Artikel "Komuniti" Terkini
Buluh Gading Dewan FC Juara Piala Ahli Parlimen Kuala Nerus
KUALA TERENGGANU, 2 Oktober - Jaringan minit akhir menobatkan Buluh Gading Dewan FC sebagai juara Kejohanan Bola Sepak Piala Ahli Parlimen Kuala Nerus 2024.
Dalam aksi akhir itu, Buluh Gading Dewan FC menewaskan Banggol Peradong FC dengan jaringan 1-0.
Selaku juara, Buluh Gading Dewan FC membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM5,000, piala serta medal.
Pemain terbaik perlawanan, Ahmad Haffizi Mohd berkata, momentum beberapa siri perlawanan persahabatan dengan beberapa pasukan sebelum kejohanan ini menjadikan pasukannya lebih serasi serta mengenalpasti kelemahan.
“Sebelum ini pasukan kami telah gagal di perlawanan peringkat akhir dalam kejohahan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN). Malam ini tak sangka dapat menjadi juara tambahan pula pihak lawan ada beberapa pemain yang sebelum ini mewakili Terengganu.
"Alhamdulillah, memang tak sangka menjadi juara, dapat membantu pasukan, memang sebelum ini kita sasarkan kita boleh ke separuh akhir sahaja tapi semangat juang semua pemain berjaya ke akhir seterusnya membawa pulang piala.
Ditanya apa perancangan selepas ini beliau memberitahu belum lagi memikirkanya kerana mahu fokus kepada Karnival Sukan Setiausaha Kerajaan Negeri se-Malaysia (SUKSEM) yang akan berlangsung tidak lama lagi memandangkan beliau juga mewakili Terengganu dalam kejohanan ini.
"Sementara ini saya mahu fokus SUKSEM, Segala persiapan dan perancangan buat masa ini serah kepada pengurus dahulu," ujarnya.
Katanya, beliau sangat berpuas hati sepanjang perlawanan dan memuji kelancaran penganjuran walaupun ada sedikit ketegangan dan menggangap adab perlawanan.
“Perlawanan kedua-dua pasukan sangat baik, kontroversi sikit-sikit tu biasa lah dan semua menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi,” ujarnya.
02 Oct 24
222
Sekolah Menengah Islam Darul Iman Dungun Johan Perarakan Maulidur Rasul
Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis
DUNGUN, 26 September– Sekolah Menengah Islam Darul Iman Dungun muncul johan bagi perarakan Maulidur Rasul yang diadakan di Masjid Muhajirin, Felda Jerangau, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, kejayaan itu mencerminkan kecemerlangan dan semangat Islam yang ditunjukkan oleh para pelajar dan guru.
"Sambutan seperti ini bukan sekadar perayaan tetapi simbol perpaduan masyarakat Islam yang erat.
"Justeru, generasi muda diharap terus memupuk semangat kecintaan terhadap Rasulullah dan nilai-nilai Islam, sekaligus menjadi contoh kepada komuniti yang lebih luas," ujarnya.
Katanya, selain bertujuan meraikan kelahiran Nabi Muhammad S.A.W dan memupuk nilai-nilai murni dalam kalangan pelajar, penganjuran perarakan tersebut diharapkan dapat terus mengeratkan silaturahim.
Pertandingan perarakan tersebut menyaksikan penyertaan 15 kontinjen dari pelbagai sekolah dan institusi di kawasan tersebut.
Tempat kedua dimenangi Sekolah Kebangsaan Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (LKTP) Felda Jerangau, manakala tempat ketiga disandang oleh Tadika Kemas Felda Jerangau.
29 Sep 24
354
SPEG Atasi Gangguan Gajah Liar di DUN Langkap
SETIU, 29 September - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Terengganu memasang Sistem Pagar Elektrik Gajah (SPEG) bagi mengatasi gangguan gajah liar.
Pengarahnya, Loo Kean Seong berkata, pemasangan itu sebagai usaha mengekang pencerobohan gajah daripada memasuki kawasan kebun milik penduduk Kampung Bukit Mundok dan Kampung Alor Lek.
