Artikel "Komuniti" Terkini
Jawatan Exco Tidak Halang ADUN Paka Sampaikan Kuliah
Oleh: Amiirullah MansorDUNGUN 4 Januari - "Sesibuk mana pun dalam menjalankan tugas sebagai Exco, saya akan ambil masa untuk menyampaikan kuliah agama sekitar kawasan Paka bagi memastikan warga penduduk sekitar mendapat pengisian ilmu agama bagi menjamin kualiti hidup masyarakat," itu kata Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri, Satiful Bahri Mamat .Jelasnya, dengan kuliah agama yang dijalankan ini, penduduk Paka dapat meningkatkan budaya cintakan ilmu di samping beliau berpeluang beramah mesra denganmasyarakat setempat."Setiap hari Jumaat, penduduk di sini akan mengambil peluang mendengar Kuliah Dhuha yang disampaikan oleh saya sendiri.“Di samping itu, mereka juga boleh membeli di Pasar Mukmin One Stop Center yang bermula pada jam 9 pagi,” ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman(UPDI) selepas kuliah di Masjid Pinang Merah, baru-baru ini.Beliau yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN)Paka berkata program sebegini sekaligus telah menyahut seruan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar untuk menjadikan Jumaat hari ilmu dan hari Sabtu sebagai hari keluarga.Menurutnya lagi, antara barang - barang yang dijual di Pasar Mukmin One Stop Center ialah makanan sunnah, keperluan masakan harian, pakaian, minyak wangi dan barangan runcit."Orang ramai juga boleh membeli barang - barang keperluan sambil mendengar kuliah yang disampaikan bagi memeriahkan lagi suasana dan ini merupakan salah satu kemudahan yang tersedia untuk mereka untuk pengurusan rumahtangga, " katanya.
05 Jan 19
38
426 Pelajar SRIDAF Mulakan Sesi Pembelajaran Di Besut
Oleh : Muhd Afiq ZohirBESUT 4 Januari –Seramai 426 Pelajar Sekolah Rendah Islam Darul Furqan (SRIDAF) memulakan sesi pembelajaran tahun ini di Besut.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Jerteh, Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad berkata, pada kali ini, 125 pelajar tahun satu telah didaftarkan dan dibahagikan kepada empat kelas untuk sesi pembelajaran.“Penambahan pelajar secara mendadak menandakan bahawa ibubapa lebih mementingkan pendidikan agama kepada anak-anak mereka."Proses pembelajaran dari sekolah ini dapat di praktikkan dalam kehidupan seharian serta sesuai untuk seisi keluarga bagi membentuk masyarakat yang sejahtera,"katanya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengadakan tinjauan di Sekolah Rendah Islam Darul Furqan (SRIDAF), Batu Tumboh, di sini baru-baru ini.Katanya lagi, SRIDAF lebih menekankan pembelajaran agama terutama hafazan Al-Quran."Saya berharap dengan adanya sekolah ini dapat membentuk modal insan untuk menuju Negeri Terengganu Maju, Berkat, Sejahtera,"ujarnya.
