua pasukan sangat baik, tidak ada kontroversi dan semua menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” ujarnya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seberang Takir, Khazan Che Mat yang ditemui selepas perlawanan merakamkan ucapan tahniah kepada pasukan TPP (Miami FC) yang menjuarai kejohanan pada kali ini.
“Tahniah kepada pasukan TPP (Miami FC) yang telah menjadi juara Piala ADUN Seberang Takir, Insya-Allah pasukan ini bersama tiga pasukan terbaik lain akan mewakili Seberang Takir ke peringkat Daerah Kuala Nerus," katanya.
09 Jul 24
192
406 Kilogram Sisa Sampah Berjaya Dikutip
KUALA TERENGGANU, 9 Julai- Sebanyak 406 kilogram (kg) sisa sampah berjaya dikutip menerusi Program Gelombang Kasih Sejagat di Pantai Tok Kita (belakang Sk Chendering), baru-baru ini.
Jumlah berkenaan dikumpulkan dalam program kolaboratif antara Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Geng Plastik Ija, Sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Sulaiman, Universiti Malaysia Terengganu, Sekolah Kebangsaan Chendering dan komuniti setempat.
Ketua Geng Plastik Ija Kuala Terengganu, Zalina Zakaria berkata, matlamat utama program tersebut adalah untuk membersihkan kawasan pesisir pantai berkenaan serta menghapuskan kawasan pengumpulan dan pembakaran sampah haram di lokasi tersebut.
Jelasnya, usaha tersebut secara tidak langsung turut membantu kelestarian pantai Tok Kita sebagai lokasi tarikan terbaharu tempat ‘healing’ penduduk tempatan mahupun pelancong.
"Program kali ini disertai pelajar PJJ UUM, 10 orang ahli GPI, 7 orang pelajar UMT, 34 orang murid SMKSS serta 30 orang murid SK Chendering turut serta menjayakan program ini.
"Program sebegini akan sentiasa diadakan dari semasa ke semasa supaya kawasan persisir pantai akan terjaga, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program terbabit.
Turut hadir bersama memeriahkan program berkenaan ialah Datuk Bandaraya Kuala Terengganu, Dato' Rosli Latif dan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Sulaiman Sulong.
08 Jul 24
165
Tradisi Wau Bulan Tarik Lebih 300 Penyertaan
KUALA TERENGGANU, 9 Julai - Lebih 300 wau diterbangkan oleh penduduk kampung yang menyertai pertandingan di Padang Bola SMK Sultan Sulaiman baru-baru ini.
Pertandingan tersebut dianjurkan Majlis Belia Negeri Terengganu bersama Jabatan Belia dan Sukan Negeri Terengganu dengan kerjasama Persatuan Penggiat dan Pemain Wau Negeri Terengganu, Persatuan Ibu Bapa Komuniti dan Swasta Daerah Kuala Terengganu dan SMK Sultan Sulaiman.
Menurut Ketua Penyelaras pertandingan, Mohd Ramzi Ramli berkata, tujuan utama pertandingan tersebut diadakan adalah untuk memelihara dan mempromosikan seni pembuatan dan permainan wau yang merupakan warisan budaya negeri.
“Kami berharap acara ini dapat menarik minat generasi muda untuk lebih mengenali dan mencintai budaya tradisional kita,” ujarnya.
Sementara itu, Ketua Pengadil pertandingan wau tersebut, Amidi Muhammad, menyatakan bahawa permakahan dilakukan berdasarkan tiga kriteria utama iaitu ketinggian, ketahanan udara, dan bunyi busur pada wau terbang.
"Pertandingan ini bukan sahaja menunjukkan kecantikkan dan keunikan Wau Bulan, tetapi juga memperlihatkan kreativiti dan kemahiran peserta dalam membuat dan menerbangkan wau.
"Pemenang pertama membawa pulang wang tunai bernilai RM 1200 manakala Naib Johan RM 800, tempat Ketiga RM 600, dan tempat Ke-4 hingga Ke-8 menerima RM 100 setiap satu. Peserta yang berada di kedudukan Ke-9 hingga Ke-16 masing-masing membawa pulang RM 50," ujarnya.
Katanya, selain pertandingan wau, pelbagai acara lain juga dipertandingkan seperti sepak penalti dengan penglibatan 48 pasukan dan mengira biji betik, menjadikan acara ini meriah dengan aktiviti menarik.
07 Jul 24
377
Program Kutip Sampah Kuala Berang Tarik Lebih 200 Peserta
HULU TERENGGANU, 4 Julai - Program Kutip Sampah Sambil Riadah (KUDAH) di Tapak Perkelahan Lubuk Bayas, Kampung Menerong, Ajil berjaya menarik lebih 200 peserta yang terdiri daripada komuniti setempat,swasta dan semua agensi kerajaan.
Yang Dipertua Majlis Daerah Hulu Terengganu, Mohd Fadli Ngah, berkata program yang dianjurkan oleh Majlis Daerah Hulu Terengganu itu melibatkan komitmen masyarakat setempat untuk merancang dan menguruskan Kawasan persekitaran kearah Pembangunan mampam dan kualiti hidup yang lebih tinggi.
Menurutnya, sebanyak empat program seumpamanya telah dilaksanakan pada 2023 dan mendapat sambutan yang menggalakkan dari masyarakat setempat, agensi dan badan NGO.
"Pada tahun ini Kementerian Perumahan Kerajaan Tempatan juga telah meluluskan empat lagi peruntukan bagi melaksanakan Program Local Agenda (LA21).
"Iaitu gotong royong, kutip sampah sambil riadah Laman Kuala Berang yang telah diadakan pada 7 Mac yang lalu," katanya kepada pemberita selepas program berkenaan.
Tambah Fadli, pemilihan Lokasi gotong-royong di Lubuk Bayas itu selaras dengan Program Denai Sungai Kebangsaan (DSK) dengan aktiviti mengutip sampah dan membersihkan sekitar Perkelahan Lubuk Bayas yang bersebelahan dengan Sungai Berang di mana ia merupakan salah satu usaha Majlis Daerah dalam mewujudkan denai Sungai.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) kampung Menerong, Awi Too, 48, menyifatkan objektif program tersebut bukan sekadar bergotong royong namun apa yang lebih utama ialah dapat memupuk hubungan erat dalam meningkatkan keakraban hubungan strategik antara agensi kerajaan.
"Antara agensi Kerajaan terlibat, Rela Pertahanan Awam Malaysia (RELA), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (BOMBA), Jabatan Pengairan dan Saliran Malaysia (JPS), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK), Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Pejabat Daerah Hulu Terengganu dan Masyarakat setempat.
"Program yang bermula seawal pukul 7.30 pagi berakhir pada pukul 12.00 tengahari berjalan lancar dengan cuaca yang begitu baik," ujarnya.
04 Jul 24
819