lightning-solid
Berita :

Artikel "Komuniti" Terkini

COVID-19 : Kluster Piktawa Terengganu Berakhir
COVID-19 : Kluster Piktawa Terengganu Berakhir
  PUTRAJAYA, 13 Ogos - Satu kluster COVID-19 yang menular di kalangan rakyat Terengganu diisytiharkan tamat hari ini. Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dalam satu kenyataan memaklumkan, kluster Piktawa merupakan antara tiga kluster tersebut. Untuk rekod, kluster PUI Pitakwa, kes indeks kluster itu adalah seorang warga negara Malaysia (iaitu kes ke-8,737) yang pulang ke Malaysia dari Nigeria pada 11 Julai 2020. Saringan COVID-19 di Pintu Masuk Antarabangsa Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) didapati negatif namun tiga hari selepas ketibaan di Malaysia beliau perlu menjalani ujian ulangan bagi COVID-19 kerana mula mengalami gejala yang lebih teruk yang mana beliau dikesan positif serta dimasukkan ke Hospital Hulu Terengganu. Susulan itu, 44 kontak rapat dikenal pasti dan disaring terutama dalam kalangan ahli keluarga, penumpang dan krew kapal terbang, pemandu teksi serta rakan sekerja. Jumlah kes positif melibatkan kluster berkenaan adalah tiga yang kesemuanya membabitkan rakyat Terengganu
13 Aug 20
1585
Pusat Konservasi Dinaiktaraf Sebagai Hospital Penyu Negara
Pusat Konservasi Dinaiktaraf Sebagai Hospital Penyu Negara
DUNGUN,13 Ogos - Pusat Konservasi Penyu di Kampung Rantau Abang dinaiktaraf sebagai Hospital Penyu Negara.   Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menyambut baik usaha untuk memperkasakan semula Rantau Abang yang dikenali dengan tempat penyu bertelur.  "Saya berharap juga agar nanti kerajaan menjadikan program pelepasan anak penyu Sebagai acara tahunan. "Agar boleh memberi peluang menambah pendapatan kepada penduduk setempat," ujarnya ketika dihubungi pemberita semalam. Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman tersebut oleh  Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat Negeri, Ariffin Deraman di dalam Ucapan Penggulungan Perbahasan Titah Diraja di Persidangan DUN di Wisma Darul Iman di sini kelmarin. Di dalam ucapan penggulungan tersebut juga turut diumumkan Pusat Santuari Penyu Rantau Abang akan mempunyai galeri hidupan laut terancam  yang menempatkan spesis dugong, paus dan ikan lumba-lumba yang bakal menarik lebih ramai lagi pelancong.
13 Aug 20
542
Perangkap Khas Beruang Dipasang
Perangkap Khas Beruang Dipasang
Oleh: Amiirullah Mansor DUNGUN, 11 Ogos - Jabatan Perhilitan Dungun telah memasang perangkap khas beruang di kawasan rumah pengusaha madu kelulut selepas mendapat aduan daripada pemiliknya berkenaan kehadiran beruang di kawasan terbabit.  Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Pinang Merah, Che Wan Mustaffa Che Wan Kaman berkata, aduan daripada pengusaha terbabit diterima pihaknya dua minggu lalu sebelum dilaporkan kepada pihak Perhilitan. "Beruang ini memusnahkan sarang madu kelulut mereka. Ada yang memakan umbuk serta merosakan pokok kelapa," katanya. Menurutnya, hasil tindakan semalam, Perhilitan telah memasang perangkap yang diambil dari Serdang di beberapa buah kawasan yang menjadi laluan masuk beruang tersebut. "Kekangan yang dihadapi sekarang ini ialah perangkap yang dipasang tidak banyak dan  kawasan jagaan luas," ujarnya.  Beliau menasihatkan agar masyarakat sentiasa berwaspada apabila melakukan aktiviti luar serta melaporkan kepada pihak berkuasa jika ternampak kelibat haiwan terbabit. "Terima kasih kepada semua pihak yang prihatin bagi menyelesaikan perkara ini dan diharapkan agar sentiasa berhati-hati.  "Harapan saya agar beruang ini dapat ditangkap dan masalah yang merisaukan penduduk kampung diselesaikan dengan baik," katanya.  
