lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Empty Image
Penantian Dua Tahun Berakhir, Rumah OKU Dibaikpulih
Oleh: Aslam WiraMARANG, 18 Mei - Selepas menanti selama dua tahun, akhirnya Ahmad Syawal Arifin menerima bantuan baik pulih rumah yang diseliakan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang.Syawal yang merupakan orang kelainan upaya (OKU) masalah pembelajaran, tinggal di rumah peninggalan arwah ibu bapanya seorang diri di Kampung Bukit Che Ali, Kijing.Timbalan Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Sopi Mohamad berkata, pihaknya telah mengangkat permohonan  di bawah peruntukan sebanyak RM8,000 kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri pada bulan Mac  baru-baru ini."Saya bersyukur kerana dalam masa sebulan sahaja, proses permohonan tersebut telah diluluskan oleh pihak atasan seperti yang diharapkan.“Proses membaik pulih rumah Syawal mengambil masa lebih kurang tiga minggu sebelum kerja-kerja pembinaan bermula awal Ramadhan lalu," katanya kepada pemberita ketika melawat rumah Syawal.Turut hadir, Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman, Penyelia Pusat Khidmat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit, Che Ali Rosdin Khayim.Terdahulu, seramai 15 kakitangan JKM Marang dan MPKK  telah bergotong royong bagi proses membaik pulih termasuk Pegawai Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, Mardiah Mohamed.Sementara itu, Wahad yang ditemui berkata, pihak pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menyatakan perasaan gembira kerana rumah Syawal dapat disiapkan sebelum menjelang Aidilfitri."MPKK Bukit Che Ali dan penduduk sekitar juga komited dalam memberikan khidmat dan kerja-kerja membersih rumah yang belum sempurna secara gotong royong.“Kita akan terus memberi bantuan sebaik mungkin sekiranya diperlukan, supaya Syawal dapat tinggal dalam persekitaran yang selesa dan selamat," ujarnya.
17 May 19
133
Empty Image
Fun Ride Sahur, Beriadah Sambil Beramal - Mohd Nor Hamzah
'Fun Ride Sahur' yang bermula selepas tarawih.MARANG, 18 Mei - 'Fun Ride Sahur' yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Payong berjaya menarik golongan muda untuk beriadah sambil beramal.Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, program santai itu adalah inisiatif terbaharu pihaknya dalam menggalakkan anak muda melakukan aktiviti berfaedah.Jelasnya, dalam aktiviti berbasikal itu, acara penyampaian sumbangan untuk fakir miskin di sekitar Kampung Paya Resak turut dijalankan bagi meringankan beban mereka dan secara tidak langsung berjaya mendekatkan diri antara pihak pentadbiran dan rakyat.“Program-program seumpama ini boleh diteruskan pada masa-masa akan datang untuk menarik anak muda agar mereka terus menghidupkan malam Ramadan dengan beriadah (selain ibadah tarawih dan tadarus) supaya tidak terjebak dengan gejala yang tidak sihat.“Program ini juga memberikan manfaat kepada 10 orang fakir miskin di Kampung Paya Resak yang menerima sumbangan dan merapatkan hubungan sesama kami,” ujarnya.Mohd Nor Hamzah.Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mengagihkan bantuan untuk fakir miskin di Balai Raya Paya Resak, di sini semalam.Turut hadir dalam Program ‘Fun Ride’ Sahur itu ialah Timbalan Setiausaha Kerajaan (Pengurusan) Negeri, Dato' Tengku Farouk Hussain Tengku Abdul Jalil, Pegawai Daerah marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak serta Ahli Jawatankuasa (AJK) Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Paya Resak.Mohd Nor yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong turut menaruh harapan agar program seumpama itu dijalankan di kawasan-kawasan lain.“Saya dimaklumkan bahawa program ‘Fun Ride Sahur’ ini akan diperluaskan di setiap DUN, saya mengalu-alukan untuk diadakan program ini di setiap DUN,” tambah beliau.Aktiviti yang dianjurkan oleh Pejabat Daerah Marang serta Pejabat DUN itu melalui jarak sepanjang 13km dan menjadikan Balai Raya Paya Resak sebagai tempat persinggahan untuk acara penyampaian sumbangan.Program yang bermula pada 10.30 malam itu berjaya menghimpunkan lebih 100 peserta termasuk daripada kakitangan pejabat daerah dan ia berakhir sekitar jam 12.00 malam.Sumbangan yang diagih kepada 10 fakir miskin.
