Artikel "Komuniti" Terkini
Semua Mangsa Banjir Terima Layanan Baik
Oleh : Fatimah Din
MARANG, 3 Disember - Walaupun penat dan terpaksa berhadapan dengan pelbagai kerenah mangsa banjir yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS), ia tidak dijadikan alasan oleh para petugas untuk tidak memberikan layanan yang terbaik kepada mangsa banjir.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong berkata, keadaan itu dapat dilihat sepanjang beliau melakukan tinjauan serta melawat PPS dan situasi itu memberikan keselesaan kepada mereka yang berada di situ.
"Malah mereka turut memuji makanan yang disediakan dikatakan sedap untuk dimakan selain menerima layanan yang baik daripada setiap petugas," ujarnya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika mengadakan lawatan di situ, baru-baru ini.
Mengulas lebih lanjut, petugas yang dimaksudkan itu adalah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), anggota rela dan juga Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK).
"Kesemua mereka telah bertungkus lumus bagi memastikan keadaan terkawal sepanjang masa berlakunya bencana banjir.
"Mudah-mudahan ia dikira sebagai amal ibadat yang dihitung sebagai amanah yang akan dipertanggungjawabkan," katanya.
Untuk rekod, semalam masih mencatatkan 209 keluarga di Seluruh Marang masih berada di sembilan PPS.
03 Dec 24
140
23 Ahli Keluarga Termasuk Dua Bayi Dipindahkan ke PPS
Oleh : Syahida Mohd
KUALA NERUS, 2 Disember – “Semua ahli keluarga saya, termasuk dua bayi dipindahkan ke PPS Padang Air,” luah Mohd Sori, 41, dari Kampung Padang Hangus, yang terpaksa berpindah bersama 23 ahli keluarganya selepas kediaman mereka dinaiki air sejak Jumaat lalu.
Menurut Mohd Sori, tiga rumah milik keluarganya yang terletak berdekatan ditenggelami air hingga tidak lagi selamat untuk didiami.
“Air mula naik ke tangga rumah sejak Jumaat. Sekarang, masih tak boleh masuk rumah sebab air masih bertakung di kawasan itu,” katanya ketika ditemui.
Walaupun terpaksa meninggalkan kediaman, beliau bersyukur kerana kemudahan di PPS termasuk lampin bayi disediakan dengan baik.
Dalam perkembangan sama, Penolong Pegawai Masyarakat Daerah Kuala Terengganu, Mariam Fariha Mat Husin memaklumkan sebanyak 66 keluarga telah mendaftar di PPS Padang Air, namun tidak semuanya menetap di pusat pemindahan tersebut.
“Sebahagian mangsa memilih untuk tinggal bersama saudara-mara, manakala 169 orang lagi kini menetap sepenuhnya di PPS ini,” jelasnya.
Beliau turut memberitahu, walaupun cuaca hari ini cerah, kebanyakan mangsa hanya pulang untuk memantau keadaan rumah sebelum kembali ke PPS kerana jalan ke kediaman mereka masih dinaiki air.
02 Dec 24
129
GLC Terengganu Sumbang RM15,000 Bantu Mangsa Banjir
DUNGUN, 2 Disember- Kumpulan Pengurusan Kayu Kayan Terengganu Sdn Bhd (KPKKT), anak syarikat Golden Pharos Berhad (GPB) menyampaikan sumbangan bernilai RM15,000 kepada 15 Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di DUN Bukit Besi sebagai inisiatif tanggungjawab sosial syarikat (CSR) syarikat kepada masyarakat di negeri Terengganu.
Pengerusi GPB, Dato' Yahaya Ali berkata, sumbangan berkenaan merupakan usaha fasa pertama dan syarikat komited menghulurkan bantuan dalam meringankan beban mangsa-mangsa banjir.
"Kita tidak mendoakan, tetapi kalau berlaku banjir lagi, akan ada kesinambungan yang kita usahakan. Itu merupakan komitmen kami.