03 Jan 19
1164
Kerajaan Negeri Bersama Denyut Nadi Rakyat
Oleh: Afiq M. ZaidBESUT, 3 Januari - Kerajaan Terengganu berusaha untuk menjadi ‘kerajaan rakyat’ yang merasai keperluan dan kepayahan rakyat di negeri itu berdasarkan pembangunan serta kemajuan yang dibina.Menurut Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman, bantuan dan pembangunan dilaksanakan seamata-mata untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat.“Kerajaan kita adalah kerajaan yang bersama-sama merasai denyut nadi rakyat dalam apa jua keadaan apatah lagi dalam kesulitan dan kesusahan yang dihadapi mereka. “Kita berharap dengan bantuan dan sumbangan yang diteruskan, rakyat dapat mengecapi dan boleh merasai kewujudan kerajaan sekarang ini sebagai pemerintahan yang sentiasa memberi keutamaan kepada kebajikan-kebajikan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita semasa menyampaikan bantuan Tabung Darul Iman (TDI) di Kampung Gong Kepas Luar, baru-baru ini.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera itu menyampaikan sendiri bantuan Tabung Darul Iman (TDI) kepada penerima bagi meringankan beban mereka.Katanya, penerima-penerima bantuan ini pastinya menantikan sumbangan daripada kerajaan negeri bersempena tahun baru ini.“Bantuan ini telah diluluskan oleh pihak TDI di bawah Exco Kebajikan. Kita memilih tarikh 1 Januari ini bagi menceriakan tahun baru pesakit-pesakit kronik yang terpilih ini di kawasan Kota Putera ini."Alhamdulillah, hari ini kita telah berkunjung terus kepada rumah-rumah sebahagian besar daripada penerima-penerima ini dan menyampaikan sendiri bantuan.“Mereka pastinya menanti sedikit sentuhan atau sumbangan daripada kerajaan kepada mereka," ujarnya.Program tersebut diadakan dengan mendapat kerjasama ahli-ahli Kelab ‘Alternative Riding Club’ (ARC) Besut yang berkonvoi dengan 10 buah motosikal dari rumah ke rumah."Istimewanya, semua motorsikal-motorsikal yang mengiringi saya pada hari ini memiliki plat nombor yang dimulai dengan 'P.A.S'. “Ini adalah satu keunikan yang ada di Besut ini. Kita mempunyai ahli ARC yang mempunyai motorsikal berplat nombor P.A.S antara yang teramai di Malaysia," katanya lagi.
03 Jan 19
40
Bertanggungjawab, Proaktif Tangani Isu Setempat
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Amzad Hashim meninjau keadaan longkang di sebuah taman di Jalan Tekukur, di sini, semalam.Oleh: Syed KamalKUALA TERENGGANU, 2 Januari - Sikap bertanggungjawab dan proaktif pihak berkuasa menangani isu yang diketengahkan masyarakat mampu mewujudkan suasana sejahtera dan memberi imej yang baik terhadap pentadbiran negeri.Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Haji Amzad Hashim berkata, sebagai pihak bertanggungjawab, semua agensi terlibat dan kepimpinan setempat perlulah bertindak pantas untuk menyelesaikan setiap permasalahan yang dilaporkan oleh masyarakat."Walaupun kadangkala tidak mampu menyelesaikan segera, tetapi mesti menunjukkan sikap untuk membantu dan mencari jalan keluar dari masalah itu.“Ini di bawah tanggungjawab kita, walaupun tiada jalan penyelsaian segera, sekurang-kurangnya kita ‘follow up’ dan tunjukkan usaha kita untuk membantu," katanya.Beliau berkata demikian ketika membuat lawatan di kawasan perumahan Jalan Terkukur yang terlibat dengan masalah banjir pada setiap kali musim tengkujuh.Turut mengikuti lawatan itu, wakil Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Ladang, MPKK Jalan Terkukur dan MPKK Taman Jaya.Menurut Amzad, punca kejadian banjir di kawasan itu akibat masalah sistem peparitan yang gagal diselenggara dengan betul berikutan pengumpulan sisa sampah dan lumpur dalam longkang.Katanya, kawasan itu menjadi antara yang sering dilanda banjir setiap kali musim tengkujuh sekali gus menyukarkan urusan harian penduduk dan menimbulkan ketidakselesaan."Sehubungan itu, kita akan memanjangkan perkara ini segera untuk tindakan pihak berwajib (Majlis Bandaraya Kuala Terengganu."Pada masa yang sama juga, beberapa pihak bertanggunjawab sudahpun bersedia bekerjasama untuk menyelesaiakan pemasalahan yang sudah lama dihadapi penduduk kawasan ini supaya dapat diatasi segera,"katanya.
