Artikel "Komuniti" Terkini
Hasil Kraf Kait Beg Jana Pendapatan Suri Rumah
KUALA TERENGGANU, 18 September - Siapa sangka minat mengait sejak berusia belasan tahun hingga menghasilkan pelbagai rekaan kraf berasaskan benang nilon seperti beg, sarung telur dan alas meja, membolehkan seorang suri rumah menjana pendapatan hanya dari kediamannya.
Menurut Rohani Ab Rahman, dia sudah menceburi bidang itu selama 21 tahun dan mula bergiat secara serius selepas berhenti kerja.
"Saya mula belajar mengait sejak tamat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan kini sudah berusia 38 tahun.
"Selepas berhenti kerja untuk memberi tumpuan kepada anak kedua dan dalam masa yang sama saya kembali aktif dalam bidang ini," katanya yang kini bergiat sepenuh masa dalam dunia kraf mengait.
Beliau dan keluarganya menginap di Felda Chalok Barat, Setiu dan sebelum ini hanya bekerja di stesen minyak.
Tambah Rohani, pada saat ini beliau mengiklankan produknya secara kecil-kecilan.
"Secara jujur, saya tiada sasaran pasaran yang tepat.
"Namun, ada yang membuat tempahan dan saya menghasilkan mengikut permintaan," jelas ibu kepada dua anak itu.
Mengulas lanjut, dia mendapat ilmu mengait beg melalui kelas yang dikendalikan oleh Cikgu Robiah Mohd Jamil, seorang guru yang sangat hebat dalam bidang ini.
Kini, Rohani menerima banyak tempahan, terutama untuk beg jenis 'tiang seri'.
Selain itu, dia turut mengambil tempahan sarung telur untuk majlis perkahwinan.
"Untuk beg, biasanya mengambil masa sekitar dua minggu untuk disiapkan menggunakan benang nilon.
"Manakala untuk sarung telur, tempahan perlu dibuat sekurang-kurangnya dua bulan sebelum majlis," ujar beliau.
Rohani juga bersyukur bahawa hobi ini mampu memberikan pendapatan tambahan buat keluarganya.
"Suami saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah, dan saya pula tidak banyak mempromosikan hasil kerja ini dan hanya melalui kenalan serta dari mulut ke mulut.
"Harga beg yang dihasilkannya bermula dari RM200 ke atas, bergantung kepada saiz. Kos bahan memang tidak mahal, tetapi kemahiran yang kita ada itu yang bernilai," katanya.
Walaupun hanya membuat kraf ini secara santai, beliau memahami ada yang berpendapat harga produknya mahal.
Tambah Rohani, tidak senang untuk menghasilkan sesuatu yang berkualiti tinggi.
"Kalau ada yang berminat, bolehlah hubungi saya melalui WhatsApp (016-6508926)," ujarnya.
19 Sep 24
161
Explorasi Alamanda: Peluang Wanita Terengganu Perkasa Patriotisme dan Kemasyarakatan
KUALA TERENGGANU, 18 September - Penyertaan masih dibuka kepada wanita Terengganu yang berminat untuk menyertai program khas anjuran kerajaan negeri bagi memperkasakan golongan muda, terutamanya wanita, melalui program berimpak tinggi yang berteraskan nilai patriotik dan kemasyarakatan.
Pengarah Program Explorasi Alamanda Beliawanis Merdeka, Asma Wahap, berkata penganjuran program tersebut merupakan inisiatif penting untuk memastikan generasi muda menyedari tanggungjawab mereka terhadap masyarakat dan negara.
"Melalui penyertaan dalam program ini, peserta berpeluang memenangi hadiah menarik dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM3,500.
"Hadiah lumayan yang ditawarkan termasuk hadiah utama bernilai RM600, tempat kedua RM400, tempat ketiga RM300, serta saguhati bernilai RM100," jelasnya ketika dihubungi hari ini.
