lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Demi Wang Mudah, 59 Pemilik Akaun Keldai Ditangkap
Demi Wang Mudah, 59 Pemilik Akaun Keldai Ditangkap
KUALA TERENGGANU, 7 Jun - Demi memperoleh wang secara  mudah menyebabkan segelintir individu sanggup menyerahkan kad mesin juruwang automatik (ATM) dan akaun bank kepada sindiket penipuan yang membabitkan beberapa modus operandi, antaranya pembelian atas talian, Macau Scam dan pinjaman tidak wujud. Namun 59 pemilik akaun keldai (Mule Account) ini tumpas apabila Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu menjalankan Ops Mule sejak 25 April hingga 31 April  susulan laporan kes penipuan yang diterima pihaknya meningkat mendadak sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini. Ketua Polis Terengganu, Dato’ Roslee Chik berkata  kesemua yang ditahan berusia antara 20 hingga 50 tahun di seluruh negara dan hasil tangkapan tersebut membabitkan nilai kerugian hampir RM2 juta. Katanya,  seramai 56 sudah didakwa di mahkamah mengikut Seksyen 411 Kanun Keseksaan kerana memiliki dan menyimpan barang curi. "Majoriti daripada mereka yang ditahan mendakwa kononnya diri teraniaya dan langsung tidak mengetahui akaun bank miliknya disalahguna pihak tidak bertanggungjawab. "Tetapi alasan diberikan langsung tidak boleh diterima kerana kita yakin pemilik akaun pastinya tahu sebelum bersetuju menjual kad akaun bank kepada pihak tersebut,"  katanya kepada pemberita dalam sidang media di Bilik Media Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini hari ini. Beliau juga berkata, berdasarkan siasatan, semua suspek adalah pemilik akaun (Mule Account) yang digunakan melalui taktik dan modus operandi terbaru sindiket penipuan melalui   'runner' yang memperdaya mangsa untuk menjual kad bank beserta nombor pin dengan tawaran harga sekitar RM200 hingga RM300 bagi setiap kad selain menjanjikan bayaran lumayan yang bakal diperolehi. "Runner terbabit akan memperdayakan mangsa untuk membeli kad bank beserta nombor pin dengan harga RM200 hingga RM300 sebelum menjual semula kepada sindiket tersebut dengan harga mencecah RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap satu kad. "Akaun bank tersebut akan digunakan anggota sindiket terbabit sebagai transaksi penyimpanan wang yang diperoleh hasil penipuan,"ujarnya lagi. Justeru itu, orang ramai diingatkan supaya jangan mendedahkan maklumat bank dan peribadi dan jangan sesekali menyerahkan kad ATM, nombor PIN dan akses perbankan internet kepada pihak lain. Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya tidak melayan panggilan dari pihak tidak dikenali  kononnya ada berlaku kesilapan pindahan wang dan meminta agar dilakukan pindahan semula. "Jika kita mendapati ada jumlah wang dimasukkan ke dalam akaun bank tanpa diketahui daripada mana, segeralah membuat semakan dengan pihak bank bagi menyelamatkan kita daripada menjadi mangsa keldai akaun,”tambahnya.
01 Jul 20
910
‘Projek Kongsi Rezeki’ Sasar 400 keluarga
‘Projek Kongsi Rezeki’ Sasar 400 keluarga
Oleh : Adli Mohamad DUNGUN, 7 Jun-‘Projek Kongsi Rezeki’ menyasarkan 400 keluarga yang terdiri daripada golongan asnaf, warga emas, Orang Kelainan Upaya (OKU) serta ibu tunggal untuk diagihkan bantuan berupa barangan dapur, secara berperingkat. Koordinator Negeri Kindness Malaysia (Team Terengganu), Nur Syazwani Halim berkata, projek amal tersebut adalah hasil kerjasama Kindness Malaysia (Team Terengganu) dan Biro Pembangunan Pelajar Akademi Pengajian Bahasa, Universiti Teknologi MARA Cawangan Terengganu. “Kita juga bekerjasama dengan ahli jawatankuasa masjid terlibat iaitu Masjid Kampung Tepus, Balai Besar, Seberang Pintasan dan Kampung Baru untuk pemilihan penerima yang layak. “Sementara itu, kita turut mendapat sumbangan daripada individu yang mahu identitinya dirahsiakan,” ujarnya dalam satu kenyataan media, hari ini. Mengulas lanjut, katanya sebagai permulaan seramai 100 keluarga terpilih dari sekitar Bukit Besi telah menerima bantuan masing-masing dalam satu majlis ringkas yang diadakan di Masjid Kampung Tepus, semalam. “Setinggi-tinggi penghargaan kepada Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman serta ahli jawatankuasa masjid tersebut yang membantu mengenalpasti keluarga-keluaga yang memerlukan bantuan. “Selain bertungkus lumus memastikan agihan dapat dibuat secara lancar dan teratur. Diharap bantuan yang diberikan ini sedikit sebanyak dapat mengurangkan beban semua penerima, terutamanya pada musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. Dalam pada itu, Ghazali turut merakamkan ucapan terima kasih diatas bantuan Badan Bukan Kerajaan (NGO) berkenaan yang tampil membantu meringankan beban mereka yang memerlukan.
