Artikel "Komuniti" Terkini
Sukarelawan Wanita Bantu Permudah Solat Jumaat
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 23 Jun- Sukarelawan Khas Wanita telah dibentuk bagi memudahkan pelaksanaan Solat Jumaat di Masjid Al-Muktafi Billah Shah, disini.
Ketuanya, Zakiah Alias berkata ianya bagi membantu kefarduan Solat Jumaat secara berjemaah itu mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) telah ditetapkan.
"Seramai lapan sukarelawan wanita ditugaskan untuk mengambil bacaan suhu serta menulis maklumat diri jemaah yang hadir.
"Serta memastikan mereka yang hadir membawa sejadah sendiri dan memakai pelitup muka serta mengawasi para jemaah agar mengamalkan penjarakan sosial," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Zakiah yang juga Penolong Penyelia Institut Modal Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi berkata, semua petugas bersemangat memulakan tugas berkenaan tepat pada jam 12 tengahari dan berakhir jam 1.45 petang.
"Alhamdululillah kita telah meringankan pelaksanaan solat berkenaan disamping turut memberikan penerangan yang betul kepada setiap jemaah yang hadir.
"Kita turut teruja sebagaimana 652 jemaah yang hadir pada solat jemaah berkenaan apabila ianya mula dibenarkan pada dua minggu yang lalu," katanya.
Tambah beliau, sukarelawan berkenaan ketika ditubuhkan pada minggu pertama seramai lima orang sebelum ianya bertambah pada minggu kedua seramai lapan orang.
"InsyaAllah minggu hadapan akan bertambah 10 orang, agar pematuhan SOP berkenaan akan dapat dipatuhi sepenuhnya," katanya lagi.
02 Jul 20
132
Juadah Berbuka Diagih Rai Penduduk, Petugas DUN Ladang
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Sebanyak 70 bekas lauk diagihkan kepada penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Ladang sebagai juadah berbuka puasa, baru-baru ini.
Pegawai Khas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ladang, Zaim Azfar berkata, sumbangan daripada Pejabat Ahli Parlimen Kuala Terengganu dan juga PAS Kuala Terengganu menunjukkan rasa prihatin kepimpinan Kuala Terengganu terhadap masyarakat setempat.
Menurut beliau lagi, sumbangan diwakili oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan diagihkan kepada penduduk di kampung masing-masing.
"Selain itu, juadah berbuka puasa juga telah diagihkan petang semalam kepada petugas-petugas MPKK DUN Ladang yang banyak menabur bakti menghulurkan bantuan kepada masyarakat setempat sepanjang musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.
"Hari ini kita raikan sedikit semua petugas supaya mereka lebih bersemangat dalam menyantuni masyarakat," katanya.
02 Jul 20
461
Tingkatkan Kesabaran Dalam Menjaga ‘Anak Syurga’
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 23 Jun - Pasangan yang mempunyai anak kelainan upaya (OKU) atau anak syurga perlu banyak bersabar dalam mendidik dan membesarkan anak masing-masing.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Ghazali Sulaiman berkata, menjaga anak syurga menuntut kesabaran serta ketabahan yang agak tinggi.
“Allah menjanjikan pahala berlipat kali ganda kepada penjaga anak syurga yang mendidik serta membesarkan mereka dengan penuh kasih sayang.
"Jangan merasa rendah diri ataupun merasa kekurangan apabila menjaga anak OKU ini,” ujarnya ketika dihubungi pemberita selepas menyantuni 150 OKU di bawah umur 17 tahun, di DUN tersebut, baru-baru ini.
Katanya, program berkenaan telah digerakkan bersama Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi dimana sumbangan duit raya, pek makanan beserta kad ucapan kepada penjaga telah disampaikan kepada setiap penjaga-penjaga anak istimewa berkenaan ketika diziarahi.
"Dimana ziarah berkenaan telah kita adakan secara serentak. Sebagai tanda kecaknaan dan keprihatinan daripada pihak kita.
"Dimana kita komited mengetahui perkembangan mereka, walaupun dilahirkan sedemikian (kelainan upaya) namun kita yakin, Allah telah anugerahkan kepada mereka kebolehan serta keistimewaan yang tersendiri," katanya.
Dimana ujarnya lagi, kebolehan itu akan dapat dikesan apabila mereka mengikuti latihan atau kursus-kursus tertentu.
"Yang membolehkan mereka untuk berdikari. Mereka perlu diberi galakkan serta sokongan agar dapat menyelusuri kehidupan dengan baik.
