Artikel "Komuniti" Terkini
MB Zahir Takziah Kepada Mangsa Kebakaran
Oleh: Aslam Wira
MARANG, 28 Jun - Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar menzahirkan ucapan takziah kepada mangsa kebakaran yang berlaku di Kampung Baru Bukit Kecil, semalam.
Pada masa sama Ahmad Samsuri turut menghulurkan sumbangan yang disampaikan oleh Pegawai Khasnya, Sabri Zakaria bagi meringankan beban mangsa.
Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang dan beberapa jabatan lain turut bersama-sama memberikan sumbangan segera berbentuk kewangan dan keperluan asas.
Antaranya adalah Pejabat Ahli Parlimen Marang, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Daerah Marang, Tabung Darul Iman serta Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Marang.
Ketika kejadian, mangsa tiada di rumah kerana berada di rumah anaknya. Kebakaran yang bermula daripada sebuah bilik menyebabkan keadaan rumahnya itu hangus secara keseluruhannya.
Punca kejadian kebakaran yang berlaku kira-kira jam 11.40 pagi itu masih belum dikenal pasti, namun tiada kemalangan jiwa yang berlaku.
02 Jul 20
191
Penternak Sertai Demo Ibadah Korban Norma Baharu
MARANG, 29 Jun – Sempena Hari raya Korban yang akan menjelang tidak lama lagi, pengusaha dan penternak lembu korban daerah Kuala Terengganu dan Marang berkolaborasi dengan beberapa agensi dan jabatan menjalankan demo berkaitan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) bagi penyembelihan dan kawalan kandang peliharaan lembu korban.
Wakil pengusaha dan penternak lembu korban, Mohd Zaki Mat Yakim berkata, langkah yang dibuat itu diharap dapat menjadi rujukan kepada pengusaha-pengusaha lain sebagai mengikuti SOP pihak berkuasa.
Katanya, sepanjang demo berkenaan, ia akan dipantau oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) bagi melihat tatacara yang bakal dilaksanakan pada Hari Raya Aidiladha, seterusnya dijadikan panduan untuk tempat sembelihan yang lain.
"Kita sebagai pengusaha menjadikannya sebagai rujukan pertama untuk memastikan selepas ini pengusaha ternakan dapat mengikuti SOP pihak berkuasa, terutamanya dalam ibadat penyembelihan.
"Kita juga mendapat khidmat dan panduan daripada polis, yang mana pihak polis hanya memastikan SOP itu dipatuhi tetapi prosedurnya mesti dibincangkan di peringkat MKN, PDRM, JPV, JKNT dan Maidam kerana ibadat korban perlu mengikut syarak serta perlu mengikuti SOP yang ditetapkan MKN dengan pematuhan dipantau PDRM.
"Hasil daripada demo ini, pihak berkuasa akan menambah baik jika ada prosedur yang dirasakan perlu dan dipersetujui untuk digunapakai dan dikuatkuasakan," katanya ketika ditemui di pusat ternakan dan sembelihan Golden Faster di Kampung Tasek, Bukit Payong semalam.
Menurut beliau, antara SOP pertama yang perlu dipatuhi ialah mendaftar masuk dan mengambil suhu badan mereka yang menyertai ibadah korban serta mereka yang terlibat ditempatkan di tempat khas dalam kumpulan mengikut lembu korban yang ditetapkan.
"Peserta kemudiannya akan menzahirkan niat dan menyaksikan sembelihan tersebut, diikuti kumpulan kedua dan seterusnya. Ini bermakna, mereka tidak akan berkumpul ramai.
"Selain itu, demo yang kita lakukan juga mengambil kira pelupusan tulang dan sebagainya, dengan dicuci dan dinyahlupuskan di tempat yang kami sediakan," katanya.
02 Jul 20
376
400 Buah Rumah Diagih Singgang Daging
Oleh: Saifullah Jusoh
BESUT, 20 Mei - Sebanyak 400 buah rumah diagihkan lauk singgang daging untuk juadah berbuka puasa di kawasan Perumahan Kos Rendah Kampung Gong Tengah.
Pegawai Penyelaras DUN Kuala Besut, Haji Azbi Salleh berkata, ia adalah untuk meringankan sedikit beban penduduk di penghujung bulan ramadan.
“Walaupun tidak banyak namun sekurang-kurangnya semua penduduk dapat merasa," jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas program tersebut, di sini, pada semalam.
Menurutnya, program ini adalah kerjasama pihak Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Besut dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kampung Gong Tengah.
Turut hadir ialah Pengerusi MPKK Kampung Gong Tengah, Wan Asriazwa Husin.
“Ini adalah acara tahunan bagi peringkat supaya kita dapat mendekati penduduk DUN Kuala Besut.
"Agihan lauk berbuka ini diadakan secara berperingkat bagi seluruh DUN Kuala Besut melalui MPKK masing-masing," tambah beliau.
