lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

20 Unit Rumah PPTS Bakal Dibina Di Taman Rahmat Tahun Ini
20 Unit Rumah PPTS Bakal Dibina Di Taman Rahmat Tahun Ini
MARANG, 2 Jun – Sebanyak 20 unit rumah di bawah Skim Projek Perumahan Terengganu-ku Sejahtera (PPTS) bakal dibina di Perkampungan Taman Rahmat di sini, tahun ini. Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri (Pembangunan), Samiun Salleh berkata, pembinaan perumahan secara berkelompok yang lebih selesa di kawasan tersebut bertujuan menjamin kehidupan golongan yang kurang bernasib baik dan mempunyai masalah tempat tinggal seperti orang miskin, orang kelainan upaya (OKU) serta ibu tunggal bermasalah. Katanya, projek pembinaan rumah baharu di Taman Rahmat seperti yang dirancang adalah sebanyak 50 buah unit rumah secara berperingkat. “Fasa pertama pembinaan pada tahun 2014 dimana 10 buah rumah kayu telah dirobohkan dan telah dibina rumah model Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di tapak asal. “Majlis penyerahan kunci hari ini pula adalah binaan 10 unit rumah model PPRT fasa kedua di tapak baru yang mula dibina pada tahun 2018 dan dikenali sebagai PPTS dan tahun ini, kita akan laksanakan pembinaan 20 unit rumah lagi,” ujarnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Rumah PPTS Taman Rahmat yang disempurnakan oleh Menteri Besar, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar di Pulau Kerengga, hari ini. Sementara itu, seorang penerima, Puteh Embong, 60, tidak menduga dapat tinggal bersama dua anaknya di rumah yang lebih selesa. “Saya sangat gembira dan bersyukur dengan rezeki ini memandangkan rumah lama telah uzur serta banyak kerosakan. “Jika tidak ada program seumpama ini, mana mungkin golongan tidak berkemampuan seperti saya dapat tinggal di rumah yang lebih selesa," ujarnya yang merupakan OKU fizikal yang telah kematian suami empat tahun lalu.
01 Jul 20
430
Medan Selera Jerteh Mula Beroperasi
Medan Selera Jerteh Mula Beroperasi
Oleh : Muhd Afiq Zohir BESUT, 1 Jun - Medan Selera Jerteh mula beroperasi pada hari ini setelah mendapat kebenaran oleh pihak kerajaan negeri semalam. Pengurus Medan Selera Jerteh, Wan Asriazwa Wan Husain berkata, sebelum ini ramai peniaga menghadapi kesukaran dan dugaan untuk mencari rezeki akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula sejak 18 Mac yang lalu. “Kebenaran untuk semua premis makanan beroperasi oleh pihak kerajaan memberi rasa lega kepada peniaga yang terjejas akibat penularan wabak COVID-19. "Pengumuman dan usaha oleh pihak kerajaan negeri Terengganu disambut baik peniaga iaitu dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di sini, pada hari ini. Menurutnya, Medan Selera Jerteh merupakan tumpuan orang awam kerana kedudukannya terletak ditengah-tengah Bandar Jerteh. Wan Asriazwa juga menyarankan agar semua pengunjung medan selera mematuhi syarat yang ditetapkan oleh pihak pengurusan. “Orang awam diingatkan agar sentiasa menjaga jarak sosial antara satu sama lain dan sentiasa memakai topeng pelindung hidung dan mulut bagi memastikan penularan wabak tidak tersebar," tambah beliau.
