Artikel "Komuniti" Terkini
Generasi Muda Perlu Warisi Pembuatan Songkok Tradisional
KUALA TERENGGANU, 4 Julai - Pembuatan songkok tradisional kini semakin hilang ditelan zaman memandangkan tidak ramai belia dan anak muda yang berminat untuk mempelajari kesenian dan ilmu pertukangan tangan itu.Perkara tersebut diakui pembuat songkok tradisional, Adnan Husain yang meluahkan kebimbangan seni membuat songkok tradisional akan pupus ditelan zaman memandangkan kemahirannya tidak diwarisi generasi muda.Beliau berpendapat, satu usaha berbentuk kursus perlu dilakukan kerajaan untuk mempertahankan seni warisan tersebut sekali gus menarik minat generasi muda menceburi bidang seni halus tersebut yang berpotensi besar untuk diketengahkan.“Proses pembuatan songkok memerlukan kemahiran dan saya sangat berbesar hati sekiranya kerajaan negeri melalui jabatan berkaitan dapat menganjurkan kursus pembuatan songkok supaya ilmu pembuatan songkok ini dapat diperluaskan.“Saya sedia memberi tunjuk ajar dan berkongsi ilmu dengan anak muda di mana-mana pusat kemahiran jika ada yang berminat bagi meneruskan warisan dalam pembuatan songkok tradisional,” ujarnya kepada Urusetia Penerangan Darul Iman ketika ditemui di Kedai Songkok Warisan miliknya di Kampung Losong Masjid, semalam.Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri diharap mengambil inisiatif mengadakan kursus jangka pendek sebagaimana kursus- kursus lain yang ada di pusat kemahiran sekarang.“Tidak ramai anak muda yang berminat untuk buat songkok. Itulah perkara yang amat mendukacitakan saya. Kalau boleh, pihak kerajaan negeri dapat menganjurkan kursus jangka pendek tentang pembuatan songkok seperti kursus jahitan pakaian dan sebagainya.“Pada saya, jika peserta sudah ada asas menjahit, dalam tempoh lebih kurang enam bulan cukup untuk mereka menguasai kemahiran menjahit songkok tradisional. "Perkara ini perlu diberi perhatian agar kita dapat mencari lebih ramai pengganti pembuat songkok tradisional agar ia tidak lesap ditelan arus zaman,” ujarnya.
04 Jul 19
1165
Kursus Jahitan Buka Peluang Suri Rumah Jana Pendapatan
Oleh: Nooreni Abu BakarDUNGUN, 4 Julai- Seramai 56 peserta yang mengikuti Kursus Jahitan Komuniti anjuran Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) cawangan Dungun berjaya menamatkan kursus selama enam bulan dalam bidang tersebut.Pegawai YPKT Cawangan Dungun, Farrah Noor Faradhila M. Zuki berkata, peserta diharap dapat menggunakan sebaiknya ilmu jahitan yang dipelajari termasuk berupaya membuka perniagaan dalam bidang tersebut suatu hari nanti.Menurut beliau, sebelum ini Kelas Jahitan Komuniti beroperasi di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN), tetapi terpaksa dihentikan memandangkan tiada tempat yang sesuai di Paka dan Bukit Besi."YPKT melihat kesesuaian tempat dari segi keselamatan dan permintaan penduduk setempat, jika tidak menepati syarat ditetapkan, kita akan cari tempat lain.“Kursus yang dianjurkan ini diharap dapat membantu lebih ramai wanita khususnya yang ingin menjadikan kemahiran menjahit sebagai sumber rezeki,” ujarnya.Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui pada Majlis Penyampaian Sijil Asas Jahitan YPKT sempena Sambutan Hari Raya Aidilfitri YPKT Dungun yang disempurnakan Timbalan Pengerusi Kebajikan, Pembangunan Wanita dan Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri Terengganu, Alias Harun di Dewan Perpustakaan Awam Dungun, baru-baru ini.Turut hadir, Timbalan Pengarah Pengurusan YPKT, Kamarulzaman Awang.Sementara itu, seorang peserta Norhabshah Baharom, 33, yang menyertai kursus jahitan asas itu gembira kerana dapat menamatkan kursus yang bermula Januari lalu itu dengan mempelajari pelbagai teknik menjahit. Norhabshah bersama tiga sahabatnya Syarul Akma Khozai,32, Fairus Hanim Awang, 29, dan Rozana Mohd Rasid, 29 yang telah lama memendam hasrat untuk belajar menjahit akhirnya berjaya memiliki Sijil Asas Jahitan YPKT selepas mengikuti Kelas Jahitan Komuniti DUN Paka."Terima kasih kepada YPKT Cawangan Dungun, setelah sekian lama menanti akhirnya Kursus Jahitan Komuniti diadakan berhampiran tempat tinggal kami."Sebelum ini kelas jahitan hanya diadakan di YPK bandar Dungun, memanglah jauh kami hendak ikut serta memandang kami ada anak kecil dan ada yang bekerja."Bila kami mendapat tahu ianya telah dibuka di Paka, cepat-cepat kami daftar. Dengan hanya pendaftaran RM 150, dan bulanan sebanyak RM10, memang murah dan berbaloi, sebab kami tidak tahu langsung tentang menjahit," celah rakannya Fairus Hanim. Sementara itu, seorang pelatih daripada Kelas Jahitan Komuniti DUN Rantau Abang, Puteri Sofiah Muhammad Ansari, 20, memberitahu, memandangkan yuran pendaftaran dan bulanan yang tidak membebankan menyebabkan dia yang meminati bidang jahitan turut mengambil kesempatan mengikuti kelas tersebut."Saya sedang tunggu panggilan daripada UPU untuk melanjutkan pelajaran, jadi sebagai mengisi masa, saya ambil kelas ini, nanti boleh juga tolong ibu menjahit," ujar pelajar lepasan Sijil Tinggi Agama Malaysia(STAM) itu.
03 Jul 19
477
Jadikan Masjid Dan Surau Tempat 'Lepak' Anak Muda
Mohd Fazil menyampaikan hamper kepada jemaah bertuah.Oleh: Hailmey MansorKUALA NERUS, 3 Julai - Surau dan masjid di dalam negeri Terengganu perlu lebih kreatif untuk menarik minat anak muda mendampingi institusi tersebut.Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Seberang Takir, Mohd Fazil Wahab mengingatkan, ahli jawatankuasa (AJK) surau dan masjid perlu mewujudkan suasana mesra yang mampu menjadikan masjid dan surau tempat ‘lepak’ golongan muda. "Kita perlu sediakan pelbagai bahan atau aktiviti menarik sebagai tanda keramahan kita kepada golongan ini untuk mendekati masjid dan surau.Masjid dan surau perlu jalin kemesraan bersama anak muda - Mohd Fazil."Antara contohnya ialah dengan mengadakan pelbagai bentuk pertandingan seperti memancing, futsal, bola jaring dan sebagainya,” katanya ketika memberikan ucapan sempena rumah terbuka Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Teluk Ketapang di Surau An-Nur, semalam.Turut hadir, Penghulu Mukim Seberang Takir, Khairi Ghazali dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Seberang Takir, Muda Abdullah.Mohd Fazil juga mencadangkan kepelbagaian aktiviti untuk menjentik kemesraan kepada anak-anak muda.Majlis rumah terbuka berkenaan dianjurkan MPKK untuk mengeratkan hubungan antara ahli 'qaryah' selain meraikan Syawal yang berbaki..