"Pemasangan pagar sejauh empat kilometer melibatkan kos sebanyak RM170 ribu ini telah dibuat secara bersama penduduk bermula pada 23 September dan siap pada semalam dalam tempoh 6 hari," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyerahan Sistem Pagar Elektrik Gajah dari Perhililitan kepada Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Bukit Mundok dan JPKK Alor Lek.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Langkap, Azmi Maarof mengucapkan terima kasih kepada Perhililitan atas peruntukan sistem pagar.
Azmi Maarof berkata, masyarakat menghargai peruntukan kerajaan itu bagi mengatasi masalah gangguan gajah liar.
"Harapannya penduduk kampung dapat memainkan peranan secara aktif untuk menyelenggara pagar ini sebaiknya supaya pagar ini dapat bertahan lama," jelasnya.
29 Sep 24
324
MPD Anjur Program Bersih Pantai di Dungun
DUNGUN, 28 September - Majlis Perbandaran Dungun (MPD) mengadakan aktiviti gotong-royong bersih Pantai peringkat Daerah Dungun di persisiran Pantai Sura, Dungun hari ini.
Program tersebut dirasmikan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli.
Wan Hassan berkata amalan seperti menjaga kebersihan alam sekitar dan kelestarian bumi adalah contoh amalan sangat baik.
"Ini kerana kita bukan sahaja menjalankan amanah sebagai khalifah di bumi Allah, kita juga memudahkan urusan orang lain selain kita.
"Pelaksanaan program ini akan memberi impak dalam usaha melestarikan alam sekitar kita dan membantu menyumbang kepada pencapaian negara bagi The Malaysian Book of Records," katanya dalam program terbabit.
Turut hadir ADUN Sura, Dr Tengku Muhammad Fakhruddin Tengku Mohd Fauzi.
Katanya lagi, program itu juga dapat memupuk amalan menjaga kebersihan dan mewujudkan persekitaran yang bersih dan sihat khususnya di kawasan tumpuan awam.
"Jika kita lihat pada hari ini, sektor ekonomi Dungun telah menunjukkan pertumbuhan yang memberangsangkan.
"Pembangunan infrastruktur, seperti jalan raya dan kemudahan asas telah membuka peluang kepada perniagaan baru sehingga menjadikan Dungun semakin membangun dengan pesat mengikut peredaran terkini.
"Saya yakin dengan program seperti ini bukan sahaja akan membantu menyumbang kepada penilaian kebersihan, malah meningkatkan mutu keselesaan penduduk di kawasan Dungun dan menjadikan Daerah Dungun sebagai lokasi pelancongan yang menjadi tumpuan para pelancong dari dalam dan luar negeri."
"Setinggi-tinggi ucapan tahniah dan terima kasih atas komitmen dan kerjasama yang diberikan untuk menjayakan majlis pada hari ini.
"Terutama kepada Majlis Perbandaran Dungun sebagai peneraju program dengan kerjasama rakan strategik yang terdiri daripada agensi kerajaan, JPKK, NGO (Geng Plastik Ija) dan syarikat-syarikat swasta serta orang awam terlibat dalam menjayakan program ini," jelasnya.
28 Sep 24
228
Pasar Berkat, Usaha Bantu Peniaga dan Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 26 September - Penganjuran Pasar Berkat memberi peluang kepada peniaga-peniaga untuk menjual barangan dengan harga berpatutan.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Arifin Deraman berkata, pada program yang diadakan di Masjid Jamek Pengadang Baru itu, peniaga dapat menawarkan harga lebih murah dan memberi lebih manfaat kepada masyarakat setempat.
"Ayam RM10 seekor, daging pula sekilogram RM28 dan peniaga makanan juga kita minta hadir untuk memeriahkan pasar.
"Harga kurang? Ada beberapa cara antaranya kita berbincang dengan para peniaga untuk mendapatkan harga terbaik misalnya jualan ikan bagi memberikan sokongan kepada masyarakat.
"Saya juga melalui Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) ada memberikan sumbangan dengan sejumlah wang kerana tanpa sokongan, agak sukar menurunkan harga dengan baik," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu meninjau suasana di Pasar Berkat DUN Alor Limbat, semalam.
