Artikel "Komuniti" Terkini
Berikan Peluang Untuk OKP Berubah
Oleh : Azhar Yusof
Hulu Terengganu 18 Julai - Seramai 45 Orang Kena Pengawasan (OKP) sekitar Hulu Terengganu mengikuti program Muhasabah Diri Orang Kena Pengawasan (OKP) Kembali ke Pangkal Jalan yang berlangsung di Dewan Cikgu Kamarudin, di sini, semalam.
Pengerusi ( JKPD) Jawatankuasa Pemulihan Dadah Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, mereka yang juga OKP menjalankan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.
“Terapi psiko-kerohanian yang digunakan dalam usaha merawat dan memulihkan penagih dadah dan ketagihan mereka adalah amat berkesan.
"Di antara pengisiannya termasuklah bimbingan solat, bengkel fardhu ain, tazkirah selepas solat, qiamullail serta muhasabah diri,"ujar Maliaman ketika ditemui selepas program berkenaan semalam.
Tambah beliau, berdasarkan respon dari para peserta, mereka mengakui dapat membina semula keyakinan diri, membetulkan salah faham terhadap Islam yang selama ini dianggap bersifat menghukum kepada golongan yang melakukan kesalahan, mengingati dan menghayati semula asas agama seperti solat dan fardhu ain serta mendapat keinsafan diri.
“OKP ini mahu berubah, tetapi memerlukan sokongan ahli keluarga dan masyarakat di mana melalui program sebegini memberi kesedaran bahawa masyarakat masih menerima mereka,” katanya lagi.
Sementara itu, Ketua Unit Rawatan dan Pemulihan Daerah Hulu Terengganu, Afzariza Draman berkata, peserta itu adalah sebahagian daripada 535 OKP di seluruh daerah Hulu terengganu.
“OKP ini adalah bekas penagih yang selesai menjalani rawatan pemulihan, tetapi perlu berada dalam pengawasan AADK selama 24 hingga 36 bulan mengikut Seksyen 6 (1) (a) dan 6(1) (b) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.
“Mereka perlu hadir dalam setiap aktiviti yang dianjurkan oleh AADK dan kegagalan menghadirinya akan dikenakan tindakan,” katanya.
18 Jul 20
883
Pencegahan Berterusan, Gerunkan Pelaku Maksiat
Oleh : Aslam Wira
KUALA TERENGGANU, 17 Julai - Pencegahan berterusan terhadap aktiviti kurang sopan di kawasan-kawasan tumpuan mendatangkan kesan positif berikutan tiada tangkapan dibuat dalam operasi di Drawbridge semalam.
Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad Amar), Nasaruddin Samsudeng berkata, perubahan baik yang berlaku itu memberi isyarat bahawa orang ramai mula sedar tentang kesalahan jenayah syariah.
"Walau bagaimanapun, operasi dan pemantauan secara berterusan akan sentiasa dilakukan bagi membendung aktiviti tidak bermoral di sini.
"Sekali gus menjayakan hasrat kerajaan negeri untuk menyifarkan aktiviti tidak sihat dalam masyarakat," tambahnya lagi.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas melakukan operasi yang dibuat di perkarangan Drawbridge, semalam.
Dalam operasi berkenaan, Skuad Amar Wanita turut digerakkan bagi membantu pemantauan.
Menurutnya, pendedahan skuad Amar Wanita adalah sebagai pendekatan dakwah kepada kaum ibu terutamanya berkaitan penutupan aurat dengan sempurna mengikut tatacara Islam yang sebenar.
"Langkah ini juga untuk menyambut seruan kempen indahnya hidup bersyariat yang sedang berjalan dalam negeri," ujarnya.
Seramai 45 orang sukarelawan yang terdiri daripada Skuad Amar, Pegawai Penguatkuasa Syariah dan sukarelawan Syariah Kuala Terengganu serta Kuala Nerus terlibat dalam operasi berkenaan.
Operasi yang bermula sekitar jam 8 malam sehingga 1.00 pagi itu merupakan operasi kali kedua yang dijalankan di sekitar Drawbridge.