"Kita akan aktifkan satu pasukan untuk menguruskan situasi selepas berlakunya banjir yang mana kita sedia maklum pelbagai perkara perlu dilakukan bukan sahaja ketika banjir tetapi, selepas daripadanya seperti pembersihan rumah-rumah dan seumpamanya.
"Kita akan gembleng tenaga daripada Golden Pharos (GP) dan anak-anak syarikatnya termasuk KPKKT, Pesaka (Terengganu Berhad) , Pesama (Pesama Timber Corporation Sdn Bhd), Permint Plywood, GP Forest Plantation dan GP Glass," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui selepas menyampaikan sumbangan di PPS Kampung Pasir Raja, hari ini.
Hadir sama ialah Pengerusi KPKKT, Muhyidin Abdul Rashid, Timbalan Pengurus Besarnya, Ahmad Bazli Razali dan ADUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman yang turut menyampaikan bantuan ke PPS Kampung Jongok Batu dan Kg Syukor.
Yahaya turut memaklumkan, GPB juga komited menjadikan kawasan-kawasan terlibat sebagai anak angkat syarikat dalam usaha memastikan masyarakat di kawasan itu terutamanya mendapat bantuan sewajarnya.
Dalam pada itu, Ghazali sempat merakamkan rasa terima kasih kepada GPB dan anak-anak syarikatnya membantu mangsa-mangsa banjir,
Beliau juga menasihati penduduk terlibat agar terus berjaga-jaga dengan situasi semasa.
"Setakat ini, banjir di Bukit Besi masih dalam kawalan. Kalau kita perhatikan di kawasan lain di Dungun, banjir yang melanda berskala besar dengan sesetengah tempat melibatkan lebih 500 di satu-satu PPS.
"Apa yang penting bagi kita, kita kena terima redha Allah SWT dan kena me'normalisasi' keadaan dengan bersedia menghadapi musim ini.
"Kita kena bersyukur apa yang dikurniakan Allah SWT, apa yang kita dapat dan makan, kita hargai," katanya.
02 Dec 24
292
Syukur,Tiga Projek Baharu Atasi Banjir Lulus Di Kuala Besut - Azbi
BESUT, 3 Disember - Sebanyak tiga projek baharu yang dipohon kepada Menteri Kerjaya Raya, Dato' Seri Alexander Nanta Linggi telah diluluskan serta merta.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Besut, Azbi Salleh Salleh berkata, pihaknya sebelum telah memohon kepada Menteri Kerja Raya itu semasa beliau hadir melakukan tinjaun Projek Tiub Tebatan Banjir baru-baru ini.
"Tiga projek itu ialah membesarkan longkang di sekitar Kem Tentera Udara DiRaja Malaysia Gong Kedak, pembinaan longkang baru di sempadan Pachakan dan yang terakhir pembinaan longkang daripada Masjid Kayu Jerteh ke Kampung Pusu Tinggi," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Azbi merakamkan jutaan terima kasih kepada Elexender yang telah sudi meluluskan projek terbabit serta merta bagi memastikan masalah banjir di Dun Kuala Besut dapat dikurangkan.
02 Dec 24
310
Kebajikan Pesakit Tidak Terabai Di Musim Banjir
Oleh : Abay Cik
MARANG, 2 Disember - Bagi memastikan kebajikan pesakit tidak terabai walau berhadapan situasi banjir, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payong telah mengadakan misi menyampaikan bantuan dan menghantar barangan keperluan.
Pembantu Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Payong, Kamanordin Md Jusoh berkata, pasukan dari pusat khidmat turun ke lapangan bersama Penghulu Mukim, Zafiri Ahmad Zaki membantu menyampaikan barangan keperluan daripada Tabung Darul Iman (TDI).
Ujarnya, antara barangan yang disampaikan seperti lampin pakai buang dan susu khas untuk pesakit.
"Kami berusaha untuk memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat perhatian dan bantuan yang diperlukan terutamanya kepada mereka yang sedang menghadapi cabaran kesihatan dan bencana.
"Misi ini adalah sebahagian daripada komitmen berterusan kami dalam membantu komuniti setempat," ujarnya ketika ditemui pihak Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), selepas menyertai misi menghantar bantuan kepada pesakit, di sini, semalam.
