lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

116 Kanak-Kanak Sertai Khatan Perdana Rhu Rendang
116 Kanak-Kanak Sertai Khatan Perdana Rhu Rendang
MARANG, 19 Januari- Seramai 116 kanak-kanak menyertai Program Khatan Perdana 2025 peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang yang diadakan di Masjid Rhu Muda, di sini, semalam. Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Hassan Awang berkata, program berkenaan bukan sahaja memenuhi tuntutan agama tetapi turut mencipta suasana penuh keceriaan dengan pelbagai aktiviti menarik. “Ini adalah acara tahunan yang akan terus kita laksanakan dan alhamdulillah, sambutan pada tahun ini sangat luar biasa dengan 116 penyertaan, lebih ramai berbanding tahun sebelumnya.  “Saya mengucapkan terima kasih kepada ibu bapa yang hadir dan mendaftarkan anak-anak mereka dan juga Masjid Rhu Muda yang bekerjasama erat menjayakan program ini. “Syukur kepada Allah SWT, hari ini anak-anak kita menjalani salah satu ibadah penting dalam Islam. Saya berharap program seperti ini dapat diteruskan demi kebaikan dan manfaat masyarakat di DUN Rhu Rendang,” ujarnya ketika berucap di majlis tersebut. Turut hadir, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Haron Yusof. Menurut Hassan, sempena program berkhatan secara beramai-ramai itu, para peserta diarak mengelilingi kampung, diiringi oleh ahli keluarga dan penduduk setempat.  “Acara diteruskan dengan siraman air bomba yang menghidupkan suasana ceria dan menjadikan pengalaman ini lebih bermakna buat anak-anak,” ujarnya. Dalam pada itu katanya, Program Khatan Perdana turut diserikan dengan Mini Karnival Jom Ke Masjid, yang menawarkan pelbagai aktiviti menarik untuk semua lapisan masyarakat.  “Antaranya ialah ceramah agama, permainan Supa Dupa, dan penyertaan pelbagai agensi seperti KWSP, AADK, YAPEIM, dan lain-lain.  “Kehadiran agensi-agensi ini memberikan peluang kepada masyarakat untuk mendapatkan informasi dan khidmat nasihat secara terus,” ujarnya.  
19 Jan 25
193
Basong Rangers Mula Beraksi Awasi Serangan Gajah Liar
Basong Rangers Mula Beraksi Awasi Serangan Gajah Liar
HULU TERENGGANU, 14 Januari – Pasukan komuniti pertama di Kampung Basong, Hulu Terengganu, yang dikenali sebagai Basong Rangers, kini memulakan operasi mengawal pencerobohan gajah liar di kawasan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Kebudayaan Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Negeri, Datuk Razali Idris berkata kerajaan telah memperuntukkan RM500,000 setiap tahun untuk kerja penyelenggaraan dan pembersihan SPEG bagi memastikan keberkesanannya dalam mengurangkan serangan gajah liar. “Basong Rangers ditubuhkan sebagai projek perintis yang melibatkan kerjasama erat antara komuniti dengan Pejabat Daerah Hulu Terengganu, Jabatan PERHILITAN, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) serta beberapa agensi lain. “Pasukan ini bertanggungjawab memantau dan mengambil langkah segera dalam mengawal pencerobohan gajah liar di Kampung Basong,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas Program Operasi Bersepadu Basong Rangers Kali 1/2025 bertempat di Pos Kawalan Sementara Kampung Basong semalam. Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Telemong, Mohd Zawawi Ismail, Pegawai Daerah Hulu Terengganu, Lizan Mat dan Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superitendan Zainul Mujahidin Mat Yudin. Media pada 5 Oktober lalu melaporkan seorang lelaki warga emas yang dilaporkan hilang selepas dipercayai keluar ke kebunnya di Kampung Basung, ditemui maut dengan kesan lebam seluruh badan dan hidung berdarah. Mayat Musa Ahmad, 65, dijumpai kira-kira jam 7 pagi dalam semak yang dikatakan laluan gajah liar di kawasan bawah laluan kabel berhampiran kebunnya.    
