lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

ADUN Jabi ‘Payung’ Singgang Daging Kepada 5,800 Penduduk
ADUN Jabi ‘Payung’ Singgang Daging Kepada 5,800 Penduduk
SETIU, 18 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menyembelih empat ekor lembu sado untuk diagihkan kepada sekitar 5,800 penduduk di kawasan berkenaan. Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri itu berkata, daging yang dimasak singgang itu diagihkan kepada rakyat untuk lauk berbuka puasa. "Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) masing-masing memasak secara gotong-royong. "Kemudian masakan daging lembu ini akan dihantar sampai ke depan tangga rumah 5,800 penduduk. "Ia sebagai satu daripada gerakan kebajikan kemasyarakatan kita dalam bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini," katanya. Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas menyembelih keempat-empat lembu sado di Kampung Cabang Tiga Oh, Jabi, semalam. Menurut beliau lagi, pihaknya juga akan sedaya upaya menyantuni penduduk Jabi yang dilanda musibah seperti kematian, bencana alam dan sebagainya walaupun berdepan dengan sedikit keterbatasan akibat ancaman virus COVID-19. "Alhamdulillah, kes COVID-19 semakin menurun. Malah, Pusat Kuarantin di Pusat Latihan Pengembangan Pertanian (PLPP) di Kampung Tok Dor, Jabi pun telah ditutup sejak awal bulan lalu," tambahnya.
02 Jul 20
71
OKU Jaga Ibu Sakit Saraf
OKU Jaga Ibu Sakit Saraf
Oleh : Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 27 Jun - Walaupun bergelar orang kelainan upaya (OKU), kekurangan diri tidak menjadi penghalang kepada seorang pemuda untuk menjaga ibu tercinta yang menderita sakit saraf semampunya. Md Shamsuddin Ramli, 42, OKU pekak dan bisu mampu menjaga ibunya yang tidak dapat berjalan sejak setahun lalu. Semasa kunjungan isteri Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Rugayah Mahmood ke rumahnya di Kampung Delong kediaman tersebut kelihatan terurus rapi. "Semuanya dialah buat, menyapu, basuh kain, lipat kain dan memasak, dia pandai buat semua sebab dia bersekolah," cerita ibunya, Nek Mohd, 77 yang bergerak dengan bantuan tongkat. Nek atau lebih mesra dipanggil Mak Nek  ditemui wakil Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), ketika rutin ziarah mingguan isteri YB Alias Harun di rumahnya baru-baru ini. Katanya, Shamsuddin yang bersekolah di Program Pemulihan  Dalam Komuniti (PPDK) Bukit Merah, Padang Pulut bukan sahaja pandai mengurus diri sendiri malah menjaganya dengan baik. Menurut Mak Nek, anak kelapan daripada sembilan beradik itu menjadi pekak dan bisu selepas demam panas semasa kecil. "Dia juga suka bercucuk tanam dan kerja-kerja pertukangan tangan," ujar warga emas itu sambil menunjukkan kerja tangan anaknya.
02 Jul 20
41
Anak Yatim Tetap Dirai
Anak Yatim Tetap Dirai
Oleh: Adli Mohamad DUNGUN, 18 Mei - Seramai 135 anak yatim dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi diraikan sempena sambutan Aidilfitri tidak lama lagi walaupun negara menjalani kehidupan dengan norma baru disebabkan Pandemik COVID-19. Anak-anak yatim yang terpilih daripada 23 cawangan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) itu menerima duit raya serta senaskah al-Quran yang disampaikan Pegawai Penyelaras DUN berkenaan, Ghazali Sulaiman dalam satu pertemuan ringkas yang diadakan di Dewan Terbuka Kampung Tersusun Rantau Panjang, semalam. Ghazali berkata, hasrat mengembirakan anak yatim tetap diteruskan dengan mengadakan pertemuan ringkas mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP) ditetapkan susulan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dilaksanakan kerajaan. “Kebiasaannya, tahun-tahun sebelum ini kita adakan majlis berbuka puasa untuk meraikan mereka, namun tahun ini sedikit berbeza disebabkan wabak COVID-19 belum pulih sepenuhnya," ujarnya kepada pemberita selepas program berkenaan. Katanya, bagi meminimakan kehadiran pada satu-satu masa, ianya telah diadakan selama tiga hari dengan dibahagikan kepada enam zon. Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan terima kasih kepada semua pihak yang telah menyumbang untuk Tabung Prihatin DUN Bukit Besi kerana melaluinya program seumpama itu terus dapat dijayakan pada tahun ini.
