Artikel "Komuniti" Terkini
Wira Darul Iman Terima Anugerah Daripada Kerajaan Terengganu
Dr. Samsuri menyerahkan anugerah kepada Mustafa sambil diperhatikan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri.KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Enam pemuda yang membantu menyelamatkan sebuah keluarga di Pulau Warisan 8 Februari lalu dianugerahkan sebagai 'Wira Darul Iman' daripada Kerajaan Terengganu.Anugerah tersebut disampaikan Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dalam program Himpunan Belia dan Beliawanis Negeri Terengganu (HEBAT) 2019 di Stadium Negeri semalam.Almarhum Abdul Bari Asyraf Mohd, 31, diwakili bapanya, Mohd Mustafa, 66, menerima anugerah tersebut beserta wang tunai RM10,000 sebagai tanda penghormatan atas pengorbanannya yang tidak ternilai.Manakala, lima 'saudara' iaitu Omar Abdul Aziz Othman, 27, Saiful Anuar Mohd, 37, Shahrul Mizan Harun, 34, Mohd Amiro Hafizol Zukafli, 29, dan Mohd Asadullah Jamaluddin, 28, turut menerima anugerah dan wang tunai bernilai RM3,000 sumbangan kerajaan negeri sebagai tanda penghargaan.Wira Darul Iman jadi tauladan belia negeri.Dr. Samsuri berharap sumbangan tersebut dapat membantu mereka dalam urusan seharian."Memang ia tidak dapat membayar nilai pengorbanan mereka, cuma ini sebagai tanda ingatan daripada kerajaan negeri," katanya ketika ditemui pemberita selepas program berkenaan.Mengimbas kejadian tersebut, sebuah kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenis Mitsubishi Storm yang dinaiki lima sekeluarga meluncur dan terjunam ke dalam sungai sebelum diselamatkan oleh keenam-enam wira berkenaan.Bagaimanapun, Abdul Bari lemas dalam kejadian itu dan ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dua hari kemudian.
22 Feb 19
139
Himpunan Belia Terengganu Meriah, Sarat Pengunjung Dan Aktiviti
'PS4 Games' tarik anak muda.KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Kesibukkan berhujung minggu bukan penghalang bagi orang ramai khususnya belia untuk memeriahkan Himpunan Belia dan Beliawanis Negeri Terengganu (HEBAT) 2019, yang diadakan di Stadium Negeri, di sini, hari ini.Seawal pukul 9 pagi, Stadium Negeri Terengganu, sudah menerima kunjungan belia dan ibu bapa yang tidak mahu melepaskan peluang untuk menyertai dan menyaksikan aktiviti yang dilangsungkan.Pelbagai acara dijalankan seperti aktiviti jualan, pertandingan nasyid, mewarna, kawad kaki, memanah, PS4 Games dan 'dart'.Paling menjadi tumpuan pengunjung ialah pertandingan nasyid dan PS4 games yang diadakan di dewan utama.Rata-rata pengunjung berpuas hati dengan kemeriahan himpunan belia itu.Pertandingan nasyid menjadi tumpuan.Pengunjung, Afifuddin Muda, 25, berkata,program seperti ini sangat menarik kerana berjaya mengumpulkan ramai belia daripada semua peringkat.Jelasnya, aktiviti yang diadakan seperti PS4 Games berjaya mencungkil bakat-bakat belia untuk diketengahkan dalam industri 'e-sport'."Rasa seronok datang ke sini, melihat aktiviti-aktiviti yang ada boleh menenangkan fikiran."Tadi saya tengok PS4 games, baguslah ada program sebegini, tambah-tambah sekarang sukan e-sports sedang berkembang dalam kalangan belia," jelasnya.Anak muda juga tidak melepaskan peluang untuk menyertai pertandingan kawad kaki.HEBAT yang mengumpulkan belia dari seluruh daerah itu berlangsung selama dua hari.Himpunan yang menyasarkan untuk menghimpunkan 10,000 belia itu telah dirasmikan oleh Menteri Besar Terengganu, Dr. Samsuri Mokhtar semalam.
