lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Zawawi Juara Urutan Asia Tenggara
Zawawi Juara Urutan Asia Tenggara
KEMAMAN, 14 Februari - Terengganu terus mencipta nama di persada dunia apabila mengharumkan nama negara (Malaysia) setelah berjaya memenangi gelaran SouthEast Asia Massage Championship 2025.  Zawawi  Abdullah, 41, berkata dia tidak menjangkakan kemenangan tersebut dan berasa sangat teruja apabila diumumkan sebagai pemenang. Katanya, pertandingan itu melibatkan lebih 150 peserta (lelaki dan perempuan) daripada 11 buah negara termasuk Thailand, Singapura, Taiwan, Indonesia, Vietnam, Myanmar, Laos, Brunei, Cambodia dan Philippines. "Syukur Alhamdulillah, pada awalnya saya hanya menyasarkan tempat dalam kalangan 20 terbaik namun tidak menyangka rezeki memihak kepada saya ketika itu. "Saya ingin berterima kasih kepada semua pihak yang banyak memberikan sokongan kepada saya selama ini terutamanya ibu, adik beradik, kawan-kawan, guru-guru dan bekas-bekas pelajar saya," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman ketika ditemui. Tambahnya, semua peserta adalah pemenang dan dalam urutan tiada siapa yang paling hebat kerana yang menilai adalah pelanggan itu sendiri. "Jika pelanggan itu selesa dengan kita, maka kitalah yang terbaik bagi mereka. Kita juga adalah pemenang jika kita memanfaatkan kemahiran ini dengan sebaiknya," ujarnya. Zawawi yang sebelum itu memenangi tempat pertama dalam kategori Spa & Wellness Massage kemudian bersaing di peringkat seterusnya bersama pemenang-pemenang kategori lain bagi merebut gelaran juara keseluruhan SouthEast Massage Championship 2025. Kejohanan tersebut telah diadakan pada 24-26 Januari lalu dan berlangsung di Movenpick Hotel, Sepang. Katanya lagi, dia berharap suatu hari nanti dapat membuka sebuah akademi urutan di negeri Terengganu ini. "Macam saya sendiri ketika ingin belajar dulu, harga kelas urutan kebiasaanya agak mahal dan juga biasanya kelas-kelas ini di luar negeri Terengganu. "Jadi ianya akan melibatkan yuran, penginapan, pengangkutan, makan minum dan lain-lain yang menyebabkan kos keseluruhan menjadi sangat tinggi. "Oleh yang demikian, saya berharap dapat membuka satu akademi urutan bagi memudahkan kepada mereka yang berminat untuk mendalami bidang urutan ini," ujarnya.  Zawawi mula meminati bidang urutan sejak berusia lapan tahun apabila mewarisi minat ini daripada arwah datuknya. Dia mula menjadikan minat tersebut sebagai kerja sampingan sejak tahun 2005 dan telah berkecimpung sepenuh masa sebagai kerjayanya pada tahun 2016. Beliau telah menerima pengiktirafan dalam bidang ini selepas menyertai beberapa akademi seperti Avicenna Academy Malaysia di Kajang, Selangor dan Malaysia Institute of TVET Educators (MITE) di Cyberjaya, Selangor. Dalam pada itu, mana-mana pihak yang ingin mendapatkan khidmat urutannya boleh hubungi di talian 017-7606097 atau boleh terus ke AZ Massage Treatment yang beralamat di 3034 Jalan Senangin Kampung Geliga, 24000 Kemaman, Terengganu. Kebiasaannya, harga urutan bermula serendah RM30 sehingga RM250 mengikut kepada tempoh masa dan jenis urutan yang diinginkan oleh pelanggan.      