Menurut beliau, program terbuka kepada wanita berumur antara 13 hingga 40 tahun yang berminat untuk menyertai aktiviti eksplorasi berkonsepkan konvoi bermotor.
"Acara ini akan diadakan pada 21 September 2024 di Dataran Awam Batu Buruk, Kuala Terengganu.
"Setiap kumpulan terdiri daripada empat orang peserta, dengan dua motosikal bagi setiap kumpulan. Pakaian patuh syariah serta motosikal dengan cukai jalan aktif merupakan antara syarat penyertaan," katanya.
Asmaa' juga berharap program seperti ini dapat melahirkan wanita muda yang cintakan negara, di samping menggalakkan mereka terlibat dalam aktiviti kemasyarakatan dan kebajikan.
"Semoga usaha kerajaan negeri dalam menyediakan program bermanfaat untuk anak muda Terengganu mendapat sambutan baik daripada rakyat, khususnya golongan muda," tambahnya.
18 Sep 24
317
110 Kanak-Kanak Sertai Kem Anak Soleh 5.0
Oleh : Fatimah Din
Foto : Muhamad Hibatul Jihadi Mad Daud
MARANG, 18 September- Seramai 110 kanak-kanak sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menyertai Kem Anak Soleh 5.0.
Pengarah Program, Muhammad Syafiq Haikal Zakaria berkata, penganjuran kem oleh Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang dengan kerjasama Pertubuhan Belia Marang serta wakil Masjid Kampung Tertak Batu itu bertujuan membentuk anak-anak menjadi individu yang soleh dan solehah.
“Ia dimuatkan dengan pelbagai pengisian menarik antaranya tentang Allah dan Rasul serta memperkukuh pemahaman para pelajar mengenai ibadah fardhu Ain secara praktikal.
"Alhamdulillah penyertaan peserta membuktikan komitmen ibu bapa dalam memastikan pendidikan agama yang berkualiti untuk anak-anak, ”ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Penutup Kem Anak Soleh 5.0 yang disempurnakan Penyelia i-mits DUN Rhu Rendang, Fakhruddin Zakaria di Majlis Kampung Tertak Batu.
Dalam pada itu, Muhammad Syafiq turut merakamkan setinggi -tinggi penghargaan kepada ibu bapa atas kepercayaan yang diberikan dan berharap agar usaha tersebut terus mendapat sokongan masyarakat.
18 Sep 24
225
Program Komuniti DUN Bukit Payung Dapat Sambutan Hangat
KUALA TERENGGANU, 18 September - Program Komuniti DUN Bukit Payong (PROKOM@DBP) yang berlangsung di Dataran Padang Bola Sepak Kampung Atas Tol kelmarin mendapat sambutan yang amat menggalakkan.
Program yang dianjurkan sempena sambutan N18 Sejahtera berjaya menarik pelbagai lapisan masyarakat untuk turut serta dalam pelbagai aktiviti.
Acara dimulakan dengan perarakan maulidur rasul diikuti dengan persembahan silat serta persembahan nasyid dari kumpulan Soutul Muhibbin yang memukau hadirin.
Selain itu, pertandingan hafazan, azan, serta acara sukan rakyat seperti tarik tali turut memeriahkan suasana.
Antara yang paling mendapat perhatian ialah sesi bicara cinta Rasul & Qasidah yang penuh penghayatan serta gol soccer untuk kanak-kanak berumur 6 hingga 7 tahun, yang memberikan kegembiraan kepada anak-anak kecil.
Pameran agensi kerajaan dan sukaneka wanita juga tidak ketinggalan menyemarakkan lagi program ini.
Program ini turut dimeriahkan dengan jamuan rakyat serta penyampaian hadiah cabutan bertuah, hadiah utama berupa pakej percutian dua hari satu malam (2H1M) menjadi tumpuan utama peserta yang menanti dengan penuh debaran.