03 Jul 19
331
200 Orang Sertai Go Skateboarding Day
Oleh: Nooreni Abu BakarIhsan gambar: Arfan NorudinDUNGUN, 3 Julai - Seramai 200 peserta dari Kelantan, Terengganu dan Pahang menyertai program Go Skateboarding Daya 2019 yang diadakan di perkarangan Kedai Belakang, No. 196 Batu 49 Jalan Besar, di sini baru - baru ini.Pengerusi Persatuan Peneraju Pelancongan Dungun (D'TIPS), Mastura Nordin @ Mamat berkata, program julung kali diadakan di Dungun itu merupakan acara serentak yabg diadakan di seluruh dunia."Acara yang berlangsung selama dua hari tersebut didatangi oleh pelancong asing dari luar negara dan atlet skateboard peringkat Asia dan antarabangsa," ujarnya.Menurut beliau, antara acara yang dipertandingkan ialah Best Run Miniramp, Best Trick Funbox, Best Trick Launcher, Highest Hippie Jump Dan Game Of Skate Team Battle."Kami berharap ini tidak bersifat 'one off' program, D'TIPS cuba mempertahankan agar acara ini menjadi acara tahunan di Terengganu amnya dan di Dungun khasnya."Selain D'TIPS, turut bekerjasama menjayakan program ini termasuk Dgnpoint, Pertubuhan Kebajikan Bantu Orang Susah Sokmo Terengganu (BOSS), Setiausaha Kerajaan Terengganu, Pejabat Daerah Dungun, Majlis Perbandaran Dungun dan jug Ahli Parlimen Dungun, Ustaz Wan Hassan Mohd Ramli , " ujarnya.Disamping itu katanya, pengeluar jenama sukan terkenal Vans telah menjadi penaja utama untuk program yang berperanan sebagai perintis dalam memperkasakan Program Local Agenda 21, Majlis Perbandaran Dungun."Tidak lupa penghargaan juga kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat serta penaja-penaja yang telah menyumbang sehingga program dapat diadakan dengan jayanya," ujarnya.
03 Jul 19
337
13 Ribu Pengunjung Hadir Jamuan Raya Parlimen Dungun
Oleh : Nooreni Abu BakarDUNGUN, 3 Julai - Lebih 13,000 warga Dungun membanjiri Dewan Terbuka Arena Merdeka bagi memeriahkan Jamuan Hari Raya Aidilfitri Peringkat Parlimen dan PAS Kawasan berkenaan. Pengarah Program, Mohd Amin Hamid berkata kehadiran orang ramai adalah diluar jangkaan dan melebihi kehadiran pada tahun lepas. " Majlis pun berjalan lancar dengan dibantu 600 petugas untuk persiapan sebelum, semasa dan selepas majlis serta komitmen tinggi mereka sangat saya hargai. " Alhamdulillah, kita menerima banyak sumbangan dan menu yang menjadi tumpuan 'ayam pusing' sebanyak seribu ekor turut ditaja," katanya kepada pemberita ketika ditemui selepas majlis berkenaan , baru-baru ini.Beliau juga berpuas hati dan berkata bahawa majlis kali ini lebih berjaya daripada tahun-tahun sebelumnya termasuklah makanan yang juga mencukupi sehingga majlis berakhirSelain ayam pusing, tetamu turut dihidangkan dengan nasi minyak, satay, apam balik, ais krim dan pelbagai lagi juadah yang disediakan.
02 Jul 19
180
Pesakit Parkinson Dapat Perhatian PKAPKN
Wan Yusrizal mendengar luahan Abdullah sewaktu menziarahinya.Oleh: Nizam at-TakiriKUALA NERUS, 2 Julai - Warga emas yang menghidap Parkinson sejak 25 tahun lalu, Abdullah Mamat ,60, mendapat perhatian Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Mohd Khairuddin Aman Razali.Abdullah yang berasal dari Kampung Banggol Tok Jiring itu, menerima kunjungan pegawai dan petugas Pusat Khidmat Ahli Parlimen Kuala Nerus (PKAPKN), yang diketuai oleh Wan Yusrizal Wan Shafi’I, di rumahnya, baru-baru ini.Isterinya, Hasnah Mohd Nasir,53, memaklumkan suaminya kini sudah tidak mampu berjalan seperti manusia normal dan perlukan penjagaan yang rapi oleh ahli keluarga untuk menguruskan kehidupan seharian. Kunjungan PKAPKN bertujuan merapatkan hubungan antara masyarakat dan pemimpin. “Beliau juga tidak mahu ditinggalkan sendirian dan mahu ditemani selalu, kerana berasa sunyi,” katanya ketika ditemui Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) dalam program Ziarah PKAPKN yang turut mengunjungi tiga lagi keluarga yang diuji dengan kesusahan di kampung berkenaan.Hadir sama, Pegawai Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTs) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh, Zainun Ali.Bantuan berupa wang tunai dan barangan keperluan turut disalurkan oleh Pusat Khidmat bagi meringankan beban yang ditanggung oleh mereka.