11 Aug 20
327
Semarakkan Rasa Sayang Dan Cinta Kepada Negara
Semarakkan Rasa Sayang Dan Cinta Kepada Negara
KEMAMAN, 10 Ogos - Setiap rakyat tanpa mengira kaum, agama dan politik perlu mengambil peluang untuk membuktikan rasa sayang dan cinta kepada negara melalui sambutan bulan kemerdekaan dan kempen jalur gemilang bagi memperingati tarikh bersejarah 31 Ogos. Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat menyeru rakyat Terengganu khususnya di kawasannya agar mengibarkan jalur gemilang di premis dan rumah masing-masing bagi menyemarakkan semangat patriotisme dalam diri. "Kibarkanlah jalur gemilang yang menjadi kebanggaan kita sebagai rakyat Malaysia. Zahirkan patriotisme yang tinggi dalam jiwa dan semoga kita dapat mengukuhkan lagi jati diri serta memupuk semangat cintakan negara secara konsisten untuk dicontohi oleh generasi akan datang. "Musuh kita sekarang bukan hanya semata-mata dalam medan perang, tetapi melalui tipu muslihat dan peperangan minda dalam media dan sebagainya," ujarnya ketika merasmikan Program Penyerahan Jalur Gemilang Kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Cukai, semalam. Katanya lagi, menjadi tanggungjawab kerajaan negeri melalui MPKK untuk memastikan rakyat generasi hari ini memenuhi dada dengan ilmu pengetahuan agar kemerdekaan yang dimiliki dapat dipertahankan dan dikekalkan. "Tanpa ilmu pengetahuan, kemerdekaan yang diperoleh menjadi rapuh," ujarnya. Dalam majlis tersebut, Hanafiah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri menyerahkan sebanyak 3,000 batang jalur gemilang kepada 30 MPKK DUN Cukai untuk dipasang di kawasan kampung masing-masing.
10 Aug 20
430
Pupuk Kesedaran Jauhi Dadah Seawal Usia
Pupuk Kesedaran Jauhi Dadah Seawal Usia
HULU TERENGGANU, 11 Ogos - Setiap rakyat seharusnya memupuk kesedaran menjauhi dadah seawal usia serta bermula dengan pendidikan di rumah dan juga sekolah rendah. Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Hulu Terengganu, Maliaman Kassim berkata, kerajaan negeri merancang untuk mengadakan lebih banyak program penerangan jauhi dadah. "Kita merancang untuk mengadakan lebih banyak program penerangan jauhi dadah kerana kita mahu kanak-kanak seawal usia di sekolah rendah mendapat pendedahan terutama berkaitan masalah dadah. "Kita khuatir anak-anak kita akan terjebak kerana kurangnya pendedahan dan ia pasti akan mempengaruhi prestasi pelajaran mereka. "Kesibukan ibu bapa bekerja menjadi antara punca pelajar terjebak dengan penagihan dadah. “Ibu bapa ketika ini sibuk bekerja dan tumpuan sepenuhnya tidak dapat diberikan kepada anak-anak. Apa yang berlaku anak-anak ini cuba mencari tumpuan di luar, selain menggunakan platform media sosial dan terjebak dalam perkara negatif," ulasnya.  Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Integrasi Masyarakat : Gotong-Royong Bersama Dengan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Hulu Terengganu di Kampung Menerong di sini baru-baru ini. Tambah beliau lagi, kurangnya perhatian ibu bapa juga mendorong pelajar untuk melibatkan diri dalam aktiviti tidak sihat. "Ibu bapa orang yang paling dekat serta perlu berperanan dalam pembentukan peribadi dan sahsiah anak-anak. "Kita bimbang jika berlaku kemungkinan di rumah anak-anak kelihatan berbeza dan ibu bapa tidak perasan anak mereka terlibat dengan dadah. "Maka timbul kerisauan dalam kalangan semua pihak apabila realiti yang berlaku adalah mereka yang terlibat dengan dadah bermula dari peringkat umur yang terlalu muda. "Justeru kita perlu berusaha mencegah masalah ini dari awal lagi. Besar harapan saya agar ibu bapa meluangkan banyak masa cuti hujung minggu bersama anak yang dahagakan belaian kasih sayang," ujarnya. Untuk rekod, antara punca penagihan dadah termasuk disebabkan pengaruh rakan sebaya manakala selebihnya akibat keinginan untuk mencuba, tekanan hidup, kurang pengawasan dan disiplin diri tidak kukuh.