02 Jul 20
43
Agihan Amal Bubur Lambuk
Agihan Amal Bubur Lambuk
Oleh: Jusmawari Jusoh BESUT, 17 Mei - Jabatan Amal Malaysia (JAM) Kawasan Besut bergotong-royong bersama-sama memasak bubur lambuk untuk program 'agihan amal' dihadapan Pasaraya Pantai Timur Jertih. Ketua Komandan Amal Kawasan Besut Luqman Hakim Hashim berkata, program  ini yang dianjurkan oleh JAM dibuat secara serentak di seluruh negeri Terengganu. "InsyaAllah, selesai memasak kita akan edarkan bubur lambuk ini sekitar hadapan Pasaraya Pantai Timur Jertih sebagai lokasi pilihan," jelasnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada 16 Mei. Menurutnya, seramai 20 orang anggota amal terlibat dan mengikuti SOP yang telah ditetapkan oleh pihak kerajaan. Turut hadir ialah Ketua Dewan Pemuda PAS kawasan Besut, Hakim Zulfikri Awang dan Naib Ketuanya Ustaz Mukhlis Hasin. "Program ini bermula seawal jam lapan pagi dengan menyediakan bahan-bahan sehingga jam dua petang siap dibungkus," ujar Hakim. Justeru itu, beliau menyeru kepada orang ramai agar tetap patuh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan kekal di rumah jika tiada urusan dan menjaga jarak 1 meter serta memakai 'face mask'.
02 Jul 20
91
Sekumpulan Wanita Pamer Bakat Candat Sotong
Sekumpulan Wanita Pamer Bakat Candat Sotong
Oleh: Aslam Wira MARANG, 26 Jun - Seramai 18 peserta wanita mempamerkan bakat masing-masing dalam aktiviti mencandat sotong di Marang hari ini yang sekali gus mampu merancakkan lagi sektor pelancongan di Terengganu. Aktiviti anjuran persendirian itu, mendapat penyertaan daripada kalangan pelancong luar negeri Terengganu seperti Kuala Lumpur, Kedah dan Pahang. Pengarah Program, Nur Hidayah Ali berkata, apa yang menarik dalam program ini adalah kesemua peserta adalah merupakan wanita, isteri dan ibu kepada anak-anak. "Mereka yang turun untuk aktiviti kali ini adalah yang sukakan aktiviti luar dan mencabar di samping untuk menambah kemahiran serta ilmu berkaitan kelangsungan hidup di laut," katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program. Menurutnya lagi, perempuan tidak boleh menghadkan diri daripada aktiviti yang bermanfaat dan memberikan kemahiran seperti ini. Aktiviti mecandat sotong di kalangan wanita itu merupakan anjuran kali kedua, setelah mendapat sambutan yang baik. Sementara itu, pemilik bot Romzi Ramlee berkata, aktiviti mencandat sotong mula mendapat sambutan selepas diumum oleh Kerajaan Negeri berkenaan kebenaran aktiviti tersebut. "Pelancong luar dari luar Terengganu yang meminati aktiviti ini sudah mula menyewa bot-bot nelayan seperti tahun-tahun sebelum ini. "Ia sekali gus memberikan peluang untuk menambah rezeki setelah menempuhi tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi mengatasi pandemik COVID-19. “Walau bagaimanapun aktiviti nelayan menangkap ikan dan meneruskan rantaian makanan hasil laut tetap diteruskan dan dibenarkan,” ucapnya lagi.
