lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

167 Orang Asli Sungai Pergam Disantuni
167 Orang Asli Sungai Pergam Disantuni
Oleh : Aminji KEMAMAN, 11 Jun - Seramai 167 orang ketua isi rumah masyarakat Orang Asli Sungai Pergam menerima sumbangan keperluan harian dan wang ringgit di sini hari ini. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Air Putih, Ab Razak Ibrahim berkata, mereka adalah antara golongan yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu. "Masyarakat Orang Asli di Sungai Pergam terdiri daripada pelbagai peringkat umur dan pekerjaan. "Mereka juga terkesan dengan PKP dalam usaha sama mengekang wabak COVID-19 ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam satu majlis ringkas penyampaian sumbangan kepada penerima. Dalam pada itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat juga turun padang menyantuni masyarakat Orang Asli di sini. Ab Razak turut memberitahu, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih menyampaikan sumbangan kepada masyarakat Orang Asli dari masa ke masa sepanjang PKP berjalan. “Kami mengucapkan terima kasih kepada YB (Yang Berhormat) Ahli Parlimen Kemaman dan YB Exco Kerajaan Negeri Terengganu yang sanggup turun padang menyantuni mereka. "Kita berharap dengan sumbangan yang diterima dapat meringankan sedikit sebanyak bebanan yang ditanggung," ujarnya.  
01 Jul 20
723
Masalah Bekalan Air Di Setiu Bakal Berakhir
Masalah Bekalan Air Di Setiu Bakal Berakhir
Oleh : Muhammad A. Rahman SETIU, 11 Jun - Masalah gangguan bekalan air yang sering menghantui penduduk di Parlimen Setiu akan diselesaikan tidak lama lagi. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata kekurangan loji air dan keusangan paip air di kawasan terbabit antara punca gangguan bekalan  air kerap berlaku. “Hanya satu sahaja loji air iaitu Loji Air Sungai Tong II dan ada keperluan untuk menukar paip-paip lama yang perlu diganti baharu. “Hari ini saya dimaklumkan akan dibuka balik Loji Air Bukit Kemudu selepas mendapat kelulusan dari Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN),  penggantian paip air yang baharu juga akan dibuat secara berperingkat, In Sha Allah ia akan dapat menyelesaikan sebahagian besar isu air ini,” katanya. Beliau berkata demikian selepas menghadiri satu perbincangan bersama pihak Syarikat Air Terengganu (SATU) di Pejabat SATU Daerah Setiu semalam. Turut hadir dalam dalam perbincangan itu ialah Ketua Teknikal SATU Setiu, Khairil Azizi Nodin, Ketua Bisnes SATU Setiu, Pegawai Penyelaras DUN Langkap, Azmi Maarof dan Pegawai Penyelaras DUN Permaisuri, Zul Bhari A Rahman, Dalam masa yang sama, Shaharizukirnain memohon agar masyarakat di sekitar daerah berkenaan bersabar sehingga keadaan berjaya dipulihkan seperti biasa. “Penduduk Setiu diharap dapat memahami keadaan yang berlaku dan memerlukan sedikit masa dalam proses membaik pulih ini,” tambah beliau.
