Artikel "Komuniti" Terkini
Akta Pembaharuan Semula Bandar Berdepan Risiko Manipulasi
KUALA TERENGGANU, 26 Februari – Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim, menolak cadangan Akta Pembaharuan Semula Bandar atas alasan ia membuka ruang manipulasi oleh pemaju dan berpotensi menjejaskan hak pemilik strata.
Beliau menegaskan bahawa undang-undang baharu itu tidak menyediakan perlindungan sewajarnya kepada pemilik hartanah, sebaliknya memberi kelebihan kepada pemaju dalam proses pembaharuan bandar.
Menurut beliau, cadangan menurunkan had persetujuan pemilik strata daripada 100% kepada 51% boleh menyebabkan pemilik hilang kuasa dalam membuat keputusan penting berkaitan hak milik mereka.
“Kita perlukan undang-undang yang benar-benar melindungi pemilik hartanah, bukan yang membuka ruang manipulasi oleh pemaju,” katanya.
Datuk Ahmad Amzad turut mencabar Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian (JKPTG) untuk menyatakan pendirian mereka berhubung cadangan penurunan ambang persetujuan tersebut.
Beliau menegaskan bahawa persetujuan secara prinsip terhadap akta ini tidak bermaksud menyokong cadangan yang berpotensi merugikan pemilik strata selain menolak dakwaan bahawa penentangannya terhadap akta ini bermaksud menolak usaha memperbaiki kualiti hidup penduduk bandar.
Sebaliknya, beliau menegaskan bahawa sebarang pembaharuan perlu dilakukan dengan teliti agar tidak mengorbankan hak pemilik hartanah demi kepentingan pihak tertentu.
“Besar perbezaan antara Garis Panduan Pembaharuan Semula Bandar yang sedia ada dengan cadangan akta baharu ini. Usaha memperbaharui bandar tidak seharusnya menggugat hak pemilik hartanah,” tambahnya.
Menurut Datuk Ahmad Amzad, pendekatan semasa pemerintahan Perikatan Nasional (PN) menitikberatkan kepentingan rakyat melalui garis panduan yang mengekalkan prinsip persetujuan 100% pemilik strata dalam sebarang projek pembaharuan. Pendekatan sebegini memastikan pemaju wajib berunding dengan semua pemilik tanah sehingga kata sepakat dicapai, sekali gus melindungi kepentingan sosial dan pemilikan rakyat.
Sebaliknya, cadangan akta baharu berkenaan dilihat memberi ruang kepada pemaju untuk melaksanakan projek meskipun tanpa persetujuan semua pemilik, mewujudkan risiko manipulasi dan potensi penindasan terhadap pemilik strata.
“Undang-undang baharu memerlukan penelitian mendalam kerana setiap seksyen dan ayat mempunyai implikasi besar kepada masyarakat. Rakyat perlukan perlindungan melalui undang-undang yang adil, bukannya undang-undang yang hanya memihak kepada pemaju,” tegas beliau.
26 Feb 25
152
'Allah Beri Kami Peluang Kedua’
KEMAMAN, 25 Februari – ‘Allah beri kami peluang kedua’, itulah ungkapan yang menggambarkan perasaan pelajar-pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Bandi selepas bas sekolah yang dinaiki mereka terbabas dan melanggar pokok, awal pagi tadi.
Dalam kejadian yang berlaku sekitar jam 6.50 pagi di Jalan Kampung Sungai Mas menuju ke Kampung Padang Kubu, enam pelajar mengalami kecederaan selepas bas yang membawa mereka hilang kawalan sebelum merempuh pokok di tepi jalan.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris, turut meluangkan masa menziarahi mangsa serta bertemu keluarga mereka untuk bertanya khabar dan memberikan sokongan moral.
Sementara itu, Siti Nur Ariana Abdullah, 16 yang berasal daripada Ladang Tebak, tidak menyangka perjalanan ke sekolah pagi itu berakhir dengan kejadian yang mencemaskan.
“Saya duduk seperti biasa. Tiba-tiba, bas bergerak ke tepi jalan dan melanggar pokok. Kemudian, keadaan dalam bas bergoyang dan kepala saya terhantuk pada pemegang tempat duduk di hadapan.
“Saya sempat melihat beberapa kawan-kawan lain turut tercedera, termasuk seorang rakan yang mengalami pendarahan hidung yang tidak berhenti,” katanya kepada pemberita ketika lawatan ADUN Kijal ke Kampung Ladang Tebak, hari ini.