01 Jul 20
453
200 Penerima Terima Bantuan Keperluan Asas
200 Penerima Terima Bantuan Keperluan Asas
Oleh: Norekwan Mamat BESUT, 1 Jun - Seramai 200 rakyat di Mukim Tenang dan Hulu Besut yang kurang berkemampuan telah menerima keperluan asas sempena Hari Raya Aidilfitri. Pegawai Penyelaras DUN Hulu Besut Ustaz Mat Daik Mohamad berkata, sumbangan itu telah disampaikan kepada mereka sebelum Aidilfitri, minggu lalu. "Terima kasih kepada penyumbang, sumbangan ini adalah amat bermakna kepada mereka yang memerlukan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi pemberita semalam, 31 Mei. Turut hadir ialah wakil daripada Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi merangkap pimpinan NGO Pekerti Ustaz Zamani Al Besuty dan Pegawai Penyelaras Dun Jerteh Ustaz Wan Azhar Wan Ahmad. Menurutnya, sumbangan itu diagihkan kepada Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing sebanyak 10 bungkusan barangan untuk dibahagikan kepada penerima. "Alhamdulillah, saya percaya selama ini setiap apa sumbangan yang diterima oleh MPKK, akan diagihkan kepada mereka yang betul-betul layak menerima," ujar Mat Daik. Sumbangan keperluan asas itu telah disumbangan oleh Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Dato Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Pertubuhan Kebajikan serta Ekonomi Rakyat Terengganu (PEKERTI).  
01 Jul 20
172
Alhamdulillah...
Alhamdulillah...
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Lafaz syukur itu diluahkan pesakit yang sedang menjalani rawatan di Institut Jantung Negara (IJN), Azura Sulong, ketika menerima bantuan keperluan dan wang tunai daripada Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang, di kediamannya semalam. Beliau merupakan antara penduduk DUN berkenaan yang mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, untuk menerima bantuan bagi meringankan kos rawatannya. Pegawai Khas ADUN Ladang, Zaim Azfar mewakili wakil rakyat itu bersama beberapa orang pegawai Pusat Khidmat DUN hadir menziarahi Azura serta menyampaikan bantuan sempena Ramadan kepada individu-individu terpilih yang memerlukan. "Rawatan di Institut Jantung Negara (IJN) memerlukan kos yang tinggi dan semoga sumbangan ini dapat membantu menampung kos rawatan tersebut. “Sebagai Muslim, kita harus saling membantu kerana perumpamaan orang-orang Islam dalam berkasih sayang dan bersaudara adalah seperti tubuh. Jika salah satu anggota tubuhnya mengadu kesakitan maka anggota-anggota lain juga akan ikut merasakan panasnya dan tidak tidur malam," katanya. Dalam pada itu, Pusat Khidmat DUN turut menyampaikan sumbangan kepada tiga lagi individu yang diuji oleh Allah dengan kesakitan sebagaimana yang diamanahkan Tengku Hassan bagi membantu masyarakat di kawasannya.
30 Jun 20
41
Dakwaan Kes Positif COVID-19 Di Pasar Gong Pauh Palsu
Dakwaan Kes Positif COVID-19 Di Pasar Gong Pauh Palsu
KUALA TERENGGANU, 14 Mei - Cerita tular di media sosial, Facebook dan aplikasi Whatsapp berhubung satu kes terbaharu positif COVID-19 di Pasar Borong Gong Pauh di sini adalah tidak benar. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Azimi Yunus menerusi satu kenyataan berkata, pihaknya menafikan kes yang didakwa membabitkan pemandu lori sayur dari Selayang itu. Sebaliknya kata beliau, saringan yang diadakan di pasar tersebut hari ini adalah sebagai langkah berjaga-jaga dan proaktif Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu untuk membendung wabak. “Pasar Borong Gong Pauh dipilih sebagai lokasi saringan kerana berisiko sebagai pusat penularan memandangkan ia adalah tempat tumpuan orang ramai dan bersesak dengan pengunjung,” tegasnya. Sehubungan dengan itu, Dr Azimi menasihatkan agar orang awam tidak menyebarkan sebarang berita yang tidak sahih kerana boleh mengugat keharmonian dan mencetuskan suasana panik dalam kalangan masyarakat. “Pihak jabatan juga menasihatkan orang ramai agar terus kekal di rumah sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) sehingga 9 Jun serta sentiasa mengamalkan tahap kebersihan yang tinggi “Di samping mengelakkan 3C iaitu ‘crowded places’, ‘confined spaces’ dan ‘closed conversations’ bagi memutuskan penularan COVID-19,” tambah beliau.
