Artikel "Komuniti" Terkini
Sekolah Di Pedalaman Kelima Terbaik SPM 2019
Oleh: Aminji
KEMAMAN, 10 Julai - Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Cerul dinobatkan sebagai sekolah kelima terbaik di Terengganu dalam pencapaian mata pelajaran SPM pada tahun 2019 dengan pencapaian 13.64 peratus semua A.
Ab. Razak Ibrahim berkata, kejayaan yang mereka perolehi tidak dijangka kerana SMK Cerul merupakan sekolah yang berada dalam kawasan felda dan terpencil.
Justeru kejayaan tersebut sudah pasti menggembirakan hati semua orang.
Mendahului carta Senarai Sekolah Semua A Terbaik tersebut, Sekolah Menengah (SM) Sains Sultan Mahmud dan SM Sains Kuala Terengganu di mana masing-masing mengungguli tempat pertama dan kedua.
Seterusnya SM Sains Hulu Terengganu di tempat ketiga dan SM Sains Dungun di tempat keempat.
Dalam pada itu, Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Air Putih mengadakan Majlis Kesyukuran Lonjakan SPM 2019 buat semua pelajar Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 Sekolah Menengah Cerul, Kemaman, semalam.
"Kita menyumbangkan sedikit cenderahati dan wang ringgit kepada semua pelajar SPM 2019 ini tanda ingatan dan penghargaan kepada pelajar tersebut.
"Saya berharap agar kejayaan yang diraih ini akan terus meningkat dari semasa ke semasa dan guru-guru terus bersemangat untuk mengekalkan kejayaan ini," ujarnya.
Hadir sama dalam majlis itu, Pegawai Pendidikan Daerah Kemaman, Idris Bidin dan Pengetua SMK Cerul, Alias Salleh.
12 Jul 20
824
Baik Pulih Hakisan Pantai Teluk Lipat Bermula Oktober
DUNGUN, 6 Julai - Proses baik pulih hakisan di Pantai Teluk Lipat yang semakin kritikal akan dimulakan selewat-lewatnya Oktober ini.
Menteri Alam Sekitar dan Air, Dato' Tuan Ibrahim Tuan Man memaklumkan, sebanyak RM80 juta diperuntukkan untuk pelaksanaan baik pulih di seluruh kawasan sepanjang empat kilometer itu.
"Ada empat peringkat proses pemulihan pantai ini dan bagi peringkat pertama, kita pecahkan kepada dua bahagian untuk melindungi kawasan-kawasan kritikal di sini yang dijangka siap tahun ini.
"Bagi keseluruhan projek pemulihan di pantai Teluk Lipat dijangkakan siap pada pertengahan tahun 2022," katanya.
KSU KASA, Dr. Zaini memberikan penerangan kepada Menteri Alam Sekitar dan Air.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita sewaktu melakukan tinjauan di lokasi terbabit, hari ini.
Lokasi itu merupakan salah satu agenda Tuan Ibrahim dalam rangka lawatan kerja sehari ke Terengganu, hari ini.
Dalam lawatan tersebut, menteri berkenaan yang diiringi Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA), Datuk Seri Ir. Dr. Zaini Ujang turut meninjau hakisan tanah dan projek Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) di Rusila, Marang.
Turut hadir, Ahli Parlimen Dungun, Wan Hasan Mohd Ramli, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik, ADUN Rantau Abang, Alias Harun dan wakil-wakil jabatan terlibat.
12 Jul 20
490
Jalan Baharu Untuk Jemaah Surau Tanjung Kedepan
Oleh : Izzat Al Qushairi
SETIU, 6 Julai - Impian Jemaah Surau Kampung Tanjung Kedepan di sini untuk menikmati kemudahan jalan berturap sejak sekian lama akhirnya menjadi kenyataan hari ini.
Pegawai Penyelaras (DUN) Batu Rakit, Mohd Shafizi Ismail berkata, keperitan jemaah yang terpaksa melalui jalan berdebu sejak 15 tahun lalu kini berakhir.