01 Jul 20
492
Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat Pasca PKPB
Kes Demam Denggi Di Terengganu Meningkat Pasca PKPB
KUALA TERENGGANU, 11 Jun - Sebanyak 84 kes demam denggi telah didaftarkan di Terengganu dengan peningkatan ketara dapat dilihat bermula awal Mei sehingga 6 Jun sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac sehingga 6 Jun. Pengarah Kesihatan Negeri Terengganu, Dr Nor Azimi Yunus berkata, ia berikutan terdapat peningkatan pergerakan di kalangan masyarakat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) menggantikan PKP. Katanya, sehingga 6 Jun lalu, kejadian kes denggi di negeri Terengganu adalah sebanyak 176 kes berbanding 318 kes pada tahun 2019 dalam tempoh yang sama dengan penurunan sebanyak 44.5% (142 kes). "Berbanding tahun lepas, kes denggi menunjukkan penurunan. Namun terdapat kenaikan pada graf kes bermula awal tahun ini terutama selepas PKP berakhir dan digantikan dengan PKPB. "Memandangkan fasa PKPB telah beralih ke fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), akan terdapat lebih banyak pergerakan di kalangan masyarakat dan kebarangkalian untuk dijangkiti denggi akan meningkat," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas tinjauan ke lokaliti wabak di Lorong Seri Tanjung, Kuala Terengganu di sini hari ini. Menurutnya, daerah yang mencatatkan bilangan kes denggi tertinggi merupakan daerah Kuala Terengganu (99 kes) diikuti dengan daerah Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17 kes), Besut (14 kes), Dungun (11 kes), Marang (8 kes), Hulu Terengganu (5 kes) dan Setiu (3 kes). Semua daerah menunjukkan penurunan kes kecuali daerah Kemaman yang menunjukkan peningkatan kes berbanding tempoh yang sama pada tahun 2019. Sehingga 6 Jun 2020, tiada kes kematian denggi yang dilaporkan di negeri Terengganu. Sehingga 6 Jun 2020, beliau memaklumkan, sebanyak tiga belas (13) episod wabak telah berlaku di negeri Terengganu iaitu sepuluh (10) episod di daerah Kuala Terengganu, dua (2) episod di daerah Hulu Terengganu dan satu (1) episod di daerah Kuala Nerus. Bagaimanapun semua wabak merupakan wabak terkawal dengan lima (5) episod wabak masih aktif dan semua wabak aktif tersebut adalah di daerah Kuala Terengganu. Justeru katanya, orang ramai diingatkan supaya mengambil langkah-langkah pencegahan demam denggi. "Saya ingatkan semua bahawa 'vaksin' utama denggi adalah memperkasakan tingkah laku masyarakat menjaga kebersihan rumah masing-masing. Amalkan gotong-royong kendiri di samping mematuhi Prosedur Operasi Standard yang ditetapkan oleh kerajaan. "Luangkan masa 10 minit setiap minggu untuk aktiviti cari dan musnah tempat pembiakan Aedes (bekas menakung air) di dalam dan di luar rumah masing-masing serta di tempat kerja jika anda sudah kembali bertugas. "Dan juga rumah-rumah yang telah lama ditinggalkan kerana PKP perlu dibersihkan dengan segera kerana boleh menyumbang kepada pembiakan nyamuk Aedes jika terdapat bekas-bekas yang menakung air," tegasnya.
01 Jul 20
61
Mangsa Motosikal Terbakar Terharu Terima Sumbangan
Mangsa Motosikal Terbakar Terharu Terima Sumbangan
Oleh : Mohd Rizauddin DUNGUN, 9 Jun - "Saya sungguh terharu dengan sumbangan motosikal yang saya dapat ni. Terima kasih banyak ustaz. Saya doakan semoga Allah permudahkan segala urusan ustaz dan semua kakitangan Pejabat Parlimen Dungun," ujar Mohammad Radzi Mohamed. Mohamad Radzi, 65, merupakan pemilik sebuah motosikal yang musnah terbakar di Bangunan Salwa, Sura Gate, pada 7 April lalu. Katanya, dalam kejadian yang berlaku kira-kira jam 10 pagi itu dia berada di bilik sewanya di tingkat tiga bangunan tersebut selepas baru 10 minit pulang dari kedai runcit. Mohamad Radzi berkata, dia tetap redha dengan dugaan yang dihadapi walaupun kejadian berkenaan menyebabkan satu-satunya kenderaan miliknya lenyap sekelip mata. Bagaimanapun, sukar untuk digambarkan perasaannya apabila memperoleh sebuah motosikal baharu hasil sumbangan Pejabat  Ahli Parlimen Dungun serta pihak kedai Aroma Kitchen yang turut mengadakan kutipan derma untuk menggantikan motosikalnya yang terbakar. "Sekali lagi saya nak ucapkan terima kasih. Saya memang tidak menyangka Allah kurniakan rezeki sebegini kepada saya. Terima kasih juga kepada Aroma Kitchen kerana turut serta mengadakan kutipan derma. Semoga Allah membalas jasa kalian semua," ujarnya kepada pemberita pada majlis penyampaian sumbangan itu di Tenox Motorbikes, di sini, semalam. Penyerahan motosikal tersebut dilakukan oleh Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli dengan disaksikan pemilik Aroma Kitchen sendiri, Jamilul Khairi Abd Rasid serta rakan kongsinya, Azidy Abdul Hadi. Sementara itu, Wan Hassan berkata, inisiatif yang dilakukan oleh pihak Aroma Kitchen itu adalah satu contoh terbaik bagi anak muda. Beliau juga menggalakkan agar lebih ramai lagi anak muda di Dungun khususnya terlibat dengan kerja-kerja kebajikan seperti yang dilakukan oleh mereka berdua.
