Artikel "Komuniti" Terkini
Kekal Tradisi Pelita Raya Walau Dalam PKPB
KUALA NERUS, 27 Mei - Meskipun Syawal kali ini disambut dalam suasana berbeza susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB), namun bagi penduduk Kampung Padang Air di sini, kemeriahan Aidilfitri tetap dirasai dengan suasana tersendiri.
Mohamad Jailani Haron, 50, berkata, dia sanggup berhabis sekitar RM1,200 bagi memasang pelita dengan pelbagai bentuk di sekitar halaman rumahnya dan ia bukan hanya semata-mata untuk pertandingan.
Katanya, dia bersama keluarga terdekat mengekalkan tradisi itu yang dimulakan sejak 80-an oleh datuk dan bapanya dengan memasang kira-kira 200 pelita bulat.
“Bezanya tahun ini kami buat dengan lebih meriah bagi mengembalikan ‘mood’ raya yang sedikit suram akibat COVID-19.
“Kami turut memasang pelita di basikal dan kereta klasik serta mewujudkan taman pelita ibunda supaya orang ramai boleh merasai suasana Aidilfitri,” katanya semasa ditemui pemberita semalam.
Sementara itu, kemeriahan sama turut dirasai di sekitar Kampung Padang Hangus apabila beberapa penduduk kawasan itu bersama-sama memasang pelita raya.
Suri rumah, Zaleha Mat Min, 58, sangat bersyukur kerana kehangatan perayaan itu masih terasa walaupun tidak semeriah tahun-tahun terdahulu.
“Dalam musim PKPB dan wabak pandemik, kami tetap mengambil keputusan membuat pameran pelita bagi menceriakan kampung.
“Ini adalah tradisi yang patut dikekalkan jadi kami buat dalam bentuk olahan yang kecil jadi kami selain menyertai pertandingan pelita yang dianjurkan kerajaan negeri.
“Kami mengambil masa selama dua hari untuk menyiapkan semua ini,” tambahnya.
06 Jul 20
222
Dua Exco Terjah Pasar, Pantau Harga Barang
Oleh: Hidayah Azlin
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Dua exco kerajaan Terengganu melakukan lawatan mengejut ke Pasar Borong Gong Pauh di sini semalam bagi memastikan peniaga mematuhi harga siling barangan kawalan yang ditetapkan baru-baru ini.
Tinjauan Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa, Dr Azman Ibrahim bersama Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO, Wan Sukairi Wan Abdullah mendapati lebih 90 peratus peniaga mematuhi pelaksanaan itu.
Walau bagaimanapun, Dr Azman berkata, masih terdapat segelintir peniaga yang ingkar dan mereka telah diberikan teguran serta amaran.
"Kami hadir untuk melihat sendiri stok bekalan barangan dan pematuhan harga barangan kawalan seperti ayam, daging, telur, kelapa dan sebagainya.
"Pasar borong ini dimanfaatkan oleh peniaga dan pengguna dari sekitar daerah ini, Marang, Hulu Terengganu dan Kuala Nerus.
"Boleh saya katakan harga barangan di Pasar Borong Gong Pauh adalah gambaran harga purata untuk Terengganu," jelasnya kepada media selepas lawatan.
Turut hadir, Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Terengganu, Saharuddin Mohd Kia, Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu, Shahidan Embok, Pengarah Pertanian Negeri, Zulkepli Amin Mat Jusoh, Pengarah Veterinar Negeri, Dr Mohd Termizi Ghazali dan Pengarah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Negeri, YM Tengku Mohd Anuar Tengku Mahmod.
Menurut Dr Azman, bagi memastikan keadilan dan kesaksamaan sebelum mengenakan sebarang tindakan penguatkuasaan harga, pihaknya mengenakan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat.
"Kalau peruncit jual mahal, bukan terus dikenakan tindakan. Perlu diteliti dahulu berapa harga yang mereka dapat dari pemborong dan berapa harga yang pemborong dapat dari pembekal.