17 May 19
139
Empty Image
Nelayan Berumahkan Bangunan Tangki Air Terima Bantuan Segera
Oleh: Aslam WiraMARANG, 17 Mei – Seorang nelayan, A Halim Zakaria, 63, yang tinggal di bawah bangunan tangki air surau sejak sebulan yang lalu telah menerima bantuan sewaan rumah segera.Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata,  keputusan itu dibuat setelah mengadakan perbincangan bersama beberapa agensi yang terlibat.Jelasnya, sebuah rumah yang lebih selesa bakal didiami Halim dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu (MAIDAM) akan mengendalikan urusan sewaan rumah berkenaan."Perjumpaan dan tinjauan bersama agensi kerajaan hari ini adalah salah satu langkah untuk membantu dia supaya dapat menyediakan atau mencari kediaman yang lebih selesa dalam kadar segera."Kami sudah berbincang, satu rumah sewa (berdekatan tempat tinggalnya sekarang) akan diberikan kepadanya, dan pihak MAIDAM akan menguruskan bayaran sewaan itu, manakala kelengkapan rumah akan diuruskan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)," katanya.Beliau berkata demikian ketika mewakili Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang yang juga Menteri Besar Terengganu, Dr Ahmad Samsuri Mokhtar meninjau keadaan Halim di Kampung Paya, di sini kelmarin.Antara agensi yang turut hadir ialah MAIDAM Marang, Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) daripada Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.Hadir sama, Penghulu Mukim Pulau Kerengga, Ibrahim Adan, Penyelia Pusat Khidmat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung, Ramli Deraman.Dalam perkembangan yang sama, Wahad menjelaskan bahawa Pejabat ADUN akan terus mencari ikhtiar lain sekiranya ada bantuan untuk membina rumah baharu."Sementara itu, kita juga sedang membuat prosedur bertulis dengan sepupunya yang memberi keizinan untuk membina rumah baharu Halim dalam kawasan rumah dan tanah miliknya," ujarnya lagi.Halim yang tinggal bersendirian di tempat tersebut baru sahaja menetap di Marang sejak 3 bulan lalu selepas berkelana mencari rezeki di negeri Pahang selama lebih 40 tahun.
17 May 19
47
Empty Image
Kuliah Ustaz Azhar Meriahkan Pasar Malam
Oleh: Adli MohamadDUNGUN, 16 Mei- Selain menjalankan urusan jual beli, pengunjung dan peniaga pasar malam di Kampung Dendang turut dapat mendengar ceramah agama apabila rakaman kuliah Ustaz Azhar Idrus dipasang di tapak pasar malam berkenaan.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ianya akan dijadikan aktiviti mingguan sepanjang Ramadan ini bagi menghidupkan pasar malam pasar dengan program agama dan keilmuan."InsyaAllah kita juga akan memilih beberapa lokasi Bazar Ramadan yang mana akan diadakan seluruh DUN Bukit Besi." Ini satu kelainan dan satu pembaharuan yang cuba kita adakan supaya mereka yang melakukan urusan jual beli akan mendapat sesuatu yang bermanfaat," ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Taman Syurga Pasar dan Bazar Ramadan, di Tapak Pasar Minggu Kampung Dendang, semalam.Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi, Khaziman Khalik, Penolong Penyelia i-MiTS, Zakiah Alias, dan juga beberapa kakitangan i-MiTS yang lain.Katanya, program yang diadakan itu bukan sekadar memberi kemeriahan di pasar malam namun ianya dapat memastikan masa yang dilalui peniaga dan pengunjung sepanjang aktiviti urusniaga tidak berlalu sia-sia.
