Artikel "Komuniti" Terkini
Terengganu Bukan Negeri Kebajikan Tetapi Berkebajikan
KUALA TERENGGANU, 3 Februari – Konsep negeri berkebajikan terus diperjuangkan di Terengganu dengan penekanan bahawa bantuan kepada golongan memerlukan adalah tanggungjawab bersama antara kerajaan dan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional Negeri, Maliaman Kassim berkata, rakyat perlu memahami bahawa Terengganu bukanlah sebuah 'negeri kebajikan' di mana segala keperluan hanya bergantung kepada kerajaan semata-mata, sebaliknya sebuah negeri 'berkebajikan' yang menuntut penglibatan aktif masyarakat dalam membantu mereka yang memerlukan.
"Kita kena ubah minda dan persepsi masyarakat kerajaan bantu rakyat, rakyat bantu kerajaan.
"Kita juga perlu mengambil cakna terhadap jiran sekeliling. Jika ada orang susah, adakah kita hanya mengharapkan kerajaan menyelesaikannya? Sebaliknya, ini adalah tanggungjawab bersama," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media dalam sidang media selepas Majlis Amanat Tahun Baharu dan Perhimpunan Bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat negeri Terengganu bilangan 1 tahun 2025 di Dewan Sinar Harapan, pada hari ini.
Selain itu, beliau turut menekankan kepentingan keikhlasan dalam bekerja serta integriti yang bukan hanya berdasarkan pemerhatian pihak atasan tetapi lahir daripada nilai amanah dan tanggungjawab.
Dalam konteks kesihatan mental, fizikal, dan rohani keluarga dan masyarakat memainkan peranan penting dalam menjaga kesejahteraan individu.
"Kesihatan rohani sangat penting dalam kehidupan kita.
"Rohani perlukan kepada pemakanan dan bagaimana kesihatan rohani kita menyebabkan kehidupan menjadi tenang.
"Suasana yang berlaku sekarang ini ialah berkaitan dengan kesihatan mental, spiritual, banyak berlaku berkaitan kecelaruan minda menyebabkan satu suasana yang boleh menyebabkan kekerasan dan penghinaan.
"Jadi apa yang kita tekan di sini ialah kita persiapkan diri dengan persiapan mental dan juga perasaan spritual suapaya kita ada kekuatan berdepan dengan kecelaruan masyarakat yang berlaku sekarang ini.
"Dengan suasasana tekanan hidup meningkat , ekonomi, boleh menyebabkan kita tak terkawal, boleh jadi stress," ujar Maliaman.
Justeru itu, beliau turut mengharapkan agar tenaga kerja Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mempunyai kekuatan mental dan semangat juang yang tinggi untuk menangani tekanan kerja dalam membantu golongan memerlukan.
Selain itu, kita harapkan kakitangan J akan membantu ahli masyarakat untuk menjadi sukarelawan dalam membantu masyarakat supaya bebanan dan tanggungjawab ini tidak dipikul oleh ahli JKM sahaja tetapi itu adalah tanggungjawab bersama.
"Kakitangan JKM memang dibayar gaji untuk menjalankan tugas, tetapi anggota masyarakat juga tidak boleh melepaskan diri daripada tanggungjawab ini.
"Kita semua perlu bersama-sama menjaga kestabilan dan keharmonian, seperti yang dapat kita lihat dalam insiden di Chukai baru-baru ini.
"Tanpa kehadiran pegawai JKM, masyarakatlah yang perlu bertindak," tambahnya.
Beliau berharap konsep negeri berkebajikan ini terus diterapkan dalam jiwa rakyat Terengganu agar kebajikan bukan hanya menjadi tanggungjawab kerajaan, tetapi juga seluruh masyarakat.
03 Feb 25
194
Kerajaan Negeri Komited Bangunkan Sukan Badminton
Oleh: Muhammad Zulkifli Sulaiman
KUALA TERENGGANU, 2 Februari - Kerajaan negeri komited membangunkan sukan badminton dalam usaha melahirkan atlet berkaliber yang dapat bersaing di peringkat antarabangsa.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri Terengganu, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya akan terus memberikan perhatian kepada pembangunan sukan di pelbagai peringkat bagi melahirkan lebih ramai atlet berkaliber.
