Artikel "Komuniti" Terkini
Pekebun Berkelompok Terima Bantuan Alatan Pertanian
Oleh: Mohd Haniff Abas
KUALA NERUS, 27 Julai - Seramai lapan pekebun berkelompok menerima bantuan alatan pertanian berupa kereta sorong dan juga pam penyembur racun, hasil sumbangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) Buluh Gading, baru-baru ini.
Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Ustaz Ridzuan Hashim berkata, kerajaan negeri menghulurkan sumbangan kepada mereka atas inisiatif yang disifatkannya sebagai sesuatu yang hebat.
“Syabas dan tahniah kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tanjung Sabtu kerana mengambil inisiatif yang hebat ini, menukarkan kawasan semak samun kepada kebun tanaman pisang.
“Ianya bukan suatu yang mudah memandangkan kawasan yang diusahakan sangat luas iaitu kira-kira lapan ekar, dan setiap pekebun mengusahan satu ekar seorang," ujar beliau lagi.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada sesi penyampaian alatan bantuan berkenaan di kawasan kebun pisang yang diusahakan di Kampung Tanjung Sabtu.
Ridzuan turut mengharapkan agar warga belia khususnya melibatkan diri dalam bidang pertanian sebegini agar dapat mengurangkan pergantungan kepada warga asing di samping dapat menambahkan pendapatan seharian.
“Semoga usaha begini dapat diikuti dan menjadi contoh kepada MPKK lain agar dapat memanfaatkan tanah terbiar sekali gus menambahkan pendapatan," katanya.
27 Jul 20
1415
Lelaki Dipatuk Ular Dapat Perhatian
Oleh: Mohd Ikhwan
DUNGUN, 26 Julai- Kesakitan ditanggung seorang lelaki yang dipatuk ular minggu lalu mendapat perhatian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik.
Wan Hapandi menzahirkan rasa simpati terhadap mangsa, Tengku Alif Najmi ketika menziarahi pemuda itu dirumahnya, baru-baru ini.
“Saya berharap dia cepat sembuh dan dapat menjalani aktiviti harian dengan segera.
“Sempena kunjungan ini, kita serahkan sedikit sumbangan dari Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Tembesu Akar dan Pusat Khidmat Masyarakat (PKM) DUN Sura untuk meringankan beban Alif dan keluarga,” ujarnya ketika ditemui pemberita selepas mengadakan ziarah mahabbah ke rumah mangsa.
Wan Hapandi juga menasihati orang ramai agar sentiasa berhati hati supaya kejadian seperti itu tidak berulang lagi.
"Saya ingin nasihati kepada semua orang, perlu berhati-hati supaya kejadian sama tidak berulang," katanya.
Sementara itu, Tengku Alif Najmi berkata, dia terpaksa menahan kesakitan beberapa ketika selepas dipatuk reptilia berbisa itu sebelum dibawa ke hospital.
“Semasa saya berjalan, tiba-tiba rasa ada sesuatu mematuk, lepas tu rasa pedih dan sakit yang amat sangat pada kaki saya.
"Tak lama lepas tu kaki saya terasa kebas, keras dan membengkak," katanya.
26 Jul 20
659
Warta Darul Iman Jadi Ukuran Rakyat
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 26 Julai- Warta Darul Iman yang diterbitkan oleh Urusetia Penerangan Darul Iman (UPDI) menjadi salah satu medium bagi hebahan segala dasar, info serta maklumat berkaitan Negeri Terengganu kepada umum.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ianya bertindak sebagai ukuran kepada rakyat khususnya untuk menilai kepimpinan kerajaan negeri pada masa kini.
Katanya, kerana itu Warta Darul Iman berbentuk majalah telah menjadi perkara wajib disebarkan dalam apa jua program melibatkan masyarakat.
"Ianya membuktikan kepada masyarakat segala usaha yang telah dilakukan oleh kerajaan kearah merealisasikan sebuah negeri yang maju, berkat dan sejahtera.
