Artikel "Komuniti" Terkini
Pejabat Daerah Kemaman Anjur Kembara Merdeka
KEMAMAN, 26 Ogos - Pejabat Daerah Kemaman telah menganjurkan program Kembara Merdeka Kemaman sempena penyerahan jalur gemilang kepada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) bagi seluruh daerahnya, semalam.
Pegawai Daerah Kemaman, Tuan Haji Mohamad A. Rahman @ Othman berkata, Penyerahan jalur gemilang pada kali ini melibatkan 125 MPKK.
"Tujuan Kembara Merdeka Kemaman diadakan untuk menyemarakkan sambutan kibaran jalur gemilang pada tahun ini," ujarnya.
Katanya lagi, ia selari dengan sambutan kemerdekaan pada tahun ini yang bertemakan "Malaysia Prihatin".
"Malaysia Prihatin membawa pengertian bahawa seluruh rakyat Malaysia berganding bahu memerangi pandemik Covid-19, tanpa mengira ideologi politik dan meliputi segenap lapisan masyarakat samada pihak kerajaan, pembangkang, penjawat awam, sektor swasta, sukarelawan ataupun individu.
Malaysia Prihatin juga membawa pengertian keprihatinan kerajaan dalam mengutamakan kebajikan rakyat Malaysia melalui inisiatif Pakej Ransangan Ekonomi Prihatin Rakyat yang merangkumi aspek ekonomi, kebajikan serta kelansungan hidup rakyat," katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan kepada hadirin di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai.
Program tersebut telah disertai oleh 67 orang peserta konvoi motorsikal 250cc ke bawah melibatkan kakitangan Pejabat Daerah Kemaman, Ibu Pejabat Polis Daerah Kemaman, Pejabat Penerangan Daerah Kemaman dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).
Dalam program tersebut, rombongan kembara motosikal ini menuju ke empat destinasi iaitu di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) bagi daerah Kemaman. Ianya bermula dari Pejabat Daerah Kemaman menuju ke Pusat Khidmat Masyarakat DUN Air Putih. Seterusnya meneruskan perjalanan ke Dewan Orang Ramai, Kampung Baru Kertih Zon 1. Manakala meneruskan perjalanan ke Pejabat Pegawai Penyelaras DUN Kijal dan menamatkan kembara ke destinasi terakhir di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Cukai.
Turut serta dalam kembara tersebut ialah Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita & Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat.
26 Aug 20
1273
Zahir Rasa Cinta Kepada Negara
KUALA TERENGGANU, 26 Ogos - Rakyat berbilang kaum di negeri ini perlu menjadikan Hari Kebangsaan sebagai medan untuk menzahirkan rasa cinta kepada negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar, Ustaz Ahmad Shah Muhamed berkata, hari tersebut merupakan manifestasi kepada sebuah semangat patriotik yang wajib diperingati pada setiap tahun.
"Kita perlu berbangga menjadi rakyat negara ini. Sambutan bulan kebangsaan menuntut rakyat berbilang kaum di negara ini untuk menanam semangat patriotik negara sebagai lambang spiritual dalam memacu perjalanan negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Merdeka @ Komuniti Dan Kempen Kibar Jalur Gemilang anjuran Pejabat Penerangan Kuala Terengganu di Dewan Serbaguna Flat PPR Padang Hiliran pagi senalam.
Majlis itu disempurnakan dengan agihan Jalur Gemilang kepada peserta yang terdiri daripada jawatankuasa Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) seluruh DUN Bandar.
Menurut Ahmad Shah, aktiviti kibarkan Jalur Gemilang adalah syiar memperingati perjuang kemerdekaan negara.
"Sebagai rakyat yang cintakan negara, ia perlu dibuktikan dengan nilai kekeluargaan dalam usaha pertahankan negara dari anasir perosak.
"Tema Malaysia Prihatin perlu dihayati setiap masa, bukan sahaja pada bulan kemerdekaan.
"Gabungan tema Malaysia Prihatin membawa harapan dalam meningkatkan semangat patriotisma yang tinggi buat semua warga Malaysia agar dijadi contoh tauladan," tambahnya
Dalam masa yang sama, beliau turut berpesan supaya setiap masyarakat terus berwaspada dengan ancaman pandemik COVID-19.
