lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

Denda RM1,000 Jika Berkumpul Di Tempat Awam
Denda RM1,000 Jika Berkumpul Di Tempat Awam
KUALA TERENGGANU - Polis mengingatkan orang ramai agar tidak berkumpul bagi tujuan berbuka puasa dan melepak di tempat awam kerana perbuatan itu dianggap mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB). Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata, buat masa ini tindakan kompaun RM1,000 akan dikenakan kepada sesiapa sahaja yang didapati berkumpul di tempat awam seperti di Pantai Batu Burok, Dataran Syahbandar, Pesisir Payang dan kawasan lapang berhampiran Jambatan Angkat. “Peringkat awal ini kita akan kenakan kompaun terlebih dahulu seperti yang kita kenakan semasa PKP fasa kedua, kalau ada yang masih berdegil kita akan tangkap, reman dan dakwa di mahkamah,” katanya ketika dihubungi Bernama hari ini. Tular dalam media sosial baru-baru ini, foto yang menunjukkan sampah dan sisa makanan yang ditinggalkan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab di kawasan lapang sebelah muara utara Jambatan Angkat. Datuk Bandar Kuala Terengganu, Shahidan Embok baru-baru ini berkata, pihaknya menerima aduan mengenai orang ramai yang keluar bersantai di kawasan rekreasi seperti Taman Awam Batu Burok pada waktu malam. Susulan itu, Majlis Bandaraya Kuala Terengganu telah mengambil beberapa langkah bagi menghalang orang ramai daripada berkumpul di kawasan berkenaan dengan memantau dan menutup taman itu supaya tidak dimasuki orang awam selepas tamat waktu operasi kios dan kedai jualan pada jam 10 malam. - Bernama.
02 Jul 20
85
Anak Autisme Bakal Diami Rumah Baharu
Anak Autisme Bakal Diami Rumah Baharu
Oleh : Aslam Wira MARANG, 25 Jun – Dua kanak-kanak yang menghidapi autisme bakal menghuni rumah kediaman yang baharu dan lebih selesa selepas ibunya menerima Rumah Mampu Milik (RMM) di Taman Bukit Gasing. Ibu ‘anak syurga’ terbabit, Hanipah Jusoh, 41, menyatakan rasa syukur dan terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri yang mengutamakan keluarganya untuk memiliki rumah berkenaan Hanipah yang turut mengalami depresi berkata, sejak 10 tahun lalu dia berharap untuk memiliki kediaman sendiri kerana memerlukan ruang yang lebih privasi bagi menguruskan dua anak lelakinya, Iqbal Muhaimin Saharuddin, 14, dan Muhammad Aisy Maashir Saharuddin, 9,. “Saya sendiri menghidap kemurungan (anxiety disorder) dan dirawat di Hospital Selayang sebelum ini serta masih berada dalam pantauan pakar Psikiatri untuk ubat-ubatan. “Ada orang yang nampak biasa tapi kita sebenarnya menderita daripada dalam, tambahan pula anak-anak autisme juga susah untuk dijaga, kerana kadang-kadang mereka sangat agresif,” katanya ketika ditemui di rumahnya baru-baru ini. Menurutnya, sebelum ini dia dan keluarga menyewa sebuah rumah namun disebabkan keadaan dua anak lelakinya itu yang tidak sama seperti anak orang lain ia memberi suasana tidak selesa kepada jiran-jiran. “Malah kami juga tidak selesa dengan tuan rumah apabila mendapat aduan daripada jiran-jiran yang tidak memahami. Walaupun kami cuba memberi kefahaman kepada mereka tentang autisme, tetapi situasi sebenar tidak sama seperti apa yang diharapkan,” ujarnya. Tambah Hanipah, situasi menjadi lebih rumit apabila suaminya, Saharuddin Danial, 41, dibuang kerja sebanyak hampir 10 kali kerana kerap mengambil cuti untuk menguruskan anak hingga menyebabkan kewangan terjejas. “Kadang-kadang berlaku konflik antara keluarga, apabila menumpang di rumah ibu bapa, dengan keadaan anak yang seperti ini, sedikit sebanyak mengundang rasa tidak selesa terutamanya apabila adik beradik dan saudara mara pulang menjenguk ibu bapa lebih-lebih lagi ketika cuti perayaan,” jelasnya. Sementara itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, proses pemilihan kepada mereka yang berkelayakan untuk memohon tiga kekosongan di Taman Bukit Gasing itu adalah melalui jawatankuasa khas. “Jawatankuasa ini dipengerusikan Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak yang dihadiri oleh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT), SUK Perumahan dan wakil Pejabat ADUN Rhu Rendang. “Kelayakan permohonan mereka ini dikaji melalui siasatan bersama Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU) e-Kasih, Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang, dan jabatan-jabatan terbabit, sebelum dihantar kepada PMINT untuk ditemuduga,” tambah beliau.
