lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Tuisyen Rakyat DUN Sura Suntik Semangat 200 Calon SPM
Tuisyen Rakyat DUN Sura Suntik Semangat 200 Calon SPM
DUNGUN, 18 November – Seramai 200 orang pelajar menyertai Program Tuisyen Rakyat menjelang peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang dianjurkan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Sura selama dua hari di SM Imtiaz Dungun. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin menyatakan rasa syukur atas kejayaan program tersebut dan menekankan betapa pentingnya inisiatif itu dalam memastikan pendidikan anak-anak di DUN Sura terus diberi perhatian serius. “Alhamdulillah, program Tuisyen Rakyat ini berjalan lancar dengan sokongan daripada kerajaan negeri. Program ini melibatkan lima buah sekolah iaitu SMK Sultan Omar, SMK Seri Dungun, SMK Sura, SMK Kompleks Padang Jambu, dan SMA Sultan Ismail Dungun dengan setiap sekolah menghantar 40 orang pelajar SPM , 20 pelajar elit dan 20 pelajar sederhana,” jelasnya ketika ditemui pemberita. Dr. Tengku Fakhruddin turut menyampaikan penghargaan kepada Kerajaan Terengganu yang telah memperuntukkan dana sebanyak RM10,000 bagi setiap DUN untuk melaksanakan program-program pendidikan seperti ini. Menurutnya, dana tersebut digunakan untuk memastikan program seperti Tuisyen Rakyat dapat dijalankan dengan sempurna disamping menyediakan pelajar dengan fasiliti terbaik dan pengajaran yang berkualiti. “Usaha ini adalah untuk memastikan pendidikan anak-anak terus menjadi tonggak utama dalam membentuk masa depan mereka," tambahnya.   Berbaki lebih 40 hari sahaja lagi menjelang SPM, beliau berharap program Tuisyen Rakyat dapat memberikan impak yang besar kepada pelajar dalam meningkatkan pencapaian akademik mereka. “Kami berharap pelajar yang menyertai program ini dapat memanfaatkan setiap sesi dengan baik dan membuat persiapan yang terbaik menjelang peperiksaan. Insya-Allah, usaha ini akan membuahkan hasil yang positif dan memberi manfaat besar untuk kejayaan mereka," katanya.  
17 Nov 24
164
Terengganu Jadi Negeri Pertama Miliki Pejabat Satelit MyIPO
Terengganu Jadi Negeri Pertama Miliki Pejabat Satelit MyIPO
KUALA TERENGGANU, 11 November - Terengganu menjadi negeri pertama memiliki Pejabat Satelit Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) yang beroperasi di Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU). Pengerusi MyIPO, Ts Dr Mohd Zuhan Mohd Zain berkata, pembukaan pejabat satelit pertama itu akan memudahkan rakyat Terengganu khusunya kalangan usahawan untuk berurusan dengan MyIPO bagi urusan harta intelek. Katanya, dengan adanya kemudahan itu, pemilik harta intelek di negeri ini tidak lagi perlu ke pejabat MyIPO di Kuantan, Pahang bagi membuat pemfailan. "Kita akan buka pejabat di setiap negeri dan kita akan mengorak langkah pertama di Terengganu sebelum disusuli negeri-negeri lain. "Untuk Terengganu, kita bekerjasama dengan YPU di bawah kerajaan negeri bagi menjalankan operasi pejabat satelit dan kita jangka pendaftaran ini akan meningkat berbanding sebelum ini," ujarnya. Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyempurnakan Perasmian Pejabat Satelit MyIPO Kuala Terengganu dan penyampaian sumbangan zakat di sini, semalam. Dalam pada itu katanya, didapati masih banyak hak cipta dan hasil karya dari Terengganu yang selama ini belum didaftarkan. "Dengan adanya kemudahan ini, ia sekali gus boleh dimanfaatkan oleh lebih 14,000 usahawan yang bernaung di bawah YPU. "Sejak 2019 hingga Oktober 2024, sebanyak 1418 permohonan harta intelek dari negeri Terengganu diterima dan ia sebenarnya mencerminkan kesedaran yang semakin meningkat terhadap kepentingan perlindungan harta intelek sekali gus menyumbang kepada pembangunan ekonomi negeri,"ujarnya.