03 Jan 19
127
Isteri MB Teruja Sertai Program Ziarah Ibu Dan Bayi
Tuan Faizah mencium mesra seorang bayi yang sempat diziarahi .Oleh: Aslam WiraMARANG 3 Januari- Naluri dan perasaan seorang wanita tidak akan pernah lari daripada keterujaan dengan kelahiran bayi baharu tidak kira sehebat mana kedudukan dan pangkat mereka.Isteri Menteri Besar Terengganu, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman, merasa teruja untuk menziarahi beberapa penduduk yang baharu sahaja menerima cahaya mata di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang.Beliau yang juga Pengerusi Khairunnisa, sempat menziarahi tiga bayi yang baru dilahirkan dalam tempoh 10 sehingga 30 hari di mana dua orang daripadanya adalah bayi perempuan dan seorang bayi lelaki.Turut bersama dalam ziarah tersebut adalah petugas-petugas Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Rhu Rendang.Nur Asilah Ghazali, 24, ibu kepada seorang bayi perempuan yang berusia 23 hari berkata dia rasa bersyukur dan sangat teruja dengan kedatangan orang yang paling rapat dengan Menteri Besar Terengganu, Tuan Faizah sudi menziarahi bayi sulungnya“Semoga program ziarah bayi diperingkat DUN ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang demi mengeratkan hubungan antara rakyat dan wakil rakyat.“Sedikit harapan saya selaku rakyat DUN Rhu Rendang ini, semoga program ziarah seperti ini dilibatkan juga dengan pemimpin-pemimpin diperingkat kampung seperti MPKK dan sebagainya, supaya hubungan antara pemimpin dan rakyat diperkuatkan lagi,"katanya.Tujuan ziarah tersebut adalah untuk memberi sedikit sumbangan dan cenderahati kepada bayi yang dilahirkan tanda menzahirkan tahniah diatas kehadiran ahli baharu dalam keluarga.
03 Jan 19
187
Edar 500 Kalendar 2019 Erat Ukhwah
Oleh : Amiirullah MansorDUNGUN , 2 Januari - Kakitangan Institut Modal Insan Sejahtera Terengganu (i-MiTS) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka turun padang mengagihkan lebih 500 kalendar 2019 secara percuma kepada masyarakat sekitar. . Penyelia i-MiTS DUN Paka, Mohd Kamal Shah, berkata agihan kalendar yang memaparkan aktiviti dan program Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Ustaz Satiful Bahri Mamat dibuat bersama beberapa petugas i-MiTS sambil bertanya khabar kepada peniaga dan pelanggan sekitar.Katanya, antara premis perkedaian dan agensi yang dikunjungi seperti restoran, kedai runcit, kedai alat telekomunikasi, Klinik Kesihatan Paka, syarikat insurans, Bank Simpanan Nasional (BSN) dan bengkel kereta."Alhamdulillah, kita dapat menunjukkan imej yang baik kepada masyarakat umum, terutama bangsa lain di kawasan Paka ini selepas mentadbir negeri, " kata beliau ketika ditemui media Urusetia Penerangan Darul Iman, di Bandar Paka di sini, semalam.Mohd Kamal juga sempat beramah mesra dengan kebanyakan peniaga termasuk pengusaha kedai elektronik yang berbangsa Cina semasa mengedarkan kalendar itu.Beliau turut berharap masyarakat sekitar DUN itu sentiasa hidup dalam keadaan aman dan sejahtera serta mampu menjalani kehidupan dengan baik muafakat sesama komuniti.
02 Jan 19
38
Kunjungan Mahabbah Isteri MB Ke Sekolah Disambut Baik
Oleh: Aslam WiraMARANG 3 Januari - Isteri Menteri Besar Terengganu, Tuan Faizah Tuan Abdul Rahman meluangkan masa melawat beberapa buah sekolah di daerah Marang dalam beberapa siri kunjungan pada kali ini.Di dalam kunjungan siri pertama hari ini, beliau sempat melawat empat buah sekolah iaitu Sekolah Kebangsaan Rusila, Sekolah Kebangsaan Marang, Sekolah Kebangsaan Gong Nangka dan Sekolah Kebangsaan Sentul Patah.Tuan Faizah berkata program lawatan mahabbah diadakan bagi melihat sendiri keadaan dan suasana persekolahan di negeri ini dan ia mendapat sambutan baik daripada mereka."Saya amat berbesar hati dan gembira dengan peluang lawatan kali ini, sebenarnya fokus saya adalah melawat pelajar-pelajar tahun satu, yang kita sedia maklum pelajar yang baru menempuh alam persekolahan.“Tapi Alhamdulillah, saya melihat pelajar tahun satu di kawasan luar bandar lebih mempunyai keyakinan atau kurang meragam daripada pelajar-pelajar di bandar,"katanya kepada pemberita ketika ditemui di Pejabat Pendidikan Daerah Marang.Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rhu Rendang, Wahad Osman; Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Haji Daud Jusoh, dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS), Mohd Embong.Menurut Tuan Faizah, terdapat sekolah yang mempunyai daya tarikan dan unik dari sudut kemudahan prasarana dan infrastruktur yang dapat membantu pelajar ke arah yang lebih baik."Namun, saya juga ada melihat beberapa sekolah yang perlu diberi penekanan dari sudut keselamatan anak-anak pelajar, dan berharap pihak berwajib dapat beri perhatian sepatutnya,"katanya lagi.Sementara itu, Pegawai Pejabat Pendidikan Daerah (PPD)Marang, Mohd Adnan Salleh berkata pihaknya merasa bangga di atas kecaknaan isteri kepada pemimpin nombor satu di negeri ini yang sudi menziarahi sekolah- sekolah tersebut."Ini juga merupakan kunjungan hormat julung kali yang kami terima daripada isteri Menteri Besar Terengganu.“Dengan kehadirannya, diharap dapat memberi suntikan semangat khasnya sekolah yang telah dilawati beliau, kerana dari kunjungan tersebut kita boleh nampak akan kemesraan diantara pelajar tahun satu dan juga kakitangan sekolah,"ujarnya.