Menurutnya, komitmen untuk menangani isu jalan menghubungkan kampung itu dengan jalan raya utama di Tanjung Kedepan dimulakan sebaik sahaja dilantik sebagai Pegawai Penyelaras.
"Sebaik diberi amanah, saya telah berbincang dengan pegawai Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) bagi menyelesaikan masalah rakyat di kampung berkenaan.
"Selepas PRU14, saya sangat bersyukur kepada kerana usaha ini akhirnya berkaya direalisasikan walaupun terpaksa melalui proses yang panjang dan berliku," katanya kepada pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI).
Dalam pada itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Kedepan, Mustfar Che Ali berkata, penduduk di kampung itu lega kerana tidak lagi perlu risau akan keselamatan diri.
Beliau turut melahirkan rasa gembira kerana impian penduduk akhirnya tertunai selepas berjuang dan berdepan dengan proses yang agak rumit.
"Jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri kerana sudi menyelesaikan masalah itu walaupun baru hanya beberapa tahun mengambil alih tampuk kepimpinan.
"Syukur sekarang proses penurapan jalan sedang berjalan, kita sujud syukur kepada Allah," tambah beliau.
06 Jul 20
221
Paizal Bakal Miliki Tanah, Rumah Sendiri
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 4 Julai – Seorang petani, Mohd Paizal Abdul Majid, 48, menarik nafas lega selepas cita-citanya untuk memiliki tanah dan rumah kediaman sendiri akhirnya tercapai.
Ujar peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Belimbing Api itu, tanah pemberian kerajaan negeri akan dimanfaatkan sepenuhnya dengan membina tempat berteduh untuk isteri dan lima anaknya.
Katanya, disebabkan masalah kewangan sebelum ini, dia hanya menumpang di teratak ibu dan ayahnya sejak mendirikan rumahtangga pada tahun 1994.
"Hari ini rasa gembira sangat. Penantian dari tahun 1999 lagi, akhirnya tahun 2020 ini saya dapat tanah daripada kerajaan negeri.
"Sebelum ini belum pernah dapat lagi tanah dan hari ini menjadi sejarah. Alhamdulillah syukur kepada Allah.
"Insya-Allah apabila mendapat geran kekal nanti, saya akan mendirikan rumah untuk kami sekeluarga. Bila ada rezeki lebih, kita akan bina dengan segera," katanya kepada pemberita UPDI selepas menerima borang 5A di Dewan Sivik Jabi, semalam.
Sementara itu, menurut seorang lagi peserta RTB Belimbing Api, Ab Rahim Ghazali, 53, dia sangat bersyukur dan teruja kerana impian yang dinanti-nantikan sejak sekian lama akan tercapai.
"RTB Belimbing Api menunjukkan sejarah yang panjang dan amat memilukan. Ramai peserta asal dah ramai meninggal dunia. Namun berkat kesabaran serta keyakinan terhadap rezeki akhirnya impian dikembalikan kepada kami.
"Saya amat berterima kasih kepada Dr Azman Ibrahim yang berjaya menyelesaikan isu ini. Ia merupakan kejayaan yang besar bagi rakyat biasa seperti kami.
"Memang perasaan ini tidak boleh digambarkan dengan kata-kata. Benda yang kita tidak tahu bila akan menemui hujung pangkal, akhirnya menemui penyelesaian hari ini," tambah Rahim.
Dalam program itu seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A RTB.
06 Jul 20
152
Tindakan Susulan Jamin Kesejahteraan Penduduk
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 4 Julai- Penduduk Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi yang menerima bantuan peralatan hospitaliti termasuk kerusi roda dan katil wakaf tidak dibiarkan sahaja malah ada tindakan susulan bagi menjamin kesejahteraan penerima.
Pembantu Hal Ehwal Masyarakat Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) Mohd Noor Azian berkata sebaliknya perkembangan kesihatan mereka diambil tahu.
