Artikel "Komuniti" Terkini
200 Sukarelawan Syariah Kuala Terengganu Bantu Cegah Maksiat
KUALA TERENGGANU, 7 September - Kerajaan negeri mengalu-alukan penglibatan seramai kira-kira 200 orang sukarelawan syariah bagi daerah Kuala Terengganu yang akan bertugas membantu Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) membanteras maksiat di seluruh negeri.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO (badan bukan kerajaan) negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, pertambahan tersebut sangat membantu tugas mencegah kemungkaran yang menjadi tanggungjawab semua umat Islam.
"Sebelum ini bahagian penguatkuasa di bawah Pejabat Hal Ehwal Agama Kuala Tengganu hanya mempunyai seramai tujuh orang anggota penguatkuasa sahaja. Jadi sudah tentu tenaga tersebut tidak cukup untuk menjaga daerah Kuala Terengganu yang penduduknya berjumlah lebih 150,000 orang.
"Kerana itu alhamdulillah, dengan inisiatif Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri yang membuka peluang kepada mana-mana rakyat Terengganu atau NGO untuk turut serta dalam sukarelawan ini, rakyat kita lebih prihatin terhadap orang sekeliling.
"Untuk kawasan Kuala Terengganu, saya difahamkan kita mempunyai seramai 200 orang sukarelawan syariah yang akan bertindak membantu JHEAT bagi membanteras maksiat yang mungkin akan berlaku. Terima kasih kepada semua yang mendaftar sebagai sukarelawan syariah.
"Insya-Allah semoga usaha mulia ini dapat menjaga keharmonian dan juga keberkatan rakyat Terengganu khususnya di daerah ini," katanya kepada pemberita pada sidang media sempena Seminar Pemantapan Sukarelawan Syariah Daerah Kuala Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir dalam program tersebut, Pengarah Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI), Mohd Soud Said, Ketua Pegawai Penguatkuasa Syariah Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT), Mohd Adnan Abdullah dan Pegawai Syariah Daerah Kuala Terengganu, Syukri Faiz Jusoh.
Dalam perkembangan sama, mengulas mengenai ruang lingkup tugas sukarelawan syariah, katanya, dalam rondaan yang bakal dilakukan, mereka akan mendapatkan nasihat daripada penguatkuasa JHEAT tentang ilmu dan kaedah mendekati sasaran supaya tidak memberikan mudarat.
"Kita akan membuat rondaan ke tempat-tempat yang biasa menjadi tumpuan muda-mudi atau sesiapa sahaja yang berkemungkinan melakukan gejala negatif. Pendekatan sukarelawan syariah yang kita gunakan adalah memberikan nasihat dan teguran.
"Sekiranya perbuatan tersebut memerlukan kepada tangkapan atau serbuan, kita akan terlebih dahulu mendapatkan bantuan daripada penguatkuasa yang bertauliah," jelasnya.
07 Sep 20
2062
'Saya Bagaikan Mati Hidup Semula'
Oleh: Azhar Yusof
HULU TERENGGANU, 5 September- “ Bagai mati hidup semula…tiada kata yang dapat digambarkan perasaan ketika dibebaskan dari penjara. Saya sedar, kasih sayang Allah terlalu agung untuk saya kenang, betapa Dia masih memberi peluang untuk saya,” demikian luahan Ahmad ( bukan nama sebenar).
Ahmad adalah di antara 13 banduan yang mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdulllah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, yang mengurniakan pembebasan awal kepada mereka sempena sambutan Hari Kebangsaan ke-63 pada tahun ini.
Mengimbas kembali detik pembebasannya, Ahmad berkata, pada 16 Ogos lalu, dia dipanggil oleh pegawai penjara untuk menjalani pemeriksaan kesihatan dan diminta membaca sepucuk surat.
“ Saya membaca satu persatu baris ayat di surat itu, sehinggalah pada baris terakhir yang menyatakan rayuannya diperkenankan. Apabila tiba pada ayat ‘diperkenankan’ bagi rayuan kali kelima, saya gagal teruskan bacaan dan pegawai meminta saya melakukan sujud syukur.