02 Jul 20
194
Besut Disinari 'Nur' Ramadan
Besut Disinari 'Nur' Ramadan
Oleh: Jusmawari Jusoh BESUT, 16 Mei - Seluruh kawasan Besut akan disinari cahaya apabila program Nur Ramadan 11.0 dilaksanakan oleh Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS). Penyelia i-MiTS Kawasan Besut, Hakim Zulfikri berkata, program itu adalah penanda aras sebagai tanda menzahirkan keprihatinan kepada asnaf di penghujung bulan yang mulia ini. “Setiap tahun program ini diteruskan di bulan yang penuh keberkatan dan keampunan, Ramadan al-Mubarak. "Sumbangan tersebut adalah hasil kutipan orang ramai untuk diagihkan kepada yang memerlukan di seluruh Besut secara berperingkat,” jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada 14 Mei. Turut hadir ialah Pegawai Hal Ehwal Belia Kota Putera, Suhaimi Mohd dan Pegawai IT i-MiTS Kota Putera Abdul Aziz Che Kop. Menurutnya, ini merupakan tahun yang kedua i-MiTS Kawasan Besut menjayakan program itu selepas beliau menyandang jawatan tersebut. Kata Hakim, orang ramai dialu-alukan untuk memberi sumbangan kepada golongan memerlukan bagi sama-sama meningkatkan pahala bersedekah agar Ramadan yang akan berakhir membawa makna buat diri. "Program ziarah Nur Ramadan 11.0 ke rumah asnaf bermula 13 Mei di DUN Kuala Besut dan 14 Mei di DUN Kota Putera. “Insya-Allah kita akan teruskan di DUN Jertih dan Hulu Besut,” jelas Hakim.
02 Jul 20
48
FAMA Bantu 32 Usahawan Tembikai Dan Labu Manis Di Setiu
FAMA Bantu 32 Usahawan Tembikai Dan Labu Manis Di Setiu
SETIU, 25 Jun - Seramai 32 peserta yang mengusahakan 39.8 hektar ladang tembikai dan labu manis lega apabila Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) Terengganu membantu memasarkan sebanyak 654 tan metrik tembikai yang dianggarkan bernilai lebih RM512,000. Bantuan dalam bentuk perjanjian jual beli buah tembikai dan labu manis berkenaan dibuat bagi mengatasi masalah lambakan serta harga tembikai yang tidak menentu termasuk jaminan harga yang ditawarkan juga membantu pengusaha tembikai tetap beroleh keuntungan pada setiap musim. Sementara itu, Ketua Kelompok Tanaman Tembikai Rhu Sepuluh, Baharudin Ibrahim berkata perjanjian yang dibuat dengan FAMA memberi jaminan kepada petani untuk memasarkan tembikai selain mengurangkan masalah lambakan buah di pasaran. Katanya, ia juga membantu meringankan beban mereka yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan(PKP) pada 18 Mac yang lalu disebabkan wabak pandemik Covid 19. "Sepatutnya penyemaian benih dilakukan lebih awal namun bila kerajaan umum PKP, semuanya terhenti menyebabkan hasil tidak dapat dituai mengikut tarikh yang sepatutnya.Dari segi kerugian, cuma melibatkan masa kerana lewat dan sekarang kami mula tabur benih secara berperingkat. “Harga di pasaran masih lagi bertahan lagipun hanya tembikai dari ladang di Rhu Sepuluh yang berada di pasaran setakat ini dan harga jualan di kebun cuma RM1.80 sekilo manakala harga di pasaran mampu mencecah RM3.50 sekilo,” ujarnya. Dia berkata demikian kepada pemberita di Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Antara FAMA Dengan Usahawan Ladang Kontrak MOA Negeri Terengganu di Kelompok Tanaman Rhu Sepuluh, di sini hari ini. Turut hadir Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) FAMA, Mohd Anis Mohd Yasin dan Pengarah FAMA negeri, Fauzi Mohamed. Bekalan tembikai dan labu manis tersebut akan dipasarkan di 40 pusat operasi di seluruh Malaysia termasuk 100 ‘outlet’ jualan runcit FAMA di seluruh negeri.