Dalam pada itu katanya, misi yang dijalankan tersebut turut menyasarkan rumah-rumah penduduk yang terkesan banjir.
Seorang penduduk, Zakaria Mohamad berkata telah menjadi lumrah berhadapan situasi itu saban tahun setiap kali menjelangnya musim tengkujuh.
"Tetapi banjir pada tahun ini tidak sebesar sebagaimana yang terjadi pada beberapa tahun lepas," katanya.
02 Dec 24
86
Hanafiah Iring Zahid Santuni Mangsa Banjir
HULU TERENGGANU, 30 November - Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Hanafiah Mat mengiringi Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyantuni mangsa banjir di Terengganu hari ini.
Dalam kunjungan itu, Ahmad Zahid berkata, Kerajaan kini sedang membina 14 Pusat Pemindahan Kekal Bencana (PPKB) di setiap negeri.
"Di Hulu Terengganu kita telah menerima permohonan daripada pemimpin tempatan dan kita akan pertimbangkan untuk fasa kedua.
"Saya telah minta pegawai daerah untuk kenal pasti kawasan yang sesuai bagi pembinaan PPKB ini.
"Peruntukan telah pun ada dan Perdana Menteri sendiri berikan peruntukan keseluruhan kepada NADMA bagi belanjawan tahun depan sebanyak RM600 juta iaitu melebihi RM100 juta daripada peruntukan tahun ini.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan ke PPS Sekolah Menengah Kebangsaan Matang di sini, hari ini.
Turut hadir Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Utiliti dan Pembangunan Luar Bandar negeri, Mohd Zawawi Ismail.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan kerajaan mengagihkan bantuan RM1,000 kepada Ketua Isi Rumah (KIR) yang terjejas banjir di seluruh negara termasuk negeri ini bermula hari ini.
Kata beliau, pihaknya akan memastikan bantuan yang diagihkan kepada setiap KIR yang berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) dan mengikut syarat ditentukan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) akan diterima oleh semua yang terjejas banjir secara berfasa.
"Kita juga meminta kerajaan negeri untuk mengusahakan bantuan dan juga mengadakan dana kecemasan sudah tentu kerjasama antara kerajaan pusat dan negeri yang sangat baik ini akan ditingkatkan.
"Mesti mencari jalan bagi meringankan beban keluarga yang dipindahkan serta rumah-rumah yang mengalami kerosakan serta segala peralatan di rumah yang mengalami kerosakan dapat dibaiki dan diganti.
"Adalah mustahil untuk mana-mana kerajaan sama ada pusat atau negeri untuk memberikan pampasan secara keseluruhan kerana ini adalah 'hand of god', takdir yang melanda dan kita harus istiqamah untuk menentukan bahawa kerjasam semua pihak amat diperlukan bagi mendepani permasalahan ini," ujarnya.
Ahmad Zahid memberi jaminan bahawa kerajaan mempunyai peruntukan secukupnya untuk diagihkan kepada seluruh KIR yang terkesan banjir.
30 Nov 24
179
Infrastruktur, Perumahan, Keselamatan Jadi Fokus Ahli Parlimen Besut
KUALA LUMPUR, 26 November – Ahli Parlimen Besut, Datuk Che Mohamad Zulkifly Jusoh lantang menyuarakan isu kritikal yang membabitkan kebajikan rakyat di Daerah Besut meliputi infrastruktur, pengurusan sisa pepejal, keselamatan komuniti serta perumahan mampu milik.
Katanya, sistem pengurusan sisa pepejal yang lebih cekap adalah perlu di daerah tersebut.
"Pengasingan sisa di peringkat awal kutipan perlu dilaksanakan untuk mengurangkan beban tapak pelupusan, projek waste- to- energy juga boleh menjadi solusi jangan panjang.
"Dengan menukar sisa kepada tenaga altenatif," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Belanjawan 2025 Peringkat Jawatankyasa Bagi Kementeria Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), di sini, hari ini
Dalam pada itu beliau turut mengesa agar pembinaan balai bomba di Pulau Perhentian dibina.