17 Jul 20
5609
COVID-19 : Satu Kes Import Baharu Di Terengganu
PUTRAJAYA, 16 Julai - Seorang warganegara Malaysia dari Terengganu yang pulang dari Nigeria telah disahkan positif COVID-19 setakat jam 12 tengah hari ini dan ia diklasifikasikan sebagai kes import.
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, kes itu adalah antara tiga kes baharu yang dilaporkan selain dua kes lagi melibatkan penularan tempatan, sekali gus menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 di negara ini sebanyak 8,737 kes.
Katanya, bagi kes pulih pula terdapat 12 kes dilaporkan sehingga jam 12 tengah hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih di negara ini sebanyak 8,538 kes.
Dalam pada itu, Dr Noor Hisham, berkata tiada pertambahan kes kematian disebabkan COVID-19 dilaporkan dan jumlahnya kekal 122 kes.
16 Jul 20
2773
Norma Baharu Bukan Penghalang Cita-Cita
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 16 Julai - Pelajar dinasihatkan tidak menjadikan alasan belajar di dalam situasi norma baharu sebagai penghalang mengapai cita-cita.
Ahli Dewan Undangan Negeri(ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, pelajar diharapkan dapat sesuaikan diri dengan sentiasa mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan sepanjang berada di sekolah.
"Belajarlah bersungguh-sungguh, tuntut ilmu sebanyak mungkin, jangan sia-sia masa agar akan datang tidak kecewa dan menyesal," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap mengalu-alukan kehadiran murid darjah Lima dan Enam Sekolah Kebangsaan Gong Pasir yang memulakan sesi persekolahan setelah sekolah diarahkan bercuti ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Alias turut berpesan supaya jangan mengabaikan solat kerana ia akan mengangkat martabat diri.
"Untuk berjaya di dunia dan akhirat, solat adalah tunjang utama," ujarnya lagi.
16 Jul 20
225
EPIC Cakna & Prihatin Bantu Keluarga Miskin Secara Bersiri
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Kumpulan Eastern Pacific Industrial Corporation (EPIC) Berhad memenuhi Tanggungjawab Sosial Korporatnya (CSR) dalam siri demi siri yang dilaksanakan melalui program EPIC Cakna & Prihatin 2020 untuk membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan di kawasan-kawasan tertumpu di Terengganu.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC Berhad, Saabi Wahab berkata, program tersebut merupakan program tahunan dan siri kali ini mendapat kerjasama Pejabat Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bandar, Sabasun Hyperuncit dan Syarikat Air Terengganu (SATU).
Saabi Wahab.
"Program ini merupakan aktiviti tahunan EPIC Berhad. Untuk tahun ini kita merancang empat siri, jadi akan ada tiga siri lagi sehingga Disember ini berdasarkan keperluan dan maklumat yang disalurkan.
"Yang terdekat dalam jangka masa dua bulan lagi, insya-Allah kita target sama ada di kawasan Hulu Terengganu atau Besut. Hari ini kita agihkan sumbangan berbentuk wang tunai sebanyak RM350 dan barangan keperluan kepada 20 keluarga miskin bandar di kawasan Kuala Terengganu," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada sidang media selepas program berkenaan di Dewan Program Perumahan Rakyat (PPR) Hiliran, Kuala Terengganu di sini hari ini.
Tambah Saabi, Kumpulan EPIC Berhad memperuntukkan bajet untuk program CSR sebanyak kira-kira RM30,000 hingga RM40,000 bagi setiap siri dan kawasan demi membantu keluarga miskin dan kurang berkemampuan.
Sementara itu, ADUN Bandar, Ahmad Shah Muhamed berterima kasih kepada EPIC atas usaha tersebut yang diserikan lagi dengan kehadiran isteri Menteri Besar, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman.
"Alhamdulillah program pada hari ini sangat berjaya di mana 10 tempat telah dilawati sementara 10 lagi keluarga menerima bantuan di dewan ini. Bagi pihak DUN Bandar, kami sangat berterima kasih di atas penganjuran program ini yang sangat baik dan patut diteruskan.
