Artikel "Komuniti" Terkini
Pelestarian Pulau Jamin Keseimbangan Kemajuan Pelancongan
BESUT, 10 September - Kerajaan negeri bersama badan bukan kerajaan (NGO) Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu mengambil inisiatif untuk mendidik masyarakat dengan nilai kebersihan dan kemajuan melalui program Pimpinan Kerajaan Bersama Komuniti di Pulau Perhentian.
Yang DiPertua Dewan Undangan Negeri Terengganu yang juga Pengerusi Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu, Dato' Yahaya Ali berkata, kemajuan sektor pelancongan hendaklah berlandaskan visi negeri iaitu maju, berkat dan sejahtera.
“Kemajuan dalam sektor ini perlu mengikut keadaan setempat, jika kita gelojoh ia akan membawa kesan buruk kepada alam sekitar, pencemaran dan lain-lain.
“Seperti contoh, kita perlu elak terlalu mengejar keuntungan dan mengaplikasi idea harga berpatutan mengikut keadaan semasa serta mengaplikasi akhlak baik dalam kelakuan dan layanan, oleh itu, Pertubuhan Muafakat Sejahtera Terengganu mengambil inisiatif memupuk nilai kebersihan kepada komuniti supaya akhlak baik dapat dibudayakan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam Majlis Dialog Bersama Komuniti di Pulau Perhentian semalam sempena program tersebut di sini semalam.
Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Maklumat negeri, Ariffin Deraman, Pegawai Daerah dan Pentadbir Tanah Besut, Rozali Salleh dan Yang Dipertua Majlis Daerah Besut, Mohd Rashdan Muda.
Majlis berkenaan urut disertakan dengan taklimat kesihatan yang diberikan oleh wakil Pejabat Kesihatan Daerah Besut berkenaan denggi dan COVID-19.
Taklimat tersebut merupakan sebahagian daripada langkah untuk mewujudkan kesedaran di kalangan komuniti supaya menjaga kebersihan demi kelestarian pulau.
Majlis Pimpinan Kerajaan Bersama Komuniti di Pulau Perhentian turut disertakan dengan program gotong-royong membersihkan kawasan pulau sejajar objektif pemupukan nilai kebersihan kepada komuniti setempat.
09 Sep 20
344
Hargai Masa Dengan Aktiviti Bermanfaat
DUNGUN, 10 September - Golongan muda diseru agar menghargai masa dengan melakukan aktiviti yang bermanfaat untuk diri dan masyarakat.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rantau Abang berkata, mereka adalah aset negara dan bakal pemimpin masa depan sewajarnya tidak terjebak dengan aktiviti yang akan merugikan negara.
"Sebagai galakan kepada orang muda agar beriadah maka pihak Pusat Khidmat ADUN Rantau Abang terpanggil untuk menyerahkan set meja ping-pong. ," jelasnya.
Alias berkata demikian selepas menyerahkan meja ping-pong kepada empat buah Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) di DUN Rantau Abang dan juga Persatuan Ping-Pong Dungun.
Menurut beliau, empat MPKK tersebut adalah MPKK Balik Bukit, MPKK Seberang Pintasan, MPKK Teluk Bidara dan MPKK Taman Rakyat Jaya.
"Set meja ping-pong ini akan diletakkan di tempat yang mudah dikunjungi masyarakat setempat dan insyaAllah disamping mengisi masa dengan aktiviti sihat ianya juga dapat mengeratkan silaturahim sesama orang kampung,"ujarnya.
09 Sep 20
332
Jabatan Kesihatan Serbu 54 Premis Makanan
KUALA TERENGGANU, 9 September - Sebanyak 54 premis makanan di Setiu dan Besut diserbu Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) dalam Operasi Bersepadu Premis Makanan Bersih pada 7 dan 8 September lalu.