14 Feb 25
926
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Sediakan Peluang Pekerjaan
Karnival Indahnya Hidup Bersyariat Sediakan Peluang Pekerjaan
KUALA TERENGGANU, 12 Februari - Karnival Indahnya Hidup Bersyariat tidak hanya menyajikan program ceramah perdana, bengkel solat, pameran agensi ataupun sukaneka semata-mata sebaliknya ia turut menyediakan peluang pekerjaan kepada mereka yang sedang mencari kerja. Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, peluang untuk mendapatkan pekerjaan itu terhidang apabila Terengganu Human Reource Development Centre (THRDC) akan membawa majikan ke program itu nanti. "Ia akan memberikan peluang pekerjaan sempena Karnival IHB dan Bulan Penghayatan Isra' Mikraj Peringkat Daerah Marang. "Antara majikan yang menawarkan pekerajaan (di program itu) adalah, TM One, Bumi Teraju Resources Sdn Bhd. In Saff Travel & Tours Sdn Bhd. E-Beca dan Tarbiyaah Kreatif," ujarnya melalui satu kenyataan di facebooknya, di sini, kelmarin. Justeri beliau menyeru agar mereka yang sedang mencari pekerjaan untuk hadir ke program terbabit terutama komuniti berada berdekatan Masjid Rawai, Marang yang menjadi lokasi pilihan pada kali ini. "Jangan lepaskan peluang ini untuk menghadiri temuduga terbuka pada jam 9.00 pagi hingga 5.00 petang pada 13 hingga 14 Februari. "Jom daftar untuk temuduga terbuka di link atau scan kod Qr dalam poster https://bit.ly/tprogramterkini,"ujarnya. Selain itu apa yang menarik di Karnival IHB yang menjadi tumpuan ramai ialah Pasar Berkat yang menawarkan harga sangat berpatutan iaitu ayam RM10 seekor, daging RM23 sekilogram, sayur-sayuran RM1 seikat serta satu treler ikan murah.  
12 Feb 25
208
Nasib Pesakit Buah Pinggang di Kijal Dapat Perhatian ADUN
Nasib Pesakit Buah Pinggang di Kijal Dapat Perhatian ADUN
KEMAMAN, 12 Februari – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, menziarahi seorang pesakit buah pinggang tahap lima, Nor Azlan Mohd Ghazali di Kampung Bukit Kuang, Kijal, hari ini bagi melihat sendiri keadaan pesakit dan keluarganya. Dalam lawatan itu, Razali menyampaikan bantuan keperluan harian serta sumbangan kewangan bagi meringankan beban mereka. “Saya turut meluangkan masa berbual dengan pesakit dan ahli keluarga untuk memahami lebih lanjut kesulitan yang dihadapi, terutama kos rawatan dialisis yang tinggi. “Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) turut hadir dan menyerahkan bantuan khas bagi membantu pesakit yang memerlukan rawatan berterusan. “Selain itu, proses pembayaran bagi rawatan dialisis pesakit sedang dalam tindakan, dengan permohonan sedang diusahakan bersama Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM),” katanya kepada pemberita selepas Program Ziarah Kasih ADUN Kijal berkenaan. Razali berkata pihaknya juga sedang berusaha untuk memohon bantuan sara diri bagi pesakit dan isterinya yang merupakan penjaga utama agar mereka mendapat sokongan yang lebih berterusan. ”Kita akan terus bantu dan pastikan segala urusan berkaitan rawatan dan kebajikan mereka dipermudahkan. “Orang ramai yang ingin membantu boleh menghubungi pusat khidmat DUN Kijal bagi mendapatkan maklumat lanjut. "Saya mendoakan agar Encik Azlan dan keluarga tabah dalam menghadapi ujian ini dan Semoga diberikan kesembuhan, kekuatan, dan rawatan terbaik," ujarnya.                                
11 Feb 25
121
Kerajaan Sedia Insentif Galak Anak Muda Ceburi Pertanian
Kerajaan Sedia Insentif Galak Anak Muda Ceburi Pertanian
Oleh : Fatimah Din MARANG, 11 Februari – Kerajaan menyediakan pelbagai insentif untuk memberi galakan kepada golongan muda melibatkan diri dalam bidang pertanian.  Pegawai Pertanian Daerah Marang, Nik Mohd Hafizul Nik Sufian berkata, setiap tahun bantuan berbentuk geran seperti infrastruktur, peralatan, khidmat nasihat dan kursus akan disalurkan kepada yang layak. "Sebagai contoh, kerajaan menyediakan Geran Agropreneur Muda yang dikhaskan untuk golongan muda yang berumur 18 hingga 43 tahun yang berbentuk bantuan dari segi peralatan, input pertanian dalam RM20,000 setiap seorang petani,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wakil UPDI di pejabatnya di sini, baru-baru ini. Selain itu katanya, geran tambahan juga turut disediakan bagi petani yang ingin menaik taraf ladang atau kebun mereka.  "Antara khidmat sokongan teknikal ialah tentang kesesuaian tanah untuk projek pertanian, kami turut ada pakar holistik yang boleh memberi khidmat nasihat tentang ancaman pada tanaman. "Bagi anak muda yang ingin menceburi bidang pertanian tetapi 'zero' dalam bidang ini , disarankan menjalankan aktiviti pertanian terlebih dahulu dan kemudian boleh datang ke pejabat kami untuk mendapatkan khidmat nasihat,” ujarnya.  
