lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Empty Image
ADUN Batu Buruk Usaha Atasi Masalah Banjir Kilat
Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi  menyampaikan sumbangan kepada salah seorang mangsa banjir. Oleh: Fidee AzizKUALA TERENGGANU ,17 Disember - Kerajaan negeri dengan kerjasama pihak-pihak berkaitan akan mengambil tindakan segera mengatasi masalah banjir kilat yang dihadapi penduduk di negeri Terengganu khususnya sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk  setiap kali musim hujan lebat melanda.ADUN Batu Buruk, Ustaz Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata banjir kilat yang sering berlaku setiap kali hujan dikatakan berpunca daripada sistem perparitan yang tidak sempurna yang menyekat pengaliran air keluar.Jelasnya lagi, Pejabat ADUN  sudah mengambil tindakan awal sebelum bencana ini berlaku dengan membuat surat aduan kepada jabatan berkenaan.“Seperti di Kampung Binjai Chendering, kami sudah mengambil tindakan awal dengan sudah membuat surat aduan kepada Jabatan Pengairan Dan Saliran(JPS) dan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu(MBKT).“Hasilnya ada tindakan sudah  dibuat dan ada juga yang belum tetapi dalam proses perlaksanaan, oleh itu saya berharap pihak berkaitan segera mengatasi masalah yang dihadapi penduduk terbabit,"katanya.Beliau berkata demikian selepas menyampaikan ucapan dan sumbangan kepada mangsa-mangsa banjir di Pusat Pemindahan Sementara Sekolah Kebangsaan Chendering, di sini hari ini.Turut hadir, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Raja Baran, Tuan Ngah Tuan Ahmad; Pengerusi MPKK Kampung Aur, Che Ku Marzuki Che Ku Dalam; Pengerusi MPKK Kubang Ikan, Azmi Yusof, Pengawai-Pegawai Angkatan Pertahanan Awam(APM) dan Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat(JKM).Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri berkata sebagai masyarakat beragama islam, mereka perlu bersabar kerana ia adalah sebahagian ajaran agama islam apabila ditimpa musibah.“Kita bersabar apabila ditimba musibah kerana itu diajar oleh agama islam, yang baik kita syukur dan yang musibah kita bersabar kerana kesabaran memberi pahala kepada kita disisi Allah S.W.T," ujarnya lagi.Beliau juga mengucapkan ribuan terima kasih kepada agensi-agensi kerajaan yang membantu dari sebelum bencana sehingga pasca bencana banjir ini.
17 Dec 18
91
Empty Image
4,238 Pelajar DUN Jabi Terima Bantuan Persekolahan
Oleh : Hidayah AzlinJABI, 17 Disember 2018 - Seramai 4,238 pelajar sekolah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima Bantuan Persekolahan Negeri Terengganu (I-DANA) yang mula diagihkan pada hari ini.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata bantuan ini merupakan usaha kerajaan negeri membantu rakyat yang kurang berkemampuan."Semoga dengan bantuan yang sedikit ini dapat membantu meringankan beban rakyat Terengganu,”katanya Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri.Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai program tersebut di Pusat Agihan bertempat Dewan Sivik Jabi, pagi tadi.Agihan uniform sekolah  YANG lengkap dan beg sekolah itu berlangsung selama 4 hari dengan tenaga kerja seramai 30 orang bagi melancarkan lagi proses agihan kepada penerima.Dr Azman menyatakan terima kasih  kepada semua kakitangan Pusat Khidmat Adun Jabi, I-MITS Jabi, Pemuda, Ameerah, Unit Amal, Pengerusi dan Jawatankuasa Majlis Pembangunan Komuniti Kampung serta semua yang bertungkus-lumus mengadakan persiapan program itu."Bukan suatu tugas yang mudah untuk menyelesaikan agihan kepada lebih 1,000 penerima sehari."Saya berharap anak-anak semua bertambah semangat untuk memulakan sesi baru persekolahan nanti." katanya.
17 Dec 18
81
Empty Image
'Kalau Takdok Bantuan Pakaian Ni.. Susoh Jugok..'