25 Aug 20
699
Dekatkan Anak Muda Dengan Masjid
DUNGUN, 27 Ogos- Program Kembara Merdeka Anak Muda Cinta Masjid yang dianjurkan di Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi baru-baru ini bertujuan mendekatkan anak muda dengan institusi berkenaan.
Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata melalui program tersebut, seramai 100 penyertaan daripada belia telah diraikan minat mereka terhadap motor dengan menjelajah setiap masjid terpilih.
"Diantara masjid dipilih berkenaan ialah masjid Al-Muktafi Billah Shah (AMBS), Masjid Jongok Batu, Masjid Kuala Jengai, seterusnya ke Masjid Kampung Tepus, Masjid Jerangau dan kembali semula ke Dataran Piramid. Dimana pada setiap masjid yang mereka singgah itu dijadikan 'check point' untuk mereka menjawab soalan pertandingan kuiz dimana mereka perlu melengkapkan kelima-lima 'check point' tersebut.
"Selain itu para peserta turut didedahkan dengan tatacara Solat Sunat Dhuha serta fadilatnya, dan juga tazkirah ringkas waktu zohor, menaikkan Jalur Gemilang di Jambatan Kuala Jengai serta turut diadakan aktiviti kebajikan membersihkan Masjid Kampung Tepus dan melakukan ziarah kebajikan," ujarnya.
Beliau berkata demikian ditemui pihak media, di Dataran Piramid Bukit Besi, selepas program tersebut.
Turut hadir, Penyelia Institut Modal Insan Terengganu Sejahtera (i-MiTS). Khaziman Khalik, Pegawai Khas DUN Bukit Besi, Waliyuddin Johari serta Ketua Pemuda PAS DUN Bukit Besi, Mohd Ridhuan Yusoff.
Program berkenaan katanya dianjurkan sempena sambutan Maal Hijrah dan juga hampir pada sambutan kemerdekaan negara.
"Dengan objektif menyedarkan anak muda akan bertapa pentingnya peristiwa hijrah dan juga kemerdekaan negara, agar mereka (anak muda) mula mengorak langkah baru didalam kehidupan mereka, berhijrah dari perkara negatif kepada positif dengan membina sahsiah diri dan pentingnya semangat mencintai negara," tegas beliau.
Tambah beliau, dengan sambutan baik yang ditunjukkan oleh anak muda DUN Bukit Besi pihaknya berhasrat untuk meneruskan program berkenaan bagi menjadi tarikan agar menerima lebih ramai lagi penyertaan pada masa akan datang.
"Bermakna tidak akan terhenti disini sahaja, malah kita akan melakukan penambahbaikan pada masa akan datang. Alhamdulillah semua peserta dilihat sangat gembira dengan aktiviti yang telah kita anjurkan ini,Terima kasih kepada semua yang terlibat menjayakan program ini terutama kepada Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia,Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), Ahli Jawatankuasa (AJK) setiap masjid dan seluruh pihak yanng terlibat " kata beliau.
Diantara pengisian program di samping hadiah cabutan bertuah, telah turut diadakan gimik membelah kek bagi meraikan anak muda yang mempunyai taikh lahir pada bulan Ogos.
25 Aug 20
737
Suri Rumah Perlu Didik Diri Belanja Berhemah
DUNGUN, 25 Ogos - Para suri rumah disaran agar mendidik diri berbelanja dengan berhemah dalam mengharungi suasana ekonomi negara yang kian mencabar.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun berkata, para ibu tidak seharusnya terpedaya dengan tawaran-tawaran hebat atau jualan murah di saat ekonomi terjejas akibat COVID-19.
Alias Harun sedang bertanya sesuatu kepada salah seorang penerima
"Kalau ada tawaran-tawaran hebat, iklan periuk atau apa sahaja, kita rasa berkenan hendak beli, tetapi kita dah ada periuk atau apa sahaja, jadi kita ajar diri untuk tidak melayan kehendak kita," ujarnya.
Beliau bercakap demikian ketika berucap di Majlis Caruman I-Suri di Dewan Al-Husna Darul Ansor di Kampung Alor Mak Bah, dekat sini hari ini.