“Sampai sekarang, saya masih tak percaya, ibarat mati hidup semula. Tetapi saya bersyukur kepada Allah di atas nikmat yang amat besar ini dan saya berterima kasih yang tidak terhingga kepada Yang di-Pertuan Agong kerana memberi saya peluang keemasan ini,” ,” katanya, sambil menambah saat itu beliau bagaikan tiada keupayaan lagi untuk berdiri kerana terlalu terkejut.
Ahmad kelahiran Hulu Terengganu menjalani hukuman penjara sepanjang hayat di bawah Seksyen 121 Kanun Keseksaan atas dakwaan melancarkan perang terhadap Yang di-Pertuan Agong ketika menyertai pergerakan Al-Ma'unah pada 2000.
Ahmad telah dimasukkan ke Penjara Sungai Buloh seketika pada tahun 2000 sebelum ke Penjara Kajang selama lapan tahun, kemudiannya dipindahkan ke Penjara Marang selama 12 tahun, sejak 2008, dan akhirnya ada 17 Ogos lepas, beliau dibebaskan.
Menurut Ahmad, dia merasai pelbagai pengalaman dan cabaran sepanjang dipenjarakan dari Penjara Sungai Buloh, Penjara Kajang, sehingga ke Penjara Marang.
“Banyak susah dan pahit yang saya rasai semasa dipenjara selama 20 tahun ini. Ia benar-benar mengajar saya tentang erti kehidupan. Tak mungkin saya mahu kembali lagi setelah apa yang telah dilalui,”ujarnya lagi.
Selain itu, beliau juga akan tetap meneruskan rutin membaca al-Quran seperti di penjara kerana itu amalan yang memberi ketenangan kepadanya.
"Rutin harian saya membaca al-Quran pada setiap hari, paling kurang dua kali sebulan mesti khatam. Saya akan cuba bahagikan masa untuk meneruskan amalan harian saya dipenjara itu seperti biasa,selain puasa sunat isnin dan khamis.
“Cukuplah apa yang sudah berlaku. Saya sekarang mahu mencari ketenangan bersama keluarga dan masyarakat. Saya bersyukur kerana masih diterima dan disayangi keluarga,” katanya yang juga mahir membuat perabot ketika di penjara.
Ketika ditanya apakah yang akan dilakukan dalam masa terdekat, Ahmad berkata, beliau berhasrat menceburi bidang penternakan.
"Saya berminat untuk menternak lembu dan ingin memulakannya dengan menternak dua ekor lembu terlebih dahulu," katanya ketika ditemui selepas diziarahi Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ajil, Maliaman Kassim hari ini.
Sementara itu, Maliaman berkata, pengalaman Ahmad ketika menjalani tahanan di penjara boleh dijadikan pengajaran kepada masyarakat terutama golongan muda.
"Saya merancang mengumpul remaja dan pemuda yang pernah terbabit dengan masalah sosial termasuk jenayah dan penyalahgunaan dadah untuk mendengar perkongsian pengalaman yang pernah dilalui Ahmad.
"Semoga perkongsian daripada Ahmad itu akan menjadi pengajaran dan peringatan kepada golongan muda itu supaya sentiasa patuh kepada undang-undang," katanya.
Menurutnya, pihaknya juga akan mengenal pasti bentuk bantuan yang boleh diberikan untuk membantu Ahmad dalam memulakan kehidupan yang baru.
“Insya Allah kita akan cuba bantu dengan memberikan lembu untuk Ahmad yang berhasrat untuk membabitkan diri dalam bidang penternakan,”katanya.
07 Sep 20
2445
100 Fakir Miskin Pulau Redang Terima Sumbangan
SETIU, 7 September - Lebih 100 orang fakir miskin yang tinggal di Pulau Redang menerima sumbangan daripada kerajaan negeri dalam satu program yang berlangsung di Balairaya Kampung Baru, baru-baru ini.
Pengerusi Jawatankuasa. Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat memanjat kesyukuran atas kejayaan penganjuran program tersebut dan berterima kasih kepada semua pihak yang telah terlibat dalam menjayakannya.