"Kepada penjaga pula kita suntikkan semangat kepada mereka agar menjaga anak syurga berkenaan dengan sebaik-baiknya, kerana ianya amanah daripada Allah," katanya.
02 Jul 20
294
ADUN Belia Raih Pengalaman Bersama Masyarakat
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Belia Ladang, Amirah Liyana mengambil peluang menyertai aktiviti-aktiviti yang dilaksanakan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) sepanjang Ramadan sebagai suatu pembelajaran membina kemahiran dan kematangan diri.
Secara peribadi, beliau berasa teruja apabila dapat turut serta dalam program agihan sumbangan untuk bersama dengan masyarakat setempat.
"Saya sangat bersyukur kerana diberikan peluang untuk sama-sama menyantuni dan membantu insan-insan yang kurang bernasib baik.
"Melaluinya, saya memperolehi pengalaman yang amat berguna dan dapat merasai kesusahan golongan tersebut," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Ziarah Mahabbah Ramadhan di MPKK Bukit Bayas, di sini semalam.
Jelasnya, sekalipun berdepan pandemik Covid-19, pihak DUN terus menyusun program-program bantuan yang bersifat menyantuni masyarakat setempat.
Dalam pada itu, Pengarah Majlis Tindakan DUN, Kamal Ali memaklumkan, pihak DUN memanfaatkan kewujudan ADUN Belia untuk membantu melaksanakan pelbagai program sepanjang Ramadan ini.
"Hari ini, kita panggil ADUN Belia supaya mereka dapat dekat dengan masyarakat secara praktikal dan memahami situasi di lapangan.
"Walaupun mereka tiada peruntukan, tetapi kita atur penglibatan mereka supaya perlu menjalankan tugas dan membiasakan diri dalam masyarakat," katanya.
Tambahnya, antara program dirancang di peringkat DUN ialah bantuan Ramadhan dan sambutan Aidil Fitri.
"Bantuan Ramadan ini, kita agihkan kurma kepada setiap rumah di DUN Ladang tanpa mengira latar belakang agama, kaum dan kecenderungan politik.
"Bagi sambutan Aidil Fitri pula, setiap rumah dalam DUN ini akan mendapat satu balang kuih tanpa terkecuali," katanya.
Menurutnya, bantuan juga diwakili oleh Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan diagihkan kepada penduduk di kampung masing-masing.
Di samping itu, pihak DUN Ladang juga giat menjalankan aktiviti ziarah golongan yang benar-benar memerlukan bantuan di setiap MPKK dalam program Ziarah Mahabbah Ramadhan.
02 Jul 20
363
Sumbangan Katil Khas legakan Tun Faridah
Oleh : Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 19 Jun - Kerisauan seorang isteri memikirkan keperluan katil khas untuk suaminya yang terlantar koma berakhir apabila Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Ajil menyumbangkan keperluan itu, semalam.
Tun Faridah Tun Abdullah, 36, berkata, suaminya Mohd Nazri Wahab, 37, terlibat dalam kemalangan jalan raya sejak empat bulan lalu dan menyebabkan dia tidak dapat bergerak seperti biasa.
“Pada pagi kejadian dia keluar pergi ke kebun seperti biasa sebelum orang kampung menemuinya dalam keadaan tidak sedarkan diri di tepi jalan dengan berlumuran darah pada jam 8 malam.
“Saya pada waktu tersebut baru sampai ke tempat kerja di Hospital Sultanah Nur Zahirah ( HSNZKT ) mendapat panggilan dari adik ipar mengatakan suami saya dikejarkan ke Hospital Hulu Terengganu akibat kemalangan.
“Dalam tempoh dua bulan ni memang saya fikir bagaimana nak uruskannya selepas disyorkan oleh doktor untuk dibawa suami saya pulang ke rumah tanpa kemudahan katil khas sebab dia koma. Syukur dan terima kasih kepada ADUN Ajil atas sumbangan ini,” katanya ditemui ketika penyerahan sumbangan tersebut di Kampung Betong, di sini, hari ini.
Tun Faridah yang bekerja sebagai Jururawat mempunyai empat anak dan pendapatan keluarga hanya bergantung kepadanya yang terpaksa mengambil cuti separuh gaji, selepas suami mengalami kemalangan.
Sementara itu, Pegawai Khas ADUN Ajil, Ahmad Furqan Ismail, berkata dua hari lepas, Ustaz Maliaman sendiri turun padang menziarahi Mohd Nazri dan hari ini beliau mewakili ADUN Ajil itu untuk menyerahkan sumbangan berkenaan.
Ujarnya, Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Ajil sentiasa prihatin dalam memastikan kebajikan masyarakat yang memerlukan terjaga.