Fazrul bersama dua anaknya, Ahmad Lokman dan Nurul Ain serta seorang rakan anaknya bersama bantuan pakaian sekolah yang diterima mereka.Oleh: Abdul Hafiz GhazaliKEMAMAN, 18 Disember - "Kalau tak dok (tiada) bantuan ni..susoh jugok. Anok ramai nok sekoloh, apatah lagi pendapatan pun tidak seberapa. Syukur sangatlah," kata bapa kepada penerima bantuan persekolahan, Ahmad Fazrul Mohamad, 33, dari Kampung Dusun Nyior, di sini, semalam.Dua anaknya, Ahmad Lokman Haziq, 14, dan Nurul Ain Natasya Ahmad Fazrul, 13, menerima bantuan i-Dana Persekolahan, menjadi antara 590 penerima di Dewan Sri Amar Cukai, di sini, semalam.Menurut Ahmad Fazrul, keprihatinan kerajaan amat besar maknanya kepada golongan yang berpendapatan rendah seperti mereka, apatah lagi kos sara hidup yang semakin tinggi masa kini."Terima kasih kepada kerajaan negeri atas keprihatinan kepada rakyat, saya berpuas hati sangat dengan usaha dan bantuan ini.. kalau boleh berterusanlah."Molek sangat kerajaan negeri buat macam ni, dengan nilaian RM100 dapat semua set pakaian sekolah seperti baju, seluar, stokin, kasut, beg dan kain sekolah. Jika dibandingkan dengan nilaian RM100 untuk membeli di luar sana (kedai) sememangnya tidak cukup,"katanya.Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Haji Hanafiah Mat yang meninjau proses pengagihan berkenaan.Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, berkata kira-kira RM5,000 disediakan kepada penerima bantuan pakaian sekolah berkenaan, semalam."Apa yang utama, jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri serta kepimpinan utama negeri, Menteri Besar, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, kerana telah menyediakan peruntukan yang besar bagi tujuan ini. Hampir RM12 juta belanja untuk memastikan rakyat Terengganu yang bergaji (pendapatan isi rumah) kurang daripada RM2,500 memperolehi bantuan pakaian ini."Jutaan terima kasih kepada i-MiTS (Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera DUN Cukai, Sahabat Sejahtera, Pemuda PAS DUN Cukai, Jabatan AMAL, Ameerah Care dan juga PDRM (Polis Diraja Malaysia yang memberi kerjasama baik bagi menjayakan serta melancarkan program ini,"katanya.
17 Dec 18
60
Empty Image
Ibu Tunggal Harap Dapat Miliki Rumah Sendiri
Oleh :Nooreni Abu BakarDUNGUN, 18 Disember - Seorang ibu tunggal yang kehilangan suami akibat kanser darah dua bulan lalu, berharap dapat memiliki rumah sendiri sebagai tempat berlindung untuk mereka sekeluarga.Wanita itu,  Norbaya Sulong, 40, kini hamil tujuh hulan, menyewa bersama empat anak perempuannya di rumah awam kos rendah Taman Rakyat Jaya, Rantau Abang, di sini.Katanya, selepas kematian suami, Haris Othman pada Oktober lalu, mereka sekeluarga kini hilang tempat bergantung dan mencari nafkah untuk menyara kehidupan mereka."Bagaimanapun, selain terima sumbangan sara hidup daripada Maidam (Majlis Agama Islam dan Adat Melayu ), Maidam juga tolong bayar sewa rumah bermula November baru-baru ini sehingga  Oktober tahun depan. Jadi pada masa akan datang, tidak payah beri setiap bulan, " katanya.Beliau berkata demikian selepas menerima kunjungan dan sumbangan daripada Ameerah DUN Rantau Abang, di rumahnya di sini, kelmarin.Norbaya turut melahirkan kebimbangannya berikutan perumahan yang didiami mereka sentiasa dilanda banjir apabila musim tengkujuh selain perlu memindahkan barang segera memandangkan dirinya yang sedang sarat mengandung serta semua anak perempuan yang masih kecil."Kita dalam keadaan begini (hamil), anak-anak perempuan bukan kuat sangat hendak angkat-angkat barang, kalau air masuk dalam rumah, jadi bimbang sokmo," luahnya yang kelihatan resah dengan cuaca tidak menentu kini.Justeru itu, dia berharap  dapat memiliki rumah yang lebih selesa tanpa perlu menyewa lagi dan berada di kawasan selamat daripada dinaiki air jika musim tengkujuh.