Pengarah JKNT, Dr Nor Azimi Yunus berkata, hasil operasi itu tiga premis telah diberikan arahan penutupan selama tempoh tidak melebihi 14 hari di bawah Seksyen 11 Akta Makanan 1983 kerana gagal mencapai tahap minimum piawaian.
“Ia meliputi 34 buah restoran dan 20 buah gerai makanan telah diperiksa sepanjang dua hari operasi diadakan di dua daerah tersebut.
“Sebanyak 62 notis memerintahkan kehadiran di mahkamah bagi kesalahan yang boleh dikompaun di bawah Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 dikeluarkan dengan nilai kompaun sebanyak RM16,350,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, operasi yang dijalankan bersama Penguatkuasa Kementerian Kesihatan Malaysia, Majlis Daerah Setiu dan Majlis Daerah Besut itu memberi fokus kepada premis yang menjadi tumpuan ramai.
“Ia penting bagi memastikan premis berkenaan beroperasi dalam keadaan bersih, terkawal dan mematuhi peraturan yang telah ditetapkan sekali gus menjamin kualiti makanan.
Menurut Nor Azimi lagi, pemantauan akan dijalankan secara berterusan supaya pengusaha dan pengendali makanan serius dalam mematuhi keperluan yang telah ditetapkan di bawah Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan dibawahnya.
“Adalah menjadi tanggungjawab pemilik dan pengusaha premis makanan untuk memastikan premis makanan dan pekerja mereka berada dalam bersih pada setiap masa sewaktu operasi perniagaan dijalankan,” tambah beliau.
09 Sep 20
1323
TEKUN Anjur Konvoi Hayati Erti Kemerdekaan
KUALA NERUS, 9 September - Bagi menghayati dan mensyukuri nikmat kemerdekaan, TEKUN Negeri Terengganu mengadakan konvoi bermotosikal dari Kuala Nerus ke Hulu Terengganu.
Pengurus TEKUN Nasional Negeri Terengganu, Ghazali Husain berkata, program Jalinan Kasih Semarak Merdeka TEKUN Nasional Peringkat Negeri Terengganu itu melibatkan seramai 15 orang warga kerja mereka.
"Flag-off yang diadakan pagi ini adalah simbolik bagi konvoi yang akan diadakan. Mereka akan ke Hulu Terengganu dan menyampaikan sumbangan kepada kakitangan atau ahli keluarga kakitangan yang memerlukan.
"Ini bagi menyedarkan kita bahawa erti kemerdekaan yang kita kecapi ini haruslah dinikmati dan juga dikongsi kepada mereka yang kurang bernasib baik," ujar beliau ketika ditemuramah melakukan 'flag-off' di sini hari ini
Tambah beliau, program itu dilancarkan serentak di pejabat TEKUN Nasional seluruh negara dengan objektif yang sama.
"Kami amat bersyukur Pengerusi TEKUN Nasional kali ini dari Negeri Terengganu dan sudi bersama-sama kami dalam sesi pagi ini," jelasnya.
09 Sep 20
84
Satu Kampung Satu Padang Bola
Oleh : Amiirullah Mansor
DUNGUN, 8 September- Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paka, Satiful Bahri Mamat berhasrat untuk mewujudkan satu padang bola di setiap kampung dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) berkenaan.
Katanya, padang bola yang akan diwujudkan itu akan mengikut kesesuaian kawasan masing-masing selain menambahbaik padang bola yang sedia ada sebagai pusat komuniti orang muda.
“Kita sudah perhatikan beberapa kawasan yang tiada padang bola dan sesuai untuk dibangunkan kemudahan terbabit.
“Terdapat juga beberapa buah padang bola yang sedang dibaikpulih seperti di Felda Kerteh 1, Tebing Tembah, Kampung Nyior, dan beberapa kampung lagi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Liga 5 Sebelah Penalti di Padang Kampung Santong, baru-baru ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksanaan Syariah, Pendidikan dan Pengajian Tinggi negeri berkata, pihaknya juga akan mewujudkan perlawanan bola sepak secara liga setelah isu padang ini selesai.