01 Jul 20
455
Elakkan 3C, Amalkan 3W
Elakkan 3C, Amalkan 3W
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan negeri menyeru rakyat Terengganu mematuhi saranan Kementerian Kesihatan (KKM) supaya terus mengamalkan pendekatan 3W dengan mengelakkan 3C sebagai kebiasaan baharu dalam kehidupan seharian bagi mengawal penularan COVID-19. Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, konsep 3W merangkumi kerap mencuci tangan dengan air dan sabun (wash), memakai pelitup separuh muka di tempat awam atau jika bergejala (wear), dan amaran dari KKM yang lebih berkonsep peringatan (warn). Katanya, peringatan itu termasuk elak bersalaman dan bersentuhan, amalkan etika batuk dan bersin, dapatkan rawatan segera jika bergejala, duduk di rumah serta elakkan amalan kunjung-mengunjung. "Elakkan 3C, iaitu jauhi kawasan yang sesak (crowded place), elakkan kawasan yang sempit (confined space) dan elak sembang atau bertutur dengan jarak yang dekat (close conversation)," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini. Mengulas lanjut, Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal mengingatkan, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok hingga 31 Ogos ini bukan tiket kebebasan rakyat. "Kita mengalu-alukan keputusan kerajaan memberikan lebih banyak kelonggaran kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian untuk menggerakkan semula ekonomi rakyat. "Bagaimanapun, ia bukanlah tiket untuk rakyat bergerak bebas tanpa peraturan. Paling penting adalah kawalan kendiri dan semua pihak bertanggungjawab mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN)," jelasnya.  
01 Jul 20
562
Pasar Minggu, Pasar Malam Dan Pasar Tani Terengganu Dibenar Beroperasi Esok
Pasar Minggu, Pasar Malam Dan Pasar Tani Terengganu Dibenar Beroperasi Esok
KUALA TERENGGANU, 9 Jun - Kerajaan Terengganu akan membenarkan operasi pasar minggu, pasar tani, pasar pagi dan pasar malam mulai esok, dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak berkata, waktu operasi yang dibenarkan bagi pasar pagi dan terbuka adalah dari 6 hingga 11 pagi; manakala pasar malam dari 4 petang hingga 10 malam. "Alhamdulillah tinjauan yang dibuat dalam operasi pasar percubaan di Pasar Tani Padang Hiliran dan pasar malam di pekarangan Stadium Sultan Mizan baru-baru ini mendapati rakyat kita mematuhi SOP yang ditetapkan. "Antara SOP yang perlu dipatuhi adalah kedudukan gerai ditetapkan antara 1.5 hingga dua meter dan lokasi kawasan perlu terbuka dan berpagar bagi mengawal laluan keluar masuk sehala. "Pemeriksaan suhu badan akan dilakukan di laluan masuk dan pengunjung perlu menggunakan pensanitasi tangan selain digalakkan memakai pelitup muka. "Bagaimanapun, peniaga tidak boleh menyediakan meja atau tempat makan, dan pelanggan hanya boleh membawa pulang makanan dibeli," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita pada satu sidang media di Wisma Darul Iman, hari ini. Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Tunggal turut memberitahu, Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah antara usaha kerajaan untuk menggerakkan semula ekonomi rakyat. Tambahnya, kedai gunting rambut, termasuk perkhidmatan dandanan rambut dan kecantikan juga dibenarkan beroperasi mulai esok dengan syarat perlu mematuhi SOP yang ditetapkan oleh MKN. "SOP yang lebih terperinci akan dikeluarkan dari masa ke masa. Peniaga juga akan diberi taklimat oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) melalui Majlis Bandaraya setiap daerah," jelasnya. Terdahulu Kerajaan Pusat mengumumkan PKPP bermula esok hingga 31 Ogos ini bagi menggantikan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, lebih banyak kelonggaran diberikan kepada rakyat untuk menjalani aktiviti kehidupan seharian di samping mematuhi SOP secara berterusan.