30 Jun 20
161
Semua Turun Padang Agih 700 Pek Sinar Ramadan
Semua Turun Padang Agih 700 Pek Sinar Ramadan
Oleh: Aslam Wira MARANG, 14 Mei - Beberapa jabatan dan agensi turut serta dalam satu program turun padang atau Sinar Ramadan yang dianjurkan oleh Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang kelmarin. Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, beliau amat teruja dan seronok melihat kerjasama yang diberikan oleh jabatan-jabatan yang terlibat sepanjang program tersebut. “Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang telah menjemput beberapa jabatan seperti Pejabat Daerah Marang, Pejabat Polis Daerah Marang, Jabatan Kebajikan Daerah Marang dan Majlis Daerah Marang untuk bersama-sama mengagihkan barang sumbangan kepada mereka yang layak. “Kerjasama yang berlaku ini, menunjukkan kami sama-sama cakna lebih-lebih lagi melibatkan aktiviti seperti ini bagi menyelami kehidupan rakyat yang kurang berkemampuan,” ujarnya semasa ditemui pemberita. Turut hadir, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak, Ketua Polis Daerah Marang, DSP Mohd Zaid Mat Dris, Pegawai Kebajikan Daerah Marang, Mardiah Mohamed, dan Setiausaha Yang Dipertua Majlis Daerah Marang, Nadia Zahira Zakaria. Menurut Wahad, program berkenaan merupakan program tahunan bersempena bulan Ramadan dan ia ditaja oleh Menteri Besar yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Katanya, pek keperluan harian diagihkan kepada 700 orang penduduk yang layak di sekitar DUN Rhu Rendang mendapat kerjasama daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing. “Walaupun sambutan Ramadan dalam kekurangan kerana berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat COVID-19, sumbangan ini tetap diteruskan bagi membantu mereka yang memerlukan. “Diharap sedikit sumbangan yang diagihkan ini dapat membantu mereka yang kurang berkemampuan dalam menghadapi bulan Ramadan,” tambahnya lagi.
30 Jun 20
51
Terima Kasih Jururawat
Terima Kasih Jururawat
Oleh: Izzat Al Qushairi SETIU, 14 Mei - Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit menghargai sumbangan besar barisan jururawat yang bertugas tanpa henti terutamanya ketika negara berdepan wabak COVID-19. Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, menyedari penat lelah mereka pihaknya telah memberikan sedikit penghargaan. "Sebanyak enam buah klinik di sini menerima kek sebagai tanda penghargaan atas usaha dan pengorbanan mereka. "Antaranya, Klinik Desa Bukit cempaka, Gong Lingai, Mengabang Telipot, Padang Polis, Wakaf Tengah dan klinik Hemodialisis Maras. "Ia juga sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia. Saya ingin mengambil kesempatan untuk mengucapkan selamat menyambut Hari Jururawat Sedunia kepada semua jururawat di Malaysia," katanya kepada pemberita semalam. Menurut beliau, sambutan Hari Jururawat di seluruh dunia juga pastinya memberikan motivasi kepada mereka untuk terus berjuang memerangi wabak pandemik. "Semoga sambutan Hari Jururawat Sedunia ini menjadi pemangkin semangat jururawat untuk memberikan khidmat yang terbaik kepada seluruh rakyat Malaysia," tambah beliau.