“Sukan badminton wajar untuk bangkit sekali gus dapat membekalkan anak negeri yang berpotensi dalam mewakili negara suatu hari nanti,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan Majlis Penyerahan Barang Tajaan Persatuan Badminton Terengganu di Hotel Permai, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Presiden Persatuan Badminton Terengganu, Azmi Mamat serta Pengasas REKEK, Syed Kamal Rizuan Syed Omar.
Majlis tersebut juga menyaksikan penyerahan set lengkap keperluan atlet oleh Syarikat Protech Sports Malaysia Sdn Bhd.
Katanya, dengan sokongan daripada syarikat-syarikat yang prihatin seperti Protech Sports dan REKEK diharapkan Terengganu akan dapat melahirkan lebih ramai atlet badminton yang berdaya saing di peringkat kebangsaan dan antarabangsa.
02 Feb 25
155
Aset Koperasi Di Terengganu Cecah RM700 Juta
KUALA TERENGGANU, 2 Februari – Gerakan koperasi di Terengganu semakin berkembang dengan 839 koperasi berdaftar melibatkan lebih 240,000 ahli dan aset bernilai RM700 juta.
Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, koperasi memainkan peranan penting dalam membantu ekonomi rakyat, terutama dalam keusahawanan dan kebajikan.
"Koperasi ini milik masyarakat dan jika diurus dengan baik, ia boleh memberi manfaat besar kepada ahli serta komuniti," katanya ketika berucap di Majlis Perasmian Kedai Serbaneka Koperasi Masjid bertempat di Masjid Padang Mengkuang, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengarah Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) Negeri Terengganu, Awang Ruslli Mohammad.
Sementara itu, Awang Ruslli berkata, pihak SKM menyediakan pelbagai bantuan kepada koperasi.
"Bantuan tersebut seperti geran percuma hingga RM300,000 dan pinjaman tanpa cagaran hingga RM200,000.
"Tahun lalu saja, lebih RM100 juta pinjaman diberikan kepada koperasi di Terengganu. Ini membuktikan potensi besar koperasi dalam menjana ekonomi rakyat.
"Di Terengganu ada lebih 500 masjid. Jika setiap masjid ada koperasi dan jalankan aktiviti ekonomi, kita boleh lihat perubahan besar dalam ekonomi umat Islam," ujarnya.
02 Feb 25
1334
Bukan Melayu Terengganu Tak Terpinggir
KUALA NERUS, 23 Januari – Kerajaan Negeri Terengganu terus mempelbagaikan program melibatkan masyarakat bukan Melayu Islam bagi memperkukuhkan perpaduan dan keharmonian kaum di negeri terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO negeri, Hishamuddin Abdul Karim berkata, pihaknya tidak ketinggalan menganjurkan aktiviti ziarah komuniti Tionghua di Kampung Pulai Baharu, Tepoh bagi mengukuhkan perpaduan antara kaum.
Katanya, program agihan limau Mandarin yang dijalankan petang semalam itu menjadi simbolik hubungan erat antara Kerajaan Negeri dan masyarakat pelbagai kaum.
“Program agihan limau Mandarin ini adalah usaha tahunan pihak Kerajaan Negeri untuk meraikan kepelbagaian budaya di Terengganu.
"Kami berpegang teguh kepada prinsip bahawa setiap rakyat, tanpa mengira kaum dan agama, adalah sebahagian daripada keluarga besar negeri ini. Agenda perpaduan dan keharmonian antara kaum sentiasa menjadi keutamaan kami,” ujar Hishamuddin selepas program itu.
Turut hadir Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Pulai Baharu, Lai Liang Qing bersama pimpinan setempat lain.
Tahun ini, sebanyak 250 kotak limau Mandarin telah diagihkan kepada komuniti Tionghua di kawasan DUN Tepoh, termasuk JPKK Pulai Baharu, JPKK Taman Perumahan Wakaf Tembesu, JPKK Padang Air, JPKK Padang Nenas, JPKK Gong Badak 4, dan JPKK Jeram Hulu.
Hishamuddin sendiri hadir bagi menyampaikan sumbangan kepada penduduk Kampung Pulai Baharu, manakala agihan di kawasan lain diselaraskan melalui Pengerusi JPKK masing-masing sebelum sambutan Tahun Baharu Cina.