15 May 19
118
Empty Image
Dana Raya Pelengkap Kebajikan Rakyat (Siri 2)
Kerajaan Negeri sedang bergerak atas rangka untuk melahirkan masyarakat madani yang bertamadun dan mempunyai jati diri untuk berdikari dan produktif. Kerajaan Negeri telah memperluaskan peruntukan untuk memudahkan rakyat untuk terus berdikari bagi membina kekayaan sendiri tanpa bergantung dengan pihak lain serta bebas daripada pemikiran yang terikat dengan subsidi dan bantuan pihak tertentu dalam kehidupan dan kenegaraan.Ibnu Khaldun menyebut bahawa manusia adalah makhluk bertamadun dan masyarakat madani yang boleh menghasilkan pelbagai pekerjaan hasil daripada dirinya dan sumber sekelilingnya. Inilah yang dipanggil sebagai sumber tenaga manusia. Dalam organisasi samada kerajaan atau swasta, ia mempunyai jabatan yang khusus bagi menguruskan sumber manusia ini dengan segala latihan dan sebagainya, menjelaskan betapa pentingnya sumber manusia ini. Dana Raya tidak mampu membina masyarakat madani, kerana sumber manusia itu tidak digunakan sebaiknya.Abu Daud Dan Ibnu Majah meriwayatkan kisah seorang lelaki Ansar yang datang meminta sesuatu daripada Rasulullah. Rasulullah bersabda : "Sesuatu ada di rumahmu? Lelaki itu menjawab : Ya! Kain yang kami memakai sebahagiannya dan kami guna untuk hamparan sebahagiannya dan juga satu bekas yang diguna untuk kami meminum air.  Rasulullah bersabda: "Bawa barang itu kepadaku" Lelaki itu membawa keduanya.  Rasulullah memegang keduanya dengan tangannya dan berkata: "Siapa yang mahu membeli kedua barang ini?" Seorang lelaki berkata: "Aku membelinya dengan satu dirham" Rasulullah bersabda: "Sesiapa yang mahu membeli lebih daripada satu dirham?" Baginda mengulangi dua atau tiga kali. Seorang lelaki berkata: "Saya akan membelinya dengan dua dirham"Rasulullah memberi keduanya kepada lelaki itu dan mengambil dua dirham serta memberi kepada lelaki Ansar dan berkata: "Belilah makanan dengan satu dirham ini dan serahkan kepada keluargamu dan beli sebilah kapak dengan satu dirham dan bawakan kepadaku". Lelaki itu membawa kapak tersebut, lalu Rasulullah mengikat kayu pada kapak itu dengan tangannya. Kemudian baginda berkata: "Pergi dan cari kayu api serta jual dan aku tidak mahu melihat kamu selama lima belas hari".Lelaki itu pun mencari kayu api dan menjualnya. Lelaki ini datang dengan membawa 10 dirham dan membeli baju dengan setengahnya dan membeli makan dengan setengahnya. Rasulullah bersabda kepadanya: "Ini lebih baik bagimu daripada kamu datang meminta-minta kerana satu titik hitam berada pada mukamu pada hari kiamat".Sesungguhnya meminta-minta tidak layak  melainkan kepada 3 golongan iaitu miskin tegar,  penghutang yang terhimpit dan seseorang yg terdesak untuk membayar diyah kerana kesalahan yang dilakukannya (hadis nabi).Petunjuk nabawi bertujuan untuk mendidik ummah dengan sikap produktiviti dan sifat berdikari wajar dihayati oleh setiap muslim. Ketika itu, Rasulullah bukan sahaja Nabi tapi ketua negara yang memimpin Negara Islam dan mengurus kewangan negara. Sudah tentu petunjuk nabawi ini perlu digarap dalam kehidupan rakyat Terengganu. Apatah lagi amat kena dengan gelaran Negeri Serambi Madinah yang kita banggakan. Oleh itu, Kerajaan Negeri telah melandasi petunjuk ini dengan berusaha untuk memberi peluang kemudahan rakyat untuk terus berdikari. Kerajaan Negeri telah menyedia Tabung Usahawan Terengganu Sejahtera (TUGAS) sebanyak RM15 juta. Sepanjang 5 bulan ini Tabung  ini telah peruntukan sejumlah RM619000 kpd 185 usahawan. Pinjaman tanpa riba ini boleh dimanfaati