14 Jan 25
459
ADUN Kijal Hulur Bantuan Segera kepada Pesakit Strok
ADUN Kijal Hulur Bantuan Segera kepada Pesakit Strok
KEMAMAN, 13 Januari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, menghulurkan bantuan segera kepada seorang pesakit strok, Mohd Adnan Ali dalam program Ziarah Kasih yang diadakan di Kampung Ibok, semalam. Razali berkata bantuan tersebut merangkumi sebuah katil khas bagi memudahkan penjagaan harian dan beberapa bantuan lain. "Dahulunya, Saudara Adnan merupakan usahawan yang dikenali seorang yang rajin bekerja demi mencari rezeki untuk keluarganya. “Sama-sama kita doakan agar beliau segera sembuh, dan saya akan terus memastikan Saudara Adnan mendapat perhatian serta bantuan yang diperlukan,” katanya kepada pemberita selepas program berkenaan. Dalam pada itu, Razali turut melawat seorang mangsa kemalangan, Razali Rahim, di Kampung Bukit Kuang yang baru sahaja keluar dari Hospital Kemaman selepas menjalani pembedahan. "Saya berharap dengan ziarah seperti ini, bukan sahaja dapat membantu meringankan beban golongan yang memerlukan, tetapi juga memberi semangat kepada mereka untuk terus kuat menghadapi cabaran. “Program Ziarah Kasih ini akan diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan masyarakat yang memerlukan sentiasa mendapat perhatian,” ujarnya.            
12 Jan 25
60
Nelayan, Penoreh Getah Terima Bantuan Bencana
Nelayan, Penoreh Getah Terima Bantuan Bencana
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman KUALA NERUS, 12 Januari - Seramai 250 nelayan dan penoreh getah yang terjejas akibat monsun baru-baru ini menerima bantuan kewangan dan keperluan asas daripada kerajaan negeri. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, bantuan berkenaan diharap mampu meringankan beban golongan terbabit. "Pihak Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa cakna terhadap kebajikan rakyat negeri ini dan menjadikan perkara kebajikan sebagai fokus utama. "Diharapkan sumbangan yang diberikan ini dapat meringankan beban yang dihadapi selepas mereka hilang mata pencarian akibat perubahan cuaca," katanya. Beliau berkata demikian ketika Majlis Penyampaian bantuan berbentuk kewangan dan keperluan asas terbabit hari ini. Majlis yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dun Tepoh dengan kerjasama Pejabat Ahli Parlimen Kuala Nerus itu turut dihadiri oleh Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato’ Dr. Alias Razak, Penolong Pegawai Daerah Kuala Nerus (Pembangunan Masyarakat), Izzudin Abdul Aziz dan Ketua Pegawai Eksekutif GPQ Sdn Bhd, Noor Suhaimi Ismail. Menurut Hishamuddin, anak syarikat Terengganu Incorporated, GPQ turut tampil membantu para nelaya dan penoreh di DUN terbabit. "Mereka menyumbang zakat wakalah sebagai salah satu bantuan kepada penduduk setempat bagi tujuan pelaksanaan Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) syarikat," jelasnya. Tindakan pihak prihatin ini dipuji oleh penerima dan menyatakan mereka sentiasa dibantu oleh Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) masing-masing yang menjadi tempat untuk penduduk mendapatkan bantuan jika terputus bekalan keperluan asas.  
12 Jan 25
183
Warga Marang, Polis Gotong Royong Bersih Kubur
Warga Marang, Polis Gotong Royong Bersih Kubur
Marang, 13 Januari- Program gotong-royong membersih tanah perkuburan berhampiran Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Marang di sini mendapat kerjasama yang menggalakkan daripada masyarakat setempat termasuk Jawatankuasa Pembangunan Dan Keselamatan Kampung (JPKK) kijing, warga IPD Marang dan kakitangan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang. Ketua Polis Marang, Supt Mohd Sofian Redzuan, berkata program gotong royong yang diadakan di kawasan perkuburan itu bertujuan memastikan ia sentiasa dalam keadaan bersih dan terjaga. “Membersihkan kawasan perkuburan yang lama terbiar ini adalah satu tanggungjawab mulia. Ia bukan sahaja untuk kebersihan tetapi juga sebagai tanda penghormatan kepada mereka yang telah pergi,” katanya ketika ditemui pemberita, di sini, semalam. Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Najmuddin Rani menyeru waris kepada mereka yang telah dikebumikan di tersebut berkenaan agar aktif dalam menjaga dan menziarahi tanah perkuburan itu. “Marilah kita bersama-sama menjaga kawasan perkuburan ini agar tidak lagi terbiar. Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah menjayakan program gotong-royong ini,” katanya. Katanya, mereka yang menyertai gotong-royong berkenaan memberikan komitmen tinggi dalam kerja-kerja pembersihan seperti memotong rumput, mengutip sampah, dan merapikan kawasan sekitarnya. "Ia diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang pentingnya menjaga kebersihan kawasan perkuburan sebagai salah satu bentuk penghormatan dan kebajikan," ujarnya.      