11 Nov 24
867
Hanafiah Terima Pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM
Hanafiah Terima Pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat APM
KEMAMAN, 8 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar Negeri Terengganu, Hanafiah Mat menerima pangkat Timbalan Pesuruhjaya Kehormat (Pertahanan Awam), semalam. Beliau berkata, pelantikan ini bukanlah suatu anugerah, sebaliknya tanggungjawab dan amanah besar bagi memartabatkan peranan agensi ini dalam menguruskan keperluan rakyat terutamanya apabila berlaku bencana dan sebagainya. "Terima kasih Angkatan Pertahanan Awam (APM) yang telah memberikan kepercayaan ini kepada saya," katanya kepada pemberita. Hanafiah yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri Cukai turut mengharapkan mampu menggalas dan melaksanakan tugas ini dengan sebaiknya. Sesi Penyerahan Vest dan Watikah Pelantikan Pegawai kehormat itu telah disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Dato' Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi. Majlis itu berlangsung di Hotel Park Royal A'Famosa Melaka Resort, Alor Gajah, Melaka sempena Mesyuarat Penyelarasan Antara YAB Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah dengan EXCO-EXCO Luar Bandar (MEXCLUB).  
08 Nov 24
635
Beras Pun Naturalisasi?
Beras Pun Naturalisasi?
KUALA TERENGGANU, 6 November- 'Kehilangan' beras tempatan terus menjadi isu di kalangan rakyat marhaen sehingga mendapat reaksi Pengerusi Jawatankuasa. Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr. Azman Ibrahim. Dalam kenyataan di laman Facebooknya pagi ini, beliau menegaskan isu beras tempatan bertukar kepada beras import setelah masuk ke kilang padi sering kali diutarakan, tetapi tiada tindakan yang lebih baik dilaksanakan. "Banyak kali saya bentangkan isu ini kepada Bahagian Kawal Selia Padi dan Beras Negara. Antara jawapan yang saya perolehi ialah, kami bekerja ikut peraturan. Apabila kami pergi 'check'  (siasat), didapati ada guni beras import di kilang pembungkusan sebagai bukti. Rupa luaran beras import dan beras tempatan adalah hampir sama. Susah nak dibezakan! Kami tak boleh nak ambil tindakan. "Saya cuba buka minda mereka, apakah mungkin guni beras import itu hanya diletakkan sebagai sample untuk mengelirukan anggota penguatkuasa? Sedangkan yang dibungkus sebagai beras Super Import sebenarnya adalah beras tempatan. Mereka tidak pula berani menafikannya kebenaran fakta ini," katanya menerusi kenyataan yang dikeluarkan. Tambahnya, apa yang lebih penting ialah fokus kepada isu pokok yang menjadi punca masalah berkenaan. "Peningkatan kos pengeluaran padi dan kos pembelian padi di kilang sekarang ini sekitar RM1500/tan, beras tempatan dijual kepada pemborong dengan harga RM2650 bagi beg saiz jumbo 1 tan. Maknanya harga kilang sudah RM2.65/kg. Mana mungkin pihak pemborong dan pembungkus boleh jual dengan harga runcit kawalan beras tempatan RM2.60/kg? "Kerana itulah kita perlu berpijak di bumi nyata dan selesaikan masalah dari punca," katanya. Dr Azman menjelaskan, dengan peningkatan kos pengeluaran ekoran dari peningkatan harga diesel, harga lantai belian padi RM1300/tan sudah tak relevan lagi. Ia mesti dinaikkan pada paras antara RM1500-RM1800/tan. Menurut beliau, kenaikan harga belian padi akan membawa kepada kenaikan harga beras. Namun, pengguna masih boleh bertoleransi jika ada sedikit kenaikan harga beras tempatan pada kadar yang munasabah. "Contohnya, antara RM2.80-RM3/kg. Ia sebenarnya lebih murah dari harga beras tempatan yang dijenamakan sebagai beras import sekarang iaitu antara RM3.50-RM3.80/kg. Beras sama saja!," ujarnya.