oleh usahawan sepanjang setahun dengan jumlah pinjaman antara RM3000 hingga RM10,000 mengikut keperluan. Kerajaan dulu hanya memperuntukkan 5 juta sahaja. Mungkin peruntukan diutamakan untuk Dana Raya daripada peruntukan ini. Wallahu a'lam. Tetapi yang pasti, kesannya tidak sama. Dana Raya gembiranya sementara, tetapi pinjaman TUGAS, boleh mengubah nasib rakyat.Kerajaan Negeri telah memperuntukkan sebanyak RM5 juta untuk Skim Bantuan Modal Tani (SBMT)  yang patuh syariah dan tanpa riba. Kerajaan dahulu hanya RM500 ribu dan ada faedah 3%. Mungkin kerajaan dahulu mengutamakan untuk peruntukan Dana Raya daripada Skim Bantuan ini. Jika ditanya pada petani dan penternak, adakah mereka mahu Dana Raya atau pinjaman ini? Sudah tentu,  mereka yang mahu mengikuti petunjuk nabi akan bersedia memilih Skim Bantuan ini daripada Dana Raya dan ramai rakyat yang susah majoritinya terdiri dari nelayan dan petani. Kita bantu mereka, ia lebih kena dengan sasaran. Saya yakin! Daripada Abu Umamah bahawa Rasulullah bersabda : "Sesorang lelaki memasuki syurga,  tercatat dipintu syurga. Sedekah dengan sepuluh kali ganda pahala dan pinjaman dengan 18 kali ganda pahala". Jelas, dengan pinjaman tanpa riba, bukan sahaja rakyat mendapat manafaat yang lebih, malah kerajaan juga mendapat pahala. Kita sama-sama menikmati hasil dunia dan akhirat.Dana Raya ada manfaat seketika tapi pinjaman ini manfaat yang berpanjangan. Terserah kepada rakyat untuk menilai tapi itulah landasan Kerajaan Negeri untuk membina masyarakat bertamadun. Ulasan ini bukan untuk memburukkan Kerajaan Dulu dan bukan hendak meninggi Kerajaan Negeri sekarang tapi itulah realiti yang perlu difikir bersama! Adakah inisiatif dan usaha ini boleh dilaksanakan, jika Kerajaan BN memerintah Terengganu dan PH memerintah Malaysia? Kita tunggu PRU 15 untuk membina Kerajaan Malaysia atas permuafakatan PAS dan UMNO yang mampu melakukan yang lebih baik.. InsyaAllah!! *BERSAMBUNG... INSYA ALLAH !!YB USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,  Dakwah dan Penerangan. Khamis 16 Mei 2019 / 11 Ramadan 1440H
15 May 19
46
Empty Image
Dana Raya Pelengkap Kebajikan Rakyat
Mohd Nor Hamzah.(SIRI 1)Kerajaan Negeri bercita-cita dan sentiasa berusaha untuk memenuhi segala kehendak dan keperluan rakyat dengan cara terbaik. Kerajaan Negeri juga menjadikan fekah Islam dan siasah syar'iyyah sebagai asas dalam mengurus kewangan negeri. Fekah Islam dan siasah syar'iyyah tidak boleh dipisahkan daripada fekah realiti dan prioriti (aulawiyat).Kerajaan Negeri mengambil keputusan untuk melakukan islah atau penambahbaikian dalam perbelanjaan kewangan dan pengagihan supaya bertepatan dengan maslahah rakyat.Oleh itu, objektif pengagihan Dana Raya mesti dinilai dan diteliti supaya ia tidak hanya bertujuan untuk menghulurkan duit bagi menjinak hati rakyat supaya melupai pembaziran dan pemborosan wang rakyat dalam projek-projek mega yang menyempitkan kewangan negeri.Ianya bukan satu tindakan yang popular, kerana Kerajaan Negeri sekarang tidak berhasrat menjadikan Dana Raya sebagai gula-gula politik.Sepatutnya, objektif Dana Raya bertujuan untuk melengkapkan sumbangan kebajikan kepada golongan tertentu untuk menyambut Aidilfitri.Golongan miskin ini telah menerima sumbangan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan agensi-agensi lain. Dana Raya hanya penyeri untuk menyambut hari lebaran sahaja kepada golongan ini.Sudah tentu, pengagihan 'one off' tidak dapat menyelesaikan kemiskinan. Ia hanya teori beri 'ikan' untuk makan sehari dan terus akan