Artikel "Komuniti" Terkini
MPKK Felda Jerangau Mahu Lahirkan Belia Sihat
Oleh: Adli MohamadDUNGUN, 7 Mei - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Felda Jerangau sentiasa ambil cakna dan sentiasa mengambil tahu segala keperluan belia Felda Jerangau bagi memastikan mereka terjaga dan menjadi aset yang bernilai kepada Terengganu.Timbalan Pengerusi MPKK Felda Jerangau, Cawangan A, Mohd Ridhuan Yusoff berkata, pihaknya sedar kerajaan negeri berhasrat untuk melahirkan belia yang sihat.Katanya, bukan sahaja berkaitan jasmani bahkan rohani dengan memiliki spiritual yang mantap dengan sisipan pengukuhan jiwa dengan ilmu agama,” katanya.Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas Program Penyampaian Hadiah Kejohanan Sepak Takraw yang melibatkan para belia di Felda berkenaan, baru-baru iniTurut hadir, Pengerusi MPKK Felda Jerangau B, Anuar Omar dan Pengerusi MPKK Felda Jerangau Cawangan Tangki Air, Zali Kassim.Ridhuan, menyatakan kejohanan yang diadakan itu adalah menzahirkan sokongan terhadap belia di kampung tersebut yang gemarkan aktiviti Sepak Takraw."Kita sedar bahawa dengan sukan akan dapat menjalinkan hubungan yang sihat diantara para belia." Pihak kami mewakili kerajaan negeri sudah tentu perlu sedaya upaya menjaga kebajikan mereka agar mencapai impian dan matlamat golongan itu," ujarnya.Tambahnya lagi, belialah yang memainkan peranan bagi menunjukkan kejayaan pentadbiran pada sesebuah negeri." Pengabaian pada mereka maka mengundang pelbagai perkara yang tidak diingini,. Oleh itu menjadi tanggungjawab MPKK memastikan peruntukkan yang dikeluarkan kerajaan untuk golongan belia tidak sia-sia. "jelasnya.
06 May 19
830
Kerajaan Terengganu Baiki Rumah Penduduk Miskin DUN Jabi
Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 7 Mei - Kerajaan negeri menyediakan peruntukan sebanyak RM1 juta untuk membaiki dan membina semula 76 buah rumah penduduk kurang berkemampuan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi di sini tahun ini.Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahimberkata dari jumlah itu sebanyak 72 buah rumah akan dibaiki dengan kos maksimum RM11 ribu setiap sebuah dengan nilai keseluruhan, RM792 ribu.Sementara empat buah rumah penduduk yang rosak teruk akan dibina semula dengan kos RM54 ribu sebuah dengan nilaian keseluruhan, RM224 ribu.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Program Perumahanku Terengganu Sejahtera 9 (PPTS) di Perkarangan Surau Kerandang, di sini baru-baru ini. Katanya, semua senarai rumah yang akan dibaiki atau dibina baharu dicadangkan oleh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN tersebut dan disahkan dalam Mesyuarat Fokus Group Daerah Besut. "Perlaksanaan projek itu akan dipantau oleh Pejabat Daerah Besut," jelasnya.Katanya, kerajaan negeri berusaha membantu rakyat tidak berkemampuan membina rumah dalam situasi penjimatan kos."Penjimatan kos dalam projek pembangunan perlu dilaksanakan agar lebih ramai rakyat dapat menikmati sebarang pelan bantuan perumahan yang disediakan," jelasnya.