Program berkenaan dianjurkan Persatuan Pekerja dan Pengguna Kuala Terengganu (PEKA) dengan kerjasam pihak DUN dan masjid kini semakin mendapat permintaan di kalangan masyarakat setempat.
Ariffin menambah, pihaknya akan berusaha memenuhi permintaan rakyat di daerah lain selepas ini dalam usaha menyebar luas medium untuk membantu para peniaga dan pembeli tempatan.
25 Sep 24
154
'Le Tour De' Grassroots Himpun 1,046 JPKK Sebar Peluang Kerja
KUALA TERENGGANU, 24 September- Program Le Tour De' Grassroots berjaya menghimpunkan 1,046 Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam usaha menyebar luas peluang pekerjaan di negeri Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Ariffin Deraman berkata, program anjuran Pusat Pembangunan Sumber Manusia Terengganu (T-HRDC) itu melibatkan 32 Dewan Undangan Negeri (DUN) bertujuan menjalinkan libat urus antara pusat khidmat masyarakat, JPKK dan pihak-pihak berkenaan di peringkat DUN.
"Ia salah satu usaha memperkenalkan T-HRDC serta agenda kerajaan negeri dalam mewujudkan peluang pekerjaan khususnya kepada anak-anak muda.
"T-HRDC mengadakan pelbagai kaedah antaranya mengumpulkan 1,046 JPKK untuk memaklumkan peluang-peluang pekerjaan di negeri terengganu.
"Ia sebagai mewujudkan saluran komunikasi agar segala maklumat dapat disampaikan kepada rakyat melalui rangkaian tersebut selain mengumpul data pencari kerja sekitar DUN," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Program Le Tour De' Grassroots siri terakhir di Pusat Internet Akses Rakyat (PINTAR) DUN Alor Limbat, semalam.
Hadir sama ialah Ketua Pegawai Eksekutif T-HRDC, Aminudin Omar, dan Ketua Penolong Pegawai Daerah Bahagian Pembangunan Pejabat Daerah Kuala Terengganu, Ahmad Azmi Awang.
Tambah Ariffin, dalam program berkenaan turut diadakan proses temuduga syarikat telekomunikasi TM One selain pelancaran Sistem Maklumat Pekerjaan Akar Umbi (S@MPAI) bagi mendekatkan jurang antara pencari kerja dengan peluang kerjaya.
"Hari ini kita ada temuduga TM One yang berpusat di Medan Jaya, Marang dengan penawaran lebih 350 peluang pekerjaan," ujarnya.
24 Sep 24
210
Ibu Tunggal Gigih Berniaga Dari Rumah Demi Jaga Anak Sakit
Oleh : Fatimah Din
Foto : Mohd Hanafi Mohd Noor
MARANG-23 September- Seorang pembantu bahagian sajian di sebuah taska nekad berhenti kerja dan gigih memulakan perniagaan demi menjaga anaknya yang sakit.
Wan Noor Yusliana Wan Yusof, 39 berkata, dia berniaga dari rumah dengan mengusahakan produk sejuk beku, mengambil tempahan pelbagai kuih muih , biskut raya, perkhidmatan katering , dan bouquet hari lahir.
"Saya berhenti kerja untuk jaga anak yang sakit. Pada awalnya saya terjumpa satu iklan buat kuih yang mencari tenaga pengajar, jadi daripada situ saya mengajar dan belajar, kata Wan Noor Yusliana atau lebih dikenali dengan panggilan Along Yus berasal dari kampung Telaga Mengkudu, di sini.
Katanya, dia juga manghadapai cabaran dalam berniaga seperti pelanggan tidak membayar cas penghantaran produk selain ejen tidak membayar harga jualan produk yang diambil.
"Dalam meniaga di peringkat permulaan, saya bagi orang rasa produk saya, minta anak bawa ke sekolah, bagi kawan, guru yang rasa dulu, selain itu ada juga ambil ejen untuk luaskan jualan produk saya ni," jelasnya lagi.