01 Jul 20
492
PKPP : 'Jangan Terlalu Teruja'
PKPP : 'Jangan Terlalu Teruja'
Oleh: Muhammad A Rahman SETIU, 8 Jun - Rakyat Malaysia khususnya warga Setiu diingatkan agar tidak terlalu teruja dengan kelonggaran yang diberikan dalam Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa 10 Jun nanti. Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain sebaliknya berkata, orang ramai mesti terus menjaga disiplin diri dengan mematuhi langkah-langkah keselamatan dan kesihatan. "Tiada masalah melakukan aktiviti yang dibenarkan termasuk melancong tetapi kita kena sentiasa berhati-hati kerana wabak ini belum berakhir lagi," ujar beliau. Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai peningkatan tempahan hotel secara mendadak di beberapa tempat oleh pemberita hari ini. Semalam, beberapa portal media melaporkan lebih 1,000 tempahan hotel telah dibuat oleh rakyat Malaysia dalam masa kurang satu jam. Mengulas lanjut, Shaharizukirnain berkata kebiasaan baharu yang dianjurkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) wajar diamalkan setiap masa walaupun sedikit ruang kebebasan diberikan. "Sentiasa amalkan penjagaan diri seperti jaga jarakan sosial, membawa penutup muka , memakai hand sanitizer dan tidak berkumpul di kawasan sesak," tambah beliau.
01 Jul 20
59
MPKK DUN Kijal Mengisi Tabung Darah
MPKK DUN Kijal Mengisi Tabung Darah
Oleh : Alfian Mamad KEMAMAN, 9 Jun - Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar menyahut Kempen Jom Derma Darah yang dianjurkan oleh Hospital Kemaman. Seramai 17 orang wakil MPKK menyertai kempen tersebut termasuk Timbalan Pengerusinya, Zawawi Mohamed di Unit Transfusi Darah Hospital Kemaman semalam. Beliau ketika ditemui berkata, program sebegini wajar dijadikan sebagai tanggungjawab sosial bagi setiap individu untuk membantu mereka yang memerlukan darah. "Selain daripada kita dapat membantu pesakit yang memerlukan terutama pesakit yang kehilangan darah akibat kemalangan jalan raya, ianya juga dapat mengurangkan risiko menghidap penyakit seperti gout," katanya. Zawawi yang juga Pengerusi Kebajikan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal berkata, tahap kesedaran masyarakat tentang kepentingan menderma darah masih rendah. "Insya-Allah kita akan gerakkan masyarakat sekitar terutama di DUN Kijal supaya amalan ini dijadikan satu kemestian kepada setiap individu," ujar beliau. Beliau menyeru agar setiap MPKK menyahut cabaran itu bagi membantu memenuhi keperluan darah di setiap hospital. "Kita akan jadikan program menderma darah ini sebagai program tahunan oleh jawatankuasa Kebajikan DUN Kijal bagi mendedahkan masyarakat tentang kepentingannya," ujarnya.