06 May 19
92
Penduduk Terjejas Bekalan Air Dibantu
Oleh: Hidayah AzlinSETIU, 7 Mei- Penduduk yang terjejas akibat musim kemarau di Kampung Tok Dor, di sini segera dibantu bagi mengurangkan kesulitan mereka berikutan kekurangan bekalan air.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah penyelesaian sementara yang diambil adalah dengan membeli setangki air dengan Syarikat Air Terengganu (SATU). Katanya, cuaca panas berpanjangan telah menjejaskan punca bekalan air beberapa rumah penduduk di kampung berkenaan."Untuk sementara ini, kita pinjam tangki air dari Pusat Latihan Pembangunan Pengembangan (PLPP) dan membeli setangki air SATU bagi kegunaan enam buah rumah penduduk yang terjejas teruk."Tahniah dan jutaan terima kasih diucapkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Dor yang turun melicinkan urusan ini," katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman selepas menziarahi kematian seorang penduduk di Perumahan Awam Kos Rendah (PAKR) Tok Dor, semalam.Katanya, permohonan peruntukan untuk pemasangan paip air di bawah Program Bekalan Air Luar Bandar telah dibuat. "InsyaAllah, doakanlah agar dipermudahkan urusan kita untuk membantu rakyat,” ujarnya.
06 May 19
41
Terengganu Sasar Dana Raya Bagi Penerima Yang Layak - MB
Dr. Samsuri mengagihkan bubur lambuk kepada penduduk yang hadir.KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Kerajaan Terengganu sedang melaksanakan pertimbangan baharu dana raya dengan menyasarkan kepada rakyat yang benar-benar layak menerimanya.Menteri Besar, Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar memaklumkan, kerajaan negeri masih dalam proses menentukan bentuk dan cara penyampaian sumbangan tersebut.“Dana raya akan diberikan, cuma kita masih menilai kumpulan sasar yang benar-benar layak dan ia akan dimaklumkan semula nanti,” katanya ketika ditemui pemberita.Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menyempurnakan pengagihan bubur lambuk di Masjid Abidin, di sini semalam.Dana Raya akan diberikan kepada yang benar-benar layak - Dr. Samsuri.Sebanyak 2,000 bekas bubur lambuk diagihkan oleh Kumpulan Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. (Terengganu Inc) selama tiga hari kepada masyarakat sekitar.Kerajaan negeri turut menaja sebanyak 2,000 bekas bubur setiap hari sepanjang bulan Ramadan untuk masjid negeri itu.Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Terengganu Inc, Dr. Wan Ahmad Rudirman bin Wan Razak serta pegawai-pegawai eksekutif anak-anak syarikatnya.Dr. Samsuri yang hadir bersama isteri, Tuan Faizah Tuan Ab. Rahman turut menzahirkan rasa terima kasih kepada rakyat Terengganu yang sentiasa memberikan pandangan positif dan menyokong usaha kerajaan negeri.“Terima kasih kepada rakyat yang sentiasa memberikan pandangan positif mahupun kritikan yang sangat membantu kerajaan.“Saya turut berharap rakyat bersabar dengan usaha-usaha dan penambahbaikan yang dilaksanakan kerajaan,” katanya.Tuan Faizah memberikan bubur lambuk kepada pengunjung cilik.