12 Jan 25
100
Khairunnisa'  Hulur Bantuan Kepada 100 Mangsa Banjir
Khairunnisa'  Hulur Bantuan Kepada 100 Mangsa Banjir
SETIU, 6 Januari – Khairunnisa’ Terengganu menghulurkan bantuan kepada 100 mangsa dari empat Dewan Undangan Negeri (DUN) di kawasan tersebut sebagai tanda keprihatinan terhadap mereka yang terjejas akibat musibah. Pengerusinya, To’ Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman berkata, program tahunan yang telah memasuki tahun keenam itu bertujuan meringankan beban golongan mangsa yang terlibat dengan musibah alam. Selain itu, katanya, acara sebegini dapat mengeratkan hubungan antara pasukan Khairunnisa', kepimpinan setempat, serta komuniti yang terlibat. "Matlamat utama ialah sebagai tanda keprihatinan dan kecaknaan pihak kami terhadap rakyat di negeri ini. "Di samping mengeratkan ukhuwah dengan mangsa banjir dan kami ingin mereka merasa  bahawa mereka tidak keseorangan menghadapi ujian ini,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika berucap dalam program Sumbangan Banjir Khairunnisa' Terengganu ke Kawasan Setiu di Dewan Sivik, Gong Terap, pada hari ini. Tuan Faizah turut menjelaskan bahawa setiap tahun, Khairunnisa’ akan memilih satu kawasan untuk menyalurkan sumbangan kepada mangsa banjir dan pada tahun ini, kawasan Setiu menjadi lokasi pilihan. Tambah beliau, bantuan yang disampaikan berbentuk barangan dapur dan sumbangan wang tunai. “Meskipun sumbangan ini tidak besar, ia diharap mampu membawa sedikit keceriaan kepada mangsa banjir yang diuji dengan musibah ini. “Kehadiran kami adalah tanda cakna dan solidariti bersama mereka yang terkesan,” ujar beliau. Selain di Terengganu, Khairunnisa’ turut menyampaikan bantuan ke negeri-negeri lain seperti Pahang dan Kelantan.  Tambahnya, Pasukan Khairunnisa’ dijadualkan ke DUN Gual Periok, Rantau Panjang, Kelantan pada 13 Januari ini bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa banjir di sana. “Mungkin bantuan yang diberikan tak banyak mana tetapi boleh melahirkan rasa gembira ada orang cakna memberi sumbangan kepada mangsa banjir. "Kami berharap dengan sedikit bantuan ini dapat membantu sedikit sebanyak keperluan yang diperlukan oleh mangsa banjir. "Semoga ujian yang diterima menatijahkan sesuatu yang lebih baik, seperti munculnya keindahan pelangi setelah berhentinya hujan,” katanya. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada agensi seperti Polis Diraja Malaysia (PDRM), Bomba, RELA, Jabatan Amal, Khidmat Malaysia, dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) setempat yang banyak membantu semasa musim banjir Justeru itu, Tuan Faizah berharap  dengan usaha kecil ini dapat meringankan beban merek dan memberi semangat baharu kepada mangsa banjir untuk terus bangkit. Sementara itu, seorang penduduk DUN Jabi, Kamariah Mustafa, 63, melahirkan rasa syukur dan terima kasih kepada pihak Khairunnisa atas sumbangan yang diberikan. Menurut Kamariah, bantuan itu sedikit sebanyak telah meringankan beban yang dihadapinya selepas terpaksa berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Renek akibat banjir baru-baru ini. “Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada pihak Khairunnisa atas keprihatinan mereka terhadap nasib kami yang terjejas.   “Sumbangan ini benar-benar membantu meringankan beban kami, terutama selepas segala penat-lelah berpindah demi keselamatan dalam meneruskan kehidupan selepas bencana,” katanya ketika ditemui.
