lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

50 Bakal Siswa Terima Sumbangan
50 Bakal Siswa Terima Sumbangan
Oleh: Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 29 Julai- Seramai 50 pelajar yang berjaya melanjutkan pelajaran ke menara gading menerima sumbangan wang tunai daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun. Alias berkata, sumbangan yang disampaikan kepada mereka hanya sekadar ‘buah tangan’  untuk  menampung perbelanjaan ke institusi pengajian tinggi. "Hanya  sekadar ini yang mampu disampaikan , bukanlah untuk menampung sepenuhnya kos pendaftaran masuk ke IPT, cuma sedikit buah tangan untuk memberi semnagat kepada anak-anak ini," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika berucap di majlis ringkas menyampaikan sumbangan kepada mereka yang akan melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi di sini semalam. Seorang penerima, Ainun Khairiah Sudin,18 yang akan menyambung pengajiannya di Kolej Matrikulasi Pahang  bersyukur dengan sumbangan tersebut dan tidak akan mensia-siakan peluang melanjutkan  pelajaran di dalam bidang perakaunan. " Saya menerima tawaran matrik ni...bila habis , saya boleh memohon mana-mana universiti, supaya nanti tamat pengajian, saya dapat meneruskan cita-cita untuk menjadi ahli perniagaan berjaya," jelasnya ketika ditemui di majlis tersebut. Sementara itu seorang ibu tunggal, Rogayah Kadir, 50 tidak menganggap kecil sumbangan  tersebut dan melahirkan harapan agar anaknya, Norhafiza Apandi, 18 yang akan menyambung pelajaran ke Kolej Matrikulasi Banting akan pulang bersama kejayaan. "Kita daripada keluarga susah, pelajaranlah adalah batu loncatan untuk untuk perbaiki kehidupan," ujar ibu kepada 12 orang anak yang kematian suami sejak enam tahun lalu.
29 Jul 20
246
Semarakkan Kemerdekaan Norma Baharu
Semarakkan Kemerdekaan Norma Baharu
Oleh: Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 29 Julai- Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bukanlah halangan menyemarakkan kemerdekaan dengan suasana norma baharu. Pengarah Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA), Mohd Fikri Ismail berkata pematuhan kepada Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk mengekang pandemik COVID-19 tetap diutamakan.  "Kita meraikan semarak kemerdekaan dengan mengibarkan Jalur Gemilang di premis PSMZA bagi menunjukkan perasaan patriotik dan cintakan negara kita,” ujarnya. Beliau berkata demikian di majlis Pelancaran  Sambutan Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2020 yang diadakan di perkarangan bangunan pentadbiran PSMZA di sini, semalam. Sempena pelancaran tersebut  kibaran bendera Malaysia kelihatan di setiap  penjuru di kawasan pusat pengajian itu.
29 Jul 20
247
110 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
110 Pelajar DUN Manir Terima Anugerah
  Oleh: Ahmad Mawardi HULU TERENGGANU, 29 Julai - Seramai 110 pelajar di Dewan Undangan Negeri (DUN) Manir yang cemerlang bidang akademik juga agama tahun lalu menerima anugerah kecemerlangan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Manir, semalam. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Manir, Ustaz Hilmi Dato' Harun berkata ia selari dengan kehendak kerajaan negeri yang mengutamakan modal insan seperti pelajar cemerlang dan sangat komited untuk membantu meningkatkan akademik pelajar yang mempunyai pelbagai potensi untuk diketengahkan. “Agama Islam sentiasa memuliakan dan meninggikan kedudukan orang yang berilmu dan ilmu merupakan anugerah Allah SWT yang  sangat bernilai bahkan tidak mampu dibayar dengan wang ringgit. “Bertambah beruntung andai kita menjalankan amanah itu dengan penuh ikhlas dan tawakal kepada Allah SWT," katanya.  Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan majlis perasmian Anugerah Kecemerlangan di Dewan Utama Dato' Tuan Guru Harun Taib, Kompleks Al-Kawthar kampung Kubang Lembek. Turut hadir Penyelia i-MiTs Manir, Ustaz Mohd Harun Esa, Penghulu Mukim Belara, Mazlan Ismail, Penghulu Mukim Lot Manir, Khairul Shahril Othman dan Guru-guru sekolah dalam DUN Manir. Sementara itu, pelajar-pelajar yang diraikan kali ini merupakan mereka yang berjaya dalam Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR), Ujian Pencapaian Sekolah Rendah Islam (UPSRI), Pentaksiran Tingkatan Tiga (PT3), Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Syahadah Thanawi , Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) dan Tahfiz 30 juzuk.