02 Jul 20
662
Guru Di Bukit Payong Terima Barangan Keperluan
Guru Di Bukit Payong Terima Barangan Keperluan
Oleh: Mohd Fakhrullah Mohamad MARANG, 17 Mei - Barangan keperluan dapur bukan sahaja diagihkan kepada  masyarakat setempat yang memerlukan malah turut diagihkan kepada 77 guru terpilih  yang berkhidmat di kawasan Bukit Payong. Agihan berupa beras, minyak, gandum, susu, gula, kurma dan sehelai kain tuala kepada 44 guru Tabika Kemas, 28 guru Tadika Yayasan Islam dan lima guru Taska Permata itu sempena sambutan Hari Guru semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, pihaknya sentiasa mengambil berat dan melihat setiap kesusahan yang dihadapi oleh mereka yang terjejas termasuk guru yang berkhidmat di Bukit Payong. "Bersempena juga dengan hari guru yang baru sahaja diraikan semalam, 16 Mei, jadi kita menghargai jasa dan pengorbanan mereka," katanya kepada pemberita. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah Dan Penerangan negeri turut mengucapkan terima kasih kepada semua staf dari Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Payung yang turut serta membantu dalam menyalurkan sumbangan terbabit.
02 Jul 20
62
Pemilik Rumah Di Kampung Batu Sawar Bakal Miliki Alamat Lengkap
Pemilik Rumah Di Kampung Batu Sawar Bakal Miliki Alamat Lengkap
Oleh: Adli Mohamad DUNGUN, 17 Mei - Pemilik Rumah di Kampung Batu Sawar/Lentang disini bakal memiliki alamat lengkap menerusi usaha Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan dengan kerjasama pihak berkaitan. Pengerusi MPKK berkenaan, Khaziman Khalik berkata, pihaknya telah mencari insiatif bagi memastikan setiap rumah di kampung itu yang sebelum ini tidak dilengkapi alamat supaya lebih tersusun menerusi projek penetapan nombor alamat kediaman sekali gus untuk kemudahan pelbagai pihak. “Kita bersama-sama memikirkan cara bagi memastikan setiap rumah distruktur kembali alamat, bagi memudahkan setiap rumah di kampung ini dicari serta urusan surat menyurat. “Insya-Allah, selepas pada ini 135 buah rumah disini akan dilengkapi alamat lengkap, selain orang ramai boleh merujuk pelan lokasi kampung yang telah diletakkan di kampung ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media pada program melengkapkan alamat di setiap rumah di Kampung Batu Sawar/ Lentang, baru-baru ini. Gimik perasmian program berkenaan telah disempurnakan oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman. Sementara itu, Ghazali berkata, program yang diadakan MPKK berkenaan selaras dengan kehendak beliau, dimana setiap kampung di Hulu Dungun perlu dilengkapi alamat agar memudahkan pelbagai urusan sebagaimana dilakukan MPKK Tepus sebelum ini.