06 Jan 25
197
15 Tan Sampah Berjaya Dikumpulkan
15 Tan Sampah Berjaya Dikumpulkan
KUALA NERUS, 4 Januari - Sebanyak 15 tan sampah berjaya dikumpulkan dalam Program Bersih Pantai Monsun Terengganu yang dianjurkan oleh kerajaan negeri membabitkan Pantai Batu Buruk dan Pantai Seberang Takir. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, usaha melalui program yang dijalankan itu bermatlamat bagi mengembalikan keindahan pesisir pantai terbabit. "Ini bagi memastikan ia menjadi petunjuk kepada masyarakat bahawa menjaga kebersihan pantai ini sangat penting kerana ia merupakan produk pelancongan negeri Terengganu. "Kita akan perluaskan lagi program ini di seluruh daerah, dan usaha pembersiahan pantai ini akan diteruskan lagi melalui program 'Terengganu Bersih' yang akan dilaksanakan pada April," ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita semasa hadir ke program berkenaan, yang diadakan di sini, hari ini. Mengulas lebih lanjut mengenai program yang diadakan itu, katanya ia melibatkan 1,000 peserta dari pelbagai lapisan masyarakat termasuk anak syarikat kerajaan negeri, agensi swasta serta komuniti setempat. Juga mendapat kerjasama antaranya dari Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Selain itu turut terlibat Terengganu Incorporated Sdn. Bhd. , Petronas Pantai Timur dan NGO Geng Plastik Ija. Sementara itu Razali berkata pihaknya kerajaan negeri bercadang untuk menjadikan program Bersih Sampah Monsun itu sebagai aktiviti tahunan.  "Usaha ini adalah bukti komitmen kerajaan negeri terhadap pemeliharaan alam sekitar serta menyokong pembangunan yang lestari. "Ia bukan sahaja menjadi platform kebersihan tetapi juga simbol kerjasama komuniti dalam menjaga warisan semula jadi negeri,"katanya.
04 Jan 25
180
ADUN, Komuniti Kijal Bantu Warga Emas Diuji Strok
ADUN, Komuniti Kijal Bantu Warga Emas Diuji Strok
KEMAMAN, 2 Januari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris bersama komuniti setempat berganding bahu membantu seorang warga emas, Yaacob Chik, 82, yang diuji dengan penyakit strok sejak tiga bulan lalu.   Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Payoh, Yahya Ismail berkata bantuan diberikan termasuk katil hospital boleh laras bagi memudahkan penjagaan harian beliau.  Katanya, usaha tersebut turut melibatkan kerjasama erat antara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan JPKK Kampung Payoh. “Kami memahami kesukaran yang dialami oleh saudara Yaacob dan keluarga dan diharapkan bantuan ini dapat meringankan beban mereka," katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) pada hari ini.   Yahya berkata, Yaacob merupakan seorang bekas penoreh getah yang gigih menyara keluarganya suatu ketika dahulu. Namun ujarnya, setelah diserang strok, beliau tidak lagi mampu bekerja dan kini bergantung kepada penjagaan ahli keluarga. "Sebelum ini, beliau tinggal bersama anak bongsunya di Batu 14, namun setelah diserang penyakit, beliau berpindah ke Kampung Payoh untuk mendapatkan penjagaan lebih rapi daripada ahli keluarga yang lain," jelasnya.   Tambah beliau, pihak JPKK turut menyeru agar lebih banyak pihak tampil membantu golongan yang memerlukan, terutamanya warga emas seperti Yaacob yang sedang berdepan ujian kehidupan.   “Kesungguhan ADUN Kijal, JKM, dan komuniti menunjukkan betapa pentingnya sokongan padu dalam memastikan kebajikan penduduk terpelihara. "Semoga Yaacob diberikan kesembuhan dan kekuatan dalam menempuh ujian ini,” ujarnya.  