Katanya, di bawah portfolio beliau, pihaknya akan memastikan kebajikan penduduk di Pulau Redang diberikan perhatian sewajarnya.
"Alhamdulillah, hari ini saya dapat bersama-sama penduduk di Pulau Redang untuk menyampaikan sumbangan daripada kerajaan negeri Terengganu.
"Insya-Allah, kita akan membantu mereka bukan sahaja dalam menghadapi kesusahan atau bala bencana, bahkan kami berhasrat melihat lebih daripada itu dalam memastikan anak-anak mereka juga menerima pendidikan yang baik dan dapat melanjutkan pelajaran di dalam atau di luar negara," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan program kebajikan yang bertemakan 'Terengganu Prihatin, Redang Sejahtera' di Pulau terbabit baru-baru ini.
Turut hadir, Penolong Setiausaha Kerajaan, Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Mohd Shahrir Ghani, Pegawai Daerah Kuala Nerus, Ariffin Abdullah dan Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Rakit, Ustaz Mohd Shafizi Ismail.
Dalam program tersebut, kerajaan negeri telah menyerahkan sumbangan berbentuk wang tunai dan sekampit beras kepada lebih 100 orang fakir miskin serta mengadakan jamuan rakyat kepada seluruh penduduk di sana.
Taklimat dan sesi dialog antara pihak Tabung Darul Iman (TDI), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut dijalankan bagi memastikan rakyat mendapat info yang terkini.
Manakala, melalui kerjasama dengan Akademi Didik Ulamak Amilin Terengganu (DUAT) mengadakan kuliah maghrib yang berlangsung di Masjid Kampung Baru.
07 Sep 20
333
Hadiah Untuk Nelayan, 16 Tukun Akan Dilabuhkan Hujung Bulan Ini
KUALA TERENGGANU , 7 September – Kerajaan Terengganu akan melabuhkan 16 tukun lagi pada hujung bulan ini bagi membantu memperkayakan sumber hasil laut di negeri terbabit.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani Dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata, tukun konkrit seberat kira-kira 16 tan bagi setiap unit itu sudah siap dibina di Pulau Kambing di sini.
"Insya-Allah program labuh tukun akan dilaksanakan pada akhir September ini di Perairan Benting Lintang, Besut dan Perairan Kuala Ibai, Kuala Terengganu.
"Untuk tahun ini, sebanyak RM500 ribu diperuntukan bagi program tukun melibatkan RM300 ribu peruntukan kerajaan negeri manakala bakinya daripada Kerajaan Persekutuan.
"Kerajaan Negeri terus komited menyalurkan peruntukan bagi memperkayakan lagi sumber hasil laut kita. Di samping berfungsi sebagai rumah ikan, tukun seberat 16 tan ini juga akan menjadi penampan bagi kegiatan pukat tunda,’’ ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas melakukan Lawatan ke Tapak Bina Tukun di Pulau Kambing dan Program Pemantauan Unjam di Kuala Ibai, di sini, hari ini.
Sementara itu, beliau turut turun melihat dan memantau keberkesanan unjam yang telah dilabukan di Kuala Ibai bersama Jabatan Perikanan sebelum ini.
"Setelah dua minggu berlalu tempoh masa unjam dilabuhkan di Perairan Chendering, kita buat pemantauan dan ujian untuk mengenalpasti kewujudan spesis ikan yang mula menghuni unjam tersebut.
"Pemantauan ini penting bagi melihat sejauh mana keberkesanan program labuh unjam dalam meningkatkan hasil tangkapan nelayan," katanya lagi.
07 Sep 20
3340
Penantian 30 Tahun Penduduk Kampung Padang Ping Berakhir
DUNGUN, 6 September- Penantian kira-kira 30 tahun penduduk Kampung Padang Ping disini untuk mendapatkan bekalan air bersih secara terus ke rumah berakhir dengan pemasangan paip utama yang baru melalui Projek Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) berkenaan, Nik Othman Nik Muhamud berkata, projek berkenaan memberi manfaat kepada 20 buah keluarga yang selama ini bergantung kepada air telaga sepenuhnya, justeru mengharapkan bekalan air sempurna.