02 Jul 19
92
Derita Anak Syurga Dapat Perhatian
Murliati bersama anak syurganya Siti Zulaikha Oleh : Nooreni Abu BakarDUNGUN, 2 Julai- Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul, itulah yang dialami Siti Zulaikha Mohd Zul Azri, 5, kanak-kanak comel yang disahkan sindrom down dan celebral palsy sejak lahir.Ibunya, Murliati A. Bakar, 32, berkata doktor mengesahkan Zulaikha menghidap penyakit berkenaan selepas lima hari dilahirkan kini terpaksa bergantung sepenuhnya kepada susu khas dan lampin pakai buang bagi meneruskan hidup.“Walaupun dilahirkan tidak seperti anak-anak normal, tetapi menjaga anak syurga, Siti Zulaikha amat mengujakan dan sentiasa memberi reaksi positif setiap apa yang diajar kepadanya."Dia sangat suka berkawan walaupun terlantar dan kalau di majlis orang ramai dia nampak seronok malah datuknya pun ajar juga dia bertatih… dia memang suka sangat, " katanya.Dia berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menerima bantuan dari Tabung Darul Iman (TDI) di Kampung Baru, Kuala Abang, baru-baru ini.Murliati turut melahirkan rasa terharu dengan keprihatinan kerajaan negeri melalui TDI membantu anak syurganya dengan sumbangan berbentuk susu khas dan lampin pakai buang ."Sumbangan itu memang sangat membantu, (apa lagi) sayapun menjaganya sepenuh masa," ujarnya yang sebelum ini bertugas sebagai guru tadika. Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata kerajaan negeri menerusi TDI sentiasa berusaha membantu meringankan bebanan yang ditanggung oleh keluarga pesakit termasuk anak-anak syurga."Walaupun tabung berkenaan tidaklah mempunyai banyak sumber kewangan untuk membantu mereka yang kurang bernasib baik, bantuan tetap diteruskan," jelasnya. Sementara itu, seorang lagi penerima, Adik Muhammad Ardani Mohd Suhaimi, setahun enam bulan yang menghadapi masalah penafasan turut menerima bantuan susu khas. Menurut ayahnya, Mohd Suhaimi Abd Rahman, anaknya menggunakan mesin untuk bernafas akibat paru-paru lemah kesan daripada jangkitan kuman. "Dengan bantuan susu secara bulanan ni, dapatlah meringankan perbelanjaan," katanya yang terpaksa mengambil cuti tanpa gaji selama enam bulan untuk menjaga anak kecil tersebut.
01 Jul 19
103
600 Anak Perantau Terengganu Dirai - Wan Sukairi
Oleh: Wan Luqman HakimSHAH ALAM , 1 Julai - Kira-kira 600 anak Terengganu di perantauan hadir dalam Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri bersama Anak Terengganu di Perantauan 2019 di Syeksyen 7, Shah Alam Selangor.Majlis perasmiannya disempurnakan oleh Exco Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Negeri Terengganu, Wan Sukairi Wan AbdullahWan Sukairi berkata, program tradisi itu bertujuan mendekatkan kerajaan negeri dengan anak-anak Terengganu di perantauan untuk sama-sama merasai kemeriahan Hari Raya Aidilfitri dengan cara yang lebih santai dan mesra.“Sebagai suatu isyarat bagaimana kerajaan negeri sentiasa mengharapkan hubungan antara anan-anak di perantauan dan kerajaan negeri di seluruh negara ini berada di dalam keadaan yang baik, walaupun anak perantauan berada jauh daripada negeri tetapi mereka tetap ada peranan dan tugas masing-masing yang perlu diberikan kepada kepimpinan negeri."Dan bagi merapatkan lagi hubungan ini, kita akan adakan perbincangan meja bulat dengan wakil-wakil mereka dan beri idea dalam forum lebih kecil untuk sama-sama sumbang saran pandangan dalam membantu pentadbiran negeri."Semua cadangan dan sumbangan pemikiran anak-anak perantauan ini akan diberi perhatian oleh kerajaan negeri dalam usaha memajukan Terengganu dan kita lihat bagaimana pencapaian boleh ditambah baik selepas itu," katanya ketika berucap di majlis tersebut, baru-baru ini.Turut hadir, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri Terengganu Maliaman Kassim dan Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut, Mat Daik Mohamad.