"Kita tidak mahu rakyat DUN Bukit Besi buta maklumat, malah menyedari bahawa kerajaan negeri merupakan kerajaan rakyat yang telus dan adil kepada semua," ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pihak media selepas mengagihkan Majalah Warta Darul Iman, di Tapak Pasar Malam Kampung Dendang, baru-baru ini.
Katanya, UPDI melalui warta berkenaan diyakini telah mengorak langkah yang jauh ke hadapan didalam memyampaikan maklumat.
"Majalah Warta Darul Iman ini telah menjadi majalah yang sentiasa dinanti-nantikan rakyat disini ketika setiap kali kita mengadakan program.
"Rakyat disini gembira mendapatkannya dengan pelbagai segmen didalamnya, termasuk adanya ruangan jawi tambahan pula ianya dipersembahkan dengan cukup menarik,”katanya.
Dalam pada itu beliau turut memuji pihak UPDI didalam pelancaran aplikasi terbaru 'TRDI News' baru baru ini.
"Dengan pelancaran aplikasi berkenaan ianya telah mengorak langkah serta melakukan pembaharuan terkini didalam menyampaikan berita yang penuh berinformasi didalam memenuhi kehendak masyarakat pada masa kini," ujarnya.
26 Jul 20
376
Rebut Peluang Skim Permata Sejahtera Disediakan Kerajaan Negeri
Oleh : Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 26 Julai- Rakyat Terengganu disaran manfaatkan Skim Permata Sejahtera 2020 yang disediakan kepada mereka yang baharu menyambut kelahiran bayi.
Ahli Jawatankuasa Persatuan Isteri-isteri Wakil Rakyat dan Bekas Wakil Rakyat PAS Terengganu (Khairunnisa’), Rugayah Mahmood berkata, skim yang disediakan oleh kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu itu adalah dalam bentuk Skim Bantuan Pendidikan Nasional.
"Rugi kalau tidak ambil peluang ini untuk masa depan anak-anak. Inilah bukti betapa prihatinnya kerajaan kepada masa depan anak-anak," katanya.
Beliau yang juga isteri kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata demikian ketika program rutin ziarah bersama Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Batu Tiong, baru-baru ini.
Rombongan ziarah tersebut turut disertai kakitangan Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera(iMiTS) dan Pusat Khidmat ADUN Rantau Abang.
Skim Permata Sejahtera yang diperkenalkan oleh Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu bertujuan adalah menggalakkan tabungan pembelajaran bermula dari awal kelahiran. Sumbangan yang diberikan dibuat dalam bentuk Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN-i).
26 Jul 20
850
Sinar Baharu Buat OKP
Oleh : Azhar Yusof
HULU TERENGGANU. 24 Julai - Seramai 20 Orang Kena Pengawasan (OKP) Hulu Terengganu dan OKP ‘client‘ sukarela mengikuti program latihan kemahiran yang dianjurkan Madrasah Khairul Insan dibawah seliaan AADK Hulu Terengganu.
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah(JKPD) Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata, OKP ini akan mengikuti latihan berdasarkan minat dan kemahiran yang ada pada mereka.
Katanya, ia adalah usaha memberi pendedahan dan ilmu pengetahuan kepada peserta mengenai ilmu berasaskan perniagaan.
"Di antara latihan yang diberikan antaranya menjahit pelbagai pakaian, perniagaan berasaskan makanan dan kedai pakaian terpakai termasuklah cara menggunakan mesit jahit dan memasak.
"Pihaknya juga merancang untuk menganjurkan program itu berterusan untuk memberikan manfaat kepada pihak yang terbabit secara langsung dengan aktiviti perniagaan," ujar Maliaman ketika ditemui selepas turun padang melihat sendiri aktiviti perniagaan mereka semalam.
Tambahnya, program ini memberi peluang kepada peserta untuk menimba ilmu pengetahuan dari segi persediaan apabila mereka berada diluar nanti termasuk meningkatkan kemahiran peserta untuk mencari rezeki dengan asas perniagaan.
"Berdasarkan respon dari para peserta yang ditemubual, mereka mengakui dapat membina semula keyakinan diri.