02 Jan 25
187
Sukarelawan Syariah Dungun Dilancarkan Ambang Tahun Baru 2025
Sukarelawan Syariah Dungun Dilancarkan Ambang Tahun Baru 2025
DUNGUN, 1 Januari - Skuad Sukarelawan Syariah Kawasan Dungun dilancarkan sempena ambang tahun baru 2025 bagi memperkasakan gerakan dakwah di kawasan berkenaan, malam tadi. Naib Yang Dipertua Pas Kawasan Dungun, Wan Hapandi Wan Nik berkata, penubuhan Sukarelawan Syariah dengan penglibatan seramai 100 sukarelawan tu diharap dapat mengurangkan gejala tidak bermoral di kalangan masyarakat di daerah itu. "Tahniah kepada Lajnah Dakwah PAS Dungun kerana telah berusaha mewujudkan skuad ini. "Skuad ini bukan semata - mata untuk menangkap pelaku jenayah syariah, sebaliknya kita akan turut mendidik masyarakat  dan menimbulkan kesedaran untuk membina generasi muda yang lebih baik," katanya ketika berucap merasmikan pelancaran Skuad Sukarelawan Syariah Kawasan Dungun. Dalam program sama, skuad berkenaan memulakan 'langkah pertama' dengan turun melakukan rondaan dan mengedarkan risalah kempen pencegahan jenayah syariah di kawasan bandar Dungun, Pengarah Program Skuad Sukarelawan Syariah Dungun, Ridzuan Mohd Noor berkata, rondaan secara berkala itu akan dilakukan di sekitar kawasan ‘panas’ yang sering dikunjungi anak muda dan pasangan pasangan yang belum berkahwin. "Semoga dengan rondaan ini menjadi asbab kepada mereka untuk tidak lagi membuat maksiat, Insya-Allah.  "Terima kasih kepada semua petugas Sukarelawan Syariah Kawasan Dungun, Penguatkuasa Pejabat Agama Daerah Dungun dan Polis Daerah Dungun yang sentiasa menyokong kami," katanya.
01 Jan 25
851
Peniaga Santan Terharu Terima Sumbangan
Peniaga Santan Terharu Terima Sumbangan
KUALA TERENGGANU, 31 Disember – Seorang peniaga santan, Rozimah Abdullah, 47 tahun, dari Kg Gong Kekabu, Bukit Payung, tidak dapat menahan perasaan sebak apabila menerima sumbangan berharga melalui Program Komuniti Usahawan hari ini.  Bantuan yang diterima dalam bentuk mesin proses santan, kereta tolak dan beberapa peralatan perniagaan lain diharapkan dapat memberikan dorongan baru untuk memperkasa perniagaannya yang dimulakan pada Mac 2024. Rozimah, yang memulakan perniagaannya tanpa pengalaman, berkongsi rasa syukur dan terima kasih atas bantuan yang diterima.  “Saya sangat terharu dengan kehadiran Yang Berhormat (YB)  Ariffin dan pegawai Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU) pada hari ini.  “Saya tidak menyangka akan menerima bantuan ini, apatah lagi dalam keadaan yang baru memulakan perniagaan,” ujarnya dengan nada penuh emosi. Beliau juga meluahkan rasa terima kasih yang mendalam kepada kerajaan negeri atas keprihatinan yang diberikan kepada peniaga kecil sepertinya.  “Saya ucapkan ribuan terima kasih kepada YB  dan kerajaan negeri.  “Semoga mereka dimurahkan rezeki, diberikan kesihatan yang baik, dan dipermudahkan segala urusan,” katanya. Ibu kepada tiga orang anak itu memulakan perniagaan santan di Bukit Payung sebelum berpindah ke halaman rumahnya pada Mei 2024.  Walaupun tanpa pengalaman dan menghadapi pelbagai cabaran, dia tetap bersemangat untuk terus menjalankan perniagaan demi masa depan keluarganya.  Bantuan yang diterimanya hari ini diharap dapat meringankan beban dan memberi impak positif dalam memperkembangkan lagi perniagaannya.
31 Dec 24
245