02 Jul 20
119
Kerisauan Penduduk Berakhir
Oleh: Mohd Fakhrullah Mohamad
MARANG, 28 Jun - Kerisauan penduduk terhadap pokok yang hampir tumbang di pinggir jalan Kampung Alur Parit, telah berakhir.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Kampung Tok Rimau, Mansor Mamat berkata, banyak aduan yang mengatakan pokok-pokok besar di pinggir jalan dahannya terlalu rendang dan boleh membahayakan rumah dan kedai berhampiran terutama ketika hujan ribut.
"Kebelakangan ini kita terima terlalu banyak aduan daripada penduduk setempat di mana dahan-dahan pokok tersebut terlalu rendang dan mereput malah dikhuatiri boleh tumbang ketika ribut kencang," katanya.
Tambahnya lagi, kerja-kerja itu sebenarnya sudah lama ingin dilaksanakan, cuma atas faktor keselamatan dan peralatan yang perlu digunakan terpaksa ditangguhkan dahulu.
"Penduduk setempat telah turun beramai-ramai bergotong-royong kerja-kerja memotong dan membersih pokok-pokok tersebut menggunakan van lori yang disediakan," katanya
Turut hadir, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Bukit Payung, Mat Ghani Jusoh, Timbalan Pengerusi MPKK Kampung Tok Rimau, Mohd Amin Ismail, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penduduk sekitar.
Sumbangan berupa wang ringgit yang disalurkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payung, Ustaz Mohd Nor Hamzah sedikit sebanyak membantu aktiviti gotong -royong itu.
02 Jul 20
100
YB Jelajah Kampung Hulur Bantuan Keluarga Miskin
MARANG, 20 Mei - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah melakukan jelajah ke setiap kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan bagi menghulurkan bantuan kepada keluarga yang kurang berkemampuan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri itu berkata, jelajah tersebut turut memberi keutamaan terhadap rumah rakyat yang mempunyai masalah kesihatan.
Katanya, melalui aktiviti turun padang sebegitu beliau sendiri dapat merasai kesukaran hidup yang dialami penduduk di sana.
“Alhamdulillah sebanyak 14 buah kampung sudah menerima sumbangan berupa kad raya, beras, dan kek. Insya-Allah sebanyak 11 lagi kampung yang masih berbaki akan turut menerima sumbangan sama.
“Agihan sumbangan ini akan diagihkan mengikut bilangan rumah pada setiap kampung dan sumbangan disalurkan sendiri oleh saya atau Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) yang bertugas. Insya-Allah tidak akan ada rumah yang tercicir dan tidak dapat,” katanya ketika dihubungi pemberita semalam.
Turut hadir dalam aktiviti ziarah dari rumah ke rumah tersebut adalah Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak.
Dalam masa yang sama, beliau turut menyeru masyarakat supaya memanfaatkan hari yang berbaki dalam bulan Ramadan untuk beramal ibadat.
“Harapan saya di bulan mulia yang masih lagi berbaki beberapa hari dan hari raya yang kian tiba, marilah sama-sama kita memperbanyakkan amal ibadat dan mengislahkan diri kita pada Allah agar setiap hidup dan amalan kita diterima oleh Allah. Insya-Allah,” tambah beliau.
02 Jul 20
102
189 Anak Yatim Ceria Menjelang Aidilfitri
Oleh : Izzat Al Qushairi
SETIU, 19 Mei - Seramai 189 anak yatim di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit di sini ceria selepas menerima sumbangan berbentuk barangan harian, kuih raya dan wang tunai semalam.
Pegawai Penyelaras DUN Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, pihaknya prihatin terhadap nasib dan kesukaran yang dihadapi golongan anak yatim.
"Jadi, bantuan berjumlah RM19,700 yang disumbang orang ramai dan juga dana Pusat Khidmat Masyarakat DUN Batu Rakit ini diharap mampu meringankan beban golongan anak yatim khususnya menjelang Syawal.
"Pelaksanaan program pada tahun ini dibuat agak berbeza dengan tahun sebelum ini yang dilaksanakan secara jamuan kerana Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
"Namun kita juga sedang berusaha untuk terus menyantuni mereka dari satu rumah ke satu rumah semua anak yatim di sini," katanya kepada pemberita.
Sementara itu, Pengerusi Batu Rakit Care, Mohd Pauzi yang hadir sama berkata bilangan anak yatim pada tahun ini meningkat dua kali ganda dari tahun sebelumnya.
"Sudah tentu tanggungjawab kita untuk membantu juga perlu dilipatganda dan ditambah baik setiap masa.
"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua penyumbang yang menghulurkan bantuan kepada anak yatim ini khususnya kepada Mohd Shafizi yang bukan sahaja menyumbang duit malah turut bersama turun padang memberikan sumbangan kepada anak yatim ini," tambah beliau.
02 Jul 20
276
Pertima Raikan Penduduk Kampung Tok Adis
Oleh: Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Pertima Sdn. Bhd. dengan kerjasama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tok Adis telah mengadakan Program Kacau Bubur Lambuk untuk diagihkan kepada penduduk kampung berkenaan.
Menurut Pengurus Pertima Sdn. Bhd., Syed Asdi Tuan Ngah, program tersebut bertujuan merapatkan hubungan kakitangan syarikat terbabit bersama masyarakat di samping mengadakan aktiviti kebajikan bersempena bulan Ramadan yang mulia ini.