02 Jul 20
194
Tunai Janji Kembalikan Tanah RTB
Tunai Janji Kembalikan Tanah RTB
Oleh : Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 25 Jun- Kerajaan negeri bersungguh menunaikan janji manifesto PAS pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) apabila mengembalikan tanah peserta 'terkilan' Rancangan Tanah Berkelompok (RTB). Pegawai Penyelidik, Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shafawi Abdul Rani berkata, selepas berjaya mengambil alih kerajaan pada 2018 kerja-kerja mengenal pasti peserta yang tersisih sebelum ini segera dilakukan. "Kita tidak berlepas tangan dengan bekerja keras menyelesaikan masalah mereka yang tersisih akibat bertukar kerajaan, kita gantikan yang baharu, walaupun bukan tanah di tempat asal tetapi mereka dapat hak mereka," jelasnya. Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyerahan Jadual 5A Bagi Tanah Rancangan Berkelompok Tapak Rumah Dan Tanah Pertanian, DUN Rantau Abang di Dewan Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini, baru-baru ini. Seramai 119 orang penerima termasuk mereka yang membuat permohonan baharu telah menerima hak masing-masing pada majlis yang dirasmikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun itu. Turut hadir, ADUN Sura, Wan Hapandi Wan Nik dan Pegawai Daerah Dungun, Anuar Awang. Sementara itu, Alias berharap penerima memanfaatkan sebaiknya tanah yang diberikan. "Kita tidak mahu ianya menjadi tanah terbiar atau dijual kepada orang lain," ujarnya.
02 Jul 20
119
Penantian 10 Tahun Penduduk SPKA Bakal Berakhir
Penantian 10 Tahun Penduduk SPKA Bakal Berakhir
MARANG,  24 Jun - Gangguan bekalan air yang membelenggu kira-kira 300 penduduk di Tanah Lot Skim Penempatan Kemudahan Awam (SPKA), Wakaf Tapai, di sini bakal berakhir selepas Syarikat Air Terengganu (SATU) bersetuju membina tangki simpanan dalam tempoh terdekat. Ketua Pegawai Eksekutif SATU, Ir Atemin Sulong berkata, pihaknya bersetuju membina tangki simpanan bernilai RM100,000 itu menggunakan peruntukan di bawah tanggungjawab sosial korporat (CSR). Katanya, kawasan yang bersesuaian untuk tujuan tersebut sudah dikenalpasti dan proses pembinaan dijangka akan bermula dalam tempoh terdekat. “Sekiranya tiada sebarang masalah teknikal terutama daripada pihak Tenaga Nasional Berhad (TNB), penduduk di kawasan ini boleh mendapatkan bekalan air bersih sebelum Aidiladha ini,” katanya. Beliau berkata demikian pada  Program bual bicara SATU bersama penduduk SPKA Wakaf Tapai di Dewan Sivik Wakaf Tapai di sini hari ini. Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong. Menurut Ir Atemin, apa yang dialami penduduk di kawasan itu terutama membabitkan 20 keluarga adalah disebabkan kawasan berbukit-bukit, selain tinggal di tempat yang tinggi. “Paip utama yang sedia ada tidak dapat membekalkan air di kawasan itu lebih-lebih lagi ketika di waktu puncak. “Pihak kami berharap penduduk terbabit  bersabar kerana pembinaan tangki simpanan air itu memerlukan penelitian, penggunaan alat ganti ditempah khas dan bukan boleh dibeli mana-mana kedai,” katanya. Beliau turut memberitahu, Marang antara daerah yang turut disenaraikan bakal menerima loji air bernilai RM500 juta bagi menampung keseluruhan penduduk. “Daerah itu sebelum ini mendapatkan bekalan air dari loji air Kuala Terengganu dan Hulu Terengganu. “Pihak kami tidak dapat membina loji di Marang kerana pelbagai faktor antara sungai yang ada tidak dapat membekalkan air secukupnya, selain berdepan masalah kawasan berbukit,” katanya.  