"Semua peringkat rantaian pengeluaran akan diteliti. Termasuk juga yang dipantau ialah harga sumber input pertanian seperti baja, racun dan makanan ternakan," ujarnya.
Sementara itu, mengulas tentang bekalan makanan menjelang Aidilfitri esok, beliau berkata semuanya adalah mencukupi.
"Aneka jualan sayur-sayuran dan buah-buahan di sini adalah keluaran dari sendiri dan luar Terengganu. Setakat ini, belum ada aduan tentang bekalan tidak cukup," tambah beliau.
06 Jul 20
117
5,200 Kit Aidilfitri Tanda Prihatin Diagihkan Di DUN Manir
Oleh: Ahmad Mawardi
HULU TERENGGANU, 23 Mei - Memahami keperitan yang dilalui rakyat di sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang diumumkan kerajaan akibat penularan wabak Koronavirus (Covid-19), Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir tampil membantu untuk meringankan beban menjelang Aidilfitri yang akan disambut esok.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata, melalui peruntukan kerajaan negeri, pihaknya mengagihkan 5,200 kit barangan keperluan asas Aidilfitri kepada seluruh ketua isi rumah sebagai tanda ingatan bersama.
Katanya, penyampaian sumbangan itu bukan atas nama mana-mana parti, sebaliknya kesepakatan dalam Perikatan Nasional (PN).
Menurut Hilmi lagi, wakil-wakil parti kompenan PN juga dijemput pada penyampaian sumbangan kepada penduduk setelah diedarkan kepada seluruh Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dalam DUN Manir.
Jelas beliau, sumbangan kerajaan negeri diagih kepada semua rakyat yang terjejas tanpa mengira fahaman politik bersama-sama dapat meraikan Aidilfitri.
06 Jul 20
97
DHPP ‘Jambatan’ Non-Muslim - Ahmad Amzad
Oleh: AHMAD SABRI YUSOF
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Dewan Himpunan Pendukung PAS (DHPP) merupakan ‘jambatan’ antara komuniti non-muslim dengan masyarakat Melayu Islam khususnya di Terengganu.
Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim berkata, DHPP Kuala Terengganu bertindak cemerlang dalam memelihara kesejahteraan rakyat terutama di kalangan bukan Islam sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sejak 18 Mac lalu.
Katanya, Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kuala Terengganu melalui DHPP Kawasan Kuala Terengganu berjaya mengagihkan bantuan kepada masyarakat non-muslim dalam kawasan tersebut.
Menurut Amzad, bantuan disalurkan kepada semua yang layak tanpa mengira latar belakang parti dan kaum bukan Islam banyak tertumpu di kawasan Kampung Cina, Kuala Terengganu.
“Ramai yang terkesan akibat arahan PKP itu sejak dua bulan lalu akibat penularan wabak pandemik Covid-19 di seluruh dunia.
“Tahniah kepada DHPP Kuala Terengganu kerana cemerlang dalam usaha memelihara perpaduan nasional yang positif di Kuala Terengganu, termasuklah sepanjang musim Covid-19,” ujarnya dalam satu kenyataan facebook, semalam.
Beliau yang juga Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosti) berkata, titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, mengenai kesan terhadap ekonomi amat menyentuh rakyat.
“Tuanku Duli Yang Maha Mulia, Yang di-Pertuan Agong semasa istiadat perasmian pembukaan penggal sidang parlimen pada 18 Mei lalu, ramai rakyat yang terkesan terutamanya dari segi ekonomi.
“Alhamdulillah, kerajaan Perikatan Nasional sekarang sudah pun melakukan usaha keras bagi membantu rakyat dengan lebihkan bekerja berbanding politicking.
“Kita sebagai warga Malaysia perlu sentiasa menyemaikan budaya positif untuk kesejahteraan rakyat di negara ini,” jelasnya.
Sehubungan itu, kata Amzad, daerah Kuala Terengganu pernah diumumkan kawasan paling ‘gembira’ berdasarkan indeks kebahagiaan menurut Laporan Kebahagiaan Dunia 2019 (WHR).
Menurutnya, kejayaan itu turut disumbangkan oleh peranan DHPP Kuala Terengganu yang dapat memelihara kesejahteraan di kalangan masyarakat non-muslim.
“Tahniah kepada Jefri Chua dan DHPP Kuala Terengganu yang membuktikan dan menolak isu bahawa PAS adalah ‘racist’ dan tidak mementingkan kaum lain selain Melayu sahaja adalah tidak benar,” tegasnya.
Hadir sama dalam pertemuan itu, Ketua DHPP Kuala Terengganu, Chua Kim Huat atau Jefri Chua, Setiausaha DHPP Kuala Terengganu, Ketua Pemudanya, Alex Chan Fook Yew, Ketua Wanita DHPP Kuala Terengganu, Angeline Mak Yun Yah dan Setiausaha DHPP Kuala Terengganu, Wong Foot Yoke.
05 Jul 20
200
123 Pasukan Khas Pantau Pematuhan SOP Aidilfitri Di Terengganu
KUALA TERENGGANU, 23 Mei - Polis Terengganu akan memantau aktiviti sambutan Hari Raya Aidilfitri di negeri ini dengan 123 pasukan khas terdiri daripada 531 anggota dan pegawai daripada polis, tentera, Pertahanan Awam dan RELA.
Ketua Polis Terengganu, Dato' Roslee Chik berkata pemantauan ini dilaksanakan agar sambutan Aidil Fitri di negeri ini tidak melanggar Prosedur Standard Operasi (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang ditetapkan.
"Ia bertujuan memastikan sambutan tidak melebihi 20 orang di dalam setiap rumah dipatuhi sepenuhnya bagi mengelak risiko penularan Covid-19.
"Bagi menguatkuasakan peraturan, cuti hampir 3 ribu 200 anggota dan pegawai polis di negeri itu dibekukan sehingga tamat tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat, PKPB ini," katanya dalam satu siaran berita Radio Televisyen Malaysia (RTM).
Beliau juga meminta penduduk Terengganu sentiasa mematuhi arahan dan tidak melakukan perjalanan merentas negeri tanpa kebenaran.
Bagaimanapun, mereka masih boleh bergerak merentas daerah dan sentiasa mengambil serius langkah pencegahan Covid-19.
05 Jul 20
115
DITC Rai Kakitangannya
Oleh: Alfian Mamad
KEMAMAN, 23 Mei - Darul Iman Training Centre (DITC) kelmarin meraikan kakitangannya seramai 45 orang sempena hari lebaran yang bakal menjelang.
Penyerahan sumbangan berbentuk wang tunai dan kuih raya telah disempurnakan oleh Ahli Lembaga Pengarah (ALP) DITC, Hazri Jusoh di Dewan Abdul Rahman Limbong, DITC, Teluk Kalong.
Beliau yang juga Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal ketika berucap merakamkan jutaan terima kasih kepada semua kakitangan yang selama ini bertungkus-lumus memberikan perkhidmatan yang terbaik.
"Saya mewakili ALP mengucapkan jutaan terima kasih kepada semua pekerja yang memberi komitmen dalam menjalankan tugas masing-masing bagi memenuhi kehendak pelanggan kita," katanya.
Hazri turut memberitahu, pihaknya akur dengan keadaan penularan pandemik COVID-19 di mana DITC terpaksa membatalkan banyak tempahan daripada pelanggan.
"Kita terpaksa membatalkan semua tempahan pelanggan disebabkan penularan COVID-19 yang sedang melanda negara kita sekarang.
"Bukan DITC sahaja yang terjejas disebabkan perkara tersebut, malah semua perniagaan yang melibatkan sektor pelancongan di negara kita turut terjejas setidak-tidaknya sehingga akhir tahun ini," ujarnya.
Hadir sama dalam majlis ringkas tersebut, Ketua Eksekutif Jualan dan Pemasaran, Mohd Ezani Yahya, Ketua Eksekutif Syariah, Muhammad Al Amin Salleh dan beberapa orang pegawai.
DITC merupakan salah satu anak syarikat Kerajaan Negeri Terengganu yang menyediakan perkhidmatan kemudahan untuk latihan bagi syarikat kerajaan, badan berkanun dan swasta yang beroperasi di Teluk Kalong.
05 Jul 20
442
ADUN Kota Putera Agih 10,000 Bekas Kuih Raya
Oleh: Mustaqim Afandi
BESUT, 21 Mei - Sebanyak 10,000 bekas kuih raya diagihkan kepada penduduk di sekitar DUN Kota Putera dan agensi kerajaan oleh Pusat Khidmat Masyarakat DUN tersebut.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, pemberian itu adalah tanda ingatan hari raya Aidilfitri yang bakal menjelma tidak lama lagi.
"Agihan akan dibuat oleh setiap Jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Kota Putera.
"Walaupun sumbangan tidak seberapa, sekurang-kurangnya semua dapat merasa," jelasnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Putera berkata demikian ketika dihubungi semalam.
Menurutnya, Pusat Khidmat Masyarakat DUN Kota Putera juga sedaya upaya menyantuni penduduk yang dilanda musibah seperti kematian, bencana alam dan sebagainya walaupun berdepan dengan sedikit keterbatasan akibat Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Nurkhuzaini menambah, bilangan agihan tersebut merangkumi 100 peratus jumlah ketua isi rumah (KIR) dalam DUN Kota Putera.
"Terima kasih diucapkan kepada petugas DUN Kota Putera yang sangat komited dalam memberi sumbangan tenaga dan kerjasama sepanjang bulan Ramadan ini.
"Diharap kerjasama sebegini dapat diteruskan pada masa akan datang," tambah Nurkhuzaini.
05 Jul 20
378
Warga Emas Mengesot 100 Meter Cari Keperluan Diri
Oleh: Hidayah Azlin
SETIU, 21 Mei - Seorang warga emas, Jusoh Abas atau Pak Jusoh, 70, nekad mengesot sejauh 100 meter untuk membeli keperluan dirinya kelmarin.
Derita bapa kepada seorang anak itu bermula apabila dia mengalami demam selama seminggu di awal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan kini dijaga oleh adik dan saudara terdekat kerana anaknya bekerja di Kuala Lumpur.
Kata Jusoh, kaki yang kurang sempurna dan berkudis turut menyukarkannya untuk memakai selipar semasa ke luar rumah.
"Saya keluar untuk mencari keperluan diri tanpa pengetahuan adik, pada awalnya adik saya dah pergi, tetapi saya mahu melihat sendiri barang yang saya pesan itu di kedai.
"Itu kali pertama saya keluar rumah selepas tidak mampu berjalan dengan sempurna," katanya semasa menerima kerusi roda semalam.
Walau bagaimanapun, tindakan warga emas Bukit Jeruk itu disedari Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim yang menyapa Pak Jusoh semasa menziarahi penduduk di kampung terbabit.
"Saya pergi kedai depan rumah sahaja. Dalam perjalanan balik, kebetulan pula terserempak dengan Dr Azman Ibrahim sewaktu dia ziarah orang kampung sebelah," jelasnya.
Menyedari beban yang ditanggung Pak Jusoh, Dr Azman segera menyumbang kerusi roda semalam bagi memudahkan bekas peserta Felda Kerteh 6 terbabit melakukan aktiviti harian.
"Kerusi roda memang sepanjang masa ada stok di Pejabat ADUN. Ada yang memerlukan kita terus hantar tanpa apa-apa kerenah birokrasi.
"Semalam dapat kerusi roda. Hari ini Penghulu Kampung hantar sumbangan lain, tak perlu isi apa-apa borang pun untuk mohon bantuan ini kerana semua tahu dia layak," jelasnya.
Tambah Dr Azman, Pak Jusoh sangat teruja apabila menerima bantuan tersebut dan kita akan terus membantu orang-orang yang kurang berkemampuan.
"Sebelum ini dia terpaksa mengesot untuk melakukan apa-apa aktiviti, dia sedikit bebas dan mudah bergerak, segala keperluan dia juga kita bantu" jelasnya.
05 Jul 20
151
Ramadan, PKPB Tak Halang 'Jupo' Rakyat
SETIU, 21 Mei - Walaupun dalam bulan Ramadan dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) ia tidak menghalang pemimpin untuk bertemu serta membantu rakyat.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, aktiviti turun padang bukan hanya dapat memantau sendiri permasalahan yang ada tetapi ia dapat membina hubungan yang dekat antara mereka.
"Di mana sahaja kita boleh turun meninjau kehidupan rakyat, sama ada kebun, ladang, laut, pantai, sawah, bukit dan sebagainya. Mudah sebut, di mana ada rakyat di situ kita perlu sampai.
"Semoga kita terus kuat untuk membantu rakyat kerana ketikanya dalam melaksanakan tugasan lain, kita terlalai dari kerja asasi seorang kuli rakyat di lapangan," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyantuni rakyat dalam Program Temu Mata ‘Orang Lama’ di Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi di sini semalam.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi sangat menghargai jasa serta pengorbanan orang-orang terdahulu dalam membangunkan masyarakat dan negeri.
"Jasamu dikenang. Kerana merekalah antara penyebab kita mampu sampai ke tahap ini pada hari ini. Inilah antara orang-orang lama kita yang pernah berkhidmat.
Tambah beliau lagi, ‘pejabat bergerak’ yang diamalkan sejak dahulu kala berjaya memudahkan urusan dan memberi keselesaan kepada rakyat.
"Rakyat yang sudi panjat tangga pejabat untuk jumpa kita tak sampai pun satu peratus walaupun kita buka pejabat untuk dikunjungi tanpa protokol," jelasnya.
05 Jul 20
64
KHSB Serah Zakat Perniagaan RM721,815.15 Kepada MAIDAM
KUALA TERENGGANU, 21 Mei - Kumpulan Syarikat Ketengah Holding Sdn. Bhd (KHSB) membayar zakat perniagaan sebanyak RM721, 815.15 kepada Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), di Pejabat KETENGAH, hari ini.
Pada majlis ringkas itu,Kumpulan Syarikat KHSB yang diwakili Pengerusi KETENGAH, Senator Datuk Razali Idris menyerahkan replika cek kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) MAIDAM, M Rozi Bidin.
Kumpulan Syarikat KHSB dalam satu kenyataan memberitahu, zakat yang dikeluarkan itu berdasarkan keuntungan yang diperoleh pada tahun lalu.
Katanya, zakat tersebut diperoleh melalui sembilan buah anak syarikatnya iaitu Ketengah Holding Sdn Bhd (RM144,949), Ketengah Perwira Sdn Bhd (RM275,999.40), Yayasan Islam Terengganu-Ketengah Perwira Sdn Bhd (RM27,460.80), Kebunika Sdn Bhd (RM3,491.28),Ketengah Jaya Sdn Bhd (RM136,866.18), Ladang Ternak Tani Sdn Bhd (RM7,389.63), Kilang Sawit Panji Alam Sdn Bhd (RM99,645.95), Kuari Trengganu Tengah Sdn Bhd (RM12,525.13) dan Kolej Ketengah Sdn Bhd (RM13,487.80).
"Peningkatan pengeluaran buah tandan bersih merupakan faktor utama yang menyumbang kepada peningkatan keuntungan yang diperolehi di samping kecekapan dalam pengurusan syarikat.
"KETENGAH bersyukur kerana mampu membayar zakat seperti yang disasarkan," ujar kenyataan tersebut.
05 Jul 20
363