lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Pusat Khidmat DUN Batu Buruk Agih 4,500 Lauk Berbuka
Pusat Khidmat DUN Batu Buruk Agih 4,500 Lauk Berbuka
Oleh: Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Sebanyak 4,500 pek lauk berbuka puasa diagihkan  Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk kepada masyarakat setempat melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat. Menurut ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi agihan tersebut merupakan antara program kebajikan yang dirancang sempena Ramadan tahun ini. "Peringkat pertama kita telah agihkan barangan dapur, manakala di peringkat kedua, kuih raya dan kali ini kita agihkan lauk. "Saya mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang terutama pihak masjid di dalam DUN ini yang sudi bersama dalam program kebajikan ini," katanya ketika ditemu bual Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) di kediamannya, semalam. Jelasnya, sebanyak lima ekor lembu dan seekor kerbau telah disembelih bagi menjayakan program itu.
02 Jul 20
144
Singgah Sahur Rai 60 'Pak Guard'
Singgah Sahur Rai 60 'Pak Guard'
Oleh: Izzat Al-Qushairi SETIU,15 Mei - Program singgah sahur yang diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit semalam meraikan 60 pengawal keselamatan atau 'Pak Guard' yang bersengkang mata menjaga keselamatan premis awam. Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, antara destinasi yang dikunjungi adalah sekolah, kawasan tangki air, kuari, Institut Teknologi Petroleum Petronas (INSTEP) dan Tenaga Nasional Berhad (TNB).  "Jika sebelum ini, edaran pek makanan sahur diagihkan kepada petugas dan anggota di balai polis dan balai bomba, namun pada kali ini sedikit kelainan dibuat dengan meraikan mereka yang bertugas di belakang tabir dalam menjaga keselamatan syarikat dan masyarakat. "Ini merupakan kali keenam kami mengagihkan juadah sahur dan berharap program ini dapat diteruskan lagi pada masa akan datang agar hubungan di antara pemimpin DUN dengan penjaga keselamatan di sini dapat dieratkan lagi," katanya kepada media. Program turut dihadiri oleh Ketua Pemuda PAS DUN Batu Rakit, Mohd Khairul Nizam Mohd Rozali dan Timbalannya, Hadiyallah Alias@Manaf. Sementara itu, Shafizi berkata, program itu adalah salah satu tanggungjawab Pusat Khidmat Masyarakat DUN berkenaan untuk menjaga kebajikan rakyat setempat. "Semoga sedikit usaha ini juga mampu memberi kemudahan kepada mereka untuk bersahur. "Kita bantu sekadar yang termampu agar semua yang berada di Batu Rakit dapat berpuasa dengan baik," tambah beliau.
02 Jul 20
90
Hanafiah Rai 597 Jururawat
Hanafiah Rai 597 Jururawat
Oleh: Ahmad Ezani Razali KEMAMAN, 14 Mei - Seramai 597 orang jururawat yang bertugas di seluruh Kemaman melibatkan jururawat di Hospital Besar Kemaman, Klinik Kesihatan dan Klinik Desa diraikan, kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat turut menyampaikan kek dan cenderahati untuk diagihkan kepada semua jururawat. Katanya, ia bertujuan meraikan mereka yang juga barisan hadapan dalam perjuangan membendung wabak COVID-19 seiring sambutan Hari Jururawat 2020 yang disambut pada 12 Mei. "Hari ini saya hadir sebagai tanda menghargai kecaknaan, komitmen dan kesabaran yang sangat tinggi oleh seluruh jururawat. "Mereka telah menghabiskan banyak waktu di hospital setiap hari bagi merawat serta melayani kerenah pesakit," katanya. Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meraikan semua jururawat di Hospital Besar Kemaman dan Klinik Kesihatan Batu 2 1/2. "Bertugaslah dengan ikhlas kerana Allah SWT dan saya mendoakan agar semua diberikan ganjaran serta kebaikan di atas segala yang telah mereka kerjakan," ujarnya lagi.
