Artikel "Komuniti" Terkini
Gangguan Air, Hakisan Pantai Setiu Bergema Di Parlimen
KUALA LUMPUR, 21 Julai – Isu-isu rakyat di kawasan Setiu melibatkan masalah bekalan air dan hakisan pantai mencuri perhatian Dewan Rakyat yang bersidang semalam.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir ketika membahas Titah DiRaja berkata, tiga kawasan dalam parlimennya iaitu Kampung Bari Kecil, Kampung Tanjung Gelam dan Kampug Pengkalan Maras dikesan menghadapi masalah tersebut.
Katanya, kesulitan itu kian meruncing apabila ia memberi masalah dan mendatangkan rasa tidak selamat kepada komuniti setempat.
“Tekanan air yang rendah disebabkan kebocoran paip yang sudah usang dan tidak diganti, ia menggangu masyarakat untuk melakukan aktiviti harian dengan sempurna.
“Isu hakisan di tiga kawasan yang agak kritikal dan memerlukan peruntukan segera sebelum datangnya musim tengkujuh nanti.
“Saya mengharapkan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) dan Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) mengambil satu tindakan segera bagi menyelesaikan masalah ini,” ujarnya.
Dalam masa yang sama, Shaharizukirnain dalam perbahasannya itu turut membangkitkan beberapa isu nasional seperti pasaran buruh asing, cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 dan gantian cuti rehat oleh penjawat awam.
21 Jul 20
578
Pemotong Rumput Hargai Pemberian Rumah PPTS
MARANG, 20 Julai - Sepasang suami isteri yang hanya bergantung rezeki hasil memotong rumput menyifatkan pemberian rumah Program Perumahan Terengganu Sejahtera (PPTS) secara percuma untuk mereka sekeluarga adalah hadiah yang sangat berharga.
Pemilik rumah itu, Khairi Anuar Ali, 48, mengucapkan rasa syukur ke hadrat Ilahi dan berterima kasih kepada kerajaan negeri atas pemberian rumah itu.
Katanya, tidak mungkin dia mampu membina sendiri rumah kerana dia hanya mendapat pendapatan daripada kerja memotong rumput dan apa yang diperolehi juga tidak menentu serta tidak pernah mencecah RM1,000 sebulan.
“Dengan rumah yang diterima ini, pastinya dapat meringankan beban di mana sebelum ini kami terpaksa menyewa rumah kakak sejak rumah pusaka yang didiami selama ini terbakar pada pertengahan Ramadhan tahun lalu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas Program Serah Kunci Rumah PPTS di Kampung Gelugor, Kampung Gong Kiat, Kampung Pusu 3, Kampung Pak Madah dan Kampung Rawai di sini hari ini.
Sementara itu, menurut seorang lagi penerima, Eda Rohayu Mat Rawi, 36, berkata, setelah hampir 14 tahun dia memohon rumah itu akhirnya pada hari ini dia berjaya menetap di rumah baharu itu.
“Pemberian rumah yang diterima itu sangat membantu ekonomi kami sekeluarga yang hanya bergantung kepada pendapatan suami, Mohd Syazwan Mat Daud yang bekerja sebagai jurujual,” katanya.
Katanya lagi, pemberian rumah itu juga adalah sebagai ganti kepada rumah pusaka arwah ibu dan ayah yang terbakar pada pertengahan Ramadan 2006.
Dalam pada itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alur Limbat, Ariffin Deraman berkata, lebih 100 individu memohon rumah PPTS dan hanya empat rumah dapat dibina dalam tempoh setahun membabitkan peruntukan peruntukan RM200,000 di DUN terbabit.
Katanya, pihaknya mengutamakan mereka yang sangat memerlukan antaranya sebagai ganti rumah yang ditimpa bencana, termasuk kebakaran, banjir, ribut dan rumah yang dikategorikan sangat uzur.
“Apa yang pastinya, agihan rumah PPTS secara percuma itu sangat membantu ekonomi keluarga penerima, termasuk jimat duit untuk sewa rumah,” tambah beliau.
20 Jul 20
775
Penduduk Pulau Redang Terima Sumbangan Musaadah COVID-19
KUALA NERUS, 18 Julai - Seramai 100 penduduk Pulau Redang menerima sumbangan bagi meringankan sedikit beban yang ditanggung akibat pandemik COVID-19 yang melanda hebat seluruh dunia baru-baru ini.
Pek barangan keperluan dengan nilai keseluruhan RM100,000 itu disumbangkan melalui kerjasama Jabatan Wakaf, Zakat dan Haji (JAWHAR) dan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPIEM) dalam program Musa'adah COVID-19 yang dilaksanakan kedua-dua pihak berkenaan di negeri itu.