30 Jun 20
85
Segelintir Masyarakat Masih Ingkar PKPB
Segelintir Masyarakat Masih Ingkar PKPB
KUALA TERENGGANU, 13 Mei - Sejak Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dilaksanakan kerajaan bermula 4 Mei lalu, rakyat khususnya masyarakat di negeri ini semakin faham dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan ketika di luar rumah. Namun, masih terdapat segelintir individu mengabaikan aspek keselamatan dan kawalan kendiri dengan berkumpul di tempat-tempat umum dan mengingkari panduan ditetapkan kerajaan berikutan penularan pandemik Covid-19. Berdasarkan aduan orang ramai, tinjauan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) malam tadi mendapati sebilangan masyarakat kembali memenuhi kawasan rekreasi Taman Awam Pantai Batu Buruk, hanya sehari selepas pihak Majlis Bandaraya Kuala Terengganu meletakkan hadangan (barrier) di kawasan tersebut. Masih ramai mengambil peluang bersantai di Taman Awam Batu Buruk. Bagaimanapun, jumlah individu yang bersantai di situ nyata tidak seramai sebelum ini, menunjukkan penguatkuasaan yang dilakukan pihak berkuasa tempatan bersama pasukan keselamatan mendatangkan kesan positif. Tinjauan di muara utara Jambatan Angkat (Drawbridge) turut memperlihatkan beberapa kelompok anak muda berkumpul dalam jumlah agak ramai. Bagaimanapun, kawasan-kawasan lain di sekitar bandar Kuala Terengganu sepi dan kedai-kedai makan turut mematuhi larangan yang ditetapkan kerajaan negeri supaya tidak membenarkan pelanggan makan di dalam premis sebaliknya melakukan jual beli secara 'take away' sahaja.
30 Jun 20
133
Pesakit Terakhir COVID-19 Tinggalkan Hospital Hulu Terengganu
Pesakit Terakhir COVID-19 Tinggalkan Hospital Hulu Terengganu
HULU TERENGGANU, 11 Mei - Menerima rawatan selama 53 hari dan terpaksa mendapatkan rawatan di dua buah hospital di Terengganu dek penangan virus COVID-19 cukup meninggalkan kesan amat mendalam kepada seorang pesakit yang hanya mahu dikenali sebagai Hafiz. Lebih-lebih lagi apabila melihat seorang demi seorang rakan rapat beliau yang turut dirawat di Hospital Hulu Terengganu (HHT) dibenarkan pulang minggu lalu selepas pulih daripada jangkitan wabak tersebut sekali gus menjadikan dirinya pesakit terakhir COVID-19 yang masih menerima rawatan di hospital itu.  Namun tiada apa yang lebih menggembirakan bagi pemuda berusia 25 tahun dan berasal dari Betong, Sarawak itu apabila dibenarkan pulang hari ini selepas sembuh daripada penyakit tersebut dan beliau menyifatkannya sebagai ‘kurniaan istimewa’ daripada Ilahi menjelang sambutan Aidilfitri dua minggu lagi. "Sepanjang tempoh menerima rawatan di sini, saya sentiasa berhubung dengan keluarga di Betong, Sarawak melalui panggilan video dan mereka lega apabila dimaklumkan saya menerima layanan terbaik daripada petugas kesihatan di HHT serta Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). “Hubungan kami bagaikan sebuah keluarga, begitu juga hubungan dengan kawan-kawan (pesakit COVID-19 lain) juga sangat erat, cuma saya agak terkesan apabila beberapa kawan rapat dibenarkan keluar pada minggu lepas,” katanya ketika ditemui pemberita di HHT di sini hari ini. Hafiz, yang sudah tidak sabar mahu pulang ke Sarawak untuk berpuasa dan merayakan Aidilfitri tidak lama lagi, berharap orang ramai tidak mengambil mudah mengenai ancaman jangkitan COVID-19 dengan sentiasa mengamalkan saranan kebersihan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). "Harapan saya agar wabak ini segera berakhir supaya kita semua dapat hidup seperti