01 Jul 20
188
Pok Mat Tidak Sangka Terima Kunjungan Pemimpin Negeri
Pok Mat Tidak Sangka Terima Kunjungan Pemimpin Negeri
Oleh : Rohayati Ripin KUALA TERENGGANU, 8 JUN – Bapa kepada tiga mangsa kejadian lemas di Sungai Telemong, Hulu Terengganu pada 28 Mei baru-baru ini tidak menyangka dan terharu dengan kehadiran para pemimpin kerajaan negeri ke kediamannya. Mohamad Ismail ataupun dikenali dengan panggilan Pok Mat, 64, yang tinggal di kampung Kuala Telemong, Hulu Terengganu tidak menyangka rumahnya sentiasa didatangi para pelawat. “Saya tak sangka rumah saya tak putus-putus didatangi oleh para pemimpin kerajaan negeri Terengganu. Kita orang biasa sahaja dan orang yang hadir itu orang kenamaan. “Ada orang kata anak-anak saya ini  mulia Allah bagi selepas dia tiada. Terima kasih kepada semua pihak daripada orang atas hingga bawah yang sudi hadir,” jelasnya. Pok Mat yang merupakan seorang Pesara Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan kini pemandu van jenazah berkata demikian ketika ditemui pihak media di rumahnya, pada semalam. Justeru itu, beliau berpesan kepada anak-anaknya yang lain jangan meratapi orang yang sudah pergi. “Saya pesan  ke anak-anak cukup-cukuplah menangis. Jangan fikir banyak. Nabi Muhammad SAW pun sedih juga dengan pemergian orang tersayang tetapi jangan melampau sangat. “Saya redha dengan apa yang berlaku dan kita ambil kesempatan dan peluang yang ada seperti solat malam, sedekah pada mereka,” tambahnya lagi. Sementara itu, Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali yang membuat kunjungan ke rumah Pok Mat berkata, beliau bersimpati dengan kejadian yang telah meruntun hati  apabila kehilangan tiga orang anak sekaligus.  “Tujuan kami datang adalah untuk menyatakan rasa simpati  dan merapatkan ukhuwah persaudaraan sesama umat Islam. “Mudah-mudahan apa yang berlaku ini, Pok Mat sekeluarga bersabar menghadapinya walaupun anak-anak yang pergi masih lagi diusia remaja,” ujar beliau. Menurutnya yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera (Sejahtera), sebelum Ini Menteri Besar Terengganu Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar telah mengadakan kunjungan bersama barisan Exco dengan tujuan yang sama. “Kami rancang lewat sikit tapi sekurang-kurangnya ada penyambung yang turut sama merasai perasaan dan kesedihan. Dan ada sedikit sumbangan berbentuk kewangan diberikan kepada keluarga tersebut,” tambah Yahaya.
01 Jul 20
62
Kenaikan Caj Gunting Rambut Pada Kadar Berpatutan
Kenaikan Caj Gunting Rambut Pada Kadar Berpatutan
Oleh : Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 7 Jun - Caj perkhidmatan gunting rambut di negeri ini dijangka akan dinaikkan pada kadar berpatutan antara RM5 hingga RM10 susulan peningkatan kos operasi pematuhan prosedur operasi standard (SOP) terhadap perkhidmatan itu. Presiden Persatuan Terengganu Barber Association, M. Amir Azizi Mohd Zaki berkata, walau bagaimanapun kenaikan dibuat pada kadar setimpal berdasarkan perkembangan dan keperluan semasa. "Pengusaha kedai gunting dan dandan rambut terpaksa menampung kos tersebut sebaik sahaja memulakan operasi pada 10 Jun ini. "Yang paling penting adalah  SOP itu untuk keselamatan pelanggan dan juga semua pihak. "Jadi, industri dapat beroperasi dengan baik dan masyarakat dapat menggunakan perkhidmatan sewajarnya untuk menggunting rambut," ujarnya. Beliau yang mengusahakan 'Amir Sibling Hairstyle' berkata demikian ketika dihubungi pemberita, hari ini. Menurut Amir Azizi, harga baharu itu dijangka diumumkan dalam tempoh terdekat oleh persatuan dan pengusaha kedai gunting rambut di Negeri Terengganu. Terdahulu, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob di dalam sidang media semalam berkata SOP untuk kedai gunting ialah pengusaha perlu menyediakan apron pakai buang yang berbeza untuk setiap pelanggan dan tidak boleh menggunakan tuala yang dikongsi. Selain itu juga, ianya turut menetapkan agar pekerja memakai pelindung muka, apron pakai buang selain sarung tangan yang berbeza bagi setiap pelanggan. Di samping memastikan jarak antara setiap kerusi sejauh sekurang-kurangnya dua meter bagi setiap pelanggan.
01 Jul 20
409