Dr. Zulkifli menyampaikan sumbangan Musa'adah Covid-19 kepada salah seorang penerima di Pulau Redang.
Sumbangan itu disampaikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr. Zulkifli Mohamad Al-Bakri kepada penerima dalam Majlis Jalinan Mesra sempena lawatan kerjanya di Pulau Redang, Sabtu lalu.
Pemangku Ketua Pengarah YaPIEM, Parihah Hassan menyatakan, selain daripada bantuan di Pulau Redang, program Musa'adah Covid-19 turut diadakan di Marang dan Kuala Nerus.
"Kita juga turut menyampaikan sumbangan sebanyak RM26,500 bagi membantu masyarakat di sana dengan kerjasama JAWHAR yang juga menyumbang RM25,000," katanya kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas program berkenaan.
20 Jul 20
248
NGO Tidak Berorientasikan Keuntungan - Wan Sukairi
KUALA TERENGGANU, 19 Julai- Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) adalah organisasi yang ditubuhkan untuk memperjuangkan suatu kepentingan awam dan bukannya berorientasikan keuntungan.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan Dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, penubuhan NGO mungkin tercetus daripada pengalaman, minat, idea dan semangat perjuangan yang kuat daripada individu atau kumpulan tertentu untuk bertindak terhadap sesuatu fenomena yang terjadi atau keinginan dalam masyarakat.
"Mereka ini bebas untuk melakukan apa sahaja yang mereka letakkan sebagai tanggungjawab dan apa yang dirasakan sebagai kewajipan akan dilakukan seikhlas hati walaupun tidak diberi upah.
"Di pihak kerajaan negeri, kami hanya bertindak sebagai pemudahcara kepada NGO yang berdaftar di negeri ini demi manfaat masyarakat," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika memberikan ucapan aluan sempena Forum Bicara NGO: 'Cabaran NGO Pada Masa Kini' di Bangunan TD 1303, hari ini.
Wan Sukairi berkata, NGO turut memainkan peranan besar terutama dalam sektor yang tidak dapat dipenuhi dengan perkhidmatan kerajaan.
Katanya, peranan kerajaan di sebalik penubuhan sesebuah NGO adalah memberikan fokus dalam mencapai objektifnya seperti menyediakan peluang pendidikan dan kemahiran, memperkasa ekonomi wanita, mengawal dan mengurus penyakit, membantu mangsa bencana alam, memperjuangkan isu berkaitan hak kemanusiaan, sosial, ekonomi, politik, budaya dan sebagainya.
"Sebagai contoh, berkaitan isu ibu tunggal, apa sahaja masalah yang dihadapi golongan ini contohnya kemahiran yang diperlukan, dana dan sebagainya boleh dipanjangkan kepada pihak kerajaan oleh NGO berkaitan dan akan diberikan perhatian yang sewajarnya," ujar beliau.
19 Jul 20
385
DUN Bukit Tunggal Peruntuk RM100 Ribu Biaya Lembu Korban
Oleh: Safwan Syakir
KUALA NERUS, 19 Julai - Sebanyak RM100 ribu diperuntukkan bagi pembiayaan lembu korban yang disalurkan kepada 10 buah masjid dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Tunggal bagi menyambut Hari Raya Aidiladha yang bakal menjelang.
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri, Dr. Alias Razak berkata, sumbangan tersebut adalah untuk meraikan semua rakyat DUN Bukit Tunggal dengan diamanahkan kepada pihak pengurusan masjid untuk menjayakannya.
“Kita sasarkan dua ekor lembu untuk setiap masjid dengan peruntukan RM10 ribu, namun ianya juga bergantung kepada kepadatan penduduk setempat,” ujarnya.
Dr Alias Razak.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyerahan Cek Pembelian Lembu Korban kepada pengerusi-pengerusi masjid di Duyong Marina & Resort di sini kelmarin.
Hadir sama, Pegawai Khidmat DUN Bukit Tunggal (bahagian Kerajaan Persekutuan), Zaharudin Zahid dan Pegawai Khidmat DUN, Wan Mohammad Nasiruddin Wan Ahmad.
Dalam majlis yang sama, beliau turut memberi sumbangan termometer digital untuk kegunaan masjid-masjid di kawasan DUN Bukit Tunggal.
Alias yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) turut mengingatkan supaya pihak masjid dan ahli kariah sentiasa mematuhi arahan prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan memandangkan wabak COVID-19 masih belum reda.
"Terima kasih kepada semua pengerusi masjid yang hadir dan semoga sumbangan yang terhad ini dapat menceriakan semua pihak khususnya golongan yang kurang berkemampuan selain dapat sama-sama memeriahkan sambutan Aidiladha mengikut garis SOP yang ditetapkan," jelasnya.