02 Jan 19
62
Lukisan Mural 3D Perahu Tarikan Baharu Kuala Nerus
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan dan Teknologi Maklumat, Haji Ariffin Deraman (belakang, kiri) dan timbalannya, Haji Sulaiman Sulung (belakang, kanan) bersama Pegawai Daerah Kuala Nerus, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abd Jalil (belakang, tengah) dan duta pelancongan Terengganu, Mat Dan (depan) bergambar di atas lukisan mural perahu, baru-baru ini.KUALA NERUS, 2 Januari - Konsep mengembalikan nostalgia perahu lama diterapkan dalam lukisan mural tiga dimensi (3D) yang terbaharu dihasilkan di daerah ini, selepas lukisan mural 3D lintasan pejalan kaki menjadi tarikan di Pantai Tok Jembal, sejak pertengahan tahun lepas.Lukisan perahu yang mengambil masa seminggu disiapkan dan mula menjadi tarikan sejak Oktober lalu mampu mengembalikan nostalgia perahu lama Terengganu khususnya kepada generasi muda.Ketua Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus, Zuwislan Awang berkata, pengangkutan yang tidak lagi menjadi kenderaan utama masa kini, setidak-tidaknya mampu dikenang generasi terdahulu dan dihargai peranannya oleh generasi muda hari ini."Lukisan ini menjadi tarikan terbaharu pelancong dan pelawat ke daerah ini, seperti juga lintasan 3D di Dapo Pata, Tok Jembal yang dihasilkan pada Mei tahun lalu. Jika lintasan pejalan kaki mengambil masa sekitar dua hari untuk disiapkan, perahu ini pula mengambil masa hampir seminggu."Selain sebagai lokasi tumpuan pelawat yang mengabadikan gambar bersama lukisan ini, ia juga sebagai medium menghargai bakat pelukis tempatan seperti Hatta Hashim yang bertanggungjawab menyiapkan seni kreatif ini,"katanya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman, semalam.Dalam pada itu, Zuwislan berkata, lukisan perahu itu juga akan menjadi antara tarikan sempena aktiviti riadah dan sihat, Kuala Nerus Car Free Hour (KNCFH) yang berlangsung di Dataran City Night game, Kompleks Gong Badak, di sini, pada 5 Januari ini (Sabtu).Program yang diadakan pada Sabtu pertama setiap bulan sejak Januari dua tahun lalu bermula jam 7 pagi itu menjemput kehadiran semua masyarakat sekitar untuk mengikuti pelbagai acara seperti senamrobik, berbasikal, berjalan kaki dan berkasut roda sebagai amalan gaya hidup sihat.Malah, beliau berkata, KNCFH yang menjadi acara mingguan itu juga turut menawarkan pelbagai cabutan bertuah yang pastinya memberi peluang kepada orang ramai pulang tanpa tangan kosong.