"Seramai 30 orang yang menerima manfaat daripada bantuan wakaf ini kita pantau dari semasa ke semasa.
"Sebagai tanda kecaknaan serta kita benar-benar prihatin terhadap mereka. Apabila mendengar mereka semakin baik dan menunjukkan perkembangan positif kita tumpang gembira," ujarnya.
Beliau berkata demikian, ditemui pihak media selepas menziarahi kesemua penerima alatan bantuan secara wakaf diagihkan Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, baru-baru inim
Katanya, mereka yang sudah sembuh, kembali sihat seperti sediakala dan tidak memerlukan lagi alatan berkenaan akan dikembalikan semula.
"Dimana kita memberikan pula kepada mereka yang lain, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk sentiasa cakna dan prihatin terhadap masyarakat," ujarnya.
Katanya perkara berkenaan sangat dititikberatkan oleh Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman supaya kecaknaan dan keprihatinan perlu dipertingkat setiap masa.
"Tidak seronok jika kita ambil tahu kebajikan mereka hanya kali pertama tanpa ada susulan.
"Paling tidak jika sekiranya sibuk, dapat memantau perkembangan mereka melalui MPKK. Kita sentiasa bersedia dan komited menghulurkan bantuan kebajikan tanpa pilih kasih," ujarnya.
06 Jul 20
402
Giliran 208 Penduduk Jabi Pula Terima Tanah
Oleh : Hidayah Azlin
SETIU, 4 Julai - Seramai 208 penduduk di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Jabi menerima borang Jadual 5A bagi Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) semalam.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, pemberian borang tersebut adalah hentian terakhir sebelum penerima mendapat geran hak milik kekal.
"Selepas penerima menjelaskan bayaran premium tanah, peserta akan dapat geran hak milik dengan tempoh pajakan selama 99 tahun.
"Sebelum ini tempoh pajakan tanah pertanian ialah 60 tahun. Kerajaan Terengganu sekarang telah naikkan kepada 99 tahun," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Penyampaian Jadual 5A RTB Belimbing Api, RTB Bukit Tasik dan RTB Pasir Tawar Jabi di Dewan Sivik Jabi di sini.
Menurut beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, para peserta juga perlu menjelaskan kadar bayaran premium dalam masa tiga bulan.
"Sekiranya tidak mampu, buatlah surat rayuan untuk lanjutan bayaran selama tiga bulan. Sebaiknya kita mahu selesaikan pemberian geran dengan cepat.
"Usahalah sedaya yang mampu untuk menjelaskan bayaran premium tanah dan jangan bandingkan dengan premium tanah 20 tahun dulu. Malah, jangan bandingkan dengan RTB Belimbing Api kerana ia merupakan RTB Terkilan," ujarnya.
Katanya lagi, bagi yang berpendapatan rendah atau RM 1,700 ke bawah sebulan, penerima boleh membuat rayuan untuk membayar secara ansuran selama tiga tahun.
"Bagi penerima yang menerima bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), e-Kasih pula, boleh mohon bayaran premium pada kadar nominal (RM100). Satu lagi usaha kerajaan untuk permudahkan urusan," katanya.
Tambah beliau, kerajaan Terengganu sangat mengharapkan penerima tanah pertanian memajukan sebaik mungkin tanah yang diperolehi.
06 Jul 20
195
Bertahun Menunggu, Kini Pak Mat Senyum Lebar
Oleh : Mohd Zukifli Mat
KUALA NERUS, 3 Julai - Penduduk Jeram Hilir, Ahmad Ngah, 76, tidak menyangka impiannya untuk memiliki tanah pemberian kerajaan sejak 17 tahun lalu akhirnya tercapai.
Dia yang lebih mesra disapa sebagai Pak Mat merupakan antara penerima borang hak milik tanah daripada kerajaan negeri kelmarin.
Ujar Pak Mat, tiada perkataan boleh diungkapkannya kecuali Alhamdulillah hasil kesabaran menunggu selama hampir dua dekad.