terus menadah pada besoknya.Rakyat tidak akan lupa keutamaan program kebajikan yang diperuntukkan oleh Kerajaan Negeri yang memberi rasa keselesaan serta ketenangan yang berpanjangan seperti pengecualian cukai pintu rumah kediaman.Semua rakyat merasainya dengan penjimatan duit mereka sekitar RM80 - RM200 setahun untuk membayar cukai pintu rumah kediaman. Mereka selamat daripada arahan DISITA.Kerajaan Negeri terpaksa menanggung kehilangan hasil sebanyak RM15 juta setahun tapi sebanyak 139,693 keluarga merasai kebajikan dan keselesaan ini.Dahulu rakyat bergembira sementara kerana Dana Raya untuk beli baju, tetapi runsing pula untuk membayar cukai pintu dan terdedah untuk DISITA. Dahulu Cukai Pintu Rumah Kediaman, rakyat kena bayar!Anak muda pasti gembira dengan usaha Kerajaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM250 - RM300 untuk lesen motosikal. Ia memberi manfaat dan kebajikan kepada 25 ribu anak muda rakyat Terengganu.Kerajaaan Negeri memperuntukkan sebanyak RM7 juta setahun untuk menyalurkan kemudahan ini. Kini anak muda dapat memiliki lesen motosikal untuk kemudahan bertahun-tahun untuk terus berdikari, bebas ke sana ke mari mencari nafkah hidup.Dulu tiada LESEN MOTOSIKAL TERENGGANU SEJAHTERA! Ini bermaksud Kerajaan Negeri Terengganu mahu memberi pancing kepada rakyat untuk mereka berusaha sendiri mencari rezeki mereka disamping bantuan-bantuan yang perlu dan bersasaran kepada mereka yang layak sahaja.Bukan untuk memburukkan kerajaan dahulu dan bukan hendak meninggikan Kerajaan Negeri sekarang tapi itulah realiti yang perlu difikir bersama. Adakah inisiatif dan usaha ini boleh dilaksanakan, jika Kerajaan BN memerintah Terengganu dan PH memerintah Malaysia? Kita tunggu PRU 15 untuk membina Kerajaan  Malaysia atas permuafakatan PAS dan UMNO yang mampu untuk melakukan yang lebih baik. InsyaAllah!BERSAMBUNG, INSYAALLAH!YB USTAZ MOHD NOR BIN HAMZAHPengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan,  Dakwah dan Penerangan.15 Mei 2019 / 10 Ramadan 1440H
15 May 19
113
Empty Image
Tingkatkan Amal Kebajikan Di Bulan Ramadan
Oleh : Adli MohamadDUNGUN, 15 Mei- Aktiviti kebajikan dan segala amalan yang baik perlu diperbanyakkan di bulan Ramadan yang padanya terdapat unsur kemuliaan dan keberkatan serta pahala berlipat kali ganda.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, bulan berkenaan sudah Allah SWT pilih untuk meningkatkan darjat ketakwaan yang perlu diburu oleh setiap muslim. "Kerana itu kita dianjurkan untuk memperbanyakkan sedekah, menziarahi saudara mara, jiran tetangga dan juga sahabat handai."Untuk mencaknai kebajikan mereka agar mereka juga dapat menjalani ibadat dengan baik dan sempurna pada bulan Ramadan ini,"jelasnya.Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Kerusi Roda Wakaf kepada penduduk  Kuala Jengai yang lumpuh dan uzur sempena program ziarah kebajikan, baru-baru ini.Turut hadir, Pembantu Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi, Mohd Noor Azian, Pembantu Hal Ehwal Belia i-MiTS DUN Bukit Besi, Che Wan Mohd Fikri Che Wan Abdul Mubin serta Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahmad Rozali Mohamad.Menurut Ghazali, Islam bukanlah mengajar penganutnya agar memperbanyakkan ibadat untuk diri sendiri malah juga menekankan aspek supaya setiap muslim menjadi manusia yang bermanfaat untuk orang lain.Sehubungan itu, beliau turut menyatakan bahawa di antara amalan yang sentiasa menjadi rebutan setiap kali Ramadan adalah memberi makan kepada anak yatim."Ianya satu amalan yang mana tokoh