Sementara itu, Nurul Shahirah Mohd Rosli, 13, yang sedang tidur ketika kejadian berlaku, terkejut apabila dia tersedar dalam keadaan cemas dan berdarah di bibir.
”Saya tidur ketika itu dan bila bangun, saya terkejut dan rasa pening, tengok bibir pun dah berdarah.
“Walaupun mengalami kecederaan, kami bersyukur kerana terselamat dalam kemalangan pagi tadi dan menerima rawatan dan berada dalam keadaan stabil,” jelasnya.
Menurut salah seorang lagi mangsa, Nur Hidayah Ghazali, 16, dia hanya mula menyedari apa yang berlaku selepas bas melanggar pokok.
”Mula-mula tak rasa apa, macam tak dengar. Bila dia brek, baru rasa hentakan tu. Lepas tu dah rasa macam kabur.
"Semoga semua rakan-rakan saya terlibat dalam kemalangan diberi kesembuhan segera dan kejadian seperti ini tidak berulang lagi,” ujarnya.
25 Feb 25
677
Street Dakwah-Hijab Talk di Pasar Malam Tarik Minat Rakyat
Oleh: Amira Amijuddin
BESUT, 24 Februari – Program Street Dakwah-Hijab Talk yang diadakan sempena Terengganu Hijab Day berlangsung dengan penuh meriah di Pasar Malam Pasir Akar, menarik perhatian ramai pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat.
Ketua Nisa Besut, Rafidah Razak, berkata acara itu bertujuan meningkatkan kesedaran mengenai kepentingan hijab sebagai simbol maruah dan ketaatan kepada syariat Islam.
"Program ini bukan sahaja memberi kesedaran tentang nilai-nilai Islam tetapi juga menjadi inspirasi kepada wanita Muslimah untuk terus istiqamah dalam menutup aurat," katanya ketika dihubungi hari ini.
Menurutnya, program ini dianjurkan oleh Beliawanis I-MiTS Hulu Besut, Nisa Besut, DUAT, dan UPDI.
Beliau berharap ia dapat meningkatkan kefahaman masyarakat tentang hijab sebagai lambang kesederhanaan, kesopanan, dan ketaatan kepada perintah Allah SWT.
"Saya berharap program ini dapat memberikan inspirasi dan motivasi kepada wanita-wanita di luar sana untuk terus istiqamah dalam menutup aurat dan memelihara maruah diri.
"Semoga Terengganu Hijab Day ini dapat diteruskan pada masa akan datang," katanya.
Tambah Rafidah, sambutan luar biasa daripada pengunjung menunjukkan keberkesanan pendekatan dakwah secara santai dan terbuka dalam mendidik serta menarik minat masyarakat mengenai kepentingan berhijab.
"Semoga program seperti ini dapat diteruskan untuk terus menyemarakkan kesedaran dalam kalangan wanita Muslimah mengenai kepentingan berhijab dengan penuh kefahaman dan keyakinan," ujarnya lagi.
Antara pengisian menarik sepanjang program ialah edaran risalah dan stoking percuma kepada pengunjung wanita, kuiz interaktif, serta hadiah cabutan bertuah yang menambah kemeriahan acara.
Selain itu, kemuncak program ialah ceramah bertajuk Hijabku, Maruahku yang disampaikan oleh Ustaz Nik Roslan Mustaffa, Pembantu Penyelia Latihan I-MiTS Hulu Besut.
24 Feb 25
354
Sembang Usahawan Rapatkan Jurang Usahawan Dan Agensi
Oleh : Fatimah Din
Foto : Ammaar Salehuddin
MARANG, 23 Februari - Program Sembang Usahawan berupaya merapatkan jurang antara para usahawan dengan agensi yang terlibat.
Pengerusi Portfolio Keusahawanan, Sumber Manusia, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna Negeri Terengganu, Ariffin Deraman berkata, secara tidak langsung ia juga membantu usahawan membangunkan ekonomi setempat.
"Program ini juga dapat memantau aktiviti pembangunan perniagaan dan menyalurkan maklumat.
"Selepas lapan daerah kita pergi, saya bercadang untuk pergi ke Dewan Undangan Negeri (DUN) pula," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat berkata demikian ketika berucap merasmikan program itu di Dewan Majlis Daerah Marang di Kampung Paya, di sini, baru - baru ini.