"Akhirnya impian saya untuk memiliki geran tanah sendiri selepas segala urusan pada pagi ini selesai, terus-terang saya merasa sangat gembira kerana sudah menunggu bagi tempoh yang lama untuk memilikinya.
"Saya ingin ucapkan terima kasih khusus kepada kerajaan dan Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar kerana membuktikan bahawa kerajaan negeri sentiasa mengutamakan kehendak rakyat,” katanya.
Dia berkata demikian ketika ditemui media selepas menerima dokumen hak milik tanah di Stadium Tertutup, Gong Badak di sini.
Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim turut merakamkan penghargaan kepada Ahmad Samsuri atas komitmen untuk mengembalikan hak rakyat.
"Satu komitmen yang sangat padu sebenarnya untuk menjayakan hasrat kepada peserta-peserta 'terkilan' sejak dari zaman pemerintahan tahun 1999 hingga 2004.
"Ini adalah fasa pertama proses tanah terkilan untuk melunaskan manifesto PAS dalam PRU yang lalu," jelasnya.
Menurut Hishamuddin, beliau amat tersentuh apabila melihat peserta menerima geran tanah dengan linangan air mata tanda kesyukuran.
"Walaupun berdepan dengan pelbagai kesulitan, sekurang-kurangnya kita telah berusaha untuk membuka jalan kesenangan dan kemudahan buat pihak yang lain.
"Insya-Allah fasa kedua bakal menyusul sedikit masa nanti untuk peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Padang Nenas.
"Memang kami memerlukan sedikit masa kerana kawasan asal telah diwartakan sebagai Bandar Baharu Kuala Nerus. Tentunya lokasi lain sedang diteliti untuk tujuan ini," tambah beliau.
06 Jul 20
87
Warga Emas Hilang Ditemui
Oleh : Alfian Mamad
KEMAMAN, 3 Julai - Seorang warga emas yang dipercayai hilang di Tasik Gajah Marah, Ibok beberapa hari lalu telah ditemui oleh Pasukan Mencari Dan Menyelamat (SAR).
Mangsa yang dikenali sebagai Pok Nor atau nama sebenarnya Mohd Noor Salleh, 56, ditemui dalam keadaan lemah setelah tiga hari tidak pulang ke rumahnya sejak 30 Jun yang lalu.
Perkara itu dimaklumkan oleh isterinya, Rusiah Husin, 51, yang membuat laporan di Balai Polis Kemaman setelah motosikal suaminya ditemui di tepi tasik tersebut oleh penduduk kampung.
Menurut Timbalan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pondok Pasir, Yak Yah dan Bukit Takar, Zawawi Mohamed, pihak berkuasa dan penduduk kampung telah memulakan misi mencari dan menyelamat pagi tadi.
"Pasukan SAR yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK serta penduduk kampung pagi ini telah mengerakkan pasukannya dalam usaha mencari mangsa yang hilang tersebut.
"Alhamdulillah, mangsa sudah ditemui di tepi tasik tersebut dalam keaadan yang agak lemah dan terpaksa diangkat keluar setelah tiga hari tidak makan," ujarnya lagi.
Dalam perkembangan sama, Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh turut bergegas ke Pondok Polis Kampung Ibok sebelum itu serta melahirkan rasa simpati di atas kejadian itu.
"Saya bersimpati dan bersyukur dengan apa yang berlaku. Syabas dan tahniah kepada para petugas yang diketuai oleh anggota dari Balai Polis Kemaman, MPKK dan penduduk kampung," katanya ketika dihubungi setelah penemuan itu.
Mangsa dihantar ke Klinik Kesihatan Seri Bandi untuk rawatan selanjutnya.
06 Jul 20
72
Ahli Parlimen Kemaman Isi 50 Tabung Masjid
Oleh : Alfian Mamad/Wan Hadi
KEMAMAN, 2 Julai - Sebanyak 50 buah masjid di seluruh Kemaman menerima sumbangan bagi menampung perbelanjaan pengurusannya setelah tiada kemasukan dana semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tempoh hari.