06 May 19
66
Ubah Persepsi Terhadap Duyong Marina & Resort Terengganu
Agihan bubur lambuk.KUALA TERENGGANU, 7 Mei - Pengurusan Duyong Marina & Resort Terengganu mengagihkan 2,100 bekas bubur lambuk kepada orang ramai sempena menyambut Ramadan dan untuk mengubah persepsi negatif rakyat Terengganu terhadap syarikat itu. Pemangku Pengurus Besar Duyong Marina & Resort Terengganu, Sham Fadzli Yusof berkata, program yang diadakan itu adalah usaha pihaknya untuk mendekatkan anak syarikat kerajaan negeri itu dengan keseluruhan rakyat Terengganu.Jelasnya, ia berikutan wujudnya sebilangan besar warga Terengganu yang menganggap Duyong Marina & Resort adalah untuk golongan atasan.“Agihan bubur lambuk ini kita adakan setiap tahun di permulaan bulan Ramadan, untuk tahun ini kita buat 2,100 bekas.“Kita rasa persepsi orang terhadap Duyong Marina ini adalah tempat untuk orang atasan, tempat yang eksklusif dan mahal, sebenarnya tidak, jadi program ini juga kita dapat ubah persepsi itu,” katanya.Beliau berkata demikian ketika ditemui media semasa Program Agihan Bubur Lambuk di Jambatan Sultan Mahmud, di sini semalam.Beliau turut berkata, program bersama masyarakat akan terus dianjurkan oleh Duyong Marina & Resort dalam usaha untuk terus mempromosikan anak syarikat itu kepada umum.Katanya lagi, sepanjang bulan Ramadan juga, pihaknya juga membuat banyak tawaran kepada seluruh rakyat Terengganu sebagai langkah untuk meningkatkan lagi kuantiti masyarakat yang berkunjung ke sana. “Kita juga ada buat majlis berbuka puasa bersama anak yatim di Duyong Marina, yang kita adakan pada hari kedua atau ketiga Ramadan, kita akan jemput seramai 100 hingga 200 orang anak yatim, juga sebagai Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR).“Buffet untuk berbuka puasa juga ada disediakan dengan harga RM59, selain pakej yang terbaik untuk semua yang berminat untuk ke Duyong Marina.“Termasuk ada ditawarkan pakej bilik serendah RM158 dan RM178 (termasuk sahur) satu malam, yang di paras harga mampu milik, kita nak buang persepsi tempat itu mahal,” tambahnya lagi.
06 May 19
280
Al-Quran Penawar Penyakit Sosial Masyarakat
Oleh : Adli MohamadDUNGUN, 6 Mei- Al-Quran adalah penawar yang paling mujarab bagi mengubati segala permasalahan sosial dalam masyarakat hari ini.Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, al-Quran adalah panduan dan manual yang memandu manusia dalam segala perkara dan tiada dapat dinafikan bahawa masyarakat pada masa kini ditimpa pelbagai permasalahan kerana meninggalkan petunjuk al-Quran."Di dalam al-Quran terkandung pelbagai doa yang diajarkan oleh Rasulullah yang boleh diamalkan oleh pengamal perubatan untuk menyembuhkan peribadi yang bermasalah."Sebagaimana Negeri Terengganu dalam konsep mewujudkan pusat pemulihan dadah bersumberkan panduan al-Quran dan hadis," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada media di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi bagi meraikan sambutan hari lahir pekerja dan juga meraikan majlis perpisahan seorang kakitangan di Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan, semalam.Menurut Wan Hasaan, tidak dapat tidak manusia harus disedarkan agar kembali kepada panduan al-Quran sebagai panduan yang paling relevan untuk mengubati pelbagai gejala sosial yang melanda umat pada hari ini.Tambahnya, apa yang terjadi pada hari ini adalah al-Quran tidak berada di tempat yang sepatutnya dalam masyarakat dengan tidak mengamalkan apa yang terkandung dengan penuh kesungguhan, sedangkan kalam Allah SWT itu mengandungi pelbagai hikmah. "Manusia akhir zaman ini bukan sekadar tidak menyakini al-Quran menjadi penyembuhan kepada setiap penyakit dunia moden pada hari ini, sebaliknya meninggalkan bacaan al-Quran sebagai sumber bacaan dan juga meninggalkan hukum hakam yang terkandung di dalamnya, "ujarnya.Beliau turut menyeru agar umat Islam di seluruh Malaysia dan Terengganu khususnya kembali kepada al-Quran kerana segala rahsia kehidupan manusia terkandung dalam kitab panduan berkenaan, malah Allah lebih mengetahui segala rahsia ciptaan manusia.