Dengan tema 'N18 Sejahtera' program ini berjaya mencapai matlamatnya untuk merapatkan silaturahim di kalangan penduduk setempat serta menyemarakkan semangat perpaduan dalam suasana penuh harmoni.
ADUN Bukit Payung, Dato' Mohd Nor Hamzah berkata, beliau berharap program itu dapat diteruskan pada masa akan datang, dengan pengisian yang lebih mantap dan bermanfaat buat komuniti setempat.
18 Sep 24
243
RXZ Member 6.0 - Rezeki Anak Seberang Takir
KUALA NERUS, 15 Sept - Seorang lelaki tidak menyangka memenangi hadiah cabutan bertuah iaitu motosikal jenama Ducati sempena program RXZ Member 6.0 yang berlangsung selama dua hari berakhir semalam di Litar Permotoran Negeri Gong Badak.
Pemilik Kedai Iklan, Adnan Abu Bakar, 55, berkata, dia tidak menyangka berjaya membawa pulang motosikal itu kerana penyertaan puluhan ribu dari pelusuk Malaysia.
Menurutnya, dia mencuba nasib sepanjang empat kali cabutan dilakukan dan sanggup menunggu kesemua sesi cabutan tidak seperti tahun-tahun sebelumnya
“Memang tak jangka sebab saya pun daftar satu sahaja, rezekilah Allah S.W.T beri jadi saya terima seadanya. Alhamdulillah.
"Perasaan sangat gembira dan tak sangka tambahan pula setakat program tahun-tahun lepas dimenangi oleh orang luar dari Terengganu," ujarnya.
Menurut Adnan, dia mahu menggunakan kerana semua sedia maklum bahawa jenama motosikal ini menjadi kegilaan ramai, tidak berniat untuk menjual atau sebaliknya.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Takir, Khazan Che Mat mengucapkan tahniah atas rezeki yang dikurniakan tambahan pula Adnan berasal dari Seberang Takir.
Terdahulu, sebuah kereta Toyota Vellfire juga menjadi rezeki orang Terengganu.
15 Sep 24
3930
Menelusuri Ibrah Qurani Galak Penghayatan Terhadap Al-Quran
Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis
Dungun, 12 September – Program Menelusuri Ibrah Qurani Siri 8.0 yang dianjurkan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) berupaya menggalakkan penghayatan yang lebih mendalam terhadap ajaran al-Quran.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berkata, ia merupakan inisiatif berharga yang diharap dapat memberi manfaat besar kepada masyarakat.
“Sekiranya kalam Allah itu dibakar atau dihapuskan, maka kita akan mengumpulkan penghafaz-penghafaz al-Quran untuk mencetaknya semula kerana dengan jaminan Allah S.W.T ia pasti terus terpelihara.
“Kejayaan acara ini membuktikan komitmen semua pihak dalam mempromosikan kefahaman dan pengamalan ajaran Islam di kalangan masyarakat,” ujarnya ketika berucap merasmikan program tersebut di Masjid Jamek Paka, di sini, baru-baru ini.
Majlis tersebut dihadiri masyarakat setempat, penggiat agama, para asatizah dan anak-anak tahfiz dari seluruh daerah Dungun.
Hadirin berpeluang mendengar alunan bacaan ayat-ayat suci al-Quran dengan penuh penghayatan dari dua pentilawah terkenal iaitu Abdul Hadi Che Abdul Halim dan Syeikh Bilal Al-Hossyany yang memperdengarkan bacaan daripada Surah Al-Ankabut.
Sementara itu, Wan Hassan turut mengajak mengajak umat Islam meletakkan lima asas dalam kehidupan seharian.
“Allah adalah matlamat kehidupan, Rasulullah S.A.W ikutan dan pemimpin kita, al-Quran adalah pedoman hidup, jihad jalan hidup dan yang terakhir mati dijalan Allah adalah cita-cita tertinggi umat Islam,” ujarnya.