08 Aug 20
227
Autisme Bukan Penghalang Kejar Kejayaan
Autisme Bukan Penghalang Kejar Kejayaan
  DUNGUN, 6 Ogos - Walaupun dilahirkan sebagai anak autisme, ianya tidak pernah menjadi penghalang kepada Ahnaf Azfar Zainuddin,18, untuk mengejar cita-cita dan berjaya dalam kehidupan. Itulah azam dan tekad anak muda yang teruja dapat melanjutkan pelajaran di dalam bidang Diploma Teknologi Digital (Teknologi Maklumat)  di Politeknik Sultan Mizan Zainal Abidin (PSMZA).  “Saya tidak akan mensia-siakan peluang yang diberikan kepada saya dan akan belajar bersungguh-sungguh sehingga berjaya bergraduasi walaupun saya tahu kemampuan saya tidak seperti pelajar lain,” ujar Ahnaf yang berasal dari Selayang, Selangor. Ahnaf ditemui pemberita selepas Pendaftaran Pelajar Baharu Kemasukan Sesi Jun 2020 yang diadakan di Dewan Dagang, PSMZA di sini. Sementara itu, Pengarah poiteknik berkenaan, Mohd Fikri Ismail yang mengalu-alukan kehadiran pelajar baharu berkata pihaknya  tidak menjadi masalah menerima pelajar autisme selagi  mereka layak dengan pencapaian akademik di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).  "Di PSMZA juga mempunyai kelengkapan dan kemudahan yang cukup untuk membantu pelajar OKU mencapai hasrat dan cita-cita," katanya. 
06 Aug 20
1021
Penantian 27 Tahun Miliki Air Bersih Tercapai
Penantian 27 Tahun Miliki Air Bersih Tercapai
MARANG, 5 Ogos - Penantian dan impian keluarga Siti Nuraisyah Abdul Latif, 44, sejak 27 tahun lalu untuk memiliki bekalan air bersih akhirnya tercapai apabila bekalan air mula dipasang dua hari sebelum hari raya Aidiladha baru-baru ini. Sebelum ini, keluarganya terpaksa menggunakan air telaga yang kurang bersih dan apabila tiba musim panas, Nuraisyah terpaksa berulang alik ke surau berdekatan yang melebihi satu kilometer dari rumahnya untuk mendapat keperluan air. “Apabila menggunakan air telaga, baju putih atau baju sekolah anak-anak bertukar kekuningan, air juga berbau dan terasa masam, malah kuku juga bertukar kebiruan namun kami terpaksa mengendahkanya. “Saya berasa amat bersyukur setelah sekian lama, kami tiga buah keluarga yang tinggal di sini dapat menggunakan bekalan air bersih yang sangat diimpikan selama ini. “Sebelum ini, kami tidak mampu menanggung kos pemasangan meter air yang agak besar kerana jauh daripada rumah orang lain, tambahan lagi suami hanya berkerja sebagai buruh.” katanya kepada wartawan Urusetia Penerangan Darul Iman ketika lawatan diadakan ke rumahnya. Nuraisyah tinggal bersama lima orang anak, dan tiga daripadanya masih bersekolah. Seorang daripada anaknya yang telah berkahwin dan tinggal berdekatan juga turut mengalami masalah yang sama.  Menurut Pegawai Khas Pusat Khidmat Masyarakat Dewan Undangan Negeri Rhu Rendang, Nasaruddin Samsudeng berkata, masalah keluarga ini diberikan keutamaan agar impian keluarga ini menjadi realiti dengan kehidupan yang lebih selesa. “Isu ini mendapat perhatian daripada Menteri Besar Terengganu, Dato’ Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga merupakan ADUN Rhu Rendang supaya masalah ini dapat diselesaikan dengan kadar segera.” “Terima kasih juga diucapkan kepada yang terlibat, iaitu Pegawai Khas Menteri Besar Terengganu, pihak Syarikat Air Terengganu Sdn. Bhd (SATU), dan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Gong Beris.” “Kita juga akan terus membantu dan menyelesaikan masalah rakyat secara berperingkat dari masa ke semasa,” tambahnya.