22 Feb 19
145
Bazaar Kahwin Akan Dijadikan Acara Tahunan Terengganu
Mohd Nurkhuzaini (dua dari kiri) bersama isteri.KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Kerajaan Terengganu akan berusaha untuk memastikan bazaar perkahwinan dijadikan sebagai acara tahunan di negeri tersebut.Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab. Rahman berkata, bazaar yang dijalankan itu merupakan kali yang kedua diadakan selepas yang pertama pada tahun lepas.Jelasnya, bazaar yang diadakan itu membuka banyak peluang kepada usahawan dan juga bakal-bakal pengantin untuk mencari dan memilih pakej perkahwinan yang terbaik.“InsyaAllah saya melalui jawatankuasa keusahawanan akan memberi kerjasama agar bazaar kahwin seperti ini diadakan setiap tahun.“Bazaar ini juga membuka peluang kepada usahawan-usahawan yang bergiat dalam arena perkahwinan untuk sama-sama menawarkan pakej-pakej yang terbaik untuk memudahkan orang ramai untuk mencari (memilih),” ujarnya.Beliau berkata bazaar itu sesuai dijadikan 'one stop centre'.Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Bazaar Kahwin Volume 2 Extravaganza 2019 di Pusat Dagangan Terengganu (TTC), Kuala Terengganu, di sini semalam.Turut hadir dalam majlis itu ialah Pengurus Pembangunan Perniagaan Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) Terengganu, Engku Mohd Hairulnizam, Ketua Pegawai Eksekutif CAKNA, Mohd Radhi Kamarudin serta isteri-isteri Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Terengganu.Mohd Nurkhuzaini melawat gerai-gerai yang menawarkan pakej terbaik.Nurkhuzaini berkata, bazaar tersebut sangat sesuai untuk dijadikan sebagai ‘one-stop centre’ kepada seluruh rakyat negeri Terengganu.Rakyat Terengganu yang bakal melangsungkan perkahwinan digalakkan hadir untuk memilih pakej-pakej pengantin yang ditawarkan kerana bazaar itu melengkapi semua elemen.“Memang kita boleh jadikan ianya ‘one stop centre’ dan kita rasa berbanggalah kerana ada pihak yang sudi menganjurkan bazaar ini.“Saya ada tengok (di sini) memang ‘complete’ dari segi perkahwinan, bermula daripada pejabat agama sehingga ‘goodies’, makan, semuanya ada,” tambahnya.
22 Feb 19
117
Khairunnisa' Terengganu Aktif Tangani Masalah Rakyat
KUALA TERENGGANU, 22 Februari - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') bergerak cergas untuk mengatasi masalah kehidupan rakyat.Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak berkata, persatuan tersebut dapat bertahan dalam situasi politik negara yang sentiasa berubah-ubah.“Saya ucap tahniah kepada Khairunnisa' kerana telah berjaya bertahan dalam situasi politik negara pada hari ini yang berubah-ubah, yang ditubuhkan semasa menjadi kerajaan (dahulu pada tahun 1999) kemudian tidak menjadi kerajaan pada tahun 2004 dan (kini) menjadi kerajaan semula. “Walaupun (pemerintahan dahulu) tidak menjadi kerajaan, Khairunnisa' masih lagi bergiat cergas membantu para suami mereka yang merupakan Yang Berhormat (YB) ataupun mantan YB dalam menguruskan kerja-kerja masyarakat sama ada berkaitan politik ataupun kebajikan,” jelasnya.Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali Ke-17 Khairunnisa' di pejabatnya di Batu Buruk semalam.Menurutnya, walaupun selepas menjadi kerajaan semula, persatuan tersebut masih lagi bergiat aktif dalam program yang berkaitan dengan kebajikan dan kemasyarakatan.“Ini adalah antara peranan penting NGO dalam membantu kerajaan dan parti untuk menangani masalah kehidupan yang dihadapi oleh rakyat.“Dengan kos hidup yang tinggi, masih ramai lagi rakyat kita yang tidak ada pekerjaan terutama golongan berpendapatan rendah yang memang memerlukan bantuan kerajaan ataupun NGO seperti Khairunnisa',” ujarnya.Justeru, beliau mengucapkan tahniah kepada pihak NGO yang mengambil cakna tentang rakyat Terenggau. “Saya ucap tahniah banyak pihak mengambil cakna tentang rakyat negeri Terengganu khususnya dalam soal ini yang merupakan antara elemen penting kita hidup bermasyarakat,” katanya.