17 Dec 18
44
Empty Image
16 Keluarga Terjejas Akibat Banjir Kilat Di Kg Gong Tok Nasek
Antara mangsa yang masih ditempatkan di PPSOleh: Fidee AzizKUALA TERENGGANU 17 Disember- Penduduk Kampung Gong Tok Nasek di sini terkejut apabila kampung mereka dilanda banjir kilat setelah hujan lebat selama beberapa jam, malam kelmarin.Hujan lebat bermula jam 3 pagi dan berterusan lima jam mengakibatkan banjir yang sebelum ini tidak pernah di alami di sekitar kampung tersebut turut disebabkan faktor pertembungan air pasang serta masalah perparitan.Berikutan itu, 16 keluarga mangsa terpaksa dipindahkan terdiri daripada 68 orang termasuk kanak-kanak, bayi, dan warga emas  ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan(SK) Gong Tok Nasek sejak petang semalam.Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri dalam satu kenyataan berkata hujan yang direkodkan di stesen-stesen sekitar daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang menunjukan keamatan hujan yang sangat lebat melebihi 100 milimeter (mm) dalam tempoh tiga jam.Sementara itu, Penyelia Institut Modal Insan Sejahtera Dewan Undangan Negeri(DUN) Batu Buruk, Ustaz Abu Bakar Salleh mengarahkan semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) untuk turun rumah ke rumah supaya berpindah ke PPS bagi mengelakkan sebarang kemalangan nyawa berlaku.“Kita minta orang ramai tidak panik dan sentiasa peka dengan pengumuman dan arahan pihak berkuasa,”katanya ketika melawat mangsa banjir yang berada di PPS SK Gong Tok Nasek.Turut hadir,Setiausaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung(MPKK) Gong Tok Nasek,Mohamad Hanafi Ismail.Setakat jam 10 pagi tadi, sebanyak lapan PPS  masih diaktifkan membabitkan dua daerah iaitu Kuala Terengganu dan Marang melibatkan 853 mangsa daripada 218 keluarga dipindahkan ke PPS sejak pagi semalam berikutan kawasan perumahan mereka ditenggelami air.
17 Dec 18
303
Empty Image
Kem Smart Muslim Bentuk Jati Diri Muslim
Oleh: Helmi Abd SalamKUALA NERUS, 18 Disember- `Kem Smart Muslim' diharap menjadi platform untuk membentuk remaja yang mempunyai pengukuhan jati diri yang dapat memperkasakan identiti bangsa yang mencintai Islam.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail berharap agar peserta mampu menerapkan setiap ilmu dan memanfaatkan dalam kehidupan seharian untuk menjadi muslim yang baik dan mendapat keberkatan Allah SWT."Saya berharap semua peserta menanam azam untuk menjadi orang yang berguna pada masa kini dan akan datang. Pastikan juga dapat menjadi seorang pemimpin yang soleh masa akan datang mengikut acuan Islam,"katanya ketika berucap merasmikan kem itu,  di Scout Inn, Teluk Ketapang, di sini, semalam.Kem sehari anjuran Penyelaras Pemuda DUN Batu Rakit mendedahkan 78 peserta yang berumur 13 hingga 17 tahun sebagai remaja yang cintakan ilmu serta mempunyai jati diri dalam menghadapi situasi yang lebih mencabar ,masa kini dengan menjadikan Islam sebagai cara hidup..Seorang perserta, Nur Hidayah Balqis,15, berkata program ini dapat memberikan mereka motivasi bagaimana untuk mencapai cita-cita murninya satu masa nanti, tanpa meninggalkan ciri- ciri seorang muslim yang dikehendaki oleh agama.
17 Dec 18
295
Empty Image
12,000 Terima Dana Bantuan Persekolahan
Oleh: Jusmawari JusohBESUT, 18 Disember- Seramai 12,000 penerima daerah  ini layak menerima dana bantuan persekolahan sesi 2019.Penyelaras Parlimen Besut, Ustaz Riduan Mohamad Nor berkata, bantuan persekolahan berupa beg, kasut, stokin dan pakaian sekolah jenama Canggih itu diagihkan kepada penduduk di empat zon daerah tersebut dengan harapan dapat meringankan beban rakyat yang kurang berkemampuan."Alhamdulillah, agihan berjalan dengan baik di mana kita mendapat kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam daerah ini untuk menyusun tarikh penyerahan bantuan dan sebagainya.“Malah, kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahterai (i-MiTS), sukarelawan Jabatan Amal dan ahli Kelab motosikal Alternative Riding Club (ARC) Besut turut menyumbang bakti bagi melancarkan proses pengagihan bantuan ini,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau beberapa lokasi pengagihan dana bantuan persekolahan di Besut, semalam.Katanya, beliau mengucapkan terima kasih kepada petugas yang bekerja keras memastikan bantuan tersebut diterima mereka yang layak.