06 Nov 24
110
800 Peserta Sertai Funwalk D'baroh
800 Peserta Sertai Funwalk D'baroh
BESUT, 2 November - Seramai 800 orang peserta telah menyertai acara monsoon Funwalk D'baroh, sejauh lima kilometer (KM) dengan mengeliling sawah padi di sekitar Kampung Padang Baloh. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut, Mohd Husaimi Hussin berkata, dengan kejayaan program itu beliau sangat berterima kasih kepada semua yang hadir  menjayakannya serta menunjukkan komitmen dan sokongan padu dalam usaha mempromosikan gaya hidup sihat. "Aktiviti seperti ini bukan sahaja memberi peluang untuk menjaga kesihatan fizikal malah dapat mengeratkan hubungan silaturahim diantara pelbagai lapisan masyarakat terutamanya  golongan belia, keluarga serta komuniti tempatan". "Setinggi penghargaan kepada pihak penganjur Persatuan Beliau Sahabat Sejahtera Daerah Besut,sukarelawan, dan semua pihak yang telah berusaha keras memastikan acara ini  berjalan lancar dan tidak lupa juga diucapkan jutaan terima kasih kepada semua para penaja yang memberikan sumbangan untuk menjayakan funwalk ini","ujarnya.   Beliau berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri acara Monsoon Funwalk D'Baroh, yang diadakan di Taman Kohafas Agro Darau, di sini, baru-baru ini. Dalam pada itu, Husaimi menasihatkan agar aktiviti senaman itu dapat dijadikan sebagai rutin harin yang akan dapat memberikan inspirasi kepada anggota komuniti lain supaya kesihatan dan kesejahteraan dalam hidup akan menjadi keutamaan. Acara funwalk ini turut dimeriahkan dengan diadakan tiga "check point" disediakan makanan dan minuman antaranya kuih tradisional, ubi kayu, buah-buahan, air tuak dan aiskrim malaysia, sambil menikmati pemandangan yang indah dikelilingi sawah padi serta bukit.  
02 Nov 24
216
100 Sukarelawan Dungun Siap Sedia Hadapi Banjir
100 Sukarelawan Dungun Siap Sedia Hadapi Banjir
DUNGUN, 2 November - Seramai 100 sukarelawan bersedia untuk digerakkan bagi memberi bantuan sekiranya banjir berlaku di kawasan Dungun, susulan ramalan Monsun Timur Laut (MTL) bermula 5 November sehingga Mac 2025 ini. Pengerusi Khidmat Malaysia Dungun Khairul Ismail berkata, persediaan itu turut dilakukan dengan kerjasama pelbagai pihak antaranya Khidmat Malaysia, Jabatan Amal, Pemuda PAS, Ameerah dan badan bukan kerajaan (NGO). "Sukarelawan banjir Dungun kini dalam 'mood' bersiap siaga dan bersedia untuk digerakkan ke lokasi banjir serta menyampaikan bantuan yang perlu kepada mangsa terlibat. “Sukarelawan dari segi persediaan banjir akan membantu bukan sahaja sebelum dan semasa, tetapi turut melibatkan pasca banjir seperti membersihkan rumah mangsa. "Insya-Allah semoga dipermudahkan segala urusan buat semua sukarelawan banjir di Dungun," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ucapan aluan Majlis Himpunan Sukarelawan Banjir PAS Dungun, baru-baru ini. Majlis tersebut turut dirasmikan oleh Incident Commander Khidmat Malaysia Dungun (KHIDMAT), Wan Hassan Mohd Ramli juga merupakan Ahli Parlimen Dungun. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
02 Nov 24
191
Sis Be Fit Galak Wanita Hidup Sihat
Sis Be Fit Galak Wanita Hidup Sihat
KUALA TERENGGANU, 18 Oktober – Program Sis Be Fit (Green Fun Walk) mendorong wanita di negeri ini untuk mengamalkan gaya hidup sihat melalui aktiviti riadah yang mudah tetapi berkesan. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga, dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim, berkata acara ini sejajar dengan tema 'hijau' yang dipilih bagi menyatakan kecintaan terhadap alam sekitar dan solidariti bersama rakyat Palestin, bersempena setahun tragedi Taufan Al Aqsa. “Program ini bukan sahaja menggalakkan aktiviti berjalan kaki, tetapi juga bertujuan mendidik masyarakat untuk lebih aktif dalam aktiviti fizikal serta mencapai tahap kecergasan yang lebih baik. "Selain itu, program ini juga menjadi platform untuk menyatukan masyarakat setempat, khususnya wanita, agar terus komited dalam menyahut seruan kerajaan untuk membudayakan sukan dalam kehidupan seharian," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Sis Be Fit (Green Walk) yang diadakan di Dewan Majlis Daerah Hulu Terengganu, semalam. Beliau menekankan bahawa inisiatif ini amat penting memandangkan wanita, sama ada yang bekerja mahupun suri rumah, sering menghadapi kekangan masa untuk bersukan. "Program ini menawarkan cara mudah bagi wanita untuk menjaga kesihatan melalui aktiviti yang tidak memakan masa lama, tetapi memberikan impak positif. “Dengan program seperti ini, kita berharap agar wanita Terengganu lebih aktif bersukan dan dapat memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat. “Ini juga selaras dengan usaha kerajaan melalui Pelan Induk Terengganu Sejahtera 2030 (PITAS 2030), yang memfokuskan pembangunan insan dan ekonomi secara holistik," tambahnya. Selain itu kata Maliaman, pelancaran Dasar Wanita Terengganu pada September 2022 juga merupakan langkah penting dalam melindungi dan memperkasa wanita di negeri ini. "Beberapa program hiburan dan sukan seperti Alamanda Fun Run, Sukan Untuk Wanita (SUKWA), dan Terengganu Hijab Day (THD) telah dianjurkan selaras dengan garis panduan hiburan patuh syariah," katanya lagi. Justeru, beliau berharap program Sis Be Fit (Green Fun Walk) dapat membuka jalan kepada lebih banyak inisiatif serupa pada masa hadapan, sekali gus memperkukuhkan sokongan terhadap gaya hidup sihat dalam kalangan wanita di Terengganu.