"Walaupun kita berada dalam kawasan bandar, hakikatnya rakyat yang susah bilangannya masih besar. Bagaimanapun, program yang dibuat adalah menjurus kepada usaha menaik taraf kehidupan rakyat di sini di samping bantuan berterusan daripada kerajaan negeri.
"Kami amat bertuah EPIC dapat turun ke DUN Bandar hari ini bersama isteri Menteri Besar. Ianya sudah tentulah merupakan satu penghormatan buat kami," ujarnya.
Turut hadir, isterinya, Norizah Ngah, ADUN Wanita, Zuraida Md Noor, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said dan Pengurus Perancangan Strategik Sabasun Hyperuncit Sdn Bhd, Abdul Basir Embong.
15 Jul 20
1423
Ajal Ketika Mencandat Sotong
KUALA TERENGGANU, 14 Julai - Seorang nelayan orang kelainan upaya (oku) di Pantai Batu Buruk di sini ditemui meninggal dunia di atas bot miliknya selepas dipercayai keluar mencandat sotong kelmarin.
Mayat Ahmad Saufie Mohamed, 34 tahun, ditemui adiknya kira-kira jam 5.10 petang semalam sekitar jarak lima batu nautika dari kawasan darat.
Rakan mangsa, Mohd Sahid Said berkata, sekitar pukul 6 petang pada Ahad, dia bersama mangsa serta seorang lagi rakan menaiki bot berasingan untuk mencandat sotong dan berlabuh berdekatan antara satu sama lain.
“Kemudian sebelum bergerak untuk pulang, kami menghampiri bot Ahmad Saufie dan cuba mengejutkan mangsa yang kami sangka sedang tidur, namun tiada respon balas.
“Semalam, dalam pukul 1 pagi, terjadi hujan lebat dan angin kencang. Lebih kurang pukul 4 pagi, lampu generator candat sotong mati. Kemudiannya, dalam 10 minit selepas itu, ia hidup balik.
“Dua kali perkara itu berlaku dan kami pergi untuk kejutkan dia, tak bangun, kami pun tinggalkan dia kerana menyangka dia tidur seperti biasa macam sebelum-sebelum ini,” kata Mohd Sahid.
Kata Mohd Sahid lagi, kebiasaannya selesai mencandat mereka akan berjumpa di pengkalan selepas waktu Subuh, namun sehingga petang semalam mangsa masih tidak pulang.
Sementara itu, pagi semalam, adik mangsa yang turut keluar menangkap ikan sekitar jam 11 pagi mengesan bot abangnya sedang berlabuh namun tidak mengesyaki apa-apa kerana menyangka abangnya sedang tidur.
Walau bagaimanapun, sekitar jam 5 petang, adik mangsa mendapat panggilan telefon daripada ahli keluarga memaklumkan Ahmad Saufie masih belum pulang, dia bergegas kembali ke bot milik abangnya dan mendapati mangsa telah meninggal dunia.
Kejadian tersebut disahkan Ketua Polis Daerah Kuala Terengganu ACP Abdul Rahim Md Din ketika dihubungi Astro Awani.
“Mayat mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu untuk tindakan lanjut dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” tambah Abdul Rahim.
15 Jul 20
356
Anda Diperhati, Amaran Keras Kepada Pelaku Maksiat!
Oleh : Aslam Wira
KUALA TERENGGANU, 11 Julai - Individu yang mempunyai niat untuk melakukan maksiat di bumi Terengganu termasuk di sekitar jambatan angkat di sini disaran supaya membatalkan hasrat tersebut.
Ketua Pertubuhan Amar Maaruf Nahi Mungkar Marang (Skuad AMAR), Nasaruddin Samsudeng menegaskan, pihaknya akan sentiasa mengadakan operasi pencegahan bagi mengekang aktiviti tidak bermoral terus berleluasa.
Katanya, dalam operasi di Drawbridge semalam, 15 pasangan telah diberikan amaran keras manakala satu pasangan ditahan dan dibawa ke Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu.