01 Jul 20
279
Sumbangan Kipas Angin Untuk Keselesaan Pesakit Klinik Desa Padang Jambu
Sumbangan Kipas Angin Untuk Keselesaan Pesakit Klinik Desa Padang Jambu
Oleh : Mohd Rizauddin DUNGUN, 7 Jun- Pesakit yang mendapat rawatan di Klinik Desa Padang Jambu terutamanya ibu mengandung serta kanak-kanak bakal menikmati perkhidmatan kesihatan lebih selesa apabila klinik terbabit menerima bantuan kipas angin daripada Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli, hari ini. Bantuan berkenaan diserahkan oleh Wan Hassan kepada wakil jururawat Klinik Desa Padang Jambu, Marsitah Manaf dalam satu majlis ringkas di klinik tersebut. Menurut Wan Hassan, pihaknya bersetuju untuk menyumbangkan sejumlah unit kipas angin selepas Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Jambu menyuarakan tentang hal ini kepadanya. Malah, beliau juga bercadang untuk terus menghulurkan sumbangan berbentuk peralatan yang diperlukan kepada klinik-klinik desa yang terdapat di Parlimen Dungun mengikut kemampuan sebagai salah satu khidmat sosial pada masa akan datang. Sementara itu, Marsitah berkata sumbangan kipas angin yang diterima oleh pihaknya diharap dapat meningkatkan keselesaan kepada seluruh warga klinik nanti. "Kami warga klinik ini amat berterima kasih atas keprihatinan wakil rakyat di atas sumbangan ini sejurus mendapati pesakit di sini menerima khidmat rawatan dalam keadaan kurang selesa. "Saya harap sifat 'ambil cakna' atau tanggungjawab yang ditunjukkan seorang pemimpin dapat diteruskan pada masa akan datang bagi memastikan setiap pesakit yang datang ke klinik dapat menerima rawatan yang selesa serta lebih efisien," katanya.
01 Jul 20
247
Bekalan Darah HSNZ Mencukupi
Bekalan Darah HSNZ Mencukupi
Oleh : Muhammad Najib Ismail HULU TERENGGANU, 7 Jun - Bekalan darah di Tabung Darah Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), adalah mencukupi buat masa sekarang walaupun berada dalam musim Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) . Pegawai Perhubungan Awam HSNZ, Suhaimi Yusof berkata bekalan darah di negeri ini  dalam keadaan stabil dan selesa berbanding dengan negeri-negeri lain hasil kerjasama dengan pelbagai agensi termasuk Jabatan Amal Malaysia (JAM) Terenggganu sejak beberapa bulan yang lepas dalam kempen derma darah. "Kita mengambil pendekatan 'long term'. Kita kutip pada hari ini, bermakna tarikh luputnya adalah 36 sehingga 42 hari kemudian dan  sentiasa memastikan bekalan darah kita mencukupi kerana kita tidak tahu keadaan pada masa akan datang. "Derma darah yang pertama kali selepas Hari Raya ini diadakan di Hulu Terengganu. Selepas ini kita akan adakan program yang sama di Daerah Marang, Besut, Setiu dan seterusnya Dungun,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) di Markaz Tarbiah PAS Kuala Berang (Rumah Hijau), semalam. Menurut Suhaimi yang juga merupakan Penyelia Tabung Darah Terengganu, pihaknya mendapatkan penderma melalui tiga cara iaitu melalui pendaftaran online, berhubung secara telefon dengan rekod penderma yang lepas dan melalui sebaran Jabatan Amal Malaysia sendiri. “Keseluruhan program sangat berjaya dan sentiasa mengikut standard operating procedure (SOP) berkenaan dengan COVID-19 melalui saranan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sendiri dan Pusat Darah Negara untuk menjalankan kempen derma darah. “Alhamdulillah hari ini kita berjaya mendapatkan seramai 39 orang penderma. Terima kasih diucapkan kepada Jabatan Amal Hulu Terengganu kerana sudi bekerjasama dan membantu HSNZ dalam kempen derma darah ini,”ujarnya.