Pada program tersebut, sebanyak 14 agensi telah mengambil bahagian antaranya Yayasan Pembangunan Usahawan (YPU), Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) , Majlis Daerah Marang (MDM), Pejabat Daerah Marang, Amanah Ikhtiar Malaysia, Tekun Nasional, Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO), Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDM) , MARA, SME CORP, SKM, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam, Majlis Agama Islam, Agensi Kaunseling Dan Pengurusan Kredit.
Sementara itu, menurut beliau terdapat 78 Industri Kecil Sederhana (IKS) seluruh Terengganu dan ramai diantaranya berkolaborasi dengan pihaknya sehingga dapat mengembangkan perniagaan mereka ke luar negara.
"Kami juga turut menubuhkan Majlis Usahawan Koperasi, Peniaga Kecil Peringkat Daerah Marang.
"Selain itu Kerajaan Negeri juga telah memperuntukkan sebanyak RM8 juta untuk disalurkan kepada IKS, " ujarnya.
24 Feb 25
122
Rakyat Perlu Buat Bantahan Tegas Terhadap URA
KUALA TERENGGANU, 23 Februari - Usaha untuk menghalang Akta Pembaharuan Semula Bandar (URA) terletak di tangan rakyat dengan cara menunjukkan bantahan yang keras terhadap akta itu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, dengan cara itu ia akan menghalang hasrat DAP untuk teruskan akta yang bakal menekan golongan kurang berkemampuan yang masih menjadi pemilik hartanah di tengah bandar.
"Penentangan terhadap cadangan akan beri kekuatan kepada ahli-ahli parlimen yang berada di dalam kerajaan untuk tidak menyokong akta ini," ujarnya melalui hantaran di facebooknya, semalam.
Mengulas lebih lanjut, katanya jika menunggu akta itu dibentangkan dahulu di parlimen kemudian dibuat bantahan dikhuatiri akan terlewat.
"Sudah terlambat jika berbuat demikian. 'tyranny of the majority' seperti yang dimasukkan dalam akta melalui penurunan had ambang persetujuan akan mereka lakukan di parlimen.
"Menggunakan bilang ahli parlimen yang jadi komponen sekarang," katanya.
Tambah beliau, ketika Perikatan Nasional dahulu menjadi kerajaan, akta itu tidak pernah digubal sebaliknya hanya meneliti cadangan daripada Kerajaan DAP Pulau Pinang berhubung had ambang persetujuan pemilik hartanah.
"Termasuk menurunkan had ambang persetujuan pemilik strata, tanah, cadangkan itu ditelitikan oleh PlanMalaysia dan dibincangkan.
"Tetapi PN tidak pernah gubal akta baru seperti yang dibuat oleh kerajaan sekarang,"jelas beliau.
Tambah beliau cadangan pengubalan akta baru itu telah dibawa ke sesi taklimat kepada ahli-ahli parlimen minggu lalu yang memperincikan tentang had ambang persetujuan.
"Sebelum ini sejak tahun lalu, KPKT telah secara aktif melaksanakan pelbagai penerangan mengenai cadangan akta ini kepada kerajaan kerajaan negeri.
"Pertemuan dengan NGO (pertubuhan bukan kerajaan) dan juga sekect committee parlimen," ujarnya.
23 Feb 25
241
Tangkap Ikan ‘Guna Buluh’ Meriah di Meraga Beris
KEMAMAN, 23 Februari – Pertandingan memancing cara tradisional yang diadakan di Parit Line Gas, Meraga Beris, di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berjaya menarik penyertaan ramai penduduk setempat.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Meraga Beris, Kamarudin Muda berkata, acara yang berlangsung dari jam 8.00 pagi hingga 12.00 tengahari itu berlangsung dengan meriah dengan rata-rata peserta tiba awal di tempat acara.
“Pertandingan ini dianjurkan khas untuk warga Meraga Beris dengan matlamat memupuk semangat bersaing secara sihat dalam suasana santai.
“Selain menikmati pengalaman memancing, peserta turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah menarik yang disediakan penganjur seperti Televisyen (TV), Kipas dan pelbagai lagi,” katanya kepada pemberita selepas Perasmian Penutup Ngail 2025 di Meraga Beris semalam.
Perasmian Penutup tersebut disempurnakan oleh ADUN Kijal, Datuk Razali Idris.
Tambah Kamarudin, program tersebut telah lama diadakan dan telah menjadi acara tahunan penduduk Kampung Meraga Beris.