Menurut ADUN Tepoh itu lagi, sumbangan tersebut diharap dapat memberikan kegembiraan dan keceriaan kepada masyarakat Tionghua sempena sambutan Tahun Baharu Cina.
Dalam pada itu, 'Uncle Ho', salah seorang penerima bantuan, menyatakan rasa terharu dengan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap masyarakat Tionghua di kampung tersebut.
“Kami rasa dihargai dan disayangi. Terima kasih atas usaha Kerajaan Negeri Terengganu yang tidak pernah mengabaikan komuniti kami,” katanya.
Selain itu, Hishamuddin turut memaklumkan beberapa program lain yang dirancang selepas perayaan ini untuk terus mengeratkan hubungan dengan komuniti Tionghua.
"Antaranya ialah Jamuan Makan Malam di Dewan Kampung Pulai Baharu, yang dianjurkan bersama oleh JPKK Kampung Pulai Baharu dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Tepoh.
“Pendekatan ini bukan sekadar simbolik, tetapi mencerminkan keikhlasan kerajaan dalam memastikan tiada kaum yang merasa terpinggir. Terengganu adalah negeri yang majmuk dan aman, dan kita akan terus berusaha mengekalkan keharmonian ini demi generasi akan datang,” tambah beliau.
Usaha ini menjadi bukti jelas bahawa Kerajaan Negeri Terengganu sentiasa komited dalam menjaga kebajikan semua rakyatnya, tanpa mengira bangsa dan agama, sekali gus memperkukuh semangat perpaduan antara kaum di negeri ini.
26 Jan 25
1134
Aktiviti ATV Di Bukit Lubuk Batu Bantu Ekonomi Penduduk Setempat
MARANG, 26 Januari - Aktiviti ATV antara tarikan terbaharu di Bukit Lubuk Batu yang berupaya membantu ekonomi penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Lubuk Batu, Mohd Zaid Ibrahim berkata, laluan yang disediakan termasuk terowong lumpur, jalan berbatu serta air terjun yang pastinya menguji kemahiran pemandu ATV disamping menjanjikan keindahan alam sekitar.
"Aktiviti ATV ini tercetus apabila ramai pengunjung yang datang untuk mendaki bukit tersebut, dan kini mereka boleh menikmati pengalaman baru yang lebih mencabar dan menyeronokkan.
"Kami mahu memberi satu pengalaman yang berbeza kepada pengunjung dan pada masa yang sama, menarik lebih ramai pengunjung ke Bukit Lubuk Batu.
"Ini juga membantu ekonomi penduduk setempat, seperti penyediaan perkhidmatan dan produk tempatan," katanya kepada pemberita.
Mengulas lanjut katanya, sambutan terhadap produk baharu tersebut sangat menggalakkan dan pihaknya bercadang memperluaskan aktiviti tersebut pada masa akan datang.
"Dengan sambutan yang positif, aktiviti ini bukan sahaja memberi peluang kepada pengunjung untuk menikmati keindahan alam, tetapi juga memberi manfaat kepada ekonomi kampung dan membuka peluang pekerjaan kepada penduduk setempat.
"Pengunjung yang ingin mencuba aktiviti ATV ini boleh hadir ke pejabat urusan yang terletak di kaki bukit Lubuk Batu.
"Pejabat dibuka setiap hari dari jam 9 pagi hingga 5.30 petang dan untuk pendaftaran serta maklumat lanjut boleh hubungi talian 019-5101681," ujarnya.
26 Jan 25
269
Anak Bukit Payong Johan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri
MARANG, 24 Januari- Dua anak kelahiran Bukit Payong, Wan Sofea Aini Wan Mohd Zahidi dan Wan Amirul Shamnie Wan Rosli dinobat johan qari dan qariah pada pertandingan Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu 2025 yang berlangsung di Arena Merdeka, Dungun, malam tadi.
Wan Sofea Aini mempamerkan bacaan yang merdu dengan penghayatan mendalam, tajwid yang tepat, dan suara yang memukau sekali gus menjadikannya johan qariah pada pertandingan tersebut.
Sementara itu, Wan Amirul Shamnie turut mencuri tumpuan dengan bacaan yang penuh tertib, intonasi yang indah serta penguasaan yang cemerlang terhadap seni tarannum, melayakkannya bergelar johan qari.