“Kami akan meneliti keperluan untuk bantuan susulan keluarga ini dan tindakan lanjut akan diambil,” katanya.
Tambah beliau, semoga sumbangan hari ini akan mengembirakan mereka sekeluarga dan pihaknya terus komited untuk terus membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan.
02 Jul 20
197
Ajar Ibu Ucap Syahadah Sebelum Tidur
Oleh : Aziz Hambali
MARANG, 21 – Menjadi rutin bagi Ahmad Hakim Mohamad, 25, menjenguk, mengajak bersembang dan mengajar ibunya mengucapkan kalimah syahadah hampir setiap masa.
Pada masa sama, dia sanggup berjaga sehingga lewat malam demi menjaga ibunya yang sedang terlantar akibat sakit strok otak lebih tiga tahun lalu.
Ahmad Hakim berkata, dia akan berjaga malam sehingga 2 pagi bagi memastikan lampin ibu sentiasa kering, selain menyediakan minuman susu khas.
“Saya buat semua itu kerana sedar, ia adalah tanggungjawab sebagai anak, saya tidak mahu berjauhan dengan ibu yang memerlukan saya pada setiap masa.
“Kerana ibu, saya turut memilih untuk berniaga secara kecil-kecilan dengan menjual burger dan minuman di kawasan kampung,” katanya.
Ahmad Hakim berkata demikian ketika ditemui pemberita Urusetia Penerangan Darul Iman ketika Program Ziarah Bersama isteri Ahli Parlimen Marang (YB Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang), Y.Bhg To’ Puan Seri Hajjah Zainab Awang, kelmarin.
02 Jul 20
179
Pejabat Kesihatan Setiu Lancar Program Perangi Aedes
Oleh : Fahmi Izzuddin
SETIU, 22 Jun – Pejabat Kesihatan Daerah ini melancarkan Program Gotong Royong bagi memerangi pembiakan nyamuk aedes walaupun Setiu hanya mencatatkan tiga kes denggi tahun ini berbanding tahun sebelumnya.
Penolong Pegawai Kesihatan Persekitaran Kanan Pejabat Kesihatan Daerah Setiu, Zainurin Abdullah berkata, meskipun berlaku penurunan terhadap kes demam denggi di Terengganu, pihaknya tetap mahu semua rakyat mengambil langkah berjaga-jaga.
“Kempen amalan kebersihan norma baharu yang dijalankan ketika ini memfokuskan kepada tempat pembiakan nyamuk aedes di persekitaran rumah masing-masing.
“Pejabat Kesihatan Daerah Setiu dan Majlis Daerah Setiu (MDS) bekerjasama sepenuhnya dalam memastikan tiada tempat pembiakan nyamuk aedes di setiap kampung, sampah sarap dikumpulkan dan pihak MDS akan melakukan kutipan,” katanya ketika ditemui wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman di Kampung Mangkok kelmarin.
Menurutnya, program yang dijalankan secara berjadual merangkumi semua kampung itu amat penting dalam mengelakkan kes denggi menular di saat rakyat juga berdepan COVID-19.
Penduduk disarankan untuk mengambil tindakan kendiri dalam memastikan tahap kebersihan di tahap yang terbaik.
“Peranan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) digerakkan bagi menyebar luas maklumat dan hebahan semasa mengenai amalan kebersihan dalam memerangi aedes dan demam denggi,” tambah beliau.
Untuk rekod, setakat bulan Jun tahun ini, sebanyak 176 kes denggi direkodkan berbanding 318 kes dalam tempoh sama tahun lalu dengan penurunan sebanyak 44.5 peratus.
Kuala Terengganu merekodkan jumlah tertinggi dengan 99 kes diikuti Kemaman (19 kes), Kuala Nerus (17), Besut (14), Dungun (11), Marang (lapan) dan Hulu Terengganu (lima).
02 Jul 20
411
ADUN Batu Buruk Santuni Para Nelayan
Oleh: Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 16 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi menyertai aktiviti gotong-royong dan memasang unjang ikan di muara sungai Kuala Ibai bersama nelayan bot kecil di kawasan itu, semalam.
Jelasnya, kunjungan beliau ke Jeti Kuala Ibai tersebut sebenarnya bagi mendengar sendiri isu-isu berbangkit berkenaan muara sungai dan masalah yang dihadapi para nelayan disana.
Selain daripada beramah mesra bersama mereka, para nelayan disitu turut menerima sumbangan makanan keperluan asas daripada pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk serta Parlimen Kuala Terengganu.