02 Jul 20
50
Ibu Akur Anak Tidak Dapat Pulang Disebabkan PKPB
Ibu Akur Anak Tidak Dapat Pulang Disebabkan PKPB
Oleh: Amirullah / Adli DUNGUN, 14 Mei - Seorang ibu, Munah Kassim, 66, terpaksa menanggung rindu apabila anak yang bekerja di ibu kota tidak dapat pulang seperti selalu kerana mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Namun begitu, dia akur dengan larangan rentas negeri dilaksanakan kerajaan itu bagi mengekang berlakunya penularan wabak COVID-19. "Pada kebiasaan anak-anak makcik balik apabila tibanya Ramadhan dan hari raya, pada tahun ini terpaksa akur dengan norma baharu. "Memang perasan rindu itu amat mendalam, tetapi makcik tahanlah, semoga Allah panjangkan umur makcik dapatlah bertemu lagi anak-anak makcik dimasa akan datang, tidaklah makcik pergi (meninggal) menahan perasaan rindu," ujarnya kepada pemberita selepas menerima sumbangan oleh pelaksana agihan bantuan, Skuad Kebajikan Ahli Parlimen Dungun. Munah merupakan diantara 112 penerima sumbangan di Hulu Dungun. Turut serta dalam program agihan itu Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman.
02 Jul 20
45
Rumah Terbakar, Hanya Sempat Alihkan Motor
Rumah Terbakar, Hanya Sempat Alihkan Motor
Oleh: Adli Mohamad DUNGUN, 14 Mei - "Saya cuma sempat alihkan sebuah motor, semua harta benda lain musnah tidak dapat diselamatkan," ujar Mohd Farhan, 25. Dalam kejadian yang berlaku di Kampung Dendang petang semalam, Mohd Farhan sekeluarga tinggal sehelai sepinggang apabila rumah keluarganya musnah terbakar dijilat api. Menurut Mohd Farhan, ketika kejadian dia sedang berehat di dalam rumah dan tersedar apabila api mula marak. "Saya panik dan segera keluar rumah menyelamatkan diri, hanya saya seorang yang berada di rumah ketika kejadian kerana ayah pergi ke Dungun. "Jiran-jiran segera datang dan menghulurkan bantuan, saya ketika itu tidak dapat menghubungi sesiapa pun kerana telefon tertinggal didalam rumah yang terbakar," ujar yang merupakan salah seorang anak kepada pemilik kediaman, Maznon Abdul Rani. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media di tapak kebakaran, hari ini. Sementara itu, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ketika dimaklumkan mengenai kejadian berkenaan, beliau baru keluar dari pejabat. "Saya segera bergegas ke tempat kejadian dan membuat panggilan kepada Jabatan Bomba dan Penyelamat. "Kita turut adukan perkara ini kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) serta tindakan segera pihak kita dengan mewujudkan tabung  bencana kilat," ujarnya. "Buat sementara waktu ini, mereka sekeluarga ditawarkan untuk tinggal di rumah Timbalan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dendang, Ibrahim Omar. Dalam pada itu Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Zulhusni Abdul Rahman mengesahkan  mengenai kebakaran yang berlaku.
02 Jul 20
63
Solat Jumaat Pertama PKPP, Jemaah Patuh SOP
Solat Jumaat Pertama PKPP, Jemaah Patuh SOP
Oleh : Hidayah Azlin SETIU, 12 Jun – Hampir kesemua jemaah yang hadir solat jumaat dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Terengganu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, langkah kawalan ketat yang dijalankan sebagaimana  ketetapan pihak berkuasa dipatuhi semua pihak. "Hampir 100 peratus daripada SOP yang ditetapkan berjaya dipatuhi di sini. Seramai 80 orang yang hadir mendaftarkan nama, diambil suhu badan masing-masing. "Terima kasih diucapkan kepada semua Ahli Jawatankuasa Masjid yang bertungkus lumus sejak daripada semalam lagi menyusun kedudukan para jemaah mengikut jarak yang telah ditentukan," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas menunaikan solat jumaat di Masjid Kampung Bukit Tanah, Jabi di sini hari ini. Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, seawal 12.30 tengah hari para jemaah mula berpusu-pusu memenuhi ruangan masjid. Tambahan pula, pintu masjid ditutup tiga minit sebelum masuk waktu, iaitu pada jam 1.09 petang. "Khatib juga mematuhi arahan yang telah ditetapkan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dengan menyampaikan khutbah ringkas. "Solat juga dilakukan dengan ringkas, bacaan ayat-ayat pendek serta tiada jemaah yang menunaikan solat sunat rawatib. "Alhamdulillah semua bersurai dengan tertib. Insya-Allah Jumaat minggu hadapan, saya yakin suasana akan menjadi lebih baik dan kita boleh meneruskan solat sebagaimana biasa," tambah beliau.