11 Feb 25
289
173 Nelayan Rhu Rendang Terima  Sumbangan TDM Berhad
173 Nelayan Rhu Rendang Terima  Sumbangan TDM Berhad
Oleh : Muhammad Hibatul Jihadi Mad Daud MARANG, 11 Februari – Seramai 173 nelayan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang menerima sumbangan TDM Berhad dan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang dalam satu majlis yang diadakan di Dewan Pejabat DUN terbabit, semalam. Pengarah Pusat Khidmat Masyarakat DUN Rhu Rendang, Hassan Awang berkata, majoriti penduduk di DUN berkenaan sememangnya bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber utama pendapatan sejak dahulu hingga kini. “Kebiasaan apabila tiba musim tengkujuh, para nelayan tidak dapat menjalankan aktiviti di laut kerana keadaan cuaca yang tidak sesuai.  “Angin kencang dan ombak besar menyukarkan mereka untuk turun ke laut terutama yang menggunakan bot kecil,” ujarnya kepada pemberita selepas selesai program tersebut. Katanya, pihaknya sentiasa mengambil cakna terhadap isu ini dan berusaha membantu golongan nelayan yang terjejas.  “Dalam hal ini, TDM Berhad memainkan peranan penting sebagai anak syarikat kerajaan negeri yang melaksanakan tanggungjawab sosial korporat kepada masyarakat di negeri ini. “Selain menjana ekonomi negeri, TDM Berhad turut memberi perhatian kepada kesejahteraan rakyat melalui pelbagai inisiatif bantuan sosial. “Saya ingin merakamkan penghargaan dan terima kasih kepada pengurusan tertinggi TDM serta seluruh staf dan kakitangannya atas usaha murni ini,” ujar beliau.  
11 Feb 25
54
Monsun KIAM: Ajar Kepimpinan Holistik, Bina Jati Diri 56 Remaja
Monsun KIAM: Ajar Kepimpinan Holistik, Bina Jati Diri 56 Remaja
BESUT, 9 Februari – Program kepimpinan bersama 56 remaja, Monsoon KIAM: 'Kembara Al-Kahfi', anjuran Akademi Kepimpinan Al-Fateh (AKAF) berjaya mendidik generasi muda agar memiliki daya kepimpinan menerusi pendekatan holistik. Dengan tema ‘Ini Bukan Sekadar Kem, Tetapi Satu Perjalanan’, peserta terbabit dalam pelbagai aktiviti pembangunan diri, kepimpinan dan fizikal yang dirancang untuk memperkasa minda serta memiliki semangat berpasukan. Setiap aktiviti yang dilaksanakan menekankan elemen kepimpinan yang praktikal, merangkumi pembangunan kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, serta pembentukan daya kepimpinan yang berkesan.   Peserta program, Izhamdi Abdullah berkata dia sangat bersyukur kerana berpeluang untuk menyertai program itu. Menurut Izhamdi, program itu mengajarnya sudut pandangan baharu mengenai selok-belok kepimpinan.   "Program ini  telah mengubah cara saya berfikir tentang erti kepimpinan melalui aktiviti yang mencabar seperti 'hiking' dan 'team building' benar-benar membantu saya membina keyakinan diri dan belajar pentingnya kerja berpasukan,” katanya. Dia berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui disini, baru-baru ini. Turut berkongsi pengalaman, ibu kepada salah seorang peserta, Asma Wahap, menyuarakan persetujuannya terhadap program yang telah dijalankan itu. "Platform Akademi Kepimpinan Al-Fateh ni sangat bagus untuk jadi tempat anak-anak berlatih. ‘Circle’ yang menyokong sangat penting.   “Nampak dia (Aisyah)  pun gembira sangat dengan kawan-kawan baru walaupun baru kenal dalam program tu," ujar Asma. Terdahulu, program yang berlangsung di Kem Damai Beach Resort selama tiga hari dua malam itu memberi pendedahan melalui pelbagai aktiviti bersifat holistik. Antaranya termasuk Tadabbur Surah Al-Kahfi, Jati Diri Muslim, Pembinaan Karakter Pemimpin, Ilmu Menuju Kejayaan, aktiviti team building, hiking, flying fox, dan pelbagai modul dinamik lain. Kejayaan Monsoon KIAM mendorong AKAF untuk menjadikannya sebagai program tahunan bagi melahirkan pemimpin muda yang mampu berbakti kepada masyarakat dan negara dengan mengekalkan nilai Islam dan identiti rakyat Terengganu.