Ketua Jaringan Perikanan, Mohd Din Arifin mengucapkan terima kasih atas kecaknaan wakil rakyat itu terhadap kebajikan para nelayan bot kecil.
"Ia sedikit sebanyak membantu memudahkan urusan dan permasalahan kami," katanya.
Turut hadir, wakil pegawai Parlimen Kuala Terengganu, Zulkilfi Wahab dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Hujung Jambatan, Wan Mohd Danin Wan Ibrahim.
02 Jul 20
254
PKM Parlimen Kuala Terengganu Tempatkan Pegawai Urus 'Non-Muslim'
Oleh : Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 15 Jun - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Ahli Parlimen Kuala Terengganu telah memperluas organisasi dengan menambah beberapa pegawai-pegawai bukan Islam dari kaum Cina dan India bagi menjaga hal kebajikan berkaitan masyarakat bukan Islam pelbagai kaum di kawasan berkenaan.
Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembaharuan tersebut bagi melicinkan pengurusan serta gerak kerja PKM di samping mencakupi ruang toleransi lebih luas antara kaum.
“Jadi kita tidak perlu sering ke sana-sini untuk berbincang tentang kaum Cina, kita tidak perlu sana-sini untuk berbincang keperluan kaum India, semuanya ada di sini,” katanya.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Terengganu berkata demikian pada sidang media sejurus merasmikan Majlis Perasmian dan Solat Hajat bersempena pembukaan tambahan pejabat baharu bagi PKM Ahli Parlimen Kuala Terengganu, semalam.
Turut hadir, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said.
Jelasnya, banyak bantuan diproses dan disalurkan sepanjang kemelut COVID-19 menyebabkan kesesakan dalam ruang pejabat sedia ada dan kekurangan itu perlu diperkemaskan.
"Kita rasakan satu keperluan untuk memperbesarkan Pejabat Pusat Khidmat ini supaya urusan lebih lancar.
"Sebentar tadi kita telah mengadakan solat hajat bagi memohon keberkatan daripada Allah SWT agar gerak kerja di Pusat Khidmat ini berjalan dengan sempurna dalam memberikan khidmat yang terbaik kepada rakyat khususnya di Kuala Terenganu,” katanya.
Hadir sama dalam Majlis Perasmian serta Solat Hajat tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Mempelam, Wan Sukairi Wan Abdullah dan ADUN Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi.
02 Jul 20
351
Pembinaan Rumah Mampu Milik Tempinis Kembali Rancak
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 14 Jun - Projek pembinaan Rumah Mampu Milik (RMM) Tempinis, Jabi kini kembali aktif setelah tertangguh sejak beberapa bulan lalu akibat pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, projek pembinaan itu mensasarkan 100 unit RMM dalam bentuk rumah teres yang bernilai RM80,000 seunit.
“Projek yang dilaksanakan oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) menelan kos RM140 ribu seunit tetapi dijual kepada rakyat dengan harga hanya RM80,000 sahaja seunit.
“Ini bermakna setiap unit diberikan subsidi sebanyak RM60,000 oleh kerajaan negeri. Ia merupakan satu jumlah yang agak besar,” katanya selepas melawat tapak projek RMM berkenaan semalam.
Menurut beliau, idea projek rumah bercirikan mesra syariah pertama di Terengganu itu dilancarkan oleh Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar pada Januari lalu dan ia dibina di atas tanah berkeluasan 9.5 ekar.
“Inilah antara isu dan cabaran terbesar kerajaan negeri iaitu bagi menyediakan kemudahan rumah mampu milik kepada rakyat. Keperluannya adalah sangat mendesak.
“Kita tidak mahu bina rumah mampu lihat. Dimaklumkan ratusan ribu permohonan rumah mampu milik daripada rakyat telah diterima kerajaan,” jelasnya lagi.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, terdapat beberapa lokasi tapak RMM di Jabi sedang dalam proses pemwartaan tanah dan akan dilaksanakan pembinaan melalui konsep penswastaan.
“Melihat kepada terhadnya tanah kerajaan yang boleh dijadikan tapak RMM di Jabi, saya telah mencadangkan kepada pemaju yang berminat untuk membina RMM secara bertingkat agar lebih ramai rakyat mendapat manfaat.
“Apabila dibuat tinjauan, nampaknya idea untuk orang Jabi duduk rumah pangsa tiga atau empat tingkat boleh diterima umum. Yang penting kita ada rumah.
“Saya berharap usaha ini dipermudahkan Allah dan doakanlah semoga kerja besar ini berjaya,’’ tambahnya.
02 Jul 20
1248