02 Jul 20
262
Terima kasih Ustaz Atas Kecaknaan
Terima kasih Ustaz Atas Kecaknaan
Oleh : Azhar Yusof HULU TERENGGANU, 12 Jun - "Terima kasih Ustaz, kerana ustaz sudi datang memberi kata kata semangat dan motivasi pada kami," kata Orang Kena Pengawasan (OKP), yang hanya mahu dikenali sebagai Faizal. Dia melahirkan rasa terharu dengan kesudian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim hadir slot Program Agama dan Kerohanian walaupun mengetahui tentang sejarah hitam mereka yang hadir. Malah dia juga berkongsi kisah permulaan bagaimana penglibatannya dengan pil kuda. Jelasnya, dia mengambil pil kuda kerana mengalami masalah peribadi pada umur 23 tahun ketika bergelar penuntut di sebuah Universiti Awam yang menyebabkanya tercicir dalam pembelajaran. "Pada mulanya, memang  berasa hilang segala masalah tetapi selepas itu, menjadi sangat letih dan lemah. Lepas itu mula menggandakan pengambilan pil kuda dan lama-kelamaan, dah tidak boleh mengawal diri dan terus menjadi hamba dadah," katanya kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) ketika ditemui selepas program berkenaan, semalam. Faizal yang kini berumur 37 tahun sedang menjalani pemulihan bersama Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) . Sementara itu, Pengerusi ( JKPD) Jawatankuasa Pemulihan Dadah Hulu Terengganu yang juga ADUN Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata kolaborasi agensi kerajaan dan badan bukan kerajaan menerusi program itu juga diharap akan membangunkan model baharu dengan tindakan lebih berkesan dalam menangani penyalahgunaan dadah di negara ini. “Terjebaknya dengan najis dadah amat memberi kesan terhadap kehidupan segelintir belia .Kebanyakkannya bermula akibat pengaruh rakan sebaya membuatkan mereka terjebak dengan aktiviti tersebut seawal bangku persekolahan lagi. "Walaupun mereka kurang disenangi masyarakat, mereka sentiasa mendapat perhatian dari kerajaan melalui AADK yang memainkan peranan penting dalam membantu mereka keluar dari masalah penggunaan dadah disamping menjadikan mereka mempunyai modal insan yang berguna," ujarnya lagi. Jelasnya, dinamika penyalahgunaan dadah ini adalah sangat kompleks kerana ada yang terjebak kerana kemiskinan, sebab membesar di kalangan orang yang menghisap dadah, dan kitaran yang tidak baik ini akan berterusan. “OKP ini mahu berubah, tetapi memerlukan sokongan ahli keluarga dan masyarakat di mana melalui program sebegini memberi kesedaran bahawa masyarakat masih menerima mereka. "Sebab tu lah peranan kita yang ‘sihat’ ni penting. Bukan dengan memaksa, tapi dengan memberi perhatian, mendengar, dan memahami jiwa dan fizikal mereka-mereka yang terperangkap dalam penyalahgunaan dadah ini," katanya.  
02 Jul 20
123
Terengganu Benarkan Ziarah Kubur Ikut SOP
Terengganu Benarkan Ziarah Kubur Ikut SOP
KUALA TERENGGANU, 12 Jun - Kerajaan negeri membenarkan aktiviti ziarah tanah perkuburan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuat kuasa kelmarin. Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah walau bagaimanapun menegaskan, umat Islam diminta supaya tidak mengabaikan prosedur operasi standard (SOP) seperti ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). Jelasnya, SOP seperti tidak membenarkan berlaku perhimpunan ramai dan pengamalan penjarakan sosial serta pemakaian pelitup muka ketika menziarahi tanah perkuburan perlu diutamakan bagi mengelakkan wabak COVID-19 kembali menular. “Kita minta jangan terlalu lama berada di tanah perkuburan selain elakkan bersalaman antara satu lain,” katanya kepada pemberita hari ini. Sebelum ini, dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Bersyarat termasuk semasa Aidilfitri, umat Islam di Terengganu dilarang melakukan aktiviti ziarah ke tanah perkuburan kerana kadar jangkitan COVID-19 masih tinggi.