"Pasangan yang dibawa ke Pejabat Agama Kuala Terengganu itu akan disiasat untuk kesalahan di bawah seksyen 36, Mewatie, enakmen kesalahan jenayah syariah (Takzir) (Terengganu) 2001.
"Jika disabitkan kesalahan, mereka akan didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali," katanya ketika ditemui Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas operasi berkenaan.
Menurut beliau, pemantauan itu tertumpu di beberapa lokasi mencurigakan, kawasan gelap dan mereka yang berdua-duaan di dalam kereta atau sebagainya.
"Skuad Amar juga akan membuat cegahan secara berterusan, malah bunting-bunting penerangan tentang kesalahan jenayah syariah serta perbuatan tidak sopan di tempat awam turut digantung di setiap lokasi tertentu," ujarnya.
Katanya lagi, ibu bapa atau penjaga perlu sentiasa memantau anak-anak terutamanya anak perempuan lebih-lebih lagi pada waktu malam
"Jangan sampai mereka terikut-ikut dengan hawa nafsu, dan terjerumus dalam pemikiran yang menyebabkan mereka terlanjur atau mendekatkan diri ke arah pengzinaan," jelasnya.
Operasi yang bermula 8.00 malam itu mendapat kerjasama penuh daripada Pegawai Penguatkuasa Syariah serta Sukarelawan Amar Kuala Terengganu dan Kuala Nerus dengan penglibatan seramai hampir 60 orang.
Terdahulu, pada 8 Julai, Pejabat Agama Daerah Kuala Terengganu memaklumkan penubuhan skuad khas bagi memantau setiap kelakuan pengunjung di sekitar jambatan angkat bagi mengelakkan kejadian tidak bermoral berlaku
13 Jul 20
914
Bersegeralah Dalam Ziarah Dan Salurkan Bantuan
Oleh : Aslam Wira
MARANG, 8 Julai - Program ziarah sewajarnya dijadikan aktiviti wajib bagi pihak berkepentingan terutama membabitkan kepimpinan kampung dan jabatan berkaitan.
Pendekatan itu dilihat mampu menyelesaikan pelbagai masalah, termasuk menyegerakan bantuan kewangan, keperluan makanan dan perubatan bagi mereka yang memerlukan.
Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, Wahad Osman berkata, langkah seumpama itu turut diamalkan Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang menjenguk, bertanya khabar mana-mana penduduk uzur, Orang Kurang Upaya dan warga emas sebagai aktiviti harian atau mingguan.
Katanya, pihaknya turut menziarahi Mohamad Hakimi Othman yang terlibat kemalangan pada 2 Julai lalu dan Maziah Abu Bakar yang mengalami lumpuh sebelah badan di Kampung Kijing.
“Ziarah ini bukan sekadar tertumpu pada kunjungan semata-mata tetapi juga untuk menyalurkan bantuan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat Marang.
“Ini adalah keperluan kepada mereka yang ditimpa musibah sebagai meringankan sedikit beban di atas ujian yang menimpa mereka,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika selesai aktiviti ziarah di Kampung Kijing, kelmarin.
Turut hadir, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dun Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng dan wakil Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Marang.
13 Jul 20
57
Mangsa Ribut Terima Sumbangan KETENGAH
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 8 Julai-Sebanyak lima buah rumah di dalam wilayah Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang rosak dipukul ribut baru-baru ini menerima sumbangan daripada pihak KETENGAH.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, pihaknya mengalu-alukan inisiatif KETENGAH yang bersama-sama mengambil peranan membantu mereka yang ditimpa musibah.
“Minggu lepas sebanyak lima buah rumah di dalam wilayah KETENGAH iaitu di Kampung Padang Pulut, Delong dan Bukit Merah telah rosak disebabkan ribut dan KETENGAH dengan diketuai Pengerusinya, Datuk Razali Idris telah menyampaikan sumbangan kepada mangsa-mangsa ribut tersebut.