29 Jul 20
893
Kanser Hati Hantui Keluarga Mad Nah
Kanser Hati Hantui Keluarga Mad Nah
Oleh: Mohd Haniff Abas KUALA NERUS, 28 Julai - Mohammed Muhammed Min atau lebih dikenali sebagai Mad Nah, terpaksa redha dengan ketentuan Ilahi apabila kehilangan dua orang tersayang dalam tempoh dua bulan yang lepas kerana kanser hati. Kehilangan pertama dirasai apabila isterinya, Minah Salleh, 60, yang pada mulanya hanya menghidap sakit batu karang dalam hempedu, meninggal dunia pada Mei lalu setelah diketahui menghidap kanser hati tahap tiga melalui ujian darah yang dilakukan. “Pada mulanya arwah hanya buat rawatan laser untuk buang batu karang dalam hempedu sebanyak tiga kali pada akhir tahun lepas, namun kesihatannya mula merosot selepas itu. Kakinya bengkak dan matanya kekuningan. “Kesihatannya makin merosot selepas seminggu dimasukkan ke hospital. Bila ujian darah dan x-ray dilakukan, barulah diketahui arwah menghidap kanser hati tahap tiga," ujar beliau. Menurutnya, arwah telah menghembuskan nafasnya yang terakhir genap sepuluh hari selepas diketahui menghidap penyakit berkenaan. Bagai sudah jatuh ditimpa tangga, keadaan yang sama pula menimpa anaknya, Mohd Hasrulhisham Mohammed, 34, yang turut menghidap batu karang dalam hempedu. Hasrulhisham turut mengalami gejala yang sama iaitu bengkak kaki dan mata kekuningan, genap sebulan selepas pemergian ibunya. "Selepas diketahui menghidap kanser tahap tiga seperti arwah ibunya, kami juga ikhtiar anak saya berubat cara kampung. "Alhamdulillah nampak sedikit perkembangan positif selepas berubat, tapi tidak lama. Kesihatannya juga merosot dan akhirnya meninggal pada minggu lepas," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika diziarahi oleh Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Insan, Dakwah dan Penerangan Negeri, Ustaz Ridzuan Hashim di rumahnya di Kampung Tetambah, baru-baru ini. Mad Nah telah disaran oleh pihak hospital untuk membuat pemeriksaan kesihatan berikutan kehilangan dua orang ahli keluarga atas sebab yang sama.. Mengulas tentang keadaan Mad Nah, kata Ridzuan, beliau bersimpati di atas nasib yang menimpa. "Besar ujiannya kehilangan dua orang ahli keluarga dalam masa yang singkat. Semoga Mad sekeluarga dapat menjalani hidup dengan penuh tabah, diiringi kesejahteraan serta sentiasa mendapat redha Ilahi," ujarnya pada akhir pertemuan.