Tahun ini katanya, seramai 600 orang suri rumah di DUN Rantau Abang telah terpilih sebagai penerima caruman menerusi Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang diperkenalkan oleh Kementerian Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat (KPKWM) sejak 2018.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada mereka yang terpilih dan menzahirkan rasa terimakasih kepada KPKWM yang telah mengadakan program tersebut.
"I-Suri ini adalah satu cara kerajaan menyantuni golongan suri rumah yang ada di negara kita," ujarnya lagi.
24 Aug 20
349
Penduduk Sangka Air Sungai Pueh Tercemar Angkara Kilang Sawit
HULU TERENGGANU, 23 Ogos - Dakwaan penduduk di sekitar Sungai Pueh yang menyangka sungai tersebut tercemar akibat operasi Kilang Sawit Vila Sutera, Bukit Kapah mendapat perhatian Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Dr. Alias Razak.
Dr Alias Razak.
Beliau turun sendiri ke kilang itu bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Terengganu dan penguatkuasa bagi meninjau keadaan sebenar yang berlaku. Dakwaan itu turut mengaitkan pencemaran sungai mengakibatkan kematian ikan sangkar yang diternak oleh penduduk di sini.
Hasil tinjauan pihaknya mendapati tiada pencemaran air sungai yang berlaku seperti yang disangka. Daripada pemerhatian yang telah dilakukan serta dibantu dengan penerangan oleh pihak JAS dan pihak kilang, didapati air Sungai Pueh masih selamat untuk didiami hidupan.
"Hari ini kita melawat kilang sawit di Bukit Kapah kerana beberapa kali kita terima aduan daripada Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di sini mengatakan air Sungai Pueh tercemar kerana operasi kilang dan disyaki air itu menyebabkan ikan dalam sangkar yang diternak mati.
"Bagaimanapun itu hanya sangkaan orang kampung, JAS yang mengambil perhatian isu ini telah beberapa kali turun dan mengambil sampel air sungai ini. Setelah mendapat taklimat, siasatan telah dibuat dan tinjauan ke lokasi mendapati air Sungai Pueh memenuhi kriteria JAS.
"Kita juga telah melakukan penilaian oksigen dan sebagainya, hasil pemeriksaan tersebut mendapati bahawa pelepasan efluen terolah ke dalam alur air (Sungai Pueh) adalah mematuhi had piawai yang telah ditetapkan oleh pihak JAS sekalipun warna air yang dilepaskan daripada takat pelepasan akhir sistem pengolahan efluen berwarna agak gelap.
"Dapat disimpulkan bahawa dengan cuaca panas dan kering pada masa sekarang menyebabkan air sungai menjadi cetek dan warna air sungai kesan dari pelepasan efluen terolah kilang sawit berkenaan adalah tampak ketara gelapnya.
"Justeru bagi pihak kerajaan negeri, saya ucapkan terima kasih kepada pihak pengadu dan pihak JAS Terengganu atas tindakan pantas yang diambil," jelasnya kepada pemberita selepas tinjauannya ke lokasi di sini baru-baru ini.
Untuk rekod, sebanyak tiga kali pemeriksaan telah dijalankan oleh pihak JAS ke atas premis tersebut pada tahun ini dan dua daripadanya merupakan pemeriksaan secara mengejut.
Turut serta dalam lawatan itu, Timbalan Pengerusinya, Ahmad Shah Muhamed dan Pengarah JAS Negeri Terengganu, Ramli Abd Rahman.
23 Aug 20
12923
Sensitif Dengan Tipu Daya Musuh Islam
DUNGUN, 23 Ogos- Umat Islam diingatkan agar sensitif tipu daya musuh yang ingin mengganggu-gugat agama rasmi negara.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang, Alias Harun menegur sikap setengah orang-orang Islam yang bersikap acuh tak acuh apabila Islam lantang dihina.
"Ini kita kena peka, kena ambil tahu apa kerja buat orang bukan Islam kepada agama kita, ada yang bersikap, selagi dia boleh makan, dia boleh tidur, dia lupa akan tanggungjawabnya kepada Allah," katanya.
Alias berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Penyerahan Al-Quran Sempena Awal Muharam 1442H di Dewan Al-Husna, Darul Ansor, Kampung Alor Mak Bah di sini.