06 Aug 20
538
Ibu Bapa Mainkan Peranan Penting Untuk Kemenjadian Pelajar
Ibu Bapa Mainkan Peranan Penting Untuk Kemenjadian Pelajar
  HULU TERENGGANU, 5 Ogos - Ibu bapa diharap dapat memainkan peranan dalam terus membantu pihak sekolah melahirkan generasi yang berilmu, berdaya saing dan mampu menghadapi pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian. Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah Pendidikan Dan Pengajian Tinggi, Ustaz Maliaman Kassim berkata, beliau yakin menerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), ibu bapa akan membantu kemenjadian murid dalam pelbagai bidang terutama dalam bidang akademik, kokurikulum dan sahsiah. “Ibu bapa merupakan tulang belakang di samping guru untuk memastikan kemenjadian murid dalam pelbagai bidang yang mereka hadapi iaitu akademik, kokurikulum, sahsiah dan kepimpinan. Kerjasama ibu bapa juga sangat penting dalam memastikan kejayaan pendidikan di negeri ini. "PIBG hendaklah sentiasa bekerjasama dengan pihak sekolah bagi memastikan kelancaran pendidikan di sekolah berlangsung dengan baik. “Saya juga mahu murid memiliki nilai-nilai yang murni seperti hormat menghormati, kasih sayang dan berhati mulia, murid yang dididik secara holistik dalam pengurusan sekolah yang cekap berupaya mencapai potensi diri yang sepenuhnya dalam penguasaan pengetahuan dan kemahiran, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggunggjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri,” katanya. Beliau berkata demikian kepada wartawan Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas lawatan kerja ke sekolah-sekolah dalam DUN Ajil, di Sekolah Kebangsaan Felda Jerangau Barat, hari ini.  Tambah beliau lagi, kemenjadian murid itu adalah 'outcome' atau rupa bentuk insan yang mahu dihasilkan daripada usaha dalam mendidik sama ada ia benar-benar terjadi dengan sempurna, kurang sempurna atau tidak menjadi langsung. Katanya, rupa bentuk insan yang diperlukan itu telah digaris secara sempurna dalam Falsafah Pendidikan  "Pendidikan di Malaysia adalah satu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani. "Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab, berketrampilan dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara," ujarnya.  