politik, usahawan, orang kenamaan akan menggunakan peluang mengadakan kebajikan berbuka puasa dengan anak yatim."Organisasi, agensi atau jabatan tertentu juga akan mengambil kesempatan mengajurkan majlis berbuka puasa bersama anak yatim. Itu suatu kebaikan, namun majlis sedemikian perlu dipastikan agar benar-benar yang diraikan dan dimuliakan adalah anak yatim bukannya bertumpu semata-mata kepada orang kenamaan," jelasnya.Tambah beliau, seringkali berlaku dalam majlis, orang kenamaan mendapat layanan yang lebih istimewa berbanding anak yatim."Sehinggakan anak yatim yang diraikan berebut dan beratur panjang, sedangkan orang kenamaan makanan sudah terhidang di meja makan," jelasnya.Oleh itu beliau mengharapkan agar anak yatim diraikan dengan benar-benar adil agar beroleh keberkatan pada pihak yang menganjurkan majlis meraikan anak yatim dan juga pihak-pihak yang berusaha melakukan kebajikan.
14 May 19
72
Empty Image
Ayam Gepuk Makan Sapa Larat Nangis
KUALA TERENGGANU, 15 Mei - Bila bercerita soal makanan di bulan Ramadan, anda pastinya teruja untuk mencuba makanan yang sedang 'viral' terutama yang mempunyai rasa yang unik.Kali ini kami kongsikan, menu untuk mereka yang gemar kepedasan dengan citarasa Indonesia dan Malaysia yang terletak di Bazar Ramadan Syahbandar.Pengusahanya, Zulkalmul Hakem Mat Zin, 30, berkata idea untuk membawanya masuk ke Terengganu timbul apabila melihat sambutannya ketika berkunjung ke sebuah kedai yang terkenal dengan sajian ini di Kuala Lumpur."Sejak mencubanya di salah sebuah kedai yang menjual menu ini di Kuala Lumpur, saya terfikir mengapa saya tidak bawa masakan ini ke Terengganu yang rata-rata penduduknya suka makan pedas."Dan dari situ saya mula belajar  bagaimana memasaknya dari seorang kenalan di Indonesia dan mengolahnya dengan gabungan resepi dua negara," ujarnya.Ketika ditanya rahsia keenakan ayam gepuknya, beliau yang juga pemilik Restoran Singgang Budu itu berkata, ia terpulang pada cara pemprosesan pemerapan ayam dengan rempah ratus yang bermula sehari sebelum dan pagi keesokannya barulah ia direbus sebelum digoreng panas di bazar dan yang pasti sambal ayam gepuk adalah menu penting dalam penyediaan makanan ini.“Kelainan sambal ini terletak pada tahap kepedasannya. Pengunjung boleh memilih sendiri tahap kepedasan yang diinginkan sama ada tahap biasa, sederhana atau paling pedas.“Bagi yang pertama kali hendak cuba ayam gepuk ini, saya sarankan supaya pelanggan mula dengan tahap lima terlebih dulu. Bagaimanapun, jika mahu pedas lagi boleh tambah kemudian,” katanya.Mana tidaknya, lebih 20 kilogram cili padi digunakan setiap hari dan cili digiling dengan begitu teliti bagi memastikan ia hancur dan sebati bersama bahan lain seperti bawang putih, kacang, garam dan gula.Lebih istimewa, bahan-bahan tersebut digiling secara tradisional dengan menggunakan batu giling yang sering digunakan pada masa dahulu.Dengan dibantu 14 pekerja, bapa kepada dua orang anak ini mampu menjual 300 hingga 400 ekor ayam sehari dengan pembelian mengikut set lengkap antara RM8.90 hingga RM10.90 mengikut pilihan citarasa dan mampu menjana pendapatan lumayan  mencecah RM6,000 sehari.Menurutnya, harga makanannya juga berpatutan dan rasa yang enak bak kata orang ramai dengan cukup segala rasa yang diinginkan."Malah, pelanggan digalakkan datang awal untuk menikmati keenakan rasa hidangan ini. Kalau lambat, memang cepat habis."Pasti ramai yang sudah mencubanya dan rata-rata pelanggan mengakui rasa pedasnya memang ummph! hingga berpeluh satu badan," kata Zulkalmul lagi.