“Dengan wujud kemudahan padang ini, kita boleh mengajurkan perlawanan bola sepak antara kampung di peringkat DUN, Parlimen seterusnya ke peringkat negeri," ujarnya.
09 Sep 20
723
Mangsa Kebakaran Rumah Terima Bantuan Segera
KUALA TERENGGANU, 8 September - Mangsa kebakaran rumah di Kampung Gong Nangka semalam, Zulkifli Daud telah menerima reaksi balas daripada agensi kerajaan.
Pusat Khidmat Masyarakat Ahli Dewan Undangan Negeri (PKM ADUN) Batu Buruk telah mengambil inisiatif untuk memberikan bantuan secara ‘one off’ serta membaik pulih kerosakan yang dialami rumah-rumah berdekatan.
Manakala, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Khairunnisa masing-masing telah menyampaikan bantuan keperluan kepada mangsa.
Sementara itu, pihak JKM dan Tabung Darul Iman (TDI) akan membantu untuk membuat permohonan pembinaan Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) buat mangsa dan tindakan susulan akan diambil oleh pihak PKM ADUN Batu Buruk.
Tragedi kebakaran yang berlaku sekitar pukul 7.00 malam semalam telah memusnahkan keseluruhan rumah mangsa dan mengakibatkan kerosakan pada rumah-rumah di sekitarnya.
08 Sep 20
719
106 Peserta RTB Terkilan Di Kijal Terengganu Terima Geran
KEMAMAN, 8 September - Seramai 106 peserta Rancangan Tanah Berkelompok (RTB) di Dewan Undangan Negeri Kijal yang dinafikan hak dahulu (terkilan), kini tersenyum lebar setelah menerima geran hak milik.
Pegawai Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Kijal, Ustaz Hazri Jusoh memanjatkan syukur ke atas Ilahi kerana diberikan kesempatan untuk menunaikan hak rakyat di kawasannya dengan kerja keras daripada semua pihak terutama kakitangan Pejabat Tanah Daerah Kemaman.
"Alhamdulillah di kesempatan ini kita diberikan ruang untuk menunaikan janji kerajaan dengan mengembalikan semula tanah yang dinafikan dahulu kepada mereka yang berhak,
"Dengan kerja keras yang penuh komitmen daripada semua pegawai dan kakitangan Pejabat Tanah Kemaman saya ucapkan ribuan terima kasih, syabas dan tahniah," ucapnya.
Hazri Jusoh (dua dari kanan)
RTB yang diserahkan hak milik geran di Dewan Terbuka Penunjuk Kijal kelmarin adalah RTB Bukit Anak Dara seramai 21 penerima, RTB Batu 9 seramai lima penerima, RTB Ibok seramai 17 penerima manakala RTB Bukit Panjang seramai 63 penerima.
Dalam waktu yang sama, Pentadbir Tanah Kemaman Mohamad A. Rahman yang turut berucap di majlis tersebut mengingatkan kepada penerima hak milk geran supaya tidak menjual tanah yang diterima mereka.
"Saya mengharapkan agar tanah yang dikurniakan oleh kerajaan ini hendaklah didirikan rumah dan jangan dijual," katanya.
"Mana nak dapat harga tanah yang semurah ini, bayar premium sebanyak 10% dengan berdasarkan nilai harga pasaran pada tahun 1999,
"Pagi hari makan ceri, sebelah petang goreng ikan bawal, tanah yang beri... janganlah dijual," ucapnya berseloroh.
Kerajaan Negeri Terengganu telah bersetuju memasukkan Dasar Tanah Terkilan dengan beberapa kemudahan seperti bayaran premium mengikut nilai tanah pada tahun tersebut demi kebajikan kepada rakyat.