05 Aug 20
2112
Malaysia Sedia Beli Vaksin Dari China, Russia Atau UK
Malaysia Sedia Beli Vaksin Dari China, Russia Atau UK
Oleh: Ahmad Luqman KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Malaysia bersedia membeli vaksin COVID-19 dari mana-mana negara yang berjaya membangunkan rawatan itu terlebih dahulu termasuk dari China, Russia dan United Kingdom. Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Ahmad Amzad Hashim berkata, pembelian vaksin akan dilakukan secara pukal dengan proses pembotolannya dibuat di dalam negara sebaik sahaja Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menentukan vaksin yang mana akan diguna pakai. "Setakat ini, kementerian melalui perbincangan dengan pelbagai negara, antara lain terbabit dalam Gabungan Inovasi Persediaan Wabak (CEPI) yang mana membolehkan kementerian berhubung rapat dengan kajian dijalankan pelbagai pihak dalam mendapatkan vaksin yang sedang dibangunkan. "Ia membolehkan sekiranya ada mana-mana negara yang mencapai tahap fasa tiga iaitu kajian klinikal selesai dan mendapat kelulusan, serta KKM menentukan yang mana vaksin diterima untuk dipakai di Malaysia, kita akan beli secara pukal dengan proses pembotolan dilakukan di dalam negara," katanya. Beliau berkata demikian dalam sesi soal jawab di Dewan Rakyat semalam berhubung soalan tambahan dikemukakan Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin (PH-Hang Tuah Jaya) sama ada pihak kementerian ada membuat kerjasama strategik dengan negara di rantau ASEAN untuk mendapatkan vaksin mampu milik di negara ini. Ahmad Amzad berkata, kementerian melalui Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menubuhkan National Technology and Innovation Sandbox (NTIS) bagi membantu negara ketika berdepan cabaran COVID-19. Katanya, melalui NTIS ia berperanan sebagai satu platform yang membolehkan syarikat permulaan (start-up), Perusahaan Kecil Sederhana (PKS) dan usahawan berteknologi tinggi menguji produk dan perkhidmatan mereka dalam persekitaran yang sebenar. "Selain itu, agensi di bawah kementerian turut melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk memasang lapan unit 'COVID-19 screening booths' menggunakan teknologi 'nano-coating' nyah-kuman di beberapa hospital dan pusat kesihatan daerah (PPD). "Kita juga menyelaras makmal diagnostik saringan dan pengesahan COVID-19 untuk meningkatkan kapasiti makmal yang terbabit dalam pengesanan virus ini. Sebanyak 10 makmal diagnostik bergerak aktif menjalankan ujian saringan COVID-19 sejak 30 Mac lalu," katanya. Beliau berkata, kerjasama strategik dengan Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) bagi membantu KKM melalui Pasukan Khas Saringan COVID-19 yang terdiri daripada saintis pakar dalam bidang virologi, mikrobiologi, biologi molekul dan penyakit berjangkit turut dilaksanakan untuk menjalankan saringan COVID-19. "Juga kerjasama dengan rakan strategik dalam pembangunan beberapa penyelesaian digital untuk kerajaan, contohnya Pusat Maklumat COVID-19 Malaysia (MyC19) bagi penjejakan kontak dan analisis sentimen melalui sistem analisis teks berasaskan kecerdasan buatan (AI)," jelasnya. SUMBER: BERITA HARIAN
05 Aug 20
590
Hanafiah Agih 2,500 Daging Korban Untuk Penduduk Cukai
Hanafiah Agih 2,500 Daging Korban Untuk Penduduk Cukai
KEMAMAN, 5 Ogos - Sebanyak 2,500 bungkusan daging korban telah diagihkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Cukai, Hanafiah Mat di kawasannya sempena program Qurban Perdana DUN Cukai. Setiap bungkusan daging seberat 850 gram dengan empat ekor lembu sado dan dua ekor kerbau dikorbankan diagihkan kepada mereka yang memerlukan melalui kesemua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) DUN Cukai. Menurut Hanafiah, besar harapan dan cita-cita Kerajaan Negeri Terengganu agar golongan fakir miskin, ibu tunggal dan orang kurang upaya (OKU) dapat merasai kenikmatan daging korban sempena hadirnya Aidiladha. "Terima kasih diucapkan kepada semua pihak yang telah sama-sama menjayakan program pada hari ini. Semoga ibadah korban yang disunatkan ke atas diri kita ini diterima oleh Allah SWT," katanya lagi. Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri berkata demikian pada program tersebut di kawasan sembelihan lembu di Teluk Kalong, baru-baru ini.  
04 Aug 20
760