Katanya, walaupun sebelum ini terdapat paip utama namun kerap berlaku kebocoran dan terputus bekalan air.
"Kos bagi sambungan baru amat tinggi dan dikhuatiri menjadi beban kepada penduduk yang baru membuat permohonan. Jadi saya mewakili penduduk kampung mengucapkan terima kasih kepada pihak Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Bukit Besi (DUN) Ghazali Sulaiman dan Ahli Parlimen Dungun,Wan Hassan Mohd Ramli yang selama ini memberi kecaknaan serta berusaha menyelesaikan masalah ini.
"Selama ini kediaman penduduk yang berada di jalan utama tiada menghadapi masalah, tetapi terkesan kepada mereka yang tinggal jauh sedikit dari jalan besar. Alhamdulillah sangat bersyukur apabila masalah ini telah diatasi, dan sekarang ini projek pemasangan paip ini sedang dijalankan lebih 50 peratus, seluruh penduduk menyambut gembira," ujarnya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Ghazali kelmarin.
Dalam pada itu Ghazali mengharapkan agar Kampung Padang Ping akan membangun dan bekalan air yang diterima akan membantu penduduk memenuhi keperluan harian.
"Juga diharapkan anak-anak muda yang berhajat untuk mendirikan rumah di kampung ini dapat diteruskan, selama ini alasan mereka disebabkan ketiadaan bekalan air,semoga kawasan ini selepas ini akan pesat membangun dan akan membantu penduduk bagi melakukan pelbagai kegiatan ekonomi,"ujarnya.
Sementara itu, bagi penduduk kampung, kemudahan ini adalah sesuatu yang amat dinantikan mereka.
Menurut seorang penduduk, Rafidah Abdul Wahab, perkara berkenaan sangat mengembirakan dirinya setelah sekian lama tinggal di kampung terbabit.
"Selama ini saya terpaksa bergantung dengan air telaga. Kalau hujan adalah air kalau tidak telaga akan jadi kering, untuk air minum pula kita ambil air dari surau.
"Sekarang ini rasa suka sangat alhamdulillah, terima kasih kepada seluruh pihak yang terlibat termasuk MPKK," ujarnya.
06 Sep 20
4978
Bubur Asyura Satukan Masyarakat
DUNGUN, 6 September- Setiap kali tibanya Awal Muharram telah menjadi kelaziman pada setiap anggota masyarakat menganjurkan Program Memasak Bubur Asyura yang sangat sinonim dengan masyarakat Melayu Islam serta dilihat sangat efektif menyatukan setiap anggota masyarakat.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Besi, Ghazali Sulaiman berkata, ianya dapat dilihat melalui kerjasama diantara penduduk dalam menjayakan program berkenaan.
"Dimana setiap ahli masyarakat akan melibatkan diri, akan terlihat suasana yang penuh harmoni dengan mana mereka saling bersatu hati menjayakannya.
"Ianya merupakan antara aktiviti yang boleh mengeratkan hubungan masyarakat disamping menjadi amalan masyarakat Melayu Islam didalam menginggati peristiwa yang dikaitkan dengan kisah Nabi Nuh dengan kaumnya selepas berlaku peristiwa banjir besar yang membawa kepada pemulanya kisah memasak Bubur Asyura," ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pihak media, selepas hadir pada Program Memasak Bubur Asyura yang dianjurkan secara bersama oleh Majlis pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Padang Ping dan MPKK Tepus, kelmarin.
Katanya, generasi masa kini harus mengambil peluang untuk mempelajari cara pembuatan bubur berkenaan.
"Supaya program-program sebegini akan diteruskan agar ianya sentiasa relevan. Menariknya mengenai bubur ini, setiap kampung mempunyai rahsia tersendiri dari segi ramuan" ujarnya,
Disamping itu Ghazali berkata, melalui program demikian juga pemimpin masyarakat akan berpeluang mengetahui masalah yang berlaku di kalangan anggota masyarakat.