"Sehubungan itu JKPD dan AADK sentiasa bersedia untuk bekerjasama dengan mana mana NGO untuk menganjurkan Program Latihan Kemahiran latihan buat OKP," ujarnya.
24 Jul 20
744
Raya Dengan Rumah Baru
KUALA TERENGGANU, 24 Julai - Seramai 18 rakyat Terengganu bersyukur dan teruja dapat meraikan Aidiladha yang bakal menjelang dengan rezeki berganda selepas menerima kunci Rumah Mampu Milik (RMM) secara rasmi daripada kerajaan negeri, semalam.
Seorang penerima, Zaini Harun, 37, dari Teluk Kalong, menyifatkan rezeki tersebut sebagai hadiah yang tidak ternilai baginya kerana impiannya untuk memiliki rumah sendiri akhirnya tercapai.
"Saya terlalu gembira pada hari ini. Tak sangka impian saya dan suami akhirnya menjadi kenyataan," ujarnya ceria.
Penyerahan kunci itu sekali gus menamatkan penantiannya yang telah memohon selama 14 tahun. Zaini dan suami, Muhammad Zakri Zakaria, 37, sebelum ini pernah menumpang rumah orang tuanya dan turut menyewa beberapa buah rumah.
Che Nor Haslida Deraman (kanan).
Dalam pada itu, Pengurus Bahagian Perumahan Rumah Kos Rendah (RKR) PMINT, Che Nor Haslida Deraman menjelaskan, majlis pengundian lot dan penyerahan kunci RMM kepada 18 penerima itu membabitkan lima kawasan.
"Ia termasuk projek perumahan di kawasan RMM Perasing Jaya (3), RMM Teluk Kalong (4), RMM Batu 7 (3), RMM Paya Lawas (5) dan RMM Bukit Gasing (3)," katanya ketika ditemui pemberita di PMINT, semalam.
Ahmad Waliyuddin Johari (dua dari kiri) menyampaikan kunci rumah kepada penerima dari DUN Bukit Besi.
Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pegawai Khas Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ahmad Waliyuddin Johari yang mewakili Pegawai Penyelarasnya, Haji Ghazali Sulaiman.
Mengulas lanjut, katanya, majlis itu adalah inisiatif kerajaan negeri melalui PMINT untuk memudahkan penerima yang diluluskan mendapatkan kunci rumah secepatnya sebelum hari raya.
"Hari ini hanya majlis ringkas melalui PMINT sebagai pemudah cara kepada 18 penerima ini. Ia disebabkan yang terlibat hanya sebahagian kecil di beberapa kawasan. Sekurangnya mereka dapat menarik nafas lega sebelum Aidiladha.
"Mereka boleh pergi terus ke rumah hari ini. Isikan borang kerosakan jika ada dan laporkan dalam tempoh seminggu," tambahnya.
24 Jul 20
5117
18 Tahun Tertangguh, Akhirnya 134 Terima Hak Milik Dan Borang 5A Tanah Terkilan Gong Cempedak - MB Terengganu
MARANG, 22 Julai - Seramai kira-kira 134 penduduk Marang menerima suratan hak milik tanah dan notis Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) Terkilan Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Rhu Rendang, hari ini.
Menteri Besar, Dato' Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, jumlah tersebut membabitkan seramai 84 penerima hak milik tanah dan 50 penerima Borang 5A untuk RTB Gong Cempedak setelah proses penyerahan hak milik RTB itu tertangguh hampir 18 tahun lamanya.
"Tanah berkelompok ini adalah tanah terkilan mukim Pulau Kerengga yang telah pun diluluskan oleh Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri pada tahun 2002 dan proses penyerahan hak milik RTB ini tertangguh hampir 18 tahun lamanya.
"Alhamdulillah, pada hari yang bersejarah ini, kita telah berjaya merealisasikan janji dan manifesto kerajaan negeri dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu sekali gus mengembalikan tanah-tanah terkilan selepas pemerintahan kerajaan tahun 2004," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmi dan menyampaikan Suratan Hak Milik Tanah Dan Notis Borang 5A RTB Terkilan, Gong Cempedak Mukim Pulau Kerengga DUN Rhu Rendang Daerah Marang di Dewan Majlis Daerah Marang (MDM), hari ini.