Majlis itu turut dihadiri Pegawai Penyelidik Pejabat Menteri Besar Terengganu, Azman Shafawi Abdul Rani yang sebelum itu telah menyampaikan ceramah ringkas di hadapan hampir 500 orang yang terdiri daripada guru-guru dan pelajar-pelajar al-Quran.
Beliau juga turut menyeru kanak-kanak yang memenuhi dewan terbuka berkenaan supaya tidak culas untuk hadir ke kelas-kelas al-Quran.
"Jangan ada niat atau rasa hendak ponteng mengaji dan bila berada di kelas terus mengaji, jangan bila giliran tok guru hendak ajar, barulah ngaji, jangan gitu, biar kelas tersebut riuh rendah dengan bacaan Al- Quran," katanya.
22 Aug 20
237
Ubah Persepsi Masyarakat Tentang Penagihan Dadah
HULU TERENGGANU, 24 Ogos – Stigma negatif masyarakat terhadap golongan penagih dadah perlu diubah, terutama terhadap bekas penagih yang sedang bergelut untuk kembali mendapat tempat dalam kalangan masyarakat.
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah(JKPD) Hulu Terengganu yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata sokongan masyarakat sekeliling sangat diperlukan oleh golongan ini untuk sentiasa kekal positif dan bersemangat menjauhi gejala penyalahgunaan dadah.
Katanya, gejala penyalahgunaan dadah ini sememangnya satu isu besar yang perlu ditangani segera. Walaupun terdapat agensi ditubuhkan untuk membanteras aktiviti tidak sihat ini, tanggungjawab menangani masalah ini sebenarnya harus dipikul setiap warga Malaysia.
"Kes penyalahgunaan dadah boleh berlaku dan bermula di mana-mana sahaja. Jadi, komuniti setempat boleh memainkan peranan melaporkan sebarang aktiviti penyalahgunaan dadah yang berlaku di kawasan mereka.
"Usaha membanteras gejala penyalahgunaan dadah memerlukan bantuan setiap individu. Jika terdapat sebarang pertanyaan berkaitan tindakan yang sepatutnya dilakukan bagi sesuatu keadaan, ia boleh disalurkan kepada pihak berwajib seperti polis ataupun agensi bertanggungjawab untuk membanteras penyalahgunaan dadah iaitu Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK).
"Semoga segala usaha yang kita dilakukan mampu mengatasi gejala penyalahgunaan dadah seterusnya menjadikan Malaysia negara yang bebas dadah demi kemakmuran bersama," katanya dalam program Outreach bersama JKPD, Ajil baru-baru ini..
Terdahulu, seramai lapan klien CCIC disantuni melalui program komuniti untuk bertanya khabar serta menghulurkan sumbangan kepada klien-klien di bawah seliaan AADK.
" Kita mahu mereka ini merasakan masih ada diluar sana yang masih mengambil berat terhadap mereka.orang ramai terutama sekali ahli keluarga dan kawan-kawan bekas penagih untuk tidak mengasingkan, memulaukan mereka kerana tanpa bantuan ahli keluarga, kawan-kawan dan masyarakat, mereka tidak akan berjaya jadi “baik” dan pulih sepenuhnya.
“Jiwa mereka sangat sensitif, yang perlukan perhatian dan pemedulian, penagih tidak selamanya jahat atau kotor, maka jangan dilabel seratus peratus jahat, dan beri peluang untuk mereka kembali ke pangkal jalan dan sebab itu golongan penagih dadah di negara ini tidak sepatutnya dihukum sebaliknya dibantu untuk keluar daripada masalah ketagihan yang membelenggu diri mereka.
Tambah beliau lagi, kerajaan bukan sahaja bertanggungjawab untuk menghentikan pengedaran dadah tetapi juga memberi lebih tumpuan kepada kempen pencegahan dadah yang berkesan dan menyediakan rawatan ketagihan dadah yang lebih mudah untuk diakses.
22 Aug 20
1053
Semarakkan Jiwa Merdeka Anak Muda
HULU TERENGGANU, 22 Ogos - Golongan muda hari ini perlu menghargai kemerdekaan yang dikecapi berkat keberanian dan kesungguhan pejuang-pejuang terdahulu membebaskan negara ini daripada penjajah.
Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu DSP Mohd Adli Mat Daud berkata penglibatan anak muda yang peduli dalam isu masyarakat mencerminkan keadaan semasa sesebuah negara itu.
"Masyarakat khususnya anak muda perlu menanamkan semangat cintakan negara dan mempertahankan keamanan negara yang dilihatnya semakin berkurangan dalam kalangan masyarakat.
"Marilah kita bersama-sama memeriahkan sambutan dengan norma baharu walau di mana sahaja kita berada tanpa mengira umur, bangsa dan agama," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika berucap di program Santai Mat Motor Merdeka di Dataran Kuala Berang, semalam.
Sembang Santai Mat Motor turut
mendapat sentuhan istimewa daripada Ketua Bahagian Siasatan Dan Penguatkuasaan Trafik IPD Hulu Terengganu, Inspektor Zainon Abidin Ismail bersama selebriti dan Pendakwah Bebas, Ustaz Ahmad Muzani Abdul Rahman dengan moderator Ustaz Kamaruzaman Abdullah yang juga Pengarah i-MiTS.
Antara pengisian bertujuan memberi penerangan tentang kesalahan-kesalahan yang sering dilakukan oleh penungang motosikal disamping memberi nasihat agar sentiasa mematuhi peraturan Jalan Raya.
22 Aug 20
510
Hijrah Bukan Pelarian
DUNGUN, 22 Ogos - Hijrah Rasulullah SAW adalah perintah Allah dan bukanlah satu pelarian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, hijrah Nabi Muhammad SAW adalah bagi menjamin kelansungan dan kemenangan Islam.
“Saban tahun kita pasti akan menyambut awal Muharram dan yang paling penting kita kena mengambil pengajaran dari kisah hijrah itu.
"Jika diamati, dapat disimpulkan dari kisah hijrah nabi adalah satu gabungan gerak langkah yang akan memastikan Islam akan terus mendominasi dan mentransformasikan kekuatan umat Islam kepada lebih istiqamah, sentiasa bertawakal dan berkemampuan tinggi,” ujarnya kepada pemberita selepas menyempurnakan pelepasan konvoi motosikal anjuran Masjid Tengku Ampuan Intan Zaharah Dungun disini.
Tambah Wan Hapandi lagi, hijrah juga membuktikan perubahan dari yang lama kepada yang yang lebih baharu.
“Walaupun COVID-19 sedang melanda kita, saya menaruh harapan yang tinggi kepada seluruh umat islam untuk terus istiqamah dengan program keagamaan sama ada di masjid, surau, pusat pusat pengajian dan seumpamanya,” ujar beliau.
“Bersempena dengan tema sambutan tahun ini Ummah Rabbani, Negara Harmoni, marilah kita bersyukur atas nikmat iman dan Islam yang dikecapi sehingga hari ini," ujarnya.
22 Aug 20
365
Jadikan Ziarah Orang Sakit Sebagai Amalan
DUNGUN, 22 Ogos -Amalan menziarahi orang sakit perlu dijadikan amalan oleh masyarakat Islam.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sura, Wan Hapandi Wan Nik berkata, bersegeralah menziarahi orang sakit kerana padanya terdapat rahmat.
"Amalan menziarahi orang sakit adalah hak yang mesti ditunaikan buat orang yang sihat.
“Masyarakat Islam tidak boleh pentingkan dirinya sahaja tanpa memikirkan sedikit pun nasib jiran yang dalam kesusahan atau ditimpa musibah,” ujarnya kepada pemberita selepas melakukan rutin ziarah, baru-baru ini.
Tambahnya, keadaan itu terjadi kerana terlalu sibuk dengan urusan duniawi sehingga tidak punyai masa untuk melawat.
“Kehadiran kita itu pastinya akan meninggalkan kesan kepada jiwanya dan sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan beban penderitaan yang dialami,” katanya.
Jelasnya lagi, amalan menziarahi orang sakit sangat penting dan cara terbaik untuk menziarahi orang sakit ialah segera datang melihat ketika mendengar berita sakitnya.
22 Aug 20
1876