02 Jul 20
326
Abdul Hadi Tinjau Lembu Sado Milik Keluarga Eman Manan
Abdul Hadi Tinjau Lembu Sado Milik Keluarga Eman Manan
Oleh : Aziz Hambali MARANG, 27 Jun - Rutin turun bertemu rakyat bagi ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang kali ini sedikit istimewa dengan melawat Ladang Lembu Sado yang terletak di Kampung Atas Tol, di sini. Lebih menarik lagi, pemilik ladang tersebut adalah adik kepada pelakon otai terkenal tanah air iaitu Abdul Manan Embong atau lebih dikenali dengan nama gelaran Eman Manan. Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Cikgu Haron Yusof berkata, lawatan Abdul Hadi buat julung kalinya itu kerana dilihat usaha tersebut mempunyai potensi besar untuk dikomersialkan lebih-lebih lagi ia menepati hasrat kerajaan negeri ini dalam mewujudkan Hub Pengeluaran Lembu Sado Terengganu. "Alhamdulillah hadirnya Ahli Parlimen ke ladang ternakan lembu sado ini antara lain bertujuan memberi sedikit suntikan modal bagi menaikkan lagi pengusahaan lembu sado di daerah ini. "Pihak kami (Parlimen Marang) sangat mengalu-alukan penternak dan pengusaha lembu sado untuk sentiasa mengorak langkah maju setapak demi setapak selaras dengan dasar kerajaan," katanya kepada UPDI selepas mengiringi Abdul Hadi meninjau ladang lembu sado, di sini baru-baru ini. Terdahulu, Abdul Hadi yang diiringi anaknya, Khalil Abdul Hadi tiba di ladang berkenaan dan disambut oleh Eman Manan sendiri dan juga ADUN Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah.
02 Jul 20
1444
Pasangan Warga Emas Terharu Terima Katil Boleh Laras
Pasangan Warga Emas Terharu Terima Katil Boleh Laras
Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad MARANG, 27 Jun – Pasangan warga emas yang menghidapi penyakit kencing manis, darah tinggi dan strok menerima katil boleh laras yang disumbangkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah semalam. Suami isteri itu Hussin Awang, 66, dan Zaimah Chik, 59, menetap di Kampung Titian Baru, di sini. Husin berkata, bantuan itu dapat meringankan sedikit beban selepas kedua-dua mereka tidak lagi mampu bergerak kerana penyakit yang dihadapi. “Alhamdulilah, kami bersyukur, dengan adanya katil beroda ini, ia sedikit sebanyak memberikan keselesaan selain memudahkan lagi urusan,” katanya. Mohd Nor yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri turut berharap agar mereka akan terus tabah menghadapi dugaan itu. "Semoga dengan sumbangan katil ini dapat menambahkan sedikit keselesaan kepada mereka dan tabahkan hati dalam mengharungi ujian ini," katanya Hadir sama dalam penyerahan tersebut, Pegawai khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) Bukit Payong, Mat Ghani Jusoh, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (IMITS) Bukit Payong, Mat Noh Ismail, Pengerusi MPKK Kampung Titian Baru, Abdul Halim Wahab dan hadir sama Masyarakat setempat.
02 Jul 20
136
'Terima Kasih Ustaz'
'Terima Kasih Ustaz'
Oleh: Amiirullah Mansor DUNGUN, 17 Mei - 'Terima kasih ustaz atas bantuan ini, alhamdulillah boleh la saya beli pakaian raya tanpa bebankan keluarga," kata Asmawi Abdullah,15. Asmawi yang merupakan Orang Kelainan Upaya (OKU) adalah salah seorang daripada 988 penerima sumbangan Dana Amal Ramadhan Dewan Undangan Negeri (DUN) Paka. Majlis Taklimat dan Penyerahan Sumbangan Dana Amal Ramadhan DUN Paka itu telah disempurnakan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) berkenaan, Satiful Bahri Mamat di Dewan Sekolah Rendah Islam Darul Bayan. Remaja tersebut yang tinggal di bawah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Gemia turut memanjatkan rasa syukur atas rezeki yang dikurniakan kepadanya.  "Saya rasa amat bersyukur serta akan guna dengan sebaik mungkin pemberian rezeki ini dan tidak boros,"ujarnya kepada pemberita ketika ditemui di majlis tersebut. Sementara itu, Satiful yang juga merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi Negeri berkata, jumlah kutipan Dana Amal Ramadhan itu telah berjaya mengumpul RM100,000 hasil kempen dan sumbangan orang ramai. "Hasil kerjasama dengan Darul Aitam, program kutipan amal ini adalah inisiatif bersama untuk diagihkan kepada mereka yang memerlukan antaranya penjaga anak yatim, anak yatim, fakir miskin, OKU, mualaf dan guru Pasti. "Terima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membantu golongan ini," katanya. Dari segi pelaksanaannya menurut beliau, para penerima akan menerima sumbangan ini melalui MPKK setempat. "Program yang diadakan saban tahun ini berbeza pada tahun ini disebabkan kekangan daripada wabak COVID-19, dimana agihan terpaksa disalurkan melalui MPKK setempat. "Semoga ianya sedikit sebanyak meringankan bebanan mereka yang memerlukan untuk membeli kelengkapan raya sempena sambutan lebaran yang bakal tiba tidak lama lagi" ujarnya.