Hadir sama dalam majlis itu, isterinya, To' Puan Seri Tuan Faizah Tuan Abd Rahman, Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Zahari Md Azahar, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan negeri, Mohd Nor Hamzah, Tengku Seri Bijaya Raja Pengarah Tanah dan Galian Negeri, Pegawai Daerah Marang, Tun Ahmad Faisal Tun Abdul Razak dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Berangan, Sulaiman Sulong.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Samsuri turut menjelaskan, kerajaan negeri berusaha memastikan sebarang isu berkaitan dengan hak milik tanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan memudahkan rakyat.
"Kita seboleh-bolehnya akan cuba memastikan yang sebarang isu berkaitan dengan hak milik hartanah diselesaikan dengan kadar yang segera dan mudah. Akan tetapi, saya juga harap yang tuan-tuan dan puan-puan semua memahami satu perkara.
"Iaitu, semua urusan berkaitan dengan hak milik tanah ini adalah perkara yang memakan masa dan melibatkan prosedur yang sedikit rumit. Bukan sahaja di Terengganu, tetapi di mana-mana sahaja di seluruh negara.
"Ia sememangnya memakan masa dan harus diuruskan dengan berhati-hati dan teliti mengikut Kanun Tanah Negara (KTN)," katanya.
Justeru, beliau amat berterima kasih kepada semua permohon yang sentiasa bersabar dan memahami komitmen semua pihak dalam usaha menyelesaikan perkara berkenaan.
22 Jul 20
3741
Kerajaan Negeri Komited Tunai Janji
Oleh : Mustaqim Afandi
Besut,22 Julai- Penyerahan geran hak milik Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) yang yang telah dinafikan hak mereka pada suatu ketika dahulu membuktikan kerajaan negeri komited dalam menunaikan janji manifesto sewaktu Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Penjaja negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman berkata, kerajaan negeri kini sedang dalam proses untuk menyelesaikan kesemua RTB-RTB yang ada bagi mengembalikan hak rakyat yang pernah dinafikan.
“Baki penerima geran hak milik tanah dan borang 5A bagi yang layak di daerah ini akan menerima hak milik dalam masa terdekat. RTB yang diganti itu bertempat di SPKA Kluang, Besut,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika ditemui di Majlis Penyerahan Geran Hak Milik itu sempena Majlis Pelancaran Rumah Darul Iman (Rahman) 'Rumah Patuh Syariah' Di Kawasan Dendong, Mukim Tembila, Daerah Besut, baru-baru ini.
Sementara itu, seorang penerima Abu Bakar Mamat, 57, salah seorang penerima geran hak milik itu turut mengucapkan terima kasih kepada pihak Kerajaan Negeri Terengganu kerana menunaikan janji dan cakna kepada rakyat.
.
22 Jul 20
120
Usaha Cari Daftar Pemilih Di Lokasi Tumpuan
Oleh : Adli Mohamad
DUNGUN, 22 Julai- Usaha bagi mencari daftar pemilih seramai mungkin di lokasi tumpuan sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi giat dijalankan Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).
Penolong Pendaftar Pemilih, Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR), Sahana Saleh @ Abdul berkata, ianya bagi memastikan tiada yang tercicir bagi menjadi peserta demokrasi yang menentukan masa depan negara melalui Pilihan Raya Umum (PRU).
“Insya-Allah kita akan mengadakan serta membuka kaunter melibatkan pasar pagi, pasar malam, pasar tani serta pasar minggu yang melibatkan Pasir Raja, Kampung Shukor, Jongok Batu, Kuala Jengai.
“Juga Kampung Dendang, Jerangau Sungai, Felda Jerangau, Bukit Besi dan Al-Muktafi Billah Shah (AMBS) dengan mengadakan 15 siri kesemuanya. Supaya mereka yang telah layak mengundi, serta telah sampai usia 21 tahun tidak tercicir daripada menjalankan tanggungjawab terhadap negara,” ujarnya.