Kedua-dua mereka akan membawa nama Terengganu ke peringkat kebangsaan, bersaing dengan wakil negeri lain dalam mengagungkan seni bacaan Al-Quran.
Sebagai penghargaan, mereka masing-masing menerima hadiah wang tunai, trofi, dan sijil penghargaan.
Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Negeri Terengganu dianjurkan bertujuan memperkasakan hubungan masyarakat dengan Al-Quran, di samping mencungkil bakat baharu dalam kalangan generasi muda.
Kemenangan dua wakil dari DUN Bukit Payong ini menjadi kebanggaan buat penduduk setempat.
Semoga kejayaan ini menjadi inspirasi kepada masyarakat untuk terus mendalami dan memuliakan Al-Quran.
24 Jan 25
4937
Lebih 40 Peserta Berentap Dalam 'Cabaran 4x4 Kapong Kiter'
MARANG, 21 Januari - Lebih 40 peserta dijangka akan berentap dalam 'Cabaran 4x4 kapong Kiter' yang dijadualkan berlangsung pada 25 dan 26 Januari ini di trek Bukit Jelulong, di sini.
Presiden Kelab 4x4 Kapong Kiter, Amran Zakaria berkata, sehingga kini jumlah peserta yang telah mendaftar seramai 40 orang.
"Kita anggarkan jumlah itu akan bertambah kerana di hari pertandingan juga kami masih menerima peserta yang ingin mendaftar secara '‘walk-in’," ujarnya.
Katanya, sebanyak dua kategori dipertandingkan iaitu kenderaan panjang dan pendek manakala jenis litar yang akan digunakan nanti hanyalah litar jenis 'light core'.
"Doakan kami supaya dapat mempertandingkan litar jenis 'hard core' pada masa akan datang," ujarnya.
Tambah beliau, pelbagai cabaran yang terpaksa dihadapi dalam usaha pihaknya menganjurkan program berkenaan.
“Cabaran untuk anjur program ni banyak, antaranya kewangan, cuaca, lokasi dan bekalan elektrik. Tapi yang paling mencabar adalah dari segi kewangan kerana kelab kami ini masih baru," ujarnya.
Menurut Amran, program berkenaan turut medapat perhatian Exco Pelancongan Negeri Terengganu, Datuk Razali Idris dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
"Kita harap pertandingan sebegini dapat mewujudkan satu lagi produk pelancongan di daerah ini sekali gus memberi limpahan ekonomi kepada peniaga setempat dan dalam masa yang sama menaikkan imej kampung.
"Oleh itu, kita sangat mengalu-alukan penduduk setempat hadir memeriahkan pertandingan malah hadiah cabutan bertuah yang disediakan juga sangat menarik," ujarnya.
20 Jan 25
178
"Serahkan Kepada Pihak Polis Menjalankan Siasatan" - EXCO Terengganu
KEMAMAN, 20 Januari - Serahkan kepada pihak polis menjalankan siasatan dan mahkamah mengadili dengan sebaik-baiknya, demikian ujar EXCO Kerajaan Terengganu.
Hanafiah Mat yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai mengharapkan kejadian seperti Jumaat lalu melibatkan seorang lelaki Orang Kurang Upaya (OKU) mental dipukul oleh beberapa individu di Pasar Tani Padang Astaka, Cukai tidak akan berulang lagi.
"Mereka yang ada ahli keluarga mempunyai masalah mental perlulah memberikan perhatian dan menjaganya dengan baik serta manfaatkan dengan sebaiknya ubat yang dibekalkan oleh pihak doktor.
"Saya juga menyeru kepada seluruh masyarakat kita ini agar mempunyai etika kehidupan yang lebih berhemah dan tidak melepaskan geram terutama di khalayak ramai serta perlu mempunyai sifat-sifat kesabaran dan memaafkan dengan apa yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita, hari ini.
Katanya lagi, walaupun dalam keadaan spontan dan rasa sangat marah, janganlah mengambil tindakan yang dilihat seperti ganas yang boleh mendatangkan kegusaran dan kebimbangan di kalangan masyarakat.
"Jadi saya harap peristiwa yang berlaku ini akan menjadi satu pengajaran ataupun pedoman kepada masyarakat khususnya di Kemaman dan juga seluruh negeri Terengganu, ujarnya.