01 Jul 20
76
Terengganu Laksana Pasar Malam Percubaan
Terengganu Laksana Pasar Malam Percubaan
KUALA NERUS, 5 Jun- Kerajaan Terengganu melaksanakan pembukaan pasar malam pertama dengan pengendalian prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sebagai percubaan menggerakkan semula ekonomi rakyat. Setiausaha Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Fadhli Yusoff Zakaria menjelaskan, operasi pasar malam itu dijalankan dengan pematuhan prosedur seperti mewujudkan laluan masuk dan keluar sehala dilengkapi rekod pengunjung dan pembersih tangan. "Tinjauan pada petang ini, kita dapati dari segi pematuhan SOP, nampaknya para peniaga patuh apa yang telah ditetapkan. Pembukaan hari ini merupakan 'pilot' projek dan kita harap ia dapat diteruskan pada masa akan datang. "Cuma, kita harap pelanggan juga memahami keadaan semasa dan semoga usaha ini dapat diteruskan. Kita bimbang jika ada yang ingkar para peniaga tidak dapat berniaga lagi," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu membuat tinjauan di pasar malam yang diadakan dalam kawasan Kompleks Sukan Negeri Gong Badak, hari ini. Jelasnya, jika pelaksanaan itu berjaya mungkin kerajaan negeri akan memperluaskan pembukaannya ke daerah-daerah lain. "Kita lihat hari ini sebagai percubaan, jika lulus kita akan cadangkan kepada kerajaan negeri untuk dikembangkan. Kita jangkakan perlu dalam tiga ke empat kali ia diadakan untuk dinilai. "Jika dikembangkan, ia akan dilaksakan dengan konsep sebegini dan diperketatkan. Jadi, kita serahkan kepada persatuan peniaga untuk menentukan sendiri sistem penggiliran bagi ahli mereka atau sebagainya kerana kapasiti gerai mungkin akan berkurang daripada jumlah asal berikutan penjarakan lebih luas," katanya. Tambahnya, setakat ini pasar malam tersebut akan dibuka sehingga jam tujuh petang sahaja sebagaimana yang dikehendaki kerajaan negeri. "Untuk tambah masa kita akan tengok keadaan seterusnya. Jika SOP dipatuhi sepenuhnya, mungkin akan dipertimbangkan. "Buat masa ini, ditetapkan hari Jumaat sahaja sebagai percubaan disertai penguatkuasa kita seramai 10 orang dengan bantuan rela dan persatuan peniaga," katanya. Pada hari pertama dilaksanakan, dimaklumkan sebanyak 112 peniaga daripada 160 tapak yang didaftarkan telah mula membuka gerai masing-masing.