"Kami hanya memerlukan balai berskala kecil bertaraf gred D untuk mempercepatkan masa tindak balas kecemasan seperti kebakaran dan penyelamatan.
"Tapak telah diluluskan sejak 2016, tiada alasan untuk kelewatan,” tegas beliau sambil menekankan jarak 20km dari Pulau Perhentian ke Kuala Besut yang menyukarkan operasi kecemasan.
Menyentuh mengenai isu perumahan pula Zulkifli berkata kurangnya Rumah Mampu Milik (RMM) di Daerah Besut sangat membimbangkan.
"Terutamanya untuk golongan B40 dan M40 (kerana) rakyat Besut menghadapi kesukaran memiliki rumah sendiri.
"Kerajaan perlu membina lebih banyak rumah mampu milik dan melaksanakan inisiatif seperti skim MyHome untuk membantu rakyat mendapatkan rumah pertama,” ujarnya.
Sementara itu katanya, Isu keselamatan juga perlu diberikan perhatian serius khususnya ancaman anjing liar di Besut yang membahayakan penduduk agar kes tragis di Semporna yang melibatkan kematian seorang kanak-kanak akibat diserang anjing liar tidak berlaku di daerah terbabit.
“Saya mahu tindakan tegas diambil terhadap ancaman ini, tetapi dengan mematuhi prosedur yang berhemah, termasuk terhadap mereka yang bertanggungjawab memiliki anjing ini,” katanya.
26 Nov 24
93
Muaz, Hajjah Halimah Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu
SETIU, 22 November - Qari dari Kampung Ladang Bari Sungai Tong, Muhammad Muaz Mokhtar manakala qariah dari Kampung Chalok Lama, Halimah Ibrahim dinobat sebagai johan Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu 1446H/2024M di Masjid Felda Chalok Barat malam tadi.
Dengan keputusan itu, mereka layak membawa pulang hadiah wang tunai RM2,000, selain piala pusingan, plak dan sijil penyertaan.
Tempat kedua pula dimenangi qari dari Kampung Chalok Lama, Zulkifly Mohamed Adnan dan qariah dari Kampung Rahmat, Rozilah Yaacob.
Mereka membawa pulang hadiah RM1,000, cenderamata dan sijil penyertaan.
Tempat ketiga dimenangi qari dari Sungai Tong, Ahmad Al-Mustafa dan qariah dari Kampung Chalok Lama, Dr. Sayuti Mohamed Adnan.
Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh ADUN Langkap, Azmi Maarof diiringi oleh Pegawai Daerah Setiu, Ahmad Rizal Mamat bersama Pegawai Agama Daerah Setiu Ustaz Kamal Mamat.
Terdahulu Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Setiu dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Pertanian Industri Asas Tani, Keterjaminan Makanan dan Komoditi negeri, Dr. Azman Ibrahim selepas solat Maghrib.
22 Nov 24
161
Isu Kepentingan Rakyat Diambil Tindakan Segera
KUALA TERENGGANU, 20 November - Pelbagai isu melibatkan kepentingan rakyat di Telemong perlu diambil tindakan segera oleh pihak berwajib.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Zawawi Ismail berkata, antara yang menjadi rungutan penduduk ialah gangguan hidupan liar, masalah banjir, dan pembangunan pelancongan.
"Masalah gajah dan hidupan liar kerap kali sebut dalam Dewan Undangan Negeri (DUN), mesyuarat Tindakan Daerah pada setiap bulan dan juga dalam media sosial.
"Banyak harta benda rosak, tolonglah ambil tindakan tuntas," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika dalam perbahasan bajet 2025 pada Mesyuarat ketiga Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri Kelima Belas di Dewan Undangan Negeri, Wisma Darul Iman, semalam.
Zawawi turut menyuarakan kebimbangan terhadap kehadiran gajah dan hidupan liar yang semakin kerap mengganggu penduduk.