02 Jul 20
76
Berita Peniaga Durian Positif COVID-19 Palsu
Berita Peniaga Durian Positif COVID-19 Palsu
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Berita yang tular di media sosial mengenai seorang peniaga durian di Wakaf Tembesu positif COVID-19 dan dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) adalah palsu. Menurut JKNT, setakat ini tiada pesakit wabak tersebut yang dirawat di HSNZ sebaliknya hospital itu hanya menerima seorang pesakit lelaki yang mengalami gejala ‘Severe Acute Respiratory Infection’ pada 20 Jun lalu. Keputusan ujian PCR Covid-19 bertarikh 21 Jun juga menunjukkan pesakit tersebut negatif  COVID-19.
02 Jul 20
70
Rebut Peluang Menangi Motosikal Yamaha Y15ZR, Honda Beat Atau iPhone XR
Rebut Peluang Menangi Motosikal Yamaha Y15ZR, Honda Beat Atau iPhone XR
KUALA TERENGGANU, 24 Jun - Rakyat Terengganu kini berpeluang memenangi sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, motosikal Honda Beat atau iPhone XR melalui cabutan bertuah bagi penguna sistem Masuk.la. Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman berkata, pihak urusetia sistem Masuk.la menyediakan hadiah istimewa bagi pengguna sistem ini di mana penilaian akan bermula pada 20 Jun 2020 hingga 20 Julai 2020. "Ia melibatkan kategori pengguna bertuah (pemenang ditentukan secara cabutan bertuah), premis dan pejabat kerajaan. Pengguna yang dipilih sebagai pemenang berpeluang memenangi sebuah motosikal Yamaha Y15ZR, motosikal Honda Beat atau iPhone XR. "Bagi premis yang merekodkan jumlah pendaftaran pelanggan tertinggi akan menerima hadiah motosikal Honda Beat, Samsung Galaxy A71 dan Huawei Nova 7i berserta sijil manakala bagi kategori Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) pula akan menerima hadiah wang tunai RM1,000 hingga RM4,000," ujarnya. Katanya, sistem Masuk.la merupakan sebuah aplikasi sesawang yang dibangunkan untuk memudahkan proses merekodkan kehadiran pelanggan khususnya rakyat Terengganu. "Sistem yang dibangunkan anak syarikat kerajaan negeri, Top IT Industries Sdn Bhd ini menggunakan teknologi Kod Respon Pantas atau 'Quick Response Code' (Kod QR)," katanya pada Majlis Pelancaran Sistem QR Code (Masuk.la) di KTCC Mall di sini baru-baru ini. Dalam perkembangan sama, Ariffin turut memberitahu, ketiga-tiga kategori cabutan bertuah dan pertandingan ini adalah bagi mengalakkan orang ramai mengunakan sistem Masuk.la sekali gus memastikan rakyat sentiasa patuh pada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan. Keputusan akan diumumkan pada 20 Julai 2020 dan pemenang akan dihubungi melalui pendaftaran nombor telefon di dalam aplikasi Masuk.la. Pemenang dan penguna yang bertuah juga akan diumumkan melalui media sosial rasmi Kerajaan Negeri Terengganu. Oleh itu, tambahnya, setiap penguna dan premis perlu mendaftar dengan maklumat yang tepat agar pihak urusetia dapat menghubungi penguna atau premis yang bertuah. Jika info yang diberikan tidak sahih, urusetia berhak untuk membuat pemilihan yang lain. Pengunjung pula hanya perlu imbas Kod QR bagi mengesahkan kehadiran mereka. Pendaftaran pengunjung dan pendaftaran premis perniagaan boleh dilakukan menerusi laman web https://masuk.la/.
02 Jul 20
271