21 Feb 19
292
Mangsa Bencana MTL Di Terengganu Menurun
Dr. Ahmad Samsuri (tengah) bersama Dr. Wan Azizah (tiga dari kiri).KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Jumlah mangsa sepanjang bencana Monsun Timur Laut (MTL) di negeri Terengganu pada 2018/2019 menurun berbanding 2017/2018.Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail berkata, Terengganu merupakan antara negeri pantai timur yang terjejas akibat bencana MTL yang terjadi pada hujung dan awal tahun.Jelasnya, berdasarkan maklumat yang diperolehi, berlaku penurunan yang ketara antara jumlah mangsa pada kali ini berbanding yang lalu .“Saya sukacita diberitahu bahawa tahun ini (2018/2019) berbanding tahun lepas (2017/2018), insiden bencana memang menurun.“Terengganu merupakan kawasan terkesan melibatkan 3,219 mangsa dan 47 pusat pemindahan (pada kali ini), berbanding pada 2017/2018, 7,483 mangsa terkesan, jadi ada penurunan,” ujarnya. Penyampaian replika cek bantuan wang ihsan. Beliau berkata demikian semasa sidang media selepas menghadiri Taklimat Khas Pasca Bencana MTL 2018/2019 dan Penyampaian Wang Ihsan Bencana Kepada Kerajaan Negeri Terengganu di Bilik Gerakan Negeri, Wisma Darul Iman, di sini hari ini.Hadir sama dalam taklimat itu ialah Menteri Besar Terengganu, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Senator Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Baharuddin Shah, Setiausaha Kerajaan (SUK) Negeri, Dato’ A. Rahman Yahya serta pegawai-pegawai kanan kerajaan negeri.Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Pusat turut berkata, kerajaan pusat telah menyalurkan wang ihsan Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABN) kepada semua mangsa yang terjejas.Bantuan yang berjumlah RM 525,500 akan diberikan kepada 1,051 Ketua Isi Rumah (KIR) menerusi Kerajaan Negeri Terengganu.Antara mangsa bencana yang menerima bantuan.“Kita bagi RM 525,500 kepada kerajaan negeri.“Kita bagi sebagai pemberian bantuan wang ihsan kepada seluruh 1,051 keluarga, ini adalah mengikut kemampuan dan insiden bencana,” tambahnya.Setiap penerima mendapat bantuan RM500 dengan penerima tertinggi dari daerah Hulu Terengganu (485 penerima), diikuti Kemaman (170 penerima), Marang (144 penerima), Kuala Nerus (104 penerima), Kuala Terengganu (90 penerima), Setiu (32 penerima) dan Dungun (26 penerima).MTL yang berlaku sejak November 2018 dan berakhir sekitar Januari 2019 itu mengakibatkan kebanyakan daerah di Terengganu terjejas.
21 Feb 19
122
Kerajaan Negeri Dengar Keluhan Penarik Beca Terengganu
Hanafiah melihat salah satu beca yang diubah suai supaya lebih menarik.KUALA TERENGGANU, 21 Februari - Keperitan hidup dan keluhan penarik-penarik beca Terengganu berikutan kekurangan hasil pendapatan sentiasa diberikan perhatian oleh kerajaan negeri.Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat berkata, kerajaan negeri akan berbincang untuk mencari penyelesaian bagi memastikan mereka mendapat bantuan.Beliau yang turun bertemu sekumpulan penarik beca di Pasar Kedai Payang, baru-baru ini memaklumkan akan memastikan golongan itu turut mendapat perhatian dan bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).“Saya juga difahamkan bahawa Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri telah memberikan peruntukan berjumlah RM200 sebulan untuk membantu meringankan beban mereka.Abdul Wahab Abdul Rahman, 74, sifatkan pelanggan semakin kurang berminat naiki beca.“Di bawah portfolio pelancongan, para penarik beca juga dibantu dengan promosi pelancongan sebagai salah satu elemen keunikan negeri,” katanya ketika ditemui pemberita sewaktu menyampaikan sumbangan kepada sekitar 20 penarik beca di kawasan tersebut.Ditanya tentang pelan untuk membangunkan industri beca negeri itu, Hanafiah menyatakan kebanyakan penarik beca yang ada kini dianggap sebagai generasi terakhir bagi kerjaya berkenaan.“Agak sukar merencana pelan untuk industri ini kerana kebanyakan mereka sudah melepasi 60 tahun. Jadi, saya merasakan kerajaan perlu memberikan sumbangan tetap kepada mereka,” katanya sambil menyifatkan amat kurang pengendali beca di kalangan orang muda yang akan meneruskan industri itu.Hal ini turut diakui oleh salah seorang pelanggan tetap beca di kawasan Pasar Payang. Zubaidah Endut, 57, yang merupakan peniaga di situ berkata, selain kurangnya penarik beca di kalangan orang muda, kebanyakan pelanggan beca juga hanya terdiri daripada ‘orang-orang lama’.Zubaidah yakin beca masih relevan."Orang muda kurang berminat menaiki beca sedangkan ia amat berguna untuk bergerak di dalam kawasan bandar.“Saya selalu juga naik beca untuk urusan dalam bandar kerana sukar untuk mendapatkan parkir kereta, jadi dengan menggunakannya urusan menjadi lebih mudah,” katanya.Dia turut beranggapan pelancong yang berkunjung ke Kuala Terengganu lebih suka menaiki beca untuk bersiar-siar.“Saya rasa beca sangat penting dan masih relevan digunakan. Saya dapat lihat setiap hari, pelancong yang datang ke sini lebih cenderung menaiki beca berbanding kenderaan awam lain kerana mereka dapat lihat suasana di sini dengan lebih dekat,” katanya.