01 Jul 20
80
Tepoh Cakna Aplikasi Penghubung Suara Rakyat Tepoh
Tepoh Cakna Aplikasi Penghubung Suara Rakyat Tepoh
Oleh : Mohd Zukifli Mat KUALA  NERUS, 4 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh buat julung kalinya memperkenalkan sebuah aplikasi pengguna iaitu 'Tepoh Cakna' bertujuan untuk memudahkan penduduk sekitar kawasan berkenaan membuat aduan. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, melalui aplikasi itu ia akan membantu rakyat untuk mengadu pelbagai masalah berkaitan jalan rosak, sistem perparitan, longkang dan seumpamanya. "Sistem ini tidak bererti menutup terus kaedah manual melalui perantaraan dan pejabat PKM. Ia akan bergerak seiring malah akan berlaku pemusatan aduan dan tindakan. "Kami juga mengalu-alukan aduan bersifat kesusahan yang dialami kejiranan komuniti untuk pihak kami segerakan siasatan," katanya ketika ditemui pihak media selepas pelancaran aplikasi berkenaan hari ini. Aplikasi itu telah dilancarkan secara langsung di laman media sosial facebook  jam ADUN Tepoh tersebut pada 3 petang. Dengan memperkenalkan aplikasi berkenaan katanya, ia memberi lebih banyak kaedah untuk orang ramai berurusan dengan wakil kerajaan. "Aplikasi ini akan menjadi satu pakej tambahan untuk mempermudahkan urusan aduan rakyat. "Kaunter aduan rakyat di PKM dibuka sepertimana biasa dan aduan terus melalui pihak Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) juga berlangsung seperti biasa,"ujarnya lagi. Tambah Hishamuddin, pengadu boleh melihat status perkembangan setiap aduan sama ada ia sudah diselesaikan atau sedang diambil tindakan. "Buat masa ini, aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Google Play Store sahaja. Insya-Allah, proses permohonan untuk pengguna IOS telah dipanjangkan," katanya. Justeru itu, beliau berharap  kewujudan aplikasi ini membuahkan hasil yang lebih baik buat seluruh rakyat di dalam kawasan ini.
01 Jul 20
685
Pesakit Strok Terharu Terima Bantuan Kerusi Roda
Pesakit Strok Terharu Terima Bantuan Kerusi Roda
Oleh : Mustaqim Afandi Besut, 4 Jun- Seorang pesakit 'minor stroke' terharu menerima sebuah kerusi roda bagi memudahkan pergerakan di rumahnya di Kampung Batu Tumbuh, disini. Wan Husain yang menerima bantuan kerusi roda yang disumbangkan oleh pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kota Putera itu turut merakamkan ucapan terima kasih kepada pihak terlibat. "Saya sangat terharu atas keperihatinan Ahli Dewan Undangan (ADUN) Kota Putera, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman kerana sudah lama menantikan bantuan kerusi roda selepas kemalangan beberapa bulan yang lalu. "Terima kasih sangat-sangat kerana ia dapat memudahkan urusan pergerakan saya," ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Mohd Nurkhuzaini di rumahnya. Dalam pada itu, Mohd Nurkhuzaini yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri berkata, bantuan kerusi sangat membantu rakyat yang memerlukan, selain memudahkan pergerakan mereka ketika dalam pemulihan atau sepanjang tempoh perubatan. “Pesakit memerlukan kerusi roda khas kerana tubuh mereka tidak kuat untuk menampung sendiri tanpa sokongan. "Inisiatif ini bertujuan untuk memberikan kemudahan kepada individu yang menghadapi cabaran dalam pergerakan supaya mereka dapat menjalani kehidupan seharian secara lebih mudah. "InsyaAllah, pihak Pusat Khidmat DUN Kota Putera akan sentiasa menyalurkan bantuan kepada yang memerlukan bagi membantu masyarakat setempat," ujarnya.
01 Jul 20
238
Anugerah Syawal Buat Para Nelayan Di Muara Kuala Ibai
Anugerah Syawal Buat Para Nelayan Di Muara Kuala Ibai
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 3 Jun – Proses pendalaman secara sementara muara Sungai Kuala Ibai untuk membuka laluan baharu akhirnya selesai dan memudahkan para nelayan turun ke laut. Ketua Jaringan Perikanan, Mohd Din Arifin, kerja-kerja pengorekkan pasir tersebut merupakan proses sementara sebelum memulakan proses penuh yang melibatkan penggunaan mesin ‘Hydraulic Pump’ untuk menyedut pasir-pasir bagi mengekalkan kedalaman muara tersebut. “Saya mengucapkan terima kasih atas komitmen yang diberikan oleh semua pihak dalam menjaga kebajikan para nelayan di sini. “Dengan adanya laluan baharu ini, laluan menjadi lebih dekat dan kami para nelayan tidak perlu lagi ‘liung’ (pusing jauh) untuk pergi ke laut,” katanya ketika ditemubual oleh wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), hari ini di lokasi tersebut. Terdahulu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi bersama wakil pegawai daripada Parlimen Kuala Terengganu, Zulkifli Wahab telah hadir ke lokasi tersebut bagi melihat sendiri keadaan muara di sana yang kian cetek. Wakil rakyat itu memutuskan proses pengorekkan pasir dilaksanakan pada 16 Mei yang lalu sebagai langkah penyelesaian jangka pendek kepada nelayan setempat.