01 Jul 19
342
Dungun 'Syurga Kaki Pancing' Terengganu
Oleh: Mohd AsrafDUNGUN, 1 Julai - Kejayaan program Jelajah Memancing sempena Malaysia Surfcasting Tour: A Journey To Visit Malaysia 2020 baru-baru ini turut mengangkat daerah Dungun sebagai “Syurga Kaki Pancing” baharu di Terengganu. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Sumber Manusia, Keusahawanan, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Wan Hapandi Wan Nik menyatakan keterujaan apabila semakin ramai kaki pancing tertarik untuk berkunjung ke daerah berkenaan.“Saya melihat ramai yang datang ke Dungun untuk memancing kerana katanya, di sini syurga ikan tenggiri. "Antara lokasi tumpuan adalah kawasan berdekatan Pulau Tenggol dan ramai yang menyewa bot untuk ke sana,” katanya.Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura itu yang hadir merasmikan acara berkenaaan memaklumkan, program-program seumpamanya akan merancakkan lagi ekonomi tempatan sekali gus berjaya membantu meningkatkan industri pelancongan domestik.Timbalan Pengarah Kanan Bahagian Domestik dan Acara Tourism Malaysia, Mohd Nasir Kushairi turut hadir memeriahkan program itu.Tinjauan media di sekitar Pantai Teluk Gadung dan Teluk Lipat juga mendapati, hampir semua homestay habis ditempah dan rata-rata hotel menerima kemasukkan yang tinggi sempena penganjurannya.Malah, rezeki seorang peniaga ais milo kepal juga mencurah-curah apabila beliau berjaya menjual 200 ais kepal bermula dari jam lapan pagi hingga 1.30 petang dengan anggaran pendapatan RM500 untuk setengah hari.
01 Jul 19
527
Raih RM 1,000 Sehari Hasil Jual Keropok Lekor
Oleh : Khairan Mat JusohMARANG, 1 Julai – Seorang peniaga keropok lekor di Wakaf Tapai berjaya meraih pendapatan RM1,000 sehari sepanjang tempoh perayaan Aidilfitri. Pemilik ‘Peza Keropok Lekor Wakaf Tapai’, Faizal Yunos, 32, berkata, dia tidak menyangka mampu memperoleh hasil sebanyak itu.Katanya, permintaan terhadap keropok lekor meningkat sepanjang tempoh itu dan kebanyakannya untuk majlis rumah terbuka hari raya.“Mula-mula sekali saya menerima tempahan katering adalah dengan Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Berangan untuk majlis hari raya DUN tahun lepas, setelah dicadangkan oleh rakan saya sendiri."Bermula dari situlah, tempahan katering seperti ini menjadikan produk saya semakin dikenali dalam kalangan masyarakat sekitar ini,” ujarnya.Dia berkata demikian kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui pada Majlis Rumah Terbuka Kampung Jerong Surau, di sini semalam. Menurut Faizal, usahanya untuk menghasilkan keropok lekor berkualiti selepas diuji dengan masalah kewangan empat tahun lalu, akhirnya membuahkan hasil apabila produknya itu dipuji oleh masyarakat di sekitar Marang.Niatnya juga dalam mencari dan memberi nafkah kepada isteri serta empat orang anak, membuatkan dia terus bersemangat serta berusaha untuk meneruskan perniagaan itu walaupun permulaannya tidak memberikan hasil yang lumayan. “Rasa keropok asli seperti dulu-dulu dengan berkat usaha selama tiga tahun lebih dihabiskan, walaupun permulaan perniagaan saya hanya mampu meraih pendapatan sebanyak RM300 sebulan,” jelasnya lagi. Tambahnya, kini dia bercita-cita untuk mengembangkan lagi perniagaan yang memperoleh RM300 hingga RM500 sehari pada hari biasa itu dengan membuka sebuah kilang kelak.“Bukan sahaja akan memberi peluang pekerjaan kepada orang-orang tempatan, malahan akan menjadikannya salah satu produk pelancongan Negeri Terengganu,” tambahnya.Faizal memiliki sebuah gerai di Wakaf Tapai, berdekatan jalan menuju ke Kuala Berang yang beroperasi dari pukul 11.00 pagi hingga 6.00 petang.
30 Jun 19
830