"Saya mengucapkan berbanyak terima kasih kerana KETENGAH sangat mengambil berat kawasan di bawah kelolaan mereka di mana Ramadhan lalu, KETENGAH juga telah menyampaikan sumbangan zakat kepada keluarga asnaf di kawasan tersebut," ujarnya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Sumbangan Kepada Mangsa Ribut Wilayah Ketengah, baru-baru ini.
Sementara itu, mangsa ribut Azira Pa, 34 berkata, ketika kejadian dia yang tinggal bersama dua anaknya yang masih kecil kerana suaminya bekerja di Melaka berasa sangat cemas apabila atap rumahnya diterbangkan angin ribut ketika suaminya tiada di sisi.
"Masa tu lepas asar, saya terkejut dan ketakutan bila atap rumah tiba-tiba terbang, alhamdulillah jiran datang membantu," cerita ibu dua anak yang sedang mengandung anak ketiga.
Bagi warga emas, Tengah Abdul Rahman, 73, berkata dia menggeletar apabila menyedari atap rumahnya tiba-tiba terangkat dan diterbangkan ribut.
"Tambahan mak cik ada sakit, sakit paru-paru, mari rasa tidak bermaya," ujarnya sambil berterima kasih kepada Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH) yang menghulurkan sumbangan untuk membaiki kerosakan bumbung rumahnya.
13 Jul 20
142
RM15 Juta Selesaikan Hakisan Pantai Rusila
MARANG, 6 Julai - Sebanyak RM15 juta diperuntukkan oleh Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) sebagai penyelesaian jangka pendek kepada isu hakisan yang berlaku di Pantai Rusila.
Menurut Menteri Alam Skitar dan Air, Dato’ Tuan Ibrahim Tuan Man, proses penyuburan pantai (beach nourichment) iaitu menambak semula persisir pantai dengan pasir dijangka siap dalam tempoh dua hingga tiga tahun.
"Kita akui bahawa menjelang musim tengkujuh kuasa ombak ini sangat besar dan dijangka akan menyebabkan hakisan besar pada pantai jika tidak disegerakan. Yang pertama ialah strategi jangka pendek yang kita perlu segerakan bagi menyelesaikan masalah ini secepat mungkin.
"Saya berterima kasih kepada pihak kementerian kerana mengambil inisiatif awal meletakkan batu-batu untuk penyelesaian semasa dan kita akan beri perhatian serius terhadap isu ini," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas sesi Taklimat Hakisan Pantai di Rusila oleh Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Terengganu, hari ini.
Dr.Zaini menunjukkan gambar struktrur hakisan kepada Dr. Samsuri dan Tuan Ibrahim.
Hadir sama dalam tinjauan tersebut ialah Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar, Pengerusi Jawatankuasa Infrastruktur, Kemudahan Awam, Utiliti dan Teknologi Hijau negeri, Dr. Mamad Puteh dan ahli-ahli majlis mesyuarat kerajaan negeri.
Jelas Tuan Ibrahim lagi, pantai dengan jajaran sepanjang enam kilometer itu memerlukan strategi yang tersusun sebagai penyelesaian menyeluruh.
"Untuk jangka masa panjang, kita perlukan satu peruntukan lebih kurang dalam RM150 juta untuk melalui Rancangan Malaysia ke-12 (RMK 12) untuk penyelesaian menyeluruh berdasarkan kajian Pelan Pantai Bersepadu (Intergrated Shoreline Management Plan-ISMP).
"Kita ada kajian menyeluruh bagi negeri Terengganu kerana negeri ini mempunyai pantai yang panjang iaitu 244km dan kita perlu tengok secara keseluruhannya," katanya.
Sementara itu, Dr. Samsuri sempat menzahirkan penghargaan di atas kunjungan menteri berkenaan ke negeri itu.
“Terima kasih atas kunjungan menteri bersama seluruh anggota pentadbiran dan atas pengumuman yang dibuat sebanyak RM15 juta untuk menyelesaikan secara segera hakisan di sini.
“Secara dasarnya, kita juga berkerjasama dengan pihak kementerian untuk menyelesaikan masalah hakisan di seluruh negeri ini,” katanya.
13 Jul 20
327