28 Jul 20
410
25 Jalan Di DUN Batu Buruk Selesai Diturap
25 Jalan Di DUN Batu Buruk Selesai Diturap
Oleh : Akid Hafriz KUALA TERENGGANU, 28 Julai – Sebanyak 25 jalan kampung dan perkarangan surau dalam dun Batu Buruk telah diturap untuk kemudahan dan kegunaan masyarakat setempat. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata kerja-kerja penurapan jalan tersebut merupakan inisiatif pihak Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dalam usaha menjaga kebajikan rakyat. Perkarangan Surau Kampung Pantai Batu Buruk antara lokasi yang telah diturap setelah 10 tahun permohonan dibuat untuk dijadikan kawasan parkir dan dataran bagi menjalankan majlis tertentu. “Dataran ini sangat berguna bukan sahaja untuk dijadikan tempat parkir surau, malah ia juga boleh digunakan untuk mengadakan majlis-majlis berkaitan," kata Muhammad Khalil ketika membuat tinjauan ke lokasi tersebut, semalam. Kerja-kerja penurapan jalan tersebut dijalankan secara berperingkat bermula beberapa minggu yang lalu.
28 Jul 20
995
Pelajar Cemerlang SPM Dirai
Pelajar Cemerlang SPM Dirai
Oleh : Mohd Fakhrullah Mohamad  Marang, 27 Julai – Seramai 120 pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia 2019 yang memperoleh keputusan cemerlang  dirai dalam satu majlis khas.  Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong, Mohd Nor Hamzah berkata, program itu bertujuan memberi  motivasi dan suntikan semangat supaya mereka akan terus berusaha dengan cemerlang di masa akan datang.  "Sememangnya kita akan sentiasa berusaha untuk memberi yang terbaik kepada mereka dan sedikit suntikan ini dapat memberi kesedaran dan semangat kepada mereka untuk terus berjaya dalam hidup." Katanya. Beliau berucap ketika merasmikan Program Pembahagian Sumbangan Ke IPTA/IPTS di Dewan Serbaguna Kampung Sena Rendang, Bukit Payong,  semalam. Sementara itu, Pegawai Khas Ahli Parlimen Marang, Harun Yusof turut berpesan, belajarlah dengan bersungguh-sungguh dan ambil peluang dengan sebaiknya selepas tamat belajar supaya terus bersedia dengan cabaran kerja yang akan mendatang. "Adik-adik mesti sentiasa ingat, jangan sesekali leka dalam pembelajaran, mesti terus berfikir dan berusaha apa yang kita akan lakukan selepas tamat belajar. "Cabaran dalam alam pekerjaan sangat memberi kesan kepada kita sekiranya kita tidak dapat menentukan dengan sebaik-baiknya." Katanya Turut sama dalam program tersebut Pegawai Khas ADUN Bukit Payong, Mat Ghani Jusoh, Penghulu Mukim Bukit Payong, Ahmad Zafiri Ahmad Zaki dan Pengerusi-pengerusi MPKK DUN Bukit Payong.
28 Jul 20
804
MPKK Dendang Mahu Tanam Jagung Untuk Jana Pendapatan
MPKK Dendang Mahu Tanam Jagung Untuk Jana Pendapatan
Oleh : Adli Mohamad DUNGUN, 28 Julai- Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Dendang mahu menjadikan tanaman jagung sebagai projek awal bagi menjana pendapatan serta menyediakan ruang pekerjaan kepada penduduk. Pengerusi MPKK berkenaan, Abdul Malek Abdul Rani berkata, kerja-kerja membersihkan tanah berkeluasan enam ekar telah dimulakan bagi merealisasikan hasrat tersebut. "Kita jangkakan kerja-kerja pembinaan longkang dan pagar dapat diselesaikan dalam masa enam hari. InsyaAllah, selepas ini kita akan terus melaksanakan projek membajak bagi projek tanaman jagung ini. "Tanah ini mampu memuatkan sebanyak 30,000 sehingga 60,000 anak pokok yang akan mendatangkan hasil selepas 70 hari ditanam," ujarnya. Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, di kawasan tanah berkenaan, di Kampung Dendang, semalam. Beliau turut berharap agar projek yang diusahakan penduduk Kampung Dendang  itu mendapat perhatian daripada pihak berwajib. "Kita nak minta supaya jabatan lain seperti Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (KETENGAH), akan membantu  dan menyumbang sedaya upaya melalui peruntukkan yang mereka ada bagi memastikan projek pertama di DUN Bukit Besi ini mampu berkembang. "Juga kita nak minta pihak Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Terengganu (EXCO) mempertimbangkan permohonan tanah yang dipohon oleh MPKK juga bantuan daripada jabatan pertanian," ujarnya. Untuk permulaan ini katanya, bantuan dan dorongan semangat daripada semua pihak amat diharapkan bagi meneruskan projek berkenaan.