02 Jul 20
61
Sultan Mizan Solat Jumaat Bersama 550 Rakyat
Sultan Mizan Solat Jumaat Bersama 550 Rakyat
Oleh : Aslam Wira KUALA TERENGGANU, 26 Jun - Kira-kira 550 jemaah menunaikan solat Jumaat bersama Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin di Masjid Sultan Ismail, Chendering di sini hari ini. Keberangkatan tiba Baginda jam 1.10 tengah hari yang diiringi puteranya, Tengku Sri Setia Mahkota Raja disambut Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar. Hadir sama, Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pesuruhjaya Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mat Azmi Arshad dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan negeri. Sultan Mizan dan jemaah menunaikan solat dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan Garis Panduan yang telah ditetapkan pihak berkuasa.
02 Jul 20
234
Kerajaan Akan Tetapkan Harga Ayam Jika Terus Naik Tanpa Kawalan
Kerajaan Akan Tetapkan Harga Ayam Jika Terus Naik Tanpa Kawalan
KUALA NERUS, 26 Jun- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) akan melaksanakan penetapan harga syiling ayam sekiranya para peniaga terus menaikkan harga tanpa kawalan menjelang sambutan Hari Raya Aidiladha. Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Dato’ Rosol Wahid menyatakan pihak kementerian kini sedang meneliti makluman daripada pembekal dan peniaga ayam yang dikatakan menyebabkan harga ayam naik sehingga mencapai RM9.60 sekilogram, hari ini. “Kita bagi jaminan bekalan ayam mencukupi, cuma rungutan oleh rakyat adalah harganya yang naik semakin tinggi. Kalau betul kos naik kerajaan akan cari jalan, tapi kalau tidak betul kita minta pembekal dan peniaga mengkaji balik harga dalam pasaran hari ini. “Difahamkan peningkatan harga ini berlaku kerana bekalan ayam berkurangan disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), baru- baru ini dan kita jamin bermula awal bulan julai bekalan akan cukup serta harga akan turun,” katanya. Beliau berkata demikian ketika melakukan tinjauan ke Haji Din Ayam Poultry Sdn. Bhd. di Batu Rakit, bersama Ketua Setiausaha KPDNHEP, Dato' Seri Hasnol Zam Zam Ahmad. Turut hadir, Pengarah Penguat Kuasa, Dato' Iskandar Halim Sulaiman serta Pengarah KPDNHEP Terengganu, Saharuddin Mohd Kia. Menurut Rosol, setakat hari ini harga ayam direkodkan mencapai sehingga RM9.60 di Pulau Pinang. Manakala, di Terengganu terdapat peniaga di Kuala Berang mencatatkan jualan setinggi RM9.50/kg. “Kita beritahu industri, kalau naik melampau kita akan menetapkan harga dan akan ambil tindakan bagi yang ingkar. “Sekarang kita bergantung kepada harga semasa, kalau harga terus naik kita akan buat tindakan. Kalau industri mengatakan kos menyebabkan naik harga, kenapa pasaraya-pasaraya boleh jual murah?” katanya. Tambah beliau, sejak pemeriksaan di peringkat rantaian pembekalan ayam bermula 18 Jun lalu, sebanyak 529 individu terdiri dari peladang, pemborong dan peruncit dikenakan notis Seksyen Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatuan (AKHAP) 2011 di seluruh negara dan 31 daripadanya di Terengganu.
02 Jul 20
110