Katanya, dia memasang impian untuk memiliki sebuah kedai yang menyediakan produk lebih pelbagai, peralatan yang lebih banyak sekali gus dapat membantu ibu tunggal yang memerlukan pekerjaan.
“Saya bersyukur kerana mendapat bantuan dan sokongan daripada pihak Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) , Yayasan Pembangunan Usahawan dan turut mendapat perhatian Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri Alur Limbat dalam mengusahakan perniagaan ketika ini,” ujarnya.
24 Sep 24
121
Kerjasama TESDEC dan ALKA Perkukuh Penggunaan Tenaga Lestari di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 22 September - Majlis Menandatangani Perjanjian Projek Solar dan Kecekapan Tenaga antara TESDEC Services Sdn. Bhd. (TSSB) dan Alka System Sdn. Bhd. (ALKA) satu langkah penting dalam usaha memperkukuh penggunaan tenaga lestari di Malaysia, khususnya di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Alka System Sdn. Bhd., Ts. Ir. Mohd Ferdus Abdul Kadir, menyatakan bahawa projek solar itu bukan sahaja membantu mengurangkan jejak karbon negara.
Menurutnya, ia turut menyumbang kepada pencapaian sasaran kerajaan untuk memperoleh 31 peratus penjanaan tenaga daripada sumber tenaga boleh baharu menjelang tahun 2025.
“Kolaborasi antara ALKA dan TSSB bagi projek solar ini adalah di bawah program Net Energy Metering 3.0 (NEM) yang dikendalikan oleh Sustainable Energy Development Authority (SEDA), di mana program ini terbahagi kepada tiga kuota: NEM Rakyat (Perumahan), NEM Gomen (Entiti Kerajaan), dan NOVA (Industri).
“Kuota NEM Rakyat telah pun tamat pada minggu lalu, manakala baki kuota bagi NEM Gomen adalah 44 MWac dan NOVA berbaki 108 MWac.
“Oleh itu, ALKA berbesar hati bekerjasama dengan TSSB untuk merealisasikan projek solar di bangunan kerajaan dan komersial,” jelasnya.
Beliau berkata demikian dalam ucapannya sempena Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman Tenaga Hijau dan Pengurusan Kecekapan Tenaga antara TESDEC Services Sdn. Bhd. dan Alka System Sdn. Bhd. di Permai Hotel, hari ini.
Selain projek solar, kedua-dua syarikat turut bekerjasama dalam Program Kecekapan Tenaga yang dilaksanakan di bawah Suruhanjaya Tenaga (ST), yang bertujuan menilai penggunaan tenaga di bangunan komersial dan industri serta mengenal pasti peluang untuk penjimatan tenaga.
“Majlis menandatangani perjanjian hari ini membuktikan komitmen kedua-dua syarikat untuk terus meneroka dan meningkatkan penggunaan sumber tenaga yang lebih efisien dan mesra alam,” tambahnya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada TESDEC Services atas kepercayaan yang diberikan, dan berharap kerjasama ini akan membawa impak positif kepada negeri Terengganu serta menyumbang kepada kemajuan tenaga lestari di Malaysia.
“Melalui kerjasama ini, kami berhasrat menyediakan penyelesaian inovatif yang dapat memberi manfaat kepada masyarakat dan persekitaran kita,” katanya.
Beliau berharap kerjasama ini akan memberi manfaat kepada masyarakat, negeri Terengganu, dan persekitaran, serta berharap agar projek ini berjalan lancar dan membawa perubahan positif.
22 Sep 24
811
Perlu Lebih Banyak CBT Promosi Keindahan Terengganu
KEMAMAN, 19 September- Kerajaan negeri mengakui masih kurang pengusaha pelancongan berasaskan komuti (CBT) yang bergiat aktif dalam menaikkan tempat-tempat pelancongan yang ada di Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Dato' Razali Idris berkata, dalam usaha kerajaan CBT diangkat sebagai salah satu langkah menjana ekonomi setempat sekaligus membangunkan tempat-tempat menarik dalam negeri.
"Apabila kerajaan negeri mewartakan sesuatu tempat sebagai CBT ia akan ada bajet tertentu daripada kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan. Itu satu sudut yang boleh jana pendapatan orang-orang kampung.