biasa secepat mungkin," katanya. Sementara itu, Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu Dr Nor Azimi Yunus berkata Hafiz merupakan pesakit terakhir positif CIVID-19 yang menerima rawatan di HHT. "Beliau telah menghadiri ijtimak tabligh di Sri Petaling pada 24 Feb hingga 4 Mac lalu dan selepas itu datang ke Terengganu untuk melakukan kerja-kerja dakwah. Bagaimanapun, beliau dimasukkan ke HHT pada 17 Mac sebagai pesakit dalam siasatan (PUI) setelah mengalami batuk dan sakit tekak. "Dua hari selepas itu, pesakit ini dimasukkan ke HSNZ setelah didapati positif COVID-19 dan telah dipindahkan semula ke HHT pada 5 April apabila keadaannya semakin stabil untuk meneruskan rawatan sebelum dibenarkan keluar hari ini," katanya. HHT mula diwartakan sebagai hospital yang merawat kes berkaitan COVID-19 sepenuhnya di Terengganu pada 14 Mac dan sejak itu, semua pesakit lain dipindahkan ke HSNZ serta Hospital Setiu untuk menerima rawatan. Dr Nor Azimi juga berkata kesemua lapan daerah di Terengganu kini dikategorikan sebagai zon hijau kerana telah merekodkan sifar kes positif COVID-19 bagi tempoh 14 hari dengan kes terakhir dikesan pada 23 April di Besut dan kesemua 13 pusat kuarantin juga sudah ditutup kecuali satu di Kemaman. - BERNAMA
30 Jun 20
179
Perkeso Bantu Bekas Pemain Bola Sepak Terengganu
Perkeso Bantu Bekas Pemain Bola Sepak Terengganu
Oleh: Wan Luqman Hakim KUALA TERENGGANU, 1 Jun - Nasib bekas pemain bola sepak Terengganu era 90-an,  Mohd Fadli Jalil Sulong, 53 yang kini terlantar akibat kencing manis kronik dibantu Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso). Dalam kunjungan Skuad Prihatin Perkeso itu, Mohd Fadli didapati layak menerima alatan pemulihan berupa Reclining Wheelchair, Commode Wheelchair, Pampers dan Ripple Mattress. Pada masa sama akan turut dibekalkan katil perubatan yang akan dihantar terus ke rumah oleh pembekal. Pengarah Perkeso Terengganu, Farihah Che Husin berkata, hasil semakan mendapati Mohd Fadli pernah membuat caruman ketika bersama pasukan bola sepak Terengganu. Katanya, keadaan itu membolehkan dia menerima pencen ilat sebanyak RM500 sebulan dan alatan pemulihan serta Elaun Layanan Khas untuk penjaga. “Kelengkapan dan bantuan itu diluluskan tanpa permohonan kerana hasil semakan mendapati  pesakit ini  mempunyai caruman semasa bermain dengan pasukan bola sepak Terengganu pada era 90an dahulu,”katanya. Beliau berkata demikian ketika sidang media di rumah pesakit di Jalan Ibrahim, Bukit Besar Kuala Terengganu, semalam Hadir menyampaikan sumbangan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah Sementara itu Mohd Fadli yang mesra dipanggil Weck di kalangan rakan dan peminat bola sepak Terengganu ketika kegemilangannya, berkata dia juga sukar untuk bergerak dan segala urusan dibantu isterinya, Norhayati Alias, 35. "Saya mengakui rindu untuk turun ke padang, namun terpaksa melupakan keinginan itu disebabkan masalah kesihatan. "Selepas bersara dari sukan bola sepak pada 1997, saya bersama rakan seperjuangan menubuhkan pasukan futsal. "Kami sering bersama bermain dan setahun lalu saya kurang aktif kerana menghidap penyakit kencing manis," katanya Mengimbau saat mula diserang masalah saraf, Weck berkata, ketika kejadian dia bersama isteri sedang menonton televisyen di ruang tamu pada 1 tengah hari, Januari lalu. "Secara tiba-tiba kedua-dua bahu saya berdenyut dan terlalu sakit serta tidak boleh bergerak. Semalaman saya menahan sakit sehingga tidak dapat tidur," jelasnya.
30 Jun 20
121