Dalam pada itu Hanafiah turut mengingatkan kepada semua pihak agar tidak menjadikan isu ini sebagai isu politik kerana kerajaan negeri sentiasa memberi perhatian kepada semua golongan samada OKU, persatuan penjaja ataupun pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
20 Jan 25
150
Kerajaan Negeri Kukuhkan Hubungan Strategik Dengan Penjara Terengganu
KUALA TERENGGANU, 20 Januari - Kerajaan negeri mengorak langkah baru bagi mengukuhkan lagi hubungan strategik bersama pengurusan Penjara Negeri Terengganu baru-baru ini.
Menteri Besar, Dato’ Seri Ir. Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pertemuan bersama pihak pengurusan Penjara Negeri Terengganu itu diadakan bagi membuka ruang untuk memastikan keterjaminan kelangsungan hidup prospek (banduan).
“Dalam pertemuan ini, pelbagai isu penting telah dibincangkan, termasuk kerjasama strategik, inisiatif rehabilitasi, dan pembangunan modal insan.
“Khususnya bagi prospek dan bekas prospek, serta langkah-langkah memperkasa keselamatan dan pemulihan komuniti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam satu hantaran akaun Facebook rasminya semalam.
Turut hadir Pengarah Penjara Negeri Terengganu, PKK Mohd Nasir Yusof, Ketua Institusi Penjara Negeri Terengganu dan pegawai-pegawai kanan Penjara Negeri Terengganu dalam kunjungan itu.
Mohd Nasir juga memaklumkan tentang kerjasama Penjara Negeri Terengganu dengan Bank Simpanan Nasional (BSN) dalam pelaksanaan program iTEKAD kepada prospek yang akan dibebaskan kelak.
“Program ini, yang diperkenalkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) dengan sokongan beberapa Institusi Kewangan Islam (IKI), bertujuan membangunkan usahawan mikro dalam kalangan asnaf dan B40.
“Semoga usaha murni ini dipermudahkan," katanya.
20 Jan 25
122
Lucas Isa Tarik Perhatian Ramai, Kanak-Kanak Termuda Sertai Khatan Perdana
MARANG, 19 Januari – Penyertaan Lucas Isa Ahmad,4, seorang kanak-kanak kacukan Perancis-Malaysia yang menyertai Program Khatan Perdana 2025 DUN Rhu Rendang menarik perhatian ramai.
Lucas merupakan cahaya mata kepada pasangan Danial Benoit Julian seorang warga Perancis yang berkahwin dengan penduduk tempatan, Noraini Anwar merupakan peserta termuda menyertai progam berkhatan secara beramai-ramai yang diadakan di Masjid Rhu Muda, semalam.
Menurut Noraini, dia memilih untuk mendaftarkan anaknya mengikut program tersebut kerana tertarik dengan pengisiannya.
“Program khatan perdana ini adalah cadangan daripada ibu saudara saya selepas mengetahui hasrat saya untuk mengkhatankan anak saya (Lucas).
“Di Perancis, proses khatan dilakukan seorang demi seorang di klinik, tetapi di sini suasananya sangat berbeza dan menyeronokkan. Berkhatan beramai-ramai memberikan pengalaman yang sangat berharga buat anak saya,” kata Noraini ketika ditemui pemberita pada program tersebut.
Sementara itu, suaminya Danial Benoit Julian turut melahirkan rasa kagum terhadap program tersebut.
“Saya sangat teruja dengan suasana meriah ini. Doktor yang mengkhatankan Lucas kelihatan sangat profesional dan tenang, dan keseluruhan program ini sangat tersusun.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada pihak penganjur atas pengalaman yang luar biasa ini,” katanya.
Noraini turut berkongsi, suaminya pertama kali menyaksikan tradisi khatan ini, termasuk acara siraman air bomba yang menghidupkan suasana.
“Saya menerangkan kepada suami bahawa inilah cara khatan di Malaysia. Kalau dulu, budak-budak akan mandi sungai sebagai persediaan. Tradisi ini sangat berbeza daripada apa yang biasa dilihat di Perancis,” ujarnya.
Kehadiran Lucas Isa Ahmad dan keluarganya memperlihatkan bagaimana tradisi ini dapat merentas sempadan budaya dan memberi pengalaman bermakna kepada semua.
19 Jan 25
257