19 Oct 24
161
Usahawan Cendawan Terengganu Rancang Tembusi Pasaran Eksport
Usahawan Cendawan Terengganu Rancang Tembusi Pasaran Eksport
KUALA TERENGGANU, 6 Oktober - Bermula sebagai projek kecil keluarga, seorang usahawan wanita dari Gong Penaga, Jabi, Terengganu kini mengorak langkah lebih jauh dalam industri penanaman cendawan dan merancang untuk menembusi pasaran eksport. Afizah Mat Sulaiman, 34, yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Sains Teknologi dan Pengurusan Perladangan dari UiTM pada tahun 2014, mula mengusahakan cendawan pada tahun 2014 sebelum mendaftarkan syarikatnya secara rasmi dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) pada tahun 2016.  Menurut Afizah, minatnya terhadap perniagaan ini tercetus selepas melawat beberapa ladang cendawan di sekitar Besut termasuk telah menjalani latihan praktikal di beberapa tempat semasa masih menuntut di universiti. "Rumah cendawan pertama dibina bersama keluarga menggunakan kayu-kayu terpakai dan pokok gelang yang terdapat di sekitar rumah," katanya ketika dihubungi pada hari ini. Beliau kini mengusahakan tiga jenis cendawan utama iaitu cendawan kukur (kulat sisir), cendawan tiram, dan cendawan jeli hitam secara kecil-kecilan.   Menurutnya lagi, bagi meningkatkan kecekapan perniagaan, dia merancang untuk memperluas pengeluaran cendawan kukur ke pasaran eksport kerana proses pengeringan yang mudah dan kandungan nutrien tinggi menjadikannya berpotensi untuk perubatan, kecantikan dan kesihatan. "Cendawan kukur memerlukan tempoh semusim selama sebulan, manakala cendawan tiram dan jeli hitam memerlukan empat bulan.  "Pengeluaran cendawan biasanya lebih tinggi pada musim hujan berbanding musim panas, namun harga pasaran agak tidak stabil disebabkan oleh lebihan bekalan, terutama untuk cendawan tiram.  "Sebaliknya, harga bagi cendawan kukur dan jeli hitam lebih stabil," ujar  Afizah yang mendapat modal permulaan daripada keluarganya. Berikut adalah harga pasaran semasa bagi cendawan yang diusahakan, cendawan kukur (borong) RM50/kilogram (kg), cendawan kukur (runcit) RM80/kg, cendawan tiram (borong) RM13/kg, cendawan tiram (runcit) RM18/kg, cendawan jeli hitam (borong) RM30/kg dan cendawan jeli hitam (runcit) RM40/kg.   Namun, cabaran besar dalam perniagaan ini adalah perubahan cuaca yang tidak menentu, yang mempengaruhi serangan penyakit ke atas tanaman. "Pada musim hujan, saya lebih menumpukan kepada pengeluaran cendawan kukur dan jeli hitam kerana kedua-dua jenis cendawan ini boleh dikeringkan dan dijual secara dalam talian, manakala cendawan tiram lebih sukar disimpan dan hanya boleh dijual dalam lingkungan sekitar ladang," tambahnya. Dengan modal permulaan sekitar RM10,000, Afizah banyak memanfaatkan sumber yang sedia ada seperti kayu terpakai untuk mengurangkan kos.  Afizah juga berkongsi bahawa beliau pernah menerima bantuan mesin dan bahan mentah daripada Jabatan Pertanian serta sokongan berterusan daripada Bahagian Pembangunan Industri Tanaman (BPIT), yang banyak membantu usahawan dalam bidang penanaman cendawan. "Khasiat cendawan kukur turut diakui dalam bidang perubatan kerana ia mengandungi schizophyllan, sejenis ramuan yang digunakan dalam ubat anti-barah khususnya barah serviks.  "Ia membantu meningkatkan sel imun yang berfungsi membunuh sel barah, virus, atau kuman yang menyerang badan," katanya. Kini, dengan kapasiti penuh, Afizah mampu menjana pendapatan sehingga RM15,000 sebulan.  Namun, disebabkan serangan perosak dan penyelenggaraan ladang yang sedang dijalankan, beliau hanya memperoleh sekitar RM2,000 sebulan buat masa ini.