Beliau berkata demikian Ketika ditemui pihak media, di Pasar malam Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), kelmarin.
Turut hadir, Penolong Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS) DUN Bukit Besi, Zakiah Alias.
Sementara itu Zakiah berkata, dengan pembukaan kaunter berkenaan ianya telah memudahkan urusan bagi masyarakat di sini terutamanya pengundi kali pertama.
“Walaupun boleh sahaja ke Pejabat POS namun ianya agak menyulitkan, dengan cara ini ianya agak santai. Kita turut memberikan kerjasama kepada SPR dengan mendekati pengunjung pasar malam serta nyatakan kaunter untuk mendaftar sebagai pemilih telah dibuka, dan mereka sangat gembira,”ujar.
22 Jul 20
74
Ruzita Lega Terima Bantuan Atap
Oleh: Adli Mohamad
DUNGUN, 22 Julai- Ruzita Awang, 50, menzahirkan kelegaan setelah permohonan bagi mendapatkan atap untuk menyiapkan bilik tambahan di kediamannya melalui Pusat Aduan Sosial di Peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi diberi perhatian.
Ruzita yang mendiami Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) itu berkata, aduan berkenaan telah dinyatakan secara terus kepada Pegawai Penyelaras DUN tersebut, Ghazali Sulaiman sebelum ini dan sangat terharu dan berterima kasih diatas tindakan segera berkenaan.
“Bilik ini saya sediakan untuk anak saya yang bakal mendirikan rumah tangga, sebelum ini ada dua bilik sahaja sedangkan isi rumah tujuh orang.
“Saya minta bantuan ini kerana sudah tidak mampu lagi keluarkan duit, jadi saya berfikir untuk meminta bantuan atap untuk menyediakan bilik anak saya ini dengan seberapa segera, “ ujarnya kepada pihak media ketika ditemui di kediamannya sejurus menerima lawatan Ghazali, baru-baru ini.
Dalam pada itu, Ghazali berkata Pusat Aduan Sosial merupakan platform mengeratkan hubungannya dengan masyarakat setempat.
“Dimana ianya membuka peluang untuk kita melakukan tindakan yang lebih efektif dengan turun ke lapangan bagi mengetahui secara lebih jelas apa yang dihadapi oleh masyarakat dengan membuka ruang untuk masyarakat merujuk apa sahaja masalah yang dihadapi.
“Pusat aduan ini insya-Allah kita akan adakan secara enam bulan sekali, dimana ianya merupakan program dibawah Pusat Khidmat Masyarakat DUN, disamping mengekalkan setiap hari Selasa merupakan hari bertemu pelanggan,”ujar beliau.
Tambah Ghazali, pihaknya akan cuba sedaya upaya mewujudkan jambatan perhubungan yang erat serta kondusif diantara pihaknya dan masyarakat bagi memastikan setiap penduduk tiada yang keciciran dan terabai tanpa sebarang kecaknaan.
“Insya-Allah beberapa program dan agenda telah kita rancang sepanjang tahun didalam pelbagai bentuk dan segmen yang melibatkan pelbagai lapisan masyarakat kearah mewujudkan kesejahteraan di kalangan masyarakat melibatkan aspek rohani dan jasmani.
“Agenda kita rancang sebelum ini banyak tergendala kesan daripada wabak COVID-19, pada kali ini insya-Allah kita akan cuba mengatur program dan perancangan baru.
"Dengan memastikan pematuhan terhadap Prosedur Operasi Standart (SOP) ditetapkan dapat dipenuhi. Seperti didalam masa terdekat kita akan adakan penghayatan hari arafah, serta bagaimana mengisi hari kemerdekaan dan yang pastinya kita tidak akan membiarkan hari-hari dilalui oleh masyarakat DUN Bukit Besi tidak berlalu begitu sahaja tanpa sebarang pengisian,” ujar beliau.
22 Jul 20
140