Tambah beliau, punca utama dikenal pasti adalah penerokaan hutan akibat pembinaan empangan, aktiviti pembalakan, dan pembukaan tanah secara tidak terkawal.
“Pihak bertanggungjawab jangan hanya fikir keuntungan,” tegasnya.
Masalah banjir turut menjadi perhatian, khususnya di kawasan rendah seperti Telemong yang terkesan setiap tahun.
Beliau mencadangkan beberapa langkah mitigasi seperti pembinaan tebatan banjir, pendalaman sungai, dan pembinaan "monsoon drain".
"Biarpun memerlukan kos besar, langkah ini mampu mengurangkan kerugian besar yang ditanggung kerajaan dan rakyat setiap kali banjir melanda," katanya.
Selain itu, beliau menekankan pentingnya memajukan kawasan pelancongan seperti Tasik Kenyir dan Hutan Lipur dan Taman Pertanian Sekayu.
"Kawasan nampak layu dan tidak serancak dulu sejak akhir-akhir ini.
"Punca utama ialah kurang diberi perhatian, terbiar - mari kenyir main air suasana sunyi dan kekurangan perhatian," ujarnya.
Zawawi turut mengingatkan kerajaan tentang janji-janji berkaitan pembangunan perumahan di Bukit Tadok dan pembinaan Masjid Kampung Palas.
Justeru itu, beliau berharap
isu-isu ini diberi perhatian serius dan projek ini dapat dilaksanakan segera bagi memenuhi keperluan rakyat.
20 Nov 24
72
Pemerhati Orang Asli Curi Tumpuan Pembentangan Belanjawan Terengganu
KUALA TERENGGANU, 18 November - Kehadiran 37 pemerhati dari kalangan komuniti orang asli Kampung Sungai Pergam, Kemaman mencuri tumpuan dalam Pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim memaklumkan, kehadiran delegasi berkenaan adalah hasil undangan Menteri Besar Terengganu, Dato' Seri Dr Ir Ahmad Samsuri Mokhtar.
"Asalnya pada bulan Oktober lalu, program Terengganu Volunteers (T-VOLT) turun ke perkampungan orang asli Sungai Pergam dan hasil daripada kunjungan kita menerusi program sukan serta kebajikan di sana, warga penduduk ada sebut tidak pernah sampai di Wisma Darul Iman.
"Jadi saya panjangkan hasrat mereka kepada pihak Dato' Seri Menteri Besar dan YAB kata sedang molek kita undang sempena pembentangan Belanjawan kali ini.
"Mereka datang dengan kerjasama Pejabat Daerah Kemaman, lebih kepada untuk merapatkan hubungan antara orang asli dengan pimpinan utama kerajaan negeri dan pada kita ini satu perkembangan yang baik.
"Kita sangat bersyukur dengan keharmonian antara pelbagai lapisan masyarakat dan penduduk Negeri Terengganu ini," katanya ketika ditemui selepas pembentangan Belanjawan Terengganu 2025 di Wisma Darul Iman, hari ini.
Dalam pada itu, Tok Batin Komuniti Orang Asli Kampung Sungai Pergam, Roslan Semail menyifatkan, kehadiran kali pertama ke Wisma Darul Iman merupakan pengalaman yang baik buat anak-anak buahnya.
"Ke wisma ini kali pertamalah, memang kita sangat terharulah dengan anak buah kita seramai lebih kurang 40 orang ke sini untuk menyaksikan pembentangan Bajet bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu kali ini.
"Kalau boleh (selepas ini) begitulah, kerajaan negeri ambil cakna dengan masyarakat orang asli.
"Kita ada empat kampung di Terengganu iaitu Kampung Sungai Sayap, Kg Sungai Berua, Kg Sungai Pergam dan Kg Keruak," katanya.
Sebagai rekod, Kg Keruak di Besut dihuni oleh suku Bateq, manakala di Sungai Sayap dan Sungai Berua, Hulu Terengganu dihuni suku Bateq dan Semoq Beri.
Kg Pergam di Kemaman pula dihuni tiga suku kaum iaitu Bateq, Jakun dan Semoq Beri.
18 Nov 24
233