Syarikat milik penuh Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (PMINT) yang merupakan pengeluar utama makanan dalam tin terkemuka negara itu telah mengagihkan sebanyak 250 bekas bubur lambuk kepada penduduk Kampung Tok Adis.
“Pertima merancang untuk perbanyakan lagi program kemasyarakatan bersama masyarakat setempat di masa akan datang,” kata Syed Asdi ketika ditemubual oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Dalam pada itu, aktiviti tersebut mendapat sambutan baik daripada penduduk kampung.
Timbalan Pengerusi MPKK Tok Adis, Talib Manap mewakili penduduk turut melahirkan rasa terima kasih kepada pihak Pertima dan berharap kerjasama itu dapat diteruskan lagi di masa akan datang.
02 Jul 20
431
Proses Pendalaman Muara Sungai Kuala Ibai Permudah Nelayan Ke Laut
Oleh: Akid Hafriz
KUALA TERENGGANU, 19 Mei - Kerja-kerja mengorek pasir yang dijalankan di muara Sungai Kuala Ibai sejak 16 Mei lalu, memudahkan laluan nelayan bot kecil keluar masuk untuk menangkap ikan.
Proses pendalaman muara tersebut merupakan salah satu inisiatif bagi membantu para nelayan turun ke laut sementara menunggu kelulusan daripada Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) untuk memulakan proses penuh.
"Kajian telah dijalankan bagi memastikan proses ini tidak memberi kesan kepada alam sekitar dan persekiraran disini.
"Keputusan kajian tersebut akan diserahkan kepada ibu pejabat JPS bagi mendapatkan kelulusan untuk meneruskan proses pendalaman muara ini secara menyeluruh.
"Jadi untuk sementara waktu ini, kita akan korek pasir di muara ini untuk membuat laluan sementara bagi para nelayan ke laut," kata Pengurus De Jaya Sdn. Bhd., Hanafi Ismail kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), baru-baru ini.
Timbalan Pengarah Majlis Tindakan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, Mohd Soud Said turut hadir ke lokasi muara tersebut bagi melihat proses tersebut dijalankan.
02 Jul 20
870
PDRM, ATM Ronda Kawasan Rumah Pada Aidilfitri
PUTRAJAYA, 19 Mei - Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan membuat rondaan di kawasan rumah pada Hari Raya Aidilfitri nanti bagi memastikan orang ramai mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan, Ketua Polis Negara memaklumkan pihak PDRM dan ATM bersetuju untuk melakukan rondaan di kawasan rumah khususnya pada hari raya pertama dan hari-hari selepas itu.
“Kita mungkin tidak dapat buat pemeriksaan di setiap rumah, tetapi jika semasa rondaan dibuat banyak kenderaan di luar rumah, kita akan semak kediaman terlibat.
“Apabila kenderaan banyak berkemungkinan ramai orang dalam rumah tersebut, jadi kita akan semak jumlah penghuni rumah tersebut,” katanya pada sidang akhbar harian (Non-Health) di sini hari ini.
Sehubungan itu, orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi SOP sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Hari Raya Aidilfitri nanti.
02 Jul 20
575
Dadah Boleh Musnah Institusi Keluarga
Oleh : Syazwana M.Zohir
KUALA TERENGGANU, 28 Jun – Masyarakat diperingatkan supaya sentiasa berwaspada dan cakna mengenai bahaya penyalahgunaan dadah dalam kehidupan berumahtangga.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wanita Terengganu, Zuraida Md Noor berkata pelbagai jenayah boleh timbul berpunca daripada penyalahgunaan dadah.
Jelasnya, statistik menunjukkan bahawa lebih 50 peratus daripada penghuni penjara di Malaysia disabitkan dengan pertuduhan berkaitan dadah.
“Apa yang menarik perhatian saya ialah bagaimana penyalahgunaan dadah memberi kesan yang negatif kepada rumahtangga sehinggakan ada kes keganasan rumahtangga yang berlaku disebabkan pasangan atau anak-anak mereka terlibat dengan najis dadah.
“Isu ini, saya saksikan sendiri apabila turun berziarah ke rumah-rumah tak kira sama ada di kawasan kampung atau bandar, pasti ada sahaja cerita keganasan dalam perkahwinan disebabkan dadah.
“Apabila terdesak kerana tiada wang untuk mendapatkan bekalan dadah, maka suspek akan mula melakukan tindakan secara luar kawalan,”ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dihubungi oleh wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI), semalam.
Tambah Zuraida, lebih menyedihkan apabila 80 peratus daripada jumlah penagih di Malaysia berbangsa Melayu dan kebanyakan mereka berasal dari negeri Pulau Pinang, Perlis, Pahang, Kelantan dan Terengganu.
“Jika anda salah seorang daripada mangsa keganasan rumahtangga, segera laporkan kepada pihak berkuasa, jangan pendamkan seorang diri.
“Saya suarakan hal ini demi memberi kesedaran kepada rakyat sempena dengan Hari Sambutan Menentang Penyalahgunaan Dadah hari ini (semalam) ,”ujarnya.
02 Jul 20
570