"Sebagaimana kita sedia maklum proses menghasilkan bubur ini memakan masa yang cukup lama diatara tujuh sehingga ke lapan jam, mungkin kesempatan waktu itu boleh diambil oleh setiap pemimpin termasuk Pengerusi MPKK bagi bertanyakan masalah-masalah yang mungkin selama ini masih ada yang terlepas pandang, maka boleh diusahakan untuk diambil tindakan dengan segera.
"Juga boleh diambil kesempatan oleh pemimpin masyarakat bagi menyampaikan apa jua perkara untuk kebaikkan bersama atau berbincang perkara-perkara yang boleh membawa manfaat serta kesejahteraan kepada anggota masyarakat,"ujarnya.
06 Sep 20
1359
Pembangunan Infrastruktur Luar Bandar Tidak Dipinggirkan
SETIU, 5 September - Projek pembangunan infrastruktur tidak tertumpu di kawasan bandar sahaja tetapi turut dilaksanakan di sekitar luar bandar demi kesejahteraan rakyat pedalaman.
Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa negeri, Dr Azman Ibrahim berkata pembangunan di kawasan kampung sedang giat dijalankan termasuk usaha untuk meminimakan masalah yang ditanggung penduduk terutama pada musim tengkujuh.
"Kita agihkan sedikit sebanyak biar sama rasa, semua Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK). Untuk kali ini, jalan dan longkang U di Kampung Bukit Tanah. Insya-Allah, musim banjir akan datang, masalah air bertakung kita cuba minimakan sedaya yang boleh," katanya ketika ditemui pemberita semalam.
Menurutnya, sebarang pembangunan boleh dibina daripada pelbagai sumber sama ada Peruntukan Projek Kecil ADUN, Majlis Daerah, Pejabat Daerah, Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) malah ada ketikanya peruntukan poket sendiri boleh dikeluarkan.
"Fungsi kami ialah merancang, mengatur dan membuat urusan bersama agensi atau jabatan terlibat agar peruntukan yang ada dapat disalurkan serta dibelanjakan sebaiknya bagi manfaat rakyat.
"Saya ibarat seorang ayah yang ada anak ramai. Tak boleh tunggu dan lihat sekadar apa yang mari sahaja. Perlu cergas bergerak ke sana ke mari, cari belanja dan peruntukan untuk keperluan anak-anak.
"Naik lif, turun tangga, masuk pejabat keluar pejabat. Jumpa Menteri, KSU dan pegawai-pegawai kanan kementerian. Akhirnya biarlah ada hasil yang boleh dibawa balik kepada rakyat.
"Jangan salah faham, duit pun bukan diberi kepada kita. Tapi dalam bentuk projek pembangunan melalui tatacara kewangan yang ketat," tambah beliau.
05 Sep 20
1008
25 OKP Tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah
KUALA NERUS, 4 September - Seramai 25 orang kena pengawasan (OKP) tamat Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah di Pulau Redang di sini hari ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pemulihan Dadah (JKPD) Hulu Terengganu, Ustaz Maliaman Kassim berkata, program ini merupakan salah satu ganjaran untuk OKP yang berjaya dalam kepulihan penyalahgunaan dadah.
Katanya lagi, ia turut melatih mereka untuk menjadi fasilitator kepada OKP lain dan dalam masa yang sama mengeratkan hubungan antara mereka.
“Selama tiga hari ini, mereka yang juga OKP menjalankan pelbagai aktiviti kerohanian dan kemasyarakatan.
“Mereka dikejutkan pada jam 5 pagi untuk bersiap solat subuh dan seterusnya kuliah Subuh serta sesi dialog bagi mereka meluahkan apa yang terbuku di hati dan aktiviti ini mendapat kerjasama sepenuhnya.
“Selain itu melatih untuk menjadi seorang fasilitator dalam kalangan OKP akan menjadi ikon penggerak dalam merangka dan melaksanakan program keagamaan yang melibatkan OKP lain untuk meninggalkan tabiat dalam penyalahgunaan dadah,” katanya.
Beliau yang juga ADUN Ajil berkata demikian pada Program Reward Kepulihan Penyalahgunaan Dadah yang berlangsung selama 3 hari 2 malam di Pulau Redang.