17 Dec 18
29
Empty Image
Kelab Ibu Tunggal Tingkat Kendiri Wanita
Oleh: Sulaiman, Adli MohamadDUNGUN, 18 Disember - Ibu-ibu tunggal digalakkan bekerjasama dalam Kelab ibu Tunggal agar nasib mereka terbela.Ahli Jawatankuasa Persatuan Isteri Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Siti Zaliha Mohd berkata, dengan menyertai persatuan akan memudahkan urusan pihak yang berwajib untuk membantu."Ibu tunggal perlu berdikari bagi mengharungi kehidupan yang penuh ranjau. Adalah menjadi hasrat kami agar ibu tunggal setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) mendapat pembelaan yang sewajarnya dengan penubuhan kelab ini."Menjadi ibu tunggal bukanlah satu pilihan. Namun takdir telah menentukan segala yang dihadapi bagi menguji keimanan menjadi wanita yang tabah menjalani kehidupan," katanya ketika dihubungi kelmarin.Menurut Siti Zaliha, dalam meningkatkan ekonomi dan memenuhi segala keperluan, ibu tunggal boleh melibatkan diri dalam bidang keusahawanan melalui peluang dan bantuan yang disediakan pihak kelab."Antara perniagaan yang boleh diceburi ialah perniagaan berasaskan 'frozen', katering, jahitan serta kemahiran urutan dan kecantikan."Ibu tunggal boleh membuat pinjaman melalui Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Majlis Amanah Rakyat (MARA), TEKUN Nasional dan sebagainya."Kami berharap Kelab Ibu Tunggal akan terus maju dan hebat tanpa dipandang negatif oleh masyarakat," jelasnya.
17 Dec 18
422
Empty Image
3,772 Anak-Anak DUN Jerteh Ceria
Ustaz Azhar menyampaikan beg sekolah ekpada seorang pelajar sekolah rendah dalam majlis pengagihan yang dijalankan di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, semalam.Oleh: Muhd Afiq ZohirBESUT, 17 Disember - Seramai 3,772 pelajar sekolah rendah dan menengah di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh ceria apabila turut tersenarai sebagai penerima bantuan pakaian sekolah di seluruh Terengganu bagi sesi baharu 2019.Pengagihan kepada penerima bantuan itu dilaksanakan menerusi Pusat Khidmat DUN dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing dengan kerjasama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) dijalankan sepanjang empat hari, berakhir semalam.Pegawai Penyelaras DUN Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, semua penerima bantuan pakaian sekolah antara mereka yang mendapat manfaat daripada inisiatif kerajaan bagi menjaga kebajikan dan memberi kesejahteraan kepada rakyat terutama golongan yang kurang berkemampuan."Bagi pihak penerima bantuan ini, saya mengucapkan berbanyak terima kasih kepada kepimpinan  negeri terutamanya Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang meneruskan dana bantuan persekolahan kepada rakyat."Pastinya ini suatu yang menggembirakan semua terutama anak-anak yang mahu belajar dengan semangat dan iltizam yang baharu pada awal tahun sesi 2019 nanti,"katanya.Beliau berucap ketika mengadakan tinjauan pengagihan bantuan itu, di Dewan Gong Kemuntong, Jerteh, di sini, semalam.
17 Dec 18
631
Empty Image
Kem Solat Medium Didikan Agama Anak Terengganu
Kem Solat bantu anak-anak lebih faham agama.Oleh: Syed KamalKUALA TERENGGANU, 17 Disember - Ibu bapa seharusnya memberi didikan agama seawal mungkin kepada anak-anak agar tidak mudah terjebak dengan gejala sosial yang banyak berlaku pada hari ini. Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, penganjuran Kem Solat 1.0 yang diadakan boleh digunakan sebagai medium pembelajaran untuk anak-anak ketika cuti sekolah."Didikan agama di peringkat awal penting untuk membendung anak-anak daripada terlibat dalam gejala tidak sihat."Kebanyakan jenayah remaja yang dapat dilihat hari ini berpunca kerana tidak mendapat didikan agama sejak kecil."Salah didikan semasa kecil bakal menjadikan mereka orang yang tidak baik pada masa akan datang."Ingatlah pepatah ada mengatakan, melentur buluh biarlah dari rebungnya," katanya kepada pemberita ketika hadir dalam program tersebut di Masjid Lama Durian Burung, kelmarin.Kira-kira 100 orang peserta daripada penduduk sekitar menjayakan program selama sehari tersebut yang dianjurkan Pejabat Parlimen Kuala Terengganu.
17 Dec 18
132