09 Feb 25
82
Perhilitan Tangkap, Pindah Gajah Liar Ceroboh Taman Pertanian Sekayu
Perhilitan Tangkap, Pindah Gajah Liar Ceroboh Taman Pertanian Sekayu
HULU TERENGGANU, 6 Februari –Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Terengganu berjaya menangkap seekor gajah liar jantan yang berkeliaran di sekitar Kampung Sekayu, di sini, pada Ahad lalu. Ketua Pusat Konservasi Gajah Terengganu (PKGT) Sungai Deka, Mohd Happy Mohd Noor, berkata operasi penangkapan itu dijalankan susulan aduan daripada Taman Pertanian Sekayu yang bimbang dengan kehadiran mamalia berkenaan yang dipercayai keluar dari habitat asalnya di kawasan hutan berhampiran. "Seramai 19 anggota Perhilitan terlibat dalam operasi ini yang dijalankan selama lima hari berturut-turut. "Hasil pemantauan dan kawalan yang dilaksanakan, kami berjaya menangkap seekor gajah jantan dewasa berusia kira-kira 12 tahun dan seberat kira-kira dua tan. "Gajah ini dipercayai sebahagian daripada kumpulan gajah yang semakin kerap memasuki kawasan perkampungan dalam usaha mencari makanan,"  berkata demikian ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) hari ini. Menurut Mohd Happy , pihaknya akan segera memindahkan gajah berkenaan ke habitat yang lebih selamat bagi mengelakkan konflik dengan manusia. Tambahnya, operasi pemindahan dijangka dilakukan dalam masa terdekat dengan bantuan pasukan khas daripada Pusat Konservasi Gajah Terengganu. Beliau turut menasihatkan penduduk agar tidak bertindak sendiri atau melakukan provokasi terhadap haiwan liar tersebut kerana ia boleh menjadi agresif dan berbahaya. "Orang ramai dinasihatkan untuk segera melaporkan kepada pihak Perhilitan sekiranya terserempak dengan gajah liar supaya tindakan sewajarnya dapat diambil," tambahnya. Pihak Perhilitan juga akan terus melakukan pemantauan dan kawalan di kawasan terjejas bagi memastikan keselamatan penduduk serta harta benda dan kelestarian hidupan liar di negeri ini terjamin.
06 Feb 25
211
Bantuan Awal Persekolahan Bantu Ringan Beban Keluarga
Bantuan Awal Persekolahan Bantu Ringan Beban Keluarga
KUALA TERENGGANU, 6 Februari- Rata-rata penerima bantuan awal persekolahkan merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan atas keprihatinan yang sedikit sebanyak meringankan beban kewangan keluarga. Salah seorang penerima, Aisyah Mohammad Isa Raja, 33, berkata, dia sangat bersyukur atas bantuan yang diberikan kepada golongan memerlukan. "Alhamdulillah, kami amat bersyukur kerana pihak Yang Berhormat (YB) telah meringankan beban kami sekeluarga. Sepanjang perkhidmatan YB, kami telah menerima pelbagai bantuan daripada pihak kerajaan, dan ini sangat membantu kami," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menerima bantuan tersebut dalam satu majlis yang disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong di Mydin Mall Kuala Terengganu, baru-baru ini. Menurut Aisyah, bantuan tersebut diharap dapat diteruskan dan diperluaskan kepada lebih ramai keluarga yang benar-benar memerlukan. "Dengan kos hidup yang semakin tinggi, ramai rakyat yang sedang menghadapi kesusahan. Bantuan seperti ini amat bermakna buat kami," ujarnya. Sementara itu, Sulaiman berkata, bantuan awal persekolahan itu diberikan kepada keluarga yang memerlukan bersempena dengan sesi persekolahan 2024/2025 yang akan bermula tidak lama lagi. "Bantuan ini bertujuan untuk membantu meringankan beban ibu bapa dalam menyediakan keperluan anak-anak bagi menghadapi seisi persekolahan yang baru. "Bantuan yang diberikan tidak hanya berupa pakaian sekolah, tetapi juga kelengkapan lain yang diperlukan," ujarnya. Katanya, program tersebut adalah salah satu usaha berterusan pihak kerajaan untuk memastikan tidak ada anak yang tercicir daripada pendidikan walaupun dalam keadaan ekonomi yang mencabar.