19 Jul 20
550
Libatkan Diri Dalam Pertanian
Oleh: Rohayati Ripin
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Kerajaan negeri menyeru semua lapisan masyarakat khususnya kalangan Badan Bukan Kerajaan (NGO) melihat sektor pertanian sebagai sektor penting sama ada mereka yang terlibat secara sara diri ataupun komersial.
Yang Dipertua Dewan Undangan Negeri (DUN) Terengganu, Dato’ Yahaya Ali berkata, mereka hendaklah membuat satu perubahan dan menjadikan bidang ini diberi perhatian khusus.
“Kerajaan sedang bergerak cergas untuk memajukan sektor pertanian sebagai salah satu sektor penting dalam Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) yang berakhir pada 2030.
“Dalam titah ucapan Diraja dalam sidang DUN yang lepas, Tuanku Sultan Mizan juga telah mengisytiharkan tahun 2021 sebagai tahun pertanian negeri Terengganu," jelasnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Kursus Pertanian Bandar yang dianjurkan oleh NGO Muafakat Sejahtera bersama Pejabat Pertanian Negeri di Pertanian Bandar, baru-baru ini.
Menurutnya, dari segi komersial sebagai sumber pendapatan, manakala secara sara diri bagi menggalakkan makanan berkhasiat dari rumah serta mengelakkan makanan yang menggunakan bahan kimia dan membahayakan kesihatan.
"Apa yang kita mahukan hasil daripada kursus ini adalah kesedaran dalam kalangan peserta mempraktikkan ilmu yang diperoleh dengan mulakan bercucuk tanam di rumah contohnya dengan kaedah teknologi moden tanpa memerlukan tanah yang luas.
"Dalam pertanian kita hanya perlu memahami dari segi teknologinya seterusnya manfaatkan barang yang ada di seliling rumah untuk bercucuk tanam," tambah Yahaya.
19 Jul 20
287
PKM Manir Agih RM15,000 Sumbangan Persiapan Buka Sekolah
Oleh: Ahmad Mawardi
KUALA TERENGGANU, 19 Julai - Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Manir mengagihkan sumbangan kewangan berjumlah kira-kira RM15,000 kepada 29 buah badan pendidikan bagi persiapan pembukaan sekolah.
ADUN Manir, Hilmi Harun berkata, sumbangan tersebut bagi membantu persiapan semua pihak termasuk sekolah, pelajar dan ibu bapa untuk pembukaan semula sekolah secara berperingkat setelah hampir empat bulan terhenti akibat COVID-19.
Beliau berharap agar pihak sekolah tegas dalam melaksanakan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM).
"Cuma suasana yang akan dilalui adalah berbeza sebab selama ini sekolah ditutup dan akan dibuka semula. Mereka hanya perlu masa untuk membiasakan diri dengan norma baharu ini, sama seperti sektor-sektor lain," jelasnya ketika dihubungi pemberita, baru-baru ini.
Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Manir, Mohd Harun Esa mewakili beliau menyampaikan sumbangan kepada semua sekolah.
Pihaknya mengharapkan komitmen daripada guru, pelajar dan ibu bapa bagi memastikan COVID-19 tidak menular di sekolah dan bersama mendoakan agar Malaysia khususnya dapat bebas daripada wabak itu.
Badan pendidikan tersebut terdiri daripada sebuah kolej, sebuah sekolah menengah, tujuh buah sekolah rendah, 20 buah prasekolah termasuk Taman Bimbingan Kanak-Kanak (Tabika) Jabatan Kemajuan Masyarakat (KEMAS), Pusat Asuhan Tunas Islam (PASTI) dan Tadika Permata.
19 Jul 20
492
Ibu Tunggal Empat Anak Istimewa Miliki Rumah Baharu
Oleh: Amiirullah Mansor
DUNGUN, 19 Julai- Seorang ibu tunggal dari Kampung Telaga Mas, disini terharu kerana mendapat rumah baharu menerusi Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) untuk mereka lima beranak.
Nik Latifah Long, 53, yang memiliki empat anak Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak mampu bekerja kerana perlu menjaga anak-anak istimewanya.
Bagaimanapun, dia menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) dan Bantuan OKU Tidak Mampu Bekerja (BTB).
"Alhamdulillah, mak cik rasa macam bermimpi apabila menerima anugerah rumah ini.
"Mak cik tidak bekerja, punca pendapatan mak cik adalah daripada sumbangan pihak berwajib kepada anak-anak OKU bagi menggalas tanggungjawab membesarkan mereka.