08 Sep 20
2870
Dua Isteri Arwah Khairul Terima Faedah PERKESO
DUNGUN, 8 September- Nasib kedua-dua isteri arwah Khairul Aswad Ismail, 42, yang meninggal dunia 4 September lalu kerana keracunan darah terbela apabila menerima Faedah Pengurusan Jenazah dan Faedah Pencen Penakat Pertubuhan Keselamatan Sosial Pekerja (PERKESO) Terengganu.
Pengurus PERKESO Dungun, Nor Afizah Aziz berkata, Suraya Mamat , 43, dan Rosliza Abdullah, 43, layak menerima Faedah Pengurusan Jenazah berjumlah RM 2,000 dan Faedah Pencen Penakat kerana suami mereka adalah pencarum aktif.
"Hasil daripada semakan PERKESO mendapati arwah Khairul Aswad merupakan pekerja di Syarikat Kilang Papan PESAKA Terengganu Berhad (PTB) dan mencarum selama 180 bulan tanpa gagal.
"Faedah Pencen Penakat yang layak diterima kedua-dua orang balu berkenaan adalah sepanjang hayat mereka dan bagi enam anak bersama arwah sehingga berumur 21 tahun." ujarnya.
Beliau berkata demikian selepas menyerahkan faedah berkenaan kepada keduanya dalam satu pertemuan ringkas di Pusat Khidmat Masyarakat DUN Bukit Besi, semalam.
Turut hadir, Pegawai Penyelaras DUN Bukit Besi, Ghazali Sulaiman dan Pengurus Besar PTB, Hilmi Awang.
Nor Alfizah berkata, maklumat mengenai kematian Khairul telah disampaikan oleh Ghazali dan tindakan segera telah diambil PERKESO bagi menyantuni keluarga arwah.
"Semoga mereka redha dengan pemergian arwah dan sentiasa tabah untuk meneruskan kehidupan mendatang.
"PERKESO Dungun juga mengambil kesempatan mengucapkan ribuan terima kasih kepada Pejabat Penyelaras DUN Bukit Besi serta pihak pengurusan PTB atas kerjasama diberikan," ujarnya
Sementara itu Ghazali berkata, pihaknya sangat berterima kasih atas tindakan segera yang dilaksankan pertubuhan berkenaan.
"Alhamdulillah di dalam membantu masyarakat, terutamanya bagi membela nasib-nasib mereka terutama yang kehilangan ketua keluarga sangat kita titikberatkan.
"Kerana itu seringkali kita menghantar maklumat kepada PERKESO sehingga telah membawa kepada terjalinnya hubungan sebagai rakan strategi untuk Program 'Social Synergy PERKESO' . Semoga kedua-dua balu diberi kekuatan oleh Allah untuk meneruskan kehidupan dengan baik," ujarnya.
08 Sep 20
1392
Perbanyakkan Aktiviti Keagamaan Sebagai Medium Penyatuan Belia
HULU TERENGGANU, 8 September - Persatuan Mahasiswa Anak Terengganu UKM ( PERMATA ) disarankan memperbanyakkan aktiviti keagamaan bagi membantu mempertingkatkan perpaduan di kalangan masyarakat setempat khasnya melibatkan golongan belia.
Bapa Angkat PERMATA yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ajil, Ustaz Maliaman Kassim berkata saluran terbaik untuk memupuk hubungan baik dan semangat kerjasama adalah melalui aktiviti-aktiviti bercorak keagamaan.
Menurutnya, program-program keagamaan amat penting sekali melibatkan golongan belia kerana cabaran sosial hari ini bukanlah sesuatu yang boleh dipandang ringan oleh masyarakat.
"Kita lihat sahaja golongan belia kita yang mudah terpengaruh oleh maklumat dan pengaruh media sosial yang disebarkan oleh pihak yang sengaja mahu memesongkan akidah belia-belia Islam kita.
"Belia perlu merebut peluang untuk melibatkan diri dalam aktiviti keagamaan dan kemasyarakatan untuk meningkatkan potensi diri, membina kepimpinan serta akhlak mulia," katanya ketika meraikan kunjungan persatuan tersebut di kediamannya dekat sini.