“Pertandingan ngail ini sentiasa mendapat sambutan setiap kali diadakan sekali gus dapat mengeratkan hubungan silaturahim sesama masyarakat kampung.
“Terima kasih kepada semua pihak terlibat terutama ADUN Kijal yang sentiasa menyokong acara sebegini diadakan,” ujarnya.
Sementara itu, ketika tinjuan daripada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), rata-rata peserta melahirkan rasa puas hati dengan pertandingan tersebut dan menganggap bahawa acar itu bukan sekadar tentang menang atau kalah, tetapi juga satu platform untuk berkongsi pengalaman dan nostalgia bersama rakan-rakan dan keluarga.
Selain itu, kebanyakan peserta hadir bersama ahli keluarga dan mengambil kesempatan untuk meluangkan masa bersama melalui aktiviti berkenaan.
22 Feb 25
220
YPKT Bantu Tingkat Taraf Hidup Keluarga Kurang Berkemampuan
Oleh: Fatimah Din
MARANG, 21 Februari- Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) berperanan sebagai penghubung dalam menyalurkan sumbangan kepada golongan B40 sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup keluarga yang kurang berkemampuan.
Pegawai YPKT Daerah Marang, Zainur Suhada Mamat berkata, YPKT adalah platform penghubung dan agensi pelaksana, bukan penyampai sumbangan kepada rakyat seperti Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).
"Meskipun di bawah YPKT terdapat pinjaman Modal Jaya Diri untuk peniaga kecilan dan peruncit tetapi ia terhad dan terdapat syarat-syarat tertentu , selain turut melaksanakan pelbagai program untuk masyarakat.
"Antaranya, terdapat akademik jahitan, kelas kemahiran untuk setiap peringkat seperti ibu tunggal, fisioterapi dan pengisian rohani untuk warga emas, program taklif (untuk pelajar sekolah), 'home manager'' dan sebagainya," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di pejabatnya di sini, baru - baru ini.
Menurutnya, YPKT juga turut melaksanakan program daripada kerajaan negeri seperti Walimatulurus Perdana dan Pakej Honeymoon Kali Kedua buat pasangan yang memerlukan masa untuk memperbaiki hubungan rumahtangga.
"Selain itu, di bawah YPKT juga turut terdapat taska serta kelas jahitan di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN)," jelasnya.
21 Feb 25
190
Pengubahan Akta Pembaharuan Semula Bandar Timbulkan Banyak Masalah
KUALA TERENGGANU, 20 Februari - Cadangan Penggubahan Akta Pembaharuan Semula Bandar didakwa akan menimbulkan banyak masalah.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Datuk Ahmad Amzad Hashim berkata, cadangan yang asalnya datang dari kerajaan DAP Pulau Pinang itu secara umumnya pernah ada di negeri lain dan menimbulkan pelbagai kesan negatif.
Ujarnya, ia akan memberi kesan terhadap penduduk, pemik tanah dan pembangunan bandar secara keseluruhan.
"Beberapa masalah utama akan muncul antaranya pengusiran dan pemindahan paksa dimana penduduk yang telah lama menetap di sesuatu kawasan sering terpaksa berpindah akibat pembangunan baru.
"Pampasan yang diberikan mungkin tidak mencukupi untuk mereka mendapatkan tempat tinggal setanding. Akan timbulnya gentrifikasi apabila kawasan diperbaharui dengan projek mewah, kos sara hidup dan harga rumah meningkat.
"Penduduk asal, terutamanya dari golongan berpendapatan rendah tidak mampu untuk tinggal di kawasan itu lagi," ujarnya melalui satu hantaran di facebooknya, di sini, semalam.
Mengulas lebih lanjut kesan yang akan timbul dari Akta Pembaharuan Semula Bandar itu, Amzad berkata ia juga akan mengakibatkan berlaku ketidakseimbangan sosial dan ekonomi.
"Pembaharuan bandar sering memberi manfaat kepada pemaju dan pelabur tetapi mengabaikan kepentingan penduduk asal (dan) wujud jurang antara golongan kaya dan miskin yang semakin melebar.
"Kehilangan identiti budaya (kerana) banyak bangunan atay tapak warisan sejarah dimusnahkan untuk memberi laluan kepada pembangunan moden (serta)komuniti yang mempunyai nilai budaya tinggi mungkin lenyap akibat perubahan drastik,"katanya.