06 Oct 24
945
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
Dialog EXCO Platform Terbaik Rakyat Terima Maklumat Tepat
KUALA NERUS, 3 Oktober - Program Dialog EXCO yang kini sedang giat dilaksanakan secara berperingkat melibatkan lapan daerah di negeri ini disifatkan sebagai landasan terbaik untuk rakyat mendapat maklumat tepat daripada kerajaan. Salah seorang Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung bagi DUN Batu Rakit, Mohd Fadhil Ismail berkata, program bersemuka itu juga membolehkan rakyat bertanyakan soalan secara langsung kepada EXCO sekali gus menjawab segala persoalan yang berlegar dalam kalangan masyarakat. "Alhamdulillah melalui program ini kerajaan negeri dapat sampaikan apa jua maklumat kepada rakyat mengenai apa usaha, matlamat dan hulu tuju kerajaan negeri serta perjalanan kerajaan negeri dalam keadaan terhimpit. "Sepanjang program ini berlangsung, kita telah melihat banyak soalan-soalan yang berkisar tentang kesan ekonomi selepas kerajaan negeri tidak lagi diberikan royalti petroleum seperti biasa. "Jadi telah diberikan penerangan apa solusi untuk masa hadapan dengan wujudnya usaha bagi menambah pendapatan baharu yang boleh menyakinan penduduk dan Pengerusi JPKK mendapat maklumat yang tepat dalam melaksanakan dasar kerajaan terutama bagi memastikan kebajikan kepada rakyat dapat diteruskan," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menghadiri Program Dialog EXCO yang diadakan di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru, Kuala Nerus, di sini, kelmarin. Dalam pada itu, Fadhil berkata program yang dianjurkan oleh UPDI itu perlu diperluaskan lagi dan diadakan secara berterusan agar rakyat faham mengenai apa yang terjadi serta dapat mengetahui info-info terbaharu mengenai setiap perancangan dan agenda yang dijalankan. "Terima kasih kepada pihak kerajaan negeri serta penganjur yang telah mengadakan program ini sekali gus mendekatkan pimpinan kerajaan negeri bersama rakyat," katanya.  
04 Oct 24
123
RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
RPMM Tok Jembal Siap 95 Peratus, Bakal Diserah Kepada Penerima
KUALA NERUS, 3 Oktober - Rumah Pangsa Mampu Milik (RPMM) Tok Jembal kini telah mencapai tahap kemajuan 95 peratus dan bakal diagihkan kepada penerima terpilih dalam tempoh dua bulan ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, rata-rata mereka yang memohon rumah itu sudah tidak sabar mendiaminya kerana tertarik dengan reka bentuk serta keindahan warna. "Saya telah pun mengadakan lawatan ke RPMM Tok Jembal beberapa bulan lepas dan dimaklumkan oleh pihak Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) bahawa projek itu kini telah berada di fasa terakhir. "Sedikit masa sahaja lagi kerana ada beberapa isu (kecil) yang berlaku dalam pembinaan RPMM tersebut dan sekarang ia telah pun diserahkan kepada kontraktor penyelamat bagi membuat kerja-kerja akhir," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucapa di Program Dialog EXCO di Dewan Jubli Perak, Bandar Baru Kuala Nerus, di sini, semalam. Turut serta, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Hishamuddin Abdul Karim dan Pengerusi Jawatankuasa Ekonomi, Digital, Pendapatan Baharu, Perdagangan, Perindustrian dan Teknologi Hijau negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman. Mengulas lebih lanjut, Wan Sukairi berkata dengan melihat kepada kemajuan terkini RPMM Tok Jembal itu rumah berkenaan akan diserahkan segera kepada pemilik yang terpilih sebelum berakhir tahun ini. "Insya-Allah saya menjangkakan dalam tahun ini juga kita akan dapat membuat penyerahan kepada pemilik-pemilik yang telah pun dipilih dan berada dalam senarai penama-penama yang berjaya menduduki rumah tersebut. "Insya-Allah dalam tempoh sebulan dua ini kita akan membuah penyerahan rumah pangsa tersebut," ujarnya.  
03 Oct 24
3542