Maliaman juga berkata belia perlu bersikap positif, berfikiran rasional serta bijak menilai agar tidak terjebak dalam kegiatan yang boleh merosakkan masa depan.
Tambah beliau lagi, ada tiga teras utama jika sesuatu program itu ingin dijalankan iaitu keagamaan, pendidikan dan kebajikan membabitkan belia dan masyarakat setempat tanpa mengira peringkat umur.
“Sebagai pelajar yang ingin mengadakan program bersifat komuniti perlu membuat persediaan rapi terutama mempunyai ilmu pengetahuan agama dan akademik untuk memberi bimbingan kepada golongan yang memerlukan,”katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, antara program yang boleh dilakukan bersama penduduk setempat terutama belia ialah mengadakan program bimbingan solat, membaca al-Quran, sesi akademik bersama kanak-kanak dan aktiviti komuniti seperti sukan.
“ Oleh yang demikian, amat penting sekali program-program keagamaan dianjurkan lebih banyak lagi dengan melibatkan golongan belia dan masyarakat,” tambah beliau.
08 Sep 20
1642
Amzad Pelawa Badan Korporat Bantu Sukarelawan PTCM
KUALA TERENGGANU: Ahli Parlimen Kuala Terengganu, Ahmad Amzad Hashim mempelawa badan-badan korporat membantu sukarelawan Pasukan Tindakan Cemas Malaysia (PTCM) mewujudkan sebuah pejabat pengurusan.
Jelasnya, PTCM Cawangan Terengganu yang merupakan antara cawangan paling aktif di seluruh negara itu kini memiliki 200 orang anggota yang menjalankan kerja-kerja sukarelawan.
“Saya ingin mengambil kesempatan menjelaskan bahawa ini kerja sukarela yang tidak ramai orang boleh buat. Jadi, saya amat berharap badan-badan korporat di negeri ini dapat sama membantu melengkapkan usaha mereka dari sudut dan keperluan lain.
“Seramai 200 orang ahli (anggota) sukarelawan PTCM ini benar-benar buat kerja kerana Allah SWT. Mereka ini banyak memberi imej yang baik sebenarnya kepada pengunjung di Batu Burok, Kuala Terengganu ini,” ujarnya.
Beliau berkata demikian kepada Urus Setia Penerangan Darul Iman (UPDI) selepas meninjau lokasi baharu bagi menempatkan sebuah bangunan pejabat pengurusan PTCM, di Pantai Batu Burok, semalam.
Hadir sama, Ketua Turus PTCM negeri, Mohd Rezal Abu Bakar dan Naib Ketua, Wan Hanafiah Wan Husin.
Tambahnya, pasukan itu mempunyai banyak aset seperti pasukan kuda, motor pantai ATV, kereta peronda pantai untuk pelaksanaan tugas dan kini mereka juga diberi hak menguruskan dua buah Menara Anjung Peninjau yang rosak dan tidak terurus.
Menurut Amzad, beliau turut memperuntukkan sejumlah sumbangan peribadinya untuk bagi melancarkan hasrat PTCM Terengganu memulakan pembinaan.
“Saya diminta untuk membantu sama PTCM bagi meningkatkan lagi kualiti perkhidmatan. Jadi, saya guna peruntukan peribadi kerana bajet di bawah Ahli Parlimen (Kuala Terengganu) telah kita habiskan.
“Saya beri sumbangan peribadi ini untuk membolehkan bangunan pejabat PTCM dapat dibina di sini, sebagai pejabat operasinya,” katanya yang memaklumkan, anggarannya antara RM20,000 hingga RM30,000 bagi bangunan pejabat asas yang perlu disiapkan bulan Oktober depan.
Justeru, beliau memohon badan-badan korporat tampil membantu mencukupkan keperluan itu.
07 Sep 20
1068