14 May 19
804
Empty Image
Lebih RM70 Ribu Untuk Sinar Ramadan - Khairunnisa'
Oleh: Dzakaria Mohd SallehSETIU, 14 Mei - Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa')  memperuntukkan lebih RM70,000 bagi membantu golongan kurang berkemampuan sempena Ramadan ini.Setiausahanya, Tuan Roslina Tuan Sulaiman, berkata program bantuan yang diberi nama Sinar Ramadan bersama Khairunnisa'  itu akan melibatkan kesemua lapan parlimen."Besut dan Setiu merupakan program kita yang pertama dan akan disusuli di kawasan lain."Pada hari ini, seramai 20 penerima bantuan dari Besut dan Setiu  menerima wang tunai dan barangan keperluan bagi menampung sebahagian perbelanjaan mereka di bulan Ramadan dan persediaan menyambut Syawal nanti,"ujarnya di majlis tersebut yang diadakan di Kompleks Lukmanul Hakim, di sini,  hari ini.Turut hadir, Ahli Parlimen Setiu, Ustaz Shaharizukirnain Abd Kadir.Tuan RoslinaTambah Tuan Roslina lagi, Khairunnisa' juga memainkan peranan dalam membantu kerajaan negeri menjayakan program yang diadakan."Matlamat Khairunnisa' ialah mengadakan aktiviti sosial dan kemasyarakatan bagi merapatkan hubungan silaturahim isteri pemimpin, ahli dan masyarakat."Kami juga menyumbang dan bekerjasama dengan mana-mana pertubuhan, organisasi, institusi kerajaan dan swasta demi kepentingan dan kebajikan masyarakat,"katanya.Menurut beliau, Khairunnisa' juga berharap lebih ramai golongan yang berkemampuan dapat menghulurkan bantuan kepada golongan yang memerlukan dan membantu kerajaan dalam menjayakan program yang dilaksanakan.
13 May 19
63
Empty Image
Sekampit Beras, Sekilo Minyak Masak Sempena Ramadan
Oleh: Saifullah JusohBESUT, 14 Mei - Seramai 250 orang penduduk dari lima kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut menerima bantuan sekampit beras dan sekilo minyak masak sempena Ramadan.Sumbangan menerusi Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kuala Besut kepada golongan yang kurang berkemampuan dan miskin itu melibatkan Kampung Pekan Lama, Pekan Baru, Kampung Tengah, Kampung Pantai dan Kampung Pengkalan Atap.Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, sumbangan itu sebagai  meringankan beban penduduk yang berkelayakan menerima bantuan bagi menyambut bulan Ramadan tahun ini."Sempena menyambut bulan Ramadan, saya juga ingin berpesan kepada semua agar melipatgandakan ibadat supaya ianya menjadi Ramadan yang terbaik buat kita."Saya juga ingin berpesan, bersederhanalah dalam membeli juadah berbuka puasa dan jangan membazir,"katanya selepas menyampaian sumbangan itu, di Surau Warisan, Kampung Pekan Lama, di sini, semalam.Turut hadir, Pegawai Khas Penyelaras DUN Kuala Besut, Mohd Sulaiman dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Pekan Lama, Kampung Tengah, Kampung Pantai dan Kampung Pengkalan Atap.
13 May 19
85