Ahli Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd. Hamid melalui Pusat Khidmat Masyarakatnya telah menyalurkan sejumlah wang tunai bagi meringankan bebanan sesetengah masjid.
Menurut Ketua Penyelaras Pusat Khidmat Masyarakat Parlimen Kemaman, Mohd Hafiz Adam, peruntukan sebanyak RM125 ribu telah dikeluarkan bagi menyuntik dana tabung masjid yang agak berkurangan di seluruh Kemaman.
"Menyedari perkara tersebut kami bermesyuarat dan merancang bagi memulihkan setiap tabung masjid yang ada di seluruh kawasan Kemaman.
"Sepanjang tempoh PKP tiada sumbangan daripada orang awam yang kebiasaannya dikutip pada setiap solat Jumaat yang berjumlah tiga hingga empat ribu seminggu," ujar beliau.
Mohd Hafiz berkata demikian ketika ditemui pada sesi penyerahan dana 14 buah masjid Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal di Masjid Jamek Kijal semalam.
Hadir sama dalam majlis penyerahan tersebut, Pegawai Agama Daerah Kemaman, Aizi Saidi Abd Aziz, Ketua Unit Pengurusan Masjid Daerah Kemaman, Ustaz Hassan Harun, Pembantu Hal Ehwal Islam Bahagian Pengurusan Masjid, Ustaz Abdul Hakim Mohd Nasir dan Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Kijal, Wahab Ahmad.
Dalam pada itu, Penyelaras DUN Kijal, Hazri Jusoh turut mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pejabat Parlimen Kemaman di atas inisiatif mereka dalam membantu kesemua masjid yang terjejas.
"Alhamdulillah, saya mewakili pihak pengurusan masjid di DUN Kijal merakamkan jutaan terima kasih kepada YB Parlimen Kemaman, Ustaz Alias Abd. Hamid di atas sumbangan ini," katanya.
06 Jul 20
1357
MBKT Ketatkan Penguatkuasaan Terhadap Pemilik Haiwan Ternakan Berkeliaran
KUALA TERENGGANU, 31 Mei - Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) akan mengambil tindakan lebih tegas terhadap pemilik yang membiarkan binatang ternakan mereka berkeliaran sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya mulai esok, 1 Jun.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT) Shahidan Embok berkata, keputusan tersebut dibuat selepas beberapa perkara dari segi penguatkuasaan dan peraturan dinilai bagi mengelakkan berlakunya insiden yang boleh meragut nyawa.
“Sebelum ini, kita telah maklumkan kepada semua pemilik haiwan bahawa MBKT telah menaikkan kadar tebusan bagi tangkapan haiwan berkeliaran berkuatkuasa 1 Mac lalu.
“Bagaimanapun, notis berkenaan seolah-olah tidak memberi sebarang kesan kerana masih ada pemilik haiwan yang berdegil dengan membiarkan haiwan ternakan mereka berkeliaran tanpa sebarang pengawasan.
“Justeru, kita akan buat operasi penguatkuasaan berkala yang lebih tegas selepas ini memandangkan tindakan tidak bertanggungjawab mereka ini (pemilik haiwan) memberi kesan kepada orang ramai termasuk pengguna jalan raya sehingga terjadinya kemalangan dan sebagainya,” ujarnya kepada pemberita.
Menurut beliau, kadar kompaun yang berkuatkuasa dari tarikh berkenaan adalah RM250 seekor untuk haiwan ternakan dari jenis kerbau, lembu, dan kambing/biri-biri, manakala kadar penebusan pula sebanyak RM1,500 seekor untuk kerbau dan RM1,000 untuk lembu sementara RM500 untuk kambing/biri-biri.
Justeru, pihaknya mengharapkan pemilik haiwan ternakan mematuhi garis panduan yang dikeluarkankan oleh MBKT demi keselamatan orang ramai.
06 Jul 20
798