01 Jul 20
358
Kematian Pertama Akibat Keracunan Puding Buih
Kematian Pertama Akibat Keracunan Puding Buih
KUALA TERENGGANU, 3 Jun - Mangsa keracunan puding buih yang dibeli secara atas talian pada 22 Mei lalu dilaporkan meninggal dunia pukul 10.40 pagi tadi. Gadis berusia 25 tahun dari Marang itu menghembuskan nafas terakhir selepas menerima rawatan selama 10 hari di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ). Kematiannya dipercayai berpunca daripada kegagalan multiorgan akibat kejutan sepsis. Difahamkan beberapa ahli keluarganya turut dirawat di HSNZ kerana mengalami keracunan makanan yang sama. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr Alias Razak yang dihubungi sebentar tadi mengesahkan kematian pertama akibat puding terbabit. Katanya, siasatan terperinci dan tindakan lanjut telah dikenakan ke atas peniaga puding buih berkenaan. “Bagi pihak kerajaan negeri kami bersimpati dengan tragedi terbabit dan kita harap mereka tabah dan sabar. “Kita ingatkan kepada orang ramai terutama peniaga dan pengendali makanan agar lebih berhati-hati kerana ia melibatkan keselamatan dan boleh mengancam nyawa,” katanya. Tegas beliau, kerajaan juga telah merangka prosedur operasi standard (SOP) baharu kepada peniaga yang menjual makanan dari rumah supaya lebih menitikberatkan aspek kebersihan kerana ia membabitkan nyawa. “Walaupun ia merupakan kes yang berisiko kepada sesiapa sahaja ia juga boleh mengakibatkan kehilangan nyawa,” katanya lagi. Minggu lalu, seramai 99 mangsa dikejarkan ke HSNZ apabila mengalami muntah dan cirit-birit selepas menikmati puding buih yang dibeli secara atas talian.
01 Jul 20
130
Cakna Keberadaan Anak-Anak Dalam Tempoh PKPB – Zuraida
Cakna Keberadaan Anak-Anak Dalam Tempoh PKPB – Zuraida
Oleh : Syazwana M.Zohir KUALA TERENGGANU, 2 Jun – Ibu bapa disaran untuk mengambil tahu keberadaan anak-anak mereka terutamanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata, pandemik COVID-19 telah mengakibatkan penutupan pusat pengajian seperti institut pengajian tinggi dan sekolah. Menurutnya, keadaan ini menyebabkan kesemua anak-anak pulang berkumpul di kediaman keluarga masing-masing. “Disebabkan PKPB ini, anak-anak kita tidak dapat meneruskan sesi pembelajaran dan apabila tidak ke sekolah maka banyaklah masa terluang mereka. “Kita khuatir sekiranya anak-anak ini menyalahgunakan masa lapang mereka untuk perkara yang tidak bermanfaat dan lebih teruk sekiranya perkara tersebut mendatangkan kemudaratan kepada mereka,” ujarnya. Beliau berkata demikian ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), kelmarin. Zuraida turut menzahirkan kesedihannya atas pemergian seorang kanak-kanak berusia lapan tahun, Nur Nazihah Mohd Sabri yang meninggal dunia akibat disengat tebuan di Dungun serta atas pemergian tiga beradik, Khalif Naim Mohd, Khairil Firdaus dan Umar Iskandar yang lemas di Kuala Telemong. “Sedih dan pilu apabila mengenangkan anak-anak yang susah-payah kita besarkan, tiba-tiba terbujur kaku, pergi menghadap penciptanya dalam sekelip mata. “Memanglah sudah begitu takdir yang disuratkan untuk mereka tetapi kita yang masih hidup ini, kenalah ambil pengajaran. Jangan biarkan anak-anak kita pergi ke mana-mana tanpa pengawasan orang dewasa,” katanya. Zuraida mengingatkan ibubapa bahawa tragedi kehilangan nyawa seperti ini boleh dielakkan sekiranya mereka sentiasa peka akan lokasi dan aktiviti anak-anak. Beliau yang berkesempatan menziarahi keluarga mangsa lemas berkenaan turut menyampaikan sedikit sumbangan dan  hadir sama dalam ziarah tersebut juga ialah Ahli Dewan Negara, Senator Nuridah Mohd Salleh.
01 Jul 20
79