Pada program itu, pelbagai aktiviti diadakan seperti solat fardu berjemaah, penyampaian mesej antidadah dan aktiviti snorkeling.
Tambah beliau lagi, lebih banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan diperlukan untuk tampil membantu klien atau orang kena pengawasan (OKP) Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) yang memerlukan sokongan di negeri ini.
“Dengan bantuan dari luar seperti ini, ia bukan sahaja membantu menyuntik semangat mereka untuk berjaya dalam kepulihan tetapi juga memberi semangat kepada ahli keluarga OKP itu sendiri,” katanya.
04 Sep 20
806
19 Tahun Menanti, Akhirnya Kerajaan Beri Tanah
MARANG, 4 September - Penantian hampir dua dekad penduduk Kampung Lapang Jambu Laut untuk memiliki tanah sendiri berakhir selepas menerima Geran Hak Milik Kekal dan Borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok baru-baru ini.
Ismail Abu Bakar, 51, berkata, dia sangat bersyukur dan berterima atas segala usaha pihak kerajaan yang mengotakan janji untuk memberi semula tanah yang diambil sebelum ini.
"Lama kami tunggu, selama 19 tahun lamanya, akhirnya sekarang baru dapat kembali hak milik tanah. Terima kasih kerajaan PAS Terengganu atas usaha yang diambil.
"Setelah pemerintahan PAS yang baru kami dapat geran ini. Bertambah bertuah lagi, geran ini disampaikan sendiri Ahli Parlimen Marang, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang," katanya yang menuntut hak milik untuk tanah-tanah terkilan sejak tahun 2001.
Menurut Ismail lagi, pemberian geran itu membolehkannya mendirikan sebuah rumah untuk anak-anak dan mampu hidup dengan lebih selesa.
"Anak-anak di rumah sudah mengetahui lebih awal tentang pemberitahuan penerimaan ini dan mereka berasa sangat gembira dengan mendapat geran tanah yang kekal ini," jelasnya lagi.
Turut berkongsi perasaan gembira ialah Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Lapang Jambu Laut, Zulkifli Puteh, ujarnya, meskipun penerima menanti agak lama, mereka tidak pernah mengalah dan hari ini membuktikan penantian mereka sangat berbaloi
"Sesungguhnya sudah lama kita mohon untuk mendapatkan geran hak milik sejak kita berjuang daripada tahun 2000 sehingga pada hari ini," tambahnya.
04 Sep 20
410
Keluhan Bapa Dua Anak Berbalas
KUALA NERUS, 3 September - Keluhan bapa dua anak, Norisham Ngah terhadap kesukaran hidup yang dialaminya selepas terlibat dalam kemalangan di kampung Telaga Batin beberapa bulan lalu berakhir.
Kesihatan Norisham, 35, yang tidak menentu mendesak isterinya untuk bekerja mengambil upah memotong bawang di sebuah kedai untuk menyara anak-anaknya yang masih bersekolah.
Menyedari kepayahan mereka sekeluarga, Ahli Parlimen Kuala Nerus, Dato' Dr Mohd Khairuddin Aman Razali menerusi Pegawai Khasnya, Ustaz Wan Yusrizal Wan Shafi'i menghulurkan sumbangan bagi meringakan beban keluarga terbabit pagi tadi.
Hadir sama, Penyelia i-MITS DUN Seberang Takir, Muda Abdullah dan Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Hulu Takir, Ahmad Sirajul Fahmi Ramli.
Norisham ketika ditemui pemberita berkata, dia sangat terharu atas keprihatinan semua pihak termasuk wakil kerajaan dan MPKK kerana mengambil berat akan keperitan rakyat serta dirinya.
"Alhamdulillah, terima kasih atas bantuan dan sumbangan yang diberi. Semoga Allah membalas jasa YB," ujar beliau setelah menerima bantuan.
Beliau yang juga seorang penjual ayam di Kampung Padang Air sempat berkongsi pengalaman sewaktu kemalangan berlaku dan memohon doa supaya kesnya dapat diselesaikan dengan baik.
03 Sep 20
356