28 Jul 20
394
PSMZA Adakan Sanitasi Sebelum Terima Kemasukan Pelajar Baru
PSMZA Adakan Sanitasi Sebelum Terima Kemasukan Pelajar Baru
Oleh: Nooreni Abu Bakar DUNGUN, 28 Julai- Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin(PSMZA) mengadakan operasi sanitasi dan disinfeksi sebagai persediaan awal menerima kemasukan pelajar baru pada 4 ogos nanti. Pengarahnya, Mohd Fikri Ismail berkata, bagi memastikan warga PSMZA selamat daripada risiko jangkitan COVID-19, satu program sanitasi dan disinfeksi telah diadakan sebelum menerima kemasukan pelajar. “Usaha tersebut juga sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan  di premis kerajaan terutamanya Institusi Pengajian Tinggi. "Ianya juga untuk memberi keselesan dan rasa selamat kepada kakitangan dan pelajar sepanjang berada di bangunan dan ruangan pejabat di PSMZA," ujarnya. Mohd Fikri berkata demikian ketika berucap di Majlis Pelancaran Program Sanitasi Dan Disinfeksi Perdana Covid-19 PSMZA bersama Pasukan Bomba Dan Penyelamat Daerah Dungun, semalam. Taklimat program yang melibatkan semua kakitangan politeknik berkenaan telah dikendalikan oleh Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Dungun, Mohd Aidil Khairim Abdul Wahab.  
28 Jul 20
474
Terima Kasih IPD Kemaman
Terima Kasih IPD Kemaman
Oleh: Alfian Mamad KEMAMAN, 27 Julai - Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Hazri Jusoh berterima kasih kepada semua kakitangan dan pegawai Ibu Pejabat Daerah (IPD) Polis Kemaman di atas kejayaan membenteras beberapa siri jenayah dan perjudian di kawasan DUN Kijal. "Kami ucapkan syabas dan setinggi tahniah kepada pihak Polis Kemaman di atas usaha berserta komitmen tinggi yang telah ditunjukkan dalam membanteras jenayah di daerah Kemaman ini terutama di DUN Kijal. "Setelah sekian lama sindiket dadah, aktiviti judi ekor dan sabung ayam ini bergerak aktif di Kijal, alhamdulillah akhirnya mereka tumpas juga," ujarnya pada Majlis Keraian Bersama Ketua Polis Kemaman di Resort World Kijal di sini baru-baru ini. Sementara itu, Ahli Parlimen Kemaman, Che Alias Abd Hamid yang bergegas pulang dari sidang Dewan Rakyat di ibu negara untuk menghadiri majlis tersebut turut mengucapkan tahniah di atas kejayaan itu. "Saya ucapkan tahniah kepada pasukan Polis Kemaman kerana telah menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan oleh kerajaan dengan begitu baik walaupun terpaksa menghadapi risiko dan pelbagai cabaran. "Alhamdulillah dengan kerjasama yang mantap ini akan terus membuahkan kejayaan pada masa akan datang dan saya yakin dan percaya Allah akan berikan kelapangan, kesenangan dan kekuatan kepada anda semua," katanya. Hadir sama dalam majlis berkenaan, Pegawai Daerah Kemaman, Mohamad Abd. Rahman dan Ahli Majlis Perbandaran Kemaman. Dalam perkembangan sama, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan merasa terharu dan berbangga kerana usaha pasukan beliau dihargai oleh pemimpin masyarakat setempat. "Kami akan lakukan tanggungjawab yang diamanahkan ini dengan sebaik mungkin dan ianya tidak akan terhenti di sini. Kami berpegang pada perlembagaan negara, kedaulatan undang-undang serta amar makruf nahi mungkar. "Jika kita letih kerana kebaikan, maka sesunguhnya keletihan itu akan hilang dan kebaikan akan kekal. Namun jika kita bersenang-senang dengan dosa, maka sesungguhnya kesenangan itu akan hilang dan dosa itu akan kekal," tambahnya lagi.
27 Jul 20
610
Kerajaan Peruntuk RM270,000 Laksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak
Kerajaan Peruntuk RM270,000 Laksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak
KUALA TERENGGANU, 27 Julai - Kerajaan negeri melalui Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT) menghargai inisiatif Kerajaan Persekutuan di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) yang meluluskan bajet sebanyak RM270,000 bagi pelaksanaan 9 siri kursus asuhan awal kanak-kanak. Wan Mohd Zaki Wan Abdullah. Pengarah Yayasan Pembangunan Keluarga Terengganu (YPKT), Wan Mohd Zaki Wan Abdullah berkata, pelaksanaan kursus tersebut adalah bertujuan untuk menyediakan pengasuh-pengasuh yang berkelayakan dalam bidang perkembangan awal kanak-kanak secara atas talian (online) terutama di musim penularan COVID-19. "Kerajaan negeri berterima kasih kepada JKM Negeri dan Malaysia yang memberi kepercayaan dan amanah kepada YPKT sebagai pusat akreaditasi dan pelaksana Kursus Asuhan Dan Didikan Awal Kanak-Kanak Permata (KAP) secara online. "Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP merupakan kursus wajib di bawah Akta TASKA 1984 dan peraturan-peraturan TASKA 2012, di mana ia memberi penekanan kepada enam bidang perkembangan utama kanak-kanak di bawah umur empat tahun. "Modul tersebut diubah suai dan ditambah baik bersesuaian dengan kaedah terkini untuk merangsang pertumbuhan dan perkembangan kanak-kanak. Objektif utama KAP adalah bagi meningkatkan kualiti pengasuhan kanak-kanak serta meningkatkan profesionalisme para pengasuh," katanya. Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Kursus Asuhan Dan Didikan Awal KAP Secara Atas Talian (Online) Melalui Program Insentif Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) di Dewan Utama YPKT di sini hari ini. Simulasi kursus secara online. Seramai 10 orang peserta dari semua kawasan mendapat pentauliahan sebagai jurulatih dalam majlis tersebut. Turut diadakan simulasi kursus secara online dengan disaksikan oleh Wan Mohd Zaki. Hadir sama, wakil Pengarah JKM Negeri, Nurul Shahida Md Salleh, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri, Md Hilman Abd Rashid, wakil Pengarah Kesihatan Negeri, Azlina Ngah, Penolong Pengarah Jabatan Korporat dan Kemasyarakatan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT), Mohd Saiful Bahri Ramli dan wakil Persatuan Pendidik Taska Swasta Negeri Terengganu, Maryana Jusoh. Sehingga akhir tahun ini, dijangka seramai 300 orang peserta akan menyertai enam siri kursus secara online yang akan diadakan selama tiga bulan bermula 3 Ogos ini dan berakhir awal November nanti. Zalina Mohd. Sementara itu, menurut jurulatih kursus, Zalina Mohd, 52, pengasuh yang berkelayakan sangat digalakkan mengikuti kursus tersebut yang memberi pendedahan mendidik untuk meningkatkan perkembangan menyeluruh kanak-kanak. "Ia sekali gus membantu perkembangan anak-anak sekali gus menyumbang pembentukan modal insan mereka," ujarnya. 
27 Jul 20
1141