"Mak cik rasa sangat bersyukur dan terima kasih kepada pihak Yang Berhormat (YB) dan pihak bertanggungjawab kerana memberi kediaman baru kepada kami," katanya kepada pemberita selepas menerima kunci rumah yang diserahkan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat.
Sementara itu, Satiful berkata, bantuan tersebut adalah inisiatif daripada pihak Pejabat Khidmat Masyarakat ADUN Paka untuk membaik pulih rumah terbiar bagi memberi kediaman baru kepada lima beranak terbabit.
"Semoga dengan penyerahan kunci rumah ini dapat membantu mereka mendiami rumah yang lebih selesa disamping meringankan tanggungan menyara anak-anak" ujarnya.
19 Jul 20
644
Keluhan Peniaga Pasar Tani Kuala Besut Diberi Perhatian
Oleh : Mustaqim Afandi
Besut,19 Julai- Keluhan dan rungutan peniaga Pasar Tani Kuala Besut berkaitan kekurangan tapak niaga di pasar berkenaan ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang berkuatkuasa mendapat perhatian kerajaan negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, masalah peniaga terbabit akan diselesaikan sebaik mungkin.
Katanya, isu segelintir peniaga yang kurang berpuashati terhadap perlaksanaan SOP dalam tempoh PKPP sekarang dalam pertimbangan pihaknya.
“Masalah ini bukan hanya melibatkan peniaga dari Kelantan sahaja malah peniaga tempatan juga turut terkesan.
'Ini kerana jumlah peniaga sebelum ini lebih daripada 500 peniaga dan apabila PKPP dilaksanakan hanya 153 peniaga sahaja yang mendapat kebenaran berniaga dari pihak Majlis Daerah Besut (MDB),” ujarnya kepada pemberita selepas meninjau Pasar Tani Kuala Besut, kelmarin.
Katanya, selepas perbincangan beliau bersama Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda, keputusan ‘win-win situation’ telah dicapai dengan tambahan lot tapak niaga dan sebahagian peniaga dari Kelantan pula telah diberi kebenaran untuk menjalankan perniagaan.
Mengulas lanjut, keputusan untuk mengurangkan jumlah peniaga sebelum ini terpaksa dilakukan pihak MDB berikutan keterbatasan tempat apabila penjarakan sosial dalam kepatuhan norma baharu perniagaan dilaksanakan kerajaan.
"Diharap semua peniaga dapat menerima dan berlapang dada dengan keputusan ini. Kepada peniaga yang tidak berjaya mendapat tapak diharap terus bersabar dan berdoa agar wabak COVID-19 cepat berlalu dan tempoh PKPP dapat di tamatkan segera dan peniaga boleh berniaga seperti biasa,” ujarnya.
19 Jul 20
1079
Rezeki Terima Rumah Selepas 18 Tahun Menyewa
Oleh : Aslam Wira
MARANG, 18 Julai - Asri Yahya, 42, mengucapkan rasa syukur setelah menerima bantuan bina rumah baharu dalam Program Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) di bawah Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) semalam.
Asri yang berniaga gerai makan di Kampung Sentul Patah hanya mampu menyewa rumah sejak 18 tahun lalu.
Lebih mendukacitakan dia juga terpaksa menyara isterinya yang mengidap penyakit thyroid dan tiga orang anak yang masih kecil.
Namun, segala-galanya berubah apabila Asri antara mereka yang terpilih untuk memiliki rumah setelah melepasi syarat-syarat tertentu.
Menurut Asri, permohonan rumah yang diterima itu adalah kali keenam selepas memohon bantuan rumah daripada RISDA, Rumah Mesra Rakyat dan Perumahan Kos Rendah sebelum ini.
"Saya bersyukur, dengan lulusnya permohonan ini, kami sekeluarga tidak perlu menyewa dan boleh difokuskan kepada kos pembelajaan anak yang bakal melanjutkan pelajaran nanti," katanya kepada pemberita di rumahnya di sini.
Asri Yahya.
Dalam pada itu, Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, bantuan itu merupakan bantuan di bawah KPLB dengan kerjasama Pejabat ADUN Rhu Rendang, Pejabat Daerah Marang dan Pejabat Pembangunan Negeri Terengganu melalui pemerhatian pihak e-Kasih.
"Dengan bantuan ini, isi rumah ini terkeluar daripada senarai pemantauan berkala yang dikhaskan kepada golongan yang memerlukan.
"Selama dua tahun kita berkerjasama dengan jabatan dan agensi, bagi menurunkan paras atau tahap kemiskinan dan miskin tegar di DUN Rhu Rendang.
"Tambahan lagi, ini merupakan hasrat Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar, yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang," tambah beliau.
18 Jul 20
595