12 Sep 24
133
Pelajar Cemerlang STPM Terima Sumbangan ADUN Sura
Oleh: Syahida Nur Izzah Ariffin
DUNGUN, 10 September– Seramai lapan pelajar cemerlang Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) di DUN Sura telah menerima sumbangan penghargaan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin.
Pelajar-pelajar tersebut merupakan mereka yang memperoleh Purata Nilai Gred Keseluruhan (CGPA) 3.5 ke atas, dan sumbangan tersebut telah diagihkan melalui kunjungan ke rumah masing-masing.
Menurut Dr. Tengku Muhammad Fakhruddin, sumbangan terbabit sebagai tanda penghargaan terhadap usaha gigih para pelajar yang telah berjaya mengharumkan nama kawasan DUN Sura dengan pencapaian akademik yang cemerlang.
Beliau turut menyatakan hasrat agar sumbangan tersebut dapat dijadikan motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha dalam bidang pendidikan di peringkat yang lebih tinggi.
"Saya berharap kejayaan ini akan menjadi inspirasi kepada pelajar lain untuk terus gigih berusaha mencapai kecemerlangan. Pendidikan adalah kunci untuk masa depan yang cerah, dan saya ingin melihat lebih ramai pelajar dari DUN Sura berjaya di peringkat kebangsaan dan antarabangsa," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan sumbangan.
Menurut beliau, pihaknya akan sentiasa komited dalam memberikan sokongan kepada pelajar-pelajar tempatan yang menunjukkan prestasi cemerlang dalam pendidikan.
"Saya ingin melihat anak-anak muda di kawasan ini menjadi pemimpin masa depan yang berilmu dan berakhlak. Kita akan terus menyokong apa jua keperluan mereka bagi memastikan pendidikan mereka tidak terjejas," ujarnya.
10 Sep 24
112
23 Kontinjen Sertai Perarakan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia DUN Rantau Abang
Oleh: Che Wan Muhammad Abdul Hanis
DUNGUN, 10 September- Seramai 352 peserta daripada 23 kontinjen menyertai acara perarakan sempena Sambutan Maulidur Rasul dan Hari Malaysia peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang di perkarangan Masjid Balai Besar.
Program anjuran Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rantau Abang itu turut mendapat kerjasama pihak pengurusan Masjid Balai Besar.
Perarakan bermula di pekarangan dan mengelilingi kawasan taman berdekatan sebelum berakhir semula di masjid tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Mohd Fadhli Rahmi Zulkifli berkata, dua sambutan tersebut merupakan simbol perpaduan dan kesuburan kita sebagai umat Islam dan sebagai rakyat Malaysia yang cintakan tanah air.
“Maulidur rasul bukan sekadar hari memperingati kelahiran Nabi Muhammad S.A.W tetapi juga masa untuk kita merenung dan menghayati ajaran baginda yang menjadi rahmat seluruh alam.
“Sambutan Hari Malaysia 2024 pula adalah saat yang sangat bermakna dimana kita mengenang kembali perjuangan dan pengorbanan pejuang-pejuang tanah air yang telah berusaha dengan gigih untuk memastikan Malaysia kekal sebagai sebuah negara yang merdeka, aman dan makmur,” ujarnya ketika berucap di majlis berkenaan, kelmarin.
Katanya, diharapkan program tersebut terus menjadi acara tahunan di DUN berkenaan yang memupuk perpaduan serta memperkukuhkan jati diri masyarakat, terutamanya dalam mencontohi akhlak mulia Rasulullah S.A.W.
10 Sep 24
229
171 Kilogram Sampah Dikutip di Pantai Air Tawar
BESUT, 9 September - Dalam semangat menyambut Bulan Kebangsaan, Beliawanis Kota Putera bersama Geng Plastik Ija telah berjaya menganjurkan program Plogging Patriotik di Pantai Air Tawar, menyaksikan sebanyak 171 kilogram sampah berjaya dikutip oleh para peserta.