06 Feb 25
691
Khatan Perdana di Hulu Besut Meriah
Khatan Perdana di Hulu Besut Meriah
BESUT, 6 Februari – Seramai 100 kanak-kanak telah menyertai Program Khatan Beramai-Ramai yang berlangsung dengan penuh meriah di Masjid Bukit Payong, Dewan Undangan Negeri (DUN)Hulu Besut. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Besut Mohd Husaimi Hussin berkata pelbagai gelagat peserta yang dapat disaksikan, ada yang ceria, tenang, dan tidak kurang juga yang sedikit gementar tapi pengalaman ini pasti menjadi kenangan terindah sepanjang hayat mereka. "Program ini bukan sahaja menjadi simbol keberanian kanak-kanak yang melangkah ke fasa baru dalam kehidupan, tetapi juga memperkukuhkan amalan sunnah dalam Islam. "Selain itu, khatan turut diiktiraf sebagai satu amalan yang bermanfaat dari sudut kesihatan dan kebersihan. "Ia bukan sekadar memenuhi tuntutan agama, malah memupuk ukhuwah Islamiah serta semangat keberanian dalam diri anak-anak,"ujarnya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), di sini, baru-baru ini. Dalam pada itu beliau mengucapkan Setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pihak yang telah bertungkus-lumus menjayakan majlis ini yang turut melibatkan ibu bapa, petugas kesihatan dari Farmasi Ibnu Sina, Bomba Jerteh, pihak Masjid Bukit Payong serta semua yang telah menjayakannya. "Tanpa usaha dan komitmen mereka, program ini tidak akan dapat direalisasikan dengan jayanya.. "Semoga semua peserta khatan diberikan kesembuhan yang cepat dan kembali aktif seperti biasa. Selamat berpantang, dan semoga Allah SWT melimpahkan keberkatan kepada kita semua,"katanya.
06 Feb 25
158
Terengganu Perkukuh Penguatkuasaan Larangan Hiburan dan Kawalan Jualan Di Bulan Ramadan
Terengganu Perkukuh Penguatkuasaan Larangan Hiburan dan Kawalan Jualan Di Bulan Ramadan
KUALA TERENGGANU, 4 Februari – Kerajaan negeri tetap teguh dalam memperkukuh penguatkuasaan undang-undang berasaskan Islam dengan menekankan larangan hiburan di premis tertentu serta kawalan ke atas aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan tahun ini. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dato' Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, langkah penguatkuasaan ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan negeri dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam. Menurutnya, ia termasuk penguatkuasaan larangan hiburan di premis-premis tertentu serta kawalan terhadap aktiviti jualan di bulan Ramadan. "Antara tindakan yang bakal diambil termasuklah larangan penganjuran hiburan di premis-premis tertentu sepanjang Ramadan bagi memastikan umat Islam dapat menumpukan perhatian kepada ibadah. "Dalam menjadikan negeri Terengganu sebagai sebuah negeri yang bersyariat, penekanan bukan sahaja perlu diberikan kepada pendidikan dan kesedaran masyarakat. "Malah aspek penguatkuasaan undang-undang Islam juga perlu ditekankan," ujarnya dalam satu hantaran Facebook rasminya baru-baru ini. Terdahulu beliau telah mengadakan satu mesyuarat yang turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah, Dr. Muhammad Khalil Abdul Hadi bagi membincangkan pengisian dan penguatkuasaan aktiviti jualan sepanjang bulan Ramadan yang akan tiba tidak lama lagi. Menurut Wan Sukairi, penguatkuasaan ini juga akan melibatkan pemantauan yang lebih ketat oleh pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) bagi memastikan semua premis mematuhi garis panduan yang telah ditetapkan. "Langkah-langkah ini juga sejajar dengan dasar kerajaan negeri dalam mengekalkan nilai-nilai Islam dalam kalangan masyarakat. “Semoga usaha ini mendapat keberkatan daripada Allah SWT dan membuahkan hasil yang positif dalam membentuk masyarakat yang lebih patuh kepada ajaran Islam,” tambah beliau.  
04 Feb 25
326