06 May 19
114
Pertandingan Ayam Sorak Tok Saboh Gamat
Acara tradisional sebegini eratkan hubungan antara penduduk. Oleh: Saifullah JusohBESUT, 6 Mei – Pertandingan Ayam Sorak semakin mendapat sambutan di kalangan penduduk tempatan sekitar daerah ini.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut, Azbi Salleh berkata, acara itu secara tidak langsung menjadikan minat memelihara ayam hutan di kalangan penduduk Besut semakin meningkat.“Lebih-lebih lagi apabila banyak pertandingan yang dipertandingkan di peringkat kampung sehingga ke peringkat daerah,” katanya ketika hadir melihat pertandingan Ayam Sorak di Gelanggang Raja Kokok di Kampung Tok Saboh, semalam. Juri memeriksa ayam hutan yang bertanding.Turut hadir, Pembantu Hal Ehwal Belia, Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kuala Besut, Hafiz Yusoff dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Saboh, Saunuddin Yusof.Program anjuran MPKK Kampung Tok Saboh yang disertai pelbagai peringkat umur mewujudkan suasana meriah dan gamat dengan sorakan pemilik ayam hutan di luar gelanggang, sekali gus menarik penyertaan pengunjung luar daerah itu.Dalam pertandingan itu, ayam hutan yang berkokok paling lama dipilih sebagai pemenang dan merebut hadiah berupa barangan elektrik.Salah seorang pemenang berjaya bawa pulang hadiah kipas elektrik.
05 May 19
528
Program Tautan Kasih Sediakan Kediaman Selesa - Isteri MB
Tuan Faizah melakukan gimik mengecat rumah sebagai tanda perasmian.Oleh : Aziz HambaliMARANG, 6 Mei - Program Tautan Kasih yang dilaksanakan Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Marang mampu meringankan kesusahan masyarakat setempat termasuk membantu mereka memiliki kediaman selesa.Pengerusi Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa'), Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, sumbangan daripada orang ramai dan syarikat Tradewinds International Insurance Brokers itu bakal merubah nasib keluarga di Marang yang selama ini hidup dalam kedaifan.Jelasnya, tempat berteduh sememangnya menjadi aset yang sangat bernilai untuk hidup dan melakukan aktviti harian dengan keadaan yang selesa.“Sudah pasti dengan sumbangan ini, kita akan dapat membantu meringankan beban golongan yang kurang berkemampuan untuk hidup dengan lebih sempurna.“Alhamdulillh, program Tautan Kasih ini sedikit sebanyak kita berjaya memberi mereka lebih kemudahan, walaupun kita tak mampu untuk tolong semua, tapi paling kurang kita redakan sedikit kepayahan setiap ahli keluarga mengikut kemampuan kita,” katanya.Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan program Tautan Kasih di Kampung Rusila, di sini, kelmarin.Turut hadir, Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Sahabat Sejahtera Marang, Yusof Abdul Hadi dan wakil Syarikat Tradewinds International Insurance Brokers, Zarina Mohd Sahim.Tuan Faizah turut berkata, usaha berkenaan juga bertujuan untuk merealisasikan harapan kerajaan negeri bagi membina masyarakat yang sejahtera dengan melayani setiap keperluan rakyat dengan adil.Beliau juga sangat menghargai sumbangan semua pihak termasuk syarikat Tradewinds International Insurance Brokers yang banyak membantu merealisasikan harapan rakyat.“Program ini juga adalah untuk menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk menjayakan misi Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera.“Dalam projek ini syarikat Tradewinds International Insurance Brokers telah memberi sumbangan sebanyak RM49,000 bagi membantu usaha membaik pulih sekurang-kurangnya lima buah rumah penduduk di Daerah Marang,” tambah beliau.Projek membaik pulih rumah di Kampung Rusila adalah projek terbaru yang berjaya dilaksanakan oleh pertubuhan tersebut.