Ketua Geng Plastik Ija Daerah Besut, Afifah Aziz berkata, program tersebut mampu meningkatkan kesedaran komuniti mengenai kepentingan menjaga kebersihan alam sekitar sambil mengamalkan gaya hidup sihat.
"Saya turut menjelaskan mengenai kepentingan menjaga alam sekitar daripada bahan buangan yang boleh merosakkan ekosistem pantai," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi pihak media, semalam mengulas mengenai program yang diadakan di Pantai Air Tawar.
Selain daripada aktiviti mengutip sampah, program itu turut diselitkan dengan kuiz kemerdekaan yang menguji pengetahuan peserta tentang sejarah negara.
Katanya, matlamat utama ialah menggalakkan aktiviti kesihatan sambil menjaga kebersihan alam sekitar.
Sementara itu, Ketua Beliawanis DUN Kota Putera, Ummi Kalthum Mamat menyatakan harapan agar program seperti ini dapat menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus peka terhadap kebersihan persekitaran dan mengamalkan gaya hidup sihat.
"Program ini bukan sahaja membantu meningkatkan kesedaran tentang kepentingan menjaga kebersihan,tetapi juga mengeratkan lagi hubungan peserta melalui aktiviti yang sihat dan bermanfaat.
"Dengan kejayaan program ini, Beliawanis Dun Kota Putera bertekad meneruskan usaha-usaha murni dalam memperkasakan komuniti dan memupuk semangat patriotik di kalangan rakyat Malaysia," jelas beliau.
08 Sep 24
152
Kerajaan Negeri Peruntuk RM300,000 Bantuan Peralatan Kepada Nelayan
KUALA TERENGGANU, 8 September - Kerajaan Terengganu memperuntukkan sebanyak RM300,000 dalam bentuk bantuan peralatan kepada nelayan pantai sebagai langkah proaktif untuk membantu meningkatkan hasil tangkapan bagi memastikan bekalan ikan di negeri ini kekal mencukupi.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan, dan Komoditi negeri, Hilmi Harun, berkata bantuan itu bertujuan meringankan kos pembelian peralatan, meningkatkan keefisienan penggunaan peralatan, serta menyumbang kepada peningkatan pendaratan ikan di Terengganu.
"Peralatan pada tahun ini ialah fish finder (alat pengesan ikan), pukat tangsi dan kawat bubu yang diberi kepada 232 orang nelayan pantai seluruh daerah di Terengganu.
"Jumlah nelayan pantai yang menerima bantuan peralatan di daerah Kuala Terengganu adalah seramai 16 orang, Kuala Nerus 36 orang dan Marang seramai 32 orang," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program Majlis Penyerahan Unjam Dan Pemberian Bantuan Peralatan kepada nelayan Pantai Daerah Kuala Terengganu, Kuala Nerus dan Marang di Pejabat Perikanan berkenaan, pada hari ini.
Sementara itu, seorang nelayan Muhammad Ismail dari Kampung Jambu Bongkok, Marang, berkata, bantuan yang diterima sangat bermakna untuk dirinya.
“Saya ucapkan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana memberi bantuan pukat tangsi kepada saya.
“Ini kali pertama saya menerima bantuan dan saya bersyukur, semoga pendapatan meningkat dengan bantuan ini,” katanya yang sudah hampir 30 tahun bergiat sebagai nelayan.
Bagi nelayan veteran dari Pulau Ketam, Wahab Busu, 78, turut meluahkan rasa syukur atas bantuan 'fish finder' yang diterimanya.
“Dengan bantuan ini, dapat saya menangkap lebih banyak ikan.
“Nak beli sendiri memang susah sebab mahal, jadi saya sangat berterima kasih kepada kerajaan negeri,” katanya yang telah bergiat sebagai nelayan selama lebih 50 tahun.
08 Sep 24
190