21 Feb 19
989
Rakyat Terengganu Boleh Mohon Tanah
Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 21 Februari - Seluruh rakyat Terengganu layak untuk memohon tanah bagi menjamin keselesaan hidup mereka selagi memenuhi syarat yang ditetapkan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr. Azman Ibrahim berkata, pemohon mestilah berusia 21 tahun ke atas dan anak kelahiran Terengganu serta tidak pernah menerima pemberian tanah dari kerajaan.“ Semua yang menepati syarat layak membuat permohonan tanpa mengira latar belakang pekerjaan.“Permohonan tanah bukan untuk orang miskin sahaja, tapi untuk orang yang belum pernah terima tanah. Silap kalau beranggapan kakitangan kerajaan tak layak mohon tanah sebab sudah kerja makan gaji,”ujarnya.Beliau berkata demikian ketika sesi turun padang berdialog bersama warga Kampung Cabang 3 Oh, Kampung Jabi, Kampung Gong Dasar dan Kampung Bakap di Dewan Sivik Jabi, di sini, baru-baru ini.Dr. Azman berkata, sekiranya pernah mendapat tanah RTB samada RTB Pertanian atau RTB Tanah Kediaman, atau tanah haram yang diberikan kelulusan bayar jelas, ia dikira sudah pernah dapat tanah pemberian kerajaan dan tidak layak lagi membuat permohonan.“Bagi mereka yang bukan kelahiran Terengganu dengan makna kod kad pengenalan bukan 11, mereka layak memohon kerakyatan Terengganu sekiranya sudah menetap di Terengganu melebihi 10 tahun.“ Dengan itu, ia akan melayakkan permohonan tanah di negeri bertuah ini sekiranya permohonan kerakyatan diluluskan,” ujarnya.
21 Feb 19
940
Gajah Liar Ancam Penduduk Kampung Shukor
Gajah betina ganggu penduduk Kampung Shukor Hulu Dungun.HULU DUNGUN, 21 Februari - Kerajaan negeri akan memanggil Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk menyelesaikan masalah serangan gajah liar di Kampung Shukor, di sini beberapa hari lalu.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, kes serangan gajah beberapa hari lalu sehingga mengakibatkan kerosakan kebun milik penduduk, sudah dalam makluman beliau."In Sya Allah kita (kerajaan) akan panggil Perhilitan untuk bincang isu ini. Ada satu tabung di bawah kerajaan negeri yang diuruskan bersama Perhilitan dinamakan Tabung Amanah Gajah."Dananya digunakan untuk menguruskan kes-kes yang melibatkan gajah seperti pemindahan gajah dan pembinaan pagar elektrik," jelas beliau.Dr Azman berkata demikian ketika mengulas kes gangguan seekor gajah betina berusia 20 tahun di kampung berkenaan di status facebook beliau semalam.Rahmah AliasPengarah Perhilitan negeri, Rahmah Alias ketika dihubungi hari ini, berkata pihak Perhilitan Dungun menjalankan tindakan 'tembak halau' (dengan menembak ke atas, menggunakan senapang jenis Shotgun) bagi menghalau gajah betina itu supaya kembali semula ke hutan berhampiran.Katanya, Perhilitan telah membuat tinjauan sebanyak empat kali bermula 14, 15, 18 dan 19 Februari lalu dan menembak halau sebanyak satu sesi, pada setiap kali tinjauan.Bagaimanapun gajah berkenaan terus kembali merosakkan tanaman penduduk dan pihak perhilitan percaya memasang pagar elektrik bersesuaian untuk menyelesaikan masalah berkenaan. Pokok kelapa yang dimusnahkan gajah betina di Kampung Shukor."Pihak Perhilitan tidak berhasrat untuk memindahkan gajah betina itu ke tempat lain kerana gajah itu keluar dari habitat atau hutan berhampiran."Kaedah sesuai untuk selesaikan masalah itu ialah memasang pagar elektrik supaya gajah berkenaan tidak lagi masuk ke kampung itu dan mengganggu ketenteraman awam di situ," ujarnya.Rahmah berkata, gajah berkenaan dianggarkan berusia 20 tahun berdasarkan saiz tapak kaki haiwan itu.Dalam pada itu, beliau menunggu tarikh ditetapkan untuk pertemuan dengan