"Saya tidak nampak lagi di Kemaman ada satu CBT yang berjaya, tetapi di Marang dan Setiu sudah ada yang berjaya di mana mereka boleh dapat pendapatan lebih RM10,000 sehari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan sebahagian soalan penduduk Kemaman dalam Dialog Exco Kerajaan Negeri peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Berlian, Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), malam tadi.
Program anjuran Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) itu menampilkan dua exco iaitu Razali dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar, Hanafiah Mat yang berkomunikasi secara langsung bersama penduduk tentang pelbagai isu setempat yang diutarakan.
Tambah Razali, isu tempat-tempat pelancongan di Kemanan turut mendapat perhatian penduduk yang mahukan lebih banyak tempat unik diangkat sebagai tarikan pengunjung.
"Baru-baru ini saya berkesempatan ke Yak Yah ada kelip-kelip, yang masih lagi dikawal dan di jaga dengan oleh Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK). Insya-Allah kita akan angkat komuniti Yak Yah sebagai salah satu tempat CBT.
"Jadi, kita bermula dengan Yak Yah, kita tengok bagaimana. Sebenarnya, ia perlu tenaga orang yang ada 'roh' untuk mengusahakan tempat-tempat di Kemaman.
"Untuk jayakannya, kebersihan kena jaga sama ada kedai makan atau sebagainya, tatacara pengendalian piawai (SOP) dan penetapan keislaman kita kekal, tetapi kita ambil peluang," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut menasihati masyarakat terutama pihak JPKK untuk terus menzahirkan tempat pelancongan dengan menumpukan alam semula jadi untuk diangkat sebagai keunikan dan keindahan Terengganu.
19 Sep 24
431
Rakyat Dijemput 'Rumbu' Dialog Exco
KEMAMAN, 19 September- Penganjuran program Dialog Exco Kerajaan Negeri wajar dihadiri oleh penduduk setempat dalam usaha mewujudkan komunikasi lebih baik diantara rakyat dan barisan kepimpinan kerajaan Terengganu.
Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Harun Esa berkata, selain mengeratkan hubungan exco dengan rakyat, persoalan yang dikeluarkan antara tanda keterbukaan kerajaan Terengganu untuk menyelesaikan segala permasalahan rakyat.
"Apa sahaja yang terbuku pada rakyat dan apa sahaja kemampuan yang ada kerajaan akan buat setulusnya untuk menyelesaikan masalah. Kita akan jelajah ke lapan-lapan daerah melibatkan exco-exco tertentu dan bersesuaian, exco tempatan pasti akan ada dan juga tambahan exco kawasan lain.
"Paling besar sekali adalah kehadiran sebenarnya. Jika exco, agensi semua datang tetapi tidak ramai (penduduk) datang, ia merugikan. Sebab masa yang ada dan juga program diatur bukan boleh diadakan setiap bulan.
"Tetapi dengan program ini, kita harap semua kehadiran penuh dan kita uar-uarkan awal lagi supaya rakyat datang bagi menyampaikan apa yang perlu kepada kerajaan Terengganu untuk dijawab dan diselesaikan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas program Dialog Exco Kerajaan Negeri siri pertama di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK), di sini semalam.
Program tersebut menampilkan Pengerusi Jawatankuasa Pelanconagn , Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, Dato' Razali Idris dan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat.
"Setelah selesai siri pertama bagi sesi 2024, kehadiran memuaskan dan soalan dikemukakan cukup membantu sebenarnya. Rupa-rupanya ada perkara-perkara yang terbuku di pihak rakyat untuk bertemu dengan pimpinan dan Alhamdulillah ia berjalan dengan cukup baik serta harmoni.
"Doakan semoga usaha UPDI untuk menyampaikan maklumat daripada kerajaan negeri kepada rakyat terlaksana, bukan sahaja turun ke lapangan tetapi kita juga berhadapan secara langsung untuk menerima dialog exco ini supaya mendatangkan hasil dan penyelesaian yang terbaik untuk kerajaan negeri," ujarnya.
19 Sep 24
110