02 Jan 19
1560
Penantian Puluhan Tahun Bakal Berakhir
JABI, 2 Januari- Penantian puluhan tahun penduduk Kampung Jebak Puyoh, di sini untuk menikmati kemudahan jalan raya bakal berakhir berikutan kerja-kerja menyediakan kemudahan itu giat dijalankan oleh kontraktor terlatih.Ahli Dewan Undangan Negeri, Jabi, Dr Azaman Ibrahim, berkata dia berusaha menyediakan kemudahan itu kepada penduduk setempat kerana menyedari keadaan jalan asal yang becak apabila hujan, berdebu ketika musim panas dan berlubang.Katanya, keadaan itu bukan saja berasa tidak selesa kepada penduduk malah boleh mendatangkan pelbagai penyakit, termasuk asma, demam dan gatal-gatal.“Tidak mahu perkara itu berlarutan, saya berusaha bertemu pengawai Unit Perancagan Ekonomi Negeri Terengganu untuk menyelesaikan masalah itu sebaik diamanahkan menjaga kebajikan rakyat Jabi.“Saya ada dimaklumkan, masalah sama pernah diadukan kepada wakil rakyat sebelum ini, tetapi janji hanya tinggal janji,” katanya yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim.Menurutnya, dia ada turun padang meninjau kerja-kerja membina jalan itu, selain bertemu penduduk setempat.“Nyata riak muka mereka sangat gembira, menyatakan ucapan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menyelesaikan masalah itu walaupun beberapa bulan mengambil alih tampuk kepimpinan, “katanya.“
01 Jan 19
27
Kerajaan Terengganu Ziarah Keluarga Kanak-Kanak Lemas
Zawawi berkongsi ceritanya kepada Hanafiah dan Mohd Soud (dua dari kiri) sambil diperhatikan Abdul Rasul (kanan).RANTAU PANJANG, 1 Januari - Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyampaikan ucapan takziah mewakili Kerajaan Terengganu kepada keluarga tiga kanak-kanak yang lemas di Pantai Teluk Lipat, Sura, Dungun pada Ahad lalu."Mewakili kerajaan negeri dan Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, saya mengucapkan takziah kepada encik Zawawi dan isteri yang telah kehilangan anak dalam sekelip mata."Inilah ujian Allah yang terpaksa diterima hamba-Nya dan kita minta semoga dengan ujian ini bertambahlah ketakwaan keluarga ini kepada Allah SWT."Memang dari segi kata-kata sangat senang untuk diucapkan."Cuma, kita yang hidup ini pasti akan mengalami kematian. Tap-tiap yang hidup akan menghadapi mati dan kita akan balik juga kepada Tuan empunya alam ini.Kerajaan Terengganu berkongsi kesedihan keluarga ini. - Hanafiah Mat"Kita harap keluarganya tabah dan insya-Allah sudah ada wakil mereka di syurga."Semoga keluarga ini mendapat rahmat daripada anak-anaknya yang dah pergi," nasihatnya kepada keluarga dan tetamu yang hadir pada pertemuan di Kampung Rahmat, Gong Periuk itu, semalam.Zawawi Abdul Wahab, 42 dan Nur Syahida Abdullah, 36, kehilangan anak mereka iaitu Nurain Fatma, 10, Nurain Sofia, 8, dan Nurain Salsabila, 6, yang lemas dihanyutkan ombak besar ketika bermain di gigi air dalam tragedi itu.Jenazah ketiga-tiga mereka ditemui pagi semalam dan selesai dikebumikan sekitar jam enam petang di kampungnya.Hanafiah yang diiringi Pengarah Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga.."Kita berada di sini hadir untuk menghiburkan sedikit hati mereka," katanya.Dalam pada itu, Zawawi turut mengucapkan terima kasih kepada pihak yang membantu mereka."Terima kasih kepada pihak yang banyak membantu saya terutama orang-orang Dungun dalam pencarian dan menguruskan jenazah kembali ke sini sehingga yang membantu kepada pengebumian."Banyak yang membantu, sampai ke hospital turut ada yang bertanya khabar dan memberikan sumbangan serta pertolongan."Tidak lupa juga kepada yang memberi sokongan moral dan menziarahi kami," katanya.Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Apam Putera, Abdul Rasul Mohamad merakamkan terima kasih atas kunjungan Hanafiah itu."Bagi pihak Kerajaan Kelantan dan keluarga ini, saya mengucapkan ribuan terima kasih kepada kerajaan Terengganu dan rakyat Terengganu yang memberikan bantuan ketika kami dalam kesusahan," katanya.Kunjungan petang itu turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) Kelantan, Dato' Nazran Muhammad.Abdul Rasul.
01 Jan 19
68