Dr Azman bagi mengambil keputusan muktamad untuk selesaikan gangguan gajah di kampung berkenaan. "Saya telah menerima maklumat itu dari pejabat Exco Dr Azman dan telah mengambil tindakan segera menghalau gajah berkenaan dengan melaksanakan tembak halau gajah ke hutan berhampiran," jelasnya.Anak pokok kelapa sawit musnah akibat gangguan gajah liar di Kampung Shukor.Terdahulu, Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Che Wan Badri Che Wan Hassan ketika dihubungi berkata, gajah berkenaan keluar pada waktu petang dan malam dari hutan, sebelum memasuki beberapa buah kebun berhampiran Sekolah Kebangsaan Shukor dan memusnahkan tanaman penduduk termasuk kelapa sawit, pisang dan kelapa. Katanya, jangkaan kerugian ditanggung penduduk ialah kira-kira RM30,000.Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dan Perhilitan bertindak pantas menghalau gajah berkenaan dari mengganggu penduduk kampung tersebut supaya penduduk tidak lagi bimbang untuk menjalankan kegiatan harian termasuk ke sekolah dan ke kebun untuk menoreh getah.
20 Feb 19
101
Terengganu Laksana Pelan Jangka Pendek Mendalam Muara
Dr. Azman, Sulaiman bersama para nelayan mukim Merchang.MARANG, 21 Februari - Kerajaan Terengganu merancang untuk melaksanakan penyelesaian jangka pendek bagi mendalamkan muara cetek yang menjadi antara isu utama nelayan di negeri itu.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr. Azman Ibrahim memberitahu, kerajaan negeri tidak akan membiarkan isu berkenaan terus berlarutan tanpa ada langkah penyelesaian walaupun pelaksanaannya terletak di bawah bidang kuasa Persekutuan.Katanya, projek mendalamkan muara cetek dan benteng pemecah ombak menerusi seliaan dan pelaksanaan Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS)."Kita telah berbincang untuk mencari penyelesaian jangka masa pendek yang tidak melibatkan kos yang tinggi.Kerajaan negeri telah bersetuju untuk memberi kebenaran kepada syarikat menggali muara dan memberikan pasir kepada mereka untuk dijual sebagai hasil mereka. Tetapi pada masa yang sama, kerajaan tidak perlu membayar apa-apa kos.Sesi dialog membantu mengenal pasti punca masalah dan memudahkan penyelesaian.“Ini disebabkan, kos mendalamkan muara termasuk membina benteng pemecah ombak melibatkan kos ratusan juta,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis YB Cakna Komuniti Nelayan di Dewan Sivik Merchang, semalam.Majlis tersebut dihadiri sekitar 200 nelayan dalam mukim Merchang. Turut hadir,Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong, Pengarah Perikanan Terengganu, Zawawi Ali dan wakil Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM). Dr. Azman memaklumkan, terdapat beberapa isu yang menjadi kebimbangan nelayan pada masa kini.Katanya, isu utama adalah untuk meningkatkan hasil tangkapan nelayan dan bagi mengatasi masalah itu, kerajaan negeri dengan kerjasama jabatan perikanan banyak melabuhkan tukun dan unjam bagi menarik serta membiak ikan di kawasan zon nelayan pantai.Menurut beliau, isu lainnya melibatkan pencerobohan nelayan pukat tunda di kawasan zon pantai di bawah daripada lima batu nautika.Peserta beri reaksi balas yang baik dengan mengutarakan isu yang membelengu mereka.“Untuk perkara ini, kita ada agensi penguatkuasa iaitu Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dan Jabatan Perikanan yang aktif dan dapat mengambil langkah yang perlu bagi memelihara sumber kita.