02 Jul 20
377
Ameerah Sasar Golongan Ibu Muda
Ameerah Sasar Golongan Ibu Muda
Oleh : Syazwana M.Zohir KUALA TERENGGANU, 12 Jun –  Ameerah Terengganu mensasarkan untuk membantu golongan yang terjejas kerana COVID-19 terutamanya golongan ibu-ibu muda di negeri ini. Pengarah Ameerah negeri, Zuraida Md Noor berkata terdapat beberapa program yang telah dirangka dan disasarkan kepada kumpulan wanita muda untuk membantu mereka meneruskan kehidupan. Katanya, terdapat tiga bidang pengkhususan mengikut kluster tertentu yang telah dirancang dan akan dilaksanakan secara berperingkat. “Kluster pertama, kita namakan sebagai Kluster Kerjaya dan Kemahiran. Fokus utama adalah bagi menyediakan peluang latihan bersama agensi kerajaan yang berkaitan bagi bidang pertanian bandar, pembuatan makanan, salon dan spa, ‘home services’, jahitan, ‘runner’, ‘personal shopper’ serta barangan siap. “Kluster kedua ialah Kluster Kebajikan, Kesihatan dan Kaunseling. Melalui kluster ini akan diadakan segmen kesedaran kesihatan wanita melalui kempen berbentuk maya di samping menjalankan aktiviti ziarah berkebajikan bagi membantu menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh satu-satu keluarga,”ujarnya. Beliau berkata demikian ketika di temu ramah oleh juruhebah stesen radio Manis FM disini, semalam. Zuraida yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu turut menyatakan bahawa kluster yang ketiga adalah mengenai Keagamaan dan Kerohanian, yang berperanan untuk mengadakan kelas agama berkonsepkan tuisyen. “Pelaksanaan tuisyen ini akan diadakan dalam perkumpulan kecil selain melalui medium panggilan video bagi memastikan Tatacara Prosedur Operasi Standard dipatuhi. “Alhamdulillah, kita mempunyai ahli Ameerah yang mempunyai tauliah untuk mengajar dan kita akan gunakan mereka sebagai tenaga pengajar untuk memberi didikan asas fardu ain kepada wanita muda,”tambahnya. Beliau juga berharap agar program yang dirancang ini akan menerima sambutan yang menggalakkan daripada kumpulan sasaran. Sebagai pengenalan, Ameerah merupakan satu badan yang berperanan bagi memberi kesedaran politik kepada generasi muda serta bertindak sebagai ‘duta kecil’ kerajaan negeri.
01 Jul 20
139
Lama Menanti, Jemaah Teruja Boleh Solat Semula Di Masjid
Lama Menanti, Jemaah Teruja Boleh Solat Semula Di Masjid
Oleh : Izzat Al Qushairi KUALA NERUS, 12 Jun - Rata-rata anak Muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit melahirkan rasa teruja apabila orang ramai dibenar solat di masjid semula selepas Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ditamatkan. Salah seorang daripada mereka, Mohamad Shahiran Ismail, 25, berkata walaupun pihak berkuasa menetapkan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat, dia sangat bersyukur kerana masjid dan surau akan kembali diimarahkan umat Islam. "Alhamdulillah, hari ini kita semua boleh solat di masjid, dan bagi solat Jumaat di Masjid Bukit Cempaka, di sini, pihak masjid menetapkan seramai 231 orang sahaja untuk menunaikan solat. "Kami anak muda mengucapkan terima kasih tidak terhingga selepas hampir tiga bulan tidak dapat pergi ke masjid, sangat rindu dan sangat terkesan dengan keadaan yang berlaku," katanya ketika ditemui pemberita. Dalam pada itu Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail, berkata kebenaran menunaikan solat itu diperluaskan selepas mendapat perkenan Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin seiring dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Jun hingga 31 Ogos sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini. "Penggunaan masjid dan surau untuk pelaksanaan solat Jumaat dan solat berjemaah hendaklah mematuhi sepenuhnya garis panduan dan prosedur yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan Malaysia. "Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) sudah mengeluarkan satu garis panduan dan kaedah terkini pelaksanaan kedua-dua solat terbabit," katanya. Beliau berkata, semua Pengerusi Jawatankuasa Kariah masjid dan surau di negeri itu dikehendaki menyelia dan memastikan garis panduan berkenaan dipatuhi. Kebenaran itu tegas beliau diputuskan selepas mempertimbangkan mengenai kelonggaran yang diberi susulan PKPP yang dikuat kuasakan.
01 Jul 20
191