05 May 19
524
60 Tahun Guna Jalan Berselut Berakhir
Oleh : Khairan Mat JusohMARANG, 06 Mei 2019 - Penduduk Kampung Jenang, menarik nafas lega apabila penantian selama 60 tahun untuk menggunakan jalan yang berturap dan selesa berakhir apabila kerajaan negeri menambah baik akses utama mereka itu menjelang Ramadan.Menurut Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Jenang, Mustaffa Deraman berkata, jalan itu merupakan laluan utama bagi penduduk sekitar kawasan itu."Ucapan terima kasih penduduk kampung kepada kerajaan negeri khusunya Pejabat DUN (Dewan Undangan Negeri) Pengkalan Berangan dan Pejabat Daerah Marang dengan siapnya jalan baharu ini."Mereka menggunakan jalan ini untuk ke tempat kerja dan menghantar anak sekolah, memandangkan jalan sebelum ini hanya tanah merah," katanya kepada media Urusetia Penerangan Darul Iman ketika ditemui di kampung itu, semalam.Sementara seorang penduduk kampung, Roslan Ab Rahman 45, memberitahu perubahan itu amat dinanti penduduk kerana mereka sudah melalui kesukaran menggunakan laluan yang tidak selesa sejak sekian lama."Dulu susah bagi orang-orang di sini nak lalu dengan keadaan jalan yang tidak rata berlekuk-lekuk dan ditambah lagi dengan selut."Tapi kini Alhamdulillah kerana YB (ADUN Pengkalan Berangan) luluskan jalan ini dan mudah untuk kami semua lalu, terima kasih banyak-banyak YB," katanya.Projek menaik taraf jalan sepanjang 140 meter itu berjaya disiapkan oleh kontraktor dalam tempoh sehari.
05 May 19
102
Tiada Alasan Untuk Tidak Baca Al-Quran Di Bulan Ramadan
Oleh : Adli MohamadDUNGUN, 5 Mei - Dengan teknologi moden pada masa kini tiada sewajarnya beralasan sukar membaca al-Quran yang boleh diakses dengan menggunakan telefon pintar.Pegawai Penyelaras, Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, umat Islam sewajarnya merebut pahala memperbanyakkan bacaan al-Quran di bulan puasa yang menjadi petunjuk relevan di sepanjang zaman."Kini al-Quran terdapat dalam bentuk 'android' dan boleh dibawa kemana-mana sahaja, malah Ramadan kali ini kita mempunyai cukup masa untuk membaca al-Quran termasuk melihat terjemahan, agar menyelinap perasaan takwa dan penuh pengharapan sebagai seorang hamba kepada Allah."Jika pada hari yang lain, kita mungkin akan mempunyai halangan masa, sebagai contoh sebelum masuk ke pejabat, kita akan habiskan masa di kedai makan untuk bersarapan, kini tiada lagi halangan, peruntukkanlah masa dengan sebaiknya untuk mengkhatamkan al-Quran," ujar beliau.Beliau berkata demikian kepada pihak media, selepas selesai bertadarus al-Quran di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, baru-baru ini.Ghazali berkata, semua kakitangannya termasuk kakitangan Institut Modal Insan Sejahtera (i-MiTS) diwajibkan untuk membaca al-Quran selama 30 minit setiap hari dan juga saling bantu membantu memperbetulkan bacaan di antara satu sama lain."Ianya dibaca dengan dibahagikan kepada beberapa kumpulan, matlamat kita bukan hanya sekadar khatam al-Quran beserta terjemahan, di mana ada yang membaca teks al-Quran dan ada membaca terjemahan dengan cara ini juga ianya memberi peluang kepada pekerja wanita yang didatangi haid untuk turut serta." Secara tidak langsung dapat menghindarkan diri bercakap perkara yang sia-sia pada bulan yang penuh kemuliaan dan keberkatan ini," jelasnya.Sehubungan itu, beliau mengharapkan agar kakitangan yang berkhidmat kali pertama sempena Ramadan ini mampu menjadikan Ramadan sebagai bulan yang mendidik jiwa untuk amanah dengan tugas yang dipertanggungjawabkan."Yang akhirnya melahirkan pekerja yang benar-benar ikhlas menjadi pekerja yang bertanggungjawab ke arah memastikan Terengganu Maju, Berkat dan Sejahtera," tegasnya.
05 May 19
69