“Cuma, para nelayan perlu meletakkan peranan menjaga laut ini sebagai tanggungjawab kita bersama. Ini kerana, perairan kita adalah yang terpanjang di semenanjung Malaysia iaitu sejauh 244KM dengan keluasan Zon Ekonomi Ekslusif (ZEE) mencecah 87 ribu km persegi,” katanya.Beliau memberitahu, semua isu berkenaan sukar untuk diatasi tanpa kerjasama semua dan berharap nelayan sama-sama peka dan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai sebarang kegiatan yang mencurigakan supaya boleh diambil tindakan segera.Sementara itu, Sulaiman turut menyambut baik penganjuran majlis berkenaan.“Asas penganjuran oleh Pusat Khidmat DUN ini ialah untuk membina kerjasama antara negeri dan nelayan bagi mencari punca dan menyelesaikan masalah nelayan.“Ini merupakan permulaan yang baik. Kita harap selepas ini pihak yang terlibat boleh membantu nelayan daripada segi teknikal dan keperluan lain dari semasa ke semasa,” katanya.Dalam program berkenaan, nelayan turut menerima bantuan keperluan dapur dan jaket keselamatan yang disampaikan oleh Dr. Azman.Majlis tersebut merupakan pertemuan beliau bersama komuniti nelayan pantai sebagai usaha membina hubungan antara kerajaan dan komuniti nelayan.Program dialog tersebut mendapat reaksi positif daripada peserta yang hadir dengan pelbagai isu dan masalah berkaitan nelayan diutarakan untuk mendapatkan penjelasan dan penyelesaian segera pihak berkuasa.
20 Feb 19
188
Kerajaan Negeri Pacu Industri Pertanian Melalui Teknologi Moden
Dr. Azman melihat benih pokok yang diusahakan oleh Nasarudin Mohamed di Tapak Semaian Nasaruddin, Jabi Oleh : Hidayah AzlinSETIU, 21 Februari-Kerajaan negeri terus mempergiatkan usaha memajukan industri pertanian dengan pelbagai teknologi moden bagi mendapat impak yang lebih besar.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, perkembangan teknologi dalam sektor pertanian ini terus bergerak tanpa batas dan sentiasa maju ke hadapan. “Apabila teknologi mainkan peranan, kita akan mendapat hasil berganda walaupun tidak mempunyai keluasan yang luas…siapa yang bergerak lambat dan kekal dengan dunia tradisi , dia akan ketinggalan ke belakang.“Contohnya penggunaan teknologi oleh sahabat kita di ladang durian Musang King dengan keluasan 300 hektar, dapat diatur tanpa buah luruh serentak. Bila luruh sekali gus, pelbagai risiko yang akan ditanggung seperti harganya akan jatuh, melebihi permintaan, tidak sempat dijual dan sebagainya.Inilah ilmu yang diperuntukkan untuk ‘mengajar’ pokok,” katanya yang turut menegaskan kepentingan penguasaan ilmu.Beliau berkata demikian ketika merasmikan Kursus Penyediaan Benih dan Cantuman Pokok di Tapak Semaian Nasaruddin, Jabi yang dianjurkan oleh Lajnah Asas Tani & Alam Sekitar (LATAS) Setiu, baru-baru ini. Add caption Menurutnya, LATAS merupakan satu syarikat yang akan bergiat lebih komersial dalam sektor pertanian. Setakat ini, yang diloporinya adalah Ubi Sweet LATAS dan akan berperanan dalam beberapa sektor pertanian dalam negeri antaranya membaikpulih semula ladang Kelapa Matag di Kubang Puyu di Langkap dengan keluasan 35 hektar yang terbiar sejak 2011. Jelas Dr. Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi itu, mengikut Institut Kajian Ekonomi, Terengganu terbelakang dalam bidang lain kecuali pertanian dan ia amat serasi di bumi Jabi. Kelompangan dan peluang yang ada membuka banyak peluang untuk diceburi sektor ini bagi menjamin ‘food security’ bagi negeri Terengganu.“ Kita nak ubah minda rakyat yang selama ini berfikir bahawa bidang ini bidang yang gagal. Harapan yang saya nampak sangat cerah untuk menjadikan pertanian ini satu kerjaya dan perniagaan.“Sepanjang kita turun padang seluruh Terengganu, ramai yang datang dari generasi muda menunjukkan bahawa mereka melihat pertanian ini satu kerjaya yang boleh jadi sumber ekonomi.Yang ni yang kita nak, bukan lagi setakat apa yang diwarisi oleh orang dulu-dulu,”ujarnya.
20 Feb 19
207