Malah jelas beliau, ia akan turut memberi kesan terhadap alam sekitar melalui projek pembangunan berskala besar yang akan mengakibatkan berlakunya pencemaran udara, bunyi dan air malah lebih menyedihkan kawasan hijau dan ekosistem semula jadi sering dikorbankan untuk pembinaan infrastruktur baru.
"(Selain itu akan) kurangnya penyertaan awam apabila keputusan pembaharuan bandar sering dibuat oleh kerajaan dan pemaju tanpa rundingan menyeluruh dengan masyarakat sertempat ini boleh menimbulkan ketidakpuasan hati dan protes daripada penduduk yang terkesan," katanya.
Justeru tegasnya, masalah-masalah yang dikemukakan itu menunjukkan bahawa pembaharuan bandar harus dirancang dengan lebih teliti.
"Mengambil kira kepentingan sosial, ekonomi dan alam sekitar bagi memastikan pembangunan yang lebih adil dan lestari,"ujarnya.
20 Feb 25
180
Petugas PKM Perlu Fahami Tugas Dan Tanggungjawab
KUALA TERENGGANU, 19 Februari – Semua petugas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) di negeri ini perlu memahami tugas serta peranan masing-masing agar matlamat organisasi dicapai sebaiknya.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah negeri, Ridzuan Hashim berkata, ini kerana PKM antara saluran yang membantu rakyat berhubung dengan agensi luar dalam menyelesaikan urusan dan permasalahan yang dihadapi.
“Setiap orang (petugas) ada bidang dan tanggungjawab masing-masing, apa yang harus dilaksanakan adalah memastikan ia dapat memenuhi aspirasi rakyat.
“Selain dari ilmu dan faham apa yang nak dibuat, kena ada kemahiran, kena ada kaedah yang tertentu, termasuklah kemahiran dari sudut komunikasi, bagaimana kita nak berhadapan dengan masyarakat ataupun rakyat dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) kita.
“Paling utama kita nak jadi pemudah cara kepada rakyat, membantu rakyat berurusan dengan agensi yang sangat dekat dengan mereka seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, Majlis Agama Islam Dan Adat Melayu Terengganu, Tabung Darul Iman dan agensi-agensi lain yang berkait rapat dengan rakyat untuk kemudahan dan kebaikan mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kursus Induksi Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Negeri Terengganu Tahun 2025 yang dianjurkan oleh Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS) di Ar Riyadah Residence Kuala Terengganu, di sini , baru-baru ini.
Ridzuan berkata, perlaksanaan kerja yang berkualiti adalah bergantung kepada beberapa faktor termasuklah ilmu dan kefahaman yang betul terhadap pekerjaan tersebut.
”Ada orang dia ada ilmu, tapi dia tak faham, dan ada orang yang dia faham tapi tidak tahu macam mana nak laksanakan.
“Maka hari ini kita nak bagi ilmu dan seterusnya dapat memahami bagaimana untuk dilaksanakan,” ujarnya.
19 Feb 25
113
1,252 Penduduk DUN Kijal Terima Bantuan Banjir
KEMAMAN, 16 Februari - Seramai 1,252 penerima yang terdiri daripada mangsa banjir di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal menerima bantuan bagi meringankan beban mereka akibat musibah yang melanda baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kijal, Datuk Razali Idris berkata, bantuan tersebut disalurkan secara berperingkat kepada mangsa yang ditempatkan di beberapa Pusat Pemindahan Sementara (PPS) di kawasan terbabit.
“Pada Jumaat lepas, Seramai 702 penerima dari tiga PPS iaitu Teluk Kalong, Meraga Beris, dan Titian Berayun telah menerima bantuan yang disampaikan di Surau Rumah Mampu Milik (RMM) Teluk Kalong.
“Seterusnya, Khamis lepas pula, seramai 368 penerima dari PPS Dewan Sivik Bukit Kuang dan PPS Balairaya Kampung Bukit Kuang bertempat di Masjid Ar-Rahman,” katanya ketika dihubungi Urus Setia Penerangan Darul Iman pada hari ini.
Razali turut memaklumkan bahawa seramai 182 penerima dari empat PPS iaitu PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Ibok, PPS Padang Kemunting, PPS Batu 9, dan PPS Padang Kubu menjadikan jumlah keseluruhan 1,252 penerima.
“Kami berharap bantuan ini sedikit sebanyak dapat membantu mangsa-mangsa banjir untuk bangkit semula selepas berdepan dengan ujian ini,” katanya.
16 Feb 25
358