Artikel "Komuniti" Terkini
Nikmat Aidiladha, 1,500 Keluarga Terima Sumbangan Daging Korban
KUALA NERUS, 4 Ogos - Lebih 1,500 pek bungkusan daging korban diagihkan melalui Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) kepada penduduk kurang berkemampuan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Tepoh semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tepoh, Hishamuddin Abdul Karim berkata, sebanyak 10 ekor lembu telah dikorbankan di Surau Kampung Pak Tuyu, manakala pada Hari Raya pertama sebanyak enam ekor lembu pula dikorbankan di sini.
"Hari ini dua ekor dari lembu Charolais, seekor dari jenis Brahman dan bakinya lembu baka tempatan yang bersaiz besar," katanya selepas acara korban di sini.
Turut hadir sama Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah, wakil pegawai PDRM, pegawai Jabatan Veterinar dan Pasukan Penguatkuasa Syariah Jabatan Hal ehwal Agama Terengganu (JHEAT).
Terdahulu, Pusat Khidmat Dun Tepoh juga telah mengagihkan 12 ekor lembu korban mengikut zon Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) dan menyerahkan pengurusan korban tersebut kepada zon masing-masing.
Tambahnya lagi, kru korban hari ini mengenakan uniform kuningbagi melahirkan perasaan positif dan optimis.
Katanya lagi, daripada awal proses ini dijalankan, semua krew bekerjasama dan bertungkus lumus menjayakan misi korban yang suasananya sedikit berbeza akibat COVID-19.
04 Aug 20
252
Hasrat Kahwin Tetap Diteruskan Walaupun Cedera
DUNGUN, 4 Ogos - Kecederaan serius pada pergelangan kaki dihadapi seorang pemuda dari Kampung Kuala Jengai tidak menghalang semangat dan rancangannya untuk berkahwin.
Ismalizan Salim, 33,berkata, keluarga bakal pasangannya dari Kedah juga sudah mengaturkan segala persiapan.
"Walau macammana sekalipun ia mesti diteruskan. Insya-Allah kalau panjang umur perkahwinan itu akan dilangsungkan pada Oktober nanti. Kecederaan yang saya alami ini terjadi ketika di tempat kerja, yang mana saya bekerja di tempat pemasangan paip dan gas di salah sebuah syarikat di Ipoh Perak, " ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika dikunjungi oleh Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman di kediaman orang tuanya di Kuala Jengai, baru-baru ini.
Mengimbas kembali apa yang dialami katanya, ianya cukup menguji kesabaran.
"Dimana apabila ditanya oleh doktor ketika menerima rawatan bagaimana tahap kesakitan yang dialami tidak terasa sangat, tapi apabila ditanya mengenai waris, itu membuatkan saya tidak tahan sehingga menitiskan air mata kerana berada berjauhan daripada keluarga.
"Kerana luka serius yang dialami itu saya diberikan cuti panjang, mungkin Oktober nanti sakit yang saya alami belum tentu sembuh, namun sedar ada hikmah di sebalik apa yang terjadi," katanya.
Ghazali berharap agar kecederaan yang dialami Ismalizan segera sembuh.
"Juga kita turut mendoakan agar perkahwinannya nanti dipermudahkan oleh Allah SWT, agar dapat menempuhi hari-hari bahagia dengan pasangannya dari Negeri Kedah. Perasaan saya sangat tersentuh apabila dimaklumkan mengenai dirinya akan berkahwin pada Oktober nanti, semoga Allah memberikannya kekuatan, insyaAllah," ujar Ghazali.
04 Aug 20
485
300 Fakir Miskin Terima Sumbangan Raya
KEMAMAN, 4 Ogos - Seramai 300 orang fakir miskin menerima bantuan hari raya sempena program Santuni Fakir Miskin & Mengambil Ibrah Aidiladha bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Cukai.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memanjatkan kesyukuran di atas kejayaan program itu yang diadakan, baru-baru ini.
Katanya, program itu diadakan bagi membantu meringankan bebanan yang dihadapi mereka yang sangat memerlukan dalam menyambut Hari Raya Aidiladha.
"Hari ini pula merupakan Hari Arafah, jadi saya mengambil peluang ini bagi mengadakan program yang boleh memberikan manfaat buat sebahagian rakyat yang memerlukan," ujarnya.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas selesai program.
Dalam majlis tersebut, kesemua fakir miskin menerima sumbangan berbentuk wang tunai dan barangan dapur.
04 Aug 20
743
DUN Batu Buruk Agih 2,000 Kilogram Daging Korban
KUALA TERENGGANU, 4 Ogos – Sebanyak dua tan daging korban diagihkan dalam Program Korban Perdana di Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Buruk, semalam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Buruk, Muhammad Khalil Abdul Hadi memaklumkan, sebanyak 12 ekor lembu dikorbankan untuk diagihkan melalui setiap Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK).
"Sebanyak 36 MPKK dalam DUN ini telah turun memberikan kerjasama dan mengambil bahagian dalam tugas-tugas membungkus daging korban untuk diagihkan.
"Sebanyak 100 beg daging disalurkan kepada setiap MPKK untuk diagihkan kepada masyarakat setempat," katanya kepada Urus Setia Darul Iman (UPDI), di lokasi program tahunan Pusat Khidmat Masyarakat ADUN Batu Buruk itu dalam menyambut perayaan Hari Raya Aidiladha.
Di samping itu jelasnya, semua petugas yang hadir telah mengikuti garis panduan kesihatan yang telah ditetapkan.
04 Aug 20
175
Dr Azman Korban Lembu Sado 3.2 Tan Untuk Penduduk Jabi
SETIU, 4 Ogos - Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jabi, Dr Azman Ibrahim menampilkan kelainan pada ibadah korban sempena Aidiladha tahun ini dengan menyembelih lapan ekor lembu jenis Charolais, Belgian Blue dan Limousine semalam.
Apa yang menarik, haiwan korban atau digelar lembu sado itu mempunyai saiz yang besar dengan berat keseluruhan kira-kira 3.2 tan.
Dr Azman berkata, ia merupakan program korban yang julung-julung kalinya diadakan di Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan dengan melibatkan skala besar.
"Di hari Tasyriq yang terakhir, program Korban Perdana DUN Jabi disempurnakan dengan penyembelihan lapan ekor lembu sado baka bernilai kira-kira RM100,000.
"Ia mencukupi untuk dipastikan daging korban ini sampai ke setiap 6,000 buah rumah dalam DUN Jabi, kuantiti daging yang mampu kita agihkan ke setiap rumah tidaklah banyak. Tapi bolehlah sama-sama merasa keenakkan daging lembu sado," katanya.
Beliau berkata demikian selepas ditemui pemberita di Program Korban Perdana peringkat DUN Jabi di Dataran Pekan Jabi, di sini.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan penghargaan kepada para petugas yang bertungkus-lumus bermula daripada awal persiapan, proses penyembelihan serta pengagihan ke setiap rumah penduduk.
"Kunci kejayaan program yang paling utama ialah semangat kerjasama para petugas dari Pusat Khidmat ADUN Jabi, Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Jabatan Amal, Jabatan Keselamatan, Pemuda, Muslimat, Ameerah dan kakitangan Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Terengganu," tambah beliau.
04 Aug 20
1269
Gara-Gara Lelaki Berbasikal, Mok Nah Dah Popular
Oleh : Adli Mohamad
HULU TERENGGANU, 3 Ogos- Fatimah Jusoh, 71, atau lebih mesra dikenali sebagai 'Mok Nah' dari Kampung Matang tidak menyangka dirinya tular di media sosial, gara-gara lelaki berbasikal dari Kuala Lumpur yang singgah di kediamannya.
Mok Nah berkata, layanan baik terhadap tetamu merupakan kebiasaan pada dirinya termasuklah kepada lelaki datang dari Kuala Lumpur tersebut.
"Tidak perlu nak dihebohkan, kalau boleh biarlah tangan kanan memberi, tangan kiri tidak tahu. Lagi pula Mok Nah lihat lelaki itu tercegat di hadapan kedai dalam kepenatan. Masa nak bayar tu Mok Nah bergurau dengan dia, Mok Nah kata raya-raya ni mana ada kedai, tak bagitau hal sebenar bahawa kediaman itu juga merupakan kedai sebenarnya.
"Mok Nah terkejut apabila dimaklumkan oleh anak dan cucu bahawa seluruh Malaysia dah tahu mengenai perkara ini. Kebetulan ketika lelaki itu datang, dia dijamu dengan Nasi Dagang. Kalau hari biasa memang Mok Nah berjualan Nasi Minyak, Nasi Kerabu, Nasi Dagang, dan Nasi Lemak," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman, di Kampung Matang, hari ini.
Katanya, kerana peristiwa yang ditularkan Mohd Karbi Mominin, 51, dari Kuala Lumpur itu yang berbasikal seorang diri ke Kuala Berang, dia menerima panggilan tidak henti-henti sejak hari itu.
"Semalam sahaja lebih dari 13 panggilan yang diterima, dan ada juga dari wartawan-wartawan, tapi Mok Nah tidak selesa menjadi hebahan,"jelasnya.
Mengulas mengenai lelaki berkenaan, katanya pada hari tersebut, lelaki berkenaan kelihatan agak penat.
"Berhenti di depan rumah, dia kata payah nak temui kedai makan, jadi jemputlah dia makan, suka sangat dia makan Nasi Dagang dari Terengganu, tambah pula saya bercakap didalam 'loghat' Terengganu lagi dia suka, ketika hendak balik saya hendak bagi dia makanan sebagai bekalan takut lapar tengah jalan.
"Dia kata sukar hendak bawa bekal makanan kerana dia hanya berbasikal. Sebelum balik sempat dia ambil gambar saya, saya kata pada dia buat apa hendak ambil gambar orang tua ni, tak sangka untuk dihebahkan di media sosial menceritakan pengalamannya," ujarnya.
Terdahulu, Mohd Karbi telah memuatnaik status di facebook miliknya tentang kejadian tersebut selepas singgah di rumah yang disangkakan kedai selepas melakukan kayuhan 70 km, dari Tasik Kenyir setelah kepenatan dan ingin mendapatkan makanan.
03 Aug 20
23769
12 Ekor Lembu Korban Diagihkan Kepada Penduduk DUN Rantau Abang
Oleh: Nooreni Abu Bakar
DUNGUN, 3 Ogos- Sebanyak 12 ekor lembu telah disembelih sempena ibadah korban untuk diagihkan kepada komuniti kampung di Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau Abang.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun merakamkan ucapan terima kasih kepada kerajaan Negeri Terengganu yang telah memperuntukkan lembu-lembu tersebut kepada setiap DUN .
"Alhamdulillah, bagi kita di DUN Rantau Abang kita bahagi-bahagikan kepada 28 Majlis Pengurusan Keselamatan Komuniti (MPKK) yang ada di DUN Rantau Abang," ujarnya ketika ditemui di Majlis Penyembelihan Qurban Perdana DUN Rantau Abang di Kampung Che Lijah di sini.
Katanya, daging-daging tersebut dibahagikan kepada masyarakat di MPKK masing-masing untuk dimasak dan dimakan bersama keluarga.
Alias turut merakamkan ucapan terima kasih kepada petugas-petugas yang bertungkus lumus sehingga penyembelihan selesai.
03 Aug 20
337
Muafakat Semua Pihak, Jayakan Ibadah Korban
Kebimbangan umat Islam khususnya di negara ini mengenai Aidiladha dan ibadah korban berakhir, sekali gus boleh menarik nafas lega apabila Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan prosedur operasi standard (SOP) bagi pelaksanaannya.
Ini membuktikan mesej kerajaan hari ini yang amat mengambil berat hal ibadah umat Islam dan hak Muslim untuk melaksanakan korban yang menjadi simbolik kepada pengabdian hamba kepada Allah SWT.
Pada masa sama, kerajaan melalui Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) sangat tegas mengawal penularan wabak COVID-19 melalui arahan tetap serta garis panduan pelaksanaan ibadah lain dengan SOP Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan Kementerian Kesihatan (KKM) yang selari dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Tanpa kerjasama dan muafakat semua kementerian, kerajaan sukar memperhalusi hal ehwal umat Islam di negara ini dalam situasi penularan wabak mengorbankan ratusan ribu nyawa. Ia bukan sekadar jawatan dan duduk di kerusi pejabat, sebaliknya memerlukan pengorbanan hampir semua agensi kerajaan sesuai dengan peranan masing-masing. Pengorbanan ini memerlukan kerahan fizikal, mental dan emosi tanpa pengecualian.
Kesediaan kerajaan memperhalusi pelaksanaan ibadah korban wajar dipuji walaupun dalam senario pandemik. Ini bertepatan dengan Islam yang mendidik manusia agar menyediakan strategi dan tindakan kemudian barulah menyerahkan semua urusan kepada-Nya.
Pengorbanan perlu menyeluruh dan konsisten. Ia bukan sekadar dibaca dan didengar, bahkan membabitkan pengorbanan dalam menyokong usaha kerajaan. Ibadah korban normal baharu ini wajib dipatuhi atas kriteria kepentingan umum yang dibenarkan syarak. Umat Islam ditegah memperlekeh dan tidak memperdulikannya.
Contohnya, kepatuhan aktiviti berkaitan ibadah korban adalah mengelakkan menerima kehadiran tetamu dalam kalangan pesakit dalam siasatan (PUI) dan pesakit bawah pemantauan (PUS).
Jamuan secara berhidang atau layanan pramusaji juga dibenarkan kecuali bufet layan diri. Selain itu, penganjur perlu melaporkan program korban yang akan dijalankan kepada Pejabat Kesihatan Daerah (PKD). Tepat pada masanya untuk umat Islam menekuni falsafah di sebalik pelaksanaan korban ini dengan berkorban mematuhi syarat baharu.
Pada masa sama, pihak penganjur boleh memberi idea lebih baik untuk pelaksanaan sembelihan lebih efisien dan sistematik sesuai dengan pelaksanaan 3S, iaitu elakkan sesak, sempit dan sembang dalam jarak dekat.
Kawalan terhadap pelaksanaan ibadah korban penganjur sama ada masjid, surau atau individu memperlihatkan normal baharu, sekali gus lambang ketinggian iman dan Islam.
Dengan melihat kepatuhan terhadap pelaksanaan korban dalam era PKPP ini, kita juga mahu umat Islam meluaskan ciptaan kreatif dan inovatif khususnya di masjid dan surau agar seiring kemajuan teknologi memudahkan Muslim melaksanakan ibadah.
Penggunaan alat pengimbas suhu auto, khutbah lebih padat dan bertenaga sehingga teknologi mesin penyembelihan akan menjadi norma baharu dalam tempoh beberapa tahun akan datang.
Dengan pengorbanan semua, segala pendekatan direncana kerajaan selepas ini akan membawa perubahan ketara dalam masyarakat dan umat Islam di negara ini khususnya.
Kerajaan sudah melaksanakan tanggungjawab secara serius memastikan rakyat berada keadaan terkawal. Cuma, jika bukan kita menyokongnya, siapa lagi hendak dipersalahkan.
Penulis adalah Pensyarah Kolej GENIUS Insan, Universiti Sains Islam Malaysia.
01 Aug 20
743
Ahmad Samsuri Serah 33 Lembu Korban
Oleh : Aslam Wira
MARANG, 30 Julai – Dato’ Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar hari ini menyerahkan 33 ekor lembu kepada kawasan di sekitar Dewan Undangan Negeri (DUN) parlimen Marang untuk dikorbankan sempena Hari Raya Aidiladha esok.
Pengagihan itu melibatkan DUN Rhu Rendang sebanyak 23 ekor, manakala DUN Alur Limbat, Pengkalan Berangan dan Bukit Payung masing-masing menerima sumbangan dua ekor.
Ahmad Samsuri yang juga Ahli dewan Undangan Negeri (ADUN) Rhu Rendang tidak ketinggalan untuk menyerahkan empat ekor lembu korban kepada Maahad Darul Quran, Rusila.
Beliau yang hadir ketika menyerahkan haiwan itu sangat menghargai usaha semua pihak yang bermurah hati memberi sumbangan bagi menjayakan sambutan ibadah korban.
“Semoga amalan baik dan pemberian ini dikurniakan pahala sedekah daripada Allah SWT,” kata Menteri Besar Terengganu itu ketika menyerahkan lembu korban di Kampung Rhu Muda, Darat Pak Chan, Batangan, Gong Beris dan Kelulut di sini.
Turut hadir, Pengarah Permint Granite HCM Sdn Bhd, Ahmad Farid Dato’ Isa @ Ghazali, Pengarah Majlis Tindakan DUN Rhu Rendang, Hassan Awang.
Antara yang telibat dalam sumbangan lembu korban tersebut adalah Permint Granite HCM Sdn Bhd sebanyak, Terengganu Incoperated (Terengganu Inc.) dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Al-Hikmah.
30 Jul 20
846
Mesin ATM Anak Ikan Beri Manfaat kepada Lebih 10,000 Penduduk
Oleh : Muhammad A Rahman
SETIU, 29 Julai – Kewujudan Mesin Juruwang Automatik (ATM) di Stesen Minyak Petron Kampung Anak Ikan bakal memberi manfaat kepada lebih 10,000 penduduk di sekitar kawasan terbabit.
Ahli Parlimen Setiu, Shaharizukirnain Abdul Kadir berkata, rata-rata rakyat di kawasan terbabit melahirkan rasa lega apabila tidak perlu lagi bergerak sejauh 15 hingga 20 kilometer untuk melakukan transaksi harian.
“Sebelum ini penduduk dari kampung-kampung sekitar seperti dari Kampung Bintang, Felda Selasih, Kampung Anak Ikan dan Kampung Tok Dor terpaksa ke Pekan Jabi.
“Saya berterima kasih atas kesabaran penduduk setempat yang sudah terlalu lama menanti kehadiran sebuat mesin ATM di kawasan ini,” katanya selepas merasmikan mesin ATM Bank Simpanan Nasional di sini kelmarin.
Menurut beliau lagi, kesukaran yang dihadapi rakyat itu sering diadu kepadanya dalam setiap pertemuan.
“Alhamdulillah, hari ini masalah itu dapat diselesaikan dengan baik, semoga orang ramai dapat memanfaatkan mesin ATM ini,” tambahnya.
29 Jul 20
971