Artikel "Komuniti" Terkini
PKPB : Aktiviti Ziarah Kubur Di Terengganu Tidak Digalakkan - Exco
KUALA TERENGGANU, 30 Mei - Kerajaan Terengganu tidak menggalakkan orang ramai melakukan aktiviti ziarah kubur semasa tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah berkata, ini kerana risiko pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) PKPB semasa aktiviti tersebut adalah tinggi.
Jelasnya, meskipun belum ada keputusan rasmi di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu berhubung perkara itu setakat ini, pihaknya tetap tidak menggalakkan aktiviti tersebut dilakukan.
"Apabila diadakan aktiviti tersebut, ia pasti melibatkan jumlah perhimpunan ramai dalam satu-satu masa.
"Oleh itu, kita melarang sebarang pertemuan atau perhimpunan diadakan di mana-mana lokasi termasuk tanah perkuburan kerana ia melanggar peraturan ditetapkan sepanjang PKPB," katanya ketika dihubungi media hari ini.
Sehubungan itu, beliau meminta kerjasama orang ramai supaya menangguhkan dahulu hasrat berkenaan sehingga keadaan kembali pulih.
"Lawatan ke lokasi itu boleh dilakukan selepas tamat PKPB atau apabila situasi negara kembali pulih daripada wabak COVID-19," tambah beliau.
06 Jul 20
57
Lima Beranak Tidur Berlantaikan Rumput Terima Rumah Baharu
Oleh: Aslam Wira
MARANG, 30 Mei - Selepas tiga hari dua malam hidup berlantaikan rumput dan beratapkan kanvas, lima beranak di Kampung Sungai Kerak di sini akhirnya menerima rumah baharu semalam.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, keputusan itu dicapai setelah beberapa kali perbincangan dibuat bersama pihak lain dan keluarga tersebut.
Katanya, keluarga terbabit akan berpindah ke rumah baharu dalam masa terdekat dan segala urusan berkait perkara itu diuruskan pihaknya.
"Bayaran sewa rumah tersebut sebanyak RM300 juga akan ditanggung dengan persetujuan oleh Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) Marang.
“Dengan bantuan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) setempat keluarga ini akan ditempatkan di Taman Dato' Ibrahim, dan mereka telah dibawa untuk melihat rumah tersebut, kunci rumah kita serahkan kepada mereka," katanya kepada pemberita selepas menziarahi keluarga berkenaan.
Turut hadir adalah, Pegawai Khas Pusat Khidmat DUN Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng, MPKK Perumahan Awam Kos Rendah Sungai Kerak, dan MPKK Gong Nangka.
Mengulas lanjut, Wahad berkata, tindakan pantas MPKK menyalurkan maklumat banyak membantu pihaknya.
“Pagi ini juga, mewakili Pejabat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang, tinjauan dan siasatan segera terhadap keadaan keluarga ini dibuat setelah mendapat maklumat daripada MPKK.
Menurut Wahad lagi, sedikit sumbangan seperti keperluan asas, tilam dan makanan turut diagihkan kepada mereka untuk berpindah ke rumah sewa baharu.
“Dalam masa yang sama, Pejabat ADUN Rhu Rendang juga akan berusaha untuk membantu menyiapkan rumah miliknya melalui agensi-agensi terbabit," jelasnya.
Sementara itu, penghuni rumah tersebut, Mohd Taufiq Mohd Alias, 44, terharu dengan keprihatinan pihak kerajaan negeri yang membantu keluarganya.
"Kerana hilang mata pencarian, saya bersama isteri dan tiga orang anak mengambil keputusan untuk tinggal di rumah milik saya yang saya bina tiga tahun lalu tetapi belum siap sepenuhnya," tambahnya.
06 Jul 20
50
Minggu Kedua Solat Jumaat, Jemaah Patuh SOP
Oleh: Fahmi Izzuddin
SETIU, 29 Mei - Semua jemaah yang hadir menunaikan solat Jumaat di masjid di daerah ini mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan termasuk menggunakan cecair sanitizer dan melakukan pemeriksaan suhu.
Pegawai Agama Daerah Setiu, Ustaz Muhamad Ash-Shafie Abd Manan berkata, pihaknya sentiasa melakukan pemantauan terhadap para jemaah yang hadir bagi mengelakkan sebarang pelanggaran SOP.
"Hanya jemaah terpilih dan mendapat surat kebenaran sahaja hadir menunaikan solat Jumaat dengan kehadiran direkodkan, memakai penutup hidung dan mulut, pemeriksaan suhu dan penggunaan 'hand sanitizer' turut dilakukan di pintu masuk masjid.
"Jemaah juga dikehendaki membawa sejadah dan berwuduk dari rumah masing-masing," katanya ketika dihubungi wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Menurut beliau, pihak Polis Diraja Malaysia, RELA, Penguatkuasa Syariah, Penguatkuasa Majlis Daerah Setiu dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) turut membantu memantau perjalanan solat Jumaat.
Untuk rekod, Masjid Bandar Permaisuri, Setiu dipilih sebagai masjid yang dibenar mengadakan solat Jumaat dengan kapasiti jemaah adalah tidak lebih 40 orang.
06 Jul 20
67
Kebun Cili Khairunnisa' Mula Keluarkan Hasil
Oleh: Daing Siti Norbaity
SETIU, 29 Mei - Projek penanaman cili secara fertigasi yang diusahakan Persatuan Isteri Wakil Rakyat dan Isteri Bekas Wakil Rakyat Terengganu (Khairunnisa') di atas tanah seluas dua ekar di Kampung Mengabang Lekor, di sini mula mengeluarkan hasil.
Pengerusi Khairunnisa', To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Ab Rahman yang mesra dengan panggilan Kak Zah berkata, tuaian pertama cili pada bulan Ramadan lalu mencecah hampir 110 kilogram.
"Hasil tuaian tersebut telah dijual kepada pemborong sayur-sayuran.
"Kak Zah ingin buktikan dan mengajak rakyat Terengganu untuk memanfaatkan kawasan tanah terbiar dengan dijadikan kebun komuniti.
"Bermula dari laman kecil, jika bersungguh-sungguh usaha ini boleh mendatangkan manfaat jika kita tekun dan berazam untuk berjaya," ujarnya kepada pemberita kelmarin.
Turut hadir ke kebun cili Khairunnisa' beberapa hari lalu ialah Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pembangunan Wilayah & Kesejahteraan Pentadbiran Negeri, Dato' Tengku Hassan Tengku Omar, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah, Pembangunan Insan dan Penerangan, Mohd Nor Hamzah serta Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja Negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman.
Tidak memadai dengan laman kediaman rasmi yang dipenuhi pelbagai tanaman sayur-sayuran dan bunga, Kak Zah yang juga isteri Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar terus mengorak langkah 'mempromosikan' pertanian bandar secara lebih kormesial.
Jelas terbukti, usaha beliau dan ahli Khairunnisa' telah berjaya menukarkan kawasan semak samun dan manfaatkan tanah terbiar milik Khairunnisa' seluas dua ekar itu kepada kebun cili.
Sementara itu menurut Kak Zah, suaminya turut mengagumi inisiatif Khairunnisa' yang mengusahakan tanah terbiar untuk projek yang bermanfaat.
"Sebagai tanda sokongan dan penghargaan, Dr. Sam juga turun ke kebun bagi memetik hasil cili yang lebat.
"Dr Sam suka sangat kalau diajak ke kebun ni, dia pun puas hati tengok hasil usaha daripada 'zero'. Dah dua tiga kali turun membantu, antara terapi beliau juga," jelas Kak Zah.
06 Jul 20
303
Hukuman Kepada Pemandu Mabuk Perlu Diperketatkan
Oleh: Mohd Rizauddin
DUNGUN, 28 Mei - Kejadian kemalangan yang melibatkan orang awam tidak bersalah angkara perbuatan pemandu mabuk harus dipandang serius dan sudah tiba masanya untuk kerajaan bertegas serta mempertingkatkan lagi hukuman sedia ada terhadap pelaku.
Ahli Parlimen Dungun, Wan Hassan Mohd Ramli berpendapat, undang-undang sedia ada bagi menghukum pelaku kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol dilihat terlalu ringan dan menyebabkan ramai memandang remeh.
Katanya, tindakan drastik harus diambil oleh pihak kerajaan dalam menggubal undang-undang yang lebih tegas dengan mengenakan hukuman mandatori yang setimpal bagi memberi kesedaran kepada semua pesalah.
"Isu kemalangan maut yang melibatkan orang awam dan pemandu mabuk bukanlah lagi suatu perkara yang baru bagi kita, namun ia semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini.
"Bahkan dalam pada kita menjalani tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) baru-baru ini, masih ada kejadian kemalangan maut melibatkan seorang pegawai polis yang sedang bertugas. Ini semua angkara pemandu yang tidak bertanggungjawab," ujarnya ketika dihubungi pemberita.
Menurut beliau, mungkin lebih ramai orang awam akan menjadi mangsa pemandu mabuk ini, maka amat wajarlah jika tindakan awal diambil oleh pihak berkuasa terlebih dahulu memandangkan penggubalan undang-undang baru yang lebih ketat belum dilaksanakan.
Dalam pada itu, Wan Hassan turut menggesa agar rakyat Malaysia lebih bersikap bertanggungjawab serta bertimbang rasa terhadap orang lain agar kejadian seperti ini dapat dielakkan.
06 Jul 20
82
Media Sosial Rapatkan Silaturahim Di Aidilfitri
Oleh: Adli Mohamad
DUNGUN, 28 Mei - Penggunaan media sosial dilihat menjadi penghubung silaturahim ketika Aidilfitri berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) masih berkuatkuasa ketika hari kebesaran umat Islam itu.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, tidak seperti tahun sebelum-sebelumnya suasana sambutan lebaran kali ini berbeza dalam keadaan negara masih berhadapan dengan ancaman wabak COVID-19.
"Bagaimanapun kemanisan sambutan Aidilfitri tahun ini masih dapat dirasai dengan cara berbeza.
"Paling kurang dapat menghilangkan perasaan rindu di hati ibu dan ayah apabila anak-anak tidak dapat pulang beraya seperti tahun-tahun yang lalu.
"Ketika diziarahi mereka (si ayah) gembira menceritakan akan anak-anak buat 'video call' atau menelefon mengucapkan selamat hari raya dan berkongsi pengalaman beraya jauh di kota, bertapa anak-anak merindui ketupat rendang, lemang dan pelbagai kuih muih yang menjadi hidangan 'wajib' setiap kali menyambut lebaran, "ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media selepas menziarahi warga emas sempena Aidilfitri, semalam.
Katanya, hakikat kehidupan norma baru perlu diterima oleh seluruh umat Islam dengan penuh keimanan.
"Serta sama-samalah kita berdoa tanpa ada perasaan jemu dan berputus asa daripada rahmat Allah agar rantaian wabak ini dapat diputuskan," ujarnya.
Sementara itu, seorang perantau Mohd Rizal Azizi, 35, berkata sambutan hari raya pada tahun ini agak janggal apabila tidak dapat pulang berhari raya serta memberi suatu pengalaman baru kepadanya.
"Memang perasaan rindu pada anak dan isteri serta keluarga tidak dapat disembunyikan, namun menyedari akan kesan buruk yang tidak dijangka akan berlaku sekiranya saya berdegil maka lebih baik saya menetap sahaja di ibu kota.
"Sempat juga saya melakukan 'video call' pada raya pertama, memang sebak dan pilu, memandangkan ini kali pertama beraya tanpa keluarga," ujarnya merupakan anak kelahiran Bukit Besi.
Mohd Rizal turut mengajak seluruh rakyat Malaysia agar bersama-sama mematuhi PKPB dengan sebaiknya agar suasana akan kembali sejahtera selepas ini.
06 Jul 20
109
Tiga Beradik Lemas : Mayat Terakhir Ditemui
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat terakhir tiga beradik yang dikhuatiri lemas semalam ditemui 12.40 tengah hari tadi.
Mangsa, Khalif Naim Mohd, 16, ditemui kira-kira 170 meter dari lokasi kejadian yang turut meragut nyawa dua abangnya.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi berkata, mayat telah dibawa ke Unit Forensik Hospital Hulu Terengganu untuk tindakan lanjut.
Terdahulu, mayat Umar Iskandar Mohd, 21, serta Khairil Firdaus Mohd, 17, ditemui jam 9.45 dan 11.35 pagi tadi.
Mayat mereka ditemui sekitar 100 dan 150 meter dari lokasi kejadian.
Ketiga-tiga jenazah itu dijangka akan dikebumikan petang ini di kampung ibunya di Kampung Alur Limbat, Marang.
Semalam, pada jam 6 petang tiga beradik itu dikhuatiri lemas ketika mandi di muara Sungai Telemong yang terletak kira-kira 300 meter dari kediaman mereka.
06 Jul 20
131
Mayat Pertama Tiga Beradik Ditemui
HULU TERENGGANU, 28 Mei - Mayat pertama kes lemas membabitkan tiga beradik ditemui jam 9.52 pagi ini.
Mayat Umar Iskandar Mohd, 21, dijumpai di dasar sungai kira-kira 100 meter dari lokasi kejadian dan telah dibawa ke Hospital Hulu Terengganu.
Ketika ini operasi mencari dan menyelamat diteruskan bagi mencari dua lagi mangsa yang dikenali sebagai Khairil Firdaus Mohd, 17, dan Khalif Naim Mohd, 16.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Adli Mat Daud ketika dihubungi mengesahkan perkembangan itu.
Terdahulu, tiga beradik dikhuatiri lemas selepas hanyut dibawa arus semasa mandi di Muara Sungai berkenaan lewat petang semalam.
Seramai 41 anggota pasukan keselamatan termasuk 18 anggota polis, 15 anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat, 8 anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) bersama penduduk kampung memulakan usaha mencari dan menyelamat (SAR) mangsa bermula jam 9 malam semalam.
06 Jul 20
45
DUN Air Putih Agih 4,500 Ayam Dan Beras
Oleh: Aminji
KEMAMAN, 28 Mei - Sebanyak 4,500 ekor ayam dan 4,500 kampit beras diagihkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada penduduk di sekitar kawasan itu.
MPKK Kampung Bukit Mentok, Bandar Baru Bukit Mentok, Bandar Baru Bukit Mentok 2, Pengkalan Binjai, Rumah Murah/Taman Semarak Binjai, Tok Kapor, Kampung Batu 4, Kuala Tayor, Air Putih dan Teladas adalah antara MPKK yang terlibat dalam agihan sumbangan tersebut.
ADUN Air Putih, Ab Razak Ibrahim yang turut turun padang menzahirkan kelegaannya tatkala sumbangan sampai ke tangan penerima.
“Saya berharap dengan sumbangan yang diagihkan sedikit sebanyak mampu menceriakan para penerima memandangkan Syawal kali ini disambut dalam suasana yang berbeza dan kita masih berada di dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB),” ujar beliau.
Beliau juga mengingatkan penduduk DUN Air Putih agar mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan sepanjang tempoh perayaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19.
Ab Razak turut merakamkan jutaan terima kasih kepada Pemuda PAS DUN Air Putih, Jabatan Amal DUN Air Putih dan semua MPKK yang terlibat kerana telah bertungkus-lumus menjayakan proses agihan bagi membantu golongan yang kurang berkemampuan.
06 Jul 20
104
Air Mata Gembira Seorang Kakak
KEMAMAN, 27 Mei - “Berderai air mata apabila diberitahu kami akan diberi rumah baharu dan semua bayaran sewa rumah akan dibayar pihak kerajaan negeri,” kata Sofea Hanani Manaf ketika ditemui semasa operasi pemindahan.
Wanita berusia 23 tahun itu mengakui terharu apabila empat adiknya kini mampu hidup dalam keadaan yang lebih selesa selepas setahun menyewa di rumah daif.
Memahami kesulitan yang diharungi lima beradik itu setelah mengadakan tinjauan semalam, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat hadir membantu menyiapkan segala keperluan rumah Sofea hari ini.
“Sofea bekerja sebagai jurujual di sebuah kedai di Bandar Cukai dan hanya bergaji sekitar RM1,000 sebulan dalam keadaan menjaga empat orang adiknya sejak setahun yang lalu.
“Ibu bapanya pula bercerai dua tahun lalu dan membawa haluan masing-masing. Kini tinggallah Sofea yang menjaga dan membesarkan adik-adiknya,” ujar Hanafiah.
Ujar Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai itu, keadaan rumah yang disewa mereka tidak lagi sesuai dan mereka telah dibawa berpindah ke Kampung Besut 1.
“Setelah berbincang, pihak Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) pula bersetuju untuk membayar sewa bulanan rumah (baru) ini.
“Saya juga telah membeli sebuah peti sejuk, televisyen, dapur gas, tilam, cadar, bantal dan sedikit buah tangan buat mereka. Rumah tersebut turut digantikan dengan tikar getah yang baharu
“Terima kasih diucapkan kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), MAIDAM dan pihak-pihak yang telah terlibat secara langsung atau tidak langsung bagi membantu keluarga ini. Semoga bulan Syawal ini memberi sinar kehidupan